8
This Is LoveChapter 8 – Kemalangan
Jam sudah berdetik pukul 10.35 minit malam dan hujan turun dengan lebat di luar. Aku sudah berbaring di atas katil untuk melelapkan mata memandangkan esok aku perlu ke sekolah. Baru sekejap aku terlelap, aku dikejutkan dengan bunyi ketukan pintu. Ketika itu jam sudah menujukkan pukul 11 malam.
Aku tertanya-tanya siapa yang datang ke rumah malam-malam begini. Mustahil mama yang ketuk pintu. Biasanya mama gunakan kunci pendua. Takkanlah mama tertinggal kunci rumah pula? Aku membuka pintu. Aku terkejut melihat ahli B.A.P berdiri di depan rumahku pada waktu begini. Wajah mereka kelihatan risau.
“Masuklah.” Aku mengajak mereka masuk.
Mereka berlima duduk di atas sofa. Masing-masing diam seribu bahasa. Barulah aku perasan yang Dae Hyun tiada bersama-sama mereka.
“Mana Dae Hyun?” aku bertanya sambil duduk di atas sofa yang menghadap mereka.
Tiada siapa yang menjawab. Aku semakin tertanya apa yang berlaku sebenarnya?
Yong Guk mengeluh. “Itulah masalahnya sekarang ni. Dae Hyun tak balik lagi,” ujarnya.
“Lepas balik dari sekolah tadi dia terus keluar. Dia langsung tak cakap nak pergi mana dan sampai sekarang dia tak balik-balik. Biasanya pukul 9 dia dah ada kat rumah,” sambung Him Chan pula.
“Dah cuba telefon dia?”
Mereka semua menggeleng.
“Dae Hyun hyung dah jual telefon bimbit dia. Kita orang pun tak tahu kenapa dia buat macam tu,” jawab Zelo.
“Jomlah kita cari dia. Kau orang tahu tak tempat yang dia selalu pergi?”
Perasaan risau mula menguasai diriku. Aku dapat rasakan ada sesuatu terjadi kepada Dae Hyun namun aku tak mahu berfikir yang bukan-bukan. Harap dia tak apa-apa. Tapi kalau dia tak apa-apa mengapa sampai sekarang dia belum balik lagi? Ke mana dia pergi waktu malam begini?
“Kita orang tak tahu tempat yang dia selalu pergi. Tapi rasanya tak salah kalau kita cuba cari dia kat sekitar kawasan ni,” cadang Young Jae.
Setelah capai kata sepakat, kami buat keputusan untuk cari Dae Hyun di sekitar kawasan ini. Aku meluru masuk ke dalam bilik untuk menyalin pakaian yang lebih tebal. Sebaik saja aku keluar dari bilik, telefon rumah berdering. Pasti mama yang telefon. Yong Guk menjawab telefon itu untukku.
Kami berlima duduk di sofa. Yong Guk kelihatan terkejut semasa menjawab panggilan itu. Siapa yang telefon? Kenapa Yong Guk nampak terkejut sangat? Ada sesuatu terjadi kepada mamakah?
“Hyung, waeyo?” soal Young Jae sebaik saja Yong Guk meletakkan gagang telefon.
Kami menghampiri Yong Guk dan dengan sabar menunggu jawapan daripada lelaki itu. Dalam hati aku berharap yang panggilan itu bukanlah berita buruk tentang mama.
“Mama telefon. Dia beritahu yang dia dapat panggilan telefon pasal...” kata-kata Yong Guk tergantung di situ.
“Pasal apa?” soal Him Chan tidak sabar. Dia menggoyang-goyangkan tangan Yong Guk.
“Dae Hyun kat hospital... kemalangan.”
Aku terduduk mendengar ayat terakhir yang keluar dari mulut Yong Guk. Dae Hyun kemalangan?
“Noona.. kwenchana.” Zelo membantu aku berdiri.
Aku tak mampu berkata bahkan untuk berfikir pun aku tak boleh. Aku takut sesuatu yang buruk terjadi kepada Dae Hyun? macam mana kalau aku akan kehilangan dia? Tak! Aku tak sanggup!
“Jom. Kita pergi hospital.” Zelo memapah aku keluar dari rumah.
Sebaik saja tiba di hospital, kami terus ke ruangan ICU. Doktor yang merawat Dae Hyun masih lagi belum keluar. Aku mundar-mandir di hadapan ruang ICU sambil diiringi air mata. Aku cuba untuk berhenti menangis tapi mataku tetap berdegil mahu mengalirkan mutiara jernih itu.
“Yoon Mi, duduklah. Dae Hyun okey. Jangan risau nanti kamu sakit kan susah.” Pujukan mama itu langsung tidak membantu aku menghilangkan kegusaran di hati. Aku tak boleh duduk dengan tenang seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
Seorang doktor keluar dari ruang ICU. Kami menghampiri doktor dengan harapan satu perkhabaran gembira akan keluar dari mulut doktor lelaki itu.
“Dia mengalami kecederaan yang teruk akibat daripada kemalangan itu dan kehilangan banyak darah,” ujar doktor itu.
“Sekarang dia dah okey kan doktor?” soal mama. Luarannya mama nampak sangat tenang tetapi hakikatnya aku tahu apa yang mama rasa.
Kerisauan mama sama seperti aku risaukan Dae Hyun. Kasih sayang mama dah tertumpah kepada Dae Hyun yang sudah dianggap seperti anak kandungnya sendiri. Aku tahu mama tak sanggup kelihatan Dae Hyun.
Begitu juga dengan aku. Tak sanggup aku untuk kehilangan Dae Hyun. Aku terlalu sayangkan Dae Hyun, lebih daripada seorang kawan. Macam mana aku nak lalui kehidupan aku yang akan datang kalau Dae Hyun tiada di sisi? Siapa nak jaga aku kalau aku sakit dan mama sibuk bekerja? Siapa yang nak bergaduh dengan aku tentang perkara-perkara remeh? Siapa nak berebut makanan dengan aku nanti? Siapa?
“Keadaan dia sangat kritikal. Saya tak boleh beri jaminan sama ada dia boleh bertahan atau tidak. Kita tunggu saja,” balas doktor itu sebelum meminta diri.
Tanpa menunggu lama aku terus meraung di situ. Air mata semakin deras mengalir membasahi pipi. Mama dan yang lain cuba menenangkan aku tetapi aku langsung tak dengar apa-apa seperti kedua-dua belah telingaku ditutup dengan sesuatu. Pandangan mataku kabur gara-gara air mata yang penuh di ruang mata.
Segalanya gelap, kosong, dan sunyi.
Aku tak tahu aku berada di mana kerana di sekelilingku semuanya putih. Tiada rumput atau lantai. Tiada dinding mahupun pokok bahkan tiada siling atau langit. Aku memerhati sekeliling. Hanya ada aku. Seorang! Tiada mama, Dae Hyun dan B.A.P
Aku menapak selangkah demi selangkah mengikut gerak hati. Langkah kakiku terhenti apabila terpandang Dae Hyun. Dia sedar akan kehadiranku lalu mengukirkan senyumannya. Senyuman yang mampu buat aku sukakan dia. Dia datang menghampiriku. Selangkah... dua langkah... tiga langkah...
Tiba-tiba dia hilang begitu sahaja. Aku menoleh sekeliling. Dia tiada. Ke mana dia pergi? Dia begitu hampir dengan aku tadi mengapa sekarang dia harus pergi? Ke mana dia menghilang? Aku berlari anak-anak sambil memanggil namanya. Aku berlari dan terus berlari dan tanpa sedar aku terjatuh ke dalam lubang yang dalam dan gelap.
“Dae Hyun!” aku memanggil namanya. Nafasku terasa pendek. Jantungku berdegup laju dan peluh membasahi dahi. Seolah-olah aku baru menamatkan larian marathon.
Aku mengamati ruang yang samar itu. Aku berada di mana? Kali ini aku pasti yang aku bukan lagi bermimpi. Apa yang terjadi sebenarnya? Aku meraup wajah beberapa kali.
Pintu dibuka dari luar dan B.A.P muncul bersama-sama mama.
“Noona.” Zelo berlari ke arahku sebelum memeluk aku dengan erat seperti kami sudah lama terpisah.
“Baguslah. Kamu dah sedar,” ujar mama sambil tersenyum.
Aku benar-benar kebingungan. Apa dah berlaku sebenarnya? Aku dah sedar? Mengapa dengan aku sebelum ini? Aku memandang mereka seorang demi seorang. Mana Dae Hyun?
“Mama, mana Dae Hyun? kenapa dia tak ada kat sini?” soalku lurus.
Mereka saling berpandangan. Kenapa mereka nampak keberatan untuk menjawab soalan aku?
“Yoon Mi tak ingat ke?” soal mama pula.
Aku menggeleng. Mama tersenyum sambil mengusap lembut tanganku.
“Mama keluar dulu. Ada urusan yang perlu diselesaikan.” Mama keluar dari bilik itu. Tinggallah aku bersama-sama dengan B.A.P
“Mana Dae Hyun?” aku bertanya lagi. Aku tak akan berhenti bertanya sehinggalah aku dapat jawapannya.
“Apa yang jadi kat aku sebenarnya?” soalku lagi.
“Noona koma. Dah 5 hari Noona tak sedarkan diri,” balas Jong Up akhirnya.
“Ingat tak Dae Hyun kemalangan?” Yong Guk cuba mengingatkan aku.
Dae Hyun kemalangan? Aku mengangguk. Aku teringat mereka datang ke rumah dan beritahu Dae Hyun tak balik rumah lagi. Kemudian mama telefon dan memaklumkan yang Dae Hyun kemalangan.
“Mana dia? Dia tak apa-apa kan?”
Yong Guk tidak membalas. Dia meneruskan ceritanya.
“Bila doktor bagi tahu yang Dae Hyun kritikal, Yoon Mi terus pengsan. Dan dua hari kemudian, doktor beritahu yang mereka dah ada penderma jantung yang sesuai untuk Yoon Mi. Jadi mama terus setuju untuk buat pembedahan.
Semasa pembedahan, doktor cakap yang tubuh Yoon Mi tak boleh terima jantung tu. Tapi doktor tetap berusaha dan akhirnya pembedahan tu tetap berjaya. Lepas pembedahan itu, Yoon Mi koma dan baru hari ni Yoon Mi sedar.”
Bermakna sekarang ni aku dah sembuh dan boleh jalankan kehidupan macam biasa.
“Tapi satu yang Yoon Mi tak faham. Macam mana mama boleh setuju untuk buat pembedahan ni sedangkan kami tak cukup duit untuk tampung kos pembedahan?”
Mama berusaha keras mengumpul duit untuk kos pembedahan jantungku tetapi biayanya terlalu mahal. Begitu cepat sekali mama kumpul duit untuk pembedahan ni?
“Sebenarnya, duit pembedahan ni hasil duit jualan rumah lama Dae Hyun dan motorsikal dia. Dalam diam, dia jual rumah dan motor tu untuk tampung kos pembedahan. Tetapi duit tu masih tak cukup. Jadi dia buat kerja sambilan setiap hari untuk cukupkan duit tu. Sebenarnya kita orang baru tahu hal ni. Young Jae terjumpa surat perjanjian penjualan rumah dan motor tu dalam bilik Dae Hyun. Kemudian pada masa yang sama, mama terkejut bila duit dalam akaun naik mendadak. Dari situ kami dapat agak yang dia buat semua tu supaya Yoon Mi dapat jalani pembedahan.”
Saat aku dengar penjelasan Yong Guk terasa seperti kelopak mataku berair. Mengapa dia perlu buat semua ni? Hanya sebab aku?
“Dae Hyun... dia kat mana? Dia kat wad mana? Yoon Mi nak jumpa dia.” Aku memegang tangan Yong Guk. Tetapi lelaki itu langsung tak beritahu aku di mana Dae Hyun.
Him Chan menyentuh lembut bahuku.
“Selain daripada jual rumah dan motor, ada satu lagi benda yang dia lakukan supaya Yoon Mi boleh sihat semula,” ujar Him Chan.
Aku menanti kata-kata Him Chan yang seterusnya dengan penuh sabar.
“Jantung dalam badan Yoon Mi sekarang... jantung Dae Hyun.”
Bagai belati yang menghiris hati aku, kata-kata Him Chan itu sangat menyakitkan.
“Sehari selepas Yoon Mi tak sedarkan diri, Dae Hyun pula tersedar. Tapi keadaan dia tenat sangat waktu tu. Dia sedih bila tahu apa yang jadi kat Yoon Mi. Sebelum dia pergi, dia sempat beritahu yang dia nak dermakan jantung kepada Yoon Mi.”
“Dan dia sempat tulis surat ni untuk Noona,” sampuk Jong Up lalu menghulurkan sepucuk surat kepadaku.
Terketar-ketar tanganku saat mengambil surat itu dari tangan Jong Up. Sukar untuk aku percaya yang semua ini terjadi. Mengapa Dae Hyun perlu lakukan pengorbanan sebesar ini? Aku lebih rela sakit sepanjang masa daripada sihat seperti orang lain tetapi Dae Hyun tiada di sisi. Aku mengumpul kekuatan sebelum membaca warkah terakhir daripada Dae Hyun.
Kim Yoon Mi,
Bila kau baca surat ni bermakna aku dah tak ada di sisi kau untuk temankan kau lagi. Sorry sebab aku tak boleh temankan kau lagi lepas ni dan aku harap kau dapat jaga diri kau baik-baik.
Dengan jantung tu aku harap kau dapat teruskan hidup kau dan buat perkara yang sebelum ini kau tak mampu lakukan. Jantung itu sebagai pengganti aku yang akan sentiasa bersama-sama kau.
Sebenarnya aku ada perkara yang aku nak beritahu kau. Dah lama aku nak beritahu tapi setiap kali aku nak luahkan pasti ada yang menghalang. Saranghae. Aku buat semua ni sebab aku sayangkan kau. Aku tak sanggup tengok kau ayik sakit. Bila aku rasakan yang hidup aku tak lama, aku dah nekad untuk dermakan jantung ni kepada kau. Jantung yang sentiasa berdegup kencang bila nampak kau senyum, nangis atau ketawa.
Aku harap kau tak lupakan aku sebagai kawan kau walaupun aku dah tak ada. Saranghae Yongwonhi, Kim Yoon Mi.
Jung Dae Hyun.
Beberapa titis air mata membasahi pipi setiap kali aku membaca bait-bait yang ditulis oleh Dae Hyun. Dae Hyun juga rasakan apa yang aku rasa. Mengapa aku tak pernah luahkan sebelum ni? betapa teringinnya aku untuk beritahu dia yang aku juga sukakan dia. Tapi apalah ertinya kalau aku luahkan sekarang. Dae Hyun dah tak ada. Dia dah tinggalkan aku. Selama-lamanya.
Comments