Bab 4

Playboy itu Suami Aku?!
 
 
Aku menilik diri di hadapan cermin. Okay ke ni? Gaun Cinderella kata mama. Tapi, kenapa bila aku pakai nampak macam nenek Si Cinderella aje?! Kaca  mata berbingkai hitam kubetulkan supaya tidak melorot turun ke hidung. Aduhai..aku memicit kepala dengan kasar apabila terpandang ke arah alat-alat solek yang bersepah di atas meja. Nak kena conteng jugak ke muka ni? Karang aku kelihatan seperti suku kaum red Indian pulak! Aku manalah tahu bersolek. Ah, tak perlulah nak solek-solek bagai! 
 
Aku bukanlah seorang tomboy tetapi aku memang tidak suka pakai gaun labuh, skirt dan yang seangkatan dengannya. Memang dari dulu lagi aku tidak minat dengan pakaian jenis itu. Tapi, demi kerana mama, aku rela menyarungkan gaun labuh berwarna pastel ini di badan. 
 
Ikutkan hati malas aku hendak turun ke bawah. Tapi, apa pula kata saudara-mara dan jiran tetangga nanti? Takut mereka ingat aku merajuk pula kerana majlis ini hanya untuk Fisya. Aku tidak mahu siapa pun membuat spekulasi yang bukan-bukan. Aku tak suka tengok mama susah hati. Niat untuk melangkah ke  arah pintu terhenti seketika apabila pintu bilikku dibuka dengan kasar dari luar.
 “Hei, bak sini rantai kau!” Fisya dengan wajah yang masam mencuka muncul di muka pintu.
Begitulah cara dia bercakap denganku selalu. Sebelah tangannya bercekak pinggang dan sebelah lagi tangan dihulurkan ke arahku. Aku cuba memberikan senyuman kepada gadis dihadapanku ini. 
 
“Rantai yang mana?” Tanyaku dengan lembut.
“Rantai yang papa kasi kat kau masa birthday last year.” Ujarnya dengan kasar. Mata pula dijulingkan ke atas. Seutas rantai emas bersama loket berbentuk hati terbayang di fikiran. Ah, tu rantai kesayangan aku! Aku bertempik di dalam hati.
“Boleh tak jangan buang masa aku?!” Herdik Fisya. Aku menarik nafas dalam-dalam.
“Kak Fina rasa Fisya pun ada rantai tu kan?” Soalku dengan lembut. Memang betul papa ada memberikan rantai yang sama kepada Fisya juga.
“Kak Fina? Hey, jangan nak kakak sangatlah! Tu cermin dulu diri kau sebelum nak mengaku kakak aku. Kalau kau tak cakap, siapa pun tak akan perasan yang kita ni adik beradiklah. Kau tu dah la buruk, selekeh pulak tu!” Tajam kata-katanya menghiris hati aku. Aku tahu aku tidak cantik. Tidak pandai bergaya seperti dia. Tapi, bukan itu yang membuatkan hatiku merintih sedih. Fisya pula kulihat terus meluru menuju ke arah meja solek.
“Tak kisahlah kalau Fisya tak nak mengaku Kak Fina sebagai kembar Fisya. Tapi, bagi Kak Fina, Fisya adalah satu-satunya saudara kandung akak.” Balasku.
“Ah, suka hati kau lah!” Bentak Fisya. Tangan gadis itu ketika ini sibuk membuka laci. Di dalam hati aku berdoa agar Fisya tidak jumpa rantai pemberian papa itu. Dalam masa yang sama, aku tahu itu adalah mustahil. 
 
Beberapa saat setelah tangannya menyelongkar ke dalam laci yang paling bawah, dia menguntum senyuman.
“Yezza! Dah dapat!” Girang sungguh kulihat wajahnya ketika ini.
Dia kulihat terus memakai rantai tersebut di hadapan cermin tanpa sedikit pun rasa bersalah. Wajahnya ditilik seketika. Jari jemarinya membetulkan rambut yang diwarnakan perang dan dipotong mengikuti trend terkini. Kemudian, jejari runcingnya berlari membetulkan gaun chiffon yang berwarna pastel di badan.
Aku hanya mampu memerhati telatahnya. Jika mahu aku boleh meragut rantai tersebut dari dia. Jika mahu aku juga boleh menghamburkan kata-kata yang mampu menyakitkan hatinya. Jika mahu aku boleh saja tolak gadis ini keluar dari bilikku. Badannya bukanlah besar mana. Ketinggian dan berat kami lebih kurang sahaja. Tapi, aku tidak sanggup mengeruhkan lagi hubungan di antara aku dengan Fisya. 
 
Hanya keluhan berat sahaja yang terpacul keluar dari bibir. Fisya pula terus berlalu ke arah pintu dengan gaya ‘catwalk’ yang  mengada-ngada.
 Perlu ke jalan macam tu?!  Macam itik senak perut aje aku tengok. Sengaja nak sakitkan hati akulah tu. Kepala kugelengkan. Sebelum melangkah keluar, dia berpaling ke belakang seketika. Senyuman sinis diberikan kepadaku.
“Tak payah kot nak cakap terima kasih kat kau. Sebab semua barang-barang kau dalam bilik ni mama dan papa yang belikan. Kau tu pulak, menumpang aje kat sini. So, secara automatik semuanya adalah barang-barang aku!” Dengan nada yang sangat sinis dia berkata begitu. Belum sempat aku membalas kata-katanya dia terus bersuara lagi.
“Ah malaslah nak layan kau! Baik aku turun sekarang and have funnnn!” Dengan nada gembira dia menjerit kegirangan. Memecah kesunyian ruang atas rumah teres Semi- D ini. Kemudian dia terus berlalu.
Dengan payah bibirku menguntum senyuman hambar sambil cuba menenangkan diri.
“It’s okay, Afina. Kau kan kakak. Kakak memanglah kena beralah. Lagipun nama kau kan Afina, seorang yang pemaaf.” Dengan perlahan kata-kata itu kuluahkan dari bibir dengan mata yang berkaca.
 
***
Lelaki dan perempuan sama sahaja gediknya. Naik meluat aku dan Syaf lihat telatah mereka. Fisya kulihat seperti sengaja nak tayang rakan-rakannya yang kaya-raya dan kononnya ‘high class’ itu di hadapan kami.  Kadang-kadang mata-mata mereka memandang ke sini sambil berbisik-bisik. Kemudian, mereka ketawa berdekah-dekah. Aku tak tahu apa yang mereka umpatkan! Husnuzon..husnuzon Fina! Aku mengingatkan diriku.
Syaf kulihat berlagak bodoh aje. Gelas air di tangannya yang sudah pun kosong diletakkan di atas meja. Kemudian, dia bingkas bangun dan menuju ke arah meja yang menempatkan pemanis mulut. Rakanku yang kurus ini memang kuat makan. 
 
Mahu sahaja aku mengajak Syaf masuk ke dalam rumah, Tapi, ramailah pulak rakan-rakan mama dan papa. Aku bukan apa, rimas betul dengan seorang dua makcik yang gemar membuat pembandingan di antara aku dan Fisya. . Sesungguhnya ruang atas adalah ruang paling selesa untukku saat ini. Meronta-ronta hatiku untuk naik ke atas.
 
“Hoi! Kau pekak ke buta? Pergi tengok siapa yang hon kat luar tu!” Dengan kasar Fisya mengherdik ke arahku. Semua mata rakan-rakannya tertumpu di sini. Terasa tebal wajahku saat ini.Lupa pulak, aku kan umpama orang gaji di mata dia. Dia pulak ‘mem’ besar! Dengan hati yang pedih aku melangkah longlai menuju ke arah pintu pagar.
 
 Isk, nak berjalan pun susah dengan gaun labuh nenek Cinderella ni! Kalau pakai kasut tumit tinggi rasanya padanlah dengan gaun begini. Tapi, aku pakai sandal aje. Memanglah mencecah lantai sedikit. Bukan macam orang gaji aje, tapi rasanya dah macam penyapu sampah pun ada juga. Uwarghhhh! Haru betul. Terus sahaja kedua-dua tanganku mengangkat sedikit gaun di badan untuk memudahkan pergerakan. Sebaik sahaja kaki melangkah keluar dari pintu pagar tinggi ini, aku terus kaku. 
 
Ah, sudah! Biar betul ni! Walaupun hanya diterangi lampu jalan dan lampu dari spotlight kereta lelaki itu, aku dapat lihat dengan jelas siapa yang berada di hadapan rumahku sekarang.  Terlepas terus gaun dari tangan. Tak kisah lagi kalau gaun tersebut meleret menyapu  jalan yang bertar ini. Nampaknya apa yang aku takut-takutkan betul-betul terjadi. Aku hanya mampu memandang sahaja ke arah kelibat seorang lelaki kacak yang sedang bersandar pada dinding keretanya. T-shirt berkolar hitam dipadankan dengan seluar jeans biru. Sangat simple pakaiannya berbanding pagi tadi. Tapi, masih tetap nampak menarik. Lelaki ini kelihatan sedang sibuk dengan telefon bimbit di tangan. Nampak gayanya seperti sedang ber-sms aje. Hah..sah tengah sms dengan teman wanitanya yang berderet tu! Sampai kan tak sedar aku tengah tercegat kat sini seperti tiang lampu. 
 
Sesekali wajah lelaki itu tersenyum. Memang dia mempunyai ‘killer smile’ yang mampu mencairkan hati ramai orang. Kacak.
Astaghfirullahalzim.Afina, wake up! Aku meraupkan wajah. Ah, baik aku panggilkan Fisya ke mari. Baru sahaja ingin melangkah masuk, lelaki itu menoleh ke arahku. Alamak!  Matanya dicerunkan sambil berjalan ke mari. Dia kelihatan terkejut sedikit. Ha…mesti dia masih ingat aku!
“You?” Dia tersenyum kacak untuk kesekian kalinya. Aku terus membuang pandang ke arah jalan raya. Malas mahu bertentangan mata dengannya. Takut terleka lagi dengan “killer smile” yang diberikan lelaki ini.
“Awak nak apa datang rumah saya malam-malam begini?” Acuh tak acuh aku bertanyakan soalan itu. Memang aku tidak suka dia berkawan dengan Fisya! Sebabnya aku kenal benar dengan jenis lelaki macam dia. King of Crocodile ini akan menghancurkan hati Fisya. Tegang sahaja wajahku ketika ini.
“Why do you sound so serious?” Sebelah keningnya terangkat sedikit. Senyuman masih lagi bersisa di bibir.
“Saya tak salah rumah kan? Fisya tu adik atau kakak awak?” Soalnya dengan bersahaja. Aku terdiam seketika. Jarang orang nak kaitkan aku dengan Fisya. Maklumlah, bagi mereka, aku dan Fisya bagai langit dengan bumi.
 
“Dia kembar saya.” Jawabku dengan malas.
“Oh..no wonder ada persamaan!” Aku terpempan lagi. Rasanya, jarang-jarang orang nampak persamaan di antara kami berdua. Selalunya orang akan buat muka pelik bila tahu bahawa aku ni kembar Fisya. Lelaki ini semakin menghampiri. Masih mencari persamaan di antara aku dan Fisya, mungkin!
“Memang sama kalau you tak pakai tudung..”  Nampak ikhlas apabila dia berkata begitu. Kemudian, dia bersuara lagi.
“And without this glasses, memang..” Serentak dengan itu dia terus mendekatkan dirinya kepadaku membuatkan aku ingin mengundur setapak ke belakang. Tetapi belum sempat aku berbuat demikian, tangannya terus sahaja mencabut kaca mata tebal dari wajah. Aku pula yang terkejut terus menampar wajahnya dengan tidak sengaja. Tindakan refleks! Ingatkan dia nak buat apa tadi. 
Sempat lagi aku meragut kaca mataku yang berada di tangannya dan cepat-cepat kukenakan ke wajah. Dapat kulihat dengan jelas pipinya yang sedikit berbirat. Alamak mati aku! Lelaki itu nyata terkejut dengan tindak balasku.
 Baru sahaja ingin meminta maaf, kedengaran suara seorang perempuan menjerkah dengan kuat di belakangku. 
 
“Hoi Fina!” Aku terus menoleh. Alamak, memang cari nahas nampaknya aku ni. Bukan sahaja Fisya yang ada di hadapan pintu pagar tetapi sebahagian rakan-rakannya juga turut sama berada di situ.  Nasib baik mama dan papa tidak sedar tentang kejadian ini. Fisya terus meluru ke arahku.
 
“Kau gila ye??!” Tengkingnya. Aku hanya mampu menundukkan wajah sahaja. Tidak mampu menentang anak matanya yang kulihat sudah pun mahu tersembul keluar. Kemudian dia terus memeluk lelaki playboy itu.
“Sayang, are you okay?” Suara manja Fisya menampar gegendang telinga sekali lagi. Tangannya mengusap-usap pipi lelaki yang kulihat sesekali menjeling ke arahku. Aku tak tahu apa maksud pandangan matanya itu.
 
“No problem sayang..I am okay.” Balas  King dengan bersungguh-sungguh
“Tengok apa yang kau buat ni!” Fisya menyinga. Syaf yang tadi hanya berada di pintu pagar kini menapak ke mari dengan muka yang penuh tanda tanya. Terpinga-pinga gadis itu.
“Kau ni memang menyusahkan hidup aku lah!” Fisya menolak aku dengan kuat. Melelong aku jadinya. Nasib baik Syaf sempat memegang lenganku. Kalau tidak, mesti tersungkur aku kat sini.
“Mak ai bro, kau kena tampar ke?” Kedengaran suara seorang lelaki bertanyakan ayat itu kepada King. King masih lagi tersenyum. 
 
“Bro, kau buat apa dengan dia tadi? Takkan dah tukar taste ke ustazah-ustazah kot!” Sinis sekali bunyinya. Ustazah adalah satu pekerjaan yang mulia.  Memang kurang ajar sungguh ayat itu! Aku hanya mampu mengetapkan bibir dan menjeling tajam ke arah pemilik suara tersebut.
“Nothing, bro. Hey, jom kita lepak tempat biasa!” Sebaik sahaja King berkata begitu, dia terus membukakan pintu untuk Fisya. Rakan-rakan mereka yang lain pula bersorak riang.
 
“Jom..I pun dah rasa panas sangat. Tambah-tambah ada perempuan tak betul ni. Lagilah rasa berbahang!” Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, Fisya terus sahaja masuk ke dalam perut kereta mewah itu. Ingin sahaja aku menahannya dari pergi. Ingin sahaja aku memberitahu dia siapa King yang sebenarnya. Tetapi semua itu berlaku terlalu pantas. Suaraku hanya mampu tersekat di kerongkong sahaja. Lelaki itu pula, setelah menutup pintu kereta untuk Fisya, sempat lagi dia memberikan senyuman kepadaku. Aku tidak tahu apa makna senyuman itu. Yang nyata, ianya lain dari selalu. Berseliratnya rasa otakku saat ini! Tidak tahu masalah yang mana dulu harus aku fikir. Masalah dengan Fisya atau masalahku dengan King of Crocodile tu!
***
 
Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
ctnajihah #1
terpaksa beli novel dy ...hahaahaah... malas nk download citer dy
NeulRa_Xiumin
#2
X bace agi...
Oit! Lju update. Google translate ka?