SM-12

SEOULMATE (Light, Love & Baek Gu)

 

 

Baek Gu merengus geram apabila telefon bimbitnya tiba-tiba mati. Sejak kebelakangan ini, telefon bimbitnya selalu sahaja meragam. Itu menyebabkan kadang-kala dia tidak dapat membaca  SMS dan telefon bimbitnya akan mati apabila ada panggilan masuk.  Itulah akibatnya apabila membawa masuk telefon bimbit ke dalam tandas. Telefon bimbitnya mula meragam sejak terjatuh ke dalam mangkuk tandas. Sudah berkali-kali dia mengingatkan dirinya untuk meminta tolong Saiful untuk membaiki objek itu tetapi dia sering sahaja terlupa.

 

Baek Gu mengheret bagasi berwarna merah jambu ke arah kerusi yang berdekatan. Dia mengambil tempat di situ. Dia memerhatikan sekeliling, menongkat dagu. Lama dia begitu. Sempat dia mengelamun tentang misi pencarian Jess yang masih tidak berjaya.

 

Dia sudah tidak dapat menjejak Jess sejak gadis itu berhenti menggunakan kad kreditnya. Entah di mana gadis itu berada. Baek Gu tidak tahu. Pandangan Baek Gu jatuh pada lantai yang berkilau, masih memikirkan tentang Jess.

 

“Kenapa awak buat saya macam ni?”

 

Satu suara menyapa pendengaran Baek Gu sebaik sahaja matanya melihat sepasang selipar jepun di hadapannya. Mata Baek Gu beralih daripada selipar jepun berwarna hijau itu ke arah lutut..

 

Perut... Baju tidur?

 

Bahu... Macam kenal je.

 

Muka.

 

“Saerah?” spontan Baek Gu berdiri. Jelas yang dia terkejut apabila melihat Saerah di situ. Apa yang lebih mengejutkan adalah keadaan Saerah ketika itu. Muka yang merah, matanya yang berair dan berpakaian tidur. Terus Baek Gu terlupa yang gadis di hadapannya itu adalah seorang model yang sepatutnya menjaga penampilannya. Tidak dapat tidak, Baek Gu tercengang.

 

“Kenapa awak buat saya macam ni?!” Saerah mengulangi soalannya yang masih belum dijawab. Namun kali ini, nadanya lebih tinggi. Ingin sahaja dia menjerut leher Baek Gu supaya lelaki itu segera menjawab soalannya.

 

“Saya buat apa?” Makin tercengang Baek Gu dibuatnya. Seingat Baek Gu, dia tidak melakukan apa-apa kesalahan. Jadi, apa yang dimaksudkan oleh ‘Kenapa awak buat saya macam ni?’ oleh Saerah itu?

 

“Awak tanya awak buat apa?” air mata yang bergenang sejak tadi akhirnya menitis perlahan-lahan. “Kenapa awak nak tinggalkan saya? Kenapa? Sebab Khai? Sebab apa yang terjadi masa perkhemahan tu? Sumpah saya tak ada buat apa-apa dengan Khai! Sumpah!” Saerah makin teresak-esak. Bagasi yang terletak di tepi Baek Gu makin menguatkan tangisan Saerah. Dia tidak mahu lelaki itu pulang kerana tanpa Baek Gu, dia akan terasa seperti kehilangan. Kekosongan.

 

Tangisan Saerah yang meledak secara tiba-tiba membuatkan Baek Gu menggelabah. Spontan dia menarik Saerah ke dalam pelukannya, melindungi gadis itu dengan kedua-dua belah lengannya melingkari bahu gadis itu. Kemudian, dia mengusap rambut Saerah. Ingin menenangkan gadis itu yang masih menangis di dadanya. Nasib baiklah orang di kawasan sekelilingnya tidak ramai. Mereka juga kelihatan terlalu mengantuk untuk memberi perhatian kepada Saerah.

 

Saerah meleraikan pelukan, mendongak memandang Baek Gu. Baek Gu juga memandang wajah Saerah. Sungguh dia tidak mengerti mengapa Saerah muncul secara tiba-tiba dan menangis sebegitu rupa.

 

“Kenapa ni?” tanya Baek Gu. Saerah menarik nafas dalam-dalam, cuba menghentikan esakannya yang masih bersisa.

 

“Baek Gu...jangan balik. Jangan tinggalkan saya kat sini. Saya...” sekali lagi Saerah tidak dapat menahan perasaannya. Untuk kembali ke dalam pelukan Baek Gu, dia terasa malu. Lantas, dia duduk bercangkung lalu menekup mukanya. Dia tidak mahu Baek Gu pergi hanya kerana salah faham mengenai dia dan Khai. Dia tidak mahu hubungan yang terjalin antara dia dan Baek Gu terputus begitu sahaja. Jika Baek Gu pergi, Saerah yakin yang tiada sesiapun yang dapat mengisi ruang istimewa di dalam hatinya yang telah dia sediakan untuk Baek Gu.

 

Sejak mengenali Baek Gu, Saerah sendiri sedar yang dia sudah kurang bergantung pada Shahrul. Dia selesa bersama Baek Gu dan kerana itulah dia berkongsi mengenai hal peribadinya dengan lelaki itu. Baek Gu juga telah melakukan pelbagai perkara yang lelaki lain tidak lakukan untuk dirinya.

 

Baek Gu telah mempertahankan dirinya ketika Syafiq menggila di kampung dulu. Baek Gu telah memberi Saerah satu perasaan yang dia adalah seorang gadis yang perlu dilindungi. Baek Gu telah membuatkan Saerah rasa yang dirinya berharga dan layak mendapat layanan yang sepatutnya. Baek Gu juga telah meyakinkan Saerah yang dia tidak bersendirian di dalam dunia ini, yang dia mempunyai Baek Gu di sisinya.

 

Baek Gu memandang ke bawah, memandang Saerah yang sedang menangis. Jika sebentar tadi Baek Gu tiada idea apa yang sedang berlaku, kini tidak lagi. Segalanya sudah jelas. Dia mungkin berwajah awet muda tetapi mindanya cukup matang untuk mentafsirkan apa yang sedang berlaku.

 

Saerah sanggup bergegas ke lapangan terbang dengan berpakaian tidur. Menangis kerana tidak mahu ditinggalkan. Merayu supaya dia tidak pulang.

 

Baek Gu berjaya membuat satu kesimpulan. Saerah juga menyukai dirinya, sebagaimana dia menyukai Saerah.

 

Ketawa Baek Gu terus meletus.

 

Ya, Baek Gu ketawa. Dia ketawa bukan kerana dia memperlekehkan perbuatan Saerah. Baek Gu ketawa kerana perasaan gembira yang sedang memekar di dalam hatinya tidak mampu diukirkan dengan kata-kata. Hanya bunyi ketawa dan senyuman yang mampu Baek Gu hasilkan kerana sejujurnya, Baek Gu tidak terkata.

 

Dan Baek Gu yakin akan suatu perkara lagi.

 

Khai boleh mula mengibarkan bendera putih, kerana jika hati Saerah mempunyai kunci, kunci itu berada kemas dalam genggamannya.

 

Tidak mahu membiarkan Saerah terus bersedih di situ, Baek Gu turut bercangkung di hadapan Saerah. Baru sahaja Baek Gu ingin mengalihkan tangan Saerah yang menekup wajahnya, bahu Baek Gu dicuit.

 

“Kenapa ni?”

 

Pantas Saerah mendongak apabila mendengar satu suara lembut. Siapa ni?

 

“Oh, Ma. Ma, ini Saerah.” Baek Gu mencapai lengan Saerah dan membantu gadis itu untuk berdiri. Ma?

 

“Saerah, ini mama Jess.”

 

“Hai. Oh, inilah Saerah yang Baek Gu pernah cerita dulu, ya?” Qistina tesenyum mesra. Mungkin kerana tinggal agak lama di Korea, Qistina kelihatan seperti penduduk tempatan di sana. Kini giliran Saerah pula untuk tercengang. Baek Gu yang sedar akan hal itu, tersenyum.

 

“Ma, Ma jalan dulu. Teksi kita ada kat depan sana. Baek Gu ada sesuatu nak cakap dengan Saerah sekejap.” Pinta Baek Gu sopan. Qistina mengangguk, memberi ruang untuk Saerah dan Baek Gu untuk bercakap. Bagasi berwarna merah jambu miliknya diheret bersama.

 

Baek Gu menumpukan perhatiannya pada wajah Saerah. Mata gadis itu sudah merah kerana menangis. Baek Gu tersenyum.

 

“Saya datang sini sebab nak jemput mama Jess. Ma nak balik kampung untuk jumpa keluarga dia dan berbincang tentang Jess. “ Baek Gu mengusap tulang pipi Saerah menggunakan ibu jarinya.

 

“Jadi, awak bukan nak balik Korealah?” tanya Saerah teragak-agak. Baek Gu mengangguk. Baek Gu mengaduh apabila Saerah menumbuk dadanya.

 

“Tipu! Shahrul cakap pas lawatan sosial awak dah nak tamat! Awak tipu!” makin mengganas pula buku lima Saerah mendarat di dada Baek Gu.

 

“Saerah, saya tak tipulah. Saya dah lanjutkan tempoh pas lawatan sosial tu. Aduh, sakitlah. Janganlah pukul-pukul macam ni. Kalau saya kena kanser payudara macam mana?” Baek Gu menyilangkan lengannya pada dada bidangnya, tidak mahu terus didera oleh jari-jemarinya Saerah yang kecil-kecil cili api itu. Saerah ketawa kecil mendengarkan lawak Baek Gu yang entah apa-apa. Hilang sudah kesedihan yang membelenggu dirinya sebentar tadi.

 

“Habis tu kenapa awak tak pernah call atau SMS saya?” soal Saerah kerana perkara itu menganggunya hampir seminggu. Baek Gu pantas mengeluarkan telefon bimbitnya dan menyuakannya ke arah Saerah.

 

“Rosak.” Kata Baek Gu ringkas.

 

“Amboi, ada duit banyak –banyak tak boleh beli baru ke?”

 

“Tak sampai hati nak beli baru. Ini hadiah daripada Jess. Saya ingat nak suruh adik awak baiki tapi saya selalu terlupa. Ah, satu lagi. Saya dah tak salah faham tentang awak dan Khai waktu kat perkhemahan hari tu. Khai dah jelaskan apa yang berlaku.” Baek Gu tersenyum lagi. Dia tidak pernah terniat untuk mengabaikan Saerah.

 

“Awak jumpa Khai?” Saerah tertanya-tanya. Baek Gu terus menggeleng.

 

“Dia SMS saya lepas dia hantar saya balik lepas perkhemahan tu.” Sejujurnya, Baek Gu menghormati tindakan Khai yang menjelaskan tentang salah faham itu. Jika dia berada di tempat Khai, dia tidak yakin dia akan berbuat sedemikian.

 

Rasa malu Saerah makin menebal apabila dia mengetahui keadaan sebenar. Malu. Ingin sahaja dia meminta lantai yang sedang dia pijak untuk menelan dirinya. Dia mahu bersembunyi, lebih-lebih lagi apabila melihat Baek Gu yang tersengih-sengih seperti kerang busuk sejak tadi.

 

“Jomlah balik. Kesian mama Jess kena tunggu lama-lama.” Saerah tidak mahu meneruskan topik yang memalukan dirinya. Baek Gu mengangguk, dia juga merasakan yang dia telah membuatkan Qistina menunggu lama. Saerah berjalan mendahului Baek Gu. Dalam hati, Saerah berharap yang Baek Gu akan terjatuh katil ketika tidur dan lupa apa yang telah berlaku pada malam itu untuk keesokan harinya. Saerah memerhatikan baju tidur yang sedang dipakainya. Aishhh...

 

Baek Gu tersenyum, memerhatikan belakang gadis yang semakin jauh di hadapannya. Dia berlari-lari anak ke arah Saerah, berbisik sesuatu di telinga gadis itu kemudian berlari keluar daripada bangunan itu untuk mendapatkan Qistina.

 

Saerah terlopong, berhenti  melangkah dan giliran dia pula untuk melihat belakang tubuh Baek Gu yang makin menjauh. Rona merah menghiasi pipi Saerah apabila ayat yang dibisikkan oleh Baek Gu itu bagaikan terngiang-ngiang di telinganya.

 

I love you.

 


 

 

“Kau pergi mana?” tanya Baek Gu sebaik sahaja pintu rumah itu dibuka dari luar. Baek Gu mengalihkan perhatiannya daripada skrin telefon bimbitnya yang sudah beberapa hari siap dibaiki ke arah Shahrul. SMS yang diterima dibiarkan sebentar.

 

“Rumah Kak Yah. Aduh, bila nak habis drama ni?” Shahrul mengambil tempat di sebelah Baek Gu lalu mencapai alat kawalan jauh. Dia menukar saluran, memilih untuk menonton anime.

 

“Kenapa sejak dua menjak ni kau selalu pergi rumah Kak Yah?” tanya Baek Gu, ingin tahu. Kebiasaannya Shahrul akan tidur atau berehat selepas pulang kerja namun sejak kebelakangan ini selalu Shahrul bertandang ke rumah Kak Yah.

 

“Aku sebenarnya sibuk berbincang pasal perkahwinan Kak Yah.” Jawab Shahrul, matanya masih tertancap pada skrin televisyen. Spontan kening Baek Gu terangkat. Perkahwinan Kak Yah?

 

“Kak Yah nak kahwin ke? Dengan siapa?” rasa curiga Baek Gu makin bertambah-tambah. Tiada angin tiada ribut tiba-tiba Kak Yah mahu berkahwin pula.

 

“Dengan kau.”

 

“Aku??” Baek Gu terperanjat. “Kau gila?”

 

“Kak Yah tu yang tergilakan kau. Setiap kali aku datang je mesti dia tanya pasal kau. Aku dah rasa macam aku ni kaunter pertanyaan. Memanglah orang cakap kalau malu bertanya ni sesat jalan tapi agak-agaklah. Sekarang kan GPS dah ada.” Shahrul sama sekali tidak akan mengaku yang dia ke rumah Kak Yah untuk bertemu dengan Nita. Nita mempunyai bakat dan kreativiti dalam menghasilkan menu pemanis mulut jadi Shahrul selalu meluangkan masa untuk berkongsi dan bertukar-tukar resepi bersama Nita. Walaupun sebenarnya ada niat lain di sebalik perbuatan Shahrul itu.

 

“Apa kau cakap ni?” Baek Gu bingung. Shahrul hanya mengangkat bahu sebagai balasan. Dia malas untuk berkata apa-apa. Baek Gu mengabaikan Shahrul lalu membalas SMS yang diterima daripada Saerah. Baek Gu tersenyum sendiri.

 

Entah bagaimana, Baek Gu tiba-tiba teringatkan sesuatu yang ingin dia bincangkan dengan Shahrul. Baek Gu mengigit, kembali memerhatikan Shahrul yang sedang leka menonton televisyen.

 

“Hmm, Shahrul...” panggil Baek Gu perlahan. “Aku nak melamar Saerah.”

 

“What?! Kau jangan nak buat gila, Baek Gu.” Mata Shahrul membesar secara dramatik, tidak mampu percaya apa yang baru sahaja menyapa pendengarannya. Baek Gu mahu melamar Saerah?

 

“Kenapa? Betullah. Aku nak melamar Saerah.” Baek Gu tidak mampu mentafsirkan reaksi Shahrul itu.

 

“Kahwin ni bukan benda main-main. Banyak benda yang kau kena fikir betul-betul. Kau kena fikir masak-masak.” Pesan Shahrul.

 

“Maksud kau? Aku sayang Saerah dan Saerah pun sayangkan aku. Apa lagi yang aku kena fikir?” soalan Baek Gu kedengaran seperti dia benar-benar ingin mengetahui mengapa Shahrul berkata sedemikian.

 

“Ada banyak benda lagi yang kau kena fikir. Aku cuma boleh bagitahu satu benda je buat masa sekarang ni. Saerah, dia seorang gadis Islam. Dia cuma boleh berkahwin dengan lelaki Islam. Dan kau...” Shahrul sengaja membiarkan ayatnya tergantung di situ. Shahrul yakin Baek Gu mampu memahaminya.

 

Kata-kata Shahrul itu mengingatkan Baek Gu pada apa yang telah Khai katakan pada sewaktu di pantai.

 

“Sedalam manapun perasaan kau terhadap dia, kau tak mungkin bersama dia. Kau dan dia terlalu berbeza. Mungkin dah tiba masa untuk kau kembali ke tempat asal kau. Dia ditakdirkan untuk aku.”

 

Jadi, itulah yang dimaksudkan oleh Khai dengan ‘Kau dan dia terlalu berbeza’? Perbezaan yang dimaksudkan oleh Khai itu adalah perbezaan agama?

 

“Aku dan Saerah terlalu berbeza? Kau dengar ni, aku akan hapuskan semua perbezaan yang menyebabkan aku dan Saerah tak boleh bersama.”

 

Ucapannya ketika itu pula berlegar-legar di fikiran Baek Gu. Dia telah berkata yang dia akan menghapuskan segala perbezaan yang menghalang dia untuk terus bersama Saerah. Dia memaksudkannya ketika dia berkata sedemikian. Dan untuk menghapuskan perbezaan itu...

 

“Jadi, aku terpaksa memeluk Islam?” soalan itu meluncur daripada bibir Baek Gu. Shahrul tersenyum seraya menggelengkan kepala.

 

“Tak. Tiada seorang manusia pun yang dipaksa untuk memeluk Islam. Kau memeluk Islam bila kau percaya yang dalam dunia ni hanya ada satu Tuhan iaitu Allah dan bila kau mengaku yang Nabi Muhammad tu adalah utusan Allah. Bila dah macam tu, barulah kau adalah seorang Islam. Kau tak boleh paksa diri kau untuk mengakui semua tu.”

 

Baek Gu terdiam. Semua itu terlalu berat untuk dirinya. Adakah itu bermakna dia perlu melupakan Saerah? Tetapi tak mungkin, dia tidak mahu melupakan Saerah.

 

“Kalau aku peluk Islam, aku boleh berkahwin dengan Saerah?” soal Baek Gu perlahan.

 

“Boleh. Tapi kalau kau peluk Islam semata-mata untuk berkahwin dengan Saerah, aku yakin yang rumah tangga kau takkan bahagia. Kau fikir benda ni masak-masak, Baek Gu. Ini bukan benda main-main.” Pesan Shahrul lagi. Dia gembira jika Saerah dan Baek Gu bersatu. Dia tidak buta, dia tahu yang dua orang sahabatnya itu saling menyukai antara satu sama lain.

 

“Aku..entahlah. Kau boleh tolong aku masuk Islam?”

 

“Aku bukannya tak nak tolong kau tapi aku rasa lebih bagus kalau kau merujuk kepada orang yang lebih dalam ilmu agamanya. Yang penting sekarang ni kau fikir betul-betul dulu. Jangan fikir tentang Saerah. Kau kena fikir, kau ikhlas ke nak peluk Islam? Kalau kau nak, aku boleh kenalkan kau pada seorang ustaz.” Ujar Shahrul. Wajah kusut Baek Gu dipandang.

 

“Aku fikir dululah macam mana. Apa kata kau kenalkan aku pada orang yang kau cakap tu. Kalau aku nak tahu pasal Islam, aku boleh je nak belajar walaupun aku tak tukar agama, kan?”

 

Shahrul tersenyum. “Boleh. Esok aku kenalkan kau pada ustaz tu.”

 

Baek Gu mengangguk perlahan. Perlukah dia melakukan semua itu?

 

-12-

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!
angelily95
akan dihide semua n direpost. lepas selesai edit, chapter baru akan menyusul :)

Comments

You must be logged in to comment
kaywuu
#1
Chapter 15: Okay.. saya baru je habis baca ff ni and I was like, /kenapa aku ni outdated sgt?! T,T/
I'm in love with this story, the characters especially with Shahrul. asdfjgjjfl xP
Sis, betul ke buku Seoulmate ni dah tak diterbitkan? Fb pun dah dekat setahun saya tak bukak. IG pun xde. Huhuhu T,T
anyway, Seoulmate memang best! ^^
DeqAh_KeyBer
#2
baca novel tu and I'm like "I need to stop imagining Baek's reaction for each situation" haha. housemate siap tanye "Baca novel ke komik tu?" sbb dok asyik gelak je baca. hahaha. dapat hari ni hari ni jugak habis
Kaireen #3
Chapter 1: Dah habis baca novel tu !! best *lempang baek gu* saya tunggu novel seterusnyaaa
baekk99
#4
Author nim..sy dh beli n bace novel akak tu..best sgt2..suke sgt jalan cerita dlm novel tu..n novel tu sesuai untuk dibace dgn adik2 .. :)
kuchens
#5
Chapter 18: Seriously sy mmg berminat, excited nk beli SM! tapi.. kalau SM akan djual dkt bookstores, I'll patiently wait ^^
*sy xpndai nk beli online ni T.T*
sweetheart__2
#6
Chapter 17: Author nim saya mahu seoul mate...ade stok lagi x?
ArmyMalaysian12 #7
Chapter 17: Author-nim ade acc FB x ? ,,Saya nk beli buku tu kat FB ..Lebih senang xD ..
exobts_fans
#8
Chapter 18: Ade jual dekat pustaka rakyat tak? Mak saya tak kasi beli online . ingat nak Cari sendiri . Ade tak ?