Laknat (Part 1)

infectious ONESHOT
 
LAKNAT

 

Rantaian mimpi sama yang bersuara tanpa wajah telah menceroboh ke dalam tidur Sandara Park semenjak pelajar tingkatan lima itu mula menetap di asrama penuh sekolahnya.

 

 

"Nama aku Xiao Yang. Cari aku."

 

"Nama aku Xiao Yang. Cari aku."

 

"Nama aku Xiao Yang. Cari aku."

 

"Nama aku Xiao Yang. Cari aku."

 

"Nama aku Xiao Yang. Cari aku."

 

“Kenapa ni, Dara? Apsal kau berpeluh? P-Panas ke?” tegur Bom, rakan sebilik Dara. Dia menepuk lembut kedua belah pipi Dara.

 

 

“Mimpi tu…mimpi tu...”

 

 

“Lah, kau cakap pasal tu rupanya,” Bom terus menghela nafas lega. Dia melabuhkan punggung di hujung katil Dara. Nafasnya kembali teratur. Sangkanya tadi, roomate dia ni terkena santau ke apa.

 

 

“Bom ah!" Dara melompat arnab ke arah Bom. Terlopong mulut Bom ekoran aksi itu tadi.

 

 

"S-Suara tu suruh aku cari dia!” ujar Dara sambil mengesat peluh di atas dahi.

 

 

Bom mengetap bibir. Bukannya dia boleh masuk ke dalam mimpi Dara. Kalau dapat, pasti dia akan bertanya tentang pemilik suara yang sentiasa mengganggu tidur kawannya itu.

 

 

“Dara ah, mimpi hanya mainan tidur. Jangan fikir lebih-lebih. Just let it go." Buntu hendak berkata apa, Bom cuba bermain fakta pula. Sambil itu, tangan sebelahnya membantu mengelap peluh-peluh di hujung dagu Dara. "Hujung minggu ni kau balik lah rumah. Mungkin fikiran kau akan tenang sikit lepas jumpa mak ayah kau.” Cadang Bom.

 

 

Dara merebahkan tubuh ke atas katil. Satu lengan menutup matanya. “Aku tak nak jumpa dia...” Dara terbayang-bayangkan wajah mak tirinya, Puan Hara. Tidak lama kemudian, degupan jantungnya berubah kencang.

 

 

***

 

 

Mahu tidak mahu, Sandara terikut juga cadangan Bom agar kembali ke rumahnya di Bandar Moira. Di samping melawat kubur mendiang mak ciknya, dia tekad mahu menenangkan fikiran.

 

 

Dara mengerling ke kiri dan kanan. Tiada seorang pun berada di kawasan perhentian bas tersebut. Sudah setengah jam dia menunggu, masih tiada bas yang kelihatan.

 

 

Mengeluh kecil, dia berdoa agar bas akan cepat sampai, lalu, MP3 player dikeluarkan daripada beg galasnya yang memiliki gambar dan tandatangan khas idol kesukaannya, G-Dragon.

 

 

Selama ini, dia hanya menyimpan dan mendengar lagu G-Dragon di dalam MP3-nya. Lagu artis itu ibarat penawar dirinya. Di masa susah sekalipun, dia akan tersenyum apabila lagu G-Dragon beralun.

 

 

“Kakak…” tegur suatu suara yang halus mendayu-dayu. “Saya haus… boleh berikan air?” Seorang budak lelaki berpakaian sekolah rendah terpacak di hadapannya, entah muncul dari mana.

 

 

Mulut Dara terbuka separuh, hampir terlepas jeritan gadis sunti daripada situ. Mujurlah Dara berjaya mengawalnya.

 

 

Menepuk perlahan permukaan dada, tangannya yang satu lagi terkapai-kapai hendak mengeluarkan sesuatu daripada beg. “Nah, m-minumlah ni…” Cepat-cepat dia menghulurkan botol airnya kepada budak tadi.

 

 

Ribut taufan yang melanda di sebalik dada belum pun reda, Dara dikejutkan lagi oleh suara yang menyeru namanya dari belakang.

 

 

“Sandara Park!” Seru suatu suara yang agak garau.

 

 

Dara menoleh ke belakang pada saat berikutnya. Minzy sedang berlari anak sambil melambai-lambai ke arahnya. Saat itu, Dara mulai disirami perasaan kurang senang.

 

 

'S-Suara tadi...i-ialah Minzy?' fikirannya sendirian. Tiba-tiba, tekaknya terasa basah semacam. Seluruh tubuhnya berasa panas seolah-olah dikelilingi anggun api.

 

 

“Mak awak dah dalam perjalanan ke mari," Minzy mengujar sebaik tiba. "Jadi, awak tak payah tunggu bas." Sambungnya lagi.

 

 

Minzy merupakan ketua pasukan bola sepak sekolah mereka. Sandara hairan mengapa dia yang datang memberitahnya tentang semua ini.

 

 

“Y-Ya…terima kasih kerana beritahu!” Dara lantas bangkit lalu menundukkan sedikit kepala. Seketika kemudian, barulah ingatannya tentang budak yang meminta air tadi melimpasi pemikirannya.

 

 

"Uh? Mana budak tu dah pergi?” Jantungnya seperti hendak gugur pabila kepalanya ditoleh ke arah budak itu tadi berdiri. Persoalan demi persoalan timbul di dalam sanubarinya.

 

 

"M-Minzy ah, kau nampak tak bu-" Dentuman kuat tercetus dari dalam diri Sandara di saat dia berpaling ke tempat Minzy tadi.

 

 

Ternyata, hanya dia seorang di situ. Budak lelaki tadi dan juga Minzy...kedua-duanya telah tiada.

 

 

***

 

 

Dara menggenggam tali beg galasnya dengan erat. Sambil melintasi kawasan padang untuk ke kawasan astaka, dia memasukkan earpiece ke tepi telinganya. Pada detik suara G-Dragon mula berirama, dadanya berasa tenang sedikit.

 

 

'Pelik, mana mereka semua pergi?' Meski begitu, dia gagal menyisihkan memori tentang perkara yang berlaku di perhentian bas tadi.

 

 

Menyaksikan perlawanan bola sepak di antara sekolahnya dengan sekolah seberang, kejadian tadi masih lagi berlegar di dalam kotak pemikiran Dara.

 

 

'Kenapa Minzy pergi tanpa berkata apa- apa?' Persoalan yang sama terbit berulang kali di dalam mindanya. Susunan peristiwa yang melanda dirinya sejak pagi ini terlalu luar biasa untuk diendahkan begitu saja.  

 

 

“Sandara, kau bukan balik rumah ke? Apsal masih dekat sini?” tegur CL, rakan sekelas Dara.

 

 

Sebelum menjawab, Dara mengambil masanya memerhatikan CL dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Apa yang dia cuba pastikan, dia sendiri tidak tahu. 

 

 

CL menaikkan kening kanan tatkala memerhatikan reaksi Sandara yang seperti tidak mengenali dirinya. "Sandara Park...“ panggilnya lagi.

 

 

"Ah, a-aku tengah tunggu m-mak aku datang ke mari. Me-Mereka akan datang jemput aku balik." Tersekat-sekat suara Dara bertutur. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan situasinya sekarang ini.

 

 

CL mengambil tempat di sebelah Dara. Kedua tangannya disandarkan ke sisi. Pandangan matanya dilontarkan ke atas langit. "Bertuahnya kau dapat mak yang sudi datang dari jauh semata-mata nak jemput kau balik." Nada sedih terselit di sebalik pujian CL.

 

 

Dara mahu mengatakan sesuatu namun kata-kata CL menepis niatnya. "Mak ayah aku dok busy dengan kerja. Sebab tu diorang hantar aku kat sini. Silap hari bulan, mereka dah tak ingat lagi yang aku ada dekat sini..." CL semakin panjang bercerita.

 

 

Dara hanya mendengar. Dia bukan lah seseorang yang handal berhujah. Daripada tersilap cakap, lebih baik dia mendiamkan diri. Isu keluarga merupakan perkara yang sensitif buat remaja golongannya. Keluarganya sendiri pun bukan sesempurna yang lain. Cumanya, dia tidak pernah meluahkan kepada orang lain.

 

 

"Cemburu sangat dengan kau ni! Ha." CL memukul lembut lengan milik Dara, dan gadis itu tergelak kecil mendengar luahan katanya.

 

 

"Haiz, kalau lah aku dapat secebis kasih sayang daripada mak ayah aku...heh," Semakin melalut CL apabila dibiarkan Dara. Meluah begini membuatkan hati CL berasa ringan.

 

 

"Tapi ia takkan berlaku kan? Kerana takdir setiap manusia ni telah ditentukan sebelum mereka lahir lagi, dan nampaknya ianya benar…” Pernyataan CL tadi membangkitkan sesuatu dari dalam diri Dara.

 

 

Pandangan mata Dara yang sejak tadi menjurus ke bawah akhirnya berpaling melihat CL. Sebutir air mata kelihatan menerjah pipi mulus milik CL.

 

 

CL sedar yang Dara telah melihat ke arahnya. Namun dia tidak lah berasa malu dan mahu menyembunyikan tangisannya daripada Dara. Mereka tidak lah serapat mana, tetapi dia yakin Dara seorang yang boleh dipercayai.

 

 

"Kenapa? Kau tak percaya dengan takdir?" Bucu bibir kanan CL ternaik sedikit ke atas. "Atau…kau rasa kau boleh ubah takdir?” Soalan rawak daripada CL mengelirukan Dara.

 

 

"T-Takdir? A-Aku tak pernah berfikir tentang semua tu.” Sahut Dara pendek. Anak matanya dialihkan daripada CL. Dia tidak selesa dipersoal begitu. Bicara hati bukan topiknya. Ya, dia seorang pendengar yang baik tapi dalam bab bab meluah perasaan, hanya mendatangkan keresahan kepada dirinya.

 

 

CL mengangguk kecil. "Orang bertuah macam kau takde keperluan untuk fikir semua ni.” Lontaran kata-kata CL yang bersalut sindir itu berjaya mengubah sinaran mata Dara.

 

 

Perasaan benci terhadap perempuan di sebelahnya semakin menggunung. Tanpa sebab yang pasti, dan tanpa sedar, minda Dara telah berfikir tentang sesuatu yang...

 

 

"Ouch! Apa benda ni? Sakitnya…” Rintihan CL menarik Dara daripada lamunan anehnya tadi. Darah segar mulai meleleh keluar daripada hujung jari CL.

 

 

CL menarik kaca yang menusuk hampir separuh saiz jari telunjuknya. "Bagaimana boleh ada kaca kat sini?” Sejak tadi, CL hanya berbicara sendirian. Dara tidak melakukan apa-apa. Dia hanya memandang, membatukan diri."

 

 

“Baik aku pergi bilik ubat sebelum ia melarat…” Tidak sampai seminit, kelibat CL menghilang sepenuhnya dari penglihatan Dara.

 

 

Dara merenung kesan darah yang mengena simen bekas tempat duduk CL tadi. Sesuatu yang aneh terkumpul di dalam kerongkongnya. Dia gagal mengalihkan pandangan daripada kesan darah tersebut.

 

 

“Kakak…saya haus…” Ucapan suara nostalgik itu langsung menyedarkan Dara yang seperti terkena pukauan tadi. Dia segera menoleh ke sekelilingnya.

 

 

"Mana kau?"

 

 

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
blackdress_
#1
wow best lah update la lagi
aiyani
#2
Chapter 5: Chapter ni buatkan saya senyum sendiri pulak, hoho XD