SM-05

SEOULMATE (Light, Love & Baek Gu)

 

 

Bekerja di kafe milik Shahrul adalah pekerjaan pertama yang Baek Gu lakukan sepanjang hayatnya. Setiap kali pelanggan memuji keenakan makanan di situ, Baek Gu terasa seperti hatinya berbunga-bunga dan terapung walaupun bukan dia yang menyediakan makanan-makanan itu. Kegembiraan yang dia rasai apabila melihat orang lain gembira.

 

Baek Gu yang diarahkan untuk memanggil Shahrul sebagai ‘Tuanku’ sangat patuh dengan arahan itu sehinggalah seorang pelanggan bertanya mengapa dia memanggil Shahrul sebegitu. Jika tidak diberitahu oleh pelanggan itu, mungkin selamanya Baek Gu akan memanggil Shahrul dengan panggilan yang dikhaskan untuk raja dan sultan itu. Shahrul memang tidak habis-habis mahu mengenakannya. Bila Baek Gu berpura-pura marah kerana dikenakan oleh Shahrul, Shahrul hanya berkata, “Itulah kau. Bila aku nak cerita pasal zaman kerajaan Melayu Melaka kau tak nak dengar.”

 

Selain menghidangkan makanan dan mencuci pinggan, Baek Gu juga mempunyai tugas khas di kafe itu. Dia akan menawarkan senyuman manis dan kenyitan mata kepada semua perempuan yang mengunjungi kedai itu, sengaja. Wanita yang berumur akan membalas dengan jelingan maut dan menganggap Baek Gu kurang waras kerana cuba mengoda wanita berumur sedangkan wajahnya kelihatan seperti budak-budak. Berbeza pula dengan perempuan yang masih bersekolah. Baek Gu tahu kesilapan paling besarnya adalah apabila dia mengenyitkan mata ke arah seorang pelajar yang memakai uniform sekolah. Pelajar perempuan itu terus menjerit gedik. Itu menyebabkan pelanggan lain tidak selesa.

 

Seronok, Baek Gu seronok bekerja di situ. Ada pelanggan yang memaafkannya ketika dia tidak sengaja menumpahkan secawan kopi di atas meja dan ada juga pelanggan yang hampir membalingkan cawan ke arahnya ketika dia tersalah pesanan. Baek Gu mula merasai nikmatnya bekerja dan dia rasa kenikmatan itu akan berganda apabila dia memperoleh gaji. Dia tidak sabar untuk memegang hasil titik peluhnya sendiri.

 

Baek Gu memasuki universiti persendirian milik kawan ayahnya ketika dia berusia  15 tahun. Kata ayahnya, dia tidak sama seperti kanak-kanak lain kerana ketika dia berumur 13 tahun, dia mampu menyelesaikan soalan matematik untuk ujian kemasukan kolej.

 

Dia berjaya menamatkan pengajiannya ketika berumur 19 tahun tetapi ayahnya tidak membenarkan dia bekerja. Ayahnya mahu dia menunaikan kewajipannya sebagai warganegara Korea terlebih sebelum mula bekerja. Memandangkan ketika dia menamatkan pengajian dia belum berumur 20 tahun, ayahnya membenarkan dia untuk berseronok terlebih dahulu. Akibat hanyut dengan keseronokan, Baek Gu selalu bertangguh untuk menunaikan kewajipan itu.  Sehingga kini.

 

Hari itu terasa seperti pantas berlalu. Baek Gu dan Shahrul akhirnya pulang ke rumah.

 

“Baek, buatkan aku air.” Arah Shahrul kepada Baek Gu yang baru sahaja hendak duduk di atas sofa berhadapan dengannya. Baek Gu membuat muka sebelum berlalu ke dapur. Shahrul tersenyum memang lalu berbaring di atas sofa yang boleh memuatkan tiga orang di atasnya. Dia mengeluh perlahan apabila badannya terasa lenguh. Dia memejamkan mata, ingin merehatkan mindanya.

 

“Hahaha. Betullah, Nab. Aku upah bibik Indonesia! Laki aku memang sayang kat aku. Hahaha,”

 

Nampaknya, dia tidak mampu merehatkan mindanya dengan aman. Nada suara jirannya sangat menyeksa zahir dan batin. Jirannya yang meminta supaya dirinya dipanggil Kak Messi, kerana dia sangat menyukai pemain bola sepak itu, seorang yang suka menunjuk-nunjuk. Setiap kali dia membeli perabot baru, pinggan-mangkuk baru, emas baru dan walaupun hanya sekadar mentol baru sekalipun, dia pasti akan mengumumkannya kepada jiran-jiran. Shahrul nyaris-nyaris ingin menghadiahkan Kak Messi mikrofon dan pembesar suara, manalah tahu ada jiran yang tidak mampu mendengar suaranya yang selalu bergema di kawasan perumahan itu.

 

“Kau tahu, bibik tu kalau aku suruh sapu ruang tamu, dia sapu. Aku suruh sapu dapur, dia sapu. Memang mendengar kata! Hahaha,” kata Kak Messi, seolah-seolah orang lain terlalu lembap untuk mengetahui fungsi seorang pembantu rumah. Shahrul merengus, “Aku harap dia sapu laki kau sekali, Kak Messi. Kau memang suka me’messy’kan hidup orang lain.”

 

Shahrul yang menginginkan waktu rehat yang aman terpaksa mengambil tindakan. Dia bangkit daripada pembaringan lalu keluar dari rumahnya, menghampiri jiran-jirannya yang sedang melepak di pangkin yang terletak di bawak pokok mangga, yang jaraknya hanya beberapa langkah. Angin sepoi-sepoi bahasa menampar-nampar wajah Shahrul yang kelihatan seperti ingin menampar orang itu. Kelihatan Kak Messi, bersama beberapa rakan sekutunya: Kak Nab, Kak Melah dan Kak Yah. Antara mereka, Kak Yahlah yang paling pendiam. Mungkin kerana dia seorang balu.

 

“Buat apa ni, akak-akak semua?” tanya Shahrul, senyumannya ketika itu tak ubah seperti senyuman seorang pesakit yang mempunyai masalah mental. Senyuman itu kelihatan menakutkan. Namun begitu, mereka tidak perasan akan senyuman Shahrul, mungkin kerana gelang emas Kak Messi yang hampir ke siku itu menyilaukan pandangan mereka.

 

“Hah, Shahrul. Tak buat apa-apa pun. Kami berborak kosong je. Kenapa muka kau tu? Macam ada masalah je,” Kak Messi membetulkan rambutnya dan Shahrul tahu kenapa, kerana dia ingin menunjukkan rantai baru yang dipakainya. Shahrul belum pernah melihat rantai itu sebelum ini.

 

“Memang saya ada masalah, Kak Messi. Macam ni, saya nak tidur lepas tu ada seorang manusia ni, manusia. Saya tekankan di sini, MANUSIA. Dia selalu buat bising sampai saya tak boleh nak tidur. Apa saya patut buat dengan dia, Kak Messi?” tanya Shahrul, mengharap Kak Messi dapat menggali maksud di sebalik ayat-ayatnya.

 

“Buat bising? Siapa? Tinggal kat kawasan perumahan ni ke? Bagitahu Kak Messi. Biar Kak Messi tolong lempang budak tu. Dia ingat dia seorang je ke tinggal kat sini?” marah Kak Messi, nampak sekali yang dia tidak berjaya untuk memahami ayat Shahrul. Shahrul ingin ketawa tetapi dia mengawal diri.

 

“Ya, Kak Messi. Saya harap sangat Kak Messi boleh lempang dia. Saya, kalau boleh, nak cekik-cekik dia. Kalau Kak Messi nak tahu siapa budak tu, Kak Messi tanyalah kawan-kawan akak ni.” Shahrul melirik ke arah Kak Nab, Kak Melah dan Kak Yah yang berpura-pura memandang ke arah lain. Mereka tahu yang Shahrul sedang menyindir Kak Messi betul-betul di hadapan muka perempuan itu. Siapa lagi yang suka memekak di kawasan itu? Hanya Kak Messi seorang.

 

“Yah, macam mana dengan budak tu?” Kak Melah cuba menukar topik perbualan. Mereka bertiga agak takut jika Kak Messi marah atau terasa hati kerana jika terjadi, Kak Messi akan melaporkan perkara itu kepada penghulu walaupun untuk kes-kes kecil seperti selipar jepunnya hilang sebelah.

 

“A’ah, macam mana dengan budak tu?” tanya Kak Messi pula.

 

“Macam tu la. Dia tak banyak bercakap. Dalam dua tiga hari ni nampaklah dia sihat sikit. Sepatah aku tanya, sepatahlah dia jawab. Aku rasa dia lari daripada rumah la. Entahlah, aku sendiri tak pasti,” dahi Kak Yah berkerut. Gadis yang dia temui pengsan di bandar beberapa minggu yang lepas dibawa pulang ke rumah kerana menurut gadis itu dia tiada keluarga di Malaysia. Atas rasa tanggungjawab, Kak Yah akan menjaga gadis itu sehingga dia betul-betul sembuh. Shahrul yang merasakan dia tiada apa-apa fungsi di situ berpusing untuk kembali masuk ke dalam rumahnya.

 

“Eh Shahrul, kau nak pergi mana? Duduklah sini dulu. Akak nak cerita pasal bibik Indon akak. Kau belum tahu lagi, kan?” Kak Messi sangat bersemangat untuk bercerita tentang pembantu rumahnya walaupun sudah berpuluh kali dia mengulangi ceritanya itu. Shahrul tidak tahu apa faedah Kak Messi mengupah pembantu rumah sedangkan rumah-rumah di situ hanya rumah kos rendah. Kak Messi sepatutnya menjual emas-emasnya kemudian membeli sebuah banglo, barulah sesuai untuk dia mengupah orang gaji.

 

“Yah! Shahrul!” jerit Baek Gu dari muka pintu rumah. Sudah lama dia menyediakan air untuk lelaki itu tetapi Shahrul tidak muncul-muncul. Kak Yah terkejut apabila namanya dipanggil, lebih-lebih lagi kerana namanya dipanggil oleh seorang lelaki kacak yang putih melepak dan tinggi. Jiwa kewanitaan Kak Yah bergetar. Almaklumlah, dia sudah lama menyendiri sejak kematian suaminya.

 

“Yah, macam mana dia tahu nama kau?” Kak Nab cemburu kerana nama Kak Yah disebut oleh seorang lelaki yang begitu kacak.

 

“Siapa tu, Shahrul?” tanya Kak Messi, kecurigaan jelas terpancar pada wajahnya. Shahrul mula mendapat idea nakal, “Buatkan aku air baru. Aku nak fresh orange!” laung Shahrul. Baek Gu tercengang dengan permintaan Shahrul itu namun menurutkan sahaja. Dia pantas kembali ke dapur.

 

Shahrul tersenyum bangga lalu kembali memandang ke arah wanita-wanita di hadapannya, “Itu bibik saya. Made In Korea,” Shahrul membetulkan kolar t-shirtnya dengan penuh bangga. “Dia tu selalu ikut cakap saya. Saya suruh dia cuci jamban, dia cuci. Saya suruh dia buat air, dia buat. Memang mendengar katalah! Hahahahaha,” Shahrul menggunakan jenis ayat yang Kak Messi telah gunakan ketika menunjuk-nunjuk tentang pembantu rumahnya.

 

“Bibik? Perlu ke kau upah bibik? Rumah kau kecik je, Shahrul. Membazir je kau upah-upah bibik ni,” Kak Messi cuba menegur Shahrul. Begitulah manusia. Jika orang lain yang lakukan, ada saja salah dan silapnya. Jika diri sendiri yang lakukan, kebaikan saja yang dia nampak. Kak Nab dan Kak Yah yang hanya berminat untuk tahu tentang Baek Gu, tersenyum. Kak Nab tersenyum kerana Baek Gu hanyalah seorang pembantu rumah manakala Kak Yah tersenyum kerana dia tidak kisah walaupun Baek Gu hanya seorang pembantu rumah. Dia suka.


 


 

Saerah dan Baek Gu bukanlah pasangan kekasih mahupun sahabat baik, namun, mereka selalu meluangkan masa bersama-sama. Sudah menjadi satu kemestian bagi Baek Gu untuk menemani Saerah dan sudah menjadi satu kebiasaan bagi Saerah untuk mendengar lawak jenaka lelaki itu. Mereka sudah selesa antara satu sama lain. Malam itu, Baek Gu ingin berkongsi kegembiraannya bekerja buat pertama kalinya dengan Saerah.

 

“Kenapa?” tanya Saerah apabila Baek Gu tersengih-sengih dengan kedua-dua belah tangan disorokkan dibelakang. Baek Gu menggelengkan kepalanya, “Tak ada apa-apa.”

 

“Seriously, Baek Gu. Kalau awak nak buat suprise, lupakan. Saya tak suka kejutan,” Saerah mengecilkan matanya, memberi amaran. Baek Gu mencebik, dia telah menyediakan sesuatu untuk Saerah. Saerah terasa seperti ingin mengusap kepala Baek Gu, kerana cebikan itu membuatkan Baek Gu kelihatan seperti seekor hamster comel yang memerlukan kasih sayang daripada tuannya.

 

“Suprise sikit je. Kali ni je, boleh?” pinta Baek Gu, mengemaskan pegangannya pada sesuatu yang disorokkan di belakangnya. Saerah menggelengkan kepalanya. Kali terakhir lelaki membuat kejutan untuknya adalah ketika dia di bangku sekolah menengah. Dia dikejutkan dengan seekor lipas yang diletakkan dalam beg sekolahnya, boleh dikatakan dia hampir diserang serangan jantung ketika itu.

 

“Please please please please,” rengek Baek Gu, bahunya digoyang-goyangkan. Dia mengambil masa yang lama untuk menyediakan hadiah itu untuk Saerah. Saerah melihat ke arah sekeliling, malu apabila Baek Gu berkelakuan sebegitu di taman berhampiran rumah sewanya itu.

 

“Baek Gu, apa perangai macam budak-budak ni? Malulah orang tengok,” tegur Saerah. Baek Gu masih mengekalkan ekspresi seekor hamster comel yang dahagakan kasih sayang, ingin hati Saerah cair melihatnya. Bukan setakat cair, telinga Saerah sudah mahu berdarah mendengar suara comel lelaki yang tidak sedar dirinya sudah berusia 24 tahun itu. Menyampah tapi suka. Perasaan Saerah selalu rumit.

 

“Jajang! Suprise!” tanpa menunggu lebih lama, Baek Gu terus menghulurkan sesuatu yang kelihatan seperti jambangan bunga.

 

“Emm, terkejutnya.” Ayat itu meluncur keluar daripada mulut Saerah seolah-olah itu adalah perkara paling membosankan yang pernah wujud di atas muka bumi. Muncung Baek Gu makin mendepa, berpura-pura merajuk kerana Saerah seperti tidak menyukai hadiah yang telah dia sediakan.

 

“For your information, Mister Korea, Saerah dislikes flowers.” Kata Saerah seolah-olah itu adalah adalah fakta yang sepatutnya sudah diketahui oleh semua orang.

 

“And for your information, Miss Malaysia, ini bukan bunga,” Baek Gu menyuakan jambangan itu supaya Saerah boleh lihat dengan lebih jelas. Ia kelihatan seperti sesuatu yang disalut dengan coklat dan mempunyai batang, kelihatan seperti batang lidi yang digunakan untuk mencucuk sate. “Ini strawberi. Saya buat magic and jadikan dia nampak macam bunga.”

 

“Strawberi?”

 

“Yes, sebab awak suka strawberi.” Jambangan itu berpindah tangan. Saerah memerhatikan strawberi bersalut coklat itu dengan kagum. Ada rasa gembira yang menjentik hatinya kerana Baek Gu mengingati apa yang dia suka.

 

“Kenapa awak bagi saya strawberi ni? Awak cakap awak tak ada duit?”

 

“Saya baru mula bekerja hari ni. Saya gembira sangat boleh bekerja jadi saya buat keputusan kongsi kegembiraan saya dengan buat awak gembira. Awak suka tak?” Baek Gu mengharapkan jawapan yang positif daripada Saerah. Saerah ingin tersenyum kerana jelas sekali Baek Gu mengharapkan dia mengatakan dia menyukai hadiah itu, sangat jelas kerana Baek Gu sedang menautkan jari-jemari sendiri lalu diletakkan di tepi dagu. Saerah yakin Baek Gu sendiri tidak tahu yang dia mempunyai tabiat untuk berbuat begitu setiap kali dia rasa teruja dan berharap. Lelaki itu selalu membuat sesuatu yang kelihatan comel tanpa sedar.

 

“Bolehlah...” komen Saerah, tidak mahu hati Baek Gu kembang jika dia memuji. Baek Gu tersengih kerana sekurang-kurangnya Saerah tidak memberi jawapan yang negatif. Kerana kegembiraan yang membuih-buih di dalam hatinya, Baek Gu terus mencium pipi Saerah lalu berlari meninggalkan Saerah di taman itu. Dia tidak mahu bahunya didera. Saerah yang terkejut terus menyentuh pipinya menggunakan tangan kanan. Jantungnya berdetak laju dan mukanya terasa panas.

 

 “Kenapa dia ni?” tangan kanannya diletakkan di atas dada pula, merasai degupan jantungnya yang semakin laju. Tangan kirinya memegang hadiah itu dengan kemas. Selepas Baek Gu hilang daripada medan penglihatannya, Saerah melangkah masuk ke dalam rumahnya.

 

“Kenapa, kak? Muka kau merah padam, oh,” Saiful akhirnya tahu punca wajah kakaknya menjadi merah sebegitu apabila melihat hadiah yang dipegang oleh Saerah. Kakaknya itu tidak menjawab apa-apa, terus berlalu melepasi ruang tamu lalu masuk ke dalam bilik. Saiful seratus peratus yakin yang berjalan di hadapannya itu hanya jasad kakaknya, jiwa gadis itu pasti sudah melayang entah ke mana. Dan Saiful sedikit hairan kerana Saerah tidak pernah berpelakuan sebegitu semasa masih bersama Khai. Dia menyesal pula kerana tidak mengintai siapa yang datang bertemu dengan kakanya tadi.

 

Saerah bersandar di belakang pintu. Bibir nipisnya mengukirkan senyuman sambil memerhatikan jambangan strawberi yang diberikan oleh Baek Gu. Perasaan yang menyerang jiwanya ketika itu terasa sangat asing. Kepalanya terasa ringan, seolah-olah dia sedang mabuk dengan sesuatu. Tanpa mengalihkan pandangannya daripada hadiah itu, dia bergerak ke arah katil lalu berbaring. Matanya tidak lepas daripada hadiah itu, seolah-olah sedang terbayangkan wajah pemberi hadiah berkenaan.  Saerah kemudian tersedar yang ada sekeping kertas kecil diselitkan di celah jambangan itu.

 

나랑 사귈래?

 

“Apalah Baek Gu ni. Ada ke patut guna tulisan sanskrit. Manalah aku faham,” setiap perkataan terluah dengan senyuman yang tidak lekang daripada bibirnya.

 

Malam itu Saerah sedar, dia mempunyai perasaan istimewa untuk Baek Gu. Cinta, sayang atau sekadar suka, itu dia belum pasti.

 


 

Shahrul sedang  mengira kos perbelanjaan bulan itu ketika seorang tetamu VIP datang ke ke kafenya. Tetamu VIP ataupun lebih dikenali sebagai Saerah. Satu-satunya tetamu yang kerap makan percuma di situ dengan menggunakan persahabatannya dengan pemilik kafe itu sebagai kupon. Shahrul memerhatikan gadis yang semakin mendekatinya, ada aura aneh disekeliling Saerah. Saerah kelihatan seperti baru sahaja menang loteri tetapi Shahrul yakin Saerah tidak melakukan kerja-kerja sebegitu.

 

“Hai, kawan baik. Lama tak jumpa kau,” Saerah mengambil tempat di hadapan Shahrul. Shahrul mengerutkan dahinya, memerhatikan Saerah dengan penuh curiga.

 

“Saerah, kau ada pergi melancong ke mana-mana gua ke?” tanya Shahrul, seperti seorang anggota polis. Reaksi wajah Shahrul ketika itu lebih dramatik daripada seorang polis jadi Saerah curiga mengapa Shahrul tidak pernah ditawarkan untuk berlakon mana-mana siri Gerak Khas. Saerah menggeleng kepalanya untuk menjawab soalan itu.

 

“Are you sure? Muka kau macam baru lepas jumpa harta karun,” komen Shahrul. Saerah agak tersipu malu apabila Shahrul mampu membaca hatinya ketika itu.

 

“Harta karun bukan ada dalam gualah. Harta karun ada dekat dasar laut,” ujar Saerah, seperti topik itu memang sesuai untuk dibincangkan oleh dua orang makhluk yang sudah berusia 21 tahun.

 

“Eh, suka hati akulah nak cakap harta karun ada kat mana sekalipun,” Shahrul sememangnya takkan kalah. Saerah terasa seperti ingin mencucuk mata Shahrul menggunakan pen biru pada tangan lelaki itu.

 

“Kalau harta karun ada dalam gua, kenapa lanun naik kapal layar?”

 

“Sebab dia kena lalu laut untuk sampai ke gua tu,” balas Shahrul, berlagak seperti dia pernah bertugas sebagai lanun.

 

“Shahrul, nak aiskrim,” pinta Saerah, penuh mengharap. Shahrul menunjukkan ke arah peti lalu meneruskan kerja kira-kiranya. Shahrul terpaksa mengeluarkan lebih wang untuk perbelanjaan bulan itu kerana rakan serumahnya a.k.a kulinya a.k.a kawan paling dungu dia pernah ada telah menggunakan buah strawberi dan coklat yang dia simpan di dalam peti sejuk di rumah untuk tujuan yang Shahrul sendiri tidak pasti. Dia menyesal pula kerana telah memberitahu Baek Gu yang semua makanan di rumah adalah percuma, kerana lelaki Korea itu seperti menganggap Shahrul hanya membeli barang-barang itu menggunakan daun  yang dikutip di tepi jalan jadi ianya boleh dibazirkan.

 

Saerah kembali dengan semangkuk ais krim vanila, “Kenapa tak ada aiskrim strawberi?”

 

“Pekerja aku, dia ada masalah sikit dalam berbahasa Melayu jadi dia tak reti bahasa. Aku cakap lain, lain yang dia faham. Dah dua hari tak ada aiskrim tu.” Shahrul masih tekun memandang buku 555 itu. Walaupun zaman sudah berubah, buku 555 tetap menjadi pilihan Shahrul. Kerana sewaktu dia kecil, hanya tauke-tauke kedai sahaja yang menggunakan buku itu, jadi, untuk merasakan dirinya seorang tauke, buku 555 itu adalah item wajib.

 

“Oh, kau dah ada pekerja ke? Finally. Mana dia?” Saerah memerhatikan ruang kafe itu namun tiada sesiapa.

 

“Aku suruh dia keluar, pergi beli strawberi. Kenapa kau datang sini?” tanya Shahrul, mengalihkan pandangan ke arah Saerah.

 

“Aku nak tanya kau sesuatu,” Saerah menelan aiskrim yang berada di dalam mulutnya. “Macam ni, aku ada terjumpa seorang lelaki ni. Aku rasa sesuatu yang aku tak pernah rasa dengan orang lain.” Saerah menantikan respons daripada Shahrul.

 

“Rasa macam mana? Rasa terawang-awang di langit? Kau rasa macam nak sengih sorang-sorang bila kau teringatkan dia? Sebelum tidur kau teringatkan dia dan bila dah bangun pun kau teringatkan dia? Macam tu?” Shahrul terus ketawa apabila Saerah mengangguk, muka gadis itu merah seperti tomato.

 

“Kenapa kisah hidup kau sangat cliche? Kau tengah angau ni,” Shahrul agak bangga kerana Saerah tidak terus bersedih dengan kegagalan hubungannya dengan Khai. Ketika dengan Khai, tidak pernah pula Saerah datang dan bercerita tentang perasaan seperti sekarang.

 

“Angau?” Pipi Saerah semakin memerah. “Entahlah, Shahrul. Dia cuma buat benda-benda simple je,” Saerah tidak ingin menyebut apa-apa tentang Baek Gu mencium pipinya jadi dia ingin bercerita tentang hadiah itu sahaja. “Dia berikan aku hadiah tapi tu pun dah buat aku suka gila.”

 

“Dia bagi kau apa? Rumah? Kereta? Emas? Kalau emas, aku nak pinjam. Aku nak menunjuk kat jiran aku yang perasan bagus tu. Oh, tak boleh. Lelaki haram pakai emas,” Shahrul alpa sebentar akibat perasaan tidak puas hatinya dengan Kak Messi yang belum padam. Saerah mengeluarkan telefon bimbitnya, ingin menunjukkan gambar hadiah yang Baek Gu berikan padanya. Ada rasa aneh yang menyelubungi Shahrul apabila dia melihat gambar itu.

 

“Macam strawberi,” Shahrul yang sememangnya familiar dengan benda-benda sebegitu dapat meneka dengan sekali pandang sahaja.

 

“Memang strawberi pun,” Saerah mengiyakan. Shahrul menjadi curiga, “Pembalut plastik ni macam pernah nampak? Macam pembalut plastik kat rumah aku.”

 

“Ya, Shahrul. Memang dalam Malaysia ni rumah kau sorang je yang ada pembalut plastik. Orang lain balut guna daun pisang,” Saerah mengangkat bahu, sengaja mengenakan sahabatnya itu. Namun, Shahrul sangat serius ketika itu, mungkin perkataan serius sudah tidak sesuai untuk digunakan kerana Shahrul terlalu, amat dan sangat serius.

 

“Siapa yang bagi kau hadiah tu?” tanya Shahrul, masih dengan riak wajah seriusnya. Saerah membuka mulut untuk menyebutkan nama lelaki yang memberikan hadiah kepadanya dan pada masa yang sama, nama lelaki yang berjaya mengusik hatinya. Satu nama, nama yang bermain di mindanya setiap kali dia ingin tidur. Belum sempat Saerah bersuara, kedengaran laungan seseorang daripada pintu kafe, “Shahrul! Tolong! Berat ni!”. Suara itu kedengaran seperti lelaki itu sedang menderita penyakit sembelit, mungkin disebabkan oleh  beban yang sedang dia pikul.

 

Baek Gu terasa seperti setiap tulang di dalam sistem rangkanya akan patah. Kerana marah, Shahrul telah mengarahkan dia untuk membeli 30 kg strawberi sendiri. Baek Gu menyesal kerana telah menggunakan strawberi di dapur rumah tanpa meminta izin Shahrul. Mengangkut 30 kg strawberi itu adalah penderaan fizikal paling dashyat yang pernah Baek Gu alami.

 

Shahrul terus bangkit dan menghampiri Baek Gu yang kedengaran hampir nazak itu. Dia jatuh kasihan pula. Sebaik sahaja dia membuka pintu, dia terus mengambil guni berisi buah itu ke dapur dengan mudah. Baek Gu yang tiba-tiba terasa ringan terus terbaring di atas lantai kafe itu, letih dan lenguh. Dia tidak sedar yang ada seorang gadis yang terlopong melihatnya. Terlopong kerana Baek Gu kelihatan sangat seksi ketika berpeluh dan terlopong kerana dialah pekerja yang Shahrul katakan sebagai ‘tak reti bahasa’ itu. Saerah juga terlopong kerana rupa-rupanya kafe Shahrullah tempat Baek Gu bekerja.

 

Bila diingatkan semula, Baek Gu selalu menyebut tentang kek keju dan mengatakan kek keju itu sangat sedap. Adakah Baek Gu menumpang di rumah Shahrul? Dan strawberi...pembalut plastik..

 

Saerah tidak terkata. Rupa-rupanya dunia tidaklah sebesar mana, apatah lagi Malaysia.

 

 


 

Shahrul memandang ke arah Saerah dan Baek Gu yang sedang duduk bertentangan dengannya seperti seorang penyiasat.

 

Baek Gu masih dengan reaksi gembira dan aktif seperti terlebih gula dalam darah apabila melihat Saerah di situ. Saerah mula dengan reaksi bersalahnya kerana dia sudah dapat mengagak apa yang sudah terjadi. Hadiah yang dia telah terima berasal daripada dapur rumah Shahrul.

 

“So Baek Gu, dia ni ke perempuan yang kau cerita kau jumpa dekat club tu?” tanya Shahrul. Baek Gu mengangguk sambil tersenyum, gembira kerana dia dapat memperkenalkan Saerah kepada Shahrul. Shahrul memandang ke arah Saerah pula, “Saerah, aku pernah pesan kat kau jangan pergi club, kan?”

 

Saerah menggigit bibirnya. Ya, Shahrul telah banyak kali berpesan padanya. Manusia boleh berpesan, tetapi yang membuat keputusan itu adalah individu itu sendiri. Kita boleh membawa kuda ke tepi sungai tetapi kita tidak boleh memaksa kuda tersebut untuk minum. Begitu juga dengan manusia. Seseorang sudah terlepas daripada tanggungjawab apabila mereka berusaha untuk menasihati. Selebihnya, bergantung kepada diri sendiri.

 

“Aku bukan marah kau pergi kelab, kalau kau pergi sekalipun, tak menjejaskan hidup aku langsung. Yang aku marah, kau tahu apa Baek Gu cakap? Dia cakap kau dah tidur dengan dia! Kau tahu berzina tu dosa besar,” tiada lagi Shahrul yang mesra dan berfikiran terbuka. Di depan mereka adalah seorang sahabat yang menyayangi dan mengambil berat tentang sahabatnya, lebih-lebih lagi kerana sahabatnya itu adalah perempuan yang sepatutnya dia lindungi. Dia tidak mahu Saerah terlibat dengan perkara-perkara terkutuk itu.

 

“Sekarang kau bagitau aku, Saerah. Betul ke tak kau tidur dengan Baek Gu?”

 

“Betullah,” itu sahaja yang terkeluar daripada bibir Baek Gu sebelum sesuatu menghentam pipinya. Tapak tangan Saerah, mendarat dengan kuat pada pipi Baek Gu. Mata Baek Gu terus terpejam, berharap kesakitan akan berkurangan apabila dia berbuat demikian. Dia tidak faham mengapa dia disakiti oleh Saerah.

 

“So, betullah?” tanya Shahrul, meneka melalui reaksi Saerah. Saerah menarik nafas sedalam-dalamnya, menjeling Baek Gu yang sedang menggosok pipinya yang  merah menyala akibat penangan Saerah sebentar tadi. 

 

-05-

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!
angelily95
akan dihide semua n direpost. lepas selesai edit, chapter baru akan menyusul :)

Comments

You must be logged in to comment
kaywuu
#1
Chapter 15: Okay.. saya baru je habis baca ff ni and I was like, /kenapa aku ni outdated sgt?! T,T/
I'm in love with this story, the characters especially with Shahrul. asdfjgjjfl xP
Sis, betul ke buku Seoulmate ni dah tak diterbitkan? Fb pun dah dekat setahun saya tak bukak. IG pun xde. Huhuhu T,T
anyway, Seoulmate memang best! ^^
DeqAh_KeyBer
#2
baca novel tu and I'm like "I need to stop imagining Baek's reaction for each situation" haha. housemate siap tanye "Baca novel ke komik tu?" sbb dok asyik gelak je baca. hahaha. dapat hari ni hari ni jugak habis
Kaireen #3
Chapter 1: Dah habis baca novel tu !! best *lempang baek gu* saya tunggu novel seterusnyaaa
baekk99
#4
Author nim..sy dh beli n bace novel akak tu..best sgt2..suke sgt jalan cerita dlm novel tu..n novel tu sesuai untuk dibace dgn adik2 .. :)
kuchens
#5
Chapter 18: Seriously sy mmg berminat, excited nk beli SM! tapi.. kalau SM akan djual dkt bookstores, I'll patiently wait ^^
*sy xpndai nk beli online ni T.T*
sweetheart__2
#6
Chapter 17: Author nim saya mahu seoul mate...ade stok lagi x?
ArmyMalaysian12 #7
Chapter 17: Author-nim ade acc FB x ? ,,Saya nk beli buku tu kat FB ..Lebih senang xD ..
exobts_fans
#8
Chapter 18: Ade jual dekat pustaka rakyat tak? Mak saya tak kasi beli online . ingat nak Cari sendiri . Ade tak ?