Bab 21

Playboy itu Suami Aku?!
Aku sememangnya bukan seorang fashionista mahupun hijabista. Aku adalah Afina yang simple. Pakaian yang paling aku gemari adalah jeans dan t-shirt lengan panjang. Senang nak bergerak ke sana sini. Jadi,  memang wajiblah aku terkejut beruk apabila mummy memaksa aku mencuba gaun labuh, peplum blouse, fishtail blouse, palazzo, skirt labuh dan entah apa-apa lagi pakaian seperti tadi tu. Dengan berhati-hati aku melangkahkan kaki masuk ke dalam lif untuk ke tempat meletak kenderaan. Mata melirik ke arah beg-beg kertas yang penuh di kedua-dua belah tangan aku dan mummy.
 
 Puas aku membantah apabila mummy mahu membelikanku pakaian-pakaian ini. Tapi, mummy bukanlah seseorang yang mudah untuk diurus oleh budak mentah sepertiku. Awal-awal lagi aku dah angkat bendera putih. Pelbagai alasan dan hujah-hujah telah dibentangkan olehnya tentang sebab mengapa aku perlu memiliki semua pakaian ini. Katanya, sebagai seorang pembantu peribadi, aku harus bijak bergaya dan berpenampilan menarik. Ini adalah kerana seorang pembantu peribadi adalah penghubung atau jambatan syarikat dengan dunia luar. Jadi, aku akan membawa nama Kiara Emas ke mana-mana sahaja. Itu semua baru satu peratus dari hujah-hujah mummy tadi. Akhir sekali, terpaksa juga aku menurut sahaja semua kemahuan mummy.  
 
Dari satu butik ke butik yang lain kami jelajahi sampaikan tulang lututku rasa seperti hendak tercabut! Pendek kata satu Queensbay Mall ini telah kami pusing! Kemudian, dibelikannya pula aku beg tangan yang mahal-mahal.
 
 Eh hello, aku ni nak bekerja sebagai pembantu peribadi atau CEO ye? Confuse betul! Kepala yang tidak gatal kugaru dengan perlahan. Itu belum masuk bab alat kosmetik dan kasut lagi. Aku hanya mampu menggelengkan kepala sekarang. Naik sengal jari jemari menjinjing beg-beg kertas di tangan. Tak tahulah berapa ribu duit mummy yang telah mengalir keluar hari ini. 
 
“Fi..jom.”
 
Aku yang sedang bersandar pada dinding lif terus berdiri tegak apabila terdengar suara mummy.
 
“Aaa..jom mummy..”
 
Kelam-kabut aku melangkah keluar dari lif. Mummy hanya tersenyum sambil menggelengkan kepala melihat gelagatku. Ya Allah, boleh pula aku tak perasan yang pintu lif sudah pun terbuka luas tadi. Tu lah, asyik sangat melayan perasaan! Marahku kepada diri sendiri. Aku dan mummy kemudiannya berjalan beriringan menuju ke arah kereta Mercedes milik mummy. Wanita itu kulihat terus menekan punat yang terdapat pada kunci keretanya. Kemudian, tangan kanannya yang penuh dengan beg kertas itu bersusah-payah membuka pintu bahagian belakang kenderaan. Itulah, aku dah cakap jangan membeli banyak-banyak tadi tetapi mummy tak endahkan langsung nasihatku. Mummy kulihat meletakkan kesemua beg kertas di atas tempat duduk belakang. Aku juga turut melakukan perkara yang sama.
 
Ah..ringan terasa tanganku saat ini. Tapak tangan yang sedikit berbirat kuusap lembut. Selepas ni, rasanya setahun aku tak mahu shopping! Serik pun ada jugak. Sempat lagi aku membuat senaman tangan ketika menapak ke sebelah kiri kenderaan. Pintu kereta kubuka dengan cermat dan aku melangkah masuk ke dalam kereta.
 
“Fi..esok Pak Hamid akan ambil Fi kat Sky Beach Residences. Kalau nak harapkan Ad tu, takut disuruhnya Fi naik teksi pula nanti.” Ujar mummy sebaik sahaja kami masuk ke dalam kenderaan. Aku hanya mendiamkan diri sejenak sambil memasang tali pinggang keledar. Nampaknya, mummy sudah dapat menduga apa yang akan terjadi esok. Kenal betul dia dengan anaknya tu. 
 
“Takpe mummy..kalau dia tak nak tumpangkan Fina, Fina naik teksi aje.” Ujarku yang tidak mahu menyusahkan Pak Hamid. Lagipun, aku bukan tak biasa naik teksi.
 
“Teksi? Bukan senang tau nak dapat teksi peak hour macam tu. Takpe, biar Pak Hamid aje ambil dan hantar Fi ke pejabat esok. Maklumlah, daddy kan masih di Japan. Jadi, Pak Hamid memang free sangat sekarang. Okay tak?” Wanita yang sedang menanti jawapan dariku itu  kemudiannya mengidupkan enjin kereta. Ada benarnya juga kata mummy tu. Lagipun, aku sendiri tidak pasti di mana letaknya Kiara Emas. Memanglah ada mummy berikan alamatnya tetapi esok adalah pertama kali aku akan ke sana. Akhirnya setelah berfikir seketika, aku pun membuat keputusan.
 
“Hmm..okaylah kalau macam tu. Fina ikut aje mummy.” Ujarku. Bibir menguntumkan senyuman pada wanita itu.
 
“Jadi, esok Fina tunggu aje kat lobi, pukul 8 am.” Aku terus menganggukkan kepala. Ikutkan hati, mahu sahaja aku merayu kepada mummy agar carikan orang lain untuk gantikan tempat aku sebagai P.A kepada lelaki itu tetapi aku tidak berdaya.
 
“Macam tu la anak mummy!” Tangan kirinya mendarat seketika di atas tangan kananku.
 
“Kita makan dulu, lepas tu mummy hantar Fina pulang ye?” Bibirku tersengih lebar mendengar kata-kata mummy itu. Mummy ni macam tahu-tahu sahaja perutku dah mula berkeroncong hebat.
 
“Okay..Fina pun dah lapar sangat ni.”
Tapi, tiba-tiba sahaja dahinya berkerut.
 
“Sebelum tu, Fi beritahu Ad dulu okay? Tadi mummy beritahu dia nak hantar Fi balik pukul 5 petang..sekarang dah pukul 8 malam. Takut Ad risau pulak” Lambat-lambat mummy berkata begitu. Kelu seketika mulutku. Nak beritahu lelaki itu? Dia bukannya kisah pun!
 
‘Tapi, Fina..dia kan suami kau. Keluar dengan mummy ni pun, ada kau minta izin dengan dia?’  Tiba-tiba pula hatiku menyoal.
 Teringat kata-kata Kak Faz suatu ketika dulu yang Rasulluah SAW pernah bersabda, apabila seseorang isteri keluar rumah tanpa izin suami, dia akan dilaknat oleh semua malaikat di langit dan apa sahaja yang dilaluinya di bumi , selain daripada jin dan manusia sehinggalah dia kembali semula ke rumah suaminya.
Astaghfirullahalazim!
 
Niat di hati ingin menghantarkan  mesej sistem pesanan ringkas kepada lelaki itu tetapi hasrat tersebut terpaksa kukuburkan. Macam mana nak sms kalau nombor telefon bimbit suami sendiri pun aku tak ada? 
 
“Fi..mummy tahu Ad bukanlah suami yang baik untuk Fi. But, he is still your husband..” Mungkin kerana aku tidak memberikan sebarang reaksi tadi, mummy bersuara lagi. Aku hanya mampu mengangukkan kepala sahaja saat ini. Takkan nak pinjam telefon mummy kut?
 
“Okay mummy...” Anggukku lemah. Mummy pula macam tahu-tahu sahaja apa yang sedang berlegar di dalam fikiranku. Terus sahaja dia mengeluarkan telefon bimbit dari dalam beg tangannya. Selepas beberapa saat menekan keypad, telefon bimbit itu dilekapkan pada telinga.
 
“Hello Ad..mummy here.”
Suara mummy memecah kesunyian di dalam kereta ini.
“Hold on for a second..”
Aku menarik nafas dalam-dalam apabila mummy menghulurkan telefon bimbitnya kepadaku. Dengan  hati yang masih berbelah bagi aku menyambutnya.
 
“Assalamualaikum..” Ucapku sebaik sahaja melekapkan telefon bimbit di telinga kanan.
 
“Hmm..what do you want?” Soalnya acuh-tak acuh di hujung talian. Tengok tu, jawab salam pun tak! Iskk..dia ni memang sengaja nak buat aku berang. Ikutkan hati mau sahaja aku matikan talian.
 
“Ak..ehem..” Nasib baik tidak terkeluar perkataan ‘aku’ di hadapan mummy.
 
“Afina masih dengan mummy ni” Beritahuku. Tangan kiri menggaru kepala sikit.
 
“So?” Soal lelaki itu dengan nada yang sangat pelik. Kan aku dah agak, dia bukan kisah pun!
 
“Kami nak makan malam. Sekejap lagi Fina balik” Bagaikan ada batu di dalam mulut, susah payah aku meluahkan ayat itu sambil membuang pandang ke arah luar kereta. Ah, pasti dia akan ingat aku ni dah mereng. Tiba-tiba sahaja berbicara selembut itu dengannya.
 
“I beg your pardon? I can’t hear you. Ulang balik.” Sinis sekali lelaki itu bersuara. Isk dia ni, tak dengar ke atau buat-buat tak dengar?
 
“Fina nak makan malam dengan mummy. Kejap lagi Fina balik.” Walaupun dah mula menyampah, aku berusaha juga untuk bersuara.
 
“Depan mummy boleh pula kau cakap baik-baik dengan aku.” Ada ketawa sinis di hujung ayatnya. Pedih betul telinga saat ini. Dia ni memang suka cari fasal dengan aku lah! Geram betul rasa hati. Aku menjeling ke arah mummy yang sedang memandu.
 
“Okay..bye. Assalamualaikum..” Ujarku denngan pantas.  Malas betul hendak melayan karenahnya. Tapi sebelum aku mematikan talian, terdengar sayup-sayup suara di hujung talian.
 
 “Sayang..you cakap dengan siapa tu? Bila kita nak order ni..I lapar la..”
Menyampah! Terus sahaja aku mematikan talian. Oh..tengah sibuk berdating rupanya lelaki itu. Kalau mummy tahu, mesti bertambah runsing wanita ini jadinya.
 
“Fina masukkan kat dalam beg tangan mummy ye telefon ni?” Mummy hanya mengangguk sahaja. Dapat kudengar keluhan berat terbit dari mulut ibu mertuaku ini. Lama juga kami mendiamkan diri sebelum mummy bersuara kembali.
 
“Semuanya salah mummy Fi..” Luah mummy. Muram betul wajahnya ketika ini.
 
“Mummy membesarkan Adrian dan abangnya dengan penuh kebaratan. Kata orang, melentur buluh biarlah dari rebungnya, kan? Mummy gagal mendidik mereka mengikut lunas-lunas Islam. Sebab itulah Ad jadi macam tu.” Aku tahu rasa menyesal yang amat sangat menyelubungi mummy sekarang. Kasihan pula aku mendengar rintihan hati mummy. 
 
“Bila mummy sedar kesilapan mummy, dah terlambat untuk mummy betulkan semuanya.” Sambung mummy. Aku hanya mampu mengusap lengan kiri mummy seketika. Walaupun matanya difokuskan di hadapan jalan raya, tetapi aku dapat lihat ada air jernih sedang bertakung di dalamnya.
 
“Mummy, janganlah sedih ye. Mummy masih belum terlewat lagi. Kita doakan sahaja Adrian akan berubah. Pintu taubat Allah masih lagi terbuka untuk sesiapa sahaja selagi kita bernafas dan selagi nyawa belum sampai ke kerongkong, mummy.” Ujarku dengan bersungguh-sungguh.
 
“Kita doakan sahaja agar Allah memberikan hidayah kepada Adrian. Rahmat Allah itu sangat luas, mummy..” Sambungku lagi.
 
“Harapnya begitulah Fi..” Balas mummy.
 
Aku terdiam sejenak saat ini. Memang aku benci dengan lelaki itu kerana ada sahaja tingkahnya menyakitkan hati aku. Tapi, jauh di sudut hatiku aku juga mahu dia berubah. Aku juga mahu dia kembali ke jalan Allah. Diam-diam aku berdoa di dalam hati supaya Adrian diberikan hidayah oleh Allah dan dibukakan hati untuk berubah.
 
***
 
Kad yang berada di tangan kubelek lagi sambil tersenyum senang. Gembira betul hati apabila mummy memberikan kad ini kepada aku.  Aku melangkah keluar dari lif. Lepas ni, tak perlu lagi aku bergantung kepada lelaki itu untuk naik atas atau turun ke bawah. Aku dah ada kad sendiri! Kasut kutanggalkan dari kaki dan aku susun dengan kemas di atas rak. Kepala kujengukkan sedikit ke ruang tamu rumah. 
Tertanya-tanya juga sama ada lelaki itu sudah balik atau belum. Sunyi aje.
 
Bersama beg kertas yang penuh di tangan, aku melangkah masuk. Baru sahaja ingin menuju ke bilikku, Adrian yang memakai t-shirt berwarna biru itu muncul dari arah dapur. 
 
Dia hanya memandang sahaja ke arah beg-beg kertas di tanganku sambil tersenyum sinis. Aku pula terus melangkah. Malas hendak berdepan dengannya.
 
“M.A.C., Bobbi Brown, Laura Mercier..” Kedengaran suara lelaki itu menyebut satu persatu jenama yang terpampang pada beg- beg kertas di tanganku.
 
“Wow! Pandai juga perempuan nerd macam kau bodek mummy kan. I am amazed!” Sakit betul hatiku saat ini. Aku paling tidak suka dituduh mengambil kesempatan dengan kekayaan keluarganya. Terus sahaja aku menoleh ke belakang.
 
“Mummy yang paksa aku terima semua ni.” Tegas ayat itu kulontarkan kepadanya supaya dia faham kedudukan perkara sebenar.
 
“Kau tahu ke guna semua alat solek tu?” Soalnya yang ketawa mengejek. Memang tak patut aku melayan dia ni. Lagi layan lagi menjadi. Sedar yang aku sudah pun membuat silap, aku melajukan langkah menuju ke arah bilik.
 
“Jangan jadi macam badut sarkas, sudahlah.” Dapat kudengar lelaki itu menjerit kecil. Sengaja nak sakitkan hati aku lah tu!
 
“Sibuk!”
 
Aku terus menutup pintu dengan kasar.
 
Sedikit sebanyak kata-kata lelaki itu tadi menggerunkan hatiku. Aduhai, risau juga kalau aku betul-betul kelihatan seperti badut sarkas esok. Tudung kubuka dan aku melangkah ke arah katil. Fikiranku sudah mulalah  kusut dan serabut saat ini. Aku sedar, aku bukan seorang pelajar lagi. Penampilan begini memang tidak sesuai untuk dibawa ke pejabat. Ada betulnya kata mummy tadi.
 
Tambah-tambah bekerja sebagai pembantu peribadi. Kalau tidak kelihatan cantik macam Dalia pun, sekurang-kurangnya aku perlu kelihatan meyakinkan. Bak kata mummy, P.A. adalah penghubung syarikat dengan pihak luar.
 
 Beg kertas berisi alat solek kutuangkan ke atas katil. Tidak mengapa Fina, tak tahu bersolek, boleh belajar. Sekarang ni, semuanya di hujung jari sahaja. Laptop yang terbaring di sebelah kiri katil kucapai dan kuhidupkan dengan pantas. Aku cuba bertenang dan tidak memikirkan tentang apa yang akan terjadi esok. Kerana jika itu berlaku, pasti aku tidak akan dapat melelapkan mata langsung malam ini. Nafas kutarik dalam-dalam sebelum membuka laman web youtube.
 
 
‘Light makeup tutorial’. Itulah yang kutaip pada kotak carian. Seluruh fokusku hanya pada skrin laptop saat ini.
 
***
 
 
Pak Hamid sangat baik dan ramah orangnya. Walaupun aku memang tidak ingat tentangnya dan terasa bagai pertama kali kami bertemu, aku amat senang dengan lelaki yang sebaya umurnya dengan papa itu. Macam-macam yang dibualkan denganku tadi. Katanya, sebelum ini dia tak sempat untuk berkenalan dengan aku. Banyak jugalah soalan yang ditanya kepadaku tadi. Macam temuramah untuk buat calon menantu pun ada juga. Aku hanya mampu tersengih sahaja. Sedikit sebanyak hilang rasa gementarku. Maklumlah, hari ini adalah hari pertama aku bekerja. Sudahlah tu, boss aku pula lelaki itu! Lelaki yang selalu sahaja menyakitkan hatiku. Isk, bagaimana agaknya nanti ya? Tidak mengapa Fina, janji kau cuba. Kalau tak sesuai, apa susah, berhenti aje! Nekadku di dalam hati.
 
Sempat juga aku bertanya kepada Pak Hamid sama ada aku nampak seperti badut sarkas atau tidak. Maklumlah, ini pertama kali aku bersolek sampai begini sekali. Kalau selalu aku malas hendak berbedak, tetapi pagi ini, bukan sahaja bedak, malah foundation, pemerah pipi, celak dan gincu kutempekkan pada wajah. Aku juga tidak memakai cermin mata hari ini dan kugantikan dengan kanta lekap. Pak Hamid terus ketawa besar apabila mendengar soalanku tadi. Senang rasa hati apabila Pak Hamid memberitahu yang aku kelihatan lain sangat tetapi tidaklah seperti badut. Ah, tak kisahlah kalau aku nampak sama ke, lain ke,  asalkan, jangan kelihatan seperti badut sarkas sahaja. Bibirku menguntumkan senyuman.
 
Aku kini berada betul-betul di hadapan bangunan Kiara Tower yang berdiri dengan megahnya. Kata Pak Hamid, bangunan ini adalah milik Kiara Emas. Banyak juga syarikat-syarikat yang menyewa lot perniagaan di sini. Jam di tangan kujeling sekilas. Pukul 8 : 30 pagi. Kebanyakan pejabat  di sini mula beroperasi pada pukul 9:00 pagi.
 
Aku membetulkan blouse satin di badan dan kemudian mataku melirik ke arah skirt pula. Memang cantik blouse dan skirt pemberian mummy ini tetapi kenapa aku masih berasa kekok? Tambah-tambah dengan kasut tumit tinggi di kaki. Nafas kutarik dengan perlahan-lahan. Tidak mahu membuang masa, aku mendaki anak tangga dengan sangat berhati-hati. Pintu kaca kutolak dan aku mula melangkah masuk ke bahagian dalam bangunan.
 
Sekumpulan lelaki yang segak dengan kemeja dan tali leher terdiam seketika memandang ke arahku. Aduh, jangan-jangan aku kelihatan seperti badut tak? Kenapa mereka tu tengok aku macam tak pernah tengok manusia sahaja?
 
Rasa tidak selesa yang sudah pun bermaharaja lela di dalam hati membuatkan aku terus sahaja melangkah dengan pantas menuju ke arah lif yang terletak di hujung sana. Ramai juga lelaki dan wanita di dalam pakaian pejabat berada di hadapan deretan lif itu. Tiba-tiba aku teringatkan sesuatu. Aku terlupa bawa kad yang tertulis alamat penuh pejabat!
 
Finaaaa! Tingkat berapa pejabat laki kau tu? Aduh..lupa pula hendak tanya Pak Hamid tadi. Mataku meliar mencari papan tanda.
 
Ah, dah jumpa! Laju aku melangkah menuju ke arah papan tanda besar yang melekat pada dinding itu. Rasanya terdapat senarai syarikat serta lokasinya di situ. Isk, risau betul kalau terlewat lapor diri. Pasti lelaki itu akan mengadu domba dekat mummy selepas mendapat tahu aku adalah pembantu peribadinya nanti.. Pasti dia akan mempersoalkan tentang komitmen kerja aku. Maklumlah, mencari salahku adalah salah satu kemahiran Adrian. Sebal terasa hatiku saat ini.
 
Entah di mana silapnya, selepas melangkah beberapa tapak dengan laju, aku betul-betul terasa seperti hilang imbangan pula. Kaki kanan yang sedikit terpelecok membuatkan aku hampir hendak terjatuh tetapi nasib baik lenganku pantas disambar seseorang. Eh, bukan seorang. Tapi, ada dua orang. Seorang memegang lengan kananku manakala seorang lagi memegang lengan kiriku. Prihatin betul manusia-manusia yang bekerja di dalam banggunan ini ye.
 
Aku terus mendongak ke sebelah kananku dahulu. Terus sahaja lelaki ini melepaskan pegangan tangannya pada lenganku. Lelaki yang segak berkemeja biru kulihat tersenyum manis. Baru sahaja dia ingin membuka mulut, kedengaran suara yang sangat kukenali berkumandang di sini.
 
“It’s okay Fahmi, she is fine now..”
 
Aku mengerutkan dahi. Tidak berani untuk menoleh. Tangan lelaki yang memiliki suara yang sangat kukenali itu, masih menggenggam lembut lengan kiriku. Debaran di dada semakin laju saat ini.
 
“Okay Encik Adrian. I’ll make a move then. See you around.” Ujar lelaki bernama Fahmi itu dan terus melangkah. Adrian?! Betullah, Adrian yang berada di sebelah kiriku sekarang. Longlai sedikit terasa lututku. Nampaknya masalah sudah sampai. Bala sudah tiba! Aku terus menundukkan wajah. Kononnya tidak mahu dia cam akulah.
 
“Good morning Encik Adrian..” Terdengar suara seorang perempuan menegur lelaki ini.
 
“Good morning..” Dengan pantas Adrian menjawab.
 
Aduhai, kenapa dia masih lagi memegang lenganku? Memang masalah betullah dia ni.
 
 “Are you okay? Dari jauh tadi, I dah nampak you macam tercari-cari sesuatu.” Kata-katanya menampar gegendang telingaku. Fina, nak buat apa ni? Boleh pulak dia tidak kenal aku? Patutkah aku berasa risau, atau geli hati saat ini?
 
“What were you looking for? Hmm?” Soalnya dengan lembut dan sangat prihatin. Memang lelaki ini bijak menggunakan ton suaranya ketika bercakap. Cuma ton suara yang ini, baru sekarang aku berpeluang mendengarnya.
 
Sekiranya aku tidak mengenali dia, kemungkinan besar hatiku akan  cair sedikit hanya dengan mendengar suaranya itu. Mata kupejamkan dengan serapat-rapatnya. Resah memikirkan reaksi Adrian apabila dia mengetahui perempuan yang berdiri di hadapannya ini adalah Fina, isterinya yang paaaaling disayangi!
 
“I guess you are new here. Do you need any help?” Soalnya lagi.
 
Aku membuka mata semula. Aku tahu dia cuba mencari wajahku tetapi aku masih lagi menundukkan muka. Fina, sampai bila nak tunduk macam ni? Pasti banyak mata yang sedang memandang. Tambah-tambah apabila lelaki ini masih lagi menggenggam lenganku dengan lembut. Dia ni pun satu. Memang dasar King of Crocodile lah! Tak reti-reti lagi ke nak alihkan tangan tu? Kan aku dah boleh berdiri dengan stabil ni.
Akhir sekali, aku menarik nafas dalam-dalam dan terus mendongakkan wajah memandang ke arahnya. Lelaki itu masih lagi tersenyum manis! Killer smile itu tidak luntur-luntur lagi. Erk, dia tak perasan aku lagi ke? Ataupun dia ni dah hilang ingatan? Dah tak kenal aku?
 
“Er..Kiara Emas terletak kat tingkat berapa ye?” Sebaik sahaja aku berkata begitu, berubah terus wajahnya. Matanya bulat memandang ke arahku. Dengan sangat teliti, anak matanya menjelajahi wajahku.
 
“Afina?!” Terjerit kecil lelaki ini jadinya. 
 
Aku yang sudah tidak tahu apa akan terjadi lepas ini hanya mampu 
tunduk ke bawah sahaja. Ah, apa agaknya reaksi lelaki ini nanti apabila tahu yang aku akan bekerja di sini semula? Tadi rasa macam yakin nak berhadapan dengannya tapi, kenapa kini tidak lagi? Rasa seperti hendak lari balik ke rumah sekarang jugak!
 
 
 
Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
ctnajihah #1
terpaksa beli novel dy ...hahaahaah... malas nk download citer dy
NeulRa_Xiumin
#2
X bace agi...
Oit! Lju update. Google translate ka?