SM-07

SEOULMATE (Light, Love & Baek Gu)

*Zaiton - ibu Saerah. 


 

Baek Gu seorang yang pembersih dan teratur. Dia tidak pernah menjangka yang akan tiba satu hari di mana dia terfikir untuk tidak mahu mandi pagi sehinggalah hari itu. Pada pagi itu, seorang lelaki Korea sedang bergelut di dalam bilik air.

 

Baek Gu bangun seawal pukul 7 pagi. Dia memang gemar bangun awal pagi kerana dia akan rasa lebih segar jika berbuat sedemikian. Dia selalu sahaja mengalami sakit kepala dan keletihan apabila bangun lewat. Baek Gu berpeluh tubuh sambil memerhatikan kolah air di dalam bilik air itu. Suhu pada pagi itu seolah-olah mampu membekukan darah yang mengalir dalam tubuhnya. Muka Baek Gu masih sembap dan sebelah mata masih tertutup. Untuk menghilangkan rasa mengantuknya, Baek Gu mencelupkan tangan kanannya ke dalam kolah itu. Matanya segera terbuka.

 

“Ah! Sejuk!” Baek Gu menarik kembali tangannya, meniup tangan tersebut supaya haba daripada mulutnya mengurangkan rasa sejuk pada tangannya. Dia rasa seperti tangannya terus kejang apabila bersentuhan dengan air. Persoalan yang menganggu fikiran Baek Gu ketika itu adalah bagaimana dia hendak mandi menggunakan air di dalam kolah tanpa ditemui mati kejang di dalam bilik air itu? Ya, Baek Gu memang selalu mandi ketika awal pagi tetapi dengan menggunakan air suam.

 

“Ottoke? (Macam mana ni?)” Baek Gu duduk bercangkung, meramas-ramas rambutnya. Semasa zaman belajar, Baek Gu sentiasa menjadi individu yang termuda memandangkan dia memasuki universiti ketika berumur 15 tahun jadi dia lebih manja berbanding orang lain yang sebaya dengannya. Baek Gu kembali berdiri lalu melangkah ke arah pintu.

 

Baek Gu keluar dari bilik air dengan rambutnya yang seperti ditiup taufan akibat diramas sebentar tadi lalu duduk di atas kerusi yang terletak di dapur. Orang lain masih memproses tahi mata kecuali Zaitun. Baek Gu memerhatikan Zaitun yang sedang menyediakan seteko teh.

 

“Kenapa?” tanya Zaitun apabila dia perasan yang lelaki muda itu sedang memandang ke arahnya. Baek Gu tersengih.

 

“Nak mandi tapi air sejuk sangat. Ada air panas lagi tak?” soal Baek Gu.

 

“Ada lagi dalam cerek tu. Pergilah ambik,” Zaitun meletakkan teko itu di atas meja makan. Dia membuka tudung saji, memeriksa makanan yang berada di bawah objek berkenaan.

 

“Mak cik masak apa?” tanya Baek Gu sambil memegang cerek air. Dia ingin membawa cerek itu ke bilik air. Tuala diletakkan di atas bahu.

 

“Tak masak pun. Mak cik beli nasi kerabu. Pergilah mandi cepat, boleh makan terus lepas mandi.” ujar Zaitun. Baek Gu mengangguk. Perjuangannya untuk menentang air sejuk di dalam kolah itu akan bermula. Baek Gu mengambil baldi yang terletak berhampiran pintu lalu dibawa masuk ke dalam bilik air.

 

Pada masa yang sama, seorang puteri beradu akhirnya terjaga apabila dicium oleh putera idamannya atau lebih tepat, seorang perempuan yang perasan dirinya puteri beradu walhal rambutnya ketika itu kelihatan seperti hantu kubur. Ketua hantu kubur sedunia berkemungkinan besar meletak jawatan jika terlihat keadaan rambutnya itu. Saerah menguap besar, langsung tidak menutup mulutnya. Dia terlalu ayu untuk menutup mulutnya. Dia tidak sedar yang bau nafasnya ketika itu mampu membuatkan pokok-pokok bunga jirannya layu.

 

“Selamat pagi dunia,” Saerah menggeliat, meregangkan sendi-sendinya yang lenguh. Dia bangkit daripada pembaringan lalu menggaru kepalanya yang gatal. “Gigi perlu digosok untuk mengurangkan risiko penyakit jantung.” Gumam Saerah sambil membawa berus giginya ke bilik air. Dia sempat menjenguk ke luar. Ibunya sedang menjemur pakaian di tepi rumah.

 

Saerah menolak pintu bilik air perlahan-lahan lalu menapak ke dalam. Lantai bilik air masih basah jadi dia dapat mengagak yang ada orang yang  baru sahaja selesai mandi. “Toyol mana bawak masuk cerek dalam bilik air ni? Makan mi segera dalam tandas ke apa?” bebel Saerah perlahan apabila ternampak sebuah cerek yang terletak di atas sebuah baldi merah yang ditelangkupkan.

 

Baru sahaja dia ingin mengambil cerek berkenaan, dia dikejutkan oleh kemunculan seseorang yang baru keluar dari tandas. Tandas yang tertutup itu terletak di dalam bilik air berkenaan.

 

“MAK! ADA ORANG SKODENG!” jerit  Saerah sebelum mencapai gayung lalu menyimbah air kolah ke arah lelaki yang bertuala separas pinggang itu. Dia benar-benar terkejut kerana menyangka tiada orang di dalam bilik air berkenaan.

 

“Yah! Geumanhae! Saerah! (Hei! Sudah!)” jerit Baek Gu pula apabila disimbah air kolah yang sejuk. Ucapkan selamat tinggal kepada impiannya untuk tidak mati kejang di dalam bilik air itu. Sia-sia sahaja dia mandi menggunakan air suam tadi. Saerah menghentikan perbuatannya lalu memandang Baek Gu yang menggigil kesejukan di depannya.

 

“Kenapa mandi tak kunci pintu?!” marah Saerah. Bagaimana jika ketika dia masuk lelaki itu sedang  bertelanjang bulat? Apakah yang akan terjadi kepada matanya yang suci lagi murni?

 

Baek Gu menolak rambut yang melekap pada mukanya ke belakang. Nasib baiklah tuala yang tergantung pada pinggangnya tidak basah kuyup. Dia mengambil tuala yang terletak di atas bahu Saerah lalu membaluti tubuhnya yang sejuk. “Membazir je saya mandi guna air suam tadi. Ah, sejuk.”

 

“Oh, awaklah yang bawak masuk cerek ni? Lain kali kalau nak guna air panas pun janganlah sampai bawak masuk dengan cerek-cerek sekali,” pesan Saerah. Dia tidak pasti mengapa lelaki itu tiba-tiba tersenyum sambil mengeringkan rambutnya menggunakan tuala milik Saerah. Rambut Saerah yang tidak senonoh ketika itu langsung tidak memberikan apa-apa kesan kepada Baek Gu.

 

“Lain kali? Maknanya awak nak bawak saya datang sini lagi? Kenapa?” Baek Gu mendekatkan wajahnya ke arah wajah Saerah, sengaja ingin mengusik. Saerah agak tersentak.Dia langsung tidak memaksudkan apa-apa dengan pengunaan ‘lain kali’ sebentar tadi. Itu hanyalah ayat biasa yang digunakan untuk berpesan kepada seseorang. Saerah terlupa sesuatu. Mungkin ayat itu tidak sesuai digunakan untuk menasihati lelaki Korea yang tak faham bahasa seperti Baek Gu. Saerah menapak ke belakang apabila Baek Gu semakin hampir.

 

“Jangan salah faham!”

 

“Salah faham? Apa?” Saerah dapat merasakan nafas lelaki itu menampar-nampar pipinya. Baek Gu pula menyesal kerana menghampiri gadis itu. Jiwa lelakinya mula tidak keruan. Jika tadi dia hanya main-main, sekarang dia mahu benar-benar mendaratkan bibirnya pada bibir Saerah.

 

“Baek Gu, kalau awak buat apa-apa...Baek Gu!!” marah Saerah. Baek Gu betul-betul mengucup bibirnya. Baek Gu mengelipkan matanya berkali-kali, dia juga tidak percaya yang dia benar-benar melakukanya. Perbuatan itu adalah perkara yang biasa baginya tetapi dia tidak pernah pula melakukannya tanpa kebenaran empunya badan.

 

Baek Gu mengerang kesakitan apabila sebuah objek logam bertemu dengan tulang tengkoraknya dan menghasilkan bunyi berdesing. Jika Saerah seorang pemain besbol, pasti dia sudah membuat pukulan home run.

 


 

“Baek Gu tengah mandi lepas tu tiba-tiba dia menjerit. Aku pun pergilah tengok. Rupa-rupanya kat dalam bilik air tu ada lipas. Aku pun masuklah tolong dia. Entah macam mana, lipas tu terbang dan mendarat pada kepala dia. Aku pun apa lagi, aku ambil cerek lepas tu aku hempuk kat kepala dia. Itu yang benjol tu,” hanya bahagian Saerah menghempuk kepala Baek Gu menggunakan cerek sahaja yang boleh dipercayai. Saerah jelas-jelas menipu di depan Baek Gu. Lelaki berkenaan mencebik sambil menggosok kepalanya yang masih sakit. Shahrul ketawa kecil.

 

“Macam mana kau boleh takut lipas ni, Baek Gu? Masa kau nampak lipas kat rumah kau tak takut pun?” Shahrul menghirup air teh yang sudah sejuk. Saerah membesarkan matanya ke arah Baek Gu, memberi isyarat yang Baek Gu perlu menipu mengenai hal itu. Baek Gu mengembangkan lubang hidungnya ke arah Saerah.

 

“Lipas kat rumah kau kecik je. Lipas kat sini besar, cukup khasiat. Itu yang aku takut tu,” ujar Baek Gu.

 

“Kalau nak tahu Saerah memang ada citarasa eksotik sikit. Lipas yang dalam bilik air tu sebenarnya haiwan peliharaan dia.  Nama dia cik Pas Devas. Nama pun macam heroin hindustan. Dah la, daripada kita cakap pasal Pas Devas baik kita makan nasi kerabu yang dah sejuk akibat korang yang bangun lewat,” Shahrul mencapai sebungkus nasi kerabu lalu dibuka.

 

“Hello, kau yang bangun paling lewat,” tempelak Saerah.

 

“Eh, nasi ni macam bibimbap!” seru Baek Gu apabila melihat nasi itu. Bibimbap adalah sejenis nasi yang mengandungi pelbagai jenis sayuran dan dimakan dengan pes cili. Nasi kerabu itu kelihatan lebih kurang seperti makanan berkenaan. Perbezaannya yang ketara adalah  warna nasi dan sayuran. Sayuran yang digunakan di dalam bibimbap terdiri daripada pelbagai warna.

 

“Bibimbap ni siri kartun korea yang mana pulak?” tanya Shahrul sambil mengunyah nasinya. Baek Gu tersengih lalu menggelengkan kepalanya.  Dia mencapai sudu lalu membuka bungkusan nasinya.

 

“Makan dengan tangan tak boleh ke?” Saerah sengaja mencari pasal. Dia masih tidak puas hati kerana lelaki itu menciumnya. Dia berjanji pada dirinya sendiri yang dia akan mencium lelaki itu kembali menggunakan tapak kakinya. Baek Gu meletakkan sudu itu ke tempat asal.

 

“Percaya cakap aku Saerah, kau tak nak tengok dia makan guna tangan.” Shahrul tersengih.

 

“Kenapa pulak?” Saerah hairan. Apabila Baek Gu mula makan, dia akhirnya mengerti. Baek Gu makan nasi menggunakan tangan kiri. Saerah memandang ke arah Shahrul. Lelaki itu membalas dengan mengangkat bahu yang membawa maksud ‘Aku dah cakap’. Mereka terus makan tanpa banyak soal.

 

“Alhamdulillah, kenyang.” Saerah menggigit bibirnya apabila dia terlafazkan ayat itu. Sejujurnya semalam dia tidak mampu tidur dengan tenang akibat peristiwa Baek Gu tersebut kalimah ‘InsyaAllah’ di rumah Nadirah. Itu membuatkan dia mula muhasabah diri.

 

Saerah hampir termuntah apabila melihat seorang lelaki menjilat jarinya selepas makan. Jika Shahrul yang berbuat demikian dia tidak kisah kerana itu adalah sunnah nabi tetapi apabila Baek Gu yang melakukannya, menjilat tangan kirinya dengan penuh berselera, Saerah menyesal kerana tidak mengetuk kepala lelaki itu sehingga dimasukkan ke wad ICU. Shahrul hanya ketawa. Kerana itulah ketika dirumah dia selalu memaksa Baek Gu untuk makan menggunakan sudu.

 


 

“Kenapa tak pernah nampak pakai baju ni?” tanya Baek Gu yang sedang duduk di tangga rumah apabila Saerah muncul dengan memakai sepasang baju kurung berwarna kelabu. Baek Gu dan Shahrul sudah lama siap, hanya menunggu Saerah yang bersiap seolah-olah dia yang akan berkahwin pada hari itu.

 

“Saerah ni perasan diri dia Mariah Carey Malaysia. Itu yang hari-hari pakai baju pun macam Mariah Carey,” kata Shahrul yang sedang menyarungkan sandalnya. Saerah sudah kalis dengan sindiran Shahrul. Baginya dia tidaklah memakai baju yang terlalu terdedah. Pakaian yang paling terdedah yang pernah dia pakai adalah skirt pendek, itupun mencecah lutut.

 

“Mariah Carey?” Baek Gu ketawa kecil kerana tubuh gadis itu terlalu kurus untuk dibandingkan dengan Mariah Carey.

 

“Biarkan dia dengan dunia dia, Baek Gu. Untuk pengetahuan kau, ramai lagi rakyat Malaysia yang perasan diri dia orang diva. Biarkan mereka dengan dunia mereka dan ucapkan terima kasih kerana mengadakan pertunjukan percuma untuk kaum kita,” kata Shahrul selamba. Dia dan Saerah tidak pernah terasa hati antara satu sama lain jadi mereka bebas untuk saling menasihati.

 

“Terima kasih.” Ucap Baek Gu atas arahan Shahrul sebentar tadi. Saerah nyaris membalingkan kasut tumit tingginya ke arah Baek Gu. Baek Gu cepat-cepat menutup bahagian kepalanya yang masih benjol. Dia mengingatkan dirinya untuk meminta nombor talian untuk mangsa penderaan membuat laporan daripada Shahrul.

 

“Hah! Sebelum kita pergi kenduri tu, Baek, kau pergi dapur dan ambik sudu. Aku tak nak satu majlis tu termuntah tengok kau makan.” Arah Shahrul. Baek Gu mengingatkan dirinya untuk turut membuat laporan penderaan mental yang dilakukan oleh Shahrul padanya. Saerah dan Shahrul sama-sama kejam, patutlah mereka bersahabat baik.

 

 

***

 

Petang itu, Shahrul menuntut sedozen aiskrim Neslo daripada Baek Gu. Baek Gu yang tidak berduit pula memaksa Saerah untuk meminjamkan duit kepadanya. Dia tidak henti-henti menganggu Saerah semata-mata ingin mendapatkan duit sebanyak seringgit dua puluh sen. Apabila Saerah akhirnya memberikan dia duit, dia memaksa gadis itu untuk mengikutnya ke kedai pula kerana dia tidak tahu di mana kedai itu terletak. Akhirnya, ketiga-tiga mereka berjalan kaki untuk ke kedai itu, kedai Cik Mun.

 

“Oh, patutlah! Kau tahu tak jiran kita yang namanya kak Yah tu selalu perasan bila kau sebut ‘yah’ tu. Dia ingat kau panggil nama dia,” Shahrul ketawa geli hati. Dia masih ingat kak Yah selalu memandang ke arah Baek Gu dengan penuh minat.

 

“Seriously?” Baek Gu turut ketawa. Perkataan ‘yah’ yang selalu disebut olehnya membawa maksud ‘hei’ dalam bahasa Melayu. Dia tidak memanggil nama sesiapa.

 

“Patutlah Nadirah tanya macam mana Baek Gu tahu nama manja dia,” kata Saerah sambil menikmati aiskrim Neslo. Sebenarnya aiskrim itu bukanlah aiskrim tetapi air Neslo yang dibekukan di dalam tiub plastik. Tiba-tiba Shahrul rasa seperti ada yang tidak kena dengan perutnya. Mungkin kerana dia makan terlalu banyak di kenduri perkahwinan Nadirah.

 

“Saerah, kau lepak la kat sini dengan Baek Gu. Aku sakit perut la. Aku balik dulu,” Shahrul mengambil beg plastik yang berisi beberapa batang aiskrim Neslo itu lalu lari meninggalkan mereka yang sedang duduk menghadap budak-budak kampung yang sedang bermain lompat getah di kawasan lapang itu. Saerah dan Baek Gu yang sedang duduk bersila di atas rumput hanya memandang Shahrul yang makin menjauh. Saerah melirik ke arah Baek Gu yang masih memandang ke arah Shahrul. Dia jatuh kasihan pula melihat benjolan pada kepala lelaki itu.

 

“Sakit?”

 

“Huh?”

 

“Kepala tu, sakit lagi ke?” Saerah menjelaskan soalannya. Baek Gu mengangguk sambil mencebikkan bibirnya. Kepalanya masih terasa berdenyut-denyut. Saerah menyentuh benjolan itu dengan hujung jari telunjuknya. Baek Gu tidak menghalang, hanya memandang wajah Saerah.

 

“Boleh tanya sesuatu tak?” Baek Gu memegang tangan yang menyentuh dahinya supaya tidak menghalang dia bercakap. Saerah menarik tangannya lalu memandang ke arah kanak-kanak yang sedang bermain. Ada yang bermain sehinggakan terselak kain menampakkan seluar dalam Pokemon.

 

“Kenapa awak macam tak rapat sangat dengan mak awak? Sejak datang kat sini awak kurang bercakap. Awak lebih suka pukul saya,” Baek Gu mengakhiri soalannya dengan sebaris gurauan. Saerah kembali melirik wajah Baek Gu. Dia tidak tahu yang Baek Gu telah memerhatikannya. Sejujurnya dia tidak selesa untuk bercakap mengenai perkara itu, dengan Shahrul sekalipun jarang sekali dia menceritakan tentang ibunya.

 

“Adalah,” itu sahaja yang mampu Saerah berikan. Baek Gu jelas tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Dia betul-betul mahu tahu kerana dia lihat Zaitun seorang yang baik. Jika dia bertemu ibunya, pasti sudah dipeluk dan takkan dilepaskan.

 

“Awak ingat tak masa awak tiba-tiba muncul kat depan rumah saya? Saya bagi awak masuk dan hantar awak balik ke hotel. Itu satu. Yang kedua pulak masa kita jumpa kat kelab malam. Saya selamatkan awak daripada lelaki yang ganggu awak masa tu. Awak terhutang budi dua kali, Saerah.” Baek Gu mencari cara supaya Saerah membuka cerita.

 

“Baek Gu, saya dah bagi awak seringgit dua posen. Tak cukup lagi?”

 

“Saya bayar balik duit awak tu. Saya nak awak balas budi saya dengan cerita tentang hubungan awak dengan mak awak. Kalau tak, saya kiss awak.” Ugut Baek Gu. Dia tidak sedar yang dia berkemungkinan besar mendapat benjol kedua daripada Saerah jika berbuat sedemikian.

 

“Kenapa awak nak tahu?”

 

“Sebab saya nak tahu.” Balas Baek Gu yakin. Minda dan hati Saerah berbincang sesama mereka. Ada perselisihan faham di situ tetapi kata hati lebih kuat jadi dia membuat keputusan untuk bercerita. Dia tidak suka terhutang budi kepada orang yang tidak mempunyai posisi penting dalam hidupnya atau lebih tepat, belum mempunyai posisi penting dalam hidupnya bagi kes Baek Gu.

 

“Saya cerita ni sekali je so dengar elok-elok,” kata Saerah. Baek Gu terus mengangguk.

 

“Lepas mak dan ayah saya bercerai, mak saya bekerja untuk sara saya dan dua lagi adik-beradik saya. Lama-lama, saya dan adik saya terabai. Dia cuma pedulikan abang saya je. Senang cerita, saya dan adik saya macam bukan anak dia. Kita orang macam menumpang je kat rumah tu. Daripada kecik saya dan adik selalu kena pukul dengan abang, mak langsung tak marah abang. Saya tak kisah kalau dia pukul sebab saya buat salah tapi dia selalu pukul tanpa sebab. Mak pulak buat tak tahu je. Since then, saya nekad. Kalau dia tak anggap saya ni anak dia, saya pun boleh anggap dia bukan mak saya. Mungkin awak rasa macam saya ni anak derhaka tapi kalau awak yang duduk kat tempat saya, awak akan faham.” Saerah tidak mahu bercerita dengan lebih lanjut. Matanya sudah berkaca-kaca menahan perasaan. Dia merasakan ibunya tidak adil. Ayahnya pula menghilangkan diri jadi dia terasa seperti kehilangan tempat untuk bergantung.

 

“Awak berdendam dengan mak dan abang awak?” Baek Gu muncul dengan kesimpulan itu. Saerah sekadar mengangkat bahu. Dia menyapu sudut matanya yang basah menggunakan jari. Dia tidak mahu menangis di hadapan Baek Gu. Baek Gu menggosok belakang gadis itu. Dia tahu gadis itu sedang beremosi. Dia juga tidak mahu bertanya lebih-lebih.

 

“Awak, kenapa awak datang sini?” Saerah mengubah topik.

 

“Kan awak dengan Shahrul yang bawak saya datang sini sebab Shahrul nak makan aiskrim?”

 

“Bukan tu la!” Saerah mencubit lengan Baek Gu. Baek Gu perlu mendapatkan nombor talian mangsa penderaan dengan lebih cepat. Saerah geram kerana Baek Gu selalu sahaja menjawab soalannya dengan jawapan yang dungu. “Saya tanya kenapa awak datang Malaysia? Awak cari apa sebenarnya?”

 

“Cari awak,” Usik Baek Gu dan menerima cubitan pada pinggang pula. “Kalau sehari saya duduk dekat dengan awak, saya boleh tempah keranda awal-awal. Ganaslah awak ni.” Baek Gu menggosok bekas cubitan Saerah.

 

“Tak payah tempah keranda. Saya buang awak kat dalam longkang je. Bagi biawak makan,” kata Saerah.

 

“Kejam.”

 

“Tak payah nak tukar topik. Jawab soalan saya tadi.” Gesa Saerah. Dia tidak akan membiarkan Baek Gu mengelak daripada menjawab soalan itu.

 

“Saya cari kawan saya. Dia lari dari rumah lepas ayah dia meninggal. Dia anak tunggal so mak dia suruh saya tolong carikan sebab dia selalu dengar cakap saya. Kali terakhir saya kesan dia ada kat Malaysia. Lepas tu telefon bimbit dia dah tak berfungsi. Sampai sekarang tak jumpa-jumpa lagi,” Baek Gu mengeluh perlahan.

 

“Kenapa tak report polis?” tanya Saerah. Patutlah Baek Gu selalu sibuk dengan telefon bimbitnya. Saerah menyangka Baek Gu berhubung dengan kekasih setiap kali lelaki itu fokus pada telefon bimbit. Saerah tersenyum sendiri.

 

“Mak dia tak nak. By the way, mak dialah yang jaga saya masa kecik-kecik dulu. Satu keluarga dia orang melayu. Nama dia Jess. Jess lari lepas ayah dia meninggal. Dia rasa dia punca ayah dia meninggal. Ayah dia meninggal sebab kandungan gula dalam darah yang terlalu tinggi lepas makan dessert yang Jess buat. ” Ujar Baek Gu. Alasannya kedengaran remeh tetapi hanya empunya badan yang memahami. Sebelum Jess hilang, gadis itu selalu menyebut yang dia menyesal kerana dia memaksa ayahnya memakan desert buatannya. Gadis itu tertekan.

 

“Jadi sekarang macam mana awak nak cari dia?”

 

“Melalui kad kredit dia. Kad dia menunjukkan yang dia ada kat kawasan kafe Shahrul tapi sampai sekarang saya tak pernah nampak dia. Masalah sekarang ni saya pun tak ada duit untuk pergi cari dia. Kena tunggu hujung bulan ni baru saya dapat semula kad kredit saya,” ujar Baek Gu.

 

“Baek, nak hujan la.” Saerah menadah tapak tangannya lalu merasakan titisan air hujan. Angin bertiup kuat menyebabkan pokok-pokok di kawasan itu bergoyang-goyang. Kanak-kanak di situ terus bermain. Ketika Saerah kecil, dia juga begitu. Selagi hujan lebat tidak turun, dia akan terus bermain walaupun bunyi guruh sudah berdentum di langit. Tanpa amaran, hujan rintik-rintik itu terus berubah rentak. Hujan yang lebat terus membasahi bumi, kanak-kanak yang sedang melompat girang dan dua orang manusia yang masih duduk bersila dia atas rumput. Kanak-kanak itu terus bertempiaran lari. Larian mereka disertai oleh Saerah dan Baek Gu. Jika ada mata yang melihat, pasti disangka Baek Gu dan Saerah sedang berlari bersama-sama anak-anak mereka.

 

Baek Gu dan Saerah berlari beriringan sambil ketawa. Terasa seperti terlalu kebudak-budakan pula.

 

“Kalau masa kecik-kecik dulu, saya terus je main walaupun hujan. Saya suka main hujan,” Saerah sempat berkata sambil terus berlari.

 

“Kalau awak suka kenapa awak lari?” tanya Baek Gu.

 

“Sebab saya dah besar. Nanti kalau orang nampak dia orang cakap apa pulak. Dah tua bangka,” Saerah tidak sempat menghabiskan ayatnya kerana tubuhnya terdorong ke belakang akibat ditarik oleh Baek Gu. Baek Gu berdiri tegak di situ sambil memegang lengan Saerah.

 

“Baek, apa awak buat ni?” soal Saerah, hairan dengan tindakan Baek Gu. Dia cuba menarik kembali tangannya tetapi jari-jemari Baek Gu terlalu kuat. Mereka berdua berdiri di tepi jalan itu, dibasahi hujan yang sedang menggila. Kanak-kanak tadi sudah jauh di hadapan.

 

“Awak bebas untuk buat apa yang awak suka. Pedulikan apa yang orang nak cakap. Selagi apa yang awak buat tu tak menjejaskan hidup orang lain, awak berhak untuk buat apa pun. Apa yang orang lain nak kata, itu hak dia orang. Kita cuma mampu pekakkan telinga bila orang cakap sesuatu yang negatif tentang kita,” Baek Gu tidak suka apabila hidup seseorang dipengaruhi oleh kata-kata negatif orang lain. Baek Gu hidup mengikut apa yang hatinya suka. Dia tidak pernah mempedulikan kata-kata orang. Dia hanya menerima kata-kata dan nasihat yang positif.

 

“Awak memang ditakdirkan untuk jumpa Shahrul.” Saerah tersenyum. Baek Gu agak tercengang. Tubuhnya yang sejuk membuatkan dia lambat faham.

 

“Kenapa pulak?” soal Baek Gu, menarik Saerah supaya berdiri di sebelahnya sambil menikmati air hujan yang membasahi mereka.

 

“Dua-dua dah boleh bukak pusat kaunseling,” Saerah ketawa kecil. Baek Gu tersenyum mendengar tawa Saerah.

 

“Pusat kaunseling saya bukak 24 jam untuk awak. I can be your private counsellor.” Kata Baek Gu sambil mengenyit mata. Dia memaksudkan kata-katanya yang berbunyi seperti gurauan itu. Entah mengapa, mereka saling terbuka antara satu sama lain. Jika sebelum ini antara Saerah dan Baek Gu ada tiga lapisan dinding, itu bermakna selapis telah lama roboh kerana mereka terlalu selesa antara satu sama lain. Ataupun mungkin ketiga-tiga lapisan dinding itu telah lama roboh tanpa pengetahuan mereka sendiri.

 

Baek Gu dan Saerah asyik tersenyum ke arah satu sama lain seolah-olah hari itu adalah hari senyuman sedunia. Mereka berjalan pulang ke rumah sambil berpegangan tangan. Sesekali Saerah akan memijak lopak air untuk memercikkan air itu. Baek Gu senang hati melihat Saerah melakukan apa yang dia suka. Mungkin tindakan itu agak kebudak-budakkan tetapi bersifat kebudak-budakan tidak pernah disabitkan sebagai kesalahan dalam mana-mana buku peraturan.

 

Mereka tiba di hadapan rumah Saerah dalam keadaan seperti atlet renang yang baru sahaja merentasi Laut Cina Selatan. Baek Gu duduk di anak tangga terbawah manakala Saerah mendaki dua anak tangga ke atas.

 

“Shahrul! Tolong ambilkan tuala!” laung Saerah, meminta bantuan sahabatnya itu. Saerah melihat ke arah Baek Gu yang sedang berpeluk tubuh. Kasihan pula dia melihat lelaki itu menahan kesejukan semata-mata untuk menemaninya bermain hujan.

 

“Awak okay?” Saerah duduk di sebelah Baek Gu. Baek Gu tersenyum lalu kembali mencapai tangan Saerah, berharap dengan berbuat sedemikian dia dapat meminjam kehangatan tangan gadis itu. Bunyi papan berkeriuk memberi petanda kepada Saerah yang Shahrul sedang membawa tuala untuk mereka. Saerah kembali berdiri sebelum melepaskan tangannya daripada pegangan Baek Gu. Dia menunggu Shahrul muncul dengan tuala.

 

“Dah lama kau buat kerja macam ni?” muncul seorang lelaki di muka pintu. Baek Gu yang tidak mengenali suara itu terus bangun. Dia mula gelisah apabila melihat Saerah hanya berdiri kaku sambil melihat ke bawah. Saat lengan Saerah dipaut kasar oleh lelaki itu, Baek Gu yakin akan sesuatu. Lelaki itu adalah abang Saerah.

 

-07-

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!
angelily95
akan dihide semua n direpost. lepas selesai edit, chapter baru akan menyusul :)

Comments

You must be logged in to comment
kaywuu
#1
Chapter 15: Okay.. saya baru je habis baca ff ni and I was like, /kenapa aku ni outdated sgt?! T,T/
I'm in love with this story, the characters especially with Shahrul. asdfjgjjfl xP
Sis, betul ke buku Seoulmate ni dah tak diterbitkan? Fb pun dah dekat setahun saya tak bukak. IG pun xde. Huhuhu T,T
anyway, Seoulmate memang best! ^^
DeqAh_KeyBer
#2
baca novel tu and I'm like "I need to stop imagining Baek's reaction for each situation" haha. housemate siap tanye "Baca novel ke komik tu?" sbb dok asyik gelak je baca. hahaha. dapat hari ni hari ni jugak habis
Kaireen #3
Chapter 1: Dah habis baca novel tu !! best *lempang baek gu* saya tunggu novel seterusnyaaa
baekk99
#4
Author nim..sy dh beli n bace novel akak tu..best sgt2..suke sgt jalan cerita dlm novel tu..n novel tu sesuai untuk dibace dgn adik2 .. :)
kuchens
#5
Chapter 18: Seriously sy mmg berminat, excited nk beli SM! tapi.. kalau SM akan djual dkt bookstores, I'll patiently wait ^^
*sy xpndai nk beli online ni T.T*
sweetheart__2
#6
Chapter 17: Author nim saya mahu seoul mate...ade stok lagi x?
ArmyMalaysian12 #7
Chapter 17: Author-nim ade acc FB x ? ,,Saya nk beli buku tu kat FB ..Lebih senang xD ..
exobts_fans
#8
Chapter 18: Ade jual dekat pustaka rakyat tak? Mak saya tak kasi beli online . ingat nak Cari sendiri . Ade tak ?