4
This Is LoveChapter 4 – Kebenaran
Hujan turun dengan lebatnya di luar dan aku sedang lena diulit mimpi. Tetapi mimpi itu tergantung di tengah jalan apabila aku terjaga gara-gara diganggu oleh telefon bimbitnya yang dari tadi tidak berhenti daripada berdering. Dalam keadaan mamai, aku mencapai telefon bimbit. Satu mesej dihantar oleh mama.
Yoon Mi, tolong tengokkan Dae Hyun. Dia demam.
-Mama-
Aku turun dari katil lalu bergerak ke ruang tamu. Sambil menggeliat aku perhati jam yang tergantung di dinding. Dah pukul 9.00 malam rupanya. Patutlah mama tak ada kat rumah. Tapi perlu ke aku tengokkan Dae Hyun? Tak boleh ke dia jaga diri sendiri? Mengada-ngada betul. Kan lebih baik dia duduk dengan keluarga dia aje.
Ketika aku keluar, hujan hampir berhenti. Dengan malasnya aku ke rumah Dae Hyun.
“Dae Hyun,” panggilku sambil mengetuk pintu rumah.
Tapi aku tahu Dae Hyun tak akan buka pintu jadi aku mencuba nasib dengan memulas tombol pintu. Mujurlah dia tak kunci pintu rumah. Aku menjengah masuk ke dalam. Terpaku aku melihat perabot yang tersusun dalam rumah itu. Sekali tengok aku tahu semua perabot itu mahal dan berjenama. Apatahlagi melihat televisyen 50 inci dan set home theatre milik lelaki itu.
Pasti Dae Hyun berasal dari keluarga yang berada. Kalau tidak masakan dia mampu beli semua perabot mewah ini dan juga motorsikal berkuasa tinggi warna merah yang sangat mahal harganya?
Setelah puas mataku memerhati semua perabot dalam rumah itu, aku bergerak ke bilik Dae Hyun yang terletak di tingkat atas. Aku hanya mengagak yang itu bilik Dae Hyun. Jangkaanku tepat apabila menangkap sekujur tubuh yang terbaring di atas katil dalam bilik yang gelap itu.
“Dae Hyun?” panggilku sambil memetik suis lampu bilik.
Automatik bilik yang gelap itu menjadi terang. Aku menghampiri Dae Hyun. Betapa pucatnya wajahnya ketika itu dan dia menggigil kesejukan walaupun selimut telah menutupi seluruh tubuhnya sehingga nampak kepalanya sahaja.
“Dae Hyun?” aku menyentuh dahi Dae Hyun. Panas.
Rasa simpati mula menguasai diri. Berapa lama agaknya dia terbaring begitu. Timbul pula rasa bersalah. Tanpa menunggu lama aku ke dapur mencari basin dan penuhkannya dengan air kemudian aku mencari sehelai tuala bersih dalam almari pakaian Dae Hyun.
Dae Hyun masih lagi terlena tapi aku dapat rasakan dia dalam keadaan tidak selesa. Dalam keadaan dia yang kesejukan, beberapa titik peluh mula kelihatan di dahinya. Basin berisi air itu aku letakkan di atas meja lampu. Tuala bersih tadi aku rendam seketika di dalam basin lalu memerahnya sebelum dilekapkan di atas dahi Dae Hyun.
Ketika itu aku merasakan jantungku berdegup kencang dan dengan penuh kasihan aku mengusap lembut rambut Dae Hyun. Hilang sejenak segala rasa benci dan menyampah terhadap lelaki itu.
Aku menarik kembali tanganku apabila tubuh Dae Hyun bergerak-gerak. Aku keluar dari biliknya lalu pulang ke rumahku sebentar untuk mengambil bahan-bahan memasak dan ubat. Aku tahu di rumah Dae Hyun tiada makanan selain daripada mi segera. Aku ke dapur dan mengambil beberapa jenis sayur-sayuran yang mama bawa balik dari pasar dan juga ayam. Kemudian aku ke bilik mama untuk mengambil ubat.
Mama selalu buat stok ubat-ubatan di rumah dan diletakkan di dalam biliknya untuk memudahkannya merawat aku jika aku jatuh sakit. Tak perlu susah untuk ke klinik. Aku mengambil ubat yang mama selalu berikan kepadaku jika aku demam. Setelah mengambil semua barang yang diperlukan, aku kembali ke rumah Dae Hyun.
Aku melakukan kerja dengan pantas kerana aku tahu Dae Hyun kelaparan. Tidak sampai setengah jam aku berjaya menyiapkan bubur ayam bersama sayur. Aku menatang dulang berisi air, bubur, ubat ke bilik Dae Hyun.
Dulang itu aku letakkan di atas meja belajar Dae Hyun lalu menghampiri lelaki itu.
“Dae Hyun. Bangunlah.” Aku mengejutkannya.
Dae Hyun membuka matanya perlahan-lahan. Aku tahu dia agak terkejut melihat aku di situ.
“Mama beritahu kau demam. Dia suruh aku jaga kau. Bangunlah, kau makan ya? Aku dah masakkan bubur untuk kau.” Aku membantu Dae Hyun duduk. Sebiji bantal aku letakkan di belakangnya untuk dia bersandar.
Aku mencapai mangkuk bubur lalu duduk di sebelah Dae Hyun di atas katil. Tanpa disuruh, aku menyuapkan bubur itu ke dalam mulut Dae Hyun. Aku tersenyum lega apabila melihatnya makan bubur yang aku masak. Apabila bubur tinggal separuh, Dae Hyun berhenti makan. Dia menggeleng menandakan dia sudah kenyang.
“Makan ubat pulak.” Beritahuku. Sup tadi aku letakkan kembali di atas meja dan mengambil ubat bersama segelas air.
Aku mengeluarkan sebiji pil lalu diberikan kepada Dae Hyun. Dia mengambil ubat itu lalu disuapkan ke dalam mulutnya. Kemudian aku menghulurkan segelas air kepadanya.
“Tidurlah. Kalau kau nak apa-apa panggil aje aku. Okey?” ujarku.
Tuala yang dilekapkan di dahinya tadi hampir kering. Aku basahkan kembali dan memerahnya sebelum dilekapkan semula di dahi Dae Hyun. Tidak sampai beberapa minit, lelaki itu terlelap semula. Melihat wajahnya yang polos itu jantungkan kembali berdegup kencang dan tanpa sedar aku tersenyum melihat Dae Hyun yang sedang lena itu.
Jam hampir menunjukkan pukul 11 malam dan aku masih lagi di rumah Dae Hyun. Aku hanya pulang ke rumah sebentar untuk mengunci pintu rumah lalu aku kembali ke sini untuk menjaga Dae Hyun. Aku telah memaklumkan hal ini kepada mama dan mujurlah mama memberi persetujuan.
Aku kembali terfikir kenapa mama terlalu ambil berat terhadap Dae Hyun? Mama memang seorang yang penyayang, tetapi dengan Dae Hyun aku dapat lihat sedikit perbezaan. Cara mama menjaga Dae Hyun sama macam mama menjaga aku. Ada apa-apa yang aku tak tahukah?
Seluruh ruang tamu aku teroka. Di rak kayu berwarna putih yang terdapat di ruang tamu tersusun gambar-gambar Dae Hyun bersama-sama dengan ibu bapanya. Dae Hyun di dalam gambar itu jauh berbeza dengan Dae Hyun di depan mataku kini. Di dalam gambar itu dia kelihatan ceria dan sentiasa tersenyum.
Alangkah bagus kalau Dae Hyun di depanku sama dengan Dae Hyun di dalam gambar ini. Dia kelihatan sangat kacak kalau dia tersenyum daripada kaku dan dingin macam ais! Kemudian mataku tertumpu ke arah sebuah gambar Dae Hyun dan kawan-kawannya.
Nampaknya masih banyak yang aku belum tahu pasal Dae Hyun. Melihat gambar-gambar itu seolah-olah aku sedang melihat sisi Dae Hyun yang lain. Siapa Jung Dae Hyun ni sebenarnya?
Aku berlari ke bilik Dae Hyun apabila terdengar lelaki itu memanggil seseorang. Dia mengigau? Aku tak dengar dengan jelas kata-katanya tetapi aku terdengar dia menyebut ‘Mama’, ‘Papa’.
“Kajima...” telingaku menangkap Dae Hyun mengucapkan perkataan itu walaupun perlahan. Dahinya berkerut dan berpeluh-peluh seoalah-olah sedang mengalami mimpi buruk. Pipi lelaki itu mula basah dengan air mata.
Aku mula risau melihat situasi Dae Hyun lantas aku mengejutkannya.
“Dae Hyun... Dae Hyun..”
Dae Hyun terjaga. Mukanya kelihatan seperti orang dalam ketakutan. Nafasnya tercungap-cungap.
“Dae Hyun, kau okey tak?” soalku risau.
Dia meraup wajahnya berkali-kali. “Aku okey,” balasnya perlahan. Suara serak. Aku tahu dia menangis tapi mengapa?
“Kalau macam tu aku keluar dululah.”
Aku sengaja keluar dari bilik itu. Mungkin Dae Hyun perlukan masa untuk bersendirian. Aku menutup pintu bilik lalu turun ke bawah dan melihat mama sedang menyusun barang-barang di dalam peti ais. Mungkin mama bawa balik sayur-sayuran dari pasar untuk Dae Hyun.
“Mama,” tegurku.
Mama menutup pintu peti ais lalu berpaling. Dia menyapaku dengan senyuman.
“Macam mana dengan Dae Hyun?” tanya mama.
Aku duduk di meja makan. Aku pandang mama sekilas yang sedang mengemas dapur rumah Dae Hyun itu. Memang jelas kasih sayang mama kepada Dae Hyun. Timbul rasa cemburu dalam hatiku.
“Dia okey.” Balasku. “Mama, boleh Yoon Mi tanya sikit tak?” soalku pula. Mama tidak memberikan respon jadi aku terus bertanya.
“Kenapa mama terlalu ambil berat pasal Dae Hyun? Ada apa-apa yang Yoon Mi tak tahu ke?”
Mama sudah melabuhkan pungggung di sebelahku. “Maksud Yoon Mi?”
“Yelah. Yoon Mi tengok cara mama layan Dae Hyun lebih daripada seorang jiran. Macam ibu dengan anak. Macam mana mama jaga Yoon Mi,” jelasku.
Wajah mama bertukar serius. Kemudian dia mengeluh pula.
“Sebenarnya ibu bapa Dae Hyun kawan baik mama. Kami dah lama berkawan tetapi bila mereka berkahwin, kami terus terxputus hubungan. Sampailah tahun lepas, kami bertemu semula selepas berpuluh tahun terpisah. 4 bulan lepas, mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya. Ibu bapa Dae Hyun meninggal dunia manakala dia koma dua minggu.
Sebelum meninggal, mereka berpesan pada mama supaya jaga Dae Hyun dan sayangi dia macam anak sendiri. Dari dia koma sampailah dia keluar hospital mama selalu curi masa tengok keadaan dia. Dia dah jauh berubah selepas sedar daripada koma. Daripada seorang yang ceria dan ramah, dia bertukar menjadi pendiam dan suka mengasingkan diri daripada orang ramai.
Pada mulanya mama ajak dia tinggal sekali dengan kita, tetapi dia menolak. Tapi tak lama lepas tu dia bersetuju untuk pindah sekolah dan beli rumah ni guna duit yang ibu bapanya tinggalkan untuk dia. Katanya dia tak sanggup duduk di rumah lama yang banyak kenangan dan dia kesian tengok mama terpaksa berulang-alik untuk tengokkan dia. Sebab itu dia pindah sini.”
Nafasku tersekat di kerongkong. Ternyata aku dah salah faham terhadap Dae Hyun. Rasa simpati melimpah ruah terhadap lelaki itu. Kesian Dae Hyun.
“Yoon Mi.” Mama meramas lembut tanganku.
“Mama harap Yoon Mi tak salah faham terhadap Dae Hyun. Dia memang nampak dingin dan sombong tetapi dia baik sangat. Kamu berbaiklah dengan dia. Dae Hyun perlukan kasih sayang ibu bapa sebenarnya. Dan juga seorang kawan. Mama harap sangat kamu boleh berkawan dengan dia.” Pinta mama.
Aku tersenyum sambil memegang tangan mama. Aku janji mulai hari ini aku akan berbaik dengan Dae Hyun dan aku akan kembalikan Dae Hyun yang lama.
Comments