SM-08

SEOULMATE (Light, Love & Baek Gu)

 

 

 

“Kenapa kau ada kat sini?” tanya Syafiq apabila melihat Shahrul sedang berbaring menonton televisyen di ruang tamu rumah ibunya. Dia mengenali Shahrul kerana lelaki itulah satu-satunya sahabat baik Saerah. Dia sudah beberapa kali memberitahu yang dia tidak suka Saerah berkawan dengan Shahrul tetapi Saerah tidak mendengar kata. Kerana itulah dia lebih suka mengajar adiknya menggunakan tangan. Shahrul terus bangkit daripada pembaringannya, menghormati Syafiq yang lebih tua. Shahrul sendiri tidak menyukai Syafiq.

 

“Aku balik dengan Saerah sebab ada kenduri. Rumah aku ada orang sewa so aku tumpang kat sini. Mak kau belum balik kerja lagi,” kata Shahrul arif benar dengan tujuan lelaki itu datang. Lelaki itu pasti ingin meminta wang. Syafiq merengus.

 

“Bukan sepatutnya orang tua tu dah balik ke?” Syafiq melirik ke arah jam dinding. Kalau ikutkan hati, ingin saja Shahrul menghempukkan kepala lelaki itu ke arah dinding. Syafiq selalu saja menyusahkan ibunya. Kerana lelaki itulah Saerah tidak mahu tinggal di rumah itu. Beberapa tahun yang lepas...

 

 


 

Selepas SPM, Shahrul telah membuat keputusan untuk mengikuti kursus tiga bulan dalam bidang kulinari. Dia telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang diploma tetapi ditolaknya kerana dia sudah tekad dengan cita-citanya. Dia mahu membuka sebuah kafe dan bekerja sendiri. Selepas tiga bulan itu, Shahrul mula menjual roti dan kek secara kecil-kecilan. Pelbagai usaha dilakukan dan dalam masa setahun, Shahrul sudah mampu memiliki kafe sendiri di Kuala Lumpur.

 

Berbeza pula dengan Saerah, selepas setahun itu dia masih berada di kampung. Dia tidak mahu sambung belajar kerana kesempitan wang dan yang lebih penting, dia tidak berminat untuk terus belajar walaupun dia adalah pelajar cemerlang sewaktu SPM. Keadaan keluarganya yang kacau-bilau melunturkan semangatnya untuk berimpian dan mengejar cita-cita. Dia hanya mahu menjadi manusia yang biasa-biasa sahaja kerana sehebat mana pun dia, tiada orang yang akan tersenyum dan menepuk tangan bagi meraikan kejayaannya. Tiada orang yang akan peduli betapa bagusnya dia jika hendak dibandingkan dengan anak orang lain yang sebaya dengannya. Tiada.

 

Sehinggalah satu hari di mana Saerah sudah tidak mampu bersabar dengan keadaan keluarganya. Jika keluarganya miskin dan susah, dia tidak kisah kerana bukan kemewahan yang dia inginkan. Walaupun tidak disayangi sekalipun, Saerah hanya ingin dilayan seperti manusia yang mempunyai hati dan perasaan.

 

Dia tidak mahu dipukul tanpa alasan yang kukuh. Dia tidak mahu dicaci-maki walaupun dia tidak bersalah. Dia tidak mahu diperlakukan sebegitu oleh abangya dan hanya dilihat oleh ibunya.

 

“Mana selipar aku, bodoh?” tanya Syafiq apabila seliparnya yang terletak di atas anak tangga terakhir sudah tiada. Saerah ketika itu sedang mencakar daun-daun pokok mangga yang kering di tepi rumah. “Tak tahu.”

 

“Macam mana pulak kau tak tahu? Kan kau yang kemas rumah ni?” Syafiq mula sakit hati.

 

“Aku cakap tak tahu tu tak tahulah,” jawab Saerah sambil meneruskan tugasnya. Abangnya itu memang tidak pernah mahu faham. Syafiq berjalan ke arah Saerah dengan berkaki ayam, masih mencari seliparnya. “Pergilah cari kat belakang rumah.” Kata Saerah lagi.

 

“Aku dah lambat ni. Kau pergi cari selipar aku.” Syafiq merampas pencakar daripada tangan Saerah lalu dibalingnya ke tepi. Saerah sudah penat mahu melayan kerenah Syafiq. Lelaki itu mampu mencari seliparnya sendiri jadi mengapa perlu menyuruh orang lain?

 

“Kau carilah sendiri. Aku banyak kerja ni,” Saerah masih perlu menyediakan makan malam dan menyapu rumah. Syafiq mula sakit hati kerana Saerah tidak mahu mendengar katanya. Hanya ada satu cara untuk membuat Saerah mendengar katanya. Syafiq terus menarik rambut adiknya membuatkan Saerah terdorong ke belakang lalu terjatuh. Kakinya terus dihayunkan ke arah Saerah.

 

“Apa kau cakap? Abang kau mintak tolong pun tak boleh? Apa? Banyak kerja? Kau memang tak boleh harap!” Rambut Saerah ditarik sekali lagi supaya kembali berdiri. Kaki Saerah terasa lemah. Sesakit mana pun tubuhnya ketika itu tidak mampu menandingi rasa benci Saerah terhadap Syafiq. Dia menahan rasa sakit, tidak mahu kelihatan lemah. Jantung Saerah masih berdegup laju akibat rambutnya yang ditarik secara tiba-tiba sebentar tadi.

 

Saerah menyangka kebenciannya terhadap Syafiq adalah perasaan yang paling kuat dan menyakitkan pernah dia alami tetapi dia ternyata salah. Perasaan yang paling menyakitkan adalah apabila ibunya pulang dan berlalu melepasi dia yang sedang dipukul oleh Syafiq. Ibu mereka hanya berlalu masuk ke dalam rumah tanpa berkata apa-apa.

 

Daun-daun kering yang sudah Saerah kumpul tadi kembali berterabur. Syafiq langsung tidak malu jika dilihat memukul Saerah oleh jiran tetangga kerana jika mereka melihat sekalipun tiada apa yang mampu mereka lakukan. Saerah hanya mampu mengalirkan air mata tanpa suara. Jika dipukul ketika masih berumur 10 tahun, dia mampu memahami. Tetapi kini dia sudah besar dan bergelar anak dara. Wajarkah dia terus dipukul oleh abangnya?

 

Pada malam itu, Saerah mengurungkan diri di dalam biliknya. Rasa sakit di seluruh badannya membuatkan dia tidak mampu berhenti menangis. Tiada kesan luka pada tubuhnya tetapi dia yakin luka pada hatinya sudah bernanah. Tiada tempat untuk mengadu. Tiada tempat untuk bergantung harap. Tiada sesiapa yang akan melindunginya. Dia tiada sesiapa. Dia bukanlah anak tiri mahupun adik tiri di dalam keluarga itu tetapi layanan yang dia terima lebih teruk daripada seorang anak pungut.

 

Ketukan di pintu membuat Saerah menyeka air matanya. Dia menyapu mukanya menggunakan tuala lalu perlahan-lahan membuka pintu itu. Wajah ibunya menyapa pandangan. “Luka ke?” tanya ibunya dengan nada suara mendatar. Saerah menggelengkan kepala. Tanpa terus berkata apa-apa, ibunya berlalu pergi dari pintu bilik itu. Saerah menutup pintu lalu kembali menangis. Tiada sesiapapun yang dapat memahami perasaannya ketika itu. Dia tidak mengerti mengapa dia perlu terus tinggal di situ. Tiada sesiapa yang memerlukannya. Tiada.

 

Malam itu dia nekad, dia akan keluar daripada rumah itu dengan bantuan Shahrul. Dia akan memaksa Shahrul membawanya tinggal di Kuala Lumpur. Dia ingin memulakan hidup baru tanpa keluarganya di situ. Dia tidak memerlukan keluarganya.

 

Sebaik sahaja berjaya keluar dari rumah itu, Saerah sudah tidak mahu pulang. Dia menemui kebahagian dengan tinggal sendiri. Dia bebas untuk melakukan apa sahaja yang dia suka dan tiada sesiapa yang akan menilainya. Dia menyara hidupnya melalui kerja sambilan. Wang pendahuluan rumahnya dibayar oleh Shahrul. Saerah langsung tidak merindukan ahli keluarganya. Jika ada yang bertanya tentang keluarganya, dia akan mengatakan ahli keluarganya sudah lama mati.

 

Namun kelemahan Saerah adalah adiknya, Saiful. Disebabkan rayuan adiknya, Saerah akhirnya pulang ketika ketiadaan abangnya. Dia pulang untuk membawa Saiful tinggal bersamanya kerana adiknya itu telah menamatkan zaman persekolahan.

 


 

“Mana orang tua ni?” Syafiq merungut. Shahrul hanya mengabaikan lelaki itu. Yang menganggu fikirannya ketika itu adalah reaksi Saerah jika bertemu dengan abangnya. Sejujurnya Shahrul tidak menyangka lelaki itu akan pulang kerana menurut Saiful, Syafiq jarang sekali pulang ke rumah sejak berkahwin. Kalau pulang pun hanya untuk meminta wang.

 

“Kau tahu tak kenapa orang tua tu tak balik lagi?” tanya Syafiq, tidak mampu bersabar. Shahrul mengangkat bahu, “Sekarang kan hujan. Macam mana dia nak balik? Kau pergilah ambik dia kat tempat kerja tu,” saran Shahrul. Zaitun bekerja disebuah kilang kain di hujung kampung.

 

“Apa kata kau yang pergi ambik dia? Kereta aku tak ada minyak,” dalih Syafiq. Shahrul hanya mampu mengutuk di dalam hati. Kalau tiada minyak bagaimana kereta itu membawanya ke rumah itu? Magik? Namun begitu Shahrul hanya menurut. Kasihan pula jika dibiarkan wanita itu menunggu hujan lebat itu reda. Sesekali dia terfikirkan Saerah dan Baek Gu yang masih belum pulang. Dia berharap dua orang sahabatnya itu akan pulang selepas Syafiq meninggalkan rumah itu. Jika Saerah dan Syafiq bertemu, dia gusar perang dunia ke-4 akan tercetus. Perang dunia ke-3 sudah lama tercetus setiap kali dia berbalah kata dengan Saerah. Dia benar-benar berdoa Saerah akan terus merayau di kampung itu dan bermain hujan bersama Baek Gu. Dia tahu Saerah sukakan hujan.

 

Shahrul mencapai kunci kereta di atas meja kopi lalu berlalu keluar.

 


 

Syafiq menyumpah apabila ibunya tidak pulang-pulang. Dia memerlukan wang kerana isterinya mahu membeli pakaian baru. Isterinya itu seorang yang kuat bergaya. Walaupun sudah berkahwin, Syafiq masih lagi tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Dia berkahwin dengan Julia kerana wanita itu mengandungkan anaknya. Disebabkan belum mempunyai duit yang cukup untuk menyewa rumah, dia tinggal di rumah mertuanya. Jika dia memerlukan duit, yang dia perlu lakukan adalah meminta daripada ibunya.

 

Hatinya sudah panas kerana lama menunggu. Tiba-tiba dia terdengar suara lelaki dan perempuan ketawa di luar rumah. Hujan yang tadinya lebat sudah semakin reda. Syafiq terus melangkah ke arah muka pintu. Dia agak terkejut kerana di depan matanya ketika itu adalah adik perempuannya yang melarikan diri dari rumah beberapa tahun yang lepas. Dia sudah lama tidak berjumpa dengan Saerah sejak itu.

 

“Dah lama kau buat kerja ni?” herdik Syafiq. Syafiq mengagak yang adiknya itu lari mengikut lelaki di belakangnya. Dia memang tidak pernah suka akan adiknya itu. Saerah terasa seperti hatinya disambar sesuatu. Hatinya berdebar. Apabila Saerah membisu, Syafiq terus menarik kasar tangan gadis itu. Dia perlu diajar atas kesalahan lari dari rumah dulu.

 

“Kenapa kau balik, hah? Dah puas menyundal dengan jantan ni?” tangan Saerah dicengkam kuat. Saerah yakin pergelangan tangannya ketika itu sudah merah. Saerah tidak menyangka yang dia akan bertemu dengan abangnya jadi dia mampu berkata-kata.

 

“Kenapa buat dia macam tu? Dia tak buat salah apa pun,” Baek Gu cuba membela Saerah. Dia tidak mahu gadis itu disakiti tanpa sebab. Tugas lelaki adalah melindungi perempuan, bukan  menyakiti mereka. Baek Gu mencapai lengan Saerah lalu cuba menarik Saerah daripada cengkaman Syafiq. Dia tidak mengerti mengapa lelaki itu tiba-tiba marahkan Saerah.

 

“Kau jangan masuk campur! Ini hal keluarga aku! Dia adik aku. Aku bebas nak buat apa,” Syafiq tidak sempat menghabiskan ayatnya kerana Saerah tiba-tiba menolaknya sambil menjerit, “Aku bukan adik kau! Kau bukan abang aku!”

 

Syafiq dan Baek Gu masing-masing tersentak mendengar kelantangan suara Saerah. Wajah gadis itu merah menyala. Syafiq yang malu kerana Saerah menjerit kepadanya di depan Baek Gu terus melayangkan lima jarinya ke arah wajah Saerah. Itu menghasilkan bunyi yang kuat dan diiringi oleh Saerah yang jatuh terjelopok.Pipinya terasa pijar. Hujung bibirnya pecah.

 

Baek Gu tidak sempat berbuat apa-apa kerana semuanya berlaku dalam sekelip mata. Dia meluru ke arah Saerah, membantu Saerah untuk bangun. Usahanya sia-sia kerana Syafiq tiba-tiba menarik rambut Saerah. “Kau dah pandai kurang ajar, kan? Perempuan sial. Sakit hati aku tengok muka kau,”

 

Baek Gu bergelut untuk menarik tangan Syafiq daripada terus menarik rambut Saerah. Saerah kelihatan sangat kecil dan lemah jika hendak dibandingkan dengan Syafiq. Dia nampak air mata yang gugur membasahi pipi gadis itu. Baek Gu jatuh kasihan.

 

“Sudahlah!” Baek Gu menolak Syafiq dengan seluruh kekuatannya. Syafiq terdorong ke belakang, mujur sahaja dia tidak terjatuh. Baek Gu membantu Saerah untuk bangun sekali lagi. Mata Baek Gu membesar apabila melihat luka pada hujung bibir gadis itu. Apabila dia berpaling untuk melihat ke arah Syafiq, yang dia sempat lihat adalah buku lima yang menderu laju ke arah mukanya. Kepalanya terteleng ke tepi, impak daripada tumbukan Syafiq. Kesabaran Baek Gu sudah lama habis. Dia terus menerkam Syafiq dan bermulalah pergelutan antara mereka.

 

Saerah tidak tahu apa yang dia perlu lakukan. Sepanjang hidupnya, tiada sesiapa yang pernah menghalang abangnya daripada terus membelasahnya. Baek Gu adalah manusia pertama. Betapa lelaki itu bersungguh-sungguh dalam mempertahankannya. Dia tidak pernah merasai perasaan itu. Rasa dilindungi. Rasa selamat.

 

Saerah mengucapkan rasa syukur di dalam hati apabila kereta Shahrul memasuki perkarangan rumah. Pergaduhan Baek Gu dan Syafiq sudah melarat sehingga ke dalam rumah. Keadaan ruang tamu bersepah-sepah. Shahrul meluru keluar daripada kereta dan berlari ke arah Saerah. Dia yakin andaiannya benar, pasti perbalahan sudah berlaku apabila dia melihat pipi Saerah yang bengkak.

 

“Syafiq mana?”

 

“Dalam rumah. Dia dengan Baek Gu bergaduh,” Saerah menolak Shahrul supaya masuk untuk membantu Baek Gu. Shahrul segera mendapatkan Syafiq, menghalang lelaki itu daripada terus menumbuk wajah Baek Gu.

 

“Lepaslah!” jerit Syafiq. Dadanya turun naik menahan amarahnya. Namun, dia tidak mampu menandingi kekuatan Shahrul yang masih segar. Baek Gu berdiri, menyentuh bibirnya yang bengkak. Pandangan matanya menjadi lembut apabila Saerah muncul di sebelahnya. Kerisauan sangat terserlah pada wajah gadis itu. Hati Saerah lega kerana Baek Gu tidak cedera teruk.

 

“Kau ingat jantan ni nak sangat ke dekat kau? Dia cuma guna kau untuk puaskan nafsu dia je, bodoh! Dia takkan kahwin dengan kau. Jadi perempuan tu jangan bodoh sangat!” Cemuh Syafiq, sakit hati melihat adiknya mengambil berat tentang Baek Gu. Shahrul dengan sepenuh tenaga memegang Syafiq supaya tidak terlepas. Baek Gu rasa terhina kerana dia tidak pernah menggunakan Saerah untuk memuaskan nafsunya. Tidak pernah. Takkan pernah.

 

“Lepas dia tinggal kau, kau ingat ada ke lelaki yang nak kutip kau? Dia takkan kahwin dengan kau. Dengar cakap aku ni, bodoh!” jerit Syafiq. Jika dia tidak mampu menyakitkan Saerah secara fizikal, dia akan menyakitkan adiknya secara mental. Shahrul yang sememangnya memasang hajat untuk menghantukkan kepala lelaki itu ke dinding terus berbuat sedemikian. Puas hatinya. Syafiq hanya mampu mengaduh kesakitan kerana tangan dan kakinya dipegang kemas oleh Shahrul.

 

Kata-kata Syafiq langsung tidak memberi apa-apa kesan kepada Saerah kerana dia tiada apa-apa hubungan istimewa dengan Baek Gu. Baek Gu juga tidak pernah mengambil kesempatan ke atasnya jadi tuduhan  Syafiq sangat tidak berasas. Lain pula bagi Baek Gu, kata-kata Syafiq membuatkan dia kehilangan kesabarannya untuk kali kedua. Dia meluru ke arah Syafiq lalu dia menarik kolar baju Syafiq. Orang boleh menyatakan dia gila kerana dia benar-benar tidak mampu menahan perasaannya ketika itu.

 

“Kau jangan hina aku! Aku akan kahwin dengan Saerah! Kau dengar apa aku cakap ni, aku akan kahwin dengan Saerah!” Baek Gu menjerit betul-betul di hadapan muka Syafiq. Saerah dan Shahrul masing-masing tersentak. Mereka tidak tahu apa yang Baek Gu sedang lakukan. Mata sepetnya membulat, memberi amaran kepada semua orang supaya tidak mencari pasal dengannya saat itu. Baek Gu cuba mengatur nafasnya sebelum melangkah menjauhi Syafiq.

 

“Aku rasa tak guna kau nak melawan. Kalau kau pukul dia, aku akan pukul kau balik. Kalau kau pukul aku, dia pulak yang akan pukul kau. Baik kau mengalah je,” kata Shahrul kepada Syafiq. Syafiq merengus geram, “Lepaskan aku.”

 

Shahrul terus melonggarkan pegangannya pada Syafiq. Dia yakin Syafiq tahu apa yang terbaik untuknya ketika itu. Syafiq tidak mampu mengalahkan dia dan Baek Gu. Syafiq membetulkan pakaiannya lalu meluru masuk ke dalam bilik ibunya. Saerah hanya memandang. Dia melihat Baek Gu yang sedang bersandar pada dinding, wajahnya masih bengis. Dilihat pula Shahrul yang sedang meramas-ramas rambut sendiri. Saat pandangannya jatuh pada wajah ibunya, dadanya terasa sakit seperti ditikam. Dia yakin sampai mati sekalipun ibunya akan tetap begitu. Membisu dan tidak peduli setiap kali Syafiq membuat perangai. Mungkin agak keterlaluan bagi seorang anak untuk membenci ibunya tetapi itulah yang Saerah rasakan. Dia membenci ibunya.

 

“Shahrul, Baek Gu, jom kita balik. Aku dah tak nak duduk lama-lama kat rumah ni,” putus Saerah lalu masuk ke bilik untuk mengambil barang-barangnya. Dia tidak mahu melihat wajah ibu dan abangnya lagi. Antara dia dan mereka biarlah berakhir di situ. Dia tidak akan menjejakkan kaki lagi ke rumah itu walau apapun yang terjadi.

 

Baek Gu melirik ke arah Zaitun. Wanita itu hanya membatu. Baek Gu mula tertanya-tanya sama ada wanita itu menyayangi anak gadisnya atau tidak. Kelihatannya tidak.

 

-08-

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!
angelily95
akan dihide semua n direpost. lepas selesai edit, chapter baru akan menyusul :)

Comments

You must be logged in to comment
kaywuu
#1
Chapter 15: Okay.. saya baru je habis baca ff ni and I was like, /kenapa aku ni outdated sgt?! T,T/
I'm in love with this story, the characters especially with Shahrul. asdfjgjjfl xP
Sis, betul ke buku Seoulmate ni dah tak diterbitkan? Fb pun dah dekat setahun saya tak bukak. IG pun xde. Huhuhu T,T
anyway, Seoulmate memang best! ^^
DeqAh_KeyBer
#2
baca novel tu and I'm like "I need to stop imagining Baek's reaction for each situation" haha. housemate siap tanye "Baca novel ke komik tu?" sbb dok asyik gelak je baca. hahaha. dapat hari ni hari ni jugak habis
Kaireen #3
Chapter 1: Dah habis baca novel tu !! best *lempang baek gu* saya tunggu novel seterusnyaaa
baekk99
#4
Author nim..sy dh beli n bace novel akak tu..best sgt2..suke sgt jalan cerita dlm novel tu..n novel tu sesuai untuk dibace dgn adik2 .. :)
kuchens
#5
Chapter 18: Seriously sy mmg berminat, excited nk beli SM! tapi.. kalau SM akan djual dkt bookstores, I'll patiently wait ^^
*sy xpndai nk beli online ni T.T*
sweetheart__2
#6
Chapter 17: Author nim saya mahu seoul mate...ade stok lagi x?
ArmyMalaysian12 #7
Chapter 17: Author-nim ade acc FB x ? ,,Saya nk beli buku tu kat FB ..Lebih senang xD ..
exobts_fans
#8
Chapter 18: Ade jual dekat pustaka rakyat tak? Mak saya tak kasi beli online . ingat nak Cari sendiri . Ade tak ?