SM-09

SEOULMATE (Light, Love & Baek Gu)

 

 

Hidup seorang gadis berumur dua puluh satu tahun itu kembali seperti biasa. Dia sudah kembali ke Kuala Lumpur, kembali bekerja dan kembali dari tempat yang dianggap neraka dunia baginya. Jauh dari rumahnya. Yang luar biasa baginya adalah perasaannya yang berubah. Perasaan asing yang dia rasai sejak peristiwa yang berlakunya ketika di kampung. Perasaan asing yang menganggunya sejak Baek Gu melafazkan ayat-ayat itu. Ayat-ayat yang membawa maksud lelaki itu nekad untuk mengahwininya.

 

Pada mulanya Saerah menganggap perbuatan Baek Gu itu hanya sekadar untuk melawan dan mematikan kata-kata Syafiq. Saerah ternyata silap besar.

 

Baek Gu tidak pernah berhenti menghubunginya melalui mesej Kakaotalk. Jika Saerah tidak membalas, Baek Gu akan terus menelefonnya. Lelaki itu tidak pernah mengungkit tentang perkahwinan tetapi entah mengapa, tindakan-tindakan Baek Gu seperti meyakinkan Saerah yang perkara itu akan berlaku. Seperti benar yang  lelaki itu akan mengahwininya walaupun kedengaran seperti mustahil.

 

Saerah akhirnya mampu menarik nafas lega saat Emma mengatakan yang dia telah merancang satu aktiviti berkhemah bagi menghargai jasa semua pekerja-pekerja butiknya. Dia akhirnya mempunyai alasan untuk mematikan telefonnya tanpa perlu melihat Baek Gu tersembul di hadapan pintu rumahnya pada keesokan harinya. Baek Gu sudah separah itu.

 

“Hei, kau dengar tak aku cakap ni?” Emma mencuit bahu sahabatnya yang jelas termenung ketika dia sedang menerangkan tentang tentatif program. Saerah kelihatan berbeza sejak pulang dari kampung. Gadis itu selalu termenung.

 

“Dengar, dengar.” Tipu Saerah, beserta senyuman yang dipalsukan. Dia tidak mahu Emma bertanya tentang masalahnya. Dengan itu, mereka mula berbual-bual kosong sambil menunggu Joy datang membawa makanan tengah hari mereka. Hari itu adalah giliran Joy untuk membelikan makanan untuk mereka. Mereka selalu mengambil giliran begitu pada hari yang terlalu sibuk.

 

Selepas beberapa minit, Joy muncul dengan kedua-dua belah tangannya penuh dengan beg plastik berisi makanan.

 

“Amboi Joy, kau borong satu restoran ke?” sapa Emma. Joy tersengih sambil menayangkan beg-beg plastik yang dijinjingnya.

 

“Ada orang belanja. Rezeki kita hari ni,” kata Joy, atau nama penuhnya Joyah. Namanya itu disingkatkan kepada Joy semenjak dia tinggal di bandar. Dia malu apabila orang memanggilnya Joyah.

 

“Siapa belanja?” Saerah curiga.

 

“Orang yang belanja ni tengah tunggu kau kat bawah. Pergilah,” arah Joy. Saerah mula memasamkan muka. Dia tahu yang Baek Gu sudah berjaya mendapatkan kembali kad-kadnya yang patah tetapi itu tidak bermakna lelaki itu perlu membelanja sesiapa sahaja mengikut kehendak hatinya. Saerah sudah merangka idea untuk membelasah Baek Gu kepada bebola-bebola kecil sebaik sahaja mereka bertentang mata nanti.

 

“Aku turun dulu,” ujar Saerah lalu tanpa melengahkan masa mengatur langkah untuk bertemu Baek Gu yang sedang menunggunya di bawah. Rasanya baru sahaja sebentar tadi lelaki itu menghubunginya jadi mengapa lelaki itu perlu datang ke situ?

 

“Hai,” sapa lelaki itu sebaik sahaja ternampak Saerah. Saerah sehabis mungkin cuba mengawal reaksi mukanya kerana dia betul-betul menyangka yang datang untuk bertemunya adalah Baek Gu. Dia silap. Lelaki yang berada di hadapannya saat itu adalah Khai.

 

“Awak buat apa kat sini?” suara Saerah mendatar. Kepalanya sudah kusut memikirkan Baek Gu jadi dia tidak mahu kehadiran Khai menambahkan masalah. Khai teragak-agak untuk bersuara kerana Saerah kelihatan dingin.

 

“Jom pergi lunch,” pelawa Khai, memaniskan muka. Dia kini sedar yang dia sangat merindui gadis itu. Dia langsung tidak merelakan perpisahan mereka walaupun dia yang mengucapkan kata putus. Dia sudah lama merancang untuk merebut hati gadis itu semula namun kesibukan bekerja menjadi penghalang. Dia selalu berulang-alik ke Singapura untuk menguruskan cawangan terbaru syarikat bapanya.

 

“Tak boleh. Saya ada banyak kerja kat atas. Nak kena bungkus pesanan,”

 

“Joy cakap semua kerja dah siap?” pintas Khai. Saerah terus menyumpah di dalam hati. Dia terlupa yang Khai baru sahaja bertemu Joy. “Jomlah. Saya cuma belanja makan je.”

 

“Okay.” Saerah mengalah kerana dia sudah tidak tahu untuk berdalih bagaimana. Khai tersenyum, bersorak girang di dalam hati.

 

Saerah menetapkan fikirannya yang dia keluar dengan Khai pada hari itu hanya sebagai kawan. Kawan sepatutnya melayan kawan dengan baik jadi Saerah mengingatkan dirinya agak tidak terlalu kasar dalam melayan Khai. Dia berbual dengan Khai seperti biasa, seperti tiada apa-apa yang pernah berlaku antara mereka. Khai pula tidak mengerti. Dia menyangka  Saerah melayannya dengan baik kerana Saerah masih menyayanginya.

 

“Best tak pergi Singapore?” tanya Saerah saat Khai menceritakan tentang dirinya yang perlu berulang-alik ke negara itu. Khai mengangguk. Sejujurnya dia seronok pergi ke sana, yang tidak seronoknya adalah apabila tiada gadis bernama Saerah di situ.

 

“Awak nak pergi sana? Saya boleh bawak. Awak cakap je bila-bila awak nak pergi,” Khai memerhatikan wajah Saerah. Dia ingin mengingati setiap lekuk wajah gadis itu supaya dia boleh membayangkan wajah itu saat mereka berjauhan. Mereka berjalan beriringan ke arah kereta, masing-masing sudah kenyang.

 

“Betul ni? Kalau macam tu saya nak bawak Emma, Joy, Saiful, Shahrul,”

 

“Dah, tak payah nak mengarut.” Khai sebenarnya ingin melayan sahaja gurauan Saerah itu kerana dia sendiri arif benar yang Saerah suka bergurau. Namun, hatinya panas apabila gadis itu menyebut nama Shahrul. Andai sahaja Saerah tidak rapat dengan Shahrul, pasti hubungan mereka masih kekal sebagai pasangan kekasih. Saerah hanya mengangkat bahu, tahu benar mengapa mood lelaki itu berubah. Dia memang sengaja menyebut nama Shahrul.

 

 “Jom pergi tempat biasa,” ujar Khai, pelawaan itu kedengaran seperti satu arahan.

 

“Tadi cakap nak belanja makan je?” Saerah tidak puas hati kerana Khai mengajaknya pergi ke tasik di mana mereka selalu pergi ketika masih bersama.

 

“Alang-alang kita dah keluar. Kalau awak risau yang sekarang ni still panas, kita lepak dalam kereta je kat tasik tu nanti.  Kita pergi, okay?” Khai benar-benar mahu Saerah bersetuju. Sudah lama dia tidak meluangkan masa bersama gadis itu. Saerah mengeluh sebelum mengangguk. Kasihan pula apabila melihat muka Khai yang sangat mengharap. Saerah rasa tidak salah untuk dia mula menerima Khai sebagai sebagai kawan walaupun bukan itu yang Khai inginkan.

 


 

Baek Gu dan Shahrul sedang bermalas-malasan di ruang tamu rumah Shahrul pada petang yang berbahagia itu. Selepas mendapatkan kembali semua kad-kad pentingnya, Baek Gu langsung tidak mahu berpindah keluar dari rumah Shahrul. Dia sudah selesa tinggal di situ bersama Shahrul. Dia juga langsung tidak berniat untuk berhenti daripada bekerja di kafe. Dia akan membantu Shahrul di kafe sebagai balasan kepada jasa baik sahabatnya itu membiarkan dia terus tinggal di rumah itu. Shahrul tidak kisah kerana adanya Baek Gu di situ mampu menemaninya yang berstatus ‘forever alone’ itu.

 

Konsentrasi Baek Gu dan Shahrul yang sedang menonton drama yang sedang disiarkan di televisyen itu terganggu apabila ketukan pintu kedengaran. Shahrul yang sedang berbaring di atas sofa melirik ke arah Baek Gu yang sedang duduk bersila berhampiran meja kopi. “Pergi tengok siapa datang tu.” Arah Shahrul malas. Matanya kembali melekap pada skrin televisyen. Baek Gu meletakkan telefon bimbitnya di atas meja kopi lalu bangkit menuju ke arah pintu. Ketukan masih kedengaran.

 

Apabila pintu dibuka, muka Kak Yah menyapa pandangan Baek Gu. Muka Kak Yah tiba-tiba memerah tanpa Baek Gu ketahui alasannya. “Boleh tolong tak? Paip dekat rumah akak..err..paip dekat rumah saya bocor,” Kak Yah melunakkan suaranya. Dia menyangka Shahrul yang membuka pintu.

 

“Paip bocor?” Baek Gu memusingkan kepalanya untuk memanggil Shahrul, “Yah! Paip...” Baek Gu tidak jadi untuk meneruskan ayatnya apabila dia teringat yang wanita  yang berdiri di hadapannya itu bernama Yah. Dia melirik ke arah wajah wanita itu. Baek Gu menelan liur apabila melihat Kak Yah tersenyum penuh perasaan ke arahnya. “Hei Shahrul, paip rumah Kak Yah bocor!”

 

Shahrul terus bangun dan mendekati mereka. Shahrul sudah biasa dengan keadaan itu. Wanita-wanita di kawasan itu selalu datang mendapatkan bantuannya memandang hanya dia seorang lelaki bujang di kawasan itu. “Teruk sangat ke bocornya?”

 

Kak Yah masih terpukau dengan kecomelan wajah Baek Gu untuk menyedari soalan Shahrul. Baek Gu pula tidak selesa apabila dipandang begitu. Kalau ikutkan hati ingin sahaja Shahrul menutup pintu rumahnya apabila soalannya tidak dijawab. “Akak!”

 

“Ya. Teruklah jugak. Habis satu dapur basah. Cepatlah tolong akak,” Kak Yah akhirnya kembali ke bumi yang nyata apabila disergah oleh Shahrul. Shahrul memandang ke arah Baek Gu,“Aku pergi check dulu. Kau pergi ambik box kat dapur. Aku simpan dekat kabinet dapur paling bawah.” Shahrul menyarungkan selipar lalu mula berlari ke arah rumah Kak Yah. Kak Yah terus mengikuti walaupun hatinya tidak rela. Dia ingin Baek Gu ikut bersama.

 

Sejurus selepas masuk ke dalam rumah Kak Yah, Shahrul terus berlari ke dapur rumah itu. Kelihatan air memancut keluar membasahi seluruh dapur melalui sebatang paip pada dinding yang pecah, bukan bocor seperti apa yang Kak Yah katakan. Shahrul agak hairan melihat seorang gadis sedang menghalang air yang memancut keluar menggunakan tangan, walaupun usaha itu sangat sia-sia. Air tetap memancut keluar dan gadis yang Shahrul tidak kenali itu pula yang basah kuyup.

 

“Kak Yah! Tutup paip utama kat luar tu!” laung Shahrul lalu mendekati gadis yang basah kuyup itu. “Tak payah tutup guna tangan. Tak jadi apa pun. Pergi cari kain,” arah Shahrul kepada gadis itu. Shahrul memang suka mengarah, walaupun pada orang yang tidak dia kenali. Dia memang dilahirkan begitu. Saat gadis itu berpaling, jantung Shahrul seperti berhenti berdegup. Shahrul sudah selalu melihat gadis cantik, namun, gadis itu adalah gadis cantik pertama yang berjaya membuat hatinya tidak keruan. Shahrul cepat-cepat beristighfar di dalam hati lalu mengalihkan pandangan daripada wajah gadis itu ke arah batang paip yang lebih memerlukan perhatiannya saat itu. Gadis itu beratus kali ganda lebih cantik daripada Nadirah.

 

“Nak kain?” tanya gadis itu. Telinga Shahrul terus berubah merah apabila mendengar suara lembut gadis itu. Sumpah dia boleh mendengar suara itu siang dan malam tanpa jemu. Shahrul menyumpah dirinya di dalam hati. Dia sendiri tidak tahu apa yang tidak kena dengan dirinya.

 

“Yalah, kain. Kalau kau tak kenal kain, kain tu diperbuat daripada benang banyak-banyak yang ditenun. Kalau tak kenal jugak, woi!” hampir sahaja jantung dan semua organ dalaman Shahrul luruh. Matanya hampir terkeluar daripada soket apabila gadis itu dengan selambanya menanggalkan baju yang dipakai meninggalkan tubuhnya dengan sehelai singlet. Gadis itu tidak perasan akan reaksi Shahrul. Dia menghulurkan baju ke arah Shahrul. Shahrul mengambil baju itu dengan pantas lalu mengikat bahagian paip yang pecah itu supaya air tidak terus terpancut merata-rata.

 

Shahrul menarik nafas dalam-dalam lalu menghadap gadis itu. “Kau gila ke? Yang kau tanggal baju tu kenapa? Kau nak lahirkan zuriat aku ke apa?” marah Shahrul dengan muka yang merah. Dia masih seorang lelaki yang normal jadi gadis itu tidak sepatutnya berbuat sedemikian. Shahrul mengawal matanya agar hanya memandang wajah gadis itu. Kenapa  gadis zaman sekarang tidak takut dengan lelaki?

 

Shahrul pantas menyesali apa yang telah dia katakan apabila melihat muka gadis itu yang berubah takut. “Bukan. Bukan tu maksud aku! Maksud aku, sekarang ni kita tengah basah dan berdua..mana Kak Yah ni? Kak Yah!!” Shahrul mula menyedari yang Kak Yah sejak tadi tidak masuk-masuk.

 

“Aku nak marah, kau bukan adik aku. Kau pergi masuk bilik dan jangan keluar selagi aku tak balik. Kalau kau keluar jugak maknanya kau memang nak lahirkan zuriat.. bukan! Pergi masuk bilik!” perasaan Shahrul bercampur-aduk ketika itu. Dia tidak mahu melihat keadaan gadis itu begitu dengan lebih lama. Imannya yang tidak seberapa boleh roboh. Gadis itu terus berlari memasuk ke dalam bilik.

 

“Kak Yah!!” jerit Shahrul, dia tidak sudah kisah jika satu kawasan perumahan mendengar jeritannya. Dia ingin mencekik wanita bernama Kak Yah itu kerana membiarkan dia duduk sendiri di dalam rumah walaupun tahu yang ada gadis lain di dalam rumah itu.

 

“Kenapa?” muncul Kak Yah dengan muka naifnya. Dia sebenarnya menunggu Baek Gu untuk datang tetapi lelaki itu tidak muncul-muncul. Shahrul menyabarkan dirinya kerana jika dia tidak sabar, pasti dia sudah menggantikan batang paip yang pecah itu dengan kepala Kak Yah.

 

“Kak Yah tutup tak paip kat luar tu?”

 

“Dah tutup.” Jawab Kak Yah. Shahrul hairan kerana jika paip utama sudah ditutup, sepatutnya paip di dapur sudah tidak akan mengeluarkan air. Namun, batang paip itu masih mengeluarkan air dan terus mengalir di dinding itu.

 

“Peliklah rumah Kak Yah ni. Sepatutnya air dah tak mengalir. Lagi satu, batang paip ni sepatutnya duduk dalam dinding. Lagi satu yang peliknya, mana budak Korea ni tak datang-datang?” bebel Shahrul. Dia sepatutnya tahu orang yang dia gelarkan sebagai ‘budak’ itu tua tiga tahun daripadanya.

 

“Nita mana?” soal Kak Yah apabila gadis itu sudah tiada di dapur itu. Shahrul menudingkan jari ke arah baju yang digunakan untuk mengikat batang paip. “Dia kena perintah berkurung.”

 

“Shahrul, box ni ke?” ‘budak’ yang ditunggu akhirnya muncul. Muka Baek Gu berkerut kerana objek itu sangat berat.

 

“Betullah tu. Kenapa kau lambat sangat datang?”

 

“Banyak sangat box kat dapur tu. Aku kena bukak satu-satu. Macam mana paip ni boleh bocor?” Baek Gu yang curiga terus bertanya. Shahrul memandang ke arah Kak Yah untuk meminta penjelasan.

 

“Tadi Kak Yah tengah potong ayam. Tiba-tiba ada lipas keluar. Akak gelilah tengok lipas tu. Akak bersedia nak tetak lipas tu dengan pisau. Lipas tu terbang lepas tu hinggap kat paip. Akak pun apa lagi, akak tetaklah dengan pisau yang akak pegang. Itu yang sekali dengan batang paip tu kena tetak.” Jelas Kak Yah.

 

“Ganasnya akak ni.” komen Baek Gu. Kak Yah terus tersipu malu, “Saya sebenarnya sopan santun. Yang ni kes tak sengaja.” Kak Yah cuba membela dirinya. Dia perlu selalu tampil ayu di mata Baek Gu.

 

“Baek Gu, sebelum kau menerima nasib yang sama macam Pas Devas tu baik kau tolong aku gantikan batang paip ni.” Shahrul tidak sanggup untuk terus melihat cubaan Kak Yah untuk menarik perhatian Baek Gu.

 

“Pas Devas tu bukan nama lipas yang Saerah bela ke?” Baek Gu tiba-tiba tersenyum. Entah mengapa dia selalu senang hati apabila teringatkan Saerah. Shahrul perasan riak cemburu pada wajah Kak Yah apabila Baek Gu menyebut nama perempuan lain.

 

“Semua lipas kat dunia ni adalah haiwan peliharaan Saerah. Dan untuk pengetahuan Kak Yah, Saerah tu nama girlfriend Baek Gu.” Shahrul sengaja ingin mengenakan Kak Yah.

 

Kak Yah terus makan hati berulam jantung. Baek Gu pula memasang hajat di dalam hati agar mulut lelaki itu masin.

 


 

 

“Kenapa awak suka sangat datang sini?” Saerah menghayunkan buaian yang sedang diduduki oleh Baek Gu. Lelaki itu selalu datang ke kawasan perumahannya pada setiap malam. Mereka sudah menghabiskan masa selama tiga puluh minit di situ, sekadar berbual-bual.

 

“Saya nak mengurat Saiful,” Baek Gu ketawa kecil. “Punya kakak.”

 

“Gedik.” Komen Saerah perlahan lalu menjauhi buaian yang sedang berhayun itu. Senyuman turut terukir pada wajahnya. Apabila lelaki itu menganggunya menggunakan alat telekomunikasi, dia rasa terganggu. Namun apabila bertemu empat mata, hatinya menjadi suka pula.

 

“Kakak Saiful tu nak ke kat awak?” usik Saerah. Baek Gu melompat daripada buaian yang masih bergerak itu, mendarat dengan kedua-dua belah lutut. Spontan Saerah menjerit. Dia terkejut apabila Baek Gu tiba-tiba melompat. “Baek Gu!”

 

Saerah menghampiri Baek Gu yang sedang menepuk seluarnya yang terkena pasir. Baek Gu ketawa atas cubaan mendaratnya yang gagal. Terasa seperti kanak-kanak pula. “Tak sayang nyawa ke?” marah Saerah. Hatinya lega kerana tiada mana-mana bahagian dalam sistem rangka lelaki itu yang tercabut.

 

“Saya tak apa-apalah. Untuk menjawab soalan awak tadi, kakak Saiful tu suka saya kot. Sebab ada sekali tu saya melompat terjun daripada sebuah bangunan untuk melawan Venom, dia pun menjerit. Dia cakap ‘Spiderman! Jangan pergi! Tidakkah kau sayang padaku? I am your Mary Jane! Spiderman, I love you’. Hehe...”

 

“Spiderman? Siapa spiderman?” Saerah berpeluk tubuh, menuntut jawapan daripada Baek Gu.

 

“Obviously, me,” ujar Baek Gu. “And you are my Mary Jane. Should we kiss now?” Baek Gu menggerakkan-gerakkan keningnya dengan penuh main-main.

 

“Perasan. Setakat terjun buai tu dah feeling terjun bangunan. Sudah-sudahlah melayan cerita Spiderman tu. Awak tu bukan budak sepuluh tahun.”

 

“Spiderman cool la. Dalam banyak-banyak superhero, dia paling comel. Awak comel sikit je daripada dia. Saya comel banyak,” Baek Gu menayangkan barisan giginya yang cantik.

 

“Sila teruskan imaginasi awak. Saya nak masuk rumah dan tidur. Goodbye, Spiderman.” Saerah terus melangkah. Pantas Baek Gu mencapai tangan gadis itu. “Mary Jane, don’t leave me alone.I am hungry for your love. Feed me..adoi,” kepala Baek Gu terteleng apabila ditunjal oleh Saerah. Saerah tidak tahan mendengar kata-kata Baek Gu yang sudah meraban dan mampu mengalahkan tahan meraban para penduduk planet Pluto, jika planet itu berpenghuni.

 

“Baek Gu, baik awak balik sebelum saya bertukar jadi The Incredible Hulk.” Ugut Saerah.

 

“Can I be your y Betty Ros?” Baek Gu tidak habis-habis dengan perangai main-mainnya.

 

“Pergi balik!”

 


 

Shahrul cuba memekakkan telinga apabila pintu rumahnya diketuk pula pada malam itu.Jirannya yang bernama Kak Messi itu pula sejak tadi asyik bergaduh denggan suaminya kerana tidak mahu mengupah seorang pemandu khas untuknya. Ingin sahaja dia pindah dari kawasan perumahan itu supaya hidupnya lebih aman dari ancaman Kak Messi dan mulutnya yang tidak tahu diam, Kak Yah yang selalu cuba menggoda Baek Gu dan ancaman terbaru adalah gadis yang cuba menendang pintu hatinya. Hatinya dalam bahaya.

 

Atas dasar kemanusiaan, Shahrul tetap bangun untuk membuka pintu itu. Kebiasaannya dia akan menyuruh Baek Gu tetapi lelaki itu pula sudah keluar entah ke mana.

 

“Kak Yah belanja burger,” sapa suara lembut itu sebaik sahaja pintu dibuka. Shahrul berpeluk tubuh sambil melihat gadis yang menganggu ketenteraman jiwanya  itu. Tidak silap Shahrul nama gadis itu adalah Nita.

 

“Tahu pun pakai baju,” ingin sahaja Shahrul menampar wajahnya sendiri apabila ayat itu keluar daripada mulutnya. Dia dapat mengesan riak terluka pada wajah lembut milik Nita. Tidak pernah Shahrul berasa bersalah apabila kata-kata menguris perasaan orang lain. Gadis itu adalah yang pertama.

 

“Burger?” Nita cuba membuang rasa kekok dengan menyuakan beg plastik itu kepada Shahrul. Dia tahu lelaki itu tidak suka padanya jadi dia ingin segera pulang. Beg plastik itu sudah berpindah tangan jadi Nita segera berpusing untuk melangkah pulang.

 

“Kejap.”

 

Nita kembali berpaling menghadap Shahrul, rambutnya beralun apabila dia berbuat sedemikian. Shahrul terasa seperti sedang menyaksikan iklan syampu secara siaran langsung. Kenapa gadis itu kelihatan terlalu cantik pada matanya? Shahrul berdehem perlahan, mindanya merangka ayat yang sesuai untuk dilafazkan.

 

"Kawan aku tak ada kat rumah so aku rasa lebih baik kalau kau makan burger lagi satu ni,” kata Shahrul, merujuk kepada dua biji burger yang berada dalam beg plastik yang sedang dijinjingnya.

 

“Kalau macam tu, bagilah sebijik. Saya makan kat rumah,” Nita menghulurkan tangan kanan.

 

“Baik kau makan dengan aku kat sini. Kalau kau makan kat rumah nanti meroyan pulak Kak Yah tu kalau dia tahu kau makan burger yang sepatutnya untuk kawan aku ni,” balas Shahrul. Nita mengelipkan mata berkali-kali sambil memandang hujung ibu jari kakinya, sedang berfikir. “Okaylah. Nak makan kat dalam ke?”

 

“Kau gila?” Shahrul hampir tersedak liurnya sendiri. “Kan ada pangkin kat luar tu. Nak makan dalam rumah aku buat apa?”

 

“Saya tanya je.” Balas Nita perlahan. Dia tidak tahu mengapa lelaki itu selalu marah padanya. Shahrul berjalan melepasi Nita untuk melangkah ke arah pangkin yang terletak di hadapan rumahnya. Mereka duduk di situ dengan jarak yang agak jauh, jarak yang selamat bagi Shahrul.

 

“Kau umur berapa?” tanya Shahrul, membuka bungkusan burgernya perlahan-lahan.

 

“Lapan belas tahun,” Nita menyelitkan beberapa helai rambut di belakang telinganya. “Bulan lapan ni cukup sembilan belas tahun.”

 

“Aku tak tanya pun birthday kau bila.” Kata Shahrul selamba. Nita hanya mampu menahan rasa.

 


 

Baek Gu sedang bermain dengan telefon bimbitnya di ruang tamu ketika pintu bilik Shahrul tiba-tiba terbuka. Jam sudah menunjukkan pukul tiga pagi tetapi Baek Gu masih tidak mengantuk. Baek Gu hairan melihat wajah Shahrul yang sedang berdiri di muka pintu itu, mukanya  berpeluh. Shahrul menghilang beberapa saat sebelum kembali muncul dengan sehelai tuala yang diletakkan dia atas bahu kanan.

 

“Awalnya kau nak mandi? Mengigau ke?” tanya Baek Gu yang sedang duduk selesa di atas sofa. Shahrul tiba-tiba berguling-guling di atas permaidani di ruang tamu itu. Mukanya resah gelisah. Itu menambahkan darjah kehairanan Baek Gu saat itu. “Kenapa ni?”

 

Shahrul baring menelentang lalu menghadap siling. “Aku mimpi.”

 

“Mimpi? Mimpi apa? Oh...” Baek Gu akhirnya dapat memahami apa jenis mimpi yang dialami oleh Shahrul. Shahrul nyaris sahaja ingin menyuruh lelaki yang lebih tua itu untuk memeriksa jantina dirinya sekali lagi jika lelaki itu tidak tahu jenis mimpi yang dia alami.

 

“Takkanlah kau tak pernah dapat mimpi tu?” reaksi lelaki itu seperti tidak pernah mendapat mimpi itu pula. Shahrul meletakkan lengannya di atas bahu. Tipulah jika dia katakan dia tidak pernah mendapat mimpi itu. Namun kali itu mimpinya sangat menakutkan, kerana dia nampak wajah gadis itu dengan jelas.

 

“Aku lelaki, takkanlah tak pernah pulak.” Balas Shahrul mendatar. Baek Gu mengerutkan dahi, “Habis tu?”

 

Shahrul tidak menjawab. Dia kembali bangun lalu melangkah ke arah bilik air. Dia mahu mandi untuk membersihkan badan, minda dan hatinya. Baek Gu pula menumpukan perhatian pada telefon bimbitnya. Dia tesenyum apabila teringatkan jemputan daripada Emma. Gadis itu mengajaknya untuk menyertai perkhemahan yang dianjurkan oleh butiknya.

 

Baek Gu semestinya tidak akan melepaskan peluang untuk mengikuti aktiviti itu, atau untuk lebih tepat, dia tidak akan melepaskan peluang untuk meluangkan masa bersama Saerah. Fikiran Baek Gu terganggu apabila dia mendengar bunyi di dapur.

 

“Kenapa dengan kau ni, Shahrul?” Baek Gu mendekati Shahrul yang sedang menceduk nasi ke dalam pinggan.

 

“Kenapa? Aku tak boleh makan nasik kat rumah sendiri?” balas Shahrul.

 

“Tak adalah sampai macam tu. Aku cuma pelik bila kau makan awal macam ni,” Baek Gu mengambil tempat di sebelah Shahrul yang mula makan nasi berlaukkan ikan goreng berlada, baki daripada makan malam mereka.

 

“Esok aku nak puasa.” Shahrul mengunyah makanan di dalam mulutnya.

 

“Eh? Tapi setahu aku sekarang ni bukan bulan puasa.” Baek Gu memerhatikan wajah Shahrul. Shahrul menggelengkan kepalanya.

 

“Puasa tak semestinya dalam bulan puasa je. Baek, air..” Shahrul terbatuk-batuk kerana menelan nasi tanpa mengunyahnya sehingga betul-betul hancur. Baek Gu segera mendapatkan air, tidak mahu kawannya itu mati tercekik seawal pukul tiga pagi.

 

Shahrul mengurut-ngurut dadanya setelah air kosong melancarkan sistemnya. “Ada banyak lagi jenis-jenis puasa.”

 

“Kenapa kau nak puasa esok?” tanya Baek Gu, meneguk baki air yang diminum oleh Shahrul tadi.

 

“Puasa ni bertujuan untuk mengajar manusia menahan nafsu. Nafsu marah, nafsu makan, nafsu tu..” Shahrul berharap Baek Gu akan faham sendiri. Baek Gu tersenyum, kerana dia tahu nafsu mana yang cuba dilawan oleh Shahrul. “So, sebab tu aku nak puasa.”

 

“Kau percaya dengan berpuasa kau boleh lawan nafsu tu?” Baek Gu mula berminat untuk tahu. Sejak mencapai umur lapan belas, dia diajar yang nafsu itu adalah perkara biasa dan hak setiap individu. Dia agak kagum apabila Shahrul cuba melawan nafsunya.

 

“Yup. Bila berpuasa, badan kita automatik akan rasa lemah sikit. So, nafsu pun akan jadi lemah. Kalau tak percaya, kau cuba berpuasa.” Shahrul menghabiskan nasinya.

 

“Kenapa kau nak lawan nafsu tu?”

 

“Apa perbezaan manusia dengan binatang?” soalan Baek Gu dijawab dengan soalan oleh Shahrul.

 

“Ejaan.” Baek Gu tersengih nakal.

 

“Kau pernah kena lempang dengan pinggan?” Shahrul mengangkat pinggannya yang sudah kosong. Baek Gu menolak pinggan itu perlahan supaya menjauhinya. Dia tidak mahu tulang pipinya rosak akibat dilempang menggunakan pinggan. Dia tidak pernah mendaftar untuk itu.

 

“Apa perbezaan manusia dengan binatang?” Baek Gu mengembalikan soalan itu, inginkan jawapan.

 

“Akal. Kalau aku biarkan nafsu menguasai aku, maknanya aku dengan binatang tak ada beza. Lebih-lebih lagi aku ni belum kahwin. Dah ada akal tu kenalah guna.” Shahrul bangkit lalu mencuci tangannya.

 

“Macam mana kalau kau dah puasa tapi tak berjaya jugak lawan nafsu tu?” tanya Baek Gu lagi.

 

“Kalau tak berjaya jugak, aku diwajibkan berkahwin.” Balas Shahrul, jelas dengan hukum itu. Baek Gu terlopong. Dia tidak menyangka perkara akan menjadi serius begitu.

 

Jika dia seorang muslim, pasti dia sudah diwajibkan berkahwin sejak dulu lagi.

 

-09-

 

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!
angelily95
akan dihide semua n direpost. lepas selesai edit, chapter baru akan menyusul :)

Comments

You must be logged in to comment
kaywuu
#1
Chapter 15: Okay.. saya baru je habis baca ff ni and I was like, /kenapa aku ni outdated sgt?! T,T/
I'm in love with this story, the characters especially with Shahrul. asdfjgjjfl xP
Sis, betul ke buku Seoulmate ni dah tak diterbitkan? Fb pun dah dekat setahun saya tak bukak. IG pun xde. Huhuhu T,T
anyway, Seoulmate memang best! ^^
DeqAh_KeyBer
#2
baca novel tu and I'm like "I need to stop imagining Baek's reaction for each situation" haha. housemate siap tanye "Baca novel ke komik tu?" sbb dok asyik gelak je baca. hahaha. dapat hari ni hari ni jugak habis
Kaireen #3
Chapter 1: Dah habis baca novel tu !! best *lempang baek gu* saya tunggu novel seterusnyaaa
baekk99
#4
Author nim..sy dh beli n bace novel akak tu..best sgt2..suke sgt jalan cerita dlm novel tu..n novel tu sesuai untuk dibace dgn adik2 .. :)
kuchens
#5
Chapter 18: Seriously sy mmg berminat, excited nk beli SM! tapi.. kalau SM akan djual dkt bookstores, I'll patiently wait ^^
*sy xpndai nk beli online ni T.T*
sweetheart__2
#6
Chapter 17: Author nim saya mahu seoul mate...ade stok lagi x?
ArmyMalaysian12 #7
Chapter 17: Author-nim ade acc FB x ? ,,Saya nk beli buku tu kat FB ..Lebih senang xD ..
exobts_fans
#8
Chapter 18: Ade jual dekat pustaka rakyat tak? Mak saya tak kasi beli online . ingat nak Cari sendiri . Ade tak ?