Bab 3

Remember You

Puan Oh terus menerpa ke arah kaunter sebaik sahaja dia tiba di hospital bersama dengan Si Young.

"Anak saya!"

"Apa nama anak puan?" Jururawat yang bertugas bertanya dengan tenang.

"Kim Jun Myeon dan Oh Se Hun."

"Puan Oh ya? Sekejap ya."

Jururawat itu bercakap dengan seseorang di telefon kemudian dia mencari sesuatu di dalam sebuah fail yang ada di atas kaunter itu. Tidak lama selepas itu, datang seorang lelaki yang berpakaian seperti doktor.

"Puan Oh Ji Woo?" tanya lelaki itu.

"Ya, saya," Puan Oh melihat raut wajah doktor yang kelihatan tenang itu. Matanya beralih kepada tanda nama yang elok tersemat pada kot doktornya. Dr. Do Kyung Soo. Muda lagi orangnya. Mungkin sebaya Se Hun, desis hatinya.

"Ini borang pembedahan untuk puan tandatangan. Kami perlukan surat kebenaran daripada pihak keluarga untuk menjalankan pembedahan," ujar Doktor Do.

"Anak saya yang mana?"

"Oh Se Hun."

Puan Oh tidak mengambil masa yang lama untuk dia menurunkan tandatangan pada kertas putih itu. Dia tidak boleh membiarkan Se Hun berada dalam bahaya. Se Hun sangat penting dalam hidupnya. Dia tidak boleh kehilangan anak itu.

"Terima kasih, puan."

Doktor Do menutup fail itu dan memberikannya kepada jururawat. "Ye Jin, sediakan bilik pembedahan."

Seraya itu, perempuan yang bernama Ye Jin itu bergegas pergi bersama dengan beberapa orang jururawat lain.

Puan Oh duduk di kerusi menunggu bersama Si Young dengan hati yang tidak tenteram. Semoga semuanya berjalan dengan lancar dan anakku selamat, doanya di dalam hati.

 

SUDAH puas mereka berdua menunggu di situ. Malah, Si Young sempat membawa Puan Oh makan di kafeteria kerana melihat wajah pucat majikannya itu. Puan Oh tidak menghabiskan makanannya. Bukan kerana tiada selera tetapi tergesa-gesa kerana risau jikalau doktor keluar saat mereka sedang makan.

Selepas lima belas minit menunggu di luar bilik pembedahan, pintu bilik itu dibuka daripada dalam. Puan Oh terus mendapatkan doktor yang baru keluar.

"Doktor, macam mana dengan anak bongsu saya?"

"Pembedahan selamat dijalankan. Tapi, sekarang anak puan berada dalam keadaan koma. Biarkan dia berehat dulu. Puan boleh melawat anak puan es-"

Penjelasan doktor itu terhenti apabila ada seorang jururawat datang menemuinya.

"Doktor, pesakit di wad kecemasan telah sedarkan diri," Doktor dan jururawat itu segera meninggalkan Puan Oh dan Si Young yang masih tercengang di situ.

Pintu bilik pembedahan sekali lagi dibuka dan keluarlah beberapa orang jururawat menyorong katil Se Hun keluar dari situ. Puan Oh segera mendapatkan anaknya.

"Se Hun," Dia mengikuti ke mana jururawat itu membawa anaknya. Air mata yang gugur dari kelopak matanya dibiarkan mengalir.

Tiba di bilik yang akan menempatkan Se Hun, jururawat tidak membenarkannya untuk masuk. Pintu ditutup. Dia mengelap air matanya. Tolong kuat anakku.

 

KEADAAN Suho sudah stabil jadi dia dipindahkan ke wad biasa. Puan Oh juga dibenarkan melawat anaknya itu.

Puan Oh duduk di sebelah kiri katil anaknya. Dia menggenggam erat tangan Suho. Suho membalas genggaman tangan ibunya.

"Ibu, macam mana dengan Se Hun?" Soalan pertama yang keluar dari mulut Suho ialah mengenai adiknya. Dia sangat risaukan Se Hun.

"Jangan risau sayang. Se Hun selamat. Sekarang dia sedang berehat," Puan Oh mengelap air mata yang mengalir di pipinya. Suho mengangkat tangannya dengan lemah dan mengelap lembut air mata di pipi ibunya. Matanya turut berkaca.

"Ibu jangan menangis. Saya tak apa-apa. Cuma tadi rasa sakit sangat. Sekarang dah tak sakit. Jadi ibu tak boleh sedih-sedih tau," Puan Oh menggenggam tangan anaknya yang masih melekap pada pipinya. Air matanya semakin lebat turun.

"Ya, sayang. Ibu takkan sedih lagi."

"Ibu."

"Ya?"

"Saya minta maaf sebab dah gagal jaga Se Hun dengan elok. Saya gagal. Saya minta maaf sangat-sangat ibu," Suho menangis lagi.

"Tak, bukan salah kamu. Benda dah nak jadi. Tolong jangan salahkan diri kamu. Kamu tak salah," pujuk Puan Oh. Walaupun pihak polis mengatakan yang punca kemalangan ialah kerana Suho yang memandu laju dan melanggar treler, tetapi dia tidak pernah meletakkan kesalahan itu pada Suho.

Sekarang bukanlah masa untuk menuding jari siapa yang salah. Anak-anaknya perlukan sokongan daripadanya. Dia perlu matang dalam soal ini kerana dialah ketua keluarga sekarang selepas suaminya meninggal dunia dua puluh dua tahun yang lalu.

"Ibu baliklah dulu. Saya tak apa-apa dekat sini. Nurse ada," ujar Suho kepada ibunya. Dia nampak wajah keletihan pada wanita itu. Dia tidak mahu kerana dirinya, ibunya pula yang jatuh sakit.

"Ibu balik dulu ya. Kamu berehatlah dulu. Malam nanti ibu temankan kamu," Puan Oh mencium dahi Suho sebelum dia melangkah keluar dengan hati yang berat.

Selepas pintu ditutup, tinggallah Suho seorang diri di dalam bilik itu. Dia menatap dinding kosong di hadapannya. Wajah Se Hun terbayang di matanya. Dia menjadi sebak. Kalaulah dia tidak memandu dengan laju, pastinya mereka tidak akan terlibat dalam kemalangan. Kenapalah dia pentingkan diri sangat hendak mencari tempat untuk mengisi perutnya yang lapar itu padahal nyawa dan keselamatan Se Hun lebih penting.

"Maafkan abang, Se Hun. Abang gagal jaga kamu. Maafkan abang."

Akhirnya bilik itu dipenuhi bunyi sedu-sedan tangisan Suho.

 

SUDAH tiga hari Se Hun berada dalam keadaan koma. Sejak itu, Puan Oh tidak pernah berhenti berdoa agar anaknya segera membuka mata dan menjalani kehidupan seperti dulu.

Suho sudah boleh berjalan walaupun menggunakan bantuan tongkat kerana kakinya masih lemah. Dia sering menjenguk Se Hun. Setiap hari, dialah yang selalu ada di sisi Se Hun jika ibunya pulang ke rumah.

Pagi ini, dia datang lagi bersama ibunya. Dia seakan tidak mahu berenggang dengan adiknya itu. Dia mahu saat Se Hun membuka mata nanti, orang pertama yang adiknya akan lihat ialah dirinya.

"Ibu nak turun sekejap," Puan Oh meninggalkan Suho sendirian di dalam bilik itu untuk menemani Se Hun.

Suho menongkat dagunya menggunakan kedua-dua belah tangannya. Dia memerhatikan Se Hun yang sedang lena itu.

Tiba-tiba jari Se Hun bergerak-gerak sedikit. Suho menggosok matanya dan melihat sekali lagi jika dia tidak bermimpi. Sah! Memang jari Se Hun bergerak.

Wajah Se Hun dipandang. Kali ini kelopak matanya pula bergerak-gerak. Dahinya juga sedikit berkerut. Suho segera merapati adiknya.

Mata Se Hun perlahan-lahan terbuka. Pada masa yang sama, ibunya masuk ke dalam bilik itu untuk mengambil telefonnya yang tertinggal. Suho pantas memandang ke arah Puan Oh.

"Ibu!"

Puan Oh segera mendapatkan anaknya. Dia menekup mulutnya kerana terkejut saat melihat Se Hun sudah pun membuka mata.

"Air..." ujar Se Hun perlahan.

Suho pantas menuang air yang sudah tersedia di sisi katil itu. Dia menopang sedikit kepala Se Hun untuk membantu adiknya untuk minum.

Se Hun kembali berbaring. Puan Oh merapati katil Se Hun.

"Se Hun, syukurlah kalau kamu dah sedar," Puan Oh menggenggam tangan Se Hun. Tetapi lelaki itu pantas menarik tangannya kembali. Kedua-dua mereka memandang sesama sendiri.

"Se... Hun? Siapa Se Hun?" soalnya dengan bingung.

Puan Oh terpana.

"Se Hun..." Puan Oh sekali lagi cuba memegang tangan Se Hun tetapi ditolak.

"Siapa kamu berdua?"

Wajahnya kelihatan seperti dia betul-betul berada dalam keadaan bingung. Dia melihat sekeliling. Semuanya aneh bagi dirinya. Tempat itu terasa asing. Di mana dia berada?

Tiba-tiba kepalanya terasa sangat sakit. Se Hun memegang kepalanya. Kenapa dengan dirinya?

"Arghh!"

Pantas Suho menekan butang merah yang disediakan di sebelah katil Se Hun. Seketika kemudian, Doktor Do dan seorang jururawat masuk.

"Doktor, kenapa kepala saya sangat sakit? Kenapa saya ada dekat hospital? Siapa mereka berdua?" Bertubi-tubi soalan ditanya oleh Se Hun. Puan Oh sudah menangis. Suho cuba menenangkan ibunya.

"Sila bertenang," ujar doktor. Tetapi Se Hun tetap tidak mahu duduk diam. Dia asyik meraung, memaksa doktor menyuntik ubat penenang. Akhirnya tubuhnya diam. Se Hun terlena kembali.

"Puan, boleh ikut saya sebentar?"

Puan Oh dan Suho meninggalkan bilik Se Hun bersama doktor Do. Jururawat masih berada di situ untuk melakukan tugasnya.

"Puan, berat saya nak katakan perkara ini," Doktor Do bermain-main dengan pen di tangannya.

"Kenapa doktor? Kenapa dengan anak saya? Cepat bagitahu!" gesa Puan Oh.

"Macam ni, jika dilihat pada reaksi anak puan sebaik sahaja dia sedar tadi, dan juga pengalaman saya dengan pesakit-pesakit sebelum ini, saya mengesyaki anak puan mengalami amnesia," ujar doktor muda itu.

"M-maksud doktor, hilang ingatan?" Suho mahukan kepastian. Doktor Do mengangguk.

"Kepalanya terhentak kuat pada cermin kereta dan otaknya mengalami pendarahan. Kes ini ada kesan sampingannya," terang doktor itu lagi.

"Jadi Se Hun mengalami amnesia akibat daripada gegaran otak yang dialaminya?"

"Kemungkinan itu boleh berlaku."

Suho bersandar pada kerusi. Lidahnya kelu. Jadi, ini natijah yang harus mereka hadapi akibat kecuaian dirinya. Perasaan bersalah terhadap Se Hun semakin menebal. Ibunya di sebelah dipandang. Maafkan saya, ibu, ujarnya di dalam hati.

"Doktor, ada kemungkinan yang anak saya akan sembuh?" tanya Puan Oh.

"Kami tidak boleh jamin perkara itu. Semuanya bergantung kepada kesungguhannya sendiri untuk sembuh. Buat masa ni, saya nak puan sekeluarga terus berada di samping dia. Cuba bantu dia ingat beberapa perkara yang mudah dahulu seperti namanya dan ahli keluarganya. Tapi, jangan terlalu memaksa. Dia tidak boleh tertekan. Tubuhnya masih lemah."

"Baiklah, doktor," balas Suho.

"Satu perkara lagi, moodnya juga cepat berubah-ubah. Jadi, jangan berkasar dengan dia. Fahami kehendak dia. Kamu boleh bawa dia pulang bila dia dah sedar nanti. Tapi panggil saya nanti, sebab saya nak buat sedikit pemeriksaan," kata Doktor Do.

"Dah boleh pulang?" tanya Suho tidak percaya. Doktor itu mengangguk.

"Ya. Tempat terbaik untuk dia ialah di rumah bersama keluarga. Bukannya hospital."

Selepas bersalaman dan mengucapkan terima kasih, mereka berdua keluar dari ruangan itu.

Doktor Do meneliti fail perubatan milik Se Hun dan Suho.

"Kenapa nama keluarga mereka berdua lain? Seorang, Oh, dan satu lagi Kim. Pelik."

"Ibu masuk temankan Se Hun dulu ya. Saya nak call pakcik dulu. Nak bagitahu yang Se Hun dah boleh keluar hari ni," ujar Suho. Ibunya mengangguk. Mereka berpisah di situ. Ibunya masuk ke dalam lif dan Suho menuju ke kafeteria.

Soo Ro sedang berborang dengan isterinya di tepi kolam.

"Macam mana agaknya dengan Se Hun ya?" Si Young merenung air kolam. Dia sangat risaukan anak majikannya itu. Se Hun dan Suho sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Apa pun yang terjadi pada Suho atau Se Hun, dia perlu ambil tahu dan turut berasa risau.

"Se Hun tu-"

Telefon bimbit Soo Ro berdering.

"Hello, Suho."

"Pakcik, saya nak bagitahu berita gembira ni. Se Hun dah sedar tadi," ujar Suho di hujung talian.

"Ye ke? Syukurlah," Soo Ro lega. Dia tersenyum senang. Si Young memandang suaminya itu. Pasti ada berita gembira, fikirnya.

"Tapi..."

Raut wajah Soo Ro terus berubah apabila mendengar satu patah perkataan itu.

"Doktor kata dia mengalami amnesia," sambung Suho.

Kata-kata Suho itu seolah-olah satu peluru yang tepat menusuk jantungnya. Dia memegang dadanya. Cuba untuk meneutralkan pernafasannya. Si Young menjadi cemas pula.

"Pakcik jangan risau. Kita sama-sama bantu dia. Doktor cakap Se Hun dah boleh balik hari ni. Pakcik datang ambil kami sekarang," ujar Suho sebelum dia mematikan talian.

"Se Hun dah sedar. Tapi, doktor kata dia mengalami amnesia," ujar Soo Ro kepada Si Young tanpa dipinta.

Si Young menggosok bahu suaminya.

"Semuanya akan baik-baik sahaja," ujarnya.

"Se Hun dah boleh keluar hari ni. Abang nak pergi ambil mereka di hospital," Soo Ro bangun dan menggapai kunci kereta di atas meja. Si Young menghantar langkah suaminya dengan pandangan matanya sebelum dia bangun dan masuk ke dalam rumah untuk menyediakan makan tengah hari sebelum Puan Oh pulang.

 

"JOM, masuk."

Se Hun melangkah masuk setelah diajak oleh Suho. Langkahnya terhenti di ruang tamu. Dia terlopong melihat keadaan rumah yang tersergam indah itu. Inikah rumahnya?

"Kenapa, Se Hun?" tanya Puan Oh apabila dia melihat Se Hun hanya berdiri di situ dengan mulut yang ternganga.

"Ini... rumah saya?"

"Ya. Inilah rumah kamu, sayang. Kenapa?"

"Wahh..." Hanya itu yang keluar daripada mulutnya.

"Hun, mari abang tunjukkan bilik kamu," Suho memaut lengan Se Hun dengan tangan kanan memandangkan tangan kirinya memegang tongkat. Suaranya kedengaran ceria sekali. Namun, dia terkejut apabila Se Hun menolaknya.

"Jangan pegang saya," ujarnya dengan tegas.

Terkejut Suho dibuatnya namun dia faham situasi Se Hun. Dia cuba tersenyum. Puan Oh pantas bertindak meleraikan situasi yang terasa janggal itu.

"Se Hun, jom ibu tunjukkan bilik kamu. Lepas tu kita makan sama-sama, ya," Puan Oh memaut lengan Se Hun dan hanya dibiarkan oleh anak bongsunya itu. Wanita itu sempat menjeling kepada Suho dan memberikan isyarat yang semuanya akan baik-baik sahaja. Suho mengangguk tanda faham.

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
No comments yet