B A B 3

Renjana

----

"Ma tak nak pergi ke kediaman keluarga Lu? Majlis perkahwinan akan berlangsung di sana." Yixing bertanya dengan lembut sambil menghampiri ibunya di kerusi malas.

"Ma tak sanggup melihat cucu kesayangan ma dikahwinkan. Ma tak mahu pergi!"

Yixing tersentak. Dia tahu ibunya masih menentang keputusannya. Namun, janji yang dibuat tidak boleh diundur lagi. "Baiklah ma. Saya pergi dulu-"

"Panggilkan Mei."

Hari yang ditunggu sudah tiba. Seminggu terasa pantas berlalu begitu saja. "Minghao, bagaimanakah agaknya rupa Lu Han itu. Kadang kala aku terasa ingin tahu." gumam Mei sambil sanggulnya dibetulkan pembantu untuk kali terakhir sebelum berangkat ke kediaman Lu. Walaupun berasa pelik kerana jika diturutkan adat; sepatutnya pengantin lelaki yang bertandang ke rumah keluarganya, namun Mei diamkan sahaja.

Yang muda menaik kening, hairan. "Baba masih tidak memberitahu kau?"

Tidak memahami maksud sebenar Minghao, Mei menggeleng kecil. "Tidak. Aku cuma tahu umurnya saja."

Jadi Mei tidak tahu yang Lu Han sudahpun tiada? Minghao memendam getus hati. Mengapa baba tidak berterus terang saja?

Belum sempat Minghao menyambung kata, Yixing menghampiri ruang tamu di mana anak-anaknya sedang berkumpul.

"Nenek mahu berjumpa dengan kamu, Mei. Lekas."

Mei terus mengiakan sebaik rambutnya siap tersanggul kemas. Bilik wanita tua yang tidak asing lagi bagi Mei dituju. Daun pintu yang sudah terbuka ditolak perlahan.

Usai kelibat Mei menghilang di sebalik pintu, riak Yixing melembut. Teringat kembali perbualan terakhirnya dengan Tuan Lu sebelum membuat perjanjian.

"Jika kamu bersetuju dengan perkahwinan ini, saya akan bantu majukan semula syarikat kamu. Dengan pengaruh yang saya ada, sekelip mata saja perniagaan kamu akan mendapat untung. Kamu akan dapat menyara keluarga kamu semula."

Yixing menghela keluhan yang membuatkan Minghao memandang dengan curiga.

Mei mendekati dan melabuhkan punggung di atas kerusi bersebelahan kerusi malas. Nenek masih tak berganti pakaian.

"Nek, kenapa nenek tak mahu pergi? Nenek tak mahu lihat Mei berkahwinkah?" Sugul nada pemudi berkenaan.

"Bukan nenek tak mahu tapi nenek tak sanggup. Nenek sangat sayangkan kamu... Maafkan nenek sebab tak dapat nak halang perkahwinan ini daripada berlaku."

Mei segera menyulam tangan dengan wanita tua tersebut. "Jangan bercakap seperti itu. Ini bukan salah nenek. Tak mengapa nek, Mei rela. Demi nama baik keluarga."

Sayu wanita itu mendengar ungkapan Mei. Tak menyangka cucunya sanggup menggadai hidup hanya demi keluarga. Air mata mula gugur sambil dia mengusap lembut pipi Mei. "Kamu adalah pengantin yang paling cantik nenek pernah lihat..."

Mei senyum tawar. "Nek, janganlah menangis. Tak ada yang lebih menyakitkan perasaan Mei selain melihat nenek mengalirkan air mata."

"Mei! Kita harus pergi sekarang!"

Mendengar ayahnya memanggil, Mei mencium pipi nenek sekilas sebelum keluar.
.
.
Suasana di dalam kereta yang meluncur di atas jalan raya, menimbulkan curiga pada Mei. Seperti tenang sebelum datangnya ribut. Ayah yang mengisi tempat duduk di sebelah pemandu langsung tidak menuturkan sebarang kata.

Minghao di sisi, dipandang. Adiknya serentak berpaling pada Mei.

"Kenapa dengan baba?" Mei menggerakkan bibir tanpa suara pada Minghao.

Rasa serba salah menghurung Minghao. Perlukah dia memberitahu rahsia di sebalik bisu ayah itu? Tapi Minghao mahukan ayahnya sendiri berterus terang.

"Pergilah tanya baba." Minghao meniru gaya Mei berisyarat.

Mei rasa pelik tapi dia nekad juga. "Ba, betulkah Lu Han itu berumur 23 tahun?"

"Betul."

Sepatah ditanya, sepatah dijawab. Makin berkerut dahi Mei dengan kelakuan dingin ayahnya. Minghao dapat mengagak ke mana arah perbualan ini akan pergi.

"Kenapa baba tak pernah bawa Mei berjumpa dengan Lu Han? Sekurangnya, kami dapat mengenali-"

"Perkara itu mustahil," potong Yixing dengan dingin.

Mei mengerling Minghao yang beriak biasa. Entah mengapa dia mula berasa cemas. Jangan beritahu yang Lu Han –

"Sebab dia dah mati, Mei."

Tanpa mereka sedari, terlintas riak kasihan di wajah Yixing membayangkan reaksi Mei. Tapi egonya lebih menguasai.

Mei dapat rasakan hatinya bagai dirobek satu-persatu. Pedih. "Kenapa... kenapa baba tidak pernah beritahu Mei? Kenapa baba tipu Mei?! Baba penipu!" Gadis itu sudah terlaung tak sengaja.

Penipu.

Tiada sesiapa yang berani memanggil Yixing sebegitu. "Jadi apa yang kamu hendak lakukan sekarang?! Batalkan majlis ini? Larikan diri?!" Soalan Yixing menambah lagi tusukan di hati.

Mei terkedu. Tak menyangka ayahnya lebih mementingkan janji daripada hidupnya sendiri. Minghao segera menyulam tangan dengan Mei, memujuk perlahan gadis berkenaan agar tidak menangis. Mei hanya mampu mengetap bibir, menahan sebak. Minghao memeluk bahu Mei dari sisi dan mengelusnya lembut.

Hanya Mei yang tinggal di dalam kereta yang sudah dimatikan enjin. Mei merenung pantulan dirinya yang cantik menyarungkan kua merah di cermin kereta. Pakaian untuk majlis perkahwinannya yang akan berlangsung sebentar lagi. Percaya atau tidak, kua ini dijahit oleh Mei sendiri, yang inginkan hari perkahwinannya menjadi istimewa. Namun, jangkaanya meleset. Sugul namun kosong. Itulah yang tertulis di wajah pucat Mei.

'Selamanya.' Mei sudah mengerti maksud tersirat di sebalik ayat tersebut. Terasa dirinya ditipu, diperangkap dan dianiaya! Walaupun hatinya berkecamuk memberontak, namun dia tiada daya untuk menunjukkannya. Jika dia menolak, pasti ayahnya akan memaksa jua.

"Mei? Keluarlah. Majlis takkan bermula jika kamu tak munculkan diri." Yixing menjenguk sedetik sebelum beredar. Hanya sekadar memberi peringatan. Tanpa berlengah, gadis itu melangkah turun dari kereta.

Minghao yang setia menunggu di luar kereta, memberi senyuman semangat. Tangan dingin Mei dipimpin kemas. Dia tahu perasaan Mei sekarang. Sebagai kembar walaupun tak seiras, dia juga dapat rasai.

Sayangnya, nasi sudah menjadi bubur dan dia tiada kuasa untuk mencegahnya.

Pintu yang megah dibuka, memunculkan ruang besar dewan rumah agam. Hanya keluarga kedua-dua belah pihak sahaja hadirkan diri. Minghao meninggalkan Mei berjalan berseorangan dengan berdiri di barisan tetamu. Semua mata memandang pengantin perempuan yang berhias cantik. Xiumin menunduk kecil sebaik Mei melepasinya.

"Aku pun belum berjumpa dengan Puan Muda Lu aku juga."

"Tunggu nanti di majlis perkahwinan kaulah."

Xiumin menelan air liur, menahan sayu. Kesalan dan terkilan masih menghantuinya.

Sebuah meja panjang diletakkan di tengah-tengah. Kanan dan kiri ruang dihias dengan hiasan berwarna merah. Mei menuju ke kerusi yang dikhaskan untuk dirinya dan si pengantin lelaki. Walaupun gementar dihujani renungan dingin, dia hanya pendamkan. Mei mengerling ke sisi sejenak. Lelaki yang menjadi pengantinnya hanyalah boneka yang dibentuk semula daripada kertas. Lu Han- anak lelaki keluarga Lu yang telah meninggal dunia pada usia muda dua bulan yang lalu. Itulah bakal suaminya. Tak pernah gadis muda itu menyangka perkahwinan hantu ini menjadi perkahwinannya. Suasana muram dan sunyi memenuhi isi dewan umpama di majlis pengebumian. Tuan Lu memberi isyarat kepada sami untuk memulakan upacara.

"Beri tundukan,"

Mei menuruti arahan tersebut sebelum memberi tundukan hormat untuk kali terakhir; kepada si 'suami'. Ia kemudian sepatutnya diikuti oleh upacara meminum teh yang melambangkan penerimaan si pengantin di dalam keluarga si suami. Namun, Mei hanya melihat beransur-ansur tetamu pergi, tanpa menoleh lagi kepada dirinya yang bergelar pengantin baru. Tiada ucapan tahniah, tiada senyuman kegembiraan. Tiada. Keluarga mentuanya juga membawa diri. Bahkan, ayahnya sendiri memperlihatkan belakang, tidak langsung menyapa. Mujurlah Minghao dengan wajah manis datang menawarkan pahit yang terasa.

"Kau kena kuat. Jangan lupakan aku, ya? Aku akan selalu ada untuk kau, Mei." Dia memberi pelukan erat yang tak dibalas.

"Jangan berlama di sini, Minghao. Nanti baba tinggalkan kau." Alasan Mei dan adiknya terus meleraikan dakapan. Minghao sempat tersenyum sebelum berlari anak, keluar dari dewan yang makin lengang.

Membatu di tempatnya, Xiumin memahami kecewa yang membadai Mei. Namun, dia tidak dapat menolong. Suasana akan pasti lebih berbeza dan meriah jika Lu Han masih hidup. Tawar senyuman Mei itu pasti memudar. Malangnya, Lu Han tidak sempat untuk menatap wajah pengantinnya.

Dengan nafas dalam ditarik dan dihela, Xiumin mengambil langkah menuju ke Mei. Tundukan hormat diberi. "Puan, saya Xiumin; pembantu kepada Tuan Muda Lu Han merangkap kepada puan. Jika puan perlukan apa-apa, puan boleh beritahu kepada saya."

Mei memberi senyuman kelat. Gelaran 'puan' itu tidak memberi makna lagi kepadanya. "Terima kasih, Xiumin..." ucap Mei lemah sebelum kembali mengisi kerusi kayu bersebelahan si 'suami'. Tinggal dia dan Xiumin saja di situ. Mei melontar renungan kosong tanpa petah. Xiumin dengan kepala tertunduk setia menemani hingga langit mulai keperangan.

Jamuan makan diadakan secara sederhana. Beberapa wajah asing selain Tuan dan Puan Lu mengisi meja makan. Namun Mei, si pengantin baru hanya disuruh untuk makan malam di dalam biliknya sahaja. Bermula dari detik itu, perasaan kelat makin bersarang di dalam hati Mei.

Sambil dia dibawa melihat sekeliling rumah keluarga Lu selepas semua tetamu bersurai, ketua pembantu keluarga Lu; seorang wanita tua setia memperkenalkan satu-persatu bilik yang dilepasi. Sampailah,

"Inilah bilik suami puan, Tuan Muda Lu Han."

Takut dan gemuruh Mei mula menyala dalam diri. Hujan yang membasahi bumi turut membawa kesedihan. Wanita tua berkenaan memulas tombol pintu dan ruang gelita yang tergapai-gapai ingin menariknya, menyapa.

"Di sinilah puan akan tidur untuk malam ini. Saya minta diri dulu. Selamat malam, Puan Muda Lu." Si tua beransur beredar, meninggalkan Mei yang hanya berdiri merenung ruang hitam di hadapannya.

"Cantik kan Puan Muda Lu? Patutlah Tuan Muda Lu Han boleh jatuh cinta dengannya. Walaupun mereka tak pernah berjumpa sebelum ini."

"Dan takkan berjumpa lagi."

Xiumin memberi pandangan tajam sebagai amaran agar Xianri menjaga tutur kata. Gadis tersebut menunduk memohon maaf sebelum menyambung perbualan dengan Yuan. Namun dengan suara diperlahankan.

Xiumin kembali tersandar pada dinding dapur.

"Kenapa kau nampak sedih, Xiumin?" tegur Jia, enggan mengikuti perbualan ibarat tin kosong tersebut. Dia bersilang tangan berhadapan pemuda itu. "Kau masih bersedih?"

"Banyak benda aku kesalkan, Jia... Aku marahkan diri aku yang penakut. Kesal ini memakan diri aku."

"Usah kau fikirkan benda yang dah lepas... Nanti kau juga yang merana. Kawal perasaan kau. Jangan dituruti."

"Jia."

Suara tegas wanita pengiring Mei tadi membisukan keadaan.

"Bawakan makan malam untuk Puan Muda Lu."

Jia segera menuruti. "Baiklah, puan."

Mei duduk di birai katil, memerhati tingkap lencun kebasahan, terbias hujan lebat. Dingin hujan terasa hingga ke dalam bilik. Langit malam disorok awan mendung kelabu. Pintu bilik diketuk perlahan dari luar, dan masuk seorang pembantu menatang dulang berisi makan malam untuk Mei.

Selera Mei hilang. Bilik ini juga dibiar muram. Kosong dan sepi seperti hatinya. Layanan keluarga Lu sebentar tadi jelas terbukti mereka tidak mengalukan kedatangannya ke sini.

'Apa erti hidup aku sekarang ini; bersuamikan lelaki yang telah mati? Mengapa baba mengkhianati kepercayaan yang diberi? Atau aku yang terlalu buta untuk menyedari semua ini?'

Mei mengeluh kesal.

Dia juga ingin diberi peluang untuk merasakan perasaan cinta. Namun, dalam situasi sebegini, dapatkah dia belajar untuk mencintai suaminya yang tak lagi hidup di dunia ini? Wajah Lu Han, suara Lu Han; Mei tidak pernah tahu.

"Kalaulah aku dapat menjadi cintanya..."

Ia takkan tercapai.

Menurut cerita, semasa hidup, Lu Han adalah seorang pemuda yang berjiwa murni. Namun, tak dikhabarkan pula sebab Lu Han meninggal dunia. Tak hairanlah, keluarga Lu sangat menyayangi Lu Han sehingga sanggup melakukan upacara perkahwinan ini. Semua yang dituruti hanyalah semata-mata demi orang tuanya. Demi kebahagiaan orang lain. Tidak wujud istilah untuk dirinya.

Jia faham akan bisu Mei itu. Namun dia tak dapat membantu. Dia hanyalah seorang khadam di dalam keluarga ini. Kembali menarik daun pintu, renungan kasihan dilontar. Kelam menyelubungi bilik yang hanya diterangi lilin tersebut.

Tersentak mendengar bunyi tajam selak pintu, Mei segera berpaling lalu bangun dan meluru. Dipulas berkali-kali tombol, kemudian permukaan pintu dihentak.

"Kenapa saya harus dikurung di dalam bilik ini?!"

Berkali-kali Mei merayu namun sia-sia. Tiada siapa pun ingin mendengar rayuan itu. Mei cuba menenangkan hatinya yang bergelodak. Apa salah yang dia telah lakukan sehingga dilayan seperti ini?

Bunyi gema dentuman pintu tersebut kedengaran sampai ke bawah. Xiumin dengan bingung memandang Jia yang bergegas menuruni tangga.

"Kenapa dia dikurung, Jia? Dia tak sepatutnya diperlakukan sebegitu." Ada terselit nada bimbang dan cemas dalam suara Xiumin.

"Ini semua arahan Puan Lu. Aku tidak boleh mengingkarinya!" Jia akui turut berasa sedih mendengar rayuan Mei. Dia menarik lengan Xiumin, menjauh. "Sudah. Baik kau pulang ke bilik kau. Puan Lu tidak benarkan sesiapa berlegar di sini untuk malam ini!"

Xiumin akur dengan pintaan Jia walaupun rasa curiga bermain.

Mei duduk termengguk sambil memeluk lutut bersandarkan pintu. Dia mengangkat wajah, pandangan Mei jatuh pada dulang makanan. "Dua sajian...? Bererti untuk aku dan..."

Api yang membakar sumbu lilin-lilin terpadam secara tiba-tiba. Hanya cahaya malap bulan dari luar yang sudi memancar, menyuluh bilik. Salakan anjing bersahutan. Bayu malam selepas hujan bertiup agak kencang.

Mei kembali berdiri tapi kekal rapat tersandar pada pintu yang dikunci. Dia dapat merasakan suhu bilik itu berubah. Makin dingin. Dingin yang mencengkam tulang.

Tangan Mei kembali menghentak pintu, "Tolonglah! Sesiapa... tolonglah buka pintu ni..." Air mata sayu menitis ke pipi pucatnya bila dia seakan dapat rasakan suatu kehadiran di dalam gelita bilik itu.

"Minghao, kamu kenapa?" tegur nenek yang perasan gelagat cucu lelakinya yang tidak bersungguh menyuap makanan. Minghao seperti sedang termenung jauh. Ketat saja riak mukanya.

"Habiskan makanan kamu itu, Minghao." Yixing tegas mengarahkan anak muda berkenaan walaupun dia tidak memandang.

"Saya tak sedap hati." Penyepit kayu dihempas ke meja. Bunyi seretan kaki kerusi Minghao yang berdiri membuatkan dia kelihatan biadab di mata Yixing.

"Kamu nak ke mana? Habiskan makanan kamu itu, Zhang Minghao!"

"Saya dah hilang selera makan. Takkan baba nak paksa saya juga macam baba paksa Mei?" Minghao segera berlalu pantas menuju ke bilik tidur. Pintu juga dihempas memberi gema kepada rumah sunyi tersebut. Nenek mengeluh sayu; terasa keluarga ini semakin merenggang.

Yixing merenung tajam meja, menahan amarah dengan sindiran Minghao. Dia tahu, ini akibat yang perlu dia tanggung atas perbuatannya. Tapi sedarkah mereka, apa yang dia lakukan juga adalah untuk kesenangan mereka?

Minghao duduk di hujung katil sambil mengusutkan rambutnya. Cuba melenyapkan rasa berserabut yang memenuhi fikiran. Badan direbah ke katil. Jantungnya berdegup kencang. Minghao dapat merasakan sesuatu sedang berlaku pada Mei. Firasat itu membuatkan Minghao tak keruan.

Pekikan anjing tiba-tiba diam. Hanya suara angin kedengaran menampar jendela. Bunyi tapak kaki entah dari mana yang menghampiri, membuat Mei bungkam. Dengan berani yang masih tersisa, Mei meliar memerhati sekeliling.

"Mei..."

Bergema di udara nama gadis tersebut umpama bisikan.

"Siapa?!"

"Jika mempercayaiku, datanglah merapati."

Walaupun teragak, kaki Mei tetap membuka langkah kecil, menuju ke arah suara itu. Namun langkah Mei mati di dalam gelap. Dia saksikan bagaimana perlahan-lahan, cahaya bulan yang tersorok di sebalik awan kembali menyinar dan menyuluh suatu susuk yang seakan ilusi; berdiri di sisi jendela. Hanya separuh wajah pucatnya kelihatan. Bibir itu mengukir senyuman kecil beriak sayu.

"Xièxie..."

Suara itu berbisik seakan pada telinga. Kepala Mei terasa ringan, badannya menggigil takut bila dia bertentang mata dengan mata hitam jelmaan di hadapannya yang meluncur, mendekati seperti angin. Mencungap Mei apabila seakan tangan yang sedingin ais mengelus lembut pipinya dalam kegelapan. Anehnya, sentuhannya menghangat seperti dimiliki oleh seseorang yang hidup.

Dunia terasa berpusing. Badan Mei akhirnya terkulai ke lantai ibarat tak bernyawa dan tabir hitam menyapa pandangan.

"Jangan takut... Saya takkan apa-apakan awak..."

Bisikan dan si pembisik hilang bersama debu-debu halus berterbangan di udara.

 

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!
kuchens
tak lama lagi, tajuk cerita ni akan ditukar.

Comments

You must be logged in to comment
lilylunalove
#1
Chapter 4: Eii geramnya dgn Puan Lu tu! Ish tak paham la dia tu, dlm kes ni tak sesiapa pun yg salah apatah lgi Mei, knapa dia benci sgt dekat Mei smpai snggup buat mcm ni? Padahal Mei dh korbankan hidup dia semata mata utk kahwin dengan 'Lu Han'. Kesian Meilin. Semoga di kehidupan akan dtg, dia akan temui happy ending, walaupun bukan bersama Lu Han.
nursyamimivip
#2
Chapter 2: MEI LUHAN DAH MATII KAYY nak je jerit dekat dia cemni aduh. Orang dulu2 banyak percaya benda karut hm. Macam mana tah nanti majlis perkahwinan tu o.o thanks for the update!
nursyamimivip
#3
Chapter 1: Bm mantap nyaaa kalau bm saya kelauuuut xD so far so good, curious apa akan jadi nanti. This is like my first malay story that id read this year. After long time tho hahaha sbb kebanyakan malay story tak memenuhi citarasa saya ni xD but finally an interesting and supernatural malay fanfic w perfect grammar and anything i wanted is here! Keep up the work! Cant wait for the next chapter. New reader btw :)
aquariusxpisces
#4
Chapter 11: Saya rasa lebih baik pendekkan, sebab cerita ni best... Tapi memang ramai authors dan readers yang deactivated acc TT
starlightkim_
#5
Chapter 11: Saya rasa better pendekkan cerita because cerita ni best sangat
lugege_
#6
Chapter 11: Saya tunggu lama gile cite ni T_T tapi saya rasa better awak pendekkan cite ni. Apa pun hwaiting :)
Seasony
#7
Chapter 11: Saya suka fanfic ni awaaak TT mungkin awak boleh pendekkan cerita macam awak cakap tu. asalkan cerita ni habis. Saya pun nak tahu kesudahan dia >< fighting author-nim!
Heart_love
#8
Chapter 10: Update soon authornim.makin menarik
Jelly_Warrior
#9
Chapter 10: My God...rasa ingin tahu makin menebal dalam diri ini * gigit bantal* Nice update author ;-) Good luck utk chapter2 seterusnya^^
starlightkim_
#10
Chapter 10: Cerita ni semakin menarik authornim..i love it yeah!!!