Bab 9

Playboy itu Suami Aku?!
Beginikah rumitnya  kalau bekerja untuk orang yang terlalu cerewet? Bayangkanlah, semua tugasan telah pun disiapkan sejak pukul 1 tengahari tadi tetapi, disebabkan Puan Sri tidak berpuas hati dengan beberapa perkara, kami masih lagi berada di sini sehingga sekarang!

 

Aku menjeling ke arah Puan Sri yang sedang meneliti gubahan bunga di dalam pasu bersaiz besar itu. Serius sahaja mimik mukanya. Sekejap pasu tersebut dialihkan ke kiri. Sekejap lagi  dialihkan ke sebelah kanan pula. Naik bingung aku jadinya! Harapnya gubahan bunga untuk pasu terakhir ini menepati piawaiannya. 
 

 

Syaf pula kulihat sedikit gelabah saat ini. Mana tidaknya, kawanku ini terpaksa menggubah semula beberapa jambangan bunga tadi gara-gara Puan Sri tidak berpuas hati dengan hasil kerjanya. Ini pun, nasib baiklah wanita beranting-anting panjang ini berpuas hati dengan gubahan bunga untuk meja tetamu kat luar tu. Kalau tidak, mahu pengsan kami hendak menggubah semuanya semula. Banyak tu!
 

 

Wajah kuraupkan sedikit. Ya Allah, dah pukul 3 petang! Tanggung jawab terhadap Yang Maha Esa masih  tidak sempat kutunaikan. Janganlah sampai aku terlepas waktu Zohor kerana ingin puaskan hati seorang manusia yang bergelar Puan Sri. Manusia yang super cerewet di abad ini!
 

 

Sekejap lagi, pasti banglo mewah ini akan dipenuhi dengan para tetamu. Malahan ketika kami  naik ke atas selepas menyiapkan gubahan bunga di ruang tamu bawah sejam yang lepas, sudah ramai juga sanak saudara Puan Sri yang telah pun hadir. Perut pula dah berkeroncong hebat. Maklumlah, kami berdua hanya sempat menjamah sedikit bihun goreng yang disediakan oleh pembantu rumahnya aje tadi. Tak sempat nak makan betul-betul kerana risaukan tentang tugasan yang masih belum siap. 
 

 

Aku dan Syaf masih lagi berdiri tegak di sini. Macam tiang lampu pun ada jugak. Berdebar-debarnya rasa untuk menunggu ayat yang keluar dari mulut Puan Sri yang berkulit kuning langsat itu. Hati masih berteka-teki sama ada dia berpuas hati atau tidak. Aku mengangkat wajah sedikit. Mata mula berlari memerhati ke sekeliling ruang tamu yang terletak di tingkat atas rumah ini. 
 

 

Nampaknya, hiasan dalaman yang begitu mewah tidak dapat lagi menyejukkan hatiku. Kalau beberapa jam yang lepas mulutku terlopong sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam ruang tamu ini tetapi kini tidak lagi. Kalau tadinya aku rasa terpesona dan kagum dengan perabot-perabot yang tampak mewah dan sangat unik di sini, tetapi sekarang rasa itu telah pun pergi. Aku betul-betul tidak sabar ingin balik. 
 

 

“Syaf..”

 

“Ya, Puan Sri..” Kelam-kabut Syaf menyahut. Aku dan Syaf terus sahaja memberi perhatian ke arah wanita yang berada di hadapan kami ini.

 

“Saya berpuas hati dengan hasil kerja kamu. Tapi, saya mahu kamu campurkan sedikit lagi baby breath ke dalam jambangan bunga ni. Nampak sedikit kosong.” Tangannya ditundingkan ke bahagian kanan jambangan bunga di dalam pasu putih itu. Syaf terus sahaja menganggukkan kepalanya beberapa kali. 
 

 

“Baik Puan Sri. Saya akan lakukan yang terbaik.” Dengan bersungguh-sungguh Syaf berkata begitu. Puan Sri kulihat menganggukkan kepalanya sedikit.

 

“Other than that..I am fully satisfied!” Ujar wanita itu lagi.

 

“Terima kasih Puan Sri.” Jawab Syaf sambil tersenyum. Mungkin lega agaknya kerana tidak lama lagi kami  sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada si cerewet ini.
 

 

Isk, cakap dah puas hati, tapi nak suruh tambah itu, tambah ini lagi! Bebelku di dalam hati.

 

Aku semakin tidak senang duduk. Mata menilik ke arah jam di tangan sekali lagi. Otak pula sudah mula mencongak. Pukul berapa agaknya kami betul-betul boleh balik ni? Jarum jam di pergelangan tanganku sudah pun menginjak ke pukul 3 : 10 minit petang. Kalau nak tunggu Syaf habiskan kerjanya, takut pula aku terlepas waktu Zohor nanti. Jika aku bertanya Syaf pun, pasti dia tidak dapat memberi jaminan pukul berapa kami dapat beredar dari sini. Maklumlah, Puan Sri tu memang sukar nak diramal mood nya.. Syaf pula, memanglah tak perlu risau sebab dia kan uzur. 
 

 

“Syaf..aku nak solat kejap..” Akhirnya aku bersuara dengan perlahan. Tudung berwarna putih di kepala kubetulkan sedikit. Syaf yang sedang mengerat tangkai hujung bunga mawar merah itu mendongak ke arah ku.
 

 

“Kau nak solat kat sini ke?” Sebelah kening Syaf terangkat sedikit. ‘Blur’ sedikit kulihat wajahnya. Aku terus bertinggung di sebelahnya.

 

“Kat sinilah!” Bisikku. Syaf menganggukkan kepala.

 

 Mataku sempat lagi berlari ke arah Puan Sri yang sedang bercakap sesuatu dengan pembantu rumahnya berdekatan dengan tangga. Dari gaya wanita itu, dia seperti hendak turun ke ruang bawah sahaja.

 

 “Aku dah tak boleh tunggu lagi Syaf..aku takut kalau terlepas waktu Zohor..” Sambungku lagi. Aku nekad untuk tunaikan solat Zohor sekarang juga. Tak mahu tanggung-tangguh lagi.

 

“Takpe..kau minta kebenaran dari Puan Sri. Kau nak tumpang solat aje kat sini, bukan nak buat apa pun, kan.” Ujar Syaf dengan tenang. Tangannya kulihat sedang lincah membetulkan bunga-bunga mawar di hadapan kami ini.

 

“Hm..” Kepala kuanggukkan dan terus berdiri. 
 

 

Dengan penuh hati-hati aku mengatur langkah menuju ke arah Puan Sri. Dia masih lagi bercakap dengan pembantu rumahnya. Aku pula terkulat-kulat memerhati ke arah mereka. Puan Sri yang perasan kehadiranku di sini terus menoleh. Anak matanya merenung tajam ke arahku. Cuak pula aku jadinya.
 

 

“Yes, anything?” Soalnya dengan tegas. Dengan kelam-kabut aku terus bersuara.

 

“Puan Sri. Err..saya nak minta kebenaran untuk tumpang solat Zohor kat sini, boleh tak?” Belum sempat dia menjawab, aku bersuara lagi. Bukan apa, untuk meyakinkan dia yang aku betul-betul di dalam kecemasan ni.  
 

 

“Sebenarnya, saya boleh solat kat rumah nanti, cuma saya takut sangat kalau tak sempat. Maklumlah, jarak rumah saya dari sini memakan masa kira-kira 25 minit. Katakanlah, pukul 4 petang kami siapkan kerja, maksudnya pukul 4 : 25 lah saya akan sampai ke…” Belum sempat ayat tersebut sempurna, terus sahaja Puan Sri mengangkat tangan kanannya.
 

 

“Cukup!”

 

“Kamu nak tumpang solat kan? Tak perlulah buat karangan sampai macam tu sekali.” Sinis sikit ayat tersebut menampar deria pendengaranku. Aku hanya mampu tersengih sahaja. Wanita di hadapanku memusingkan badannya sedikit. Anak matanya difokuskan kepadaku dengan penuh minat. Ada rasa gusar yang bertapak di hati. Pembantu rumah yang siap dengan uniform di badan itu pula hanya mampu melihat sahaja telatah Puan Sri.

 

“What is your name?”  Akhirnya dia bersuara. 
 

 

“Afina.” Kelam-kabut aku menjawab. Mungkin sebelum benarkan aku solat di dalam rumah mewah ini, dia nak interview aku dulu kut. Hatiku membuat andaian. 
 

 

 “Sunarti, bawakan dia ke bilik solat.” Terus sahaja dia  berkata begitu kepada pembantu rumahnya. Nampaknya andaianku salah. Ingatkan nak interview tadi. Lucu pulak kurasakan dengan diri sendiri.
 

 

“Baik Puan Sri..” Dengan bersungguh-sungguh gadis muda  itu menjawab. Dengan hati yang gembira aku terus bersuara.

 

“Terima kasih Puan Sri..terima kasih sangat-sangat kerana..” Belum sempat aku menghabiskan ayat, Puan Sri terus memotong.

 

“Kamu nak buat karangan lagikah?” Soalnya membuatkan aku tersenyum sumbing. Dengan pantas aku menggelengkan kepala.

 

“Err..tak. Thank you!” Ujarku yang terus sahaja mengikut langkah Sunarti turun ke ruang bawah. 
 

 

***        

 

“Ya Allah Ya Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku. Kau ampunilah dosa adikku, sanak saudaraku, guru-guru yang pernah mengajarku, para sahabatku dan keseluruhan umat Islam di atas muka bumi ini. Murahkanlah rezeki kami, panjangkanlah umur kami, bersihkanlah hati kami dan tetapkanlah iman kami supaya kami tidak terpedaya dengan  hasutan syaitan. Ya Allah Ya Tuhanku. Jauhilah kami dari segala kemungkaran dan berikanlah kami kekuatan untuk sentiasa berbakti di jalan Mu.”

 

“Ya Allah Ya Tuhanku, ampunilah juga dosa arwah nenek-nenekku dan arwah datuk-datukku. Ampunilah segala dosa dan kesalahan yang telah mereka lakukan dahulu. Lapangkanlah kubur mereka  dengan rahmat-Mu Ya Allah..sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.”

 

“Amin..Ya Rabbal Alamin..”
 

 

Setiap kali selepas mendoakan arwah nenek dan atuk, pasti ada air mata yang bergenangan di tubir mata. Sayu betul rasa hatiku. Rasa ralat kerana mereka pergi di saat aku belum sempat untuk berbakti kepada mereka. 
 

 

Aku meraupkan wajah dengan kedua-dua belah tangan saat ini. Air mata yang mengalir kuseka dengan perlahan. Harapanku hanya satu. Semoga mereka tenang di sana.

 

Aku terus membuka kain telekung yang membaluti tubuh. Lega sungguh rasanya hati sebaik sahaja aku memberi salam terakhir untuk solat Zohor tadi. Perasaan ketika ini tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Seperti aku dapat menyempurnakan satu tugasan yang maha besar dengan jayanya. Bibir menguntum senyuman ketika ini. Tangan pula mencapai cermin mata dan kukenakan pada wajah. 
 

 

Tidak kujangka bilik solat di dalam banglo mewah ini sangat luas ruangnya. 4 atau mungkin 5 kali ganda lebih luas dari surau di pusat membeli-belah yang pernah aku kunjungi. Kebersihan ruang ini juga berada di tahap yang sangat cemerlang. Bau harum mengisi ruang udara di sini.

 

Dalam hati, timbul rasa hormat dan kagum dengan Puan Sri. Segarang-garang dia, sekaya-kaya dia dan secerewet-cerewet dia, masih juga mementingkan agama. Cuma, mungkin dia masih belum bersedia untuk menutup aurat. 
 

 

Di dalam hati sempat lagi aku berdoa supaya hatinya lembut untuk menunaikan suruhan Allah yang satu itu secepat mungkin. 
 

 

Baru sahaja ingin bergerak menuju ke arah rak berkaca yang menempatkan pelbagai jenis buku agama dan Al-Quran, aku terdengar bunyi keriukan pintu. Terus sahaja aku menoleh ke belakang. Puan Sri rupanya. Wanita itu seperti mahu melangkah keluar dari bilik ini. Sumpah aku tidak sedar langsung tentang kewujudannya sebentar tadi. Anak tudung yang menutup kepala kubetulkan sedikit. Ah, entah-entah dia berang kerana aku mengambil masa yang lama untuk bersolat, tak? Aku mula membuat andaian.
 

 

“Err..Puan Sri..” Panggilku. Aku terus berdiri. Wanita itu tidak menoleh ke arahku langsung. Tangannya masih lagi memegang tombol pintu.

 

“Maafkan saya kalau lama sangat berada di dalam bilik solat ini..” Kelam-kabut aku melipat sejadah. Baru sahaja hendak meletakkan sejadah di tempat yang sepatutnya, Puan Sri menoleh ke arahku. 
 

 

Terkejut aku jadinya! Merah sangat wajah wanita itu ketika ini. Tambah-tambah di bahagian hidung. Masih ada air mata yang bersisa di tubir mata. Terlepas sejadah yang berada di tangan. Aku terus menghampirinya. 
 

 

“Puan Sri? Kenapa ni Puan Sri?” Soalku dengan penuh prihatin. Puan Sri sakitkah?

 

“Saya cuma terfikir, adakah saya sama bertuahnya dengan ibu dan bapa kamu? Ada anak yang sudi doakan saya selepas solat. Saya cuma terfikir, apabila saya tak ada nanti, ada atau tidak anak-anak saya yang sudi doakan saya di dalam solat mereka.” Ada sendu di dalam ayat itu membuatkan aku yang mendengar ini kelu seribu bahasa. Otak terus tidak dapat berfungsi. 
 
Puan Sri pula  melangkah keluar, membiarkan aku termanggu sendirian di sini.

 

Betullah kata orang, harta, kemewahan dan pangkat tidak dapat membeli kebahagiaan dan ketenangan hati. Apabila teringatkan Syaf yang berada berseorangan di ruang atas, aku terus sahaja mencapai sejadah dan meletakkannya  kembali di atas rak yang disediakan khas. Kemudian, aku menyarungkan tudung di kepala. Dengan langkah longlai, aku menapak ke arah pintu. Sudah bersedia untuk meninggalkan bilik solat yang letaknya berhadapan dengan bilik tetamu ini.
 

 

*********************************************************************
  
 
Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
ctnajihah #1
terpaksa beli novel dy ...hahaahaah... malas nk download citer dy
NeulRa_Xiumin
#2
X bace agi...
Oit! Lju update. Google translate ka?