Kisah Hidup

Flower of Despair [Malay]

“Sesi yang pertama,” Luhan berkata lembut ketika mereka bertemu di kolam bunga teratai itu keesokan harinya, menelengkan kepalanya, memandang Hana. Gadis itu menganggukan kepalanya dengan malas dan berkata dengan suara perlahan, “Teruskan, psikiatrisku.” Sindiran terlihat jelas di dalam suaranya. Tatkala mendengar itu, sebuah tawa kecil terlepas dari bibir lelaki itu dan dia duduk dengan lebih tegak.

“Apa yang kau fikirkan tentang manusia?” Luhan bertanya, mengetuk-ngetuk jarinya pada rumput. Angin mengusutkan rambutnya yang kering dan perang ketika dia menutup matanya. Dia sedang duduk bersila di atas rumput itu, kedua-dua tangan diregangkan, tapak tangannya di tanah. Hana mendongak dan memusingkan kepalanya dengan laju. “Bagaimanakah soalan itu dapat membantu untuk merawat aku?”

“Aku bukan psikiatris yang biasa, kau lupa?” Luhan membantah, senyuman yang hampir nakal menghiasi bibirnya. Gadis itu memandangnya sepintas lalu. “Baiklah,” dia menggumam, sedikit jengkel dengan keangkuhan palsu lelaki itu. Atau mungkin tidak palsu. Dia tidak tahu. Malah, dia tidak tahu apa-apa tentang lelaki itu.

Mereka senyap untuk seketika. Hana sedang berfikir tentang soalan tadi. Hanya melodi angin yang dapat didengari tatkala fikiran menerjah masuk ke mindanya dan keluar sekali lagi. Gadis itu merenung ke arah bunga teratai yang satu itu, tangannya yang sihat di atas tanah, merasakan rumput-rumput itu pada tapak tangannya. Pernafasannya tenang, dadanya turun naik dengan lembut.

“Apa yang aku fikir tentang manusia?” dia bertanya, suaranya hambar. Di hujung matanya, dia dapat melihat Luhan menganggukkan kepalanya. “Mereka adalah bajingan yang mementingkan diri sendiri,” dia berkata selepas beberapa saat. “Tidak ada manusia yang baik hati. Manusia yang baik adalah manusia yang sering alpa, kerana mereka yang benar benar mengetahui hidup adalah keras kepala dan mementingkan diri sendiri.” Dia menarik nafas dalam dan berkata perlahan, “Aku jijik dengan mereka.”

“Bagaimana kau tahu itu?”

“Pengalaman sendiri,” Hana membalas dengan kering dan mengalihkan pandangannya daripada bunga teratai kepada tanah.

Memandang ke tubuhnya yang kecil, Luhan berkata dengan perlahan, “Terangkan.”

“Terlalu banyak untuk diterangkan,” dia membantah, keluhan keluar dari bibirnya.

“Kita ada banyak masa,” lelaki itu tersenyum dan melambai ke arah kolam yang indah di hadapan mereka. “Dan bukankah tempat ini merupakan tempat yang sangat bagus untuk berkongsi cerita?” Dia membiarkan pandangannya merayau daripada rumput kepada air yang jernih. Dari hujung mata gadis itu, Hana melihat pergerakan kepalanya, mengesan garis bibirnya apabila dia membuka dan menutupnya kembali. Kesunyian menemani mereka, dan kali ini, kesunyian itu bertahan selama beberapa minit.

“Kau tahu,” gadis itu bermula perlahan, “Sebelum karyaku menjadi terkenal, keluargaku mempunyai hutang yang banyak.” Dia berhenti seketika dan mencuri pandang ke arah Luhan, yang mana mukanya telah dipalingkan, dan menjadikannya sukar untuk melihat wajahnya. Hana kembali bersandar. “Aku melihat orang tuaku bertikam lidah kerana duit, berdiam diri tatkala mereka menjadi makhluk yang dahagakan wang.”

Selepas beberapa saat, dia menambah dengan suara perlahan, “Itu bukan pemandangan yang indah.”

“Bagaimanakah rutin seharian kau?” Luhan bertanya, memeranjatkan Hana sedikit, kerana dia tidak menyangka yang Luhan akan berkata apa-apa. Gadis itu melengkungkan lehernya dan memandang ke arah langit, mengesan awan yang lembut seperti kapas itu dengan matanya. Perlahan-lahan, awan putih itu membentuk rupa manusia. Begitu juga dengan awan yang lain. Manusia yang putih itu kemudiannya memperoleh warna dan akhirnya benar-benar membentuk seperti manusia. Seperti keluarga Hana. Ataupun Hana menganggapnya begitu. Kenyataannya, dia hanyalah memandang kosong ke arah langit itu, manakala Luhan melihatnya dengan hujung matanya. Dia melihat dengan fokus ketika gadis itu mengerutkan keningnya dan mempunyai rasa ingin tahu pada pandangan mata gadis itu.

Hana dapat melihat ibu bapanya dan dirinya sendiri. Bagaimana mereka bergaduh, bagaimana mereka menjadi muram, bagaimana mereka menjadi tertekan dan melepaskan tekanan itu padanya. Itu adalah rutin yang biasa.

Setiap kali ibu bapanya pulang ke rumah dari kerja, masih terdapat banyak lagi kerja-kerja rumah yang perlu Hana selesaikan, memandangkan Hana biasanya akan menghabiskan masa lapangnya dengan melukis, atau melakukan kerja yang tidak berfaedah seperti yang ibunya selalu katakan, dan bukannya melakukan kerja-kerja rumah. Malanya, masa lapangnya tidak banyak, memandangkan yang dia baru sahaja memasuki sekolah menengah atas dan banyak perkara yang menjadi nyata dan sukar dari segi gred yang baik, jadi untuk mengimbangkan semuanya adalah susah. Kemudian, dia juga ada adik perempuan dan adik lelaki, baru berusia enam dan lapan tahun, tidak menjadikan mereka mampu membantu menyelesaikan kerja-kerja rumah. Selain itu, si kecil berdua itu juga sudah tentu tidak boleh bekerja separuh masa; itu membuatkan ibu bapanya menekan Hana lagi, jadi dia pergi membuat penghantaran makanan untuk sebuah restoran makanan segera setiap hari. Namun begitu, pendapatannya cukup sedikit. Tidak cukup. Tidak akan pernah mencukupi.

Kesimpulannya, terlalu banyak mulut-mulut yang lapar yang perlu disuapkan dan mereka tidak mempunyai wang untuk itu.

Walaupun keadaannya begitu, Hana tidak berniat untuk merubah pandangannya terhadap semua perkara. Dia mahu hidup di dalam dunia ini dengan sepenuhnya – lukisan sangat bermakna buatnya – dan dia cuba untuk menyimpan sebanyak masa yang boleh bagi minatnya itu. Walaupun begitu, terdapat masa-masa apabila rumah itu perlu dibersihkan dan dikemaskan. Dan sekiranya dia tidak melakukan sesuatu dalam masa terdekat, ibu bapanya akan mengamuk. Jadi, penghantaran, belajar, dan menguruskan kerja rumah adalah kepentingan utamanya yang telah ditetapkan oleh keadaanya, tapi sebenarnya, dia hanya mahukan satu perkara: untuk melukis.

Untuk bermimpi. Kerana itu yang paling dia sukai. Proses menghilangkan dirinya di dalam lukisan atau warna. Menghilangkan dirinya dalam imaginasi. Menghilangkan dirinya di dalam dunia bahagia yang dia sendiri telah ciptakan.

Dan kelihatannya, dengan beberapa keajaiban, impiannya telah dipenuhi. Hari itu merupakan hari biasa untuk menghantar beberapa kotak mi segera, tapi destinasinya bukanlah sembarangan tempat, tempat itu merupakan sekolah seni di bandar itu. Apabila dia membaca nama bangunan itu, minat dan perasaan ingin tahunya telah terbangun, dan dia masuk ke bangunan itu dengan bersemangat. Koridor-koridor di situ dipenuhi dengan lukisan bermula dengan lukisan pemandangan, kepada potret kepada lukisan abstrak, melenyapkan nafas Hana dengan kecantikkannya.

Seakan-akan sebuah peluang, dia terlanggar dengan beberapa orang yang baru keluar dari kelas mereka. Semuanya terjadi terlalu pantas. Kotak-kotak itu melayang dan beberapa saat kemudian bunyi bising yang kuat dapat didengari. Apabila Hana kembali sedar, matanya menangkap sebuah bingkai potret terbaring di lantai, dengan kaca yang pecah, dan mi segera di atas permukaan kertas itu. Teruk. Tidak ada perkataan pun yang mampu menerangkan peraasaannya ketika itu. Ketika Hana masih lagi menghadam apa yang baru saja berlaku, setiap pelajar telah meninggalkan kelas mereka dan menjadi penonton, dengan itu membentuk kerumunan orang di sekeliling Hana.

Seorang pelajar, perempuan dengan rambut ikal berwarna coklat yang jatuh ke bahunya, melutut di sebelah lukisannya dan menggigit bibir bawahnya apabila dia melihat lukisannya. Dia cuba untuk menyelamatkan lukisannya dengan menolak mi segera itu ke tepi. Namun begitu, kuah itu mengotorkan lagi kertas itu dan gadis itu segera mengundur dan melihat tangannya, yang mana kuah itu juga telah tinggalkan kesan, dengan perasaan meluat kelihatan di matanya.

“Itu lukisan aku,” dia berbisik, suaranya pecah. Hana segera menundukkan kepalanya dan selepas meminta maaf untuk kali yang entah ke berapa, dia akhirnya berhenti. Gadis yang tidak dikenali itu mendecakkan lidahnya dan mengecilkan matanya. “Satu kemaafan yang bodoh tidak akan mengembalikan lukisan aku,” dia berdesis ke arah Hana dan menyilangkan tangannya. “Tidak bolehkah kau lebih berhati-hati? Sial...” dia berhenti dan berjalan ke arah Hana. “Adakah kau tidak mempunyai mata?!” Dia memandang Hana dari kepala ke hujung kaki.

Gadis itu menunduk sekali lagi. “Seperti yang aku sudah katakan, aku benar-benar minta maaf. Itu pastinya memerlukan kerja yang sangat banyak–“

“–Tch! Orang biasa seperti kau tidak akan mampu memahami betapa banyak peluh dan darah diperlukan untuk menghasilkan sebuah lukisan.”

Tangan Hana secara automatik terkepal menjadi penumbuk, hampir sahaja menumbuk wajah gadis itu. Walaupun begitu, dia tahu dia tidak sepatutnya berbuat apa-apa pada gadis itu. Sekolah itu sangat terkenal dengan pelajar-pelajarnya yang datang dari keluarga yang kaya-raya. Dan dia tidak mahu mendapat masalah.

“Sungguh aku bencikan orang yang tidak mengetahui apa-apa,” gadis yang tidak dikenali itu meneruskan kata-katanya, mengumalkan hidungnya.

Kawalan diri Hana yang kecil akhirnya tertutup. Dia menarik nafas dalam sebelum mengumpul kekuatan dirinya dan kembali menjeling. “Kau mengamuk juga tidak akan membawa lukisan kau kembali.”

Mereka senyap seketika – kerumunan orang di sekeliling mereka juga telah menjadi bodoh – dan untuk beberapa saat Hana hampir panik dan menyesal dengan apa yang telah dikatakannya. Tapi siapa yang tahu bahawa satu ayat itu adalah pari-pari yang akan membantunya?

“Perempuan tidak ada maruah seperti kau berani berkata begitu pada aku?!” Gadis yang satu itu berteriak dengan marah. Dia dengan marah menghentakkan satu kakinya ke tanah. “Bayar. Kau perlu membayar ganti rugi terhadap lukisan itu!”

Mata Hana terbeliak dan dia secara automatik telah berundur ke belakang. Duit adalah topik yang dia ingin elakkan. “Aku telah beritahu kau yang aku tidak sengaja dan aku meminta maaf soal itu,” dia menggerit giginya pada perkataan ‘maaf’ kerana melihat kelakuan gadis yang satu lagi itu, Hana mempunyai terlalu banyak maruah untuk meminta maaf kepada perempuan seperti itu. “Lagipun aku tak mempunyai duit.” Itu, adalah kebenarannya.

“Pergilah ke bank dan minta pinjaman atau apa-apa sajalah. Aku tak peduli, tapi aku mahukan ganti rugi,” gadis itu berciut dan berpusing sebelum melangkah, bersedia untuk pergi.

“T-Tunggu!” Hana tiba-tiba memanggil. “Aku akan bayar ganti rugi. Aku akan melukisnya semula.”

Pada saat itu, seluruh kerumunan dan gadis itu tertawa dengan kuat. Rasanya terlalu lama bagi Hana hingga mereka akhirnya berhenti. “Kau akan melukisnya?” Gadis itu memegang perutnya dengan satu tangan dan menuding ke arah Hana dengan satu lagi tangan. “Tolonglah,” gadis itu mendengus, “Sekiranya aku mahukan beberapa contengan sekolah rendah, aku akan memintanya dari sepupuku yang berusia enam tahun.

Kerumunan itu mengangguk tanda setuju dan beberapa orang di antara mereka berkata antara satu sama lain. Hana, bagaimanapun, dapat menangkap apa yang mereka katakan. “Dia fikir dia siapa? Untuk berfikir yang dia mampu melukis itu!” Tawa meletus dan Hana meneguk liur. Rasanya sangat tidak enak untuk ditertawakan tanpa ada peluang untuk menunjukkan apa yang kau ada. Kemarahan membuak-buak dalam dirinya dan dia hanya mahu keluar dari sekolah itu, tapi keadaan tidak membenarkannya.

Dia mengetap bibirnya menjadi satu garis lurus sebelum dia menarik nafas dengan marah. “Biarkan aku cuba dahulu, sebelum kalian semua menilai kebolehanku,” Hana berkata dengan suara yang kuat dan memberikan pandangan maut kepada kerumunan itu. Sekali lagi, tawa meletus, tapi kemudiannya ia reda apabila gadis yang satu lagi itu maju ke hadapan sekali lagi. “Kau mahu tahu? Cubalah,” dia berkata, tiba-tiba ada seringai yang menghiasi bibirnya. “Cubalah sebanyak mana yang kau boleh, tapi sekiranya kau tidak mampu melukisnya, jadi itu muktamad,” dia berfikir sebelum dia tersenyum sinis, “sekurang-kurangnya lapan puluh peratus dari kelas ini berpendapat bahawa lukisan itu betul-betul serupa dengan lukisanku, kau akan membayar dua kali ganda jumlah dari apa yang aku mahukan.” Tawa kecil terlepas dari bibirnya, tawa yang jahat.

Hana terdiam dan berfikir tentang perkara itu seketika. Lebih dari lapan puluh peratus. Betul-betul serupa. Tiga saat telah berlalu dan gadis itu telah menunjukkan tanda-tanda tidak sabar. Hana memandang lukisan itu. Lukisan itu adalah potret seorang wanita. Lukisan itu tidak kelihatan terlalu rumit. Hana sangat pasti yang dia mampu melakukannya. Dan jumlah duit itu juga tidak akan mampu dia bayar, mengapa tidak mengambil saja risiko? Dua saat lagi telah berlalu sebelum Hana akhirnya melangkah ke hadapan dan memegang tangan gadis itu.

Deal.

Dan apa yang berlaku seterusnya boleh di ambil dari mana-mana buku ataupun siri – yang pastinya bukan dari hidup Hana – tapi hakikatnya, hal itu berlaku pada Jung Hana. Kepada gadis miskin yang tidak mempunyai latar belakang yang jelas itu. Kepada gadis yang tiada keuntungan dalam hidupnya. Kepada Cinderella. Selepas dia bersetuju, dia datang ke sekolah itu keesokkan harinya dan telah dibawa ke sebuah bilik kosong, dipenuhi dengan alatan yang dia tidak pernah bermimpi untuk gunakan, alatan itu sangat mahal. Lukisan yang asli, yang telah dibuat di kertas tebal, terbaring di atas meja di sebelahnya.

Sejujurnya, Hana tidak mendapati yang lukisan itu sukar untuk ditiru. Potret, dia telah selalu melukis dan mengecatnya – sudah tentu dengan alatan yang berkualiti lebih rendah, tapi kegunaanya tetap sama. Matanya melihat pergerakan lembut pada lukisan asli itu, tangannya pula meniru pergerakan itu. Semuanya semudah itu. Pergerakan itu sangat mudah baginya, tangannya telah selalu menjadi lancar dan tepat.

Dia hanya mengambil masa satu tengah hari sahaja untuk melukisnya. Apabila dia melangkah keluar dari bilik itu dengan lukisan itu dengan tangannya yang kelihatan hampir sama dengan yang asli, semua orang terkedu. Secara harfiah. Semua orang dari kelas itu sedang ternganga padanya dan lukisan itu, mata terbeliak, rahang terjatuh. Bahkan gadis itu – Hwang Misun, yang merupakan seseorang yang telah memegang status mempunyai bakat paling berpotensi selama tiga tahun – juga terkedu seketika. Dengan satu degupan jantung, lebih dari lapan puluh peratus dari kelas itu sangat positif bahawa lukisan Hana sangat serupa dengan yang asli.

Pengetua sekolah itu telah terhidu bau tengtang perkara itu dan Hana malah tidak menyedari apa yang berlaku apabila pengetua itu menawarkannya biasiswa selepas melihat bakatnya.

Mujurlah, ibu bapanya telah buta dengan fakta bahawa anak perempuan mereka akan menghadiri sekolah berprestij seperti itu, dan juga dengan percuma, jadi mereka tidak perlu diyakinkan lagi.

Hidup gadis itu berubah dengan sangat drastik selepas itu; hanya satu bulan selepas dia mendaftar masuk ke sekolah itu, bakatnya telah diketahui di seluruh sekolah dan selepas empat bulan, pembeli berpotensi mula mencarinya.

Dan selebihnya adalah sejarah.

Walau bagaimanapun, cerita seakan-akan dongeng itu menemui penghujungnya terlalu cepat apabila sebuah kemalangan kereta berlaku. Hana bukan lagi Cinderella, jam sudah menunjukkan tengah malam, dan dia telah kehilangan satu sepatu kacanya. Walaupun dengan sedih, Hana tahu, tidak ada pengakhiran yang bahagia untuknya.

Jam menunjukkan tengah malam, Hana mengulanginya dalam kepalanya.

Dia tidak tahu berapa banyak masa telah berlalu semenjak dia mula bercerita; dia bahkan tidak mengetahui apa sebenarnya yang telah dia katakan dan apa yang telah dia fikirkan. Jahanam, dia bahkan tidak tahu sekiranya Luhan masih berada di situ. Memusingkan kepalanya, dia mendapati bahawa Luhan masih duduk beberapa meter darinya, bersila dan tapak tangan di atas rumput – betul-betul sama dengan kedudukannya kali terakhir Hana melihatnya. Dengan tidak sedar, air mata telah mengalir ke pipinya semasa dia sedang mengingati masa lalunya, dan gadis itu baru menyedarinya sekarang. Sedikit malu, dia menyapu air matanya dan membuang wajahnya sekali lagi.

Keadaan senyap sepanjang gadis itu memandang bunga teratai di dalam kolam itu.

Adakah aku baru sahaja menceritakan kisah hidupku? Hana berfikir. Bagaimana dia dapat memastikan yang Luhan tidak akan mengatakan apa-apa? Mengapakah dia bahkan menceritakannya pada Luhan? Argh! Suara hatinya menjerit dan fikirannya terhenti. Bukankah dia sudah memikirkan hal ini sebelum ini? Perkara itu tidak penting. Bagaimanapun dia hanyalah... seorang asing. Betul? Gadis itu berfikir, menggigit bibirnya. Betul...

“Tiada pengakhiran yang bahagia, huh?” Luhan bertanya selepas beberapa ketika.

Hana mengangguk sedikit.

Secara tiba-tiba, lelaki itu berdiri dan berjalan ke arahnya, mengurangkan jarak di antara mereka berdua sebelum duduk betul-betul di sebelah Hana, tangannya menyentuh bahu Hana. Sentuhan itu menghantar percikan kecil ke lengan Hana, tapi dia tidak mengendahkan perasaan pelik itu.

“Hidup kau tragik,” Luhan berkata dengan suara yang hampir tidak dapat didengari, membuatkan gadis itu duduk dengan tegak. “Kau tidak bermaksud begitu,” Hana berbisik kembali, memberikannya jelingan, tapi Luhan hanya membalasnya dengan senyuman lembut.

Selepas itu, tiada sesiapa berkata apa-apa dan kesunyian menemani mereka. Apabila Hana baru sahaja ingin menyembamkan mukanya ke lengan bajunya, dia dapat merasakan ada lengan yang memeluk bahunya. Untuk beberapa ketika, gadis itu kaku. Tangannya yang sihat mengepal penumbuk dan nafasnya terhenti, sebelum dia dengan tidak rela menjadi tenang. Ianya seperti kehangatan tubuh Luhan memaksanya untuk bertenang. Ototnya mengendur dan dia kembali menarik dan menghela nafas dengan cara yang normal.

Berapa lamakah masa telah berlalu semenjak kali terakhir dia membuat sentuhan fizikal seperti itu dengan seseorang?

Tekanan pada bahunya terasa sangat asing, tapi pada masa yang sama dia tidak mengatakan yang dia tidak menyukainya. Perasaan yang asing tapi menenangkan merebak di dalam dirinya dan dia memutuskan untuk terus duduk begitu. Pada saat itu, di mana hanya kesunyian, angin lembut dan tangan yang hangat sahaja yang mampu diterima oleh derianya, dia bahkan tidak peduli dengan sebab mengapa Luhan melakukan semua itu.

Sekiranya semua itu kerana belas kasihan, biarkan. Rasanya tetap enak, dan hanya itu yang penting pada saat itu.


 

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!
Half-BloodPrincess
10/1/2020 - Chapter 7, Flower of Despair (Malay) kembali semula setelah sekian lama ㅠㅠ

Comments

You must be logged in to comment
Mell2424
#1
dah subscribe..mcm best je.. hihihi
LeaderTaengoo098 #2
Chapter 2: wahh interesting.. :)
please update soon ok ?
hehe bagus teruskan!!^^
exotics99 #3
uwaa nk tlong update
XD/keke/
TheHannaMymiLicous
#4
saya baca....hhah
Byun_Bacon99
#5
Chapter 3: tak pe,,,,teruskan belajar :)
tyra99 #6
owh,ff ni,dah pernah baca dah..
yg english punya...
dan sekarang malay..
mesti best!
goodluck !
Bunniespirit_88
#7
wow! sound good... update soon pls~