SM-10

SEOULMATE (Light, Love & Baek Gu)

 

 

 

Saerah meletakkan beg pakaiannya sekali dengan beg-beg pakaian milik orang lain. Dia segera menghampiri Emma, ingin meminta maaf atas kelewatannya. Mereka sepatutnya berkumpul di hadapan apartment Emma pada pukul lapan pagi namun Saerah terkejut daripada lena pada pukul lapan setengah pagi. Nasib baiklah rombongan itu tidak meninggalkannya.

 

“Tak apa. Pergilah naik,” kata Badrul, suami Emma. Emma sedang sibuk berbual dengan jurupandu aktiviti mereka. Saerah mengangguk lalu mengatur langkah untuk menaiki bas itu. Saerah terus berpeluk tubuh apabila suhu di dalam bas itu membuatkan bulu romanya meremang. Dia rasa menyesal pula kerana tidak mengenakan pakaian yang lebih tebal.

 

Semakin Saerah melangkah, semakin dia sedar yang tempat duduk di bahagian hadapan sudah penuh jadi dia perlu mencari tempat duduk yang terletak di bahagian belakang bas. Mulut Saerah hampir terlopong apabila seorang lelaki melambai-lambaikan tangan ke arahnya. Saerah mengecam wajah lelaki itu walaupun lelaki itu mengenakan cermin mata hitam. Mengapa Saerah tidak tahu yang Baek Gu juga menyertai rombongan itu?

 

“Awak buat apa kat sini?” tanya Saerah perlahan sebaik sahaja dia melabuhkan punggung di sebelah Baek Gu. Baek Gu tersenyum, hatinya menari riang apabila Saerah duduk di sebelahnya. “Saya tengah duduk kat sini.”

 

“Baek, saya ni manusia cukup sifat. Saya tahulah awak tengah duduk kat sini. Maksud saya, macam mana awak boleh ikut aktiviti ni? Siap dengan cermin mata hitam lagi.” Saerah mencubit lengan lelaki itu. Baek Gu mengaduh perlahan. Entah mengapa Saerah suka pula melihat Baek Gu di situ walaupun dia pada mulanya dia berharap dapat menjauhkan diri daripada Baek Gu apabila mengikuti rombongan itu.

 

“Awak lupa ke? Saya kan pernah bekerja untuk Emma. So, dia ajaklah saya. Cermin mata hitam ni item wajib bila pergi bercuti.” Jelas Baek Gu. Saerah berpaling ke arah kanan, ingin melihat orang-orang disekelilingnya. Telefon bimbit Saerah hampir terlucut daripada tangannya apabila dia melihat Khai yang sedang terlentok di kerusi bersebelahan dengannya. Mengapa dia juga tidak tahu tentang kehadiran Khai? Saerah dapat menghidu masalah yang akan muncul sepanjang perkhemahan nanti jika Baek Gu dan Khai berada di sisinya pada waktu yang sama.

 

“Kenapa?” soal Baek Gu apabila melihat reaksi kurang selesa Saerah. Saerah menggeleng perlahan, rasanya Baek Gu tidak perlu tahu. Saerah menyandar dengan selesa lalu berpeluk tubuh. Kedinginan menyelubungi dirinya.

 

“Sejuk?” soal Baek Gu prihatin. Saerah membalas dengan anggukan. Matanya rasa semakin layu kerana masih mengantuk. Baek Gu membuka selimut kecil yang dibawanya lalu meletakkannya di atas tubuh gadis itu. Saerah hanya membiarkan, kantuk berjaya menguasai dirinya sepenuhnya.

 

Perjalanan yang memakan masa beberapa jam itu terasa sangat meletihkan. Baek Gu beberapa kali terjaga kerana mengalami lenguh-lenguh badan. Dia menguap perlahan, melirik ke arah Saerah yang lena di sebelahnya. Dia menarik tubuh gadis itu rapat kepadanya  apabila badan Saerah terhuyung-hayang dan hampir terjatuh apabila bas itu membelok laju. Gadis itu betul-betul lena, Baek Gu yakin gadis itu takkan terjaga walaupun sebiji bom meletup disebelahnya.

 

“Eei, air liur...” gumam Baek Gu perlahan apabila melihat hujung bibir gadis itu yang basah. Spontan Baek Gu menekup mulut, tidak mahu tawanya meletus. Kenapa gadis itu sangat comel? Baek Gu ketawa di dalam hati, sehingga berair matanya. Mulutnya ditutup rapat-rapat, tidak mahu Saerah terjaga. Mata Baek Gu membulat saat Saerah bergerak-gerak, dia bimbang ketawanya yang menyebabkan Saerah terjaga.

 

Mata Saerah separa terbuka apabila pipinya terasa gatal. Dia menggaru pipinya perlahan namun segera mengelap tangannya pada kain yang menyelimuti badannya. Pipinya basah. Dia mencapai hujung selimut itu lalu mengelap pipi dan hujung bibirnya yang basah dengan air liur basi.

 

“Saerah!” jerit Baek Gu perlahan lalu menarik selimutnya. Dia tidak mahu Saerah menyumbangkan pewangi percuma kepada selimutnya. Saerah benar-benar terjaga apabila terdengar jeritan perlahan Baek Gu itu.

 

“Apa?” muka Saerah jelas menunjukkan yang dia bengang kerana tidurnya terganggu. Sehinggalah dia tersedar yang dia baru sahaja mengelap air liur basinya pada selimut Baek Gu, “Baek Gu, sorry. Saya tak sedar tadi. Sorry.” Saerah segera menekup mulutnya, tidak mahu bau nafasnya membuatkan lelaki di sebelahnya mati akibat keracunan udara.

 

Baek Gu memandang kesan basah pada selimut kecilnya, mencebik. Dia membalingkan selimut itu ke atas riba Saerah, “Ambillah selimut tu buat kenangan.”

 

Bas yang mereka naiki tiba di destinasi yang mereka tuju. Penumpang bas itu beransur turun. Saerah pula asyik memaksa Baek Gu untuk mengambil selimut itu.

 

“Ambillah selimut ni. Kenapa bagi kat saya pulak?” Saerah ingin sahaja menonyoh selimut itu pada muka Baek Gu.

 

“Tak naklah. Bekas air liur basi.” Baek Gu ketawa perlahan, masih geli hati tentang Saerah yang tidur mengeluarkan air liur basi. Baek Gu memegang kejap kedua-dua belah pergelangan tangan Saerah, bimbang gadis itu benar-benar menonyoh kain itu pada wajahnya.

 

“Bencilah awak ni.” Rajuk Saerah, malu kerana dipermainkan oleh Baek Gu. Saerah merentap kedua-dua belah tangannya daripada pegangan Baek Gu lalu membalingkan selimut itu ke tepi. Jika Baek Gu tidak mahukan selimut itu lagi, lebih baik dibuang sahaja. “Alamak,” Saerah terus teringat yang Khai duduk berseorangan di kerusi bersebelahan dengan mereka.

 

“Apa ni?” marah Khai apabila kain itu mendarat pada wajahnya. Dia masih mamai. Dia berjaga semalaman untuk menyelesaikan kerja-kerja di pejabat untuk membolehkan dia mengikuti rombongan itu.

 

“Khai, sorry. Saya tak sengaja.” Saerah meminta maaf. Khai berdehem lalu memicingkan matanya yang sembap. “Tak apa.”

 

“My saviour?” Baek Gu tiba-tiba rasa teruja apabila melihat lelaki yang pernah menolongnya di situ.

 

“Awak kenal Khai ke?” Saerah mengambil selimut itu lalu diletakkan di atas tempat duduknya. Dia memerhatikan Khai dan Baek Gu.

 

“Berapa kali aku nak cakap jangan panggil aku macam tu?” ujar Khai dengan suara dalam. Lelaki itu tidak habis-habis memanggil begitu. Khai berdiri lalu menyarungkan beg galasnya.

 

“Awak kenal Baek Gu ke?” Saerah mengalihkan soalan itu kepada Khai pula memandangkan dia tidak menerima jawapan daripada Baek Gu. Khai mengiyakan, “Saya pernah tolong dia hari tu. Jom turun.” Khai mempelawa Saerah untuk turun bersama dengannya. Langsung tidak terfikir untuk mengajak Baek Gu sekali. Dia mengikuti rombongan itu kerana Saerah jadi dia hanya ingin melayan Saerah.

 

Saerah berjalan mendahului Baek Gu dan Khai, Khai menyusul di belakangnya. Baek Gu menarik bahu Khai lalu bertanya perlahan, “Kau kenal Saerah ke?”

 

“Dia girlfriend aku.” Jawab Khai selamba sebelum menolak tangan Baek Gu yang berpaut pada bahunya. Baek Gu tercengang.

 

“Girlfriend? Tapi..dia..hei..dia..” Baek Gu tidak tahu bagaimana untuk meneruskan ayatnya.  Dia hanya memandang belakang Khai yang semakin menjauh. Saerah tidak pernah memberitahu yang dia sudah mempunyai teman lelaki baru. Patutlah gadis itu sudah tidak mahu melayannya seperti sebelumnya. Jika dia tahu Saerah sudah mempunyai teman lelaki, dia tidak akan terus menempel pada gadis itu.

 

“Pak cik nak tutup bas ni.” kata pemandu bas berkenaan apabila hanya Baek Gu seorang yang masih berada di dalam bas. Baek Gu menunduk perlahan sebagai tanda maaf sebelum menuruni anak tangga bas itu.

 


 

“Memandangkan Joy tak dapat ikut, maknanya tinggal lagi tiga orang yang tak ada pasangan. Siapa?” laung Badrul. Dia sudah hampir selesai membahagikan kumpulan besar mereka kepada beberapa pasangan. Hanya tinggal tiga orang yang belum ditentukan pasangannya. Saerah dan Khai mengangkat tangan. Baek Gu yang berdiri di belakang mereka turut mengangkat tangan.

 

“Saerah, Baek Gu dan Kai,” Badrul meneliti senarai nama. “Antara Baek Gu dengan Khai, siapa yang nak berpasangan dengan Saerah? Seorang lagi terpaksa sendirilah.”

 

Khai mencapai tangan Saerah lalu mengangkat tangan mereka, “Saya. Saerah dengan saya.” Saerah pula memasang hajat untuk berpasangan dengan Baek Gu, kerana lelaki itu lebih menyeronokkan berbanding Khai.

 

“Oh, okay. Baek Gu, awak okay?” tanya Badrul, ingin mendapatkan pendapat Baek Gu. Baek Gu mengangkat ibu jarinya sebagai balasan. Memang dia ingin bersama dengan Saerah, tetapi dia tahu perkara itu mustahil terjadi apabila kekasih Saerah ada bersama mereka.

 

“Bad, kalau saya buat satu kumpulan tiga orang boleh tak?” Saerah muncul dengan cadangan itu, tidak mahu Baek Gu berseorangan sepanjang aktiviti dijalankan. Baek Gu mengawal wajahnya, menyembunyikan senyuman yang nyaris terukir pada wajahnya. Kini dia tahu Saerah tidak boleh hidup tanpanya. Lelaki berusia dua puluh empat tahun itu perasan sendiri.

 

“Bagus jugak tu. Jadi, Saerah, Baek Gu dan Khai satu kumpulan. Settle. Guys, masing-masing dah boleh pergi pasang khemah. Jangan memandai nak tidur sekhemah dengan pasangan pulak. Saya je yang boleh sekhemah dengan Emma,” Badrul tersenyum nakal ke arah Emma, menerima sorakan daripada para jejaka. Emma menjegilkan mata ke arah suaminya, mukanya merah padam. Saerah tersenyum nipis melihat pasangan bahagia itu. Para peserta rombongan itu mula mencari tempat yang sesuai untuk mendirikan khemah di sekeliling pantai. Kulit mereka terasa agak perit kerana cuaca yang masih panas pada tengah hari itu.

 

“Bada!! (Pantai!!)” Baek Gu teruja kerana sudah lama tidak pergi ke pantai. Saerah menepuk lengan lelaki itu perlahan.

 

“Baek, tolong saya pasang khemah boleh tak?” mata Saerah mengecil kerana silau. Rambutnya terbuai-buai ditiup angin.

 

“Kita tidur sekhemah ke?” soal Baek Gu,  sengaja ingin mengusik Saerah.

 

“Pernah kena lempang dengan botol air tak?”

 

“Awak ni kejam macam Shahrul la. Selalu nak mengancam kecantikan wajah saya.” Komen Baek Gu.

 

“Awak ni perasan macam Shahrul. Tapi sekurang-kurangnya Shahrul perasan muka dia handsome. Awak ni perasan cantik pulak. That’s so manly of you, Mister Korea.” Saerah melagakan bahunya dengan lengan Baek Gu, kerana tidak sampai untuk melagakan bahunya dengan bahu lelaki itu. “Marilah tolong saya sekejap.”

 

“Boyfriend awak mana?” soalan Baek Gu itu membuatkan Saerah mengangkat kening tanda hairan. Boyfriend? Siapa?

 

“Boyfriend saya belum jatuh dari langit. Cepatlah, Baek Gu.” Pinta Saerah. Sebenarnya dia boleh sahaja meminta bantuan orang lain tetapi dia memilih untuk meminta bantuan Baek Gu. Baek Gu menurut. Dia boleh melakukan apa-apa sahaja untuk gadis itu.

 

“Khai mana? Macam mana kalau dia marah? Dia kan boyfriend awak.”

 

“Dia pergi pasang khemah dialah. Excuse you, Baek Gu. Dia ex-boyfriend saya. Saya dah tak ada apa-apa hubungan dengan dia. Kami cuma berkawan.” Jelas Saerah. Dia dapat mengesan wajah Baek Gu yang bersinar-sinar dengan kegembiraan.

 

“Tapi kenapa tadi dia cakap kat saya yang dia tu boyfriend awak? “ Baek Gu inginkan kepastian. Jika benar Khai hanya bekas teman lelaki Saerah, itu bermakna dia masih mempunyai peluang untuk mendapatkan Saerah.

 

“Dia bebas untuk cakap apa yang dia suka. Awak percayakan saya, kan?” Saerah membantu Baek Gumengeluarkan setiap komponen khemah itu daripada beg. Baek Gu mengangguk, dia memang mempercayai Saerah. Saerah mengingatkan dirinya untuk berpesan kepada Khai supaya tidak mengaku sebagai kekasihnya lagi.

 

Baek Gu siap memasang khemah Saerah dalam beberapa minit. Dia selalu mengikuti perkhemahan sewaktu zaman dia masih belajar. Baek Gu menyambut huluran air oleh Saerah lalu diteguk perlahan. Rasa lega apabila air sejuk itu melalui kerongkongnya.

 

“Awak nak saya tolong pasang khemah awak pulak?” tawar Saerah.

 

“Tak payahlah. Muat je khemah ni kalau kita nak tidur sekali. Aduh, sakitlah Saerah!”

 

Mereka tidak sedar yang ada mata yang memerhatikan mereka sejak tadi. Khai sudah melihat dan mendengar semua perbualan mereka. Ada rasa cemburu yang menyelinap di dalam dada. Dia tidak buta, dia tahu Baek Gu menyukai Saerah. Yang lebih menyakitkan hatinya adalah dia dapat merasakan yang Saerah juga  menyukai Baek Gu. Cara Saerah memandang Baek Gu meyakinkan Khai yang perasaan Saerah pada Baek Gu adalah lebih daripada sekadar suka. Khai yakin kerana mata gadis itu pernah melihatnya begitu. Melihat dengan penuh rasa sayang.

 

 Khai mengepal jari-jemarinya. Dia tidak akan membiarkan Saerah jatuh ke tangan Baek Gu. Saerah pasti akan kembali menjadi miliknya.

 


 

“Banyaknya nyamuk,” rungut Baek Gu, berjalan beriringan di dalam hutan itu bersama Khai dan Saerah. Aktiviti pada malam itu adalah ‘jungle trekking’ di dalam sebuah hutan yang paling dekat dengan tapak perkhemahan mereka.  “Saerah, awak okay tak?”

 

“Saerah tak ada apa-apa. Kau tu yang bising daripada tadi. Mulut kau tak boleh diam ke?” hati Khai sudah berbulu sejak tadi. Dia tidak suka apabila Baek Gu mengambil berat tentang Saerah.

 

“Awak berdua ni boleh diam tak? Bergaduh macam budak kecik. Buat malu je orang lain tengok.” Saerah mula bosan kerana dua jejaka itu tidak berhenti bergaduh sejak hari pertama di situ. Saerah menampar lengannya yang digigit nyamuk. Lengannya yang gatal digaru perlahan sambil terus melangkah. Pelbagai bunyi serangga boleh didengari di dalam hutan itu.

 

Baek Gu menjongketkan kening ke arah Khai, dia tahu Khai cemburu. Khai hanya mampu menyumpah di dalam hati. Dia tidak mahu Saerah terus marah padanya. Bunyi aneh membuatkan langkah Saerah, Baek Gu dan Khai terhenti. Perasaan berdebar mula menghantui mereka. Kenyataan yang mereka berada paling belakang menambahkan rasa takut yang mereka alami.

 

“Bunyi apa tu?” Khai mula risau. Lengan Saerah ditarik supaya Saerah berada di sebelahnya. Dia mahu melindungi gadis itu daripada makhluk aneh itu. Bimbang kalau-kalau makhluk itu tiba-tiba muncul. Mata Baek Gu melilau, mencari sumber bunyi itu. Baek Gu ketawa galak apabila dia sudah tahu dari mana bunyi aneh itu datang.

 

“Itu bunyi babilah. Tengok tu, comel.” Baek Gu menudingkan jari ke arah seekor babi hutan yang berada agak jauh dari tempat mereka berdiri. Binatang berkenaan lari apabila Khai menyuluh ke arahnya. Saerah pula menyabarkan dirinya daripada menyuluh mata Baek Gu. Mata lelaki itu perlu dicerahkan. Babi dikatanya comel? Ingin sahaja dia mencucuk mata lelaki itu dengan ranting kayu yang sedang mencucuk pinggangnya.

 

 Mereka meneruskan perjalanan. Baek Gu tidak berhenti daripada menceritakan pengalaman-pengalamannya berkhemah walaupun menerima jelingan maut daripada Khai. Dia bercerita untuk Saerah jadi dia tidak tahu mengapa Khai perlu menyibuk. Saerah sendiri kelihatan berminat untuk mendengar cerita-ceritanya. Saerah terjerit perlahan apabila kakinya tersadung. Dia jatuh terlentang. Rasa sakit tidak mampu menandingi rasa malu yang dia alami saat itu. Mengapa dia perlu jatuh terlentang di hadapan dua orang lelaki yang menarik itu? Baek Gu dan Khai terus panik.

 

“Saerah, awak okay tak?” Baek Gu melutut di sebelah Saerah yang sudah duduk itu. Kebimbangan terpancar pada wajahnya dalam kesamaran malam. Khai pantas mengambil beg galas yang dibawa oleh Saerah, tidak mahu berat beg itu terus membebani Saerah.

 

“Awak boleh bangun tak?” soal Khai pula. Saerah memeriksa tapak tangannya yang terasa pedih. Ada luka kecil di situ. Saerah berpaut pada lengan Khai yang sedang berdiri lalu cuba bangkit.

 

“Kau tak boleh jaga dia elok-elok ke? Kalau tak boleh jaga, baik bagi dia jalan dengan aku.” Tegas sekali suara Baek Gu saat itu. Khai tercabar apabila Baek Gu berkata sedemikian. “Dia terjatuh. Bukan aku yang tolak dia. Kalau aku bagi dia jalan dengan kau pun kau boleh buat apa? Kau tu kena gigit nyamuk pun dah bising.”

 

“Yang tak habis-habis nak bergaduh ni kenapa? Saya luka sikit je. Tak payahlah nak kecoh. Jomlah jalan cepat. Saya dah tak tahan dengan awak berdua ni,” Saerah lantas berjalan mendahului mereka. Khai menolak bahu Baek Gu untuk menyakitkan hati lelaki itu sebelum menyusuli langkah Saerah. Baek Gu hanya mampu menahan perasaan. Ingin sahaja dia mengebumikan Khai di dalam hutan itu secara hidup-hidup.

 


 

Sebaik sahaja kembali ke tapak perkhemahan, mereka bergerak ke khemah masing-masing untuk menyimpan beg-beg mereka. Selepas itu, mereka berkumpul berdekatan dengan unggun api. Ada yang mula bermain gitar dan ada pula yang menyanyi. Saerah, Khai dan Baek Gu duduk bersila agak jauh dari mereka, rimas apabila berada berdekatan mereka yang agak bising.

 

“Saerah nak air?” Khai bangun untuk mendapatkan air minuman. Tekaknya terasa kering.

 

“Nak.” Sampuk Baek Gu. Dia juga sedang dahaga. Itu mengundang jelingan tajam dari Khai. Dia meluat melihat lelaki itu. Setiap kali dia ingin bersama Saerah, setiap kali itu jugalah Baek Gu akan menyibuk.

 

Baek Gu sedar yang Khai tidak senang hati setiap kali dia memulakan perbualan dengan Saerah. Dia tidak kisah kerana dia ingin bersaing dengan Khai secara sihat. The best man wins, katanya.

 

“Boleh jugak. Ambillah sekali untuk Baek Gu.” Pinta Saerah. Dia masih penat. Mujurlah tiada anggota badannya yang terseliuh semasa terjatuh di dalam hutan sebentar tadi. Sebaik sahaja Khai melangkah menjauhi mereka, Saerah terus memandang Baek Gu. “Kenapa awak suka sangat gaduh dengan Khai? Kalau betul ada salah faham antara awak dengan dia pun, awak mengalah sajalah. Awak kan lebih tua daripada dia.”

 

“Awak tak rasa dia yang sepatutnya hormat saya yang lebih tua daripada dia ni? Kalau ikutkan saya boleh panggil dia biadap, tapi tak, saya tak terfikir pun macam tu. Ini hal antara lelaki, awak tak payah ambik tahu.” Baek Gu menggaru lengannya yang gatal, bekas gigitan nyamuk.

 

Saerah hanya membiarkan kata-kata Baek Gu berlalu. Kata-kata lelaki itu ada benarnya jadi dia tidak tahu hendak membalas apa. Baek Gu kelihatan matang pada matanya apabila berkata sedemikian.

 

“Adoi, perut ni...” perut Baek Gu mula terasa memulas.  Dia sendiri tidak tahu mengapa. “Saerah, ada orang call saya so saya pergi jawab sekejap ya.” Baek Gu bangkit, wajahnya berkerut-kerut. Saerah menjongketkan keningnya. Dia tidak mendengar bunyi deringan telefon mahupun suara memanggil nama Baek Gu. Apa yang dimaksudkan dengan ‘ada orang call’ oleh Baek Gu itu?

 

“Siapa call awak?” Anak mata Saerah mengikuti pergerakan tubuh Baek Gu yang seperti cicak menari tarian gelek itu. Baek Gu menggigit bibirnya, dia benar-benar tidak mampu menahannya lagi. “Nature!” Baek Gu terus berlari, ingin mencari tempat yang sesuai untuk melaksanakan pelaburannya.

 

“Nature?” Saerah terpinga-pinga. “Oh...nature call. Mengarut betullah anak Korea ni. Itulah kawan sangat dengan Shahrul, cakap pun dah mengarut macam Shahrul. Pengaruh rakan sebaya betul.” Gerutu Saerah sendiri sambil tersenyum. Dia mengaru betisnya yang berlapik seluar trek yang dipakai. Terasa gatal pula. “Aduh...”

 

Dia menarik hujung seluarnya yang dipakai sehingga ke paras lutut, ingin mencari tahu punca kesakitan itu. “Kenapa tadi tak rasa sakit pun?” Saerah tidak tahu pula yang sebenarnya ada kesan luka panjang pada betisnya akibat terjatuh di dalam hutan tadi. Dia meniup luka itu, ingin mengurangkan rasa gatal yang dialami. Ingin digaru bimbang makin teruk pula luka itu.

 

Saerah akhirnya membuat keputusan untuk menyapu ubat pada luka itu. Dia bangun lalu bergerak ke arah khemah di mana dia tidur sendiri. Sedang Saerah ralit mencari ubat sapu di dalam begnya, muncul Khai di hadapan khemahnya beserta dua cawan polisterina berisi kopi O yang masih hangat. Apabila Khai melihat Saerah tiada di tempat tadi, dia terus dapat menjangkakan yang Saerah sudah balik ke khemah.

 

Khai meletakkan dua biji cawan itu diluar khemah lalu memasuki khemah itu. Terkejut Saerah dibuatnya kerana Khai masuk secara tiba-tiba. “Khai! Terkejut saya.” Saerah mengurut dadanya, jantungnya berdegup laju akibat terkejut.

 

“Sorry. Saya tak berniat nak buat awak terkejut. Kenapa tak bagitahu yang kaki awak luka?” pandangan Khai hanya fokus pada kesan luka di betis Saerah.

 

“Saya pun baru tahu. Alah, luka sikit je pun. Kaki saya belum patah, masih mampu menendang awak keluar dari khemah ni.” Gurau Saerah. Khai tersenyum. Gadis itu selalu ada cara untuk membalas kata-kata orang.

 

“Mana ubat? Biar saya tolong sapu.” Khai menawarkan bantuan.Terasa gembira pula kerana dapat berdua-duaan bersama Saerah tanpa gangguan lelaki asing itu. Saerah menghulurkan bekas ubat sapu itu kepada Khai lalu objek itu berpindah tangan.

 

“Khai, awak boleh keluar dulu tak? Saya nak tukar seluar lain. Seluar ni ketat sangat, sakit bila nak lipat naik ke lutut. Awak keluar sekejap, ya? No free show is available.” Sempat dia bergurau. Khai hanya menurut. Dia juga tidak mahu menyaksikan apa-apa tayangan percuma di situ.  

 

“Tak siap lagi ke?” tanya Khai apabila Saerah mengambil masa yang lama.

 

“Belum lagi. Seluar ni koyak kat kelangkanglah pulak. Nampak seluar dalam Power Ranger saya.”

 

“Awak pakai seluar dalam Power Ranger?” Khai ketawa kecil. Saerah yang berada di dalam khemah turut ketawa. Dia hanya bergurau. Tidak mungkinlah dia memakai seluar dalam Power Ranger. Jiwa elegannya lebih memilih pakaian dalam berjenama Victoria’s Secret. Barulah dia boleh perasan seksi seperti Miranda Kerr.

 

Saerah membuka zip khemahnya lalu menjengulkan kepala, “Saya tipu je. Seluar saya tak koyak pun.”

 

“Saya tahu. Saya sengaja melayan awak merapu.” Khai kembali memasuki khemah itu apabila Saerah memberi ruang. Saerah memucungkan mulutnya.

 

“Awak cakap saya merapu?” Saerah masih lagi ingin bermain-main dengan Khai. Rasa selesa ketika bersama Khai masih ada. “Sekejap. Ziplah khemah nanti orang tengok dia ingat kita buat apa pulak.” Arah Saerah. Khai terus menzip pintu khemah, menghalang orang di luar daripada nampak mereka yang berada di dalam.

 

“Awak memang merapu pun,” Khai menjawab soalan Saerah tadi sambil menyapukan iodin, ingin membersihkan luka di kaki Saerah terlebih dahulu. Saerah mengaduh perlahan apabila rasa pedih mula menyengat.

 

“Janganlah kuat-kuat sangat. Sakit, tau tak? Tengok tu, dah keluar darah.” Ingin sahaja Saerah menangis. Menyesal pula Saerah rasa kerana terfikir untuk menyapu ubat. Jika tidak, pasti dia tidak rasa sesakit itu.

 

“Tahanlah sikit,” Khai mula berdebar, bimbang dia menyakiti gadis itu. Dia mencapai kapas lalu mengelap darah yang mengalir daripada luka itu. “Keluar darah sikit je ni. Nak teruskan ke tak?”

 

“Dah alang-alang tu buatlah sampai habis. Tumbuk baru tau. Cepatlah. Sakit ni...” rengek Saerah. Mahu sahaja dia menendang muka Khai agar lelaki itu dapat berkongsi kesakitan yang dia alami. Khai cepat-cepat menyapu ubat pada luka itu. Bimbang jika berlama-lama Saerah akan mengamuk pula.

 


 

Baek Gu masih terpempam. Dia tidak pasti sama ada perkara itu benar-benar terjadi atau telinganya yang telah menipu. Baek Gu mematahkan ranting kayu yang dipegang kepada serpihan-serpihan kecil lalu dibaling ke dalam unggun api. Bunyi bising yang dihasilkan orang disekelilingnya langsung tidak dihiraukan. Dia tidak menyangka Saerah dan Khai...

 

Sebaik sahaja dia kembali daripada melaburkan ‘baja’ di bawah sebuah pokok yang tersorok di dalam semak, dia mencari Saerah. Hairan pula apabila Saerah sudah tiada di tempat mereka melepak tadi. Puas dia mencari dan bertanya, semua mengatakan yang mereka tidak tahu. Khai juga tidak ada di mana-mana.

 

Dia akhirnya terdetik untuk mencari Saerah di khemah, manalah tahu kalau-kalau gadis itu sudah masuk tidur. Dia mendekati khemah itu, ternampak dua cawan kopi O yang kelihatan sudah sejuk. Dia ingin memanggil nama Saerah namun membatalkan hajatnya apabila mendengar rengekan dan jeritan perlahan Saerah.

 

Kemudian, kedengaran pula suara lelaki yang cuba menenangkan Saerah. Jantung Baek Gu terus berdegup kencang. Dia mengenali suara lelaki itu. Suara Khai. Rasa marah mula menghantui Baek Gu. Dia terasa diperbodohkan oleh Saerah. Dia terasa seperti dipermainkan.

 

“Baek Gu, kau nak tak ayam ni?”

 

Lamunan Baek Gu dikejutkan oleh Badrul yang sedang menawarkan seketul ayam BBQ kepadanya. Baek Gu menggeleng perlahan. Seleranya sudah mati sejak tadi. Jika diberi peluang untuk makan, dia ingin makan Khai secara hidup-hidup. Dia tidak menyangka Khai akan menang. Dia tidak menyangka dia akan dikalahkan oleh Khai. Dia tidak menyangka Saerah akan memilih lelaki itu, bukan dia.

 

“Mana Khai dengan Saerah?” tanya Emma pula, perasan akan perubahan mood Baek Gu. Setahunya Baek Gu merupakan seorang lelaki yang ceria.

 

“Khai dengan Saerah ada ‘kerja’ sikit. Sekejap lagi datang la kot,” Baek Gu menjongketkan bahu, cuba melindungi rasa kecewanya. Walaubagaimanapun Emma dapat mengesan riak kecewa itu. Dia mengagak yang Baek Gu cemburu dengan hubungan Khai dan Saerah.

 

“Hah, tu pun Khai.” Ujar Badrul apabila Khai muncul. Baek Gu yang duduk bercangkung itu mendongak perlahan. Khai berseorangan.

 

“Mana Saerah?” Emma menghulurkan sekeping pinggan kertas berisi beberapa ketul ayam kepada Khai. Khai menyambut beserta senyuman. “Saerah tak larat. Dia nak berehat. Dia cakap simpan makanan untuk dia. Bila dia lapar nanti dia makan.”

 

“Oh, ye ke? Kalau macam tu makanan dia aku asingkan. Letih sangat Saerah agaknya sampai tak larat nak keluar makan.” Emma sibuk meletakkan makanan untuk Saerah di dalam bekas plastik.

 

“Yalah, masa kat dalam hutan tadi dia terjatuh. Sebab tulah agaknya. Tapi kau tak payah risau. Aku dah sapu ubat. Dia luka-luka ringan je.” Ujar Khai sambil mengunyah cebisan ayam di dalam mulutnya. Baek Gu tersenyum sinis ke arah Khai. Dia tahu Saerah tidak larat bukan kerana aktiviti di dalam hutan, tetapi lebih kepada ‘aktiviti’ mereka berdua di dalam khemah tadi. Baek Gu pasti.

 

“Kau kenapa?” Khai sempat melihat senyuman sinis yang terukir pada bibir nipis Baek Gu. Baek Gu hanya menggelengkan kepalanya. “Nothing. Kau nampak batu kat sana?” Baek Gu menunjukkan ke arah seketul batu besar yang berada di gigi air pantai berkenaan. “Lepas makan kau pergi sana. Aku tunggu kau kat situ.”

 

Khai hanya memandang Baek Gu yang beransur-ansur menuju ke arah batu itu. Apa yang lelaki itu mahu darinya?

 

-10-

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!
angelily95
akan dihide semua n direpost. lepas selesai edit, chapter baru akan menyusul :)

Comments

You must be logged in to comment
kaywuu
#1
Chapter 15: Okay.. saya baru je habis baca ff ni and I was like, /kenapa aku ni outdated sgt?! T,T/
I'm in love with this story, the characters especially with Shahrul. asdfjgjjfl xP
Sis, betul ke buku Seoulmate ni dah tak diterbitkan? Fb pun dah dekat setahun saya tak bukak. IG pun xde. Huhuhu T,T
anyway, Seoulmate memang best! ^^
DeqAh_KeyBer
#2
baca novel tu and I'm like "I need to stop imagining Baek's reaction for each situation" haha. housemate siap tanye "Baca novel ke komik tu?" sbb dok asyik gelak je baca. hahaha. dapat hari ni hari ni jugak habis
Kaireen #3
Chapter 1: Dah habis baca novel tu !! best *lempang baek gu* saya tunggu novel seterusnyaaa
baekk99
#4
Author nim..sy dh beli n bace novel akak tu..best sgt2..suke sgt jalan cerita dlm novel tu..n novel tu sesuai untuk dibace dgn adik2 .. :)
kuchens
#5
Chapter 18: Seriously sy mmg berminat, excited nk beli SM! tapi.. kalau SM akan djual dkt bookstores, I'll patiently wait ^^
*sy xpndai nk beli online ni T.T*
sweetheart__2
#6
Chapter 17: Author nim saya mahu seoul mate...ade stok lagi x?
ArmyMalaysian12 #7
Chapter 17: Author-nim ade acc FB x ? ,,Saya nk beli buku tu kat FB ..Lebih senang xD ..
exobts_fans
#8
Chapter 18: Ade jual dekat pustaka rakyat tak? Mak saya tak kasi beli online . ingat nak Cari sendiri . Ade tak ?