SM-11

SEOULMATE (Light, Love & Baek Gu)

 

 

Angin pantai itu menampar wajah Baek Gu perlahan, rambutnya terliang-lentok mengikut arah tiupan angin. Baek Gu memandang sekilas ke arah Khai yang sedang duduk bertenggek di atas sebuah batu besar di gigi air itu. Sudah hampir sepuluh minit mereka berada di situ namun tiada sesiapun yang memulakan bicara.

 

“Kau nak apa sebenarnya ni?” suara Khai akhirnya memecahkan suasana bisu antara mereka. Khai mula naik bosan duduk di situ tanpa melakukan apa-apa. Jam tangannya menunjukkan pukul tiga pagi. Dia mendongak memandang Baek Gu yang sedang berdiri. Hatinya kuat mengatakan yang tujuan Baek Gu ingin berjumpanya di situ berkaitan dengan Saerah. Khai yakin.

 

“Tentang Saerah...dia cakap kau bekas kekasih dia,” Baek Gu berdehem perlahan supaya suaranya lebih jelas. “Tapi aku tengok kau dah macam lebih daripada seorang bekas kekasih. Apa sebenarnya hubungan kau dengan Saerah?”

 

“Aku tak tahu kenapa aku kena jelaskan hubungan aku dengan Saerah dekat kau tapi sebab kau curiga sangat, aku jawab soalan kau tu. Memang, memang aku bekas kekasih dia. Kami putus sebab kesilapan aku dan aku nak baiki balik hubungan aku dengan dia. Kami dalam proses berbaik.” Jelas Khai. Baek Gu diam, cuba mencernakan ayat-ayat yang dituturkan oleh Khai. Jika Khai dan Saerah sedang dalam proses berbaik semula, mengapa layanan Saerah terhadap dirinya terasa seperti terlalu istimewa?

 

“Kau cakap kau datang sini sebab nak cari kawan kau yang hilang, kan?” tanya Khai, masih teringat cerita yang dituturkan oleh Baek Gu ketika dia membantu Baek Gu yang dalam kesusahan dulu. Baek Gu mengangguk. “Kau belum jumpa dia?”

 

“Belum. Puas aku cari tapi belum jumpa.”

 

“Kau tak rasa ke yang dah sampai masa untuk kau balik ke tempat kau? Kau duduk sini lama-lama pun untuk apa? Entah-entah kawan kau dah balik ke sana.” Saran Khai. Jika lelaki itu tidak berjaya menemui orang yang dicari, Khai rasa ada baiknya lelaki itu berputus asa dan kembali ke Korea. Bukan senang untuk meneruskan hidup di negara orang.

 

“Aku takkan balik selagi aku tak jumpa kawan aku tu. Aku yakin dia masih ada kat sini. Lagipun, ada sesuatu yang aku tak boleh tinggalkan kat sini,” ayat terakhir itu diucapkan dengan nada perlahan namun masih jelas pada pendengaran Khai.

 

“Maksud kau?” tanya Khai walaupun dia yakin dia sudah mengetahui jawapannya. Dia inginkan kepastian.

 

“Aku tak boleh tinggalkan Saerah,” Baek Gu menarik nafas perlahan. “Aku sukakan Saerah.”

 

Jawapan ikhlas daripada Baek Gu itu menerima jawapan berbentuk fizikal daripada Khai. Buku lima lelaki itu hinggap di rahang Baek Gu, menyebabkan Baek Gu terdorong ke belakang lalu jatuh terduduk. Punggungnya basah akibat terduduk di atas air. Walaupun hatinya geram dengan penangan Khai yang tidak diduga itu, dia tidak berniat untuk membalas balik.

 

“Aku bagi amaran dekat kau, jangan dekati Saerah lagi.” Dada Khai turun naik menahan rasa. Walaupun dia sudah jelas tentang perasaan Baek Gu terhadap Saerah, hatinya tetap terasa baran apabila mendengarkan pengakuan itu. Dia takut Saerah akan memilih Baek Gu. Dia takut.

 

“Sedalam manapun perasaan kau terhadap dia, kau tak mungkin bersama dia. Kau dan dia terlalu berbeza. Mungkin dah tiba masa untuk kau kembali ke tempat asal kau. Dia ditakdirkan untuk aku.” Kata Khai lagi, ingin menyedarkan Baek Gu yang perasaan lelaki itu tidak akan membawa dirinya ke mana-mana. Sedikit-sebanyak harga diri Baek Gu tercalar apabila Khai berkata sedemikian. Baek Gu bangkit lalu berdiri betul-betul di hadapan Khai. Mata mereka saling bertentangan.

 

“Aku dan Saerah terlalu berbeza? Kau dengar ni, aku akan hapuskan semua perbezaan yang menyebabkan aku dan Saerah tak boleh bersama.” Baek Gu nekad. Dia akan merealisasikan kata-katanya. Dia manusia yang berpegang pada kata-kata. Khai tergelak kecil. Nampaknya Baek Gu tidak sedar apa yang menanti dirinya.

 

“You know what, teruskan berangan.” Khai menepuk bahu Baek Gu beberapa kali bersama senyuman sinis yang terukir pada wajah. Baek Gu menepis tangan Khai yang berada di atas bahunya, dia tahu Khai sedang memperlekehkannya. Khai menjongketkan bahunya lalu memulakan langkah untuk meninggalkan Baek Gu di situ. Tiada apa-apa lagi yang dia mahu katakan kepada lelaki yang lebih tua itu.

 

“Khai..” panggilan itu menyebabkan sepasang kaki panjang milik Khai berhenti melangkah. Dia berpaling, kembali menghadap Baek Gu yang sedang berpeluk tubuh.

 

“Angan-angan jadi kenyataan bukan suatu yang baru dalam dunia ni. Aku akan jadi manusia seterusnya, angan-angan aku akan jadi kenyataan.” Ujar Baek Gu. Khai tergelak kecil sambil mengangkat kedua-dua belah tangan ke udara. Kata-kata Baek Gu langsung tidak mengancam dirinya. Baek Gu mungkin tidak pernah mendengar cerita tentang Si Luncai dan Labunya tetapi Khai yakin begitulah pengakhiran untuk Baek Gu.

 

Apabila batang tubuh Khai semakin menjauh, Baek Gu mengeluh perlahan. Apa perbezaan dia dan Saerah?

 

 

 


 

Perjalanan pulang sangat membosankan bagi Saerah kerana dia terpaksa duduk dengan Suria, adik sepupu Emma. Gadis itu mahu duduk bersamanya kerana bergaduh dengan kekasihnya. Itu menyebabkan Baek Gu terpaksa duduk dengan Khai. Pada mulanya Khai memilih untuk duduk bersama kekasih Suria tetapi lelaki muda itu kelihatan seperti mengalami tekanan perasaan akibat bergaduh dengan Suria jadi Khai membatalkan hajatnya.

 

Sepanjang perjalanan pulang itu juga, Baek Gu tidak habis-habis menendang kakinya secara sengaja tetapi memberi alasan, “Sorry, aku menggeliat.”

 

Bukan sekadar kaki, kadang-kadang kepala Khai akan ditolak oleh tangan Baek Gu. Alasan yang lebih kurang sama akan diberikan oleh Baek Gu apabila Khai mula menghadiahkan jelingan maut, “ Sorry. Kau hitam sangat. Aku tak nampak. Mengantuk ni...” kemudian lelaki itu akan menguap dan bukaan mulutnya seperti mampu menyedut masuk semua benda dan manusia yang berada di dalam bas itu. Terlalu luas. Kalau diikutkan hati ingin sahaja Khai menyiku kepala lelaki itu tetapi egonya menghalang. Dia tidak mahu berkelakuan seperti budak-budak, seperti yang dilakukan oleh Baek Gu. Dia ingin mengendalikan Baek Gu secara matang.

 

Baek Gu pula memang sengaja mencari pasal dengan Khai. Hatinya senang apabila Khai tidak mampu tidur dengan aman. Mungkin usahanya tidak membuahkan hasil, Khai akhirnya tertidur walaupun ditendang dan ditunjal kepalanya. Saat dia yakin yang Khai benar-benar terlena, pantas dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan mengambil gambar Khai yang sedang tidur. Muka lelaki itu di’zoom’. Baek Gu ketawa di dalam hati. Jika Khai mencari pasal dengan dirinya lagi, dia akan menaikturunkan gambar itu ke semua laman sosial yang wujud. Khai pasti tidak mahu perkara itu terjadi kerana itu akan memalukan dirinya, seorang usahawan muda yang berjaya. Baek Gu akhirnya membiarkan Khai berehat dengan aman.

 

“Saerah, biar saya hantar awak balik.” Pelawa Khai sebaik sahaja rombongan mereka sampai di hadapan apartment Emma, tempat yang sama mereka berkumpul pada hari pertama.

 

“Tak apa ke?” tanya Saerah sambil mengangkut beg pakaiannya. Kakinya sudah tidak sakit, luka semalam pun sudah kering. Khai mengangguk, dia memarkirkan keretanya di tempat parkir kereta di kawasan apartment itu jadi dia mampu menghantar Saerah pulang. Baek Gu hanya mampu mencebik. Kalau diikutkan hati ingin sahaja dia meminta kunci bas daripada pemandu bas berkenaan dan menghantar Saerah pulang, tetapi rasa seperti keterlaluan pula. Takkan dia hendak menghantar Saerah pulang menggunakan bas pula?

 

Baek Gu memasukkan tangannya ke dalam poket seluar, mengambil telefon bimbitnya dan ingin menghubungi Shahrul. Dia ingin meminta jasa baik manusia yang tidak berapa baik itu untuk mengambilnya. Saat dia sudah mendail nombor Shahrul,  Saerah tiba-tiba memanggil namanya. Baek Gu segera berpaling, memastikan rambutnya terhayun lembut seperti model iklan syampu. “Yes.”

 

“Awak nak balik dengan apa?” soal Saerah, mengambil berat tentang lelaki yang agak diam sejak pagi itu. Khai hanya memandang.

 

“Hello?” satu suara menjengah pendengaran Baek Gu, datang daripada telefon bimbit yang terlekap pada telinganya. Wajah Saerah dipandang. “Kau nak apa? Aku tengah dalam jamban ni.” Suara Shahrul menyapa lagi. Baek Gu tidak tahu hendak menjawab soalan Shahrul atau Saerah terlebih dahulu. Akhirnya Baek Gu membuat keputusan yang ayat berbunyi ‘ladies first’ perlu dipraktikkan di dalam kehidupan seharian.

 

“Saya tak tahu nak balik dengan apa.” Kata Baek Gu.

 

“Kau nak suruh aku datang ambik ke?” tanya Shahrul, sebaik mungkin mengawal sistem penyahtinjaannya supaya tidak beroperasi semasa dia sedang bercakap di telefon.

 

“Oh, kalau macam tu tumpanglah dengan Khai sekali.” Ajak Saerah, memandang ke arah Khai supaya lelaki itu memberi keizinan. Khai diam tidak berkutik, tidak sudi untuk menghantar Baek Gu pulang. Dia lebih rela melihat Baek Gu balik dengan berjalan kaki.

 

“Boleh ke?” ingin sahaja Baek Gu ketawa. Dia tersepit di antara perbualan dengan Saerah yang berada di hadapannya dan Shahrul yang masih di talian. Ingin mematikan panggilan tetapi risau Khai tidak mahu menghantarnya pulang, ingin menolak pelawaan Saerah bimbang Shahrul tidak mahu datang mengambilnya pula.

 

“Mestilah boleh tapi kau tunggu la aku habis melabur dulu.” Shahrul menekankan perkataan ‘melabur’. Dia boleh sahaja untuk pergi mengambil Baek Gu tetapi biarlah dia menyelesaikan urusan pentingnya terlebih dulu.

 

“Boleh tak, Khai?” Saerah menggesa Khai untuk memberikan jawapan. Khai mengeluh, sebelum memberikan keizinan, “Yalah, boleh.” Dia tidak mahu Saerah menganggap dia seorang lelaki yang tidak bertimbang rasa.

 

“Awak tumpang kereta Khai, okay? Jomlah.” Saerah membuat gaya tangan, menyuruh Baek Gu supaya mengikuti mereka. Baek Gu mengangguk sebelum mematikan panggilan. Dia pantas berlari anak ke arah Khai dan Saerah. Shahrul yang berada di hujung talian tercengang. Dia tidak menyangka Baek Gu akan mematikan panggilan begitu sahaja.

 

“Awak call siapa tadi?” tanya Saerah sebaik sahaja Baek Gu berjalan beriringan dengan dia dan Khai ke arah tempat parkir kereta. Baek Gu mengukirkan senyuman nipis, “Teksi.” Dalam diam Baek Gu meminta maaf kepada Shahrul.

 

Sunyi. Sepi.

 

Itulah keadaan di dalam kereta Khai sewaktu mereka bertiga di dalam perjalanan untuk menghantar Baek Gu pulang. Kalau Khai diberi kuasa untuk melakukan apa sahaja, mahu saja dia menghantar Baek Gu ke negara kelahiran lelaki itu. Dengan itu tiada siapa yang akan mampu menganggu-gugat hubungannya dengan Saerah.

 

Kebisuan mereka dicemari dengan satu bauan yang kurang menyenangkan. Bau itu mencucuk-cucuk deria bau mereka dan jika dihidu dengan lebih lama mungkin membolehkan mereka untuk memuntahkan segala organ dalaman. Khai yang sudah tidak tahan menghidu bauan itu terus menurunkan cermin kereta, ingin udara bersih masuk dan menggantikan udara yang telah dicemari.

 

“Siapa kentut ni?” tanya Khai, marah. Tiada siapapun yang pernah buang angin di dalam kereta. Siapakah gerangan yang membuang angin secara sembunyi itu? Apakah rahsianya sehingga langsung tidak menghasilkan sebarang bunyi. Perasaan geram mula bertimpa-timpa di dalam hati Khai apabila mendengar gelak ketawa Baek Gu.

 

“Aku. Hahaha...” Baek Gu yang duduk di tempat duduk belakang, menekup mukanya. Dia tidak mahu Saerah dan Khai melihat mukanya yang sudah merah.

 

“Tak beradab langsung.” Getus Khai perlahan tetapi cukup kuat untuk didengari oleh Baek Gu dan Saerah. Memang niat Khai mahu Baek Gu mendengar kata-katanya itu. “Aku paling tak suka orang yang tak tahu hormat orang lain.”

 

“Khai..itu kan kes tak sengaja. Janganlah marah dia.” Tegur Saerah. Dia mencuri lihat ke arah Khai di sebelahnya sebelum mencuri lihat pula ke arah Baek Gu yang duduk di belakang melalui cermin sisi.

 

“Kan, Saerah? Itu kan kes tak sengaja. Janganlah marah-marah. Kentut itu hak asasi manusia!” ujar Baek Gu seolah-olah itu adalah satu kebenaran yang perlu ditegakkan. Kulit mukanya yang putih masih merah, ketawanya juga masih bersisa.

 

“Baek Gu!” Saerah tidak suka apabila Baek Gu berkelakuan sebegitu. Baek Gu terus merapatkan bibirnya, tidak mahu ada bunyi yang keluar. Dia membuat isyarat menzip mulut ke arah Saerah yang sedang memandang tajam ke arahnya. Saerah menjegilkan matanya, memberi amaran keras sebelum kembali memandang ke hadapan. Baek Gu menekup mulut, kembali ketawa tanpa suara. Dia berguling di tempat duduk belakang, benar-benar geli hati.

 

Kenapa dengan Baek Gu? Kenapa dia ketawa sedangkan dia yang telah mencemari udara di dalam kereta mewah milik Khai itu?

 

Baek Gu sebenarnya ketawa kerana bukan dia yang melakukan pencemaran itu, sebaliknya, Saerahlah yang telah membuang angin di dalam kereta itu. Baek Gu mengaku bagi pihak Saerah kerana dia tidak mahu Saerah menanggung malu. Kerana itulah Saerah marah apabila Baek Gu ingin memanjangkan isu buang angin itu.

 

Saerah sangat bersyukur apabila Baek Gu mengaku bagi pihaknya. Dia tahu Khai tidak akan berdiam diri selagi tiada orang yang mengaku. Khai memang lelaki yang sebegitu.

 

Apabila kereta Khai berhenti di hadapan rumah Shahrul, Baek Gu membuat keputusan untuk menyuarakan perkara yang menghantui fikirannya sejak semalam.

 

“Apa Saerah buat dengan Khai dalam khemah semalam?”

 

“Baek Gu! Yo, my friend!” muncul satu suara secara tiba-tiba. Tingkap kereta itu yang masih terbuka sejak tadi menyebabkan bunyi itu kedengaran sangat kuat. Baek Gu hampir mencarut kerana terkejut. Dia mengusap dadanya, memujuk jantungnya supaya tidak luruh. Wajah Shahrul yang tersengih dipandang. Dia terus terlupa akan soalannya tadi.

 

Baek Gu mungkin terlupa tetapi tidak Khai dan Saerah. Khai dan Saerah saling berpandangan, masing-masing mengerti yang Baek Gu sudah tersalah faham.

 

“Baek Gu! I miss you, bro!” Shahrul pula tiba-tiba terlebih gula dalam darah ketika Khai dan Saerah tersepit di dalam keadaan itu. Shahrul sengaja berkelakuan sedemikian. Dia sengaja ingin menunjukkan kepada Khai yang dia melayan Baek Gu dengan baik. Shahrul memang tidak pernah melayan Khai dengan baik, jika dia ada melayan Khai dengan baik sekalipun itu hanya kerana dia memaksa dirinya. Dia memang tidak menyukai Khai sejak dahulu lagi.

 

Dia tidak menyukai Khai bukan kerana kulit hitam manis milik lelaki itu apatah lagi kerana mencemburui kejayaan Khai. Shahrul tidak menyukai Khai kerana Khai pernah bercinta dengan Saerah tanpa berniat untuk mengahwini gadis itu. Dia tahu Saerah juga inginkan hubungan sebegitu tetapi Shahrul rasa pihak lelaki perlu lebih bertegas dalam sesebuah hubungan. Lelaki mana yang tidak mahu mengahwini perempuan yang dicintai dengan sepenuh hati? Tiada. Jika ada sekalipun, itu jelas menunjukkan lelaki berkenaan hanya berniat untuk berseronok sahaja. Shahrul nampak potensi itu dalam diri Khai.

 

“Kenapa baik semacam ni?” tanya Baek Gu apabila Shahrul membukakan pintu kereta untuknya. Shahrul hanya tersenyum semanis kurma, tidak mahu berkata apa-apa.  Khai pula memahami perlakuan Shahrul. Dia dapat mesej yang cuba disampaikan oleh Shahrul.

 

“Aku memang dilahirkan baik dan bermaruah macam ni so tak perlulah nak hairan sangat. Jomlah masuk. Khai, tak nak masuk dulu ke?” pelawa Shahrul tidak ikhlas.

 

“Kau nak ajak Khai masuk dan tinggal aku seorang diri kat luar ni?” Saerah menanyakan soalan yang dia sendiri sudah tahu jawapannya. Shahrul tidak pernah membenarkan mana-mana perempuan sekalipun untuk menjejakkan kaki ke dalam rumahnya.

 

“Exactly. Apa salahnya duduk kat luar ni? Fresh air...” Shahrul menggerakkan kedua-dua belah tangannya  ke udara dengan penuh bersemangat.

 

“Tak payahlah, Shahrul. Aku nak cepat ni.” Khai menolak secara baik. Masuk ke dalam rumah itu dan duduk bersama Shahrul dan Baek Gu? Itu ibarat mimpi ngeri menjadi kenyataan, jadi, terima kasih sajalah. Dia tidak mahu. Shahrul menayangkan ibu jari tangannya ke arah Khai sebagai tanda bagus. Kalau ikutkan hati dia ingin menayangkan ibu jari kakinya tetapi memandangkan dia telah mengaku yang dia dilahirkan sebagai seorang yang baik dan bermaruah, dia membatalkan niatnya. Nama baik keluarga perlu dipelihara atau lebih tepat untuk situasi Shahrul, perlu dipulihara.

 

Baek Gu yang memerhatikan gelagat Khai dan Shahrul sejak tadi, menutup pintu kereta mewah itu dengan penuh berhemah. Mindanya ligat mencernakan apa yang dilihatnya. Baek Gu memandang pula ke arah Saerah yang sedang diam.

 

Ada yang tidak kena antara Khai dan Shahrul, Baek Gu pasti.

 

Apabila pulang nanti Saerah akan menghubungi Baek Gu untuk menjelaskan yang tiada apa-apa yang berlaku di antara dia dan Khai semalam, Saerah nekad.

 

Khai tidak akan pernah masuk ke dalam senarai teman baiknya sampai bila-bila, Shahrul yakin.

 

Nampaknya Shahrul akan jatuh ke tempat kedua di dalam senarai orang yang dibenci dan tempat pertama akan dikuasai oleh Baek Gu, fikir Khai.

 

 


 

Dua hari, bersamaan dengan empat puluh lapan jam. Selama itulah Saerah tidak dapat menghubungi Baek Gu. Sudah lenguh dia mendail nombor lelaki itu tetapi sering sahaja disambut oleh suara pesanan peti suara. Ingin bertanya kepada Shahrul namun terasa malu pula. Dia tidak mahu Shahrul tahu yang dia mengambil berat tentang Baek Gu.

 

Puas dia berfikir. Entah mengapalah dalam banyak-banyak masa, ketika itu jugalah sel-sel otaknya tidak mahu berhubung secara giat. Dia benar-benar tiada idea lain selain menghubungi Shahrul.

 

“Aduh..nak tanya ke tak ni?” Saerah meramas-ramas rambutnya dengan geram, tidak pasti apa yang dia perlu lakukan. Bantal busuknya dipeluk kejap. Jam locengnya menunjukkan lagi lima minit sebelum pukul sepuluh malam. Dia sepatutnya sudah tidur supaya badannya dapat menghasilkan hormon pertumbuhan. Dia mahu menjadi lebih tinggi, tetapi ketika itu tidak, dia lebih memilih untuk mencari cara untuk menghubungi Baek Gu. Cukuplah dua malam tidurnya bermimpikan Baek Gu.

 

“Nak apa?” soal Shahrul sebaik sahaja dia menerima panggilan daripada Saerah. Apa yang gadis itu mahukan darinya?

 

“Err..Baek Gu..”

 

“Baek Gu tak ada.” Pintas Shahrul sebelum sempat Saerah menghabiskan ayatnya. Saerah terdiam. Ke mana Baek Gu pergi pada waktu-waktu malam sebegitu? Hati Saerah mula curiga.

 

“Dia pergi mana? Aku call dia tak dapat.” Saerah menggaru kepalanya yang tidak gatal.

 

“Oh, tak dapat sebab dia sibuk kot kebelakangan ni. Dia cakap pas lawatan sosial dia dah nak tamat.” Ujar Shahrul. Saerah menggigit bibirnya. Pas lawatan sosial sudah hendak tamat? Maknanya?

 

“Dia kat mana sekarang ni?” Jantung Saerah mula berdegup laju. Tak mungkin apa yang dia fikirkan ketika itu sedang terjadi.

 

“Rasanya sekarang ni dia dah sampai kat airport kot,”

 

Telefon bimbit itu terus terlucut jatuh daripada pegangan Saerah lalu jatuh mencecah lantai.

 

-11-

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!
angelily95
akan dihide semua n direpost. lepas selesai edit, chapter baru akan menyusul :)

Comments

You must be logged in to comment
kaywuu
#1
Chapter 15: Okay.. saya baru je habis baca ff ni and I was like, /kenapa aku ni outdated sgt?! T,T/
I'm in love with this story, the characters especially with Shahrul. asdfjgjjfl xP
Sis, betul ke buku Seoulmate ni dah tak diterbitkan? Fb pun dah dekat setahun saya tak bukak. IG pun xde. Huhuhu T,T
anyway, Seoulmate memang best! ^^
DeqAh_KeyBer
#2
baca novel tu and I'm like "I need to stop imagining Baek's reaction for each situation" haha. housemate siap tanye "Baca novel ke komik tu?" sbb dok asyik gelak je baca. hahaha. dapat hari ni hari ni jugak habis
Kaireen #3
Chapter 1: Dah habis baca novel tu !! best *lempang baek gu* saya tunggu novel seterusnyaaa
baekk99
#4
Author nim..sy dh beli n bace novel akak tu..best sgt2..suke sgt jalan cerita dlm novel tu..n novel tu sesuai untuk dibace dgn adik2 .. :)
kuchens
#5
Chapter 18: Seriously sy mmg berminat, excited nk beli SM! tapi.. kalau SM akan djual dkt bookstores, I'll patiently wait ^^
*sy xpndai nk beli online ni T.T*
sweetheart__2
#6
Chapter 17: Author nim saya mahu seoul mate...ade stok lagi x?
ArmyMalaysian12 #7
Chapter 17: Author-nim ade acc FB x ? ,,Saya nk beli buku tu kat FB ..Lebih senang xD ..
exobts_fans
#8
Chapter 18: Ade jual dekat pustaka rakyat tak? Mak saya tak kasi beli online . ingat nak Cari sendiri . Ade tak ?