Bab 5

Playboy itu Suami Aku?!
Kalau boleh disukat peluhku, dah cukup sebaldi agaknya. Aku meraupkan wajah beberapa kali. Tidak sangka pula papa akan naik angin dengan teruk sekali pagi ahad begini. Merah padam mukanya menahan marah. Telefon bimbit di tangan telah beberapa kali dicampak kasar ke atas sofa kerana tidak dapat menghubungi Fisya. Kalau mereng telefon bimbit papa selepas ini, tahulah aku apa puncanya. 
 
 
Muka mama pula semakin tidak bermaya. Risau aku melihat keadaan ibuku ini. Maklumlah mama ada penyakit darah tinggi. Pernah beberapa kali mama masuk hospital. Terus sahaja aku mengusap tangannya. Sememangnya ini bukan kali pertama mama jadi begini disebabkan Fisya. Tapi, ini adalah kali pertama aku tengok papa naik hantu. :o
 
 
Jantungku bergedup kencang. ‘Habislah kau Fina! Mesti Fisya akan terus membenci kau!’ Ada suara yang berkata begitu kepadaku saat ini. Aduhai, aku pun tak tahu bagaimana mulutku yang celupar ini boleh beritahu papa yang Fisya ikut King semalam. Dah tu, papa yang tanya..takkan nak menipu pulak.
 
 
Yang nyata, aku memang risau apabila Fisya tidak balik semenjak semalam. Tidak boleh tidur aku jadinya. Kecut perut apabila memikirkan kemungkinan Fisya menghabiskan malam bersama dengan King. Risau jika Fisya menconteng arang ke muka kedua orang tuaku. 
 
 Tersentak aku jadinya apabila papa membaling telefon bimbit ke atas sofa sekali lagi. Tapi kali ini, telefon bimbit mama pula yang jadi mangsa. 
 
 
“Fisya ni dah betul-betul melampau!”  Kuat herdikan papa menampar gegendang telingaku. Rasanya kalau aku sedang berada di ruang atas pun aku tetap boleh dengar suara papa ketika ini.
 
“Marini, entah-entah selama ni dia tak pulang ke rumah sebab bermalam dengan jantan!” Terlopong seketika aku ketika ini. Papa juga takut sekiranya sesuatu berlaku di antara King dan Fisya semalam. Mama hanya mampu memandang kosong ke arah pintu yang terbuka luas. Aku lihat papa mundar-mandir ke kiri  dan ke kanan.
 
 
“Sejak bila dia berani tak pulang ke rumah ni??!” Matanya memandang tajam ke arah mama. Mama pula yang sedang memicit dahi hanya diam membisu. Aku tahu mama banyak merahsiakan perangai buruk Fisya dari papa. Mungkin kerana mama tidak mahu papa naik angin sebegini rupa.
 
“Marini..saya sedang bercakap dengan awak. Awak dengar ke tidak?” Kali ini kendur sedikit nada suaranya. Mama menyeka air mata yang sudah pun membasahi pipinya. Aku terus menundukkan wajah. Tangan mama kugenggam erat.
 
“Se..sejak ke..kebelakangan ni aje dia jadi macam tu. Sebelum ni dia tak pernah bermalam kat luar..” Terus sahaja aku memandang wajah mama. Mama nampaknya, masih juga ingin menyembunyikan keburukan Fisya. 
 
 
“Oh..jadi sejak kebelakangan ni pernahlah dia tak balik? Kenapa awak tak beritahu saya?” Soal papa sambil bercekak pinggang. Jelas kelihatan riak tidak puas hati di wajah tuanya.
 
“Dia pernah beritahu saya dulu. Kalau dia tak balik tu, maksudnya dia bermalam di rumah si Baby atau Nina.” Lemah sahaja ayat tersebut meluncur keluar dari mulut mama. Mama nampak begitu serba-salah saat ini.
 
“Awak ni memang terlalu manjakan dia!” Bentak papa. Di dalam hati aku berdoa agar cepatlah Fisya sampai. Aku tidak mahu papa dan mama bergaduh.
 
Mama sendiri pernah mengaku denganku yang dia terlalu memanjakan Fisya. Sebab itulah adikku itu naik lemak. Kalau aku yang buat perangai begini masa tinggal di kampung dengan arwah nenek dulu, pasti sudah berbirat badanku dipukul dengan rotan.
 
“Memang cari nahas budak ni! Nasib baik Fina nampak semalam. Kalau tidak, sampai sekarang kita tak tahu dia keluar dengan jantan!” Tersentak bahuku kali ini mendengar jerkahan papa. Memang aku tidak sedap hati. 
Kalaulah papa tahu King itu seorang kasanova yang berjaya, tak tahulah aku apa nak jadi. Melihat keadaan papa, aku memang tak berani langsung nak buka mulut.
 
“Fina!” Mata papa mencerlung tajam wajahku.
 
“Ye papa..” Jawabku dengan perlahan.
 
 
“Fina kenal ke lelaki yang bawa Fisya keluar semalam tu?”  Soal papa dengan tegas. Matanya menangkap anak mataku.
 
“Err..Fina..Fina pun..” Ya Allah, apa yang harus aku jawab ni?
 
“Kamu cakap betul-betul dengan papa Fina..” Herdik papa. Papa kulihat sudah mula hilang sabar. Aku terus menggelengkan kepala.
 
“Tak kenal papa! Sumpah Fina tak kenal. Cuma yang Fina tahu, namanya King!” Sebelah tangan kuangkat seakan gaya orang berikrar.
 
“King? Bangsa apa tu? Dengar nama pun aku dah tahu macam mana orangnya!” Jerkah papa. Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Ya tak ya jugak. Apa agaknya nama sebenar si buaya tu ye?  Aku terus menundukkan wajah. Tangan kanan memintal-mintal hujung lengan baju t-shirt yang tersarung di badan.
 
 
 “Abang..mungkin anak kita dah balik tu..Alhamdulillah syukur..” Mama bersuara. Gembira betul kulihat wajahnya. Anak mata pula masih menghala ke arah teksi yang berada di hadapan pintu lpagar yang terbuka luas.
 
Terus aku melangkah ke arah pintu. Fisya baru sahaja turun dari teksi. Mama dan papa juga mengekori langkahku ke sini.
 
“Hah! Mana dia!” Tengking papa. Aku semakin takut dengan apa yang bakal terjadi sekarang.
 
Semenjak berpindah ke sini 5 tahun yang lalu, inilah kali pertama aku berada di dalam situasi ini. Sangat mengerikan.
 
“Abang..janganlah berkeras sangat dengan Fisya tu..” Mama mendongakkan kepala ke    arah papa.Tidak ada lagi keresahan pada wajahnya. Jelas mama begitu sayangkan Fisya. Papa pulak, terus bercekak pinggang dan  mencerlung tajam ke arah mama.
 
“Habis tu? Nak tunggu perut anak kita tu buncit dulu, baru nak berkeras?! Masa tu semuanya dah tak guna, Marini! Kali ni, biar saya pulak yang ajar dia!!” Tengking papa. Aku hanya mampu memandang ke arah Fisya yang sedang menuju ke arah kami. Gaun pendek berwarna biru tersarung di badannya. Pasti ini baju kawannya. Semalam dia hanya keluar sehelai sepinggang. 
 
 
Tanpa pedulikan kami yang berkumpul di muka pintu, dia terus meredah masuk ke dalam rumah.
 
“Morning everybody!” Dengan selamba gadis itu mencapai surat khabar di atas meja. Aku lihat mama sudah pun melabuhkan punggung di sebelah Fisya. Papa pula mencerlung tajam wajah adikku itu. Dia masih berada di muka pintu.
 
 
“Kenapa dengan semua orang ni?” Soal Fisya.
Mungkin pelik kerana kami semua hanya diam dan memandang ke arahnya. Sedikit berkerut dahinya ketika ini. Anak matanya berlari  ke  arah papa dan mama silih berganti. .
 
“Kenapa, kau tanya??” Herdik papa. Nyata Fisya sangat terkejut. Surat khabar yang berada di tangannya terus dicampakkan ke atas meja.
 
 
“Tengok tu! Sekelumit pun tak ada rasa bersalah!”  Lemah lututku melihat betapa tajamnya pandangan yang diberikan papa kepada Fisya.
 
“Papa! Kenapa dengan papa ni?” Fisya terus berdiri sambil buat muka ‘blur’. Aku tak tahu dia betul-betul ‘blur’ atau hanya berpura-pura sahaja. Papa kulihat terus melangkah ke mari.
 
“Sejak bila kau pandai tak balik rumah? Kau tidur mana semalam? Dengan jantan tu ke?” Herdik papa. Jarinya ditunding ke arah luar rumah. Mama hanya mampu mendiamkan diri sahaja. 
 
 
“Jantan mana papa? Fisya tak faham la..Fisya keluar dengan Baby dan Nina aje semalam. Fisya tidur rumah diorang.” Bersungguh-sungguh dia berkata begitu. Aku boleh percaya yang dia tidak tidur bersama King. Tapi, aku tahu dia menipu apabila dia berkata yang dia keluar hanya bersama Nina dan Baby. Dah sah-sah aku nampak dia masuk ke dalam kereta King semalam.
 
“Kau jangan nak menipu! Ingat kami tak tahu ada jantan jemput kau kat rumah ni semalam?!” Tempikan papa bergema lagi. Mama terus bangun dari sofa.
 
“Abang..sudahlah tu..kalau jiran tetangga dengar macam mana?” Bahagian belakang badan papa diurut lembut. Aku lihat wajah papa yang tadinya tegang kini mula mengendur. Fisya pula terus meluru ke arahku.
 
“Ni mesti kau yang bawak mulut kan?” Dia menunding jari tepat ke wajahku. Aku terus bangun. Belum sempat aku bersuara, Fisya terus mengherdikku lagi.
 
“ Tolonglah perempuan! Aku mintak tolong sangat dengan kau..jangan nak jaga tepi kain aku! Bodoh!”  Seraya berkata begitu kepala aku ditunjalnya beberapa kali. Aku hanya berdiri kaku sahaja saat ini. Tanpa aku duga, papa terus menarik lengan Fisya. Kemudian tangan kanannya diangkat tinggi dan dihayunkan tepat pada wajah adik kembarku ini.
 
 
“Kurang ajar punya budak!” Tempik papa. Berdegup kencang jantungku saat ini. Ya Allah, tolonglah pulihkan kembali keadaan.
 
 “Abanggg!” Jerit mama pula. Air mataku sudah mula bergenangan. Ya Allah, kenapalah arwah nenek pergi cepat sangat. Kalau tidak, aku lebih rela terus tinggal dengan nenek di kampung.
 
 Fisya kulihat masih tidak percaya papa sanggup menghadiahkan penampar sulung kepadanya. Tangan kanannya mengusap-usap pipi.
 
 
 “Macam tu kau cakap dengan kakak kau? Kau ni memang dah melampau!” Herdik papa lagi. Nampaknya papa masih tidak puas hati terhadap Fisya.
 
“Cepat minta maaf dengan Fina!” Arah papa. Fisya pula terus membentak.
 
“Jangan haraplah!” Terus sahaja dia berlari naik ke atas.
 
“Kurang ajar!” Sekali lagi papa membentak. Aku hanya mampu memandang ke arah permaidani sahaja.  Mama pula terus berlari naik ke atas, mengejar langkah Fisya.
 
Aku lihat papa meraupkan wajah sebelum mencapai kunci kereta yang terdampar di atas meja. Beberapa saat selepas itu, dia terus keluar tanpa berkata apa-apa kepadaku. Dengan perlahan-lahan aku menyeka air mata yang mengalir sambil bergerak ke arah tangga. Walaupun pedih kata-kata yang dilontarkan kepadaku sebentar tadi, aku  sudah tidak peduli. Aku hanya mahu berbaik dengan Fisha semula.
 
 
************************************************************************
 
Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
ctnajihah #1
terpaksa beli novel dy ...hahaahaah... malas nk download citer dy
NeulRa_Xiumin
#2
X bace agi...
Oit! Lju update. Google translate ka?