Bab 6

Playboy itu Suami Aku?!
Dah macam jaga pencen pun ada jugak aku ni. Hampir sejam aku mundar-mandir di hadapan pintu bilik Fisya. Semenjak ditampar papa tadi, dia terus sahaja mengunci diri sehinggalah ke saat ini. Aku bersandar pada dinding.  Mata pula kuhalakan ke arah pintu kayu yang tertutup rapat.  
 
Aku dan Fisya memang tidak pernah sebulu. Mungkin kerana kami sudah lama terpisah. Sewaktu papa dan mama pindah ke  Kuala Lumpur dulu, aku dan Fisya berusia 5 tahun. Kata arwah nenek, arwah atuk yang beriya-iya mahu aku tinggal di kampung. Mama dan papa, walaupun berat hati, akhirnya akur dengan permintaan arwah atuk. Mereka tidak mahu arwah atuk dan arwah nenek sunyi.
 
Aku? Aku tak kisah pun. Arwah atuk dan arwah nenek memang sayangkan aku. Aku sentiasa dimanjakan tetapi, kalau aku buat salah memang siaplah! Hendak tergelak pula apabila teringatkan kejadian semasa darjah 4 dulu. Bersama rotan di tangan, arwah atuk mengejar aku keliling rumah kerana ponteng kelas agama. Nasib baik tidak terlondeh kain pelikat yang tersarung di tubuh kurusnya tu. Habis berbirat tapak tanganku dirotan arwah atuk. Tapi, sebelah malamnya, arwah atuk jugalah yang sapukan minyak angin. Senyum panjang aku ketika ini. Semasa arwah atuk pergi meninggalkan kami, aku berusia 12 tahun. 
 
Fisya pula membesar di bandar besar. Memang dia jijik hendak berkawan dengan aku yang sentiasa selekeh ketika kecil dulu. Kami memang tidak rapat. Tambahan pula, papa dan mama jarang pulang ke kampung. Rasanya setahun sekali aje kot. Tu pun masa hari raya aidilfitri. Namun begitu, mereka tidak pernah melupakan tanggung jawab terhadap aku. Kata arwah nenek, papa tidak pernah lupa memberikan wang untuk perbelanjaan aku.  Kerap juga mereka menelefon ke kampung. Tapi, ketika kami berumur 15 tahun, papa dapat bertugas di utara semula. Semenjak itulah, papa dan mama menetap di Pulau Pinang ni. Selalu juga mereka pulang ke kampung tetapi jarang sangat Fisya ikut sekali. 
Aku menghela nafas berat. Tak tahu di mana silapnya, hubungan aku dan Fisya semakin lama semakin renggang. Mungkin kerana kami memang tidak pernah rapat semenjak kecil. 
 
Keadaan menjadi kronik apabila arwah nenek meninggal dunia dan aku terpaksa berpindah ke sini. Masa tu aku berada di dalam tingkatan empat. Fisya yang perasaan dirinya anak tunggal merasa tidak selesa dengan kehadiranku. Di sekolah aku selalu cemerlang di dalam pelajaran dan sukan. Fisya pula pelajar bermasalah. Nampak tak ada gap yang besar di situ? Semenjak aku datang ke sini, selalulah papa dan mama membuat perbandingan. Bukan apa, mereka juga mahu Fisya berjaya di dalam pelajaran.  
 
 Lamunanku terhenti apabila terdengar bunyi deringan telefon bimbit. Pantas aku berlari masuk ke dalam bilikku. Ah..Syaf yang menelefon. Aku ingatkan siapa tadi.

 
“Mayday mayday!”
Cemas nada suara Syaf ketika ini. Aku melangkah ke arah tingkap.
“Hah? Mayday? Kau ingat kapal terbang nak terhempas ke apa ni? Dahlah tak bagi salam!” Bidasku. Langsir bermotif flora kuselak dengan luas. Aku membuka tingkap dengan menggunakan sebelah tangan.
“Assalamualaikum! Fina! Kau kena tolong aku hari ni.” Laju betul dia bercakap. Aku yang dengar ni dah rasa tercungap-cungap. Dari nada suaranya, aku tahu dia betul-betul cemas.
“Waalaikumussalam. Tolong apa?” Soalku sambil membuang pandang ke arah kanak-kanak yang sedang seronok bermain basikal di hadapan rumah. Tenang rasanya hati untuk seketika.
“Kau tahu kan tentang tempahan bunga oleh Puan Sri Zahida yang cerewet tu?” Kelam-kabut Syaf menyoalku.
“Hm..tahu. Kenapa?” Mataku masih pada kanak-kanak di luar pagar rumah.
“Aku perlukan bantuan kau!” Gadis itu menjerit kecil. Aku pula terdiam sebentar. Sengal betul dia ni.
“Hah? Aku mana tahu pasal bunga! Nak gubah bunga? Lagiii la aku tak pandai!” Ujarku dengan bersungguh-sungguh.
“Aku bukan nak suruh kau gubah bunga. Itu kerja aku. Aku cuma nak kau tolong aku masa kat rumah Puan Sri tu esok. Banyak sangat bunga yang kena bawak ni. Lepas tu, nak susun kat atas meja lagi, nak letak dekat....” Aku terus memotong kata-katanya. 
"Aku tak pandailah Syaf.." Sebelah tangan menopang dagu. Bukannya aku tak mahu tolong tetapi aku rasa berat hati sikitlah. Bab-bab susun-menyusun, hias-menghias bunga ni, memang aku surrender awal-awal. Dapat kudengar dengan jelas keluhan Syaf  di hujung talian.
 
“Abang Din mana?” Soalku. Kedua-dua keningku terangkat ke atas sedikit. Aku mula melangkah ke arah katil.
“Tu la masalahnya.  Abang Din kemalangan!” Hah? Kemalangan?! Terus tak jadi hendak baring apabila mendengar berita yang baru disampaikan oleh gadis itu. Terkejut aku jadinya.
“Innalillahi wa inna ilaihi raji'un.Teruk tak?” Soalku dengan dahi yang berkerut. Rasa sangat simpati terhadap Abang Din yang rajin bekerja itu.
“Dia patah tangan je la..bukannya dah meninggal dunia.” Bidas Syaf. Aku pula terus menggelengkan kepala. Lupa lagilah tu!
“Astaghfirullahalazim..kau ni Syaf. Kalimah tersebut diucapkan apabila kita dengar khabar buruk. Sebutlah ayat tu bila dengar khabar orang ditimpa musibah. Tak semestinya bila dengar orang meninggal dunia aje la..! Kak Faz pernah tegur kau fasal hal ni dulu. Lupalah tu!” Dengan geram aku membidas. Bukan apa, Syaf memang tidak ambil berat tentang hal-hal begini. Bila Kak Faz berkongsi ilmu, dikatanya Kak Faz suka kasi ceramah free. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Itulah Syaf.
“Erk..aku lupa..” Sempat lagi Syaf ketawa kecil di hujung ayat. Syaf..Syaf! 
 
“Fiiiiinaaaa..” Panggilnya dengan nada manja yang dibuat-buat.
“Apa?”
“Boleh tak kau tolong aku? Kak Ani dah setuju nak bayar kau sama macam dia bayar Abang Din.”
Aku masih berkira-kira untuk cakap ya atau tak. Tapi, kalau aku tolong dapat juga duit poket. Ada sengihan di bibir ketika ini.
“Hm..bolehlah..” Aku memberikan jawapan. Kedengaran tawa nakal Syaf di hujung talian.
“Hai, terus boleh?” Soalnya.
“Mestilah Syaf..tak baik tolak rezeki..” Jawabku pula. Rambut yang terjuntai ke muka kusebak ke belakang.
“Tapi untuk kali ni aje tau. Kau kena cari pengganti Abang Din secepat mungkin.” Aku mengingatkan Syaf. Lagipun tak lama lagi aku akan memulakan aktiviti mencari kerja. Maklumlah sudah dua minggu tamat belajar.
“Okay, janji! Eh, ada customer ni. Nantilah aku call kau balik!” Kelam kabut Syaf berkata begitu. Aku pula terus mengangukkan kepala. 
 
“Assalamualaikum..” Ucapku.
“Waalaikumussalam.”
Haih! Syaf ni! Ada-ada ajel! Hari tu disuruhnya aku ambil order dari mamat playboy tu. Esok pulak hantar, susun dan hias bunga kat rumah Puan Sri yang cerewet. Sejauh mana cerewetnya dia, tidak pula kutahu. Maklumlah, aku hanya mendengar cerita dari Syaf aje. Badan kuregangkan. Ringan sikit terasa kepalaku setelah berbicara dengan Syaf tadi. Dengan malas aku bangun dan mencapai tuala untuk ke bilik mandi.
***

  

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
ctnajihah #1
terpaksa beli novel dy ...hahaahaah... malas nk download citer dy
NeulRa_Xiumin
#2
X bace agi...
Oit! Lju update. Google translate ka?