EPISOD 2 : Pergi

Fight My Pain

 

 

"Kau kasi settle polis tu. Jangan bagi dia ronda kawasan kita."

Arah Woosun sambil anak matanya memerhatikan polis peronda yang berhenti di bahu jalan. Sangat hampir dengan lokasi 'panas' malam ini. Yang akan menjadi saksi penentuan antara Woosun dan Iqga.

"Aku tak nak ada apa-apa rosakkan plan aku. Malam ni juga, aku nak settle dengan keluarga Yoon ni. Dah cukup sebelum ni aku diam sampai mereka buat bodoh."

Woosun menurunkan cermin kereta dan meludah. Meludah hanya beberapa meter setelah melepasi kereta polis tadi.

"Sekarang, aku nak habiskan. Sampai mampus sekalipun aku tak heran."


 

 

Terhela nafas berat dan keluhan apabila terasa sungguh sukar untuk  dirinya mencapai sebilah pisau yang tak  jauh darinya. Tubuhnya kini telah mengiring di atas lantai. Mengesot sedikit demi sedikit hingga tangan yang terikat di sebalik kerusi dapat mencapai hulu pisau itu. Menghiraukan debu pasir yang melekat di seluruh tubuh. Memedihkan bahagian yang terluka bila debu kasar itu menyentuh isi dalamnya.

Sakit, perih namun ditahan jua. Berusaha untuk melepaskan diri hingga akhirnya dia berjaya mengenggam pisau itu di tangan. Terus memotong tali yang mengikat. Walaupun sukar dan sekali dua mencederai dirinya sendiri, tali itu akhirnya terputus.

Dengan pantas  dia menguatkan tubuhnya untuk bangkit melepaskan ikatan yang di kaki. Sekarang masa yang tepat untuk melarikan diri kerana hari sudah mula menggelap. Konco-konco  Woosun tiada berhampiran dan pastinya Iqga kini sedang bersiap sedia untuk bertemu dengan Woosun.

Tak ingin Haesung biarkan itu berlaku. Keselamatan Iqga adalah yang terpenting baginya. Melebihi nyawanya sendiri.

Akan tetapi, ketika langkah kakinya menuju ke jalan keluar, cahaya lampu kereta tiba-tiba datang menyuluh rumah usang tempat dia dikurungkan. Meski tidak jelas terlihat, Haesung tahu itu Woosun.

 

 

 


 

Talian kecemasan sedang dihubungi seseorang. Operator yang bertugas pantas menjawabnya dan serta merta mengakses lokasi pemanggil.

"Talian 911. Apa kecemasan anda?"

Ada suara seorang gadis yang halus seakan berbisik. Kurang didengari kerana tenggelam akan kebingitan yang berdekatan dengannya. Seakan-akan dia berada di tengah keramaian.

"Maaf, tolong cakap dengan lebih jelas."

"Ada orang ikut saya."

"Baik, bagi nama dan lokasi awak sekarang."

"Yoon Mi Ga. " Iqga agak tersentak apabila tak sengaja dirinya merempuh seorang wanita. Wanita itu agak marah dan Iqga hanya menunduk maaf. Kekal erat pegangan telefon di telinga.

"Saya di Sinchon-dong, Seodaemun-gu. Mengarah ke street food Ewha University." Operator di hujung talian menaip lokasi terperinci yang dinyatakan.

"Okay, sekarang awak teruskan berjalan dan jangan sesekali pergi ke tempat yang lengang. Kekal dalam kerumunan. Sekarang ni bagitahu saya siapa yang ikut awak. Berapa orang? Pakaian atau rupa?"

Iqga menuju masuk ke lorong perniagaan makanan ringan yang dikerumuni pengunjung. Situasinya lebih sibuk dari sebelumnya. Sesekali dia menoleh. Cuba untuk mengesan keberadaan konco Woosun.

"Seorang. Lelaki. Jeans biru koyak, kemeja hitam." Dari ekor mata, dia melihat orang yang dimaksudkan tak berada jauh darinya. Masih mengikutinya menyelit di celahan orang.

"Tatu kala jengking dekat tengkuk."

"Polis berdekatan dalam perjalanan. Cik Miga boleh ceritakan motif mereka ikut awak?"

"Yah!"

Iqga menoleh ke arah datangnya suara wanita yang melenting marah. Hanya sesaat dua sebelum Iqga berpaling semula dan melajukan langkahnya. Wanita itu tadi tertumpahkan makanan akibat dilanggar konco Woosun yang mula pantas mengejar dirinya.

"Yah berhenti!" Iqga berlari dari lelaki bertatu itu. Menyelamatkan diri dengan panik yang makin memuncak.

"Tolong tangkap Kim Woo Sun! Malam ni dekat kilang perabot lama di Eunpyeong-gu. Dia dah tangkap ayah saya! Tolong cepat!"

Panggilan terus Iqga tamatkan. Fokus dia pada lariannya hingga dia menyasarkan sebuah teksi yang sedang menurunkan penumpang di hadapan sebuah kafe. Di seberang jalan.

Tanpa menekan lampu pejalan kaki, Iqga menyeberang tepat setelah sebuah kereta melintas. Namun hampir sahaja dia bertembung dengan sebuah motosikal. Mujur sempat dielak kerana pantasnya Iqga berlari mencapai pintu teksi dan terus masuk ke dalam. Ketika itu juga dia terdengar siren.

"Jalan ahjussi." Dengan nafas yang agak tercungap Iqga menyuruh si pemandu teksi untuk beredar. Namun tergendala tatkala terdengar kuat bunyi decitan tayar.

Sebuah kereta polis tepat berhenti pada masanya apabila lelaki berkemeja hitam menyeberangi jalan secara mengejut. Sedikit sahaja lagi dia bakal dihentam jika polis itu kelewatan. Tetapi seharusnya memang perlu dihentam.

"Jalan cepat ahjussi!" Dia masih di dalam bahaya.

"Lelaki kemeja hitam, tatu scorpion. Lari ke lorong jaja."

Anggota polis berhampiran yang telah ditugaskan untuk mencari suspek dapat mengecam konco Woosun yang tiba-tiba menyeberangi jalan di hadapan mereka. Ingin di kejar namun lelaki itu dengan pantas berpatah balik ke belakang dan menyesatkan diri di dalam kerumunan orang

"Suspek lari ke orang awam." Pemberitahuan salah seorang dari mereka ke walkie talkie yang berhubung dengan operator. Bukan di situasi yang sesuai untuk mendapatkan suspek.

"Mana caller?" Soalnya.

"Caller tamat panggilan dan lari. Bagi info kilang perabot lama Eunpyeong-gu. Ikut ke sana dengan yang lain sekarang. Location on display."

 

 

 


 

Panggilan masuk di telefonnya hanya dibiarkan. Kemudian ianya berhenti berdering dan satu mesej masuk.

'Standby. Iqga dah call polis. Dia terlepas tak sempat tangkap.'

Bersilih ganti matanya merenung mesej terpapar itu dan rakannya yang berdiri di sisi bonet kereta. Sedang meneliti kerosakan kereta mereka bersama dengan anggota polis yang hadir memberikan pertolongan.

Temannya itu didekati lalu menyentuh pisau yang tersembunyi di dalam jaket temannya memberikan isyarat. Serta merta ia difahami.

"Enjin tengah panas tak boleh terus tambah air. Kena biar sekejap encik."

Polis itu yang sedikit menunduk memerhatikan komponen kereta berbicara tanpa sedar dan kepekaan. Sehinggakan salah seorang dari mereka beralih ke sisi kirinya dan menyorokkan tangan di sebalik jaket langsung tak dicurigai.

Akan tetapi untuk sekejap, dua orang suruhan Woosun itu berbalas pandangan. Melirik seketika seorang lagi anggota polis yang sedang berdiri di pintu kereta meneguk minuman.

Ketika melirik itu mereka tak sengaja bertemu mata.

"49 마 7325, tuju ke kilang perabot lama Jang Woo Young. Location delivered."

Seraya botol airnya ditutup dia mendengar arahan masuk dari rakan setugas di walkie talkie. Pintu kereta dibuka lalu dia menempatkan diri di dalam. Membalas arahan yang disuarakan.

"Lalu dalam 20 minit yang lepas. Tak ada apa yang mencurigakan. Luar tak ada kereta atau orang." 

Jika diikutkan, kawasan kilang perabot terbengkalai yang mereka lalui malam ini bukanlah kawasan wajib mereka meronda pada setiap hari. Namun entah mengapa mereka berkeputusan memantau di situ dan akhirnya bertemu dengan dua orang lelaki berjaket hitam ini yang memintakan pertolongan. Dalam 4 kilometer jaraknya mereka ini dari kilang tersebut.

"Rasanya boleh kereta ni nak sampai ke mana-mana bengkel yang dekat."

Dia berbicara, namun tiada balasan dari kedua-dua lelaki ini yang berdiri di sisi kiri dan kanannya. Seakan-akan mengepung. Ketika itulah baru nalurinya mengesan semacam bahaya.

"Semua team malam ni dalam perjalanan ke sana. Cari suspek orang bawahan Kim Woo Sun. Partnership Jang Woo Young."

Selangkah kakinya ke belakang. Pandangan kekal lurus menghala ke bonet kereta.

"Orang bawahan Kim Woo Sun?"

"Ciri-ciri orang bawahan dia tatu dekat tengkuk. Tatu scorpion."

Dari dalam kereta matanya tajam melirik pada salah seorang lelaki berjaket hitam itu. Lehernya bertutup.

Manakala yang seorang lagi terdedah. Di situ terlihat tatu kala jengking hitam seperti yang disebutkan baru sebentar tadi.

"Kalau jumpa, hati-hati. Cuba tahan sampai team datang."

Dengan pantas walkie talkie itu didekatkan dengan mulutnya dan dia membalas.

"4 kilometer selepas kilang, lepas selekoh tajam suspek ada di sini dengan kami. Dua orang lelaki. Kereta Hyundai Elantra hitam plat 33 호 5763. Datang cepat. Situasi risiko."

Tangannya pantas mengeluarkan pistol dan membuka pintu. Mengarahkan ia pada dua orang suruhan Woosun namun serentak dengan itu, salah seorang dari mereka menikam rakan sekerjanya yang tak sempat mengelak kerana kiri dan kanannya sama-sama memberikan serangan.

Tembakan dilepaskan pada lelaki yang menikam akan tetapi tak mengena. Dia menundukkan diri dan bergerak ke sisi penumpang. Tembakan dilepaskan sekali lagi lalu mengarahkannya pula pada rakannya yang telah dipegang erat oleh seorang lagi konco Woosun. Mengacukan pisau tepat di lehernya.

Mengugut membuatkan dia tidak menarik pelatuk pistolnya lagi.

"Aahh!" Sakit yang begitu kuat terasa di kawasan tikaman apabila lelaki itu mengenggam dan menekannya dengan tangan. Cuba untuk melemahkan polis itu daripada melawan. Namun tetap dikuatkan juga sikunya naik menghentam muka pelaku sekaligus melonggarkan sedikit pegangannya.

Dia menangkap tangan yang mengacukan pisau dan berpusing menghadap lelaki itu. Menumbuk perutnya dan menahan kuat pisau itu yang cuba diacu ke lehernya lagi. Beradu kekuatan tangan sebelum polis itu memusingkan posisi hingga konco Woosun kini berpeluang untuk ditembak dari belakang.

Akan tetapi tak sempat untuk menembak, anggota polis itu ditikam oleh seorang lagi konco Woosun terlebih dulu. Terlambat sesaat untuk mengelak berpunca dari kecuaiannya sendiri.

Dalam kesakitan yang mendadak dia melepaskan tembakan yang hampir menghancurkan muka si pelaku. Ianya tersasar dan aksi tumbuk menumbuk berlaku.

Pergelutan yang semakin melemahkan hinggalah pistolnya telah berjaya dirampas. Dia ditembak tepat di perut dan merebah.

Konco Woosun menyasarkan pula pada seorang lagi anggota polis yang sejurus menendang rakannya jatuh, turut mengacukan pistol padanya. Namun sekali lagi, terlambat.

Dua tembakan dilepaskan dan yang terakhir mengenai dada. Kedua-dua anggota polis itu tewas di tempat kejadian. Ditinggalkan oleh mereka begitu saja. Kemudiannya berangkat pergi dengan membawa kedua-dua kereta.

Siren kereta polis itu kekal dibunyikan.


 


 

Untuk seketika Iqga tergamam tatkala 4 biji kereta polis memotong laju teksi yang dinaikinya. Memacu laju ke depan. Hingga mereka melepasi lokasi yang dinyatakan Iqga di dalam panggilan tadi. Namun apabila gilirannya pula melalui kawasan kilang terbengkalai itu, tiada sebarang kereta mahu pun seorang dua konco Woosun yang berjaga di luar. Tak seperti kebiasaannya bila setiap kali Woosun dan kumpulan jahatnya itu ingin melakukan jenayah.

Dia ditipu?

"Jalan terus, ahjussi." Arahnya sambil dia mengeluarkan telefon bimbit dari beg sandang. Terus mencari nama Woosun dan menelefonnya.

"Ke mana cik?" Dia disoal. Iqga perasan akan suara pemandu yang sedikit berusia itu agak kehairanan.

"Terus dulu sampai jalan utama, nanti saya bagi alamat."

"Kau taknak balik ke Iqga?"

Iqga terdiam seketika pabila suara di talian itu menusuk ke pendengarannnya. Bernada layaknya kenalan rapat.

Sedangkan lelaki inilah manusia yang jahat menganiaya dan memburu keluarganya. Dalam hati Iqga menyumpah seranah sebenci-bencinya pada Kim Woo Sun.

"Kau dekat mana Woosun? Jangan jadi pengecutlah nak main-mainkan aku macam ni." Sehabis baik nada suaranya ditahan dalam tangisan kemarahan bertakung di tubir mata lagi.

"Aku tanya kau, kau tak balik ke? Kau taknak jumpa bapak kau ke?"

Woosun ketawa. "Kau nak tunjuk pandai?"

"Ayah aku dekat mana!"

Sesaat Iqga bertemu mata dengan si pemandu melalui cermin pandang belakang. Sedikit terkejut dia yang memandu mendengar suara Iqga agak meninggi.

"Selalulah perhatikan jam Iqga. Masa kau dah tak banyak. Tepat pukul 11 nanti, ayah kau dah tak ada nyawa. Tapi kalau kau sempat datang bawa semua duit aku, aku gerak."

Iqga melirik waktu yang terpapar di monitor kecil teksi ini. 9:14 P.M.

Bila fikirannya mengulang main sebutan 'duit' dari Woosun, dia terasa ingin ketawa. Ya. Ketawa kerana dia sendiri tidak ada dan langsung tak menyediakan walau satu sen pun.

Kelihatan sungguh bodoh dirinya waktu ini.

"Tapi ingat Iqga, kalau kau buat benda bodoh lagi, aku tak segan silu nak tamatkan hidup ayah kau. Dengan kau sekali."

"Kenapa kau tak tamatkan je hidup isteri kau tu?"

Pandangan Iqga kosong merenung pantulan wajahnya sendiri di cermin. Bertanya pada Woosun yang terdiam pula.

"Aku tahulah Woosun kenapa kau pilih malam ni. Tapi bukan ke lagi senang kalau dia mati terus? Tak menyusahkan kau. Tak terbaring kaku. Macam mayat hidup."

"Kau sia-"

"Biar jelah dia mati. Apa-apa sekalipun yang kau buat dia tetap nak mati. Jadi yang akan mati, biarkan pergi mati."

Iqga meletakkan panggilan. Telefonnya digenggam erat hingga memerah kulit tangan.

Melayang fikirannya pada suatu ketika dulu. Masa perih yang dialami disaat sekujur jasad ibu pucat di depan mata. Terbaring di atas katil dengan bantuan pernafasan dari mesin oksigen. Wayar berselirat hingga sukar untuk merapat. Padahal ingin sekali pada masa itu Iqga memeluk erat tubuh ibunya. Berbisik lembut di telinganya. Kerana itulah satu kesempatan terakhir.

 

"Kamu kuat. Macam appa dengan eomma. Cuma sekarang eomma dah penat. Eomma nak berehat. Dan dia pun minta maaf dengan kamu. Sebab dia kamu menangis. Sebab dia kamu sakit. Dia memang nak sangat bangkit. Tapi tubuh dia tak mampu, sayang."

Haesung berucap lembut pada Iqga. Tersedu-sedan anak gadisnya itu menangisi pemergian ibunya. Di koridor hospital yang sunyi sepi. Hanya mereka berdua di situ.

"Biarlah eomma pergi. Sebab eomma dah cukup lama bertahan. Kita sama-sama lepaskan, ya? Jangan nangis lagi. Appa ada."

Tanpa sedar, air mata seorang ayah juga gugur ke bumi. Walau ketika itu jarinya menyeka tangisan si anak.

 

Genggaman terlerai. Iqga memejamkan mata tatkala beban menambah di dalam jiwa bila lebih dalam dia menjangkau memori lama. Memudarkan lagi semangat dirinya.

Dalam gelap pandangannya, Iqa melihat seakan bayangan cahaya. Menyelunup masuk di celahan kelopak mata.

Perlahan Iqga membuka mata pabila cahaya itu semakin terang dan bunyi nyaring menyapa telinga perlahan-lahan. Semakin teksi mereka mendekat, semakin cahaya itu jelas. Bunyi bertambah kuat hinggalah kelajuan teksi Iqga berkurang tepat ketika melintasi sebuah kereta polis yang berhenti di bahu jalan.

Dua orang anggota polis kelihatan melutut di atas tanah. Seorang darinya berkata-kata di alat berhubung, walkie talkie. Manakala seorang lagi sedang memangku sekujur tubuh berseragam polis yang berlumuran darah. Seperti masih bernyawa namun keadaannya cukup tenat. Tetapi lebih sayangnya lagi, seorang lagi anggota polis yang menjadi mangsa terkaku rebah di atas tanah. Turut berlumuran darah.

"Apa jadi?" Terkejut si pemandu teksi melihat apa yang sedang berlaku.

Iqga pula tergamam. Sungguh terpempan menyaksikannya. Kerana dia tak menyangka dua nyawa yang tidak bersalah telah tergadai seperti ini. Pelakunya yang Iqga pasti adalah Woosun.

Lelaki gila yang bermasalah dengan dia namun yang lain turut sama dijadikan mangsa.

Iqga meneruskan perjalanan. Kali ini meminta kepada pemandu untuk menuju ke alamat rumahnya sendiri yang jaraknya dari kawasan kilang tadi kurang dari 13 kilometer. Namun sebelum sampai ke rumahnya, mereka akan melalui sebuah rumah usang. Rumah yang 12 tahun dulu pernah diduduki Iqga, ayah dan ibunya.

Pada masa itu usia Iqga 8 tahun. Masih segar di ingatan bagaimana raut wajah suami kepada tuan rumah mereka dulu kelihatan sungguh baik. Penuh dengan senyuman di hadapan mereka.

Namun siapa yang sangka? Dialah Kim Woo Sun. Lelaki yang sama mengancam keluarganya kini. Takdir telah tersurat. Pengenalan mereka berhujungkan permusuhan.

Hampir 10 minit perjalanan berlangsung dengan debaran dada.

Hinggalah tiba waktunya Iqga menghulurkan not duit yang dikehendaki pemandu teksi, dia sedar sepenuhnya yang dia sedang menuju ke jerat singa. Melangkah dengan sendiri. Tiada sesiapa di sisi. Tiada siapa yang tahu.

"Cik, terlebih?" Iqga tidak bereaksi, tidak membalas. Menutup pintu kereta dan menjauh. Menunduk kecil sebagai tanda terima kasih.

Ketika teksi itu meluncur pergi, Iqga memerhati hingga tak terlihat lagi.

Perlahan dia berpusing. Mengamati sekeliling taman perumahan kecilnya yang sunyi. Tiada sesiapa. Lalu ke laman rumah dia merenung lama. Sebuah kenderaan MPV terparkir di situ. Milik Woosun.

Tak mampu dinafikan, Iqga gerun. Hingga dia tersedu lagi. Menangis seorang diri. Lalu dengan tangan yang menggeletar dia mengeluarkan telefon.

Dikesat air matanya untuk mencari sepotong nama yang mungkin boleh membantunya saat ini. Setelah dijumpai, nombor itu ditelefon dan dengan sabar dia menanti. Menenangkan sedu tangisnya sementara itu.

30 saat berlalu. Panggilannya tidak diangkat. Kemudian dia terdengar sesuatu. Pantas matanya menghala ke arah pintu rumahnya yang telah dibuka dari dalam. Kim Woo Sun di situ melihat dirinya yang berdiri kaku.

Iqga takut. Terus dia berpaling untuk melarikan diri namun tiba-tiba dari empat penjuru, dia dikepung konco-konco Woosun yang sedari tadi menyembunyikan diri. Iqga amat terkejut apabila mereka serentak menyerbu padanya dan salah seorang memeluknya dari belakang bila dia cuba menendang dan meronta.

Iqga tak mahu dibawa masuk dan sekuat daya melawan. Hinggalah sebuah cahaya terang menyuluh tepat kepada mereka yang di tengah jalan.

Cahaya lampu kereta yang pantas bergerak mengarah kepada Iqga dengan hon yang kuat berkali-kali.
Sangat laju dan semakin dekat hingga menyilaukan pandangan.
 

 

 



 

Jaemin terbangun. Terkejut akan mimpi yang dialaminya dalam tidur. Entah mengapa juga nafasnya berombak laju. Seolah-olah kemalangan itu nyata di depan mata.

Perlahan dia bangkit dari baringnya. Barulah dia sedar yang dia terlelap di ruang tamu. Di atas sofa sejurus pulang jam 7 tadi. Kemudian dilirik seketika jam dinding yang menunjukkan 12 tengah malam. Tepat.

Hairan Jaemin akan mimpinya tadi dalam menungnya sendiri. Tak henti-henti dia cuba mengimbaskan kembali raut wajah gadis yang tercedera parah itu. Terduduk di tepi jalan melaungkan sesuatu. Ketika itulah, letupan berlaku.

Hanya itu. Setakat itu yang jelas di ingatan Jaemin.

"Siapa?"

Gumamnya tatkala hadir perasaan tak senang. Seakan bimbang.

 

 


 

"Nama mangsa, Yoon Hae Sung. 47 tahun."

Berhati-hati anggota polis itu meletakkan kad pengenalan mangsa kemalangan maut ini ke dalam beg plastik bersama dengan dompet mangsa yang setengah rentung.

"Susah nak agak punca tuan, tak ada saksi." Katanya pada inspektor di sisinya yang sedari tadi membisu. Merenung lama kereta Hyundai model Tucson IX hitam di hadapannya itu yang telah remuk 50 peratus.

"Contact pejabat. Minta mereka detect lokasi Lee Jeno sekarang." Arahnya.

"Inspektor Jeno?" Anggota polis itu meminta kepastian dan dia diberi anggukan. Pantas dia ke dalam kereta meraih alat penghubung untuk menyampaikan arahan tersebut pada operator pejabat.

"Jaehyun, tak dapat." Ten mendekati Jaehyun seraya menunjukkan paparan skrin telefonnya. Mereka lalu berbalas pandangan. Pandangan kerisauan.

"Mana dia pergi? Apa yang dah jadi sampai kereta dia boleh ada dekat sini?"

Jaehyun bersuara. Meluahkan perasaan tak sedap yang menyelubunginya saat ini. Dia perlukan jawapan pantas dari rakan sekerjanya itu, mengapa kereta bernombor pendaftaran yang persis dengan kenderaan miliknya boleh terlibat dalam kemalangan ini sedangkan dia, si pemilik asal tiada di sini?

Ten berdiam. Turut bingung memikirkan situasi kini.

"Tuan, last location dekat apartment inspektor. Pukul 8:30 malam." Pemberitahuan anggota polis tadi pada Jaehyun dan Ten.

Ten menggeleng perlahan. "Kun memang dah lama tak mengamuk pun."




 


 

Episod 3
 

 

TEASER

 

 

BERSAMBUNG →

 



 

Episod 2, upload tgh2 hari buta. Hehehe.... Happy reading sijeuni 💚

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
No comments yet