Dongeng

infectious ONESHOT
 
Dongeng

 

Aku | Ayah

 

Kata mak, kalau bulu mata jatuh maknanya ada orang yang rindu dengan kita. Tak masuk akal, kan? Tapi yang peliknya, aku simpan kata-kata itu. Dan aku mempercayainya—buat suatu tempoh yang lama.

 

Sejak bayi lagi, mak dan ayah aku dah bercerai. Sebelum usiaku lapan tahun, aku tinggal dengan ayah. Lepas tu, aku pindah masuk pula dengan mak. Fikiran budak-budak lah katakan, mana nak kisah tinggal dengan siapa pun. Yang penting, wang saku ada, makan minum tersedia, tidur selesa sampai esok hari.

 

Sesuatu berlaku sewaktu aku darjah empat, yang mana lepas tu, aku tak pernah jumpa ayah lagi. Aneh tapi benar. Perkara pada tahun tu, takde secebis pun yang tinggal dekat dalam otak aku. Malah persoalan seperti: mana ayah? bila ayah nak balik rumah? Aku tak pernah tanya dengan mak sehinggalah...

 

“Mak, tahun ni...ayah tak balik juga?” Aku memuncungkan bibir. Duduk bersila depan television, di tangan aku ada nota sejarah, dan mak pula tengah menganyam di sebelah. Satu badan rasa kebas pabila sentuhan mak dari tepi tiba-tiba mengena pipi belah kiriku. Spontan pandangan mata ini beralih ke arah mak. 

 

"Eh?" Nota di tangan perlahan-lahan turun takhta. Macam ada sesuatu yang bertakung di tepi anak mata mak. Air mata ke? Tapi, kenapa? Aku ada buat salah apa-apa ke?

 

"J-Jun..." Lemah lembut suara mak aku dengar sampai naik bulu roma satu badan. Ton suara yang macam tulah paling aku benci. Ada ke aku tanya soalan susah sampai perlu dramatik macam ni? Haih. Kalau tahu, baik tak payah tanya.

 

Sisi pandangan mataku mengekori setiap gerak-geri mak. Kain yang setia berada di tangannya tadi kini diletakkan di tepi. Kakinya diluruskan dan tangan kirinya dibawa menghadap permukaan matanya. Gerakan itu terlalu sama seperti menyeka air mata. Mood aku kosong serta-merta. Nota sejarah tadi entah ke mana. Sekarang ni, aku berada dalam posisi seperti seorang bayi, yang mana kaki dirapatkan ke tubuh sambil tanganku mengelilingi kaki.

 

"Ayah sakit. Sakit sangat...uhm."

 

Kepalaku bersandar di atas kepala lutut. Perlahan-lahan, aku mengiring ke arah mak. Matanya berkaca-kaca. Kali ini, aku lihat dengan jelas sekali. Walau seluruh khudrat aku cuba agar dapat meluahkan persoalan yang lama terbuku itu, namun ternyata ia bukan lah sesuatu yang boleh dibanggakan.

 

"Waktu kecik-kecik dulu, ayah selalu janji nak hadiahkan kaleidoskop baru dengan Jun," Aku membuka bicara. Anak mata mak yang berwarna kelabu-hitam itu aku tenung sedalam-dalamnya. Perasaan hiba yang terpancar daripada situ terlalu sakit untuk dipersoalkan. Aku tak suka sakit. Siapa yang suka sakit di dalam dunia ni?

 

Sentuhan tangan mak beralih ke atas bahu aku. Dan di saat pegangan itu dieratkan, dadaku berasa seperti ditindih oleh sesuatu yang memberatkan. Jantungku berdegup kencang bagai berlumba lari 100 meter walhal aku tak pernah pun bersungguh-sungguh di dalam acara sukan atau apa-apa pun yang memerlukan tenaga. Selama ini, aku lebih suka aktiviti indoor. Mengeluarkan peluh adalah antara perkara yang selama-lamanya takkan sepadan dengan gaya hidup aku.

 

 

"Kalau sakit, macam mana nak balik? Kena lah tunggu sihat dulu baru balik...jumpa Jun." Suara mak menyerupai pita perakam suara. Mendatar dan penuh kepura-puraan. Silap aku juga sebab tak pernah nak ambil tahu. Tapi, bila direnung semula, macamlah benda akan berubah kalau pun aku tanya awal daripada ini. 

 

Mulutku melopong memerhatikan aksi kalut mak. Comel ada, geram pun ada. Kenapa lah aku tak mewarisi ciri-ciri itu semua daripada mak? Memang sah, genetik aku lebih banyak menyamai ayah. 

 

“Bulu mata! Lihat ni…Jun ada bulu mata jatuh kat sini, hah,” Ah, mak tukar topik lagi. Tanpa sedar, aku tersenyum sendiri. Dari aku lahir, mak ayah tak pernah bincang apa-apa dengan aku. Mereka bercerai, dan aku berpindah-randah. Agak nya itulah dunia orang dewasa. Aku bukan seseorang yang hebat, yang mampu mempengaruhi keputusan mereka. Apa pun yang aku buat, takkan mengubah apa-apa.

 

Bulu mata di atas telapak tangan mak aku perhatikan sambil lewa. Tika itu, aku diselubungi perasaan yang manis tapi menyedihkan. Teringat pula dongeng bulu mata.

 

“Jun, kalau bulu mata jatuh…maksudnya ada orang yang rindukan kita,” Mak tersenyum lebar ke arahku. Sedaya-upaya aku mencuba membalas senyumannya tadi.

 

“Hmm?” Soalku acuh tak acuh.

 

“Mesti ayah yang sedang merindui Jun. Ayah sangat-sangat sayang dengan Jun, tau? Jun jangan fikir yang bukan-bukan, ayah pasti akan kembali suatu hari nanti, okay?”

 

Kata-kata mak seakan-akan membuka suatu ruang di dalam jantung ini. Melukis suatu harapan yang bersinar-sinar, ibarat sebuah kaleidoskop. Semakin yakin terhadap kepulangan ayah suatu hari nanti, bibirku terasa lebih ringan untuk tersenyum. Dan, mulai daripada saat itu, setiap kali bulu mata jatuh, aku akan tersengih sendirian kerana di dalam minda ini, ada suatu firasat bahawa ayah lah insan yang sedang merindui diriku itu.

 

Bak kata orang, walau berjauhan tetapi dekat di hati.

 

* * *

 

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
blackdress_
#1
wow best lah update la lagi
aiyani
#2
Chapter 5: Chapter ni buatkan saya senyum sendiri pulak, hoho XD