2
This Is LoveChapter 2 – Kita Clash!
Pukul 7.00 petang aku berjaya menyiapkan kerja rumah. Aku menghempas tubuh di atas katil. Tangan kananku diletakkan di atas dahi sambil memandang siling. Tiba-tiba aku teringatkan Dae Hyun. Berapa lama agaknya dia keadaan macam tu ek? Aku tergelak kecil.
Tok! Tok! Tok!
“Yoon Mi,” panggil mama dari luar bilik sambil mengetuk pintu bilik.
“Ya, mama.” Aku menyahut.
“Makan malam dah siap.”
Aku turun dari katil. Mama sudah siap hidang makan malam sebaik saja aku duduk di meja makan. Aku tahu sebentar lagi mama akan keluar ke pasar jadi mama siapkan makan malam untukku dahulu.
Aku kagum dengan cara mama mengambil berat tentangku. Walaupun macam mana sibuk pun mama, tak pernah sekalipun mama lupa tentang makan dan minumku. Bukannya aku tak reti memasak. Memang aku ada belajar memasak daripada mama tapi mama tak ingin aku menyusahkan diri di dapur. Kata mama selagi dia boleh masak biar dia aje yang masak.
“Yoon Mi. Sebelum makan boleh tolong mama?’ soal mama.
“Tolong? Tolong apa?”
“Tolong hantar makanan ni kat Dae Hyun? Kesian dia. Entah makan entah tidak.”
Baru aku perasan di hujung meja teradapat dulang yang berisi semangkuk nasi dan lauk-pauk. Aku mencebik. Dae Hyun lagi. Balik-balik Dae Hyun. Istimewa sangat ke Dae Hyun tu? Aku menggerutu dalam hati.
Tapi pilihan apa yang aku ada selain menurut saja kata mama. Dengan penuh terpaksa aku menatang dulang yang berisi makan malam itu lalu menapak ke rumah Dae Hyun. Pelbagai sumpah seranah mengiringiku.
Menyusahkan orang betul. Dah tahu tak boleh berdikari tak payahlah duduk sorang-sorang. Lagi bagus duduk dengan mak bapak. Tak adalah aku kena jadi tukang hantar makanan. Hidup dia tak habis-habis menyusahkan orang. Begitu sekali rasa marahku terhadap pintu.
Sebaik saja berdiri di hadapan rumah Dae Hyun aku meletakkan dulang itu di atas kerusi yang terletak di tepi pintu. Dengan perasaan marah aku mengetuk pintu rumah Dae Hyun. Sekali... dua kali.. tiga kali... sehinggalah masuk kali ke sepuluh pintu masih belum dibuka.
Dia ni pekak ke? Sampai sakit tangan aku ni ketuk pintu dia tak buka-buka. Dia tak lapar ke? Aku nak bagi makanan dia buat bodoh pulak.
Aku membebel dalam hati dengan perasaan geram. Aku mencuba sekali lagi dan kali ini ada respon. Akhirnya pintu dibuka dari dalam. Aku sudah bersedia untuk melempiaskan kemarahanku kepadanya tetapi niat itu mati serta-merta sebaik saja aku perasankan sesuatu.
Mata Dae Hyun merah dan berair seperti orang baru lepas menangis? Dia menangiskah? Timbul pula rasa ingin tahu dalam diriku. Tapi itu cuma seketika. Rasa marah terhadap Dae Hyun masih lagi belum pudar. Lantak dialah nak nangis ke nak meraung macam bayi ke bukannya ada kaitan dengan aku pun.
Aku mengambil kembali dulang yang di atas kerusi itu.
“Nah, makan malam. Mama suruh aku bagi kat kau.”
Dae Hyun mengambil dulang itu dari tanganku. Tanpa ucapan terima kasih dia terus menutup pintu rumah dengan kasar.
Aku mengetap gigi. Mamat ni memang sangat kurang ajar. Terima kasih tak ada terus tutup pintu. Nasib baik tak kena hidung aku. Dengan perasaan marah yang berbuku aku pulang ke rumah.
Keesokan harinya aku ke sekolah seperti biasa. Di pintu pagar, aku terserempak dengan Dae Hyun kami sempat lagi berbalas jelingan. Sejak dia menjadi jiran aku rasa menyampah dan benci aku kepadanya semakin menebal.
Aku ditegur oleh seseorang sebaik saja aku berdiri di hadapan loker milikku.
“Hai awak,” tegur Jung Min. Hwang Jung Min ialah senior yang tua satu tahun daripada aku merangkap kekasih aku.
Aku sendiri dah lupa macam aku boleh setuju untuk couple dengan Jung Min. Yang aku ingat tahun lepas Jung Min datang menemuiku dan mengaku yang dia ada perasaan terhadapku dan melamar aku menjadi kekasihnya.
Selama dua hari aku fikir tentang perkara ini. Aku juga minta nasihat mama. Mama seorang yang sangat memahami. Dia tak kisah jika aku ingin bercinta tetapi aku perlu ingat batasannya dan sentiasa berjaga-jaga. Oleh itu, aku terima Jung Min meskipun aku sendiri tak pasti bagaimana perasaan aku terhadapnya.
Pada awalnya hubungan kami berjalan lancar. Jung Min seorang yang sangat baik. Tetapi lama kelamaan semuanya tidak berjalan lancar. Aku dan Jung Min, kami langsung tiada keserasian. Aku selalu cuba memahami minatnya, perkara yang dia suka. Tetapi Jung Min pula sebaliknya. Dia langsung tak pernah mahu mencuba dan langsung tak ingin untuk mencuba memahami aku. Malah kebelakangan ini kami sering bertengkar tak kisahlah hal remeh atau serius. Setiap perbicaraan kami pasti berakhir dengan pertikaman lidah.
Kini aku sudah penat dengan hubungan antara aku dengan Jung Min. Aku hanya menunggu masa di mana kami berdua... putus!
“Hai awak. Malam tadi saya telefon awak kenapa tak angkat?” soal Jung Min.
Aku membuka pintu lokar lalu mengambil sebuah buku nota sebelum menutupnya kembali. Wajah Jung Min yang menanti sebuah jawapan daripada aku dipandang. Rasa malas mahu menjawab soalan lelaki itu.
“Sorrylah awak. Sorry sangat. Saya dah tidur masa awak telefon saya semalam. Saya tak larat sangat sebab saya penat. Masa tu baru lepas habis buat ulangkaji.” Aku menipu Jung Min.
Pukul 11.00 malam tadi Jung Min menelefonku tapi aku malas nak angkat. Jadi aku hanya biarkan telefon itu di dalam bilik dan duduk di ruang tamu tengok tv bersama-sama mama.
“Oh ya ke? Sorry kalau saya ganggu awak tidur semalam,” ujar Jung Min yang nampaknya percaya dengan penipuanku.
“Awak, hari sabtu ni free tak?”
Aku mengangguk laju.
“Jom pergi jalan-jalan?” ajak Jung Min.
“Okey.” Aku lantas memberi kata setuju. Lagipun sudah lama aku tidak keluar berjalan-jalan.
“Kita nak pergi mana?” soal Jung Min lagi.
“Yeouido,” balasku. Sudah lama aku teringin berjalan-jalan di Yeouido. Di sana aku terasa lebih dekat dengan alam sekitar kerana di sana terdapat sebuah tasik yang sangat cantik. Sudah lama aku tidak ke sana. Kali terakhir aku ke Yeouido awal tahun lalu bersama mama ketika musim sejuk.
“Yeouido? Tak naklah. Kat sana tak best. Kita pergi Myeongdonglah.” Jung Min membuat keputusan.
Hatiku berbaur rasa kecil hati dan marah. Kalau dia sendiri yang tentukan tempat kami akan pergi tak perlulah dia minta pendapat aku. Jung Min tak pernah setuju dengan cadangan atau pendapat aku. Kami langsung tak serasi. Dia tak suka ke Yeouido dan aku tak suka ke Myeondong.
Kami sudah acap kali ke Myeongdong hingga aku naik bosan. Kami ke sana tidak buat apa-apa selain membeli- belah. Jung Min seperti perempuan, dia sangat suka membeli-belah dan Myeongdong adalah tempat kegemarannya untuk berbelanja. Manakala aku paling benci membeli-belah. Bagi aku perkara itu sangat membosankan dan meletihkan.
Aku teringat bagaimana aku hampir menangis setiap kali teman Jung Min membeli-belah. Sampai lelaki itu terlupa untuk berhenti makan tengah hari dan biarkan aku kelaparan sementara dia dalam dunianya sendiri.
“Myeongdong? Lagi? No. I won’t go.” Aku membuat keputusan.
“Kenapa? Takkan kita nak pergi Yeouido. Oh please... tempat tu bosanlah,” bidas Jung Min. Masing-masing tak mahu mengaku kalah.
“Okey kalau macam tu. Kita tak payah pergi hari sabtu ni. Senang.” Aku terus pergi dengan hati yang membengkak.
Sebaik saja melangkah masuk ke dalam kelas wajah Dae Hyun yang aku nampak dulu. Tolonglah... dahlah aku sakit hati dengan Jung Min sekarang ni muka mamat ni yang aku nampak dulu. Macamlah tak ada orang lain.
Aku duduk di tempatku di belakang Dae Hyun. Buku di atas meja aku buka dan selak halamannya satu persatu tanpa perasaan.
“Yoon Mi. Nah, ada orang bagi.”
Aku mendongak lalu mengambil sehelai kertas kecil yang dihulurkan oleh rakan sekelas kepadaku.
Jumpa di rooftop waktu makan tengah hari nanti. Saya tunggu awak kat sana.
-Hwang Jung Min-
Aku merengus kasar. Kertas kecil itu aku renyukkan. Aku dapat mengagak apa yang akan terjadi selepas ini. Jung Min akan meminta maaf kepadaku dan lima minit kemudian kami akan bertengkar lagi. Sungguh, aku dah bosan dengan semua ni. Tiba masa untuk aku tamatkan semuanya.
Seperti yang dijanjikan aku jumpa dengan Jung Min di rooftop pada waktu makan tengah hari. Ketika aku sampai, Jung Min sudah ada di situ. Aku agak serba-salah tapi aku perlu nyatakan juga.
“Hai awak,” aku tegur Jung Min seperti biasa.
“Hai. Awak saya minta maaf pasal hal tadi.” Jung Min meraih tanganku. Aku mengeluh seraya menarik tanganku daripada pegangannya.
“Awak, saya ada benda nak beritahu ni.” Aku memulakan bicara.
“Apa dia?”
Aku menarik nafas dalam-dalam lalu menghelanya perlahan.
“Saya rasa hubungan kita ni satu kesilapan. Kita putus.”
Mata Jung Min terbeliak. “Kenapa? Kenapa tiba-tiba? Saya rasa hubungan kita tak ada masalah.”
“Tak ada masalah.” Aku berhenti seketika. “Awak tak nampak atau awak buat-buat tak nampak? Hubungan kita ada masalah. Kita langsung tak ada chemistry. Saya cuba memahami awak, belajar minat perkara yang awak suka. Setuju setiap keputusan awak. Tapi macam mana pulak dengan awak?
Awak tak pernah nak faham saya. Apa yang saya suka dan apa yang saya tak suka. Awak tak pernah nak terima pendapat saya. Bagi awak hanya awak yang betul dan hanya awak yang berhak buat keputusan. Dan sekarang saya dah penat dengan semua ni lebih baik kita putus.”
Jung Min terpempam. Pasti dia tak menyangka aku mampu berkata begitu.
“Dahlah, saya nak pergi dulu.”
Aku ingin mengorak langkah. Tetapi Jung Min cepat-cepat menarik tanganku. Dengan kudrat yang ada aku menarik tanganku yang dicengkam kuat oleh Jung Min.
“Lepaslah. Kita dah tak ada apa-apa lagi.”
Comments