EPISOD 1 : Penyelamat

Fight My Pain

3500 words. (*_*)
 

 

________________________________

 

 

 

 

Hingga bersih dilap meja yang baru sahaja ditinggalkan pelanggan. Segala pinggan, mangkuk, sudu garpu dan chopstick telah dibawa ke belakang untuk dicuci.

Kemudian, diaturkan langkah ke bahagian belakang untuk memerahkan kain yang telah digunakan. Dalam tangannya memerah, terdengar deringan telefon di kaunter depan. Tak lama, ianya diangkat.

"Miga-ah, sudu." Rakan sekerja yang sedang menatang dulang makanan meminta kepadanya sudu yang telah dikeringkan.

"Dua." Dua pasang garpu dan sudu Iqga letakkan berhati-hati di samping hidangan tersebut. Lalu ianya dibawa menuju ke pelanggan yang menunggu. Iqga kemudian mengambil kain yang tersedia khas untuk mengeringkan peralatan dan mengelap bersih pinggan mangkuk yang telah siap dicuci. Namun baru sekejap tangannya bekerja, namanya dipanggil lagi. Kini dipanggil oleh bosnya. Berada di kaunter sedang memegang telefon.

"Yoon Mi Ga."

"Ye?" Iqga menghampiri dan menyambut telefon yang dihulurkan bosnya. Terus ianya diletakkan di telinga.

Sesaat selepas itu, air muka Iqga berubah.

"Iqga, jangan balik awal hari ni. Woosun datang bawa budak-budak dia. Bahaya kamu balik sekarang. Hari ni kerja full, appa pun dah minta dekat bos kamu. Kalau dia tanya cakap je rumah kita tengah ubahsuai. Apa-apa sekalipun jangan balik sekarang. Balik malam nanti. Faham tak?"

Suara Haesung agak tergetar-getar. Iqga, anaknya amat mengecam dan tahu apa jenis situasi yang sedang ayahnya alami dari suara itu. Iqga ingin bertanya lebih, namun dia sedar bosnya sedang peka mendengar dalam dia menyusun helaian kertas pesanan.

"Appa kat mana?" Iqga menenangkan suaranya sehabis baik.

"Appa sempat lari. Diorang baru je pergi." Nafas lega terhela.

"Appa tak ada apa-apa Iqga. Kamu dengar apa yang appa cakap tadi. Jangan degil." Panggilan diletakkan. Iqga lalu memulangkan semula telefon ke gagangnya. Untuk sesaat dua, dia terbelenggu. Niat hatinya memang ingin pulang dengan segera bersama dengan ayahnya. Namun dia juga mengerti akan bahaya yang menanti jika dia berdegil juga.

"Bos?" Bosnya menumpukan perhatian pada dirinya. Dari riaknya itu, Iqga dapat mengagak yang bosnya tak beberapa senang akan permintaan Iqga.

"Saya..."

"Pelik. Selalunya yang awak minta, balik awal. Hari ni nak balik lambat pula?"

"Rumah saya tengah ubahsuai. Kontraktor datang baru dalam pukul 10 pagi tadi. Appa saya tak bagi balik sebab dia tengah ada kerja. Lepas selesai tu, baru dia nak bawa saya pergi rumah mak saudara. Menginap dalam 5 ke 6 hari."

Iqga tanpa sedar menggigit lidah. Lidah yang telah menipu. Namun bosnya seakan masih banyak menyimpan persoalan.

"Tapi apa salahnya kalau awak balik awal pun. Duduklah dekat mana-mana sauna sementara tunggu appa awak." Memang benar lelaki diusia 30-an ini kemusykilan.

"Sebenarnya bos, saya pun pelik kenapa appa tak bagi balik awal. Tapi saya taknak tanya banyak-banyak sebab dia pun sibuk. Company appa saya jaga hari ni banyak tetamu. Dari luar bandar."

Sebuah lagi penjelasan Iqga suarakan. Usaha terakhir. Kerana dia tidak tahu apa lagi yang harus dibohongkan jika dia masih tidak dipercayai.

Bosnya itu akhirnya bersetuju apabila dia turut teringat yang hari ini, memang ada kedatangan badan kebajikan luar bandar untuk bertemu atas kerjasama sepakat dengan usahawan dan pembekal makanan terluas di Seoul. Jadi berkemungkinan ayah Iqga sibuk menguruskan keluar masuk tetamu korporat yang hadir silih berganti. Fikirnya.

"Oh ye, betul jugak. Company appa awak Kim Myung Soon Food Supplyer dekat Seongbuk-Gu. Kan? Ye, ye. Memang hari ni ada tetamu dari luar bandar. Katanya juga nak masuk sini bawa budak-budak yang diorang jaga. Jalan-jalan. Makan. Tapi bukan kat kedai kita pun."

Bosnya kembali menumpukan perhatian pada monitor yang memaparkan pesanan pelanggan. Pesanan dalam talian. Iqga masih tercegat dan hanya mengangguk kecil sedangkan dia tidak tahu menahu mengenai kedatangan tetamu luar bandar yang amatlah kebetulan.

"Okaylah, tak apa. Awak kerja full hari ni, Miga. Bertukar dengan Yeri. Yeri balik awal hari ni."

Iqga merasa lega. "Terima kasih. Junmyeon-shi." Senyuman Iqga ukirkan. Bosnya hanya mengangguk kecil dan melirik pintu restoran yang dibuka oleh pelanggan baru. Iqga pula berganjak ke ruangan belakang untuk menyambung tugasannya yang tergendala.

'Macam manalah appa sekarang ni...' Hatinya berkata-kata. Kebimbangan memikirkan keadaan ayahnya yang sedang berlari dari ancaman.

"Miga-ah, tolong ambil order customer."

Agak tersentak Iqga mendengar arahan bosnya. Terus langkah dipatahkan balik ke belakang lalu mencapai tablet yang khusus digunakan untuk mencatat pesanan pelanggan. Tanpa berlengah.

Dia ingin mengatur langkah menuju ke pelanggan yang dimaksudkan namun untuk sekejap dia tergamam. Melihat sekumpulan lelaki yang sedang menempatkan diri di meja yang paling besar. Mungkin dalam 10 ke 11 orang ramainya.

"Lama betul tak makan sini."

"Dah kau lama tak balik." Seorang dari mereka tersenyum mendengar balas rakannya yang bercermin mata.

"Dah tu nak buat macam mana bro... Study kot."

"Mark Lee kan anak eomma. Patuh orang tua."

"Iye kan? Eomma dia kata jangan, jangan..."

"Eomma dia kata iye, iye..." Serentak mereka ketawa kecil di situ. Manakala orang yang dimaksudkan hanya tersengih seraya melepaskan topinya. Menyerlahkan rambut hitamnya dan disisir dengan tangan beberapa kali. Kemudian dia membelek menu.

"Jomlah pilih menu. Hungry guys, hungry."

"Macam biasalah oi, bulgogi." Sahut seorang dari mereka.

"Wow... Bulgogi okay jugak tu."

"Jjangmyeon lah padu kat sini."

"Eh eh, kimchi jigae."

"Yaaahhh...." Serentak lagi kesemua lelaki itu bersuara. Ada yang berkerut ada yang menggeleng sebaik sahaja seorang dari mereka menyebutkan kimchi jigae. Yang kulitnya seorang agak berlainan tona.

Nampak manis pula pada penglihatan Iqga bila lelaki itu tersenyum. Ye, Iqga sedari tadi memerhatikan mereka.

"Lee Haechan aduh..."

"Dari dulu dia ni kimchi jigae, kimchi jigae."

"Nak kimchi jigae!"

Setelah agak lama Iqga berdiam diri, dia akhirnya mendekat dan bersuara.

"Erm, minta maaf. Kimchi jigae baru je habis."

"Yes!" Ada yang tersenyum kegembiraan. Manakala lelaki yang dimaksudkan ialah Lee Haechan itu hanya tersenyum kecil dan mengangguk.

"Oh ye ke? Okay okay, tak apalah."

Iqga menunduk sedikit sebagai tanda memohon maaf.

"Saya ambil order?"

Dengan teliti Iqga mendengar dan menekan satu-persatu menu yang dipilih oleh mereka di skrin tab. Setelah itu, terpapar bilangan hidangan dan barulah dia menyedari yang mereka bersebelas. Selesai pesanan diambil, Iqga meminta diri. Manakala di kaunter, bosnya telah menerima cetakkan resit pesanan yang dimasukkan oleh Iqga ke dalam sistem sebentar tadi. Pesanan dalam bentuk softcopy pula dihantarkan ke monitor di ruangan dapur.

"Yah, nanti kita bungkuskan tteokbokki untuk Jaemin. Nak?"

Baru tiga langkah menjauh, Iqga berhenti.

"Ha, korang memang tak bagitahu Jaemin ke aku ada balik?"

"Tak adalah bro. Nama pun surprise."

"Korang padu betul bab-bab macam ni. Kesian member."

Sepotong nama yang disebutkan berulang main di dalam kepala Iqga.

"Jaemin?" Gumamnya sendiri. Langkah kaki diteruskan dan tab yang dipegang diletakkan semula ke tempat asalnya. Terus membawa diri hingga ke ruang belakang.

'Na Jaemin?' Hatinya pula berbisik. Tertanya-tanya dia, adakah Jaemin yang dimaksudkan ialah Jaemin yang sedang dia fikirkan?

Bukankah?

"Miga-ah, kau tukar shift dengan aku ke?" Tiba-tiba dirinya disapa Yeri yang entah munculnya dari mana. Kelihatan juga air muka temannya itu seakan menahan sakit.

"Hmm." Iqga mengangguk. "Kau tak sihat ke Yeri?"

"Sedikit. Period pain."

"Oh, tak apalah. Kita tukar hari ni." Yeri mengangguk. Senyuman kecil dia berikan pada Iqga.

"Thanks." Dia menyarung apron yang tergantung. Sedia untuk sambung bekerja setelah ke ruang rehat untuk seketika.

Teringatkan ruang rehat, Yeri spontan memandang Iqga. Gadis itu sedang mengumpulkan dulang, mangkuk dan pinggan yang telah kering untuk dibawa ke bahagian memasak. 

"Miga-ah, tadi dekat room telefon kau berbunyi dalam loker. Masa aku nak keluar."

Iqga mengangkat kening seraya mengangguk tanda mengerti. Dia lalu meneruskan kerja menyusun perkakas yang dibawanya di rak dan meja dapur. Berhati-hati agar tidak memecahkan apa-apa. Sangat berhati-hati kali ini. Kerana setiap dentingan kaca yang terhasil menegakkan bulu romanya.

Hati Iqga tak sedap.

Selesai dulang akhir disusun, Iqga meninggalkan dapur dan terus menghala ke ruang rehat yang terletak di belakang sekali. Sejurus pintu dibuka, deringan telefonnya terdengar. Pantas dia mengeluarkan kunci dari poket dan membuka lokernya. Mengambil telefon yang bernyala terang dan bergetar.

Panggilan masuk dari 'Appa'. Lambang hijau ditekan untuk menjawab. Diletakkan ia di telinga.

Iqga berdiam dan ayahnya juga berdiam. Hingga lima saat berlalu.

"Yoon Iqga?"

Sepantas kilat Iqga memutuskan panggilan. Berderau darahnya mendengar suara yang tak ingin didengarkan. Seluruh tubuh Iqga mulai menggeletar. Takut dengan bayangan keadaan ayahnya kini yang menjelma di kepala.

"Kau dah buat apa Woosun!"

Sepenuh hati Iqga menahan suara yang sungguh ingin dijeritkan. Menggengam kuat telefonnya. Cuba membendung amarah dan kerisauan yang meninggi. Air mata mula bertakung kerana benci. Iqga benci akan perasaan yang sebegini. Yang telah hampir 2 tahun menghantui dirinya. 

Lantas dia meninggalkan ruang rehat. Melangkah terus menuju ke kaunter. Yeri yang melihat perasan akan perubahan riak Iqga. Gadis itu tidak setenang tadi.

Di kaunter, Junmyeon sedang melayani pelanggan yang membayar. Melirik sekilas pada telefon yang berbunyi sedang tangannya memulangkan baki wang.

"Sekejap ya." Pinta Junmyeon pada pelanggan yang seterusnya. Namun baru sahaja nak mencapai gagang telefon, ianya terlebih dulu diangkat Iqga. Junmyeon memandang Iqga dan pekerjanya itu hanya mengangguk. Dia lalu melayani semula pelanggan yang menunggu.

"Jun Restaurant. Terima kasih kerana menghubungi. Encik ingin lakukan pesanan? Sila nyatakan nama dan alamat. Jun Restaurant juga sedang mengadakan promosi satu set bulgogi dipesan dalam talian akan percuma jjangmyeon istimewa dua hidangan. Encik berminat?"

Lancar Iqga berkata dengan hanya senafas. Nafas yang perlahan-lahan dilepaskan untuk cuba menenangkan jantung yang berdegup kencang. Dia tahu siapa yang di hujung talian.

Bosnya yang di sebelah tersenyum kecil memandangnya.

Ya, Iqga berhasil melindung perasaan mencengkamnya dari terluah di air muka

"Ada pekerja yang bernama Yoon Iqga?" Lelaki di hujung talian itu bertanya.

Lelaki yang bodoh bagi Iqga.

"Sekejap ya. Junmyeon-shi? Kita tak ada staff nama Yoon Iqga kan?"

"Hmm? Yoon Iqga? Dia tanya nama staff ke?" Iqga mengangguk. Junmyeon pula berkerut dahi. Lantas telefon itu diambil dari tangan Iqga.

"Hello? Maaf, encik cari Yoon Iqga? Kami tak ada pekerja nama Yoon Iqga di sini." Junmyeon mula merasa tak senang akan pelanggan itu yang menelefon restorannya menanyakan nama pekerja sesuka hati. Tanpa sebab.

"Encik siapa ya pada Yoon Iqga yang encik cari tu?"

"Sial." Panggilan diputuskan. Junmyeon terkejut. Naik bengang rasa hatinya mendengar makian lelaki itu.

"Kurang ajar punya manusia."

"Kenapa bos?" Iqga bertanya bila melihat riak wajah bosnya bertukar garang. Tak setenang sebelumnya.

"Orang gila telefon." Agak kuat dia meletakkan gagang telefon. Bosnya marah. Manakala Iqga berasa sedikit lega.

"Saya ke belakang dulu bos." Bosnya tidak menjawab. Iqga lalu berpusing untuk menuju ke belakang. Namun fikirannya tak tenteram . Hatinya ingin meminta pada bosnya untuk pulang awal pada hari ini. Dia ingin menemukan ayahnya. Dia ingin tahu apa yang sebenarnya telah terjadi.

Kemudian Iqga berpatah balik dan ketika itulah, matanya ternampak dua orang lelaki yang sedang berdiri di luar tingkap restoran. Iqga mengecam mereka. Mereka berdua adalah orang suruhan Woosun.

Salah seorang dari mereka menoleh tepat ke dalam restoran dan Iqga pantas memalingkan muka.

"Lucas."

Lucas mendongak ke depan memandang Taeyong yang memanggil namanya. Serius wajah sahabatnya itu. Merenung lurus ke tingkap yang berada di belakangnya. Lucas kemudian menoleh. Melihat ke belakang di mana seorang lelaki yang amat dikenali berdiri di luar.

Mereka berempat bertemu mata. Lucas, Taeyong dan dua orang konco Woosun. Suasana antara mereka menggelap. Sehingga yang lain turut terasa dan tertumpu pada sasaran yang sama. Lelaki itu dengan riak yang bengis melangkahkan kaki ke dalam restoran. Menolak pintu itu kuat. Melilaukan pandangan ke seluruh tempat sebelum berhenti pada sekumpulan lelaki di meja makan. Lucas dan Taeyong. Dua wajah yang amat menyakitkan pandangannya berada di antara mereka.

"Lee Taeyong!" Suaranya lantang dalam langkahnya mendekat pada mereka.

"Wong Lucas!" Boleh terdengar nada kebencian di suaranya. Sekaligus tidak menyenangkan pelanggan lain yang berada di situ.

"Lain yang aku cari, lain yang aku jumpa. Lama tak jumpa kau berdua. Dah ramai back up sekarang?" Tangannya terletak di atas meja. Rileks memandang Taeyong dan Lucas yang berada di sisi kiri dan kanannya.

"Kau buat apa dekat sini? Berani betul masuk kawasan aku. Teringin naik kereta polis lagi?" Senyuman kecil di bibir Taeyong. Khas diukirkan pada 'sahabatnya' itu. Manakala yang diberikan senyuman kian membara. Rasa hati ingin membunuh lelaki itu yang mencabar amarahnya.

"Kawasan kau ke, kawasan bapa kau ke bapak angkat kau ke aku tak takut langsung nak langgar Taeyong. Aku ada kuasalah Taeyong, bukan macam kau. Pengecut. Harap bergantung dengan bapak angkat kau yang dah tak betul tu. Sampai mati kau tak akan pernah jadi macam akulah Taeyong."

"Kenapa pula aku nak jadi macam kau, Shinsung?"

Taeyong memadamkan senyuman. Tak gentar walau sedikit pun dia akan lelaki itu yang bertatu, berparut di pipi kiri dan dahi. Shinsung dulu dan sekarang, tetap bodoh tak berakal di matanya.

"Kalau aku nak jadi macam kau, lama dah aku dengan Lucas pancung kepala kau depan semua budak masa adik kau lari lepas rogol anak Mafia. Aku pancung kau, kau mati. Aku dengan Lucas dapat nama. Aku pegang tahta. Itu, kalau aku nak."

Shinsung mengepalkan tumbuk. Merah tangannya sama merah wajahnya. Mendidih darah menahan bengang terhadap Taeyong yang sengaja mengungkitkan kisah lama.

"Kau fitnah aku, kau bawa aku pada polis. Sedangkan bukan aku yang buat sial!" Meja dipukul sekuat hatinya.

"Kalau aku tak bunuh kau pun, kalau aku tak panggil polis pun, kau mati juga di tangan budak-budak tu sebab tak dapat adik, abang pun boleh mati. Tapi yelah, aku dengan Lucas memang sengaja pun biarkan adik kau lari. Tuduh kau. Hancurkan geng Mafia. Habis."

Tajam pandangan Taeyong pada Shinsung. "Itu sebenarnya matlamat aku. Aku tak sibuk nak pegang apa-apa tahta."

"Bodoh kau ni!" Jerit Shinsung

"Kau yang bodoh tak pernah serik!" Taeyong kali ini menghentak meja.

Shinsung meraung dan terus melayangkan tumbukan namun laju Lucas menumbuk tepat di pipinya terlebih dahulu hingga dia jatuh terduduk ke lantai. Serta merta tergamam semua orang yang berada di restoran itu. Terdengar kuat tumbukan yang dilakukan Lucas.

"Pergi matilah kau dengan adik kau." Ucap Lucas singkat. Kepuasan dirasakan ketika menumbuk wajahnya tadi.

"Sial!" Seorang lagi kuncu Woosun yang mengikuti Shinsung ingin membalas kepada Lucas namun terhenti. Apabila serentak 10 orang lelaki berdiri dari kerusi menghadapnya. Kecuali Taeyong. Masih duduk menatap Shinsung yang perlahan bangun memegang wajahnya.

"Angkat tangan!" Dua orang polis peronda menerjah masuk. Mengacukan pistol pada Shinsung dan rakannya. Terus kedua-dua polis itu menghampiri dan menggari mereka.

Namun rakan Shinsung bertindak menghantukkan kepalanya ke kepala polis itu dan melepaskan tangannya dari pegangan. Berlari keluar mengelak dari ditangkap. Mujurlah para pelanggan di situ tidak diapa-apakan.

Dalam melutut sedang tangannya digari, Shinsung menatap tajam wajah Taeyong. Dari mata itu dia memancarkan kemarahan. Dendam.

"Kau tunggu nanti, Lee Taeyong."

Dia dipaksa bangkit dan ditarik kasar ke luar restoran menghentikan segala kekecohan di situ.

"Ada yang dia cari kat sini. Sesiapa atau benda." Ucap Taeyong perlahan seraya rakan-rakannya duduk bertenang semula.

Lucas melirik Junmyeon yang berdiri di kaunter. Junmyeon juga memandang dirinya. Lucas lalu mendekati. Ada soalan yang ingin dia tanyakan.

"Bos?" Junmyeon mengangguk.

"Awak telefon polis tadi?" Junmyeon mengangguk sekali lagi. Lucas terdiam seketika. Tak sampai lima saat, dia bertanya lagi.

"Dia datang cari siapa dalam kedai ni?"

"Saya tak tahu. Dia pun saya tak pernah tengok." Balas Junmyeon agak pelik dengan soalan lelaki tinggi lampai itu.

"Tapi, tadi ada panggilan, lelaki cari staff nama Yoon Iqga kat sini."

"Mana dia?"

"Siapa?"

"Yoon Iqga?"

"Tak. Saya tak ada staff nama Yoon Iqga. Lepas je saya bagitahu, terus dia letak telefon. Tapi sempat lagi dia memaki. Macam samseng."

Lucas mengangguk faham. "Memang samseng pun." Ujarnya sebelum dia berpaling menuju ke meja semula.

Junmyeon pula terdiam. Fikiran kepalanya berpusing-pusing mengelilingi sepotong nama yang dicari lelaki tak beradab di telefon tadi.

"Yoon Iqga?" Bisiknya seorang diri.

"Yoon Mi... Ga?"

 

 

 

 

 

Iqga berlari bersama beg sandang, topi dan mask yang digunakan untuk menutup wajahnya. Berlari melalui pintu belakang restoran dan terus berjalan kaki menuju ke pintu keluar taman mewah ini yang diawasi oleh pengawal keselamatan. Menamatkan waktu kerjanya tanpa pemberitahuan. Tepat ketika sekumpulan lelaki tadi dan kuncu-kuncu Woosun bergaduh. Hanya itu masa yang tepat bagi Iqga untuk melarikan diri mendapatkan ayahnya.

'Siapa semua lelaki tu?' Desisnya di dalam hati. Seakan tidak percaya yang orang suruhan Woosun telah diselesaikan oleh mereka. Iqga berasa agak berterima kasih. Namun dalam masa yang sama bersalah. Bersalah kerana dia terpaksa meninggalkan pekerjaannya dengan cara begini.

Tenggelam hanyut Iqga akan bicara mindanya hingga tak sedar dia berlari di dalam renyai hujan. Yang menyedarkan dia ialah deringan telefon. Berbunyi dari dalam beg sandangnya. Iqga pantas mengeluarkan dan sekali lagi, nama pemanggil ialah 'Appa'.

Iqga menguatkan diri. Menenangkan gementar dan gerunnya. Lalu akhirnya menjawab panggilan itu.

"Yoon Iqga! Kau jangan nak buang masa aku. Jangan nak main-main dengan aku. Aku nak tahu kat mana kau sekarang. Kalau menipu, kau mati. Macam bapak kau ni nanti."

Iqga agak terkejut. Suara yang kasar menengking dan mengugut dirinya.

"Atau kau nak dengar suara appa kau ni, menangis minta simpati? Minta simpati bila aku siat kulit dia macam ni?"

Woosun merampas pisau dari tangan kuncunya dan menyiat kulit lengan Haesung yang telah cedera parah. Berdarah hingga menitik ke lantai dan Woosun puas melihat itu. Puas mendengar raungan kesakitan Haesung bila kulitnya disiat lagi.

Sedikit demi sedikit dan kulit yang masih tak putus membuatkan Haesung sendiri jijik melihat dalam berjujuran air matanya menahan pedih. Pedih yang kuat terasa di seluruh tubuh. Setelah ditendang, ditumbuk malah kini diikat dan kulitnya disiat-siat.

Namun ini pengorbanan. Pengorbanan yang dia lakukan hanya untuk anak gadisnya. Yoon Mi Ga. Harta percintaan dia dan Yoon Myura.

"Cakap apa yang kau nak Woosun aku datang jumpa kau sekarang! Lepaskan appa aku!"

Mengenangkan mendiang isterinya, mendengarkan suara anaknya yang memberontak membuatkan air matanya menitis lagi. Merasa gagal menjadi yang terbaik untuk kedua-dua mereka yang amat dia kasihi.

Bertambah lagi hiba hatinya, bila mendengar sayu suara tangisan Iqga. Merayu meminta agar ayahnya ini dilepaskan.

"Aku nak duit aku, Iqga. Malam ni. Pulangkan semua duit aku malam ni juga dan jangan pernah libatkan polis kalau kau taknak akibatnya teruk. Ingat sekejap, kau dengan bapak kau ni tengah berurusan dengan siapa."

Ketawa kecil terlepas dari mulut Woosun bila dia melirik Haesung yang lemah. Kesakitan.

"Salah besar korang main-main dengan aku macam ni. Tapi tak apa. Aku bagi lagi mas-"

"Jangan datang sini Iqga."

Suara yang cukup perlahan namun masih didengari Woosun.

"Apa dia, Haesung?"

Ayah Iqga mendongak. Bertemu mata dengan Woosun.

"Jangan datang sini Iqga!" Sebuah penumbuk Woosun hayunkan tepat ke wajah Haesung. Berang rasanya bila melihat lelaki tua yang hampir mati ini masih berdaya ingin melawan arahnya.

"Kalau kau bodoh sangat Iqga, kalau kau dah tak ingin tengok muka bapak kau lagi, kau tak payah datang. Biar aku sendiri yang datang bawa abu bapak kau jumpa kau nanti."

"Kita jumpa malam ni Woosun. "

Tangan yang menggeletar cuba ditenangkan. Tangisannya ditahan kerana dia sedar, tak guna dan membuang masa jika dia terus merayu menangis lagi. Kini tegas suaranya berkata pada Woosun.

"Kau bawa appa aku dan jangan apa-apakan dia lagi. Aku akan datang bawa duit yang kau nak. Semua yang kau nak."

Hujan turun semakin lebat. Kilat juga samar-samar terlihat dan sayup-sayup terdengar. Seakan bereaksi terhadap perjanjian Iqga dan Woosun kini. Perjanjian melibatkan hidup dan mati.

"Hmm. Selesai."

Panggilan diputuskan Woosun. Terus dia menatap tajam pada kuncu-kuncunya.

"Standby plan. Anak Haesung ni panjang akal."

Woosun membongkok di hadapan Haesung. Senyuman sinis tersimpul di bibirnya sambil tangannya mencampak pisau yang dipegang hampir-hampir ke kaki Haesung.

"Sama ada kau mati, anak kau hidup. Sama ada anak kau mati, kau hidup. Sama ada dua-dua sekali mati, aku tak janji malam ni. Tengoklah nanti macam mana, Haesung-ah."

 

 

 

 

Basah kuyup bajunya berjalan dalam hujan. Hanya berjalan. Tidak berlari walau sedikit pun. Kerana bersama dengan hujan dia ingin melarutkan air matanya pergi. Pergi dari wajahnya setelah tangannya sendiri penat menyeka.

Tubuhnya dingin dan tatkala melihat dari jauh, pondok teksi yang lengang, Iqga melangkah menuju padanya. Tibanya dia di situ, dia berteduh menghangatkan diri buat seketika. Duduk berehat. Merehatkan fikiran. Tetapi masih tak berkemampuan merehatkan air mata.

Di kesunyian yang hanya berbingitkan rintik hujan, Iqga bersendiri menangisi luka hati dan jiwanya.

Betapa dia kesal akan dugaan hidup yang melanda. Ibunya pergi jua walau dulu, bermacam usaha Iqga dan ayahnya lakukan hingga mereka terjerat di lembah gelap. Meminta tolong pada yang salah. Lalu pengakhirannya, ibu yang tercinta tetap tak berdaya. Pergi buat selama-lamanya meninggalkan mereka berdua di dunia.

Kini, hari ini, peristiwa yang paling tidak diingini berlaku juga. Iqga takut. Iqga buntu. Iqga bimbang. Kerana kedua-dua penguat semangatnya kini telah menghilang. Ayahnya sendiri telah berada di genggaman Woosun.

"Kenapa jadi macam ni..." Hanya sebaris ayat yang terluah.

Sayu hati kerana merindukan kebahagiaan keluarga kecilnya dulu.

Larut di dalam kesedihan sehinggakan Iqga tidak menyedari, ada seseorang yang datang sama berteduh di pondok itu. Mengambil tempat di hujung bangku.

Hanya tersedar, bila Iqga mendengar bunyi kibasan payung yang ditutup olehnya.

Orang itu seakan memandang dirinya. Iqga cuba mengecam dari ekor mata namun matanya kabur. Masih berair. Lalu tangannya menyeka dan terus menunduk. Terasa malu untuk mendongak memperlihatkan wajahnya yang sembab. Kemerahan.

Akan tetapi, perlahan-lahan Iqga menoleh. Kerana firasatnya mengatakan orang itu tidak asing. Seperti pernah dilihat.

Sejurus Iqga menoleh dengan penglihatan yang jelas, dia terpana.

'Jaemin.'

Hatinya menyebutkan nama seorang lelaki. Lelaki yang sedang duduk bersama dengannya di pondok ini.

Benar itu dia.

'Dia?'

Jaemin berbisik di dalam hati. Pada mulanya hairan, kini berubah simpati apabila dia dapat mengecam raut itu yang pernah ditemukan sebelum ini. Masih tersimpan di kotak ingatan raut manisnya. Mata beningnya.

Namun setiap kali terlihat, setiap itulah air mukanya suram. Seperti sekarang.

Mengapa sebenarnya gadis ini? Itulah satu persoalan yang berada di fikiran Na Jaemin.

Na Jaemin, seorang lelaki yang seakan berkuasa menenangkan gusar Iqga bila setiap kali Iqga memandangnya.

Seperti sekarang.

"Iqga, appa tak larang kamu nak sukakan sesiapa. Pergi, ikut pilihan hati. Appa boleh sendiri. Tapi kamu kena janji, bila kamu dah capai dia jangan pernah dekat dengan appa lagi. Selamatkan diri, selamatkan dia. Lupakan semua, bina hidup baru Iqga."

Imbasan kata permintaan dari ayahnya suatu ketika dulu seakan bergema di saat ini.

'Tak boleh ke dia jadi penyelamat?'

Iqga terus menunduk. Membuang jauh kata hatinya sebentar tadi. Tepat ketika lelaki itu telah melangkah pergi dijemput seseorang. Meninggalkan dia sendiri.




 

__________________________

 

 





 

Episod 2

 

 


TEASER

 

 

BERSAMBUNG →

 

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
No comments yet