Bab 10

Playboy itu Suami Aku?!
 
Aku masih lagi terkejut dengan apa yang terjadi sebentar tadi. Nampaknya Puan Sri yang kaya raya itu juga mempunyai masalah, sama seperti manusia lain. Cuma jenis masalah aje yang berbeza. Memanglah dia hanya gunakan Bahasa Melayu sahaja tetapi mengapa terasa sangat sukar untuk mentafsir apa maksud yang tersirat di sebalik keluhannya tadi? Hendak buat kesimpulan sendiri, memang aku tidak berani.
 

 

Nafas berat kuhelakan sebaik sahaja pintu bilik kutarik rapat. Tersentak aku jadinya apabila melihat kelibat lelaki yang baru sahaja keluar dari bilik tetamu. Terus sahaja kakiku mengatur langkah tetapi dengan pantas dia memegang lengan bajuku. Nasib baik berlapik, kalau tidak, ada yang makan penampar sekali lagi ni!  Kurang asam betullah! Aku terus mendongak ke arahnya. 
 

 

“Heyy! Lepaslah!” Terus sahaja aku merentap lenganku dengan kasar. 
 

 

Mendidih aje darahku saat ini. Kelam kabut aku memandang ke hadapan. Risau kalau ada mata yang memandang. Nasib baiklah tidak ada sesiapa di ruang yang agak sunyi dan tersorok ini. Semuanya sibuk berkumpul di ruang tamu dan dapur agaknya.
 

 

“Nice to meet you again!” Bersama senyuman sinis di bibir dia berkata begitu.

 

Malas hendak melayan lelaki sewel ini, aku terus mengatur langkah tetapi dihalang olehnya yang kini berada di hadapanku. 
 

 

“Boleh tak jangan halang laluan saya? Kita kat depan bilik solat ni. Hormatlah sikit. Isk!” Tempikku. Jarang aku bercakap sekasar ini. 
 

 

“Why? Takut nak bertentang mata dengan aku?”  Dia bersuara. Kali ini dia membahasakan dirinya ‘aku’ pula. Ada ketawa nakal di hujung ayatnya. Memang takde kerja dia ni. 
 

 

Aku merenung tajam ke arah lelaki yang berkemeja biru itu. Anak mata dengan tidak sengaja mengamati lelaki di hadapanku ini. Lengan bajunya dilipat dengan kemas sehingga ke paras siku dan bahagian atas baju tidak dibutangkannya. Oops! Aku terus melarikan anak mata ke arah lain.
 

 

“Saya ada tugas yang perlu diselesaikan. Bunga-bunga tu belum habis digubah lagi. Jadi, boleh tolong ke tepi sedikit?” Ujarku yang cuba untuk melangkah tetapi laluanku terhalang. Lelaki ini mendepakan tangannya di hadapanku. Ish, ingat main galah panjang ke apa ni? 

 

“Nope..tak boleh” Gelengnya dengan pantas. Geram betul. Mahu sahaja aku melesing mamat ni dengan beg telekung di tangan tetapi aku masih waras. Nafas kutarik dalam-dalam. Sabar Fina..sabar! Darjah kemarahan yang telah pun mencapai takat maksimum cuba kurendahkan suhunya.
 

 

“Apa yang awak mahu dari saya sebenarnya?”  Dengan lemah aku menyoal. Dia pula dengan perlahan bergerak setapak ke hadapan dan terus melangkah menghampiriku. 

 

“Well, aku nak kau tampar aku sekali lagi macam kau tampar aku kat depan rumah kau tempohari.” Ujarnya dengan bersahaja. Sah dia ni ada penyakit mental! Aku terpaksa mengundurkan diri beberapa langkah ke belakang manakala dia masih menapak ke mari.
 

 

“Hah? Awak dah gila ke?” Soalku yang tidak dapat bersabar lagi dengan perangainya. Biarlah kalau orang lain dengar pun. Aku sudah tidak kisah.  Lelaki itu masih lagi melangkah. Aku yang sedikit risau kini sudah pun tersandar pada pintu bilik solat. Dah tak ada ruang lagi untuk aku berundur. Cemas aku jadinya. Takkanlah nak masuk ke dalam bilik solat pulak? Hah, itu memang tindakan yang kurang bijak! Akhirnya aku terus mengangkat kedua-dua belah tanganku.
 

 

“Okay..saya minta maaf. Saya memang tertampar awak malam tu sebab saya terkejut.” Kelam-kabut ayat tersebut meluncur keluar dari mulutku. Tangan kanan dengan pantas membetulkan  cermin mata yang sudah pun melorot ke hidung. 
 

 

Lelaki di hadapanku ini memang betul-betul gila! Kini jarak kami tersangatlah dekat sehinggakan aku boleh mendengar deruan nafasnya.  Bau wangian yang dipakainya pun dapat kuhidu dengan jelas. Sempat lagi kulihat bibirnya mengukir senyuman kemenangan. 
 

 

Tangan kanan dilekapkan pada dinding pintu bilik manakala wajahnya pula ditundukkan sedikit membuatkan aku terus memejamkan mata. Baru sahaja ingin berlari menjauhi lelaki ini, tangan kirinya pula dilekapkan pada dinding pintu membuatkan aku terkunci di dalam ruang yang diciptakan lelaki ini.  

 

Memang gila! Apa akan terjadi kalau ada orang yang ternampak keadaan kami begini? Bagaimanakah kalau Puan Sri yang ternampak? Risaunya hatiku. Jantung pula terus berdegup laju seperti hendak terpisah dari badan dah ni.

 

“Kau tahu aku jadi tajuk utama cerita malam tu? King ditampar perempuan nerd!” Bisiknya di telingaku. Perempuan nerd? Aku yang semakin geram dengannya terus bersuara.
 

 

“Padanlah dengan muka awak! Siapa suruh awak pandai-pandai sentuh cermin mata saya? Jangan awak ingat dengan semua perempuan awak boleh main-main” Ayat yang kuucapkan sama sinisnya dengan nada suara lelaki itu sebentar tadi. Riak tidak puas hati terpampang jelas di wajahnya.

 

“What? You must be crazy!” Bisiknya kasar di telingaku.

 

“Aku? Nak main-main dengan perempuan macam kau?” Soalnya dengan sinis sambil ketawa kecil. Mata dijulingkan ke atas. Ya Allah, kenapalah ada makhluk saiko macam ni kat atas muka bumiMu ini?

 

“Kau dah cermin diri ke belum? Perempuan macam kau, dalam mimpi pun aku jijik nak berdampingan.” Tajam kata-katanya menghiris deria pendengaranku. Sesungguhnya tahap kesabaranku sudah senipis kulit bawang. Sesungguhnya, tanganku ini rasa gatal aje nak menampar wajahnya sekali lagi! Biar berbirat dan meninggalkan kesan sampai bila-bila. Baru puas hatiku.

 

“Hello! Jangan nak perasan bagus! Saya pun tak pernah bermimpi nak bergandingan dengan awak. Lelaki buaya! Sorry, but you are just not my type!” Dengan kasar aku membalas kembali.

 

 Wajah  playboy di hadapanku ini terus berubah kemerahan. 
 

 

“Oh yes? I am not your type? Seriously?” Bisiknya dengan perlahan di telinga kananku membuatkan aku menoleh ke kiri. Tangan kanannya  meraup wajah dan kemudian berlari menyebak rambut ke atas. Aku terus mengambil peluang untuk melepaskan diri dari ruang ini tetapi tidak berjaya. Dengan pantas dia melekapkan kembali tangannya pada dinding pintu

 

“Let’s see now..” Dengan tiba-tiba wajahnya didekatkan ke wajahku  sehingga aku rasa seperti tidak ada lagi ruang untuk aku bernafas. Terus sahaja aku menolak tubuhnya jauh dariku tetapi tidak berjaya. Tapi, sekurang-kurangnya tindakanku ini menghentikan niat jahat yang berada di dalam fikirannya.

 

“Kenapa? Nak tampar aku? Tamparlah!” Cabarnya. Kali ini suaranya melantun dengan kuat, memecah kesunyian ruang yang tersorok ini. 
 

 

“Why? Tak berani?” Soalnya lagi, lebih sinis dari tadi. Aku pula semakin risau sekiranya ada orang yang ternampak keadaan kami begini. Lebih malang lagi kalau orang itu adalah Puan Sri! Sesiapa yang melihat situasi kami ini mesti akan curiga. Bimbang betul kalau menimbulkan fitnah di kemudian hari.  

 

Apa yang dia mahukan sebenarnya?! Ah, lelaki ini dah betul-betul hilang akal. Aku terus sahaja meronta dan cuba untuk lepaskan diri dari ruang yang masih dikunci oleh kedua-dua belah tangan lelaki ini tetapi tidak berjaya. 
 

 

 “Raja Adrian Benjamin!”
 

 

Kuat suara itu menampar telinga aku dan King. Aku terus menoleh ke arah Puan Sri yang sedang bercekak pinggang.

 

Dengan pantas lelaki ini terus melepaskan kedua-dua tangannya dari dinding pintu. Puan Sri yang masih mencerlung tajam ke arah anaknya itu kini melangkah ke mari. Lemah kurasakan lututku ketika ini. Tidak sanggup rasanya hendak menatap wajah berang Puan Sri. Lelaki itu pula kulihat selamba sahaja meraupkan wajahnya. Sebelah tangan dimasukkan ke dalam poket seluar. Tenang sahaja lagaknya. Seperti tiada apa-apa yang terjadi.
 

 

“Puan Sri..” Aku cuba hendak menceritakan perkara yang sebenarnya tetapi Puan Sri telah terlebih dahulu bersuara. Takutnya kalau Puan Sri tersalah menilai.
 

 

“Ad..what are you doing? Tak cukup lagi ke buat masalah kat luar tu? Sampaikan kat dalam rumah ni pun nak buat hal?!” Kasar suaranya memarahi lelaki bernama Raja Adrian Benjamin ini.

 

“Mummy..Ad..” Aku lihat lelaki itu cuba mencari alasan tetapi ayatnya tidak disambung. Matanya terus difokuskan ke sebelah kanan. Aku juga turut sama  menoleh. 
 

 

Siapa pula mereka ini? Berkerut-kerut dahiku memandang ke arah dua orang perempuan seksi yang sedang melangkah ke mari. Seorang berambut blonde, seorang lagi mewarnakan rambut dengan warna coklat kemerahan. Puan Sri kulihat selamba sahaja lagaknya ketika ini. Seperti tidak terkejut langsung dengan kehadiran mereka.

 

“King…” Dengan manja gadis berambut blonde itu mengambil tempat di sebelah si playboy. Sangat rapat jarak mereka.  

 

“King…siapa perempuan ni? You cakap I sorang aje girlfriend you..” Seorang lagi gadis pula bersuara sambil bercekak pinggang. Terpamir jelas riak tidak puas hati pada wajahnya yang disolek rapi.

 

Padan muka! Sempat aku bersorak riang di dalam hati menyaksikan drama sebabak di hadapanku ini. Sepandai-pandai tupai melompat, ke tanah juga akhirnya. 
 

 

“Jessica..” Lemah suaranya memandang ke arah gadis berambut blonde di sebelahnya. Jessica konon! Nama kalah minah salleh tetapi rupa melayu tulen. Memang over! Kemudian matanya beralih kepada seorang lagi gadis di hadapannya.

 

“Rossy..”

 

“Boleh tak you all jangan buat kecoh kat sini?” Pandai betul lelaki ini memujuk rayu. Lembut sahaja nada suaranya. 
 

 

“We all bukan nak buat kecoh. We all just nak you buat pilihan. Sekarang I nak you pilih.  I atau dia?” Jawab Jessica. Tangan ditundingkan ke arah Rossy sambil menjulingkan matanya ke atas.

 

Aku lihat King sedikit serabut. Terus sahaja dia menoleh ke arah Puan Sri yang kulihat merenung tajam wajahnya.
 

 

“Mummy..macam mana diorang boleh masuk dalam rumah ni?” Soalnya. Aku tahu dia tidak berpuas hati.

 

 “Mummy yang ajak diorang ke sini. Mummy tak nak diorang buat kecoh kat luar!” Bentak Puan Sri dengan kasar. Masam mencuka wajahnya.
 

 

 Terus sahaja anak matanya berlari ke arah Jessica dan Rossy silih berganti. Aku pula yang rasa tidak diperlukan di sini ingin terus melangkah pergi tetapi dengan pantas Puan Sri menahan langkahku.

 

 Eh, Kenapa ni? Alamak, jangan-jangan Puan Sri tidak puas hati dengan apa yang dilihatnya tadi? Ya Allah, hindarkanlah aku dari fitnah. Aku mula berdoa. Kencang jantung berdegup. Semakin gusar hatiku saat ini.

 

Mata Pun Sri kembali mencerlung tajam ke arah dua wanita seksi itu. King pula kulihat tenang sahaja bersandar pada dinding, seperti tiada apa-apa yang berlaku.
 

 

Tangan Puan Sri kini menunding ke arah Jessica. Kemudian ke arah Rossy pula. Kedua-dua orang gadis itu kelihatan tergamam.
 

 

“Now, both of you better listen here carefully.” Dengan tegas suaranya berkumandang. Mereka berdua kulihat terus memberikan perhatian yang tidak berbelah bahagi. 
 

 

“My son is no longer available. He is getting married soon!” Laju sahaja ayat itu meluncur keluar dari bibir Puan Sri. Bukan sahaja Jessica dan Rossy terlopong, tetapi aku juga turut ternganga luas ketika ini. Biar betul? Siapa agaknya perempuan malang yang bakal berkahwin dengan lelaki gila itu? Sempat lagi aku mengutuk di dalam hati. Yang lelaki ini pula kelihatan tenang sahaja. Oh, maksudnya, betullah dia dah nak berkahwin.
 

 

“So, don’t waste your time and just move on with your life.” Sekali lagi Puan Sri bersuara dengan tegas. Dari riak wajahnya aku tahu dia menyampah dengan kedua-dua gadis itu.
 

 

“Auntie..” Suara Jessica terus sahaja bergema. Ada air mata yang bergenangan di tubir matanya.

 

“Auntie..you can’t do this.” Rossy pula terus mencapai lengan Puan Sri tetapi wanita ini menepis dengan laju.

 

Aku menjadi semakin risau apabila memikirkan nasibku sebentar lagi. Janganlah kerana aku, Syaf tidak dibayar. 
 

 

“Auntie rasa kamu berdua belum pekak lagi kan? So now, please leave!”  Puan Sri nampaknya sudah mula hilang sabar.

 

“Sunartiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii!” Terus sahaja dia memekik.
 

 

Selang beberapa saat, terkocoh-kocoh kulihat Sunarti berlari ke mari. Wajahnya ditundukkan sedikit tetapi anak mata memandang dengan cuak ke arah majikannya.

 

“Iya Puan Sri…” Jawabnya takut-takut di dalam loghat Indonesia.

 

“Tunjukkan jalan keluar untuk mereka berdua ni.” Arahan diberikan dengan tegas sekali.

 

“Baik Puan Sri…” Angguk Sunarti yang sedia menurut perintah. Dia kemudiannya tersenyum manis ke arah Jessica dan Rossy.

 

“Silakan miss..” Ujarnya dengan lembut sambil mendepakan sebelah tangan ke arah kirinya. Sebelum Jessica beredar, sempat lagi dia menghentakkan kaki tanda protes. Rossy pula menjeling tajam ke arah Puan Sri tanda tidak puas hati dengan wanita itu.
 

 

Aku melihat mereka berdua beredar dengan hati yang semakin sarat dengan kerisauan.
 

 

“Mummy..thanks..I owe you one! Nasib baik mummy cover tadi..Ad pun dah menyampah dengan diorang. Elok juga diorang ingat Ad dah nak kahwin. Tak perlu lagi nak layan diorang lepas ni.” Dengan selamba anak Puan Sri ini memeluk ibunya dari belakang dan mengucapkan kata-kata itu. Aku hanya mampu mengetap bibir. Puan Sri kulihat melepas pelukan anaknya. Kemudian, dengan wajah yang serius, dia bersuara.
 

 

“Tak Adrian..this time mummy bukan berlakon untuk selamatkan Adrian dari perempuan-perempuan tu.” Ujarnya tenang. 
 

 

“Mummy betul-betul dah ada calon untuk Adrian. You are getting married soon!”. King pula memandang ke arah ibunya dengan pandangan tidak percaya. Kemudian terus sahaja dia ketawa besar. Aku yang tidak tahu apa-apa ini hanya  kelu seribu bahasa.
 

 

“Raja Adrian!”  Puan Sri dengan tegas menyebut nama anaknya itu.

 

“Mummy tak main-main. Ad akan kahwin tak lama lagi!”

 

Mati terus tawa yang terhambur keluar dari bibir lelaki itu tadi. Dari riak wajah Puan Sri, nampaknya dia memang tidak main-main. 
 

 

“What?! Dengan siapa?” Terkejut besar kulihat wajah lelaki ini. Seronok pula rasa hatiku. Padan muka! Anak orang kaya mana agaknya yang menjadi pilihan Puan Sri ye? Pasti perempuan itu bukan calang-calang orangnya kerana dapat menawan hati wanita cerewet ini. Aku mula berteka-teki sendiri di dalam hati.

 

Kelat terasa air liur yang ditelan apabila Puan Sri menoleh ke arahku.
 

 

“Afina!” Dengan tenang dia menjawab soalan anaknya itu membuatkan aku ingin rebah. Lemah terasa segala sendi yang berada di dalam badan. Terkulai rasanya tulang-temulang yang menyokong tubuh.
 

 

“Puan Sri!!” Terjerit kecil aku jadinya. Bulat mataku memandang ke arah Puan Sri.

 

“Mummy, you must be kidding me! I am getting married to this girl?  You are being ridiculous!” King pula membentak. Kedua-dua tangannya meraup wajah dengan kasar. Baru sahaja dia ingin membentak lagi, Puan Sri terus membidasnya.
 

 

“You can say whatever you want but my decision is final!” Bentak Puan Sri. Aku pula terus sahaja menggelengkan kepala. Masih lagi terkejut dan tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku. Cermin mata berbingkai hitam  yang hendak melorot kutolak ke atas sedikit. Wajah lelaki itu tidak lagi kupandang. Saat ini aku hanya memfokuskan pandangan ke arah Puan Sri. Matanya memandang jauh ke dalam anak mataku.

 

“Puan Sri..maafkan saya, tetapi, saya betul-betul harus pergi sekarang..”

 

Setelah berkata begitu, aku terus meluru ke arah tangga dan melangkah naik ke ruang atas, di mana Syaf sedang berada. 
 

 

Syaf kulihat sedang berehat di atas sofa. Kawanku itu terus tersenyum lebar sebaik sahaja nampak kelibatku.  Dari riak wajahnya, aku tahu dia sangat gembira. Tangan kanannya menggawang sekeping kertas ke atas. Oh, dia sudah menerima cek bayaran rupanya. Gadis itu terus berdiri. Aku pula tidak dapat memberikan sebarang reaksi ketika ini.  
 

 

Beg berisi telekung kugalas di bahu kiri. Kemudian, kelam-kabut aku mengangkat kotak-kotak kosong yang telah tersusun di atas lantai dengan tangan kanan. Tangan kiri pula menarik lengan Syaf yang kulihat sedang terpinga-pinga memerhati telatahku. Dia hanya menurut sahaja langkahku.

 

“Fina..kenapa dengan kau ni?” Soalnya setelah kami sampai di tangga. Tanpa memandang ke arahnya, aku bersuara.
 

 

“Syaf, kita kena beredar dari sini sekarang juga!” Terketar-ketar suaraku berkata begitu saat ini.

 

Tanpa banyak bicara gadis yang masih termanggu-manggu ini mengikut jejak langkahku menuruni anak tangga. Kakiku terus berlari keluar dari rumah sebaik sahaja tiba di ruang bawah. Aku tahu Syaf sedang mengejar langkahku yang kini berada jauh di hadapan. Otakku telah pun lumpuh saat ini. Tidak dapat lagi untuk aku berfikir dengan waras. Aku cuma mahu cepat keluar dari sini. Itu sahaja!
 
Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
ctnajihah #1
terpaksa beli novel dy ...hahaahaah... malas nk download citer dy
NeulRa_Xiumin
#2
X bace agi...
Oit! Lju update. Google translate ka?