Halaman pertama

Antara Subuh dan Senja

“Saya nak siasat mengenai kes tujuh tahun lepas yang melibatkan kes lama suspek Ha Sungwoon dan anak jutawan Keluarga Lee”

Donghae memegang picit kepala, terasa berat dan pening dengan kes yang dihadapnya. Beberapa fail tidak tersusun bersepah atas mejanya. Banyak panggilan dari pihak media yang diabaikan dan beberapa kali sudah dia mendapat teguran dari pihak atasan, menggesanya untuk selesaikan kes letupan keretapi itu dengan segera.

……………………..

Secawan kopi hangat terhidang di hadapannya namun masih tidak bersentuh. Kipas berpusing perlahan dan Seongwoo dapat melihat melalui tingkap, guguran daun di luar yang berselerak di bawah pohon. Detikan jarum jam di dinding kedengaran kuat, mengingatkan Seongwoo akan tempoh masa yang diberikan oleh ketua kumpulannya. 24 jam.

“Ha ini dia”

Seorang wanita pertengahan umur sempat membetulkan cermin mata yang jatuh di pangkal hidung sebelum menyerahkan kepada Seongwoo sebuah majalah tebal. Seongwoo menerima huluran tersebut namun sebelum sempat membelek buka, wanita tersebut terlebih dahulu membukakan halaman yang sepatutnya untuk detektif muda itu.

“Rasanya dia kelas ni”

Seongwoo hanya membiarkan beberapa halaman majalah sekolah itu diselak buka.

“Ha ini dia. Ha Sungwoon”

Wanita itu lalu menuding tunjuk pada sebuah gambar seorang pelajar lelaki. Tertera nama di bawah gambar itu milik lelaki yang kini disiasat oleh Seongwoo. Ha Sungwoon.

Seongwoo memandang gambar tersebut dan sekali imbas melihat gambar profil Sungwoon dalam fail yang dibawa bersama. Ternyata tidak banyak berubah kecuali wajah yang semakin matang.

“Saya terkejut apabila tengok berita yang dia sekarang menjadi buruan polis.” wanita itu yang memegang jawatan Ketua Pengurus Daerah itu melepaskan keluhan.

“Mengenai kes tujuh tahun lepas, sehingga kini saya tak faham apa motif suspek untuk cubaan membunuh kawannya sendiri” Seongwoo langsung bertanya, mengejar masa.

“Sebenarnya mereka bukanlah kawan rapat tapi Lee Doohyun menganggap Sungwoon kawan setelah berjumpa dalam aktiviti sukarelawan. Saya pun tak faham kenapa Sungwoon jadi macam tu sebab setahu saya Sungwoon tu bukanlah pelajar bermasalah, dan selepas kematian ibubapanya, dia lebih fokus jaga adiknya sendiri. Dia dengan jiran dia….” wanita itu membelek pula beberapa halaman sebelum menuding tunjuk gambar seorang lagi pelajar lelaki. “… mereka berkawan baik”

“Kang Daniel” Seongwoo membaca nama yang tertera di bawah gambar tersebut dan langsung teringat akan lelaki sama yang mencederakan kepalanya dan lelaki sama yang dilihat dalam video lama dalam laptopnya tadi.

“Saya dapat tahu yang nenek Kang Daniel mati selang beberapa hari selepas penangkapan Ha Sungwoon, puan tahu kenapa?”

Wanita itu memandang mata Seongwoo, sambil mendekatkan dirinya. “Semua orang pun pelik dengan perkara tu sebab tiada sebab untuk neneknya bunuh diri. Tambah pula, lepas saja kejadian itu, Daniel terus bawa adik Sungwoon jauh dari sini dan mereka berdua pindah sekolah”

Seongwoo menjarakkan dirinya sedikit dari wanita itu sambil matanya menatap gambar Daniel yang tersenyum.

Kenapa Kang Daniel? Apa sebenar yang berlaku tujuh tahun lepas?

“Hmmm Detektif Ong” panggilan wanita di depannya mematikan lamunan Seongwoo. “Saya tak pasti samada maklumat saya ini boleh membantu pihak polis atau tidak, sebab ia tiada kaitan dengan kes letupan keretapi tu tapi ia ada kaitan dengan kes tujuh tahun lepas”

Seongwoo melirikkan mata melihat wanita itu bergerak ke meja kerjanya dan membelek beberapa fail dalam sebuah kotak di hujung rak. Kotak yang kelihatan lama tidak terusik.

“Maklumat apa yang puan maksudkan?” Seongwoo bangkit berdiri, seraya membiarkan majalah tadi terbuka di atas meja sambil bergerak mendekati pegawai daerah itu.

“Ini” wanita itu lalu menyerahkan sebuah sampul. Warna putih sampul mulai kekuningan dan tulisan yang tertera di depan sampul juga semakin kabur.

“Tidak dikenalpasti” Seongwoo membaca tulisan tersebut sebelum membuka sampul itu dan mengeluarkan beberapa helai kertas yang dikepilkan bersama dan kepingan gambar. Kertas tersebut diletakkan di atas meja terlebih dahulu dan kepingan gambar yang dikeluarkan menarik perhatian Seongwoo.

“Mayat siapa ni?” soal Seongwoo membelek satu persatu gambar mayat yang kelihatan mati lemas.

Wanita itu menggeleng. “Saya tak pasti. Pihak kami hantar ke pihak forensik untuk bedah siasat dan laporan yang dikeluarkan oleh doktor mengatakan ia adalah mayat seorang lelaki yang tidak didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara”

Seongwoo beralih pula kepada helaian kertas yang diletakkan atas meja tadi. Laporan bedah siasat yang diberikan oleh hospital. “Jadi apa kaitannya dengan kes tujuh tahun lepas?”

“Saya sendiri siasat dan saya rasa mayat itu adalah milik seorang lelaki yang duduk di kampung sini, namanya Moon Kigyeol”

Seongwoo pana seketika cuba mencari nama tersebut dalam fikirannya dan tiada nama itu terlintas. “Siapa dia?”

“Dia dilahirkan di hutan dan membesar jauh dari orang kampung. Selepas ibunya meninggal, dia hidup sendirian dan buka sebuah bengkel dalam hutan. Tiada yang berkawan dengan dia kecuali beberapa pelajar yang berani masuk ke dalam hutan. Salah seorang yang berkawan dengan dia adalah Ha Sungwoon”

“Saya tak faham” luah Seongwoo jujur. “Apa kena mengena mayat ni dengan Kigyeol dan kes tujuh tahun lepas?”

Wanita itu kemudian mencapai sekeping gambar lama, lalu dihulurkan kepada Seongwoo. “Kigyeol dan Lee Doohyun, mangsa yang cuba dibunuh oleh Sungwoon tujuh tahun lepas mempunyai rupa paras yang sama, tambahan pula mereka sebaya”

Seongwoo memandang gambar tersebut, sedikit terperanjat dengan kebenaran kata-kata tersebut. Dalam gambar yang dilihat, ternyata dua orang lelaki berdiri sebelah menyebelah mempunyai rupa paras sama namun penampilan yang berbeza. Seorang kelihatan kemas bergaya, dan tersenyum mesra manakala lagi seorang mempunyai penampilan yang kelihatan selekeh dan bermasam muka.

“Ini Kigyeol dan Lee Doohyun?” Seongwoo bertanya mendapatkan kepastian. “Mana puan dapat gambar ni dan siapa yang tangkap gambar ni?”

“Doohyun sendiri yang berikan gambar ini kepada saya, dia yang minta tolong saya untuk bantu Kigyeol untuk daftarkan persekolahannya” jawab wanita itu, teringat kejadian tujuh tahun lepas, gambar tersebut diberikan oleh Doohyun yang kelihatan bersungguh ingin membantu Kigyeol.

Seongwoo melihat semula gambar mayat tadi. “Apa yang puan cuba sampaikan? Puan syak mayat ni adalah Lee Doohyun bukan Kigyeol?”

Wanita itu diam tidak membalas, menunduk sambil memandang gambar kedua-dua Doohyun dan Kigyeol.

……………………………………………

Tujuh tahun lepas.

Satu ciuman lembut singgah di pipi sambil Park Gyuri menuangkan segelas jus oren.

“Selamat pagi ma”

Wanita itu membalas senyuman anak muda di hadapannya sambil memghulurkan jus tadi. “Selamat pagi Doohyun. Kamu akan ke Busan hari ni?”

Doohyun mengangguk sambil mengigit roti bakarnya yang masih hangat. “Saya akan tinggal sana seminggu. Oh ye, Daehwi macam mana? Dia ada telefon mama? Dia selalu mesej saya, cakap rindu nak pulang rumah”

Park Gyuri ketawa kecil. “Dia setiap hari telefon mama. Kejap lagi mesti dia telefon lagi”

Doohyun mencebik kecil. “Mama manjakan dia sangat, sebab tu dia kuat merengek. Saya ingatkan dia supaya belajar berdikari”

Wanita lingkungan umur 40-an itu lalu membelai sapu rambut anak lelaki sulungnya. “Daehwi berbeza dengan kamu. Kamu seorang yang berdikari dan bertanggungjawab. Daehwi pula masih kecil dan lemah”

Doohyun memegang tangan ibunya. “Saya anak sulung, jadi saya mesti bertanggungjawab untuk jaga keluarga saya” ujarnya sambil tersenyum. Jus orennya sudah dihabiskan.

“Apa agaknya Daehwi tengah buat di sana kan? Kadang saya rindu dia”

Pipi Doohyun dibelai. “Nanti bila ada masa, kita pergi buat lawatan mengejut, buat surprise untuk Daehwi. Kita ajak papa sekali”

Doohyun mengangguk laju, seraya ketawa kecil apabila terbayangkan reaksi adik kesayangannya.

“Kamu dah kemas barang kamu untuk ke Busan? Nanti kamu tinggal di mana? Kamu akan dapat keluarga angkat?” Park Gyuri bertanya mengenai program anak sulungnya yang aktif dengan aktiviti sukarelawan.

Doohyun menggeleng. “Kami akan tumpang di asrama sebuah sekolah menengah di sana dan gabung dengan sekolah tu”

“Jaga diri baik-baik di tempat orang. Jaga kelakuan dan bahasa kamu”

“Baik ma”

………………………………………………

Pintu kelas diseret buka dan semua pandangan tertumpu padanya. Nafasnya seolah terhenti seketika sebelum matanya bertentang dengan seorang lelaki berbadan tegap memegang rotan. Nalurinya mula membisikkan firasat buruk.

“Ha Sungwoon! Ikut saya ke pejabat sekarang!”

Sungwoon membulatkan mata. “Saya? Kenapa? saya buat apa?”

“Sungwoon, kamu pergi mana tadi?” soal perempuan di belakang lelaki berbadan tegap itu. Guru kelasnya. Gu Hyesun.

“Saya ke tandas” jawab Sungwoon jujur, pana dan gerun melihat pandangan lelaki berbadan tegap di hadapannya. Guru disiplin. Ma Dong Seok.

“Ikut saya ke pejabat sekarang” arah Guru Ma sambil menarik pegang belakang leher Sungwoon.

………………………………………..

Beg-beg pakaian dimasukkan ke dalam perut bas sambil para pelajar beratur menaiki bas. Doohyun mengira jumlah beg dan mencatat jumlah sedia ada dalam buku notanya.

“Dah siap semuanya?” sapa seorang pelajar lelaki, ketua kumpulan aktiviti sukarelawan ke Busan kali ini. Kang Dongho.

Doohyun mengangguk sambil tersenyum. “Sudah Dongho. Semua beg dah dikira dan kehadiran pun diambil. Aku dah hantar emel dan mesej kepada pengetua Sekolah Menengah Tinggi Busan yang kita mungkin akan sampai lewat petang”

“Bagus. Kau masuklah dalam bas dulu”

Doohyun sempat mengerling pandang bangunan sekolahnya di belakang. Sesuatu terasa berat. Doohyun berasa tidak sedap hati, namun menganggap itu hanya mainan perasaan. Doohyun menggeleng-geleng, cuba membuang perasaan itu.

………………………….

Sungwoon mengangkat tangan tinggi sambil berlutut di dalam bilik pejabat pengetua.

“Baik kau mengaku, ini siapa punya?”

Rotan milik Ma Dongseok menyentuh dagunya, dan Sungwoon dapat membayangkan kesakitan andai rotan itu melayang mengenai badannya.

“Bukan saya punya cikgu” balas Sungwoon. Nadanya menyampah juga geram kerana guru itu tidak mempercayainnya. “Saya tak merokok”

“Habis tu macam mana kotak rokok ni boleh ada dalam beg kamu?!” soal Ma Dongseok tegas.

Sungwoon mengerling pandang beberapa pelajar lain yang turut didenda bersamanya. Salah seorang dari pelajar itu ialah Kim Chanbin. Sungwoon tahu pasti kotak rokok itu diletakkan dalam begnya sewaktu perhimpunan pagi tadi. Sungwoon yakin seseorang ingin sabotajnya dan hatinya menjerit yakin orang itu ialah Chanbin.

“Saya tak tahu” jawab Sungwoon lemah. Matanya melirik pandang Chanbin yang cuba menahan ketawa.

…………………………

Beberapa buah buku ekonomi dan perakaunan tidak tersusun, kelihatan bersepah di atas meja beserta plastik makanan ringan dan air kotak. Jari-jemari yang lenguh menulis dan membuat latihan diurut perlahan. Bibirnya mengukirkan senyuman melihat hasil kerjanya sendiri.

“Dah siap~”

Kigyeol menutup buku latihan milik Sungwoon yang dipinjam. Buku-buku tersebut dibiarkan di atas meja sambil kigyeol melentangkan dirinya di atas sebuah sofa lama. Matanya mengerling pandang jam di dinding yang sudah buruk, tidak lagi mempunyai cermin kaca pelindung tapi masih berfungsi dengan sempurna. Kigyeol menunggu detik untuk Sungwoon datang.

………………………..

Sungwoon melepaskan keluhan berat sambil duduk mencangkung. Jala ikan dicapai sambil tangannya ligat membetulkan jala tersebut yang berselirat. Beberapa sampah yang tersangkut pada jala tersebut turut dibuang tepi.

“Awak tak boleh buang sampah sini”

Sungwoon menoleh ke kirinya, melihat seseorang mengutip serpihan tin minuman sampah yang dikeluarkan buang dari jala tadi.

“Maaf” ucap Sungwoon bersahaja sebelum kembali memandang lelaki tadi. “Eh? Siapa?”

Lelaki tadi mengukirkan senyuman mesra. “Lee Doohyun”

Sungwoon pana seketika memandang wajah lelaki yang kelihatan mesra itu. “Lee Doohyun?” nama yang tidak pernah didengari namun wajah lelaki itu kelihatan sangat rapat dengannya. Sungwoon terfikir akan seseorang apabila melihat wajah Doohyun.

“Ah! Awak mesti tak kenal saya lagi. Saya salah seorang pelajar yang terlibat dengan aktiviti sukarelawan ni, pelajar dari Seoul” Doohyun kelihatan malu-malu sambil mengosok belakang lehernya.

Sungwoon diam seketika sebelum memberi respons. “Ahh~ sekumpulan pelajar sukarelawan yang datang dari Seoul dan tinggal di asrama sekolah kami”

Doohyun mengangguk laju. Senyuman di bibirnya tidak hilang.

“Aku Ha Sungwoon. Aku tinggal di kampung nelayan sini” Sungwoon menghulurkan tangan, salam perkenalan sambil bangkit berdiri. Ketinggiannya agak rendah berbanding lelaki di depannya.

“Selamat berkenalan” Doohyun menyambut dengan hormat.

Sungwoon kemudian diam memerhatikan wajah Doohyun. Lelaki itu kelihatan mirip dengan seseorang yang dikenalinya. Raut wajahnya, pandangan matanya juga senyuman yang dimiliki namun terdapat satu aura yang berbeza pada lelaki di hadapannya. Satu aura yang membuatkan sesiapa memandang wajahnya akan jatuh hati, akan melayannya dengan baik, akan melindunginya. Aura yang tiada pada seseorang yang Sungwoon kenali.

“Kenapa?” soal Doohyun, merasakan renungan Sungwoon agak lama.

Sungwoon kemudian berkalih dan menggeleng. “Wajah kau sama macam seseorang yang aku kenal” jawabnya jujur.

“Sama macam seseorang? Maksud awak ada orang lain di kampung ni yang mirip dengan saya?”

Sungwoon mengangguk. Perhatiannya kembali pada jala yang dipegang.

“Siapa dia? boleh saya berjumpa dengannya?” Doohyun kemudian memegang jala yang sama dan membantu Sungwoon membetulkan jala tersebut.

Sungwoon diam seketika sambil beberapa kali mengerling pandang Doohyun di sebelahnya. “Aku boleh bawa kau jumpa dia tapi aku tak pasti kalau dia nak jumpa dengan kau atau tidak”

“Kenapa?” soal Doohyun ingin tahu.

“Dia tak biasa jumpa orang luar. Dia jarang keluar dari rumahnya”

“Dia kena kawal dengan keluarga dia?”

Sungwoon menggeleng. “Dia takut kena kecam dengan orang luar”

Doohyun pula diam seketika, cuba menghadam kata-kata Sungwoon. Keningnya berkerut tidak memahami. “Siapa nama dia?”

“Moon Kigyeol”

……………………………………..

Degupan jantungnya dapat didengari jelas melalui kesunyian hutan. Kesan tanah melekat pada tapak kasut sedang kakinya melangkah perlahan. Dedaun hijau yang menghalang pemandangannya ditolak ke tepi sambil Seongwoo meneruskan perjalanan sehingga sesuatu menarik perhatiannya, menghentikan langkahnya.

“Dia dilahirkan di hutan dan membesar jauh dari orang kampung. Selepas ibunya meninggal, dia hidup sendirian dan buka sebuah bengkel dalam hutan. Tiada yang berkawan dengan dia kecuali beberapa pelajar yang berani masuk ke dalam hutan. Salah seorang yang berkawan dengan dia adalah Ha Sungwoon”

Pistol di dalam simpanan poket jaket lalu dikeluarkan. Berwaspada. Seongwoo meneruskan langkah, menghampiri sebuah kawasan seperti rumah terbengkalai. Pohon hijau menjalar masuk dengan tingkap yang terbuka. Pintu kayu lalu ditendang buka. Ruang lama dengan sarang labah-labah menyapanya kembali. Seongwoo mengerling sekeliling sambil menapak masuk, melihat sebuah sofa usang di satu sudut dan sebuah dapur kecil. Beberapa meja dan kerusi kelihatan tunggang langgang.

Ketakutan dihadam telan sambil Seongwoo terus berjalan masuk ke dalam. Sebuah bilik tidak mempunyai pintu menarik perhatiannya. Sebuah katil usang yang mempunyai bau hancing binatang, juga sebuah meja dengan beberapa buku lama bersepah atasnya. Seongwoo memegang salah satu buku tersebut.

Ekonomi dan perakaunan. Ha Sungwoon. Moon Kigyeol.

Seongwoo mengeluarkan satu plastik khas yang dibawa bersama dan menyimpan buku tersebut ke dalamnya. Telefon pintarnya lalu dikeluarkan dan diangkat tinggi untuk melihat ketercapaian data panggilannya sebelum mendail telefon seseorang.

“Hello?”

“Sewoon ah~ aku ni. Macam mana dengan Minhyun?”

“Dia dah sedar. Adik dia pun ada di hospital sekarang, teman dia. Kau di mana? Ketua Lee beritahu yang kau nak siasat kes tujuh tahun lepas, kau serius?”

Seongwoo mengiyakan sambil berjalan keluar dari ruang tersebut. Hidungnya terasa sesak dengan tempat yang penuh habuk itu.

“Aku perlukan bantuan kau sikit, boleh tak carikan maklumat Lee Doohyun selepas Ha Sungwoon dimasukkan ke dalam penjara”

“Kenapa pula? Oh ye, Ha Sungwoon dan Yoon Jisung sekarang berada di Masan. Ketua Kim dan Youngmin tengah jejaki mereka dengan seorang lagi….”

“Kang Daniel” celah Seongwoo, teringat akan lelaki yang mencederakan kepalanya. “Apa mereka buat di Masan?”

“Aku tak tahu. Aku diarahkan untuk soal siasat adik Minhyun dan kawannya yang tolong suspek tapi budak-budak tu tak nak beri kerjasama. Masing-masing membatu tak buka mulut. Lagi satu, adik Ha Sungwoon, Park Jihoon juga tidak dikesan”

“Ok Sewoon. Aku nak minta tolong kau cari maklumat tu. Aku perlukan ia sebab aku nak cari jika ada sebarang perubahan dengan Lee Doohyun sebelum dan selepas kejadian dia hampir dibunuh tu”

Seongwoo tidak mendengar sebarang riak balas dari rakan sekerjanya itu selama beberapa saat. “Kau dengar tak ni? Aku harap kau boleh tolong aku”

“Aku cuba Seongwoo ah~ Aku akan cuba cari maklumat tu”

Seongwoo menarik nafas lega.

……………………………………

“Ha Sungwoon!”

Sungwoon terasa berat bebanan seseorang memeluk bahunya. Sungwoon mengerling pandang lelaki di sebelahnya.

“Kau nak apa? Jangan ganggu aku”

Sungwoon menguis tangan lelaki itu lantas melajukan langkah. Sengaja ingin menjauhkan diri.

“Yah~” Chanbin merengek sambil mengejar langkah Sungwoon. “Kau marah aku ke? Pasal rokok tu? aku gurau. Itu pun nak marah”

Sungwoon berhenti, memusingkan badannya mengadap Chanbin. “Gurauan kau melampau. Kau sengaja nak rosakkan rekod aku kan. Apa masalah kau?” suaranya ditinggikan.

Chanbin mengjungkitkan hujung bibir. “Aku gurau sikit pun tak boleh”

“Aku tak suka” tegas Sungwoon. “Ha lagi satu. Aku tak suka kau datang ganggu Kigyeol, dan ajar dia merokok, kau ajar dia jual dadah”

“Aku tak ajar dia merokok. Dia sendiri yang nak cuba. Pasal dadah tu, aku cuma tumpang letak kat rumah dia. kau jangan risau. Polis tak datang masuk rumah dia dalam hutan tu. Semua orang ingat dia hantu duduk dalam pondok tua tu” nada Chanbin mengejek.

“Jangan dekati Kigyeol lagi. Kau bawa pengaruh buruk pada dia.” Sungwoon lalu meneruskan langkahnya.

“Kenapa?!” laung Chanbin tidak berganjak dari tempatnya. Sungwoon terus berjalan tanpa mempedulikan rakan sekelasnya itu.

“Kenapa kau risau sangat dengan dia? kenapa kau ambil berat pasal dia? Kau beri dia buku sekolah untuk belajar, bukan dia boleh masuk universiti pun!”

Sungwoon memberhentikan langkah sekali lagi dan berpaling mengadap Chanbin.

“Sebab dia kawan aku!” jeritnya.

Chanbin ketawa berdekah sambil memegang perutnya. “Kawan?”

Sungwoon mendengus perlahan dan malas ambil peduli akan Chanbin. Langkahnya diteruskan sehingga tiba di satu persimpangan sebelum tiba di kawasan perumahannya. Sungwoon kemudian menyembunyikan diri di sebalik sebuah tiang lampu tepi jalan.

“Kenapa kau menyorok sini?” Chanbin mendekati Sungwoon dari belakang.

“Shhhuuuttt” Sungwoon membuat isyarat sambil meletakkan jari di bibir. Chanbin mengangguk sambil melilaukan mata di depan, ingin tahu apa yang menarik perhatian Sungwoon.

“Itu budak-budak Seoul yang datang jadi sukarelawan tu kan?”

Sungwoon mengangguk.

Chanbin diam seketika sebelum sesuatu menarik perhatiannya. Seseorang dalam kerumunan pelajar yang memakai jaket sukarelawan itu membuatkan Chanbin hampir tidak mempercayai matanya sendiri.

“Sungwoon ah, itu……”

Sungwoon membuat isyarat jari di bibir lagi. “Jangan bising” ujarnya.

“Tu… Kigyeol kan? apa dia buat dengan budak-budak bandar tu?” soal Chanbin. Matanya tertumpu pada seorang remaja lelaki yang murah dengan senyuman dan berpakaian kemas. “Tapi….”

Sungwoon berpusing mengadap Chanbin. “Bukan. Aku tahu apa yang kau fikirkan, tapi itu bukan Kigyeol” ujarnya sebelum beredar. Sungwoon bercadang untuk menggunakan laluan belakang tanpa melalui kawasan kerumunan sukarelawan itu.

“Bukan? Muka dia sama macam Kigyeol. Bukan Kigyeol? Jadi siapa? Eh, kau jangan main-main dengan aku” Chanbin menarik kasar lengan Sungwoon.

“Itu bukan Kigyeol!” Sungwoon cuba menahan diri daripada marah. Suaranya ditahan agar tidak terlalu tinggi dan menarik perhatian orang lain. “Itu Lee Doohyun. Salah seorang pelajar dari Seoul tu. Muka dia je sama, tapi dia orang yang lain”

“Orang yang lain?” dahi Chanbin berkerut sambil melepaskan lengan Sungwoon.

“Dah. Malas aku nak layan kau. Aku nak balik. Adik aku mesti tunggu aku kat rumah tu” ujar Sungwoon sebelum kali terakhir memusingkan badan mengadap Chanbin. “Kau jangan fikir nak buat apa-apa terhadap budak Seoul tu. Jangan ganggu dia” amarannya tanpa sedar Chanbin tersenyum sinis.

………………………………………………………..

Siling putih merenungnya kembali di saat membuka kelopak mata. Suasana senyap. Mukanya terasa sesak dengan topeng pernafasan yang mencengkam hidung dang mulut. Tangannya terasa berat ditindih.

“Jinyoung ah~” Minhyun bersuara, cuba menggerakkan tangan di belah kanannya. Seorang anak muda kelihatan tidur dengan mata yang sembap.

Minhyun menanggal cabut topeng pernafasan di mukanya.

“Hyung~” Jinyoung lalu tersedar dan mengangkat kepala. Mereka berdua diam seketika.

“Hyung, maaf” tutur Jinyoung perlahan, terasa sebak. Sebutir air mata terbit di hujung mata, mengalir secara tiba-tiba.

“Kenapa kau tak larikan diri? Kau serah diri pada polis?” suara Minhyun kedengaran lemah.

Jinyoung menggeleng. “Daniel hyung tak benarkan kami ikut serta. Dia tak nak kami terlibat dalam bahaya” ujarnya sambil mencapai pegang tangan kanan Minhyun dan memerhatikan kepala Minhyun yang berbalut dan beberapa tampalan luka di wajah abangnya itu.

“Kenapa? kenapa hyung buat macam tu??”

“Hyung percayakan kamu. Mesti ada sebab kamu buat macam tu kan? Hyung cuma nak pastikan kamu selamat”

Jinyoung menggeleng lagi. “Jangan buat macam tu lagi. Jangan lindungi saya. Jangan terlalu percayakan saya” ujarnya sambil menangis, memeluk tangan Minhyun yang terasa sejuk.

Minhyun mengukirkan senyuman kecil sambil mengusap lembut kepala anak muda itu.

“Jihoon? Dia macam mana?”

“Saya tak jumpa dia. Daniel hyung kata mereka terpisah dan dia kata Jihoon ada di tangan polis”

Minhyun diam seketika. “Dia tiada di tangan polis. Kami tak tangkap Jihoon lagi”

--------------------------------

soooooo... the flashback begin! Harap susunan flashback ni tak begitu memeningkan. Sambungan flashback akan dieruskan dlm bab sterusnya. Kalau pening, harap dpt inform pada saya. 

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!
tenmachan
Cameo star kali ni Im Youngmin dan Jung Sewoon! Hooray for Chamdeep moments. Anyway, harap pembaca boleh terima scene fight antara Guanlin dan Sungwoon, saya fikirkan part bahu tu sbb Guanlin lagi tinggi dri Sungwoon. Haha. oppps

Comments

You must be logged in to comment
vionilatte #1
Chapter 20: Chapter 20: Best bab ni. Satu cerita best sebenarnya, dah byk kali sy ulang baca...hehehe....Fighting, authornim!!! Harap authornim masih up cerita ni. Rindu sgt2 cerita ni...curious jugak apa yg jadi lepas ni....Yep, ....So, fighting!!!(lagi...hehe). I will wait for your update.^_^
TheYellowDandelion
#2
Chapter 19: Fighting for the next chap! ^^
vionilatte #3
Chapter 18: Hmm...rasanya tulisan macam sama je. Authornim salah tekan font yg lagi kecik kot. X pun rasa je macam kecik tapi sama je. Curious pulak pasal jihoon. Haaaa...lepastu, Daniel boleh pulak tidur siap berdengkur lagi,tapi yelah, sebab bukti dah ada senang hati tu. Harap2 oklah lepas ni. Tq sebab update. And good luck next update. Hehe..... fighting!!!
MJ_Black
#4
Chapter 15: Guanlin noooooo! ㅠㅠ
MJ_Black
#5
Chapter 14: Keep it up authornim ?
TheYellowDandelion
#6
Chapter 14: I love this! Thanks for the update
vionilatte #7
Chapter 13: aaaaaaa.....kenapa sedih sangat bab ni....jihoon,nasib baik mimpi, harap tak jadi betul2. Pastu Doohyun pulak..... hmmm lagilah tak sabar nak tunggu. Pandai authornim susun ayat, sampai rasa macam nak nangis je bila baca. 2 thumbs up!!! . Keep it up, i will wait for your update. Fighting!!
TheYellowDandelion
#8
Chapter 9: Saya mengaku ni kali pertama saya baca malay fanfic eventho I've been member here since 2014.. Tapi seriously jalan cerita awak ni sngt menarik and saya rasa tertarik.. Fighting for the next chapter!
vionilatte #9
Chapter 9: Ok....jihoon bawak kereta...tapi serious,cite ni memang best. Tak sabar nak baca sampai habis. Btw, authornim fighting!!!!
TheYellowDandelion
#10
Chapter 8: This is nice.. Really! I'm anticipating the next chapter ^_^