SM-06

SEOULMATE (Light, Love & Baek Gu)

 

“Baek Gu!!”

 

Laungan yang boleh menyebabkan tarzan terkena itu berjaya mengejutkan Baek Gu yang sedang tidur lena. Dia merengek perlahan lalu mengemaskan pelukannya pada bantal peluk yang berada dalam dakapannya. Matanya masih terpejam rapat, sempat dia mengutuk, menyumpah dan mencaci Shahrul yang menganggu lenanya di dalam hati. Namun, itu tidak lama kerana dia akhirnya mengingati sesuatu.

 

“Omo! Shi..(Alamak!),” Mata Baek Gu hampir terkeluar daripada soketnya apabila jam pada skrin telefon bimbitnya menunjukkan pukul 7.15 pagi. Baru sahaja Baek Gu hendak keluar dari bilik untuk ke bilik air, muncul Shahrul dengan kain pelekatnya, “Tak payah mandi! Dah lambat ni!”

 

Shahrul berlari ke arah pintu rumah dengan beg pakaiannya. Rambutnya dan mukanya sangat jelas menunjukkan dia baru sahaja terjaga daripada tidur, sama seperti Baek Gu. Shahrul telah berjanji untuk mengambil Saerah pada pukul 6.45 pagi sebelum mula bertolak ke kampung halaman mereka. Saerah seorang yang tidak suka orang menunggunya pasti sudah tunggu sejak pukul 6.30 pagi lagi, Shahrul pasti. Baek Gu mengambil beg pakaiannya lalu meluru ke arah kereta sebelum memasukkan objek itu ke dalam bonet. Keadaan sangat huru-hara. Shahrul yang berlari ke hulu dan ke hilir untuk mencari kunci keretanya sambil menyarungkan pakaian dan Baek Gu yang mengalami kesukarannya untuk menyarungkan skinny jeansnya pada pagi itu, mungkin berat badannya sudah naik akibat pengambilan keju yang terlebih dos.

 

Selepas berjaya mengunci pintu, mereka akhirnya memasuki perut kereta. Kereta itu baru sahaja keluar dari pagar rumah ketika Shahrul tiba-tiba menekan brek. Itu membuatkan muka jambu milik Baek Gu yang masih bertepek tahi mata terhantuk pada dashboard. Baek Gu mengetap bibirnya geram lalu memandang Shahrul yang gelisah. Shahrul terus keluar daripada kereta lalu kembali masuk ke dalam rumah. Itu membuatkan Baek Gu hairan. Mereka sudah terlambat jadi dia tidak mengerti mengapa Shahrul kembali masuk ke dalam rumah.

 

Dipenuhi rasa ingin tahu, Baek Gu juga masuk ke dalam rumah. Kelihatan Shahrul yang keluar dari bilik air dengan muka yang basah, lelaki Melayu itu berlari masuk ke dalam biliknya. Baek Gu tercegat di situ, tidak mengerti apa yang Shahrul sedang lakukan. Baek Gu menolak daun pintu bilik Shahrul, walaupun pintu itu diperbuat daripada kayu dan bukannya daun, dan mengintai ke dalam.

 

Saat itu, tangan Baek Gu tiba-tiba terasa sejuk. Perasaan itu, perasaan yang hadir ketika itu sangat aneh. Baek Gu kembali menutup pintu itu lalu berlalu ke luar. Dia meraup mukanya lalu menghembuskan nafas yang terasa tersekat, liurnya juga terasa kesat saat itu. Itu pertama kali Baek Gu melihat Shahrul menunaikan solat. Saat Shahrul melaungkan ‘Allahuakhbar’, itulah saat di mana Baek Gu merasakan seperti ada getaran yang mengalir di dalam darahnya. Baek Gu tidak pasti mengapa perasaan itu hadir. Dia menggelengkan kepala, cuba meyakinkan dirinya yang itu hanyalah mainan perasaan.

 

“Sorry lambat, nasib baik aku teringat aku belum solat,” Shahrul muncul. Baek Gu hanya tersenyum nipis, menandakan yang dia tidak kisah. Mereka masing-masing masuk ke dalam kereta dan meneruskan perjalanan mereka yang tergendala. Baek Gu mendiamkan diri. Wajah Shahrul ketika itu sangat menganggu hatinya. Jika hendak dibandingkan wajah Shahrul, dia yakin wajahnya dua kali ganda lebih menarik. Kulitnya juga lebih putih. Baek Gu melirik wajahnya pada cermin sisi kereta lalu mencuri lihat ke arah Shahrul yang tekun memandu. Waktu pagi adalah waktu di mana sepasang bibir seksi umpama Angelina Jolie milik Shahrul berehat, jadi, Shahrul tidak banyak bercakap.

 

Mata Baek Gu ligat meneliti wajah Shahrul. Kini, Baek Gu sudah tahu apa yang ada pada Shahrul tetapi tidak ada padanya. Cahaya. Walaupun dia lebih putih, muka Shahrul lebih berseri-seri. Dia ingin tahu dari mana datangnya keserian wajah temannya itu. Dia betul-betul ingin tahu.

 


 

Saerah menendang pagar rumahnya yang tidak berdosa. Sudah lama dia menunggu Shahrul tetapi lelaki itu tidak muncul-muncul. Dia baru sahaja ingin menghumbankan tong sampah jiran sebelah ke dalam longkang apabila lelaki yang ditunggu akhirnya tiba. Saerah ingin menjerit gembira tetapi jeritannya tersekat di kerongkong apabila kereta itu berhenti di hadapannya. Baek Gu?

 

Shahrul menurunkan cermin keretanya, “Masuklah, Tuan Puteri.” Saerah tidak berganjak. Dia berpeluk tubuh lalu menunjukkan ke arah Baek Gu dengan lirikan mata, “Apa pendatang asing tu buat dalam kereta kau?”

 

“Dia tengah cari kutu kepala aku. Tak nampak? Aku terpaksa bawak dia. Kalau aku tinggal dia kat rumah entah apa lagi yang dia bazirkan. Masuklah, Saerah.”

 

Saerah memasamkan muka lalu duduk di tempat duduk belakang. Belakang kepala Baek Gu ditenung dengan geram. Kalau diikutkan hati, ingin sahaja dia memukul kepala lelaki itu menggunakan kasut yang sedang dia pakai. Namun, Saerah  memaksa dirinya untuk bersabar supaya tiada yang meninggal termakan kasut pada pagi yang berbahagia itu.

 

Sejak kejadian di kafe, Saerah sudah lama tidak bertegur sapa dengan Baek Gu. Segala salah faham sudah diselesaikan pada hari itu. Shahrul sudah tersalah faham yang dia telah terlanjur dengan Baek Gu kerana Baek Gu yang naif dalam berbahasa Melayu telah memahami ‘tidur’ yang membawa maksud hubungan intim antara lelaki dan perempuan sebagai ‘tidur’ yang bermaksud memejamkan mata dan merehatkan badan. Mereka masing-masing sudah jelas akan hal itu dan Shahrul sendiri telah meminta maaf kerana tersalah faham.

 

Namun Saerah tetap tidak mahu memaafkan Baek Gu. Pertama, kerana Baek Gu telah membuka cerita mengenai dirinya kepada orang lain. Bagaimana jika orang lain itu bukan Shahrul? Pasti menjadi fitnah untuk dirinya. Kedua, Saerah masih marah kerana dia sudah tidak berkenan Baek Gu berbahasa menggunakan bahasa Melayu. Lelaki itu selalu sahaja membuat orang tersalah faham. Ketiga, jiwa wanita Saerah ingin Baek Gu memujuknya. Sejujurnya, alasan ketiga sepatutnya diletakkan sebagai alasan pertama, jika dinilai daripada segi kepentingan. Masing-masing mendiamkan diri, sehinggalah mereka tiba di R&R.

 

“Saerah, kau ‘payung’ makanan.” Arah Shahrul kerana dia telah menaja pengangkutan. Dengan itu, mereka bertiga masing-masing pergi mendapatkan makanan di R&R itu. Masing-masing seperti manusia kebuluran kerana belum menjamah apa-apa makanan sejak pagi.

 

Entah bagaimana, mata sepet milik Baek Gu ternampak kek keju yang terletak dalam peti sejuk di salah sebuah kedai yang terdapat di situ. Dia tidak mempunyai duit walaupun satu sen pun. Sebenarnya, ada duit syiling di dalam dompetnya tetapi matawang Korea. Dia tidak mahu peniaga di situ menganggapnya gila kerana membeli menggunakan matawang asing.

 

“Shahrul, pinjam duit.” Pinta Baek Gu kepada Shahrul yang sedang makan nasi lemak kukus tanpa mempedulikan orang lain. Shahrul menggelengkan kepalanya, mulutnya penuh ketika itu, lalu menudingkan jari ke arah Saerah yang beratur untuk membeli air minuman. Bila Shahrul kata Saerah perlu ‘payung’kan makanan, itu bermakna dia tidak akan mengeluarkan walau sesen pun di situ jadi Baek Gu perlu meminta duit daripada Saerah. Baek Gu yang boleh diiktirafkan sebagai fakir miskin itu melangkah ke arah Saerah, mindanya ligat merangka ayat untuk meminjam duit daripada perempuan yang sudah beberapa hari tidak bertegur-sapa dengannya itu. Dia berdiri di sebelah Saerah yang sedang beratur itu lalu mencuit bahu perempuan itu menggunakan hujung jari telunjuknya. Saerah yang terkejut itu tercungap sedikit, sebelum kembali memandang ke hadapan apabila menyedari siapa yang mencuit bahunya itu.

 

“Saerah, pinjam duit. Nak lima ringgit je,” Baek Gu menunjukkan tapak tangan kanannya ke arah Saerah, jari-jemarinya mewakili lima. Baek Gu sebenarnya malu untuk meminjam duit daripada gadis itu tetapi demi rasa cintanya yang mendalam terhadap kek keju, rasa malu itu dia sembunyi dalam-dalam.

 

“Nak buat apa?” tanya Saerah, tidak sampai hati untuk mengabaikan lelaki itu. “Kan dah beli nasi tadi?” tanya Saerah lagi. Baek Gu menggaru cuping telinganya yang tidak gatal.

 

“Ada kek keju sedap.” Baek Gu tersengih malu. Saerah memandang Baek Gu dengan pandangan tidak percaya. Nampaknya lelaki itu tidak boleh hidup dengan aman jika ternampak kek keju.

 

“Tak payah mengada-ngada. Pergi main jauh-jauh.” Saerah menghalau Baek Gu yang menempel meminta duit seperti anak kecil yang meminta wang daripada ibunya untuk membeli gula-gula. Baek Gu mencebik, kehampaan terserlah pada wajahnya. Selagi dia tidak makan kek keju itu, selagi itulah dia tidak akan berhenti terkenangkan keenakan kek keju itu. Kek keju idaman hati...

 

“Tapi Saerah! Kek keju tu nampak sedap. Bolehlah..bolehlah..” Baek Gu mencebik sambil menarik hujung lengan baju Saerah. Saerah mula rasa malu kerana menjadi tontonan dalam keadaan yang memalukan itu. Dia menepis tangan Baek Gu, memandang Baek Gu dengan pandangan yang boleh menembusi tengkorak lelaki yang lebih tinggi itu.

 

“Baek Gu, awak nak stop buat perangai budak-budak atau awak nak saya usap muka awak dengan penampar saya?”

 

“Tapi Saerah,” Baek Gu sudah terasa seperti hendak duduk lalu berguling di situ. Dia tetap mahukan kek keju itu. Apa yang Baek Gu nak, itu yang Baek Gu dapat. Itu pegangan hidup Baek Gu. “Lima ringgit je. Kenapa kedekut sangat? Saerah, bolehlah...” Baek Gu tetap mahu memujuk. Jumlah mata yang memandang mereka bertambah, lebih-lebih lagi kerana Saerah masih lagi beratur untuk membeli air. Baek Gu mencapai beg duit Saerah, ingin mengambil sekeping duit kertas berwarna hijau.

 

“Hei! Suka hati dia je!” Saerah merampas kembali beg duitnya. Baek Gu mencebik, mengeraskan diri di situ dan memandang geram ke arah Saerah. “ That’s it. Kita putus kawan.” Rajuk Baek Gu lalu melangkah ke arah Shahrul, yang tersedu kerana Saerah masih lagi tidak membawa air minumannya untuknya.

 

“Dah kenapa mamat ni?” tanya Saerah sendiri, memandang Baek Gu yang mengambil tempat di sebelah Shahrul lalu meletakkan kepalanya di atas meja. Jika mereka tidak bergaduh, pasti Saerah sudah meminjamkan duit kepada Baek Gu. Namun untuk menunjukkan yang dia masih memarahi Baek Gu, dia mengeraskan hati. Baek Gu perlu berusaha lebih keras untuk memujuk hatinya.

 

Selepas beberapa jam, tiga anak muda itu akhirnya sampai di kampung halaman Saerah dan Shahrul. Kampung itu masih sama. Kelihatan beberapa orang kanak-kanak sedang bermain kejar-mengejar di padang berhampiran rumah Saerah. Shahrul dan Baek Gu akan bermalam di rumah Saerah memandang rumahnya telah disewa sejak kematian ibubapanya. Takkanlah dia hendak menghalau penyewa itu pula?

 

“Saerah,” ibu Saerah muncul di muka pintu kerana mendengar bunyi pintu kereta dibuka dan ditutup.  Saerah sudah lama tidak pulang, hampir setahun lebih. Anak perempuannya itu selalu begitu, pulang sesuka hatinya dan jika hendak pulang tidak akan memaklumkan kepada ibunya terlebih dahulu. Saerah sendiri tidak pasti mengapa, tetapi dia lebih memilih untuk tidak pulang. Ada perasaan yang dia pendam sendiri, kerana itulah dia berkelakuan sebegitu.

 

“Mak,” Saerah menghampiri ibunya lalu sepasang tangan milik ibunya itu dicium. Ada rasa kekok dalam hati Saerah kerana sudah lama dia tidak menghubungi ibunya, walau menerusi panggilan telefon sekalipun. Dia hanya mengetahui perkembangan ibunya melalui Saiful. Ibu Saerah memandang pula ke arah dua jejaka yang berdiri di belakang anak gadisnya.

 

“Shahrul,” Ibu Saerah mengenali wajah Shahrul. Shahrul tersenyum dan mengangguk. Jika orang lain, pasti tangan wanita itu telah dicium tetapi tidak Shahrul. Bersalam hanyalah adat jadi dia tidak rasa seperti dia wajib menyalami wanita itu. Wajah wanita itu sedikit berkerut apabila melihat wajah Baek Gu. Dia tidak mengenali lelaki yang sedang masam mencuka seperti ada kehendaknya tidak dipenuhi itu.

 

“Mak cik, ini Mamat. Kawan saya dengan Saerah,” kata Shahrul. Shahrul pasti jika dia mengenalkan Baek Gu sebagai ‘Baek Gu’ pasti itu akan menyukarkan ibu Saerah untuk menyebutnya. Baek Gu hanya mengangguk, dia masih lagi mogok suara selepas memutuskan persahabatannya dengan Saerah.

 

“Macam cina,” komen ibu Saerah. Ibu Saerah seorang yang tidak banyak bercakap dan tidak banyak bergaul dengan masyarakat. Dia lebih suka memerhatikan orang lain. Saerah juga jenis yang sebegitu,apabila dia dikelilingi oleh orang yang membuatkan dia tidak selesa. Shahrul yang sememang tidak meminati suasana kekok begitu mula menggeliat, “Mak cik, dah alang-alang kita tercongok kat luar ni, kita tidur kat sini sajalah malam ni.”

 

“Eh, kenapa pulak? Masuklah.” Pelawa ibu Saerah. Dia tidak tergamak untuk membiarkan anak-anak itu tidur di situ. Shahrul yang sengaja mengumpan ibu Saerah untuk mempelawa mereka masuk tersengih lalu membawa beg pakaiannya masuk ke dalam. Saerah dan Baek Gu menyusul. Masing-masing menghadiahkan jelingan maut ke arah satu sama lain apabila mereka ingin melalui pintu pada masa yang sama.

 

“Ini rumah saya tau,” kata Saerah lalu dengan sengaja melanggar bahu Baek Gu sebelum masuk ke dalam rumah papan itu. Baek Gu menghodohkan mukanya lalu mengejek ayat Saerah  dengan nada suara seperti tersedut gas helium, “Ini rumah saya tau. Ini saya tau rumah. Rumah tau saya ini,”

 

Saerah hanya mampu menghadiahkan jelingan maut ke arah lelaki itu. Nampaknya kepala lelaki itu tidak mampu berfungsi dengan baik kerana kempunan keju. Kepala itu perlu dibawa ke bengkel untuk dibaiki.

 


 

Mereka bertiga akan berada dikampung itu untuk dua hari. Pada malam itu, Saerah bersama Shahrul dan Baek Gu pergi ke rumah Nadirah, ingin membantu persiapan majlis perkahwinan itu. Kelihatan ramai orang kampung yang turun padang untuk bekerjasama membantu aktiviti merewang.

 

“Nabil, mana kakak kau?” tanya Saerah kepada seorang lelaki yang sedang membawa besen kosong.  Lelaki itu merupakan adik kepada Nadirah. Nabil tersenyum apabila ternampak Saerah, sudah lama dia tidak nampak kawan kakaknya itu.

 

“Kakak ada kat dalam, tengah pakai inai. Masuklah. “ pelawa Nabil sambil  mengelap wajahnya yang berpeluh dengan tuala kecil berwarna putih yang tercetak ‘Good Morning’ di atasnya. Saerah tersenyum dan mengangguk. Saerah dan dua lelaki yang bersamanya sejak tadi menaiki tangga rumah itu, ingin bertemu dengan bakal pengantin. Kelihatan beberapa wanita berumur yang sedang menyiapkan bunga manggar dan barang hantaran. Saerah tersenyum apabila akhirnya bertemu dengan gadis yang dia cari sejak tadi. Saerah menghampiri gadis itu lalu mencuit pinggang Nadirah. Satu fakta tentang Nadirah : dia kuat melatah.

 

“Hoi! Hoi! Hoi! Aku nak kahwin!” latah Nadirah, mengundang ketawa semua orang yang berada di ruang tamu itu.

 

“Saerah! Jahat tau! Bila kau balik? Aku ingat ke kau tak datang,” kata Nadirah sejurus selepas tersedar daripada latahnya. Jari-jemarinya bertempek dengan inai yang masih lembap. Saerah ketawa kecil.

 

“Mestilah aku datang. Aku sampai petang tadi. Aku balik dengan Shahrul,”  Saerah menudingkan jari ke arah Shahrul dan Baek Gu yang berdiri di belakangnya sejak tadi. Apabila Saerah berbuat demikian, barulah Nadirah perasan yang Shahrul berada di situ sejak tadi dengan lelaki yang tidak dia kenali. “Shahrul, makin handsome ek sekarang,”

 

5 perkataan daripada Nadirah itu berjaya menghasilkan tona merah pada pipi Shahrul. Satu perkara tentang Shahrul, dia akan cepat malu apabila berhadapan dengan perempuan yang dia suka.Shahrul tersengih malu lalu menggosok belakang kepalanya. “Nadirah pun makin lawa,” puji Shahrul dengan suara yang pecah tiba-tiba. Rasa malu sangat menyelubunginya ketika itu. Saerah mahu tergelak tetapi berjaya menahan diri.

 

“Yah, kenapa muka kau merah?” soalan yang tidak sepatutnya diutarakan itu terluah daripada bibir Baek Gu. Dia tidak pernah lihat Shahrul sebegitu. Kebiasaanya, bosnya itu seorang yang berani, jadi sangat aneh apabila Shahrul berkelakuan malu-malu. Shahrul mengingatkan dirinya untuk mengarahkan Baek Gu mencuci tandas di kafe pula selain tandas di rumah sebagai hukuman. Baek Gu perlu dihukum kerana menyoal sesuatu yang tidak sepatutnya, lebih-lebih lagi di hadapan Saerah.

 

“Macam mana awak tahu nama manja saya?” Nadirah jelas terkejut apabila lelaki yang tidak dia dikenali itu mengetahui nama manjanya. Saerah dan Shahrul serentak memandang ke arah Baek Gu.

 

“Huh?” Baek Gu tercengang kerana tiga pasang mata ke arahnya. Dia tidak tahu mengapa dia disoal begitu.

 

“Macam mana awak tahu nama saya Yah?”

 

“Hah?” Baek Gu makin tercengang, sungguh dia tidak tahu mengapa dia disoal begitu. Soalan itu kedengaran seperti soalan bertaraf tinggi dan khas untuk makhluk asing yang berpendidikan sahaja. Minda Baek Gu ligat mencernakan soalan Nadirah.

 

“Shahrul, dia ni faham bahasa Melayu tak?” Nadirah mengalihkan pandangannya ke arah Shahrul. Shahrul mengangguk sebelum berbisik ke telinga Baek Gu, “Yo, dia sayo tanya sayo macam mana sayo kau sayo tahu sayo nama dia sayo Yah yo...”

 

Shahrul pernah mendengar Baek Gu berbual di telefon menggunakan bahasa Korea dan yang dia dapat dengar adalah perkataan ‘yo’ sahaja. Baek Gu ingin ketawa kerana ayat Shahrul itu tidak mampu diterima walau oleh lembu di Korea selatan sekalipun. Shahrul tersenyum ke arah Nadirah, “Saya dah explain dalam bahasa Korea.”

 

“Nadirah, kalau awak tak nak kahwin dekat Tanjung Rambutan esok, saya sarankan awak jangan layan dia dua orang ni. Dua-dua kepala tak betul. Seorang tu kepala terlebih keju, itu yang lembap semacam,” kata Saerah, menujukan ayat terakhirnya kepada Baek Gu yang masih ligat memikirkan maksud soalan Nadirah sebentar tadi.

 

“Terima kasih, Saerah. Kau memang sahabat yang baik. Nadirah, ada apa-apa yang kita orang boleh tolong?” tanya Shahrul, menyuarakan tujuan sebenar mereka datang ke situ.

 

“Nak tolong? Tolong mak cik-mak cik kat dapurlah. Lelaki kat luar tu dah ramai sangat. Shahrul dengan kawan Shahrul boleh tolong angkat barang-barang yang berat. Jom, Saerah.”

 

Ruang dapur rumah itu sangat luas. Beberapa orang wanita berumur sedang berbual-bual sambil menyediakan bahan-bahan makanan untuk majlis esok. Baek Gu, Saerah dan Shahrul duduk bersila di satu sudut yang kosong. Baru sahaja Nadirah ingin duduk bersama mereka, namanya dipanggil.

 

“Yah, jangan duduk kat dapur. Bakal pengantin kena berehat. Pergi masuk bilik,” arah seorang wanita yang merupakan jiran Nadirah. Nadirah tersengih.

 

“Pergilah. Tak apa, kita orang boleh je tolong-tolong kat sini.” Saerah tidak mahu Nadirah rasa bersalah. Shahrul mengangguk, mengiyakan kata-kata Saerah. Baek Gu turut mengangguk, meniru perbuatan Shahrul. Berada di situ membuatkan Baek Gu rindu akan kampung neneknya. Di kampung, jiran-jiran neneknya selalu berkumpul di rumah nenek dan bersama-sama menyediakan jamuan untuk keluarganya yang datang melawat. Setiap kali jamuan diadakan, pasti pelbagai hidangan sampingan disediakan. Baek Gu paling menyukai kimchi buatan neneknya.

 

“Betul ni?” tanya Nadirah, tidak sampai hati untuk membiarkan kenalannya di situ. Shahrul dan Saerah mengangguk serentak, diikuti oleh Baek Gu.

 

“Kalau macam tu, Nadirah masuk bilik dulu. Esok kau orang datang tau,” pesan Nadirah lalu meninggalkan mereka di situ. Baek Gu, Shahrul dan Saerah masing-masing membisu, tengggelam    dalam kebisingan wanita-wanita berumur yang ada di situ. Ada yang bergurau senda dan ada juga yang mengumpat.

 

“Aku rasa macam muda sangat je Nadirah tu nak kahwin,” ujar seorang wanita yang bertudung serkup. Dia sedang memotong seekor ayam kepada beberapa bahagian. Tiga orang muda itu terus memasang telinga sebaik sahaja mendengar nama Nadirah.

 

“Yalah, Som. Kau tak rasa pelik ke? Tiba-tiba je dia nak kahwin. Macam ada sesuatu je. Entah-entah dia ‘berisi’ tak?” balas wanita lain pula. Soalan terakhir diungkapkan dalam nada berbisik, berbisik yang mampu didengari oleh orang lain. Berbisik yang langsung tidak bertujuan untuk menyembunyikan soalannya itu.

 

“Aku rasa macam tu jugak,” jawab wanita sebelumnya.

 

“Okay, memang kita datang sini nak duduk bersila sambil dengar orang mengumpat.” Kata Shahrul tiba-tiba, menujukan ayat itu kepada wanita-wanita berkenaan tetapi memandang ke arah Saerah. Dia berpura-pura yang dia sedang bercakap dengan Saerah. Saerah menarik nafas lega apabila dia melihat wanita-wanita berkenaan tidak mendengar  kata-kata Shahrul. Baek Gu hanya memerhatikan mereka. Dia perasaan yang Saerah agak diam sejak menjejakkan kaki di kampung itu.

 

“Shahrul, kau pergi la ambik bawang ke apa ke. Takkan nak duduk tercongok je kat sini,” saran Saerah. Dia tidak mahu melayan kata-kata Shahrul sebentar tadi. Shahrul juga rasa yang dia dan Saerah sepatutnya sudah mula membantu sesuatu di situ. Shahrul bangkit lalu melangkah ke arah wanita-wanita berumur itu. Dia meminta seguni bawang merah yang kelihatan seperti belum dikupas.

 

“Eh, kamu ni bukan anak arwah Helmi?” tanya Som, wanita yang mengumpat tadi. Shahrul mengangguk. Guni kecil berisi bawang merah itu dipegang kemas.

 

“Bila balik sini?” tanya wanita itu lagi.

 

“Petang tadi. Mak cik, saya pergi buat kerja kat sana dulu ya.Saya datang sini niat betul-betul ikhlas nak tolong. Saya tak ada niat nak mengumpat, buat ketupat dan apatah lagi merempat kat sini. Saya pergi dulu,” Shahrul akhiri ayat sindirannnya dengan senyuman manis berinti bisa. Som memandang pelik ke arah Shahrul kerana minda miliknya yang sudah berusia 41 tahun tidak mampu memahami ayat anak muda itu.

 

“Mak cik tu cakap apa?” tanya Saerah apabila Shahrul kembali melabuhkan punggung di hadapannya. Dia telah membentangkan surat khabar lama di atas lantai di hadapan mereka untuk memudahkan kerja.  Baek pula telah mengambil tiga bilah pisau atas arahan Saerah, atau lebih tepat lagi, atas paksaan Saerah. Saerah telah mengugut yang dia akan menghalau Baek Gu tidur di luar jika lelaki itu tidak mengikuti arahannya. Baek Gu tidak mahu tidur di luar, tidak mahu tubuh hampir sempurna miliknya digigit nyamuk dan dracula, dia masih percaya yang makhluk itu wujud.

 

Masing-masing mula mengupas bawang merah itu. Mereka sudah tidak mempedulikan orang lain yang sibuk bergosip di situ. Mata Shahrul mula pedih dan berair selepas beberapa minit berlalu.

 

“Kau tahu Saerah. Masa kecil-kecil dulu aku suka minum aiskrim Neslo. Ada sekali tu aku pergi beli kat kedai Cik Mun, dia cakap dah habis. Aku masih bersedih pasal tu Saerah. Sampai sekarang. Aku nyaris nak suruh batu belah batu bertangkup telan aku,” air mata Shahrul mengalir. Mukanya kelihatan seperti seorang lelaki yang kehilangan isteri. Saerah tergelak. Baek Gu tersenyum, Shahrul selalu sahaja ada idea untuk memulakan perbualan. Entah mengapa dia rasa semakin lama dia tinggal bersama dengan Shahrul, semakin banyak perangai Shahrul yang melekat pada dirinya.

 

“Sabar, Shahrul. InsyaAllah, suatu hari nanti kau akan dapat rasa aiskrim Neslo tu. Esok aku order sedozen untuk kau.” Baek Gu menepuk belakang Shahrul, ingin mengikuti perbualan itu. Dia menepuk belakang Shahrul seperti menampar nyamuk. Shahrul sempat berjanji pada dirinya sendiri yang dia akan menyaman Baek Gu jika ada mana-mana bahagian tulang belakangnya yang retak. Shahrul terdiam. Begitu juga Saerah.

 

“Kenapa?” Baek Gu pelik kerana dua orang sahabatnya itu diam secara tiba-tiba. Saerah memandang ke arah. Dia sebenarnya berhajat untuk membidas kata-kata Shahrul tetapi membatalkan hajatnya sebaik sahaja Baek Gu bersuara. Shahrul memahami pandangan Saerah itu. Dia turut terkejut apabila kalimah InsyaAllah lahir dari bibir Baek Gu.

 

“Kenapa ni?” tanya Baek Gu sekali lagi. Shahrul yakin yang Baek Gu tidak menyedari yang dia tersebut kalimah itu.

 

“Tak ada apa. Pastikan esok kau belanja aku. Sedozen, okay? Aku nak tengok kau nak korek duit kat mana,” usik Shahrul kepada lelaki yang sedang bertaraf papa kedana itu. Baek Gu menggigit bibirnya, dia hanya main-main sebentar tadi.

 

Saerah tidak berminat untuk mengikuti perbualan dua orang lelaki itu. Mindanya terganggu apabila Baek Gu melafazkan kalimah itu. Kalimah yang membawa maksud dengan izin Allah. Kalimah yang digunakan oleh umat Islam untuk menunjukkan yang manusia boleh merancang untuk melakukan sesuatu tetapi hanya akan terjadi jika diizinkan oleh Allah. Ada satu perasaan yang menyelubungi diri Saerah. Dia tersedar sesuatu.

 

Dia tidak pasti sudah berapa lama kalimah itu tidak meniti di hujung lidahnya.

 

-06-

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!
angelily95
akan dihide semua n direpost. lepas selesai edit, chapter baru akan menyusul :)

Comments

You must be logged in to comment
kaywuu
#1
Chapter 15: Okay.. saya baru je habis baca ff ni and I was like, /kenapa aku ni outdated sgt?! T,T/
I'm in love with this story, the characters especially with Shahrul. asdfjgjjfl xP
Sis, betul ke buku Seoulmate ni dah tak diterbitkan? Fb pun dah dekat setahun saya tak bukak. IG pun xde. Huhuhu T,T
anyway, Seoulmate memang best! ^^
DeqAh_KeyBer
#2
baca novel tu and I'm like "I need to stop imagining Baek's reaction for each situation" haha. housemate siap tanye "Baca novel ke komik tu?" sbb dok asyik gelak je baca. hahaha. dapat hari ni hari ni jugak habis
Kaireen #3
Chapter 1: Dah habis baca novel tu !! best *lempang baek gu* saya tunggu novel seterusnyaaa
baekk99
#4
Author nim..sy dh beli n bace novel akak tu..best sgt2..suke sgt jalan cerita dlm novel tu..n novel tu sesuai untuk dibace dgn adik2 .. :)
kuchens
#5
Chapter 18: Seriously sy mmg berminat, excited nk beli SM! tapi.. kalau SM akan djual dkt bookstores, I'll patiently wait ^^
*sy xpndai nk beli online ni T.T*
sweetheart__2
#6
Chapter 17: Author nim saya mahu seoul mate...ade stok lagi x?
ArmyMalaysian12 #7
Chapter 17: Author-nim ade acc FB x ? ,,Saya nk beli buku tu kat FB ..Lebih senang xD ..
exobts_fans
#8
Chapter 18: Ade jual dekat pustaka rakyat tak? Mak saya tak kasi beli online . ingat nak Cari sendiri . Ade tak ?