Coretan Shimmieh

Tigasuque: Pencarian Manuskrip One Shot

Assalamualaikum wbt. Saya Shima. Boleh panggil Shimm, atau Shimi. Nak panggil Shima pun boleh tak ada masalah. Nama pena saya senang saja nak sebut dan nak ingat. Shimmieh. Ini, nama pena saya.

Saya membesar dengan drama-drama Korea, Taiwan, dan Jepun. Tetapi sama seperti Lily, dulu saya tak reti pun nak bezakan tiga-tiga negara ni. Maklumlah, bengap lagi waktu tu. Apa yang boleh saya katakan, saya sudah terdedah dengan drama Korea dari kecil.

Minat saya dalam bidang penulisan bermula sejak kecil. Antara pengaruh utamanya mestilah mak saya ya. Dulu, mak memang selalu langgan novel-novel terbitan Alaf 21. Saya tak baca sangat pun sebenarnya novel-novel tu. Tetapi saya suka tengok muka depan buku dan sinopsis di belakang setiap buku yang mak beli.

Dapat saya katakan, minat itu semakin mendalam bila umur saya mencecah 12 tahun. Waktu itu saya dalam persediaan menduduki UPSR. Jadi, cikgu Bahasa Melayu memang akan bagi latihan karangan untuk disiapkan dalam tempoh yang tertentu. Dan percaya atau tak saya selalu menjadi orang pertama yang siapkan karangan.

Ya, saya bangga. Jujur, saya tidak tergolong di dalam kelompok pelajar yang bijak. Tetapi saya sangat bangga bila saya berjaya tulis karangan dengan baik. Sejak dari itu, saya mula menulis di buku latihan.

Lepas UPSR, saya mula menulis cerpen secara suka-suka di komputer milik abang. Mulanya, semua itu hanya hobi semata-mata. Masuk sahaja sekolah menengah, saya mula terdedah dengan dunia K-pop. Band Korea pertama yang saya kenal semestinya DBSK atau TVXQ. Tetapi waktu ni belum minat lagi. Baru berjinak-jinak. Lama-kelamaan, semakin banyak kumpulan dari Korea yang saya kenal.

SuJu, Big Bang, SNSD, Wonder Girls. Eh, senang cerita banyak la! Sampaikan rakan sebilik waktu di asrama dulu yang langsung tak kenal artis Korea pun boleh hafal lagu yang saya nyanyi. Habis sahaja SPM, saya semakin rakus meminati lagu-lagu Korea walaupun tak faham sebutir pun liriknya.

Disember 2011, saya terlihat sebuah teaser untuk satu kumpulan idola baru. Dan mereka inilah yang menyemarakkan minat saya untuk menulis fanfiction. Mereka ini tak lain dan tak bukan, B.A.P. Mula-mula tengok teaser mereka ni, banyak jugalah makian yang saya lemparkan sebab semuanya rambut blonde. Saya geram sebab saya tak nampak muka mereka. Itu saja puncanya.

Tetapi bak kata orang tua, jangan benci sangat nanti lama-lama suka. Ha itulah yang terjadi kepada saya. Lepas menonton Tadah Its B. A. P, tiba-tiba terminat pula. Sampai sekarang pula tu. Ha, itulah kutuk lagi. Kan dah sayang.

Apapun, disebabkan manusia-manusia enam orang ini juga, saya mengenali Asianfanfic. Sampaikan buat akaun semata-mata nak baca fanfiction. Akaun saya awalnya bukan 'Shimmieh', tapi fixi_baby. Macam mana boleh wujudnya nama ni? Senang ja. Fixi tu sebab saya rasa nama fixi tu sedap. Nama 'baby' pula sebenarnya nama fandom B. A. P.

Mula-mula, saya cuma buat akaun tu untuk subscribe fanfiction semata-mata. Tak tulis lagi waktu tu, sebab macam tak jumpa fanfiction Bahasa Melayu. Tapi lama-lama, makin banyak karya-karya Bahasa Melayu yang wujud dan saya pun buat keputusan untuk tulis juga. Karya pertama saya tajuknya Daehyun The Babysitter.

Saya ingat cerita ni saya tulis waktu lepas habis matriks dan tunggu masa nak sambung degree. Tapi saya rasa orang mula kenal saya sebab saya tulis satu karya untuk pertandingan. Tajuknya Speak Now. Ya, saya menang pertandingan tu.

Dan di sini jugalah saya mengenali Angelily serta Lovelyina. Kami masing-masing menulis karya Bahasa Melayu di situ. Waktu tengah sambung degree, saya jadi kurang mengarang. Tapi benda baiknya, saya dapat kenal ramai orang yang sekarang ni dah jadi orang yang penting dalam kamus hidup saya.

Kalau tak salah saya, Angelily mengundang saya untuk menyertai Aster, sebuah kelab yang mengumpul peminat fanfiction di Malaysia. Di sini, kami sama-sama bangunkan Vellians di bawah Vert&Lilac. Di sini juga kami sama-sama menghasilkan karya pertama Lily berjudul Seoulmate(SM).

Saya sangat suka saat kami sama-sama brainstorm bagi idea untuk promosikan SM. Semua orang teruja. Saya sendiri pun teruja walaupun saya tak adalah tolong sangat pun. Sampaikan dua kali VL cetak SM, dua-dua saya beli.

Tetapi itulah. Kita cuma mampu merancang. Setelah selesai Seoulmate, VL menyepi selama-lama. Saya teruskan kehidupan sebagai wanita yang bekerja. Sampai saya lupa perasaan teruja sewaktu mengarang.

Hinggalah awal tahun 2020, Lily mengusul cadangan untuk kembali membangunkan legasi yang terkubur sebelum ini bersama-sama Lina. Waktu ni saya sedar, saya masih sukakan penulisan. Saya sangat sayangkan penulisan sebenarnya. Cuma, menjadi dewasa itu susah. Dan saya bersyukur minat yang dah lama terkubur ini kembali datang.

Awalnya kami cuma berangan saja. Masing-masing berkongsi angan-angan untuk majukan dunia penulisan fanfiction. Dan siapa sangka angan-angan itu boleh jadi cita-cita kan? Maka terhasillah Tigasuque.

Bunyi macam pelik kan? Tetapi tak. Sebab kami memang tiga suku. Anggaplah usaha kami ini hadiah daripada pemimat kepada peminat, ya? Kami masih mencuba dan akan terus mencuba untuk baiki apa yang perlu.

Sebab kami tahu banyak sebenarnya penulis-penulis fanfiction yang berbakat di luar sana. Banyak. Dan doakan usaha kami ini sentiasa dilapangkan dan kami harap usaha kami ni jadi asbab untuk kami bantu orang lain juga di masa depan. Ameen.

Kepada yang membaca, terima kasih. Assalamualaikum.

 
Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
No comments yet