SM-14

SEOULMATE (Light, Love & Baek Gu)

 

Seperti yang dijanjikan, Ustaz Cookie datang mengambil Baek Gu di rumah Shahrul. Baek Gu telah diberi keizinan oleh Shahrul untuk tidak masuk kerja pada hari itu. Menurut Shahrul, ada orang lain yang telah menawarkan bantuan di kafenya. Lagipun, Shahrul sudah biasa mengendalikan kafe itu sendiri jadi ketidakhadiran Baek Gu tidak akan mengundang sebarang masalah.

 

Perjalanan dari rumah Shahrul ke Rumah Bakti yang sepatutnya memakan masa dalam tiga puluh minit telah menjadi sejam. Ustaz Cookie memandu dengan sangat perlahan. Seorang pemuda yang menunggang basikal tua berjaya memintas kereta yang dinaiki oleh mereka. Betapa hebatnya kadar ‘kelembapan’ pemanduan Ustaz Cookie. Baek Gu tidak berani untuk bersuara, bimbang akan ditendang keluar dan terpaksa meminta penunggang basikal tua itu pula menumpangkannya.

 

“Baik, kita dah sampai.” Ujar Ustaz Cookie dengan tenang sebaik sahaja memarkirkan kereta bersebelahan dengan van biskut yang tertulis ‘Cookie Sedap’. Sah! Baek Gu yakin yang van itu merupakan van milik Ustaz Cookie. Tidak tahu pula dia yang Ustaz Cookie merupakan seorang pengusaha perniagaan biskut.

 

“Kita datang ni untuk buat apa sebenarnya? Ustaz nak mempromosikan biskut ke kat sini?” tidak terfikir pula dia untuk bertanya apa yang mereka akan lakukan di situ dengan lebih awal. Ustaz Cookie tersenyum.

 

“Tak adalah. Biskut tu untuk anak-anak yatim kat Rumah Bakti ni. Jomlah turun.” Ustaz Cookie mematikan enjin kereta lalu pintu kereta dibuka. Baek Gu turut menyusul. Persekitaran rumah anak-anak yatim itu kelihatan sangat tenang. Pohon-pohon renek di sekitar kawasan itu menunjukkan yang tempat itu dijaga dengan rapi.

 

“Ustaz Cookie!” laung seorang kanak-kanak lelaki yang berusia dalam lingkungan umur sepuluh tahun. Dia meluru ke arah empunya nama yang dilaungkan lalu memeluk pinggang lelaki itu. Nasib baiklah Ustaz Cookie berjaya mengimbangkan badannya, kalau tidak, kedua-dua mereka dengan bangganya akan tersungkur menyembah bumi. Baek Gu terkelip-kelip memandang kanak-kanak yang muncul bagaikan tahi bintang itu.

 

“Siapa ni Ustaz?” tanya kanak-kanak itu apabila pelukan dileraikan. Matanya memandang dan mengkaji fizikal Baek Gu dengan penuh rasa curiga. Dia rasa dia pernah melihat lelaki seperti ini di dalam salah satu drama yang selalu ditonton oleh Cik Bibah, tukang masak di Rumah Bakti. Matanya dipicingkan, cuba membaca Baek Gu seperti sebuah buku. Malangnya, buku ABC pun masih dibelum mampu dibaca jadi dia membatalkan niatnya. Ustaz Cookie kembali dipandang. “Ustaz Cookie bawak biskut tak?”

 

Ustaz Cookie mengusap kepala anak lelaki itu, “Bawak. Ada dalam van. Apa kata Bakri tolong bawak biskut tu masuk?”

 

“Boleh.” Lelaki kecil itu menayangkan giginya yang rongak di bahagian hadapan.

 


 

Selepas membawa masuk tiga tong biskut, Baek Gu dan Ustaz Cookie masuk ke dalam sebuah ruang di mana anak-anak yatim yang tinggal diri Rumah Bakti sedang menghabiskan masa lapang mereka. Ada antara mereka yang sedang menyikat rambut anak patung Barbie sambil berbual-bual dengan sahabat-sahabat mereka. Baek Gu terus tersengih. Sewaktu kecil dahulu, dia juga suka bermain dengan anak patung Barbie. Anak patung Barbie milik Jess. Jika kanak-kanak itu menyikat rambut objek itu, Baek Gu pula menggunting rambut anak patung itu sehingga botak. Pernah sekali, Jess membalas dendam dengan menggunting jambulnya ketika dia sedang tidur petang di kediaman Qistina.

 

Jess. Baek Gu rindu untuk bertemu gadis yang sudah dianggap seperti adik kandungnya sendiri itu.

 

“Baek Gu?” Ustaz Cookie mencuit lengan Baek Gu yang kelihatan seperti sedang mengelamun itu.

 

“Ya?”

 

“Are you okay?”

 

“Okay!!” sahut anak lelaki yang dipanggil Bakri oleh Ustaz Cookie tadi. Dia ketawa galak dengan mulut yang penuh dengan biskut. Baek Gu tercengang. Dah kenapa budak ni?

 

“Bakri, panggil kawan-kawan Bakri berkumpul kat sini boleh?” Ustaz Cookie mengarahkan Bakri untuk menyuruh kanak-kanak yang lain berkumpul di hadapan dia dan Baek Gu. Bakri mengangguk lalu berlari ke arah kawan-kawannya. Ustaz Cookie melirik ke arah Baek Gu yang masih memerhatikan Bakri.

 

“Bakri memang nakal sikit. Dia suka menyakat orang.” Kata Ustaz Cookie. Baek Gu hanya tersenyum nipis. Sedikit-sebanyak kanak-kanak itu mengingatkannya pada Shahrul. Semoga apabila besar nanti Bakri tidak menjadi gila-gila seperti Shahrul. Cukuplah hanya seorang Shahrul sebegitu di atas muka bumi ini.

 

Kanak-kanak di dalam ruangan itu duduk bersila di hadapan mereka seorang demi seorang. Semua memandang pelik ke arah Baek Gu, mungkin kerana wajahnya tidak sama seperti orang tempatan.

 

“Ustaz, abang ni kawan ustaz ke?” soal seorang kanak-kanak yang berkopiah.

 

“Ini kawan ustaz. Nama dia Baek Gu. Panggil dia abang Baek, okay?” Ustaz Cookie memperkenalkan Baek Gu kepada kanak-kanak itu. Rumah Bakti merupakan rumah anak-anak yatim yang menempatkan anak-anak lelaki sahaja.

 

“Abang Baek, abang pandai bahasa Melayu?” tanya kanak-kanak yang berkopiah tadi. Rasa ingin tahunya membuak-buak.

 

“Pandai. Penjaga abang masa kecik-kecik dulu orang Melayu.” Ujar Baek Gu.

 

“Abang orang apa?”

 

“Abang Baek ni orang Korealah, Syahmi. Sayur..sayur...” Bakri menyampuk. Kanak-kanak berkopiah yang bernama Syahmi itu terus berpaling ke arah Bakri yang sedang duduk di sebelahnya.

 

“Macam mana kau tahu? Kau kenal abang Baek ke?” Syahmi yang sudah sedia ada curiga itu bertambah curiga.

 

“Alah..aku selalu nampak abang Baek dalam drama cik Bibah selalu tengok. Hah, kau nak tahu satu rahsia tak?” Bakri cuba memancing perhatian Syahmi. Baek Gu dan ustaz Cookie hanya memandang gelagat dua sekawan itu. Kanak-kanak yang lain pula sibuk berbual antara satu sama lain, menyebabkan ruang itu riuh-rendah dengan suara mereka.

 

“Orang Korea suka bela burung.” Kata Bakri sambil tersenyum bangga.

 

“Macam mana kau tahu?” Syahmi menjongketkan kening.

 

“Sebab dalam drama selalu je diaorang cakap pasal sarang.”

 

Itu membuatkan Syahmi kembali memandang ke arah Baek Gu, “Betul ke abang Baek?”

 

Baek Gu hanya mampu menggeleng perlahan sambil ketawa kecil. Bakri ni memang perintis Shahrul, tidak syak lagi.

 


 

Beberapa jam kemudian, kanak-kanak di Rumah Bakti sudah selesa dengan kehadiran Baek Gu. Mereka bermain dan berbual-bual bersama. Bakri tidak habis-habis dengan teori yang dibuat berdasarkan drama-drama Korea yang ditonton oleh cik Bibah. Ustaz Cookie pula telah pergi ke bahagian dapur, menolong cik Bibah dan beberapa orang lagi menyediakan makan tengahari.

 

Sedang Baek Gu mengejar kanak-kanak itu, konon-kononnya dia adalah seekor musang yang sedang mengejar anak-anak ayam, kanak-kanak itu berhenti berlari secara tiba-tiba. Baek Gu turut berhenti, memerhatikan kanak-kanak itu dengan rasa ingin tahu. Tak nak main dah ke?

 

“Abang Baek tunggu apa tu? Jomlah.” Bakri menghulurkan tangannya ke arah Baek Gu. Kanak-kanak lain beransur keluar daripada ruangan itu.

 

“Nak pergi mana?” tanya Baek Gu sebaik sahaja dia mencapai tangan kecil milik Bakri. Baek Gu turut melangkah apabila Bakri menariknya keluar daripada ruangan itu.

 

“Kita pergi ambik wuduk. Dah azan. Sembahyang awal waktu ni dapat banyak pahala tau.”

 

“Err..tapi abang...”

 

“Abang Baek malu ya saya pegang tangan abang? Okay, saya tak pegang dah.” Bakri melepaskan tangan Baek Gu lalu terus melangkah. Baek Gu terpinga-pinga. Entah mengapa dia terasa seperti mindanya terus kosong apabila Bakri melepaskan tangannya.

 

“Bakri, tunggu!” Baek Gu mempercepatkan langkahnya lalu kembali memaut tangan Bakri.

 

Apabila sampai di tempat mengambil wuduk, Baek Gu memerhatikan Bakri yang menyinsingkan lengan baju dan hujung seluarnya supaya tidak terkena air. Bakri yang perasan dirinya diperhatikan menoleh ke arah Baek Gu. Baek Gu menelan liur. Dia tidak tahu bagaimana untuk menerangkan keadaannya kepada anak kecil itu.

 

“Bakri, boleh ajar abang tak?” pinta Baek Gu, suaranya kedengaran kekok.

 

“Boleh.” Bakri tersengih lalu meminta Baek Gu untuk menghampirinya yang sedang berdiri berhampiran paip yang terbuka. Bakri mengajar Baek Gu cara berwuduk satu demi satu. Baek Gu tersenyum sepanjang belajar mengambil wuduk. Tersenyum kerana kini dia tahu mengapa ustaz Cookie membawanya ke Rumah Bakti. Ustaz Cookie tahu yang dia tidak akan rasa malu apabila belajar dengan budak kecil, dia tidak akan teragak-agak untuk bertanya. Baek Gu boleh membayangkan betapa kekok dan segan dirinya jika terpaksa belajar semua itu melalui orang dewasa. Bukan tidak boleh, cuma mungkin akan terasa janggal dan tidak selesa memandang dia belum benar-benar tahu tentang Islam dan cara hidup Islam. Pendedahan mengenai cara hidup Islam dengan mendekati kanak-kanak mungkin salah satu cara yang lebih spontan dan ‘natural’.

 

Selesai berwuduk, Bakri membawa Baek Gu ke surau di mana mereka akan bersolat jemaah. Di situ, Baek Gu mula rasa berdebar. Wajah-wajah suci kanak-kanak itu membuatkan dia sedikit tersentuh. Mereka semuanya sudah berkopiah dan wajah mereka lembap dengan wuduk. Baek Gu rasa berdebar-debar dan tenang pada masa yang sama.

 

“Abang Baek jadi imam boleh?” tanya Syahmi.

 

“Imam?” Sesungguhnya Baek Gu tidak tahu apa itu ‘imam’. Mata Baek Gu liar memerhatikan sekeliling, mencari bantuan.

 

“Biar ustaz jadi imam.” Ustaz Cookie muncul, menarik lembut tangan Baek Gu lalu berkata dengan nada perlahan supaya hanya mampu didengari oleh Baek Gu,

“Awak duduk kat belakang  sementara kami solat.”

 

Baek Gu mengangguk. Dia mengambil tempat di satu sudut yang terletak di belakang surau itu. Dia memerhatikan setiap perbuatan dan mendengar dengan teliti setiap lafaz walaupun dia tidak memahami apa-apa. Dia kagum dengan pergerakan serentak para jemaah setiap kali Ustaz Cookie melaungkan ‘Allahuakbar’.

 

Dia terlalu asyik memerhatikan mereka sehinggakan dia tidak sedar yang mereka sudah selesai membaca doa. Bakri muncul di sebelah Baek Gu dengan kain sejadah pada tangan kanannya.

 

“Kenapa tak cakap yang abang Baek uzur?”

 

 


 

“Awak rasa saya annoying ke?” Suara Khai memecahkan kesunyian. Dia dan Saerah masing-masing membisu sejak Saerah memasuki perut keretanya. Saerah tidak rasa seperti mahu keluar dengan Khai namun apakan daya, dia telah berjanji.

 

“Kenapa tanya macam tu?” tanya Saerah, memandang ke luar kereta. Hujan yan sedang turun dengan lebatnya membuatkan Saerah mendambakan katil dan bantal busuknya. Alangkah bahagianya jika dapat tidur ketika hujan lebat.

 

“Awak macam nak tak nak je layan saya. Saya mintak maaf kalau saya dah buat aku naik menyampah dengan perangai saya.” Kata Khai, suaranya dilembutkan. Dia tahu Saerah memang tidak mahu melayannya. Dia dapat merasakan kedinginan di sebalik senyuman manis yang gadis itu pamerkan untuknya.

 

“Tak adalah,” Saerah melirik ke arah Khai, “saya tak menyampah pun tapi saya sangat-sangat hargai kalau awak cuba untuk menghormati ruang dan masa peribadi saya. Saya masih nak berkawan dengan awak but that’s it. Kawan.”

 

Khai sedikit terluka apabila gadis itu jelas sekali melabelkan hubungan mereka hanya sekadar kawan. Dia merapatkan bibirnya, membentuk satu garisan nipis. Dia tidak mahu meneruskan topik itu.

 

“Jom pergi window shopping. Dah lama kita tak keluar window shopping berdua kan?” Khai melirik lampu isyarat yang berubah jingga, membelokkan keretanya masuk ke simpang kanan.

 

“Ha’ah. Dah lama. Kali terakhir kita window shopping awak cuba mengurat pekerja kat kedai jam.”

 

“Hello, saya tak mengurat pekerja tu pun. Awak yang salah faham.” Balas Khai. Pekerja kedai jam itu yang cuba mengurat Khai sebenarnya. Namun, Saerah berfikir yang sebaliknya.

 

“Umm, yeah. Whatever.” Ujar Saerah, tidak berminat. Dia sengaja mengungkit perkara itu tetapi tiada apa-apa niat pun. Hanya sekadar suka-suka mengimbau kenangan silam, fikirnya.

 

Tujuan mereka untuk ‘window shopping’ di kompleks beli-belah itu terbatal apabila Khai menarik Saerah untuk masuk ke dalam sebuah kedai buku. Khai tertarik untuk membeli bahan bacaan berkaitan dengan bisnes. Saerah hanya mampu meniup jambul rambutnya sebagai tanda protes. Saerah yang sememangnya tiada hubungan persaudaraan dengan mana-mana ulat, lebih-lebih lagi ulat buku, hanya memandang ruangan yang dipenuhi bahan bacaan itu tanpa minat.

 

Dia hanya mengekori Khai daripada belakang seperti anak kucing yang sesat. Kalau diikutkan hati, mahu Saerah mencakar Khai yang sengaja berlama-lama di dalam kedai buku itu. Saerah mampu menghembuskan nafas lega apabila Khai akhirnya ke kaunter untuk membuat pembayaran. Saerah menjeling ke arah timbunan buku pada tangan Khai. Jangan harap aku nak tolong bawak!

 

Saerah ingin menunggu diluar sementara Khai membuat pembayaran tetapi perlakuan Khai yang asyik melirik ke arahnya dua kali sesaat itu memaksa Saerah untuk turut beratur di belakang Khai. Khai mengeluh perlahan kerana barisan agak panjang dan masanya akan banyak terbuang disitu. Muka Saerah yang tadinya kelat sudah masam mencuka.

 

Beberapa minit berlalu, akhirnya tinggal seorang lagi pelanggan sebelum Khai boleh membuat bayaran. Malangnya, pelanggan di hadapan Khai tidak sedar yang Khai membawa buku yang banyak. DIa terlanggar Khai, menyebabkan buku-buku yang Khai pegang jatuh ke atas lantai. Saerah mengaduh perlahan apabila Khai yang cuba mengundur ke belakang terpijak kakinya.

 

Khai terus duduk bercangkung untuk mengutip buku-buku yang jatuh, menyebabkan Saerah terus bertentang mata dengan pelanggan yang telah melanggar Khai. Pelanggan tersebut kelihatan terkejut apabila melihat Saerah sebelum ekspresi wajahnya menggambarkan kemarahan selepas melirik ke arah Khai yang masih mengutip buku. Spontan Saerah terasa seram sejuk.

 

“Err..Baek Gu, awak buat apa kat sini?”

 

“Gosok gigi beruang.” Lelaki itu terus melangkah keluar dengan beg plastik berisi buku-buku agama yang sudah dibayarnya. Khai mendongak apabila mendengar suara Baek Gu. Dia ingin memarahi lelaki itu kerana melanggar dan tidak meminta maaf, namun, dia tidak mahu Baek Gu berlama-lama di situ.

 

Saerah tersenyum untuk menutup malu, matanya melekap pada wajah penjaga kaunter yang tiada iras walau wajah cucu beruang sekalipun.  Saerah menggaru lehernya yang tidak gatal. Adoyai, kenapa aku setuju untuk keluar dengan Khai?

 

-14-

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!
angelily95
akan dihide semua n direpost. lepas selesai edit, chapter baru akan menyusul :)

Comments

You must be logged in to comment
kaywuu
#1
Chapter 15: Okay.. saya baru je habis baca ff ni and I was like, /kenapa aku ni outdated sgt?! T,T/
I'm in love with this story, the characters especially with Shahrul. asdfjgjjfl xP
Sis, betul ke buku Seoulmate ni dah tak diterbitkan? Fb pun dah dekat setahun saya tak bukak. IG pun xde. Huhuhu T,T
anyway, Seoulmate memang best! ^^
DeqAh_KeyBer
#2
baca novel tu and I'm like "I need to stop imagining Baek's reaction for each situation" haha. housemate siap tanye "Baca novel ke komik tu?" sbb dok asyik gelak je baca. hahaha. dapat hari ni hari ni jugak habis
Kaireen #3
Chapter 1: Dah habis baca novel tu !! best *lempang baek gu* saya tunggu novel seterusnyaaa
baekk99
#4
Author nim..sy dh beli n bace novel akak tu..best sgt2..suke sgt jalan cerita dlm novel tu..n novel tu sesuai untuk dibace dgn adik2 .. :)
kuchens
#5
Chapter 18: Seriously sy mmg berminat, excited nk beli SM! tapi.. kalau SM akan djual dkt bookstores, I'll patiently wait ^^
*sy xpndai nk beli online ni T.T*
sweetheart__2
#6
Chapter 17: Author nim saya mahu seoul mate...ade stok lagi x?
ArmyMalaysian12 #7
Chapter 17: Author-nim ade acc FB x ? ,,Saya nk beli buku tu kat FB ..Lebih senang xD ..
exobts_fans
#8
Chapter 18: Ade jual dekat pustaka rakyat tak? Mak saya tak kasi beli online . ingat nak Cari sendiri . Ade tak ?