B A B 1

Renjana

1948

---

"Lu Han!"

Kakinya berlari membawa rasa ingin tahu. Bahu sahabatnya dipegang dengan tercungap-cungap. Lu Han yang sentiasa bersama sebuah beg dipikul di bahu memandang dengan lagak bingung. Laluan dewan kuliah yang lengang menjadi pendengar mereka. "Ada apa, Xiumin?"

"Benarkah apa yang aku dengar? Yang kau akan dijodohkan dengan anak gadis keluarga Zhang?" Senyuman Xiumin makin melebar, gembira mendengar berita itu.

Dengan lagak samseng, Lu Han seakan mengugut apabila dia mencengkam kolar baju kemeja Xiumin. Mukanya membuat mimik angkuh. "Dari mana kau mengetahuinya? Beritahu aku." Tak lama kemudian, Lu Han kembali meleraikan cengkaman sambil tersengih. Lu Han suka bergurau sebegitu dengan sahabat baiknya; Xiumin.

"Tadi, aku terdengar perbualan pembantu-pembantu yang lain. Benarkah Lu Han?"

Senyuman Lu Han mengecil, "Orang tua aku belum pastikan lagi. Mungkin hanya khabar angin. Mungkin juga ia benar. Aku sendiri tak pernah berjumpa dengan gadis itu."

Bahu Xiumin ditepuk sebelum Lu Han menyambung langkah. Dia juga sebenarnya terfikir tentang berita itu. Jika benar, mengapa keluarganya belum lagi berbincang dengan dirinya. Jujur, dia tidak mahu mengahwini bakal isterinya melalui perkahwinan yang diatur. Tidak kesiankah pada perasaan gadis itu yang disuruh berkahwin dengan lelaki yang tak pernah dia kenali? Bagaimana jika gadis itu tidak menyukai dirinya?

Namun bagi Lu Han, dia sudah berjanji untuk dedikasikan cinta hanya untuk bakal isterinya dan akan cuba untuk mencintainya walaupun sehari saja tempoh mereka bertemu. Kerana itu, Lu Han mungkin akan bersetuju saja dengan aturan orang tuanya.

"Lu Han! Aku mahukan kesahihan!" Xiumin kembali berlari mengejar Lu Han yang berjalan tenang. "Beritahulah pada aku!"

"Aku pun tidak tahulah, Xiumin."

Usai melangkah keluar pagar bangunan universiti, Lu Han mengambil angin bersiar di bandar sambil setia dituruti Xiumin. Keadaan pasar kota sudah tak semeriah dulu. Orang lalu lalang juga makin berkurang. Perang sivil yang berlarutan antara dua pihak kerana berebutkan takhta kerajaan telah menjejaskan kehidupan penduduk setempat. Kadar inflasi melambung tinggi. Sana sini kelihatan gelandangan merempat kelaparan.

Lu Han berpaling kepada Xiumin dengan mengejut. Beg di tangan diserah tanpa kata. Terpinga Xiumin menanti arahan Lu Han. Kedai roti lengang berhampiran disinggah. Lu Han kembali dengan bungkusan roti bun yang agak banyak.

"Kau nak buat apa dengan makanan itu, Lu Han?"

"Aku mahu bagi pada mereka."

Xiumin hanya mengangguk dan melihat Lu Han menghampiri golongan bawahan berkenaan. Setiap hari, ada saja kerja amal yang Lu Han lakukan. Tak pernah jemu Xiumin menemani. Walaupun Lu Han dilahirkan di dalam keluarga berada, jiwanya tak pernah tercalit perasaan angkuh dengan kekayaan yang bakal diwarisi. Xiumin sendiri tak menyangka dia yang setaraf golongan hina; diangkat menjadi sahabat kepada Lu Han.

Mengatur langkah dengan pandangan menunduk, seorang gadis muda berjalan ke kawasan pasar sambil ditemani seorang pembantu. Gadis itu hanya memerhati sekilas usai mereka berhenti di hadapan sebuah kedai. Sesetengah kedai berselerakan, akibat perbuatan zalim askar yang membuat onar. Tiada lagi suara perbualan sesama peniaga, suara kanak-kanak ketawa berkejaran di sepanjang lajuran kedai.

Mata Xiumin menangkap kelibat gadis yang datang untuk membeli barang di sebuah kedai; tak jauh daripada mereka. Senyuman kecil terlintas; itulah anak perempuan tunggal keluarga Zhang yang dikenalinya melalui perbualan rakan-rakan kenalan. Meilin.

Perhatian Mei beralih pada gelandangan yang tak jauh dari tempat dia berdiri. "Kasihan mereka." gumam Mei perlahan sambil satu-persatu wajah diperhati. Kemudian, renungan Mei terhenti pada suatu susuk. Berkemeja putih, berseluar suspender hitam dan bertopi.

Jejaka itu dengan lembut menegur dan menghulur bungkusan roti. Dengan teragak-agak golongan tersebut menerima pemberian pemuda yang bermanis muka.

Xiumin beralih pula kepada Lu Han yang masih leka mengagihkan roti. Ingin saja Xiumin memanggil Lu Han agar dia berpaling dan mencuri lihat wajah gadis yang dikhabarkan akan menjadi isterinya.

Namun, Xiumin biarkan dengan gelengan kecil disulami senyuman. Jika benar ura-ura itu, mereka pasti akan bertemu jua kelak; di majlis perkahwinan mereka bukan?

Diperhati saja perawan itu beredar bersama si pembantu, berjalan melepasi mereka. Xiumin turut memusingkan badan, tak sudah merenung. Pandangan gadis tersebut sentiasa menunduk. Jarang untuk bertentangan mata dengan orang sekeliling terutamanya dengan lelaki. Walaupun kelibat berkenaan sudah menghilang, Xiumin tetap termenung jauh entah ke mana.

"Tengok apa tu, Baozi?"

Terhinjut bahu Xiumin, ditegur tiba-tiba. "Nyaris nak gugur jantung aku!" Tangannya mengurut dada.

Lu Han tersengih sambil kembali menyandang beg ke bahunya.

"Aku hanya memikirkan masa hadapan aku saja tadi. Kau sudah selesai dengan mereka?"

Lu Han menggeleng-geleng. "Masa hadapan? Wah, berfikiran jauh kau ya?" Kecil gelaknya. "Sudah. Mari kita pulang."

"Cik Muda, ada apa-apakah yang cik muda sedang fikirkan?" tegur si pembantu bila Mei termenung jauh dalam perjalanan mereka pulang daripada pasar.

"Kamu kenalkah siapa lelaki yang kita nampak di pasar tadi? Yang sudi menghulur makanan pada gelandangan itu."

Si pembantu mengerut kening sebelum menggeleng lemah. "Maafkan saya, cik muda. Saya tidak tahu siapa yang cik muda maksudkan. Mengapa, cik muda?"

Imbasan sisi wajah si pemuda yang dilihat tadi bermain. "Tidak mengapalah. Cuma, pemuda itu, baik hatinya..."

Sepanjang perjalanan, begitu banyak jenaka diselit di dalam perbualan mereka. Ditambah pula sikap mereka berdua yang suka mengusik. Selangkah Lu Han memasuki rumah agam keluarga Lu, terus seorang pembantu menghampiri. Lu Han dapat mengagak sesuatu yang berkaitan orang tuanya.

"Selamat pulang, Tuan Muda. Tuan dan Puan sedang menunggu Tuan Muda di bilik bacaan."

"Terima kasih."

Dengan adab, pembantu itu beredar ke dapur. Lu Han berpaling ke belakang, "Kau tunggu aku di luar, ya?" Anak tangga menuju ke tingkat atas didaki.

Xiumin masih menunggu di luar bilik bacaan seperti yang Lu Han pinta. Dia duduk bersila di atas kerusi kayu sambil menongkat dagu. Dek kebosanan, Xiumin turun menuju ke dapur. Perbualan antara beberapa pembantu wanita di situ terhenti sejenak. Dengan sengihan yang dilemparkan, Xiumin menyambar beberapa roti bun yang tersedia di dalam sebuah bekas. Terus dia memecut keluar.

"Itu roti untuk Tuan Muda, Xiumin!"

Dia ketawa pendek. "Saya akan beritahu pada Lu Han juga nanti!" Anak tangga dinaiki semula dan Xiumin kembali ke tempat asal sambil mengunyah baozi.

Lu Han yang keluar tak lama kemudian, dihampiri. Daun pintu ditutup menghasilkan bunyi berkeriut. Pipi Lu Han yang membengkak gembira membuatkan Xiumin ingin tahu.

"Kenapa, Lu Han?"

"Berita itu benar, Xiumin. Aku akan berkahwin dengan anak gadis keluarga Zhang tak lama lagi."

Roti bun yang dipegang terus disumbat ke dalam mulut lalu Xiumin bertepuk tangan perlahan.

"Kau bila lagi, Xiumin?" Lu Han tersenyum senget. Pipi Xiumin tak ubah seperti baozi yang dikunyah di dalam mulutnya.

"Entahlah. Aku belum berjumpa lagi dengan bakal Puan Xiao aku."

"Aku pun belum dapat berjumpa dengan Puan Muda Lu aku juga."

"Tunggu di majlis perkahwinan kaulah nanti. Sabar."

Tergelak kecil dua pemuda berkenaan sambil menuruni anak tangga.

"Nanti, kau makan roti siapa tu?"

"Roti kegemaran Tuan Muda Lu Han."

Sengihan dengan mulut penuh, Xiumin melarikan diri sambil dikejar Lu Han yang berpura mengamuk.

Semenjak hari itu, Lu Han semakin banyak senyumannya. Manis wajahnya banyak menawan mata yang melihat. Xiumin si pendamping; turut perasan akan perubahan Lu Han.

"Aku lihat kau seperti orang angau sejak akhir-akhir ini." Nada suara Xiumin seperti ingin menyakat. "Muka kau tu, asyik senyum saja. Naik muak aku melihatnya."

Angin bertiup menyapa dua pemuda yang berjalan beriringan di pekan. Ketawa ringan Lu Han juga dibawa pergi.

"Apa? Salahkah kalau aku tersenyum?"

"Tak salah pun. Aku tahu ini sudah tentu berkaitan dengan perkahwinan kau kan? Apa lagi yang kau tahu tentang bakal isteri kau? Ceritakan pada aku."

Bibir Lu Han diketap senget. "Tak banyak. Aku cuma tahu bagaimana orangnya, peribadinya. Apakan daya, wajahnya aku belum lagi lihat. Tapi, aku rasa aku sudah jatuh cinta dengan dia. Mesti hatinya cantik seperti namanya; Meilin." Senyuman Lu Han makin meleret.

Menggeleng kecil Xiumin mendengar Lu Han bermadah. "Bagaimana pula dengan rupanya?"

Lu Han menggeleng. "Aku tidak tahu. Tapi, asalkan hatinya cantik, aku terima saja."

"Aku tahu bagaimana rupa gadis itu." Sengaja Xiumin ingin menyakat Lu Han lagi.

Mata pemuda berkenaan membulat terkejut diiringi sengihan tak percaya. "Apa? Bagaimana kau tahu? Kau pandai melukis kan? Lukiskan wajahnya untuk aku!"

Terus Xiumin ketawakan reaksi muka Lu Han. "Nanti-nantilah aku potretkan wajah dia."

Jeritan rayuan perempuan memohon untuk dilepaskan, menarik perhatian dua pemuda berkenaan, mematikan ketawa Xiumin. Suara itu datang daripada sebuah lorong berdekatan. Xiumin memandang sekeliling. Tiada sesiapa kecuali mereka sahaja di situ.

Xiumin menelan air liur, tidak berasa tenang. Segera dia menarik lengan Lu Han yang ingin menerpa. "Jangan, Lu Han! Lebih baik kita pergi. Aku tidak sedap hati tentang perkara ini."

Lu Han menyentap lengannya.

"Lu Han, aku tidak mahu apa-apa terjadi pada kau! Ingatlah, kau akan berkahwin tak lama lagi!"

Lu Han beria membantah, "Gadis itu mesti ditolong selagi kita mampu, Xiumin! Kalau kau takut, tinggal saja di sini! Biarkan aku pergi seorang diri!"

Xiumin diam seketika. Tanpa teragak, Lu Han berlari dan meredah lorong sunyi itu. Walaupun berat hati, terpaksalah Xiumin mengalah dan menuruti Lu Han. Langkahnya perlahan, namun cuba dilajukan.

"Lepaskan dia, tak guna!" Dengan lantang, Lu Han melontarkan amaran. Potongan kayu berdekatan digapai dan terus mensasarkan kepala si durjana. Mangsa; seorang gadis muda yang terlepas daripada cengkamannya terus membawa diri jauh daripada mereka.

Bunyi pergelutan yang makin jelas, membuatkan Xiumin menelan air liur. Kakinya ingin menapak lagi namun kaku bila bunyi tembakan meletus ke udara.

Satu tubuh rebah ke bumi, dengan pedih melumpuh. Si penembak juga terkedu dengan tindakannya. Dengan kalut dia melarikan diri. Wajah tegang Xiumin tadi sudah berganti hiba dan dia meluru ke arah Lu Han yang mengerengkot di atas tanah.

"Aku sudah katakan pada kau! Kenapa kau degil?!" Sambil memapah Lu Han yang cedera, Xiumin mula berlinangan air mata takut dan cemas.

"Usah menangis, Baozi. Aku belum mati lagi kan? Sekurangnya, gadis tadi sudah terselamat." Masih sempat Lu Han tersenyum pahit. "Sekarang lekas bawa aku berjumpa dengan doktor." Badan digagahkan jua untuk berpaut pada Xiumin. Kemeja putih yang dipakai makin dicemari warna merah darah.

Nafas Lu Han kedengaran berat.

"Baozi..."

Hati Xiumin renyuk mendengar nama panggilan yang diberi. Nama yang Lu Han sebut jika dia ingin bergurau dengannya. Xiumin takut jika gurauan tak lagi akan didengari. Takut jika dia tidak lagi dipanggil dengan nama itu. Takut jika suara tersebut akan hilang buat selamanya.

Xiumin akui yang dia sememangnya seorang penakut.

"Apa dia?" jawabnya, menahan gusar dalam hati. Makin laju Xiumin menapak dengan langkah tempang, enggan melengahkan masa yang tinggal. Kediaman doktor keluarga Lu masih tidak kelihatan. Peluh dingin sudah menitis ke muka.

"Aku rasa aku tak dapat bertahan..."

"Jangan kau cakap macam tu! Kau mesti bertahan!" bentak Xiumin bernada kesedihan. Wajah memucat Lu Han dipandang hujung mata.

"Apa reaksi keluarga Zhang kalau mereka tahu aku sudahpun meninggal selepas ini...? Sudikah mereka mengahwinkan anak mereka dengan aku...? Aku teringin berjumpa dengan Mei...yang satu-satunya adiratna pekacaku."

"Jangan merepek lagi, Lu Han!" Xiumin menggeleng kepala, enggan bersetuju dengan petah sahabat baiknya itu.

Pautan di bahu Xiumin makin melemah. "Jika aku pergi, boleh kau jagakan Mei untuk aku?" Senyuman tawar terukir di bibir ketar Lu Han.
.
.
.
Xiumin yang dua lututnya menyembah lantai, menunduk kesal.

"Xiao Xiumin."

Usai namanya disebut, dia memperlihat wajah. Dengan tak disangka, satu tamparan singgah di pipi. Tak semena luka kecil yang menghiris pipi mengalirkan darah. Bisa tamparan itu mula meresap hingga memedihkan setiap helaan nafas yang mengisi peparu.

"Aku selama ini amanahkan kau untuk menjaga Lu Han! Tapi lihat apa yang sudah terjadi! Apa yang kau lakukan ketika itu?! Mengapa kau tidak lindungi anak aku?! Jawab, tak guna!" Bergema umpama guruh isi rumah agam dengan suara amarah majikan Xiumin yang digelar Tuan Lu.

Wajah Xiumin kembali menunduk, tak mampu bertentang mata. "Maafkan saya, Tuan Lu..."

"Sekarang apa yang harus dilakukan?! Apa yang harus aku katakan pada keluarga Zhang?! Aku tidak mahu mengatakan bahawa anak aku mati kerana cuba melindungi gadis daripada dinodai askar! Kerana cuba untuk menjadi wira! Apa yang keluarga gadis hina itu dapat tawarkan?! Adakah Lu Han akan dapat dihidupkan kembali?!"

Tuan Lu mencengkam rahang Xiumin agar mengangkat wajah.

"Tidakkah kau terfikir tentang itu?! Jika bukan kerana Lu Han yang dahulunya merayu pada aku untuk mengutip kau, takkan aku pandang wajah kau! Dan ini balasan kau terhadap dia?!"

Ditolak kasar muka Xiumin tanpa belas kasihan. Naik turun dada Tuan Lu sambil bermundar-mandir. Marahnya menggelegak. "Apa yang harus aku lakukan dengan majlis perkahwinan Lu Han jika keadaannya seperti ini?!"

Puan Lu hanya memerhati dingin. Perasaan prihatin wanita itu juga telah hilang. Dia tidak akan sesekali membela manusia yang menyebabkan anaknya meninggal dunia. "Kita akan teruskan."

Celahan suara Puan Lu menghentikan langkah Tuan Lu yang masih baran. Dia merenung tajam si isteri.

"Lihatlah si Meilin itu. Cantik, anggun dan lemah lembut. Dengan senang pasti ada lelaki lain yang akan mengahwininya. Tapi anak kita? Anak kita mati dengan sia-sia! Anak kita diragut nyawanya! Ini tidak adil bagi keluarga Lu! Jadi, saya tidak akan melepaskan Meilin dengan begitu saja! Jika Lu Han tidak dapat mengahwininya, lelaki lain juga tidak akan dapat mengahwini Meilin!"

Awan mendung mengiringi pemergian sahabat baiknya. Kesal, marah dengan diri sendiri bercampur aduk. Xiumin duduk bersandar pada dinding pagar batu kediaman Lu. Melayan perasaan sendiri. Baju hitam tanda berkabung masih tersarung sejak beberapa hari lepas.

Tiba-tiba satu suara ketar menegur, "Encik..."

Dengan lesu, Xiumin memalingkan muka pada si pemanggil. Gadis tempoh hari. Gadis yang diselamatkan Lu Han itu masih dalam keadaan takut namun diselindungkan. Xiumin dapat melihat trauma di dalam kolam mata gadis tak bernama berkenaan.

"Ada apa?" Nada Xiumin masih berlembut.

"Bo-boleh encik tunjukkan kubur Encik Lu Han? Saya tak sempat berjumpa dengannya sebelum ini... Saya telah berhutang nyawa dengan dia..."

Xiumin memberi persetujuan selepas sejenak merenung. Dia terus bangun, menunjuk jalan.

Perlahan-lahan anak bukit didaki. Angin sepoi meniup sayu. Sebuah jirat yang ditanam di atas tanah semakin jelas. Xiumin tepat berhenti sambil matanya merenung lemah.

"Inilah tempat Lu Han dikebumikan."

Gadis di belakang Xiumin hanya mengangguk dan maju ke hadapan. Dilihatnya colok di tangan terkepal gadis itu dibakar dan dia memejamkan mata, mendoakan untuk orang yang telah menggadai nyawa deminya.

Xiumin membawa diri ke tebing bukit, memandang bandar yang jauh terbina umpama sebuah lukisan.

"Kau tahukah apa impian aku, Baozi?"

"Apa?"

"Aku ingin membawa isteri aku ke sini. Tempat ini istimewa bagi aku. Aku mahu dia merasainya juga."

"Aku pasti impian kau itu akan dapat ditunaikan, Lu Han."

Kerana impian itu, Xiumin merayu pada Tuan Lu agar Lu Han disemadikan di sini. Hanya itu sahajalah usaha yang dia termampu lakukan untuk sahabat baiknya.

"Aku boleh tunaikan. Tapi sebagai hukuman, kau takkan selamanya merdeka. Aku tak izinkan kau bernikah dengan sesiapa! Kau akan berkhidmat untuk keluarga ini sampai kau mati!"

Wajah Xiumin kembali tertunduk. Kesal datang menghempap dirinya. "Maafkan aku, Lu Han..."

Gadis muda tersebut meletakkan bunga berhampiran ukiran nama. "Saya berharap dalam kehidupan yang seterusnya, Encik Lu Han akan berjumpa semula dengan bakal isteri encik. Maafkan saya atas segala musibah yang menimpa encik..."

"Lu Han ikhlas menolong awak..." Xiumin berdiri semula di sebelah gadis tersebut. Mata sama-sama merenung tempat 'berehat' sahabat baiknya.

Sebelum gadis itu beredar, Xiumin sempat berpesan, "Tolong rahsiakan hal ini daripada pengetahuan sesiapa, ya?"

Si gadis hanya mengangguk. Jika berita ini tersebar di seluruh penempatan, pastinya dia yang akan dikutuk, dicaci. Tiada siapa yang ingin membela seorang gadis hina.

Kehadiran mengejut keluarga Lu tetap disambut keluarga Zhang dengan mesra. Beban yang disorok mendinginkan wajah Puan Lu. Senyumannya juga dipaksa. Zhang Yixing menjemput Tuan Lu yang hadir bersama isterinya duduk di kerusi ruang tamu. Seperti diarahkan, pembantu segera menuangkan teh panas ke dalam cawan tetamu.

"Mengapa kalian ke mari? Bukan saya berniat untuk biadap, tapi ada masalahkah tentang perkahwinan yang dirancang?" Berhemah Zhang Yixing memulakan bicara. Mukanya dimaniskan.

Tuan Lu menoleh ke Puan Lu sejenak, sebelum kembali pada Yixing. Dengan riak tenang, dia berkata, "Kami memang ada berita yang hendak dikhabarkan."

"Berita apa? Bunyinya seperti berita besar." Yixing cuba meringankan suasana. Posisi duduknya berubah. Yixing juga sebenarnya sudah cuak. Dia hanya melontar lirikan sekilas pada ibunya yang mendiamkan diri.

"Anak kami; Lu Han telah meninggal dunia baru-baru ini."

Jelas riak terkedu di muka Zhang Yixing apatah lagi yang tua. Serta-merta mereka tidak dapat berkata. Sungguh mereka tidak menjangka berita ini.

"Tolong bawakan semua barang ini ke dapur ya." Suara Mei yang baru pulang daripada pasar mengalihkan perhatian. Mata Tuan dan Puan Lu tertumpu pada Mei yang menapak masuk. Diperhatinya tiap gerak geri si perawan itu.

Baru sedar keluarganya mempunyai tetamu yang tak dikenali, Mei segera memberi tundukan hormat sebelum berlalu menaiki tangga ke bilik. Usai daun pintunya tertutup, barulah Tuan Lu berdehem kecil.

Puan Lu tersenyum, kurang selesa. "Tapi kami mahu teruskan juga perkahwinan ini kerana janji yang sudah dibuat tidak boleh dimungkiri bukan?"

"Apa?! Kamu sudah tidak berakalkah?!"

Yixing segera memegang tangan ibunya yang tidak berpuas hati, mengelakkan keadaan daripada menjadi lebih tegang. "Ma, jangan ma." pujuk Yixing sebelum mengarahkan si pembantu membawa Puan Besar Zhang masuk ke dalam bilik.

"Betulkah apa yang kalian beritahu ini?" sambung Yixing setelah mereka terdiam sejenak.

Tuan dan Puan Lu sekadar mengangguk dan riak muka mereka dingin tika mereka meminta diri.

 

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!
kuchens
tak lama lagi, tajuk cerita ni akan ditukar.

Comments

You must be logged in to comment
lilylunalove
#1
Chapter 4: Eii geramnya dgn Puan Lu tu! Ish tak paham la dia tu, dlm kes ni tak sesiapa pun yg salah apatah lgi Mei, knapa dia benci sgt dekat Mei smpai snggup buat mcm ni? Padahal Mei dh korbankan hidup dia semata mata utk kahwin dengan 'Lu Han'. Kesian Meilin. Semoga di kehidupan akan dtg, dia akan temui happy ending, walaupun bukan bersama Lu Han.
nursyamimivip
#2
Chapter 2: MEI LUHAN DAH MATII KAYY nak je jerit dekat dia cemni aduh. Orang dulu2 banyak percaya benda karut hm. Macam mana tah nanti majlis perkahwinan tu o.o thanks for the update!
nursyamimivip
#3
Chapter 1: Bm mantap nyaaa kalau bm saya kelauuuut xD so far so good, curious apa akan jadi nanti. This is like my first malay story that id read this year. After long time tho hahaha sbb kebanyakan malay story tak memenuhi citarasa saya ni xD but finally an interesting and supernatural malay fanfic w perfect grammar and anything i wanted is here! Keep up the work! Cant wait for the next chapter. New reader btw :)
aquariusxpisces
#4
Chapter 11: Saya rasa lebih baik pendekkan, sebab cerita ni best... Tapi memang ramai authors dan readers yang deactivated acc TT
starlightkim_
#5
Chapter 11: Saya rasa better pendekkan cerita because cerita ni best sangat
lugege_
#6
Chapter 11: Saya tunggu lama gile cite ni T_T tapi saya rasa better awak pendekkan cite ni. Apa pun hwaiting :)
Seasony
#7
Chapter 11: Saya suka fanfic ni awaaak TT mungkin awak boleh pendekkan cerita macam awak cakap tu. asalkan cerita ni habis. Saya pun nak tahu kesudahan dia >< fighting author-nim!
Heart_love
#8
Chapter 10: Update soon authornim.makin menarik
Jelly_Warrior
#9
Chapter 10: My God...rasa ingin tahu makin menebal dalam diri ini * gigit bantal* Nice update author ;-) Good luck utk chapter2 seterusnya^^
starlightkim_
#10
Chapter 10: Cerita ni semakin menarik authornim..i love it yeah!!!