Bab 2

Remember You

Suho bangun seawal jam enam pagi dan bersiap untuk ke pejabat. Sejam kemudian dia keluar dari biliknya untuk bersarapan.

Suho terkejut apabila dia memandang ke bawah, Se Hun sedang tidur di sofa di ruang tamu. Dia cepat-cepat turun dan menghampiri adiknya.

"Se Hun," Suho menggoncang lembut bahu adiknya. Budak lelaki itu tidak memberikan respons.

"Se Hun," Suho mencuba lagi. Kali ini sedikit kuat dan Se Hun mula menggeliat malas sebelum dia membuka matanya dan melihat Suho berada di hadapannya. Dia bingkas bangun kerana tidak tahu di mana dia berada.

"Saya dekat mana ni?"

"Kenapa tidur dekat sini?" tanya Suho. Dia membetulkan rambut Se Hun yang menggerbang. Televisyen yang terpasang juga ditutup.

"Semalam tengok movie. Tertidur dekat sini," jawab Se Hun dengan muka yang masih mengantuk. Dia mengerling jam di dinding. Pukul tujuh lima minit pagi. Dia cuma tidur selama empat jam. Memang patutlah jika dia masih mengantuk. Dia menguap sambil menggaru lengannya dan melihat sekeliling rumah.

"Suho, sarapan dah siap," ujar Si Young yang tiba-tiba keluar dari ruangan makan. Dia melihat Se Hun yang sedang menatapnya.

"Kamu sejak bila lagi ada dekat situ?" soalnya hairan.

"Saya tidur dekat sini," jawab Se Hun. Kali ini sudah empat kali dia menguap. Dia bangun dan mencapai telefonnya.

"Abang pergi dulu ya. Nanti saya menyusul. Hati-hati drive. Jumpa nanti. Bye," Satu ciuman di dahi diberikan kepada Suho sebelum dia naik ke atas sambil menggaru punggungnya.

Suho hanya tersengih. Pagi-pagi lagi dia sudah terhibur dengan telatah adiknya itu.

Sambil membetulkan tali lehernya, Suho berjalan ke arah dapur.

"Eh?"

Si Young yang berada di ruang makan, terdengar suara Suho. Dia menyimpul senyum. Pasti dia dah nampak benda tu, desis hatinya.

"Makcik, siapa punya ni?" laung Suho dari dapur. Si Young cepat-cepat menghampirinya.

"Bukalah," arah Si Young. Dia memerhatikan Suho membuka kotak berwarna coklat itu. Sukar untuk meneka apa isi kandungan kotak itu kerana bahagian luar kotak telah dibalut dengan kertas.

Suho menjenguk untuk melihat isinya. Bibirnya pantas mengukir senyuman. Dengan berhati-hati, dia membawa keluar mesin kopi idamannya itu. Dia memintanya malam tadi. Tidak sangka akan dapat secepat itu.

Suho teringatkan kejadian malam tadi di mana dia baru hendak turun ke bawah untuk ke dapur tetapi dia ternampak Se Hun sedang membuka pintu utama rumah itu. Pastinya lelaki itu hendak keluar jika dilihat pada gaya pemakaiannya. Mungkin waktu itu Se Hun keluar untuk membeli benda tersebut.

"Se Hun yang keluar beli malam tadi. Dia cakap nak buat kejutan untuk kamu hari ini. Gembira sungguh makcik tengok muka dia masa nak keluar tu."

"Dia memang pandai gembirakan orang," ujar Suho. Matanya tidak beralih pada mesin kopi itu.

"Dan buat orang risau," sambung Si Young. Suho memandangnya. Akhirnya mereka berdua tersenyum. Betul kata wanita itu. Se Hun sering merisaukannya dengan sikapnya yang tidak boleh dijangka itu.


SUHO sedang leka meneliti beberapa buah fail semasa ada orang masuk ke dalam biliknya secara tiba-tiba.

"Macam mana? Suka tak?"

"Terima kasih, Se Hun."

Sepertinya Suho sudah tahu apa yang dimaksudkan oleh Se Hun.

"Sama-sama."

"Tapi kenapa bagi sekarang? Hari lahir abang lambat lagi," Suho menanti jawapan daripada Se Hun.

"Saya tukar fikiran. Saya bagi mesin kopi ni sebagai hadiah kejutan daripada saya. Abang boleh dapatkan saya untuk hari lahir abang nanti," jawab Se Hun. Akhirnya meletus ketawa Suho.

"Tapi tak sangka secepat ni dapat."

"Takut nanti tak sempat," gumam Se Hun namun masih boleh didengari oleh Suho.

"Apa dia?"

"Tak ada apa. Nanti abang bolehlah buatkan kopi untuk saya selalu," Se Hun cuba menukar topik.

"Boleh. Tak ada masalah. Untuk adik abang, semua abang sanggup," ujar Suho dengan ceria sekali. Nampaknya dia tidak memikirkan kata-kata Se Hun tadi. Se Hun lega.


AROMA kopi merebak ke seluruh dapur sehingga ke ruang tamu. Suho keluar ke ruang tamu dan duduk di meja. Cawan kopinya diletakkan di sebelah komputer ribanya. Dia menyambung kerjanya.

Hampir sejam dia duduk di kerusi membuatkan sendinya lenguh. Tengkuknya yang lenguh diurut. Matanya sakit kerana terlalu lama menghadap skrin komputer. Dia membuka cermin mata yang dipakai dan menggosok matanya.

Puan Oh yang sedang menonton televisyen, memandang jam di dinding kemudian pandangannya beralih kepada Suho yang duduk tidak jauh dari situ.

"Suho, Se Hun pergi ke mana tak balik-balik lagi ni? Dah pukul sebelas setengah ni," Suho memandang ibunya.

"Kejap lagi dia baliklah tu. Ibu jangan risau. Ibu pergilah tidur. Dah lewat ni. Biar saya aje yang tunggu dia," ujar Suho sambil menyusun fail dan kertas yang berselerak di atas meja. Dia menutup komputer ribanya sebelum menghirup kopi yang tinggal separuh itu. Sejak Se Hun membelikannya mesin kopi beberapa hari yang lalu, dia sudah tidak pergi ke Starbuck. Semuanya dia buat sendiri. Lebih jimat dan rasanya juga lebih sedap.

"Kalau macam tu, ibu naik dulu ya," Puan Oh menutup televisyen lalu dia bangun dan naik ke biliknya.

Suho menyelak langsir dan merenung ke luar tingkap. Takut-takut Se Hun sudah balik. Tetapi lima belas minit dia berada di tepi tingkap itu, tiada langsung kelibat kereta Se Hun memasuki halaman rumah.

Satu keluhan dilepaskan serentak dengan kain langsir dilepaskan kembali. Dia merebahkan tubuhnya di sofa.

Jam menunjukkan pukul sebelas lima puluh lima minit malam. Suho mula gelisah. Sekejap dia berdiri, sekejap dia duduk. Semuanya serba tidak kena. Matanya memandang ke arah pintu.

"Mana Se Hun ni?" gumamnya.

Dalam Suho memikirkan tentang adiknya, pintu rumah dibuka dari luar. Suho segera mendapatkan Se Hun.

"Hei, kamu pergi ke mana, Se Hun? Buat abang risau aje," Suho sedikit meninggikan suaranya. Se Hun memandang Suho dengan hairan.

"Kenapa abang cemas semacam ni? Saya bukannya kena culik pun. Cuma pergi ke gim aje, lepas tu lepak sambil minum sekejap," jawabnya. Dia melihat ke tingkat atas. Jarinya dihalakan ke atas.

"Ibu dah tidur ke?" soalnya takut-takut. Suho turut melihat ke atas.

"Dah. Ibu nak tunggu kamu balik tapi abang tak bagi. Abang cakap biar abang aje yang tunggu. Dahlah, abang nak tidur. Esok nak kerja," jawab Suho sambil berjalan menuju ke arah tangga. Se Hun cepat-cepat mengejarnya.

"Terima kasih abang sebab sanggup tunggu adik kesayangan abang ni balik. Sayang abang banyak-banyak," Se Hun memaut bahu Suho dan melekapkan bibirnya pada pipi Suho. Suho hanya membiarkannya. Itulah rutin harian Se Hun, bermanja dengannya. Dia sudah terbiasa dengan semua itu.

Mereka berjalan beriringan naik ke tingkat atas. "Tak malu nak bermanja. Umur dah dua puluh empat."

Mereka berhenti di hadapan pintu bilik Se Hun.

"Mana ada dua puluh empat. Baru dua puluh tiga. Ada lagi-" Kata-katanya terhenti di situ apabila dia melihat jam di tangannya dan jarum jam menunjukkan pukul dua belas satu minit tengah malam.

Tanpa sempat dia berkata apa-apa, Suho berjengket sedikit dan mencium dahinya sebelum mengucapkan selamat hari lahir dan selamat malam. Se Hun tersenyum di hadapan pintu biliknya sehinggalah Suho menghilang ke biliknya yang berada selang satu bilik dari biliknya.

"Abang selalu jadi yang pertama dalam hidup saya," ujar Se Hun perlahan sebelum dia masuk ke dalam biliknya.


"AWAL bangun," sindir Puan Oh semasa sarapan. Se Hun menjeling Suho yang sedang menghirup airnya sebelum duduk di sebelah Suho.

"Semalam balik pukul berapa?" soal Puan Oh lagi apabila Se Hun tidak berkata apa-apa. 

"Ibu, lupakan ajelah pasal semalam tu. Dia bukannya pergi ke mana pun. Cuma pergi gim lepas tu minum dengan kawan-kawan dia," Suho yang sedari tadi mendiamkan diri, akhirnya bersuara.

"Ibu bukannya apa. Sekarang ni kan banyak kes yang melibatkan anak muda. Ibu cuma risaukan Se Hun. Tak naklah anak ibu terlibat dengan aktiviti yang tak bermoral," jelas Puan Oh.

Se Hun menarik nafas lega. Fikirnya, dia akan dimarahi oleh ibunya.

"Ibu jangan risaulah. Anak bongsu ibu ni baik. Takkan terlibat dengan benda-benda macam tu," ujar Se Hun.

Puan Oh hanya tersenyum ke arah anak bongsunya itu. Hari ini hari istimewa anaknya, dia tidak mahu memarahi Se Hun.

"Se Hun," Se Hun mengangkat wajahnya apabila ibunya memanggil namanya.

"Ya?"

"Selamat hari lahir."

"Terima kasih ibu. Tapi ibu lambat lapan jam," Se Hun berseloroh.

"Amboi, berkira sangat dengan ibu ni," ujar Puan Oh. 

"Mestilah. Abang yang paling awal wish dekat saya," jawabnya lagi.

"Semua benda nak dibandingkan dengan abang dia tu. Habis ibu ni siapa? Tak sayang ibulah ni," Puan Oh berpura-pura merajuk. Pantas Se Hun menarik tangan ibunya dan melekapkan belakang tangan itu ke pipinya.

"Ibulah orang yang paling istimewa di hati saya."

Puan Oh tersenyum bahagia. Doanya semoga anaknya diberi kebahagiaan yang berkekalan.

"Se Hun, kejap lagi ikut abang," ujar Suho. Selepas selesai bersarapan, mereka duduk berdua di tepi kolam rumah. Hari itu mereka berdua masuk ke pejabat lewat daripada hari biasa.

Se Hun memandang Suho di sebelahnya. "Nak pergi ke mana?"

"Adalah," Suho membiarkan Se Hun dalam tanda tanya.

"Jomlah," Suho bangun dan menepuk bahu Se Hun. Se Hun mengeluh perlahan sebelum dia bangun dan mengekori langkah abangnya. Entah ke mana abangnya itu hendak membawanya.

"Abang, bagitahulah kita nak pergi ke mana? Tak bestlah main rahsia-rahsia macam ni," Se Hun bersuara semasa dia masuk ke dalam Aventador Roadster putih miliknya.

"Kalau abang bagitahu kamu, tak surpriselah. Dah masuk," balas Suho. Dia masuk ke tempat pemandu manakala Se Hun masuk ke tempat duduk di sebelahnya. Sudah menjadi kebiasaan mereka untuk bertukar-tukar kereta seperti itu.

Kereta putih itu bergerak laju membelah jalan raya. Lebih kurang sepuluh minit kemudian, mereka berhenti di hadapan sebuah bangunan yang kelihatan seperti baru siap dibina. Se Hun turun daripada kereta dengan wajah yang bingung. Kenapa Suho membawanya ke situ?

Suho keluar daripada kereta. Matanya dihalakan kepada bangunan itu sebelum dia memandang Se Hun. Senyuman penuh makna di bibirnya itu meninggalkan banyak tanda tanya kepada Se Hun.

"Se Hun," panggil Suho. Se Hun memandangnya.

"Selamat hari lahir. Ini hadiah daripada abang dengan ibu," ujar Suho sambil tersenyum.

Se Hun masih terpinga-pinga. Dia memandang Suho kemudian dia melihat di sekelilingnya. Suho hairan melihat adiknya itu seperti tercari-cari sesuatu.

"Kamu cari apa?" soalnya. Dia mendekati Se Hun.

"'Ini'? 'Ini' tu apa? Mana? Tak ada apa pun kat sini," ujarnya hairan. Suho tersenyum kembali. Dia bergerak ke belakang Se Hun, kedua-dua tangannya diletakkan pada bahu adiknya. Dia menolak tubuh Se Hun supaya menghadap ke arah bangunan berwarna krim itu.

"Ini hadiah kamu," ujarnya. Se Hun memandang bangunan itu dengan wajah yang terkejut.

"I-ini? B-ba-bangunan ni? Hadiah saya?" soal Se Hun tidak percaya. Mulutnya ternganga.

Suho mengangguk. Se Hun pantas memeluknya erat. Dia tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan perasaannya pada waktu itu. Dia teramat gembira.

"Terima kasih, abang," ucapnya usai pelukan dileraikan.

"Jomlah masuk. Tengok bahagian dalam," Suho menarik Se Hun masuk ke dalam bangunan itu.

Bangunan itu ada tiga tingkat. Puan Oh yang pada mulanya mencadangkan kepada Suho untuk menghadiahkan sebuah bangunan kepada Se Hun. Suho hanya mengikuti rancangan ibunya itu.

"Jadi apa rancangan kamu lepas ni?" tanya Suho semasa mereka melangkah keluar dari bangunan itu.

"Saya masih lagi terkejut. Tak sempat lagi nak fikir apa nak dibuat dengan bangunan ni," jawab Se Hun. Pintu kereta dibuka. Dia memandang bangunan itu sekali lagi sebelum masuk ke dalam kereta.

Sepanjang dua puluh empat tahun dia hidup, dia langsung tidak pernah terfikir yang dia akan memikili sebuah bangunan di bawah namanya sendiri.

Sebenarnya, dia kerap lalu di kawasan itu kerana jarak perjalanan untuk ke gim lebih dekat berbanding jalan lain. Lagi pula, ada sebuah restoran yang menjadi pilihan dia dan kawan-kawannya untuk melepak selepas pulang dari gim.

Baru dua hari lepas dia makan di restoran di hadapan bangunan itu. Tidak menyangka pula bangunan itu sebenarnya miliknya.

"Cantiklah bangunan tu. Saya suka."

Mereka berdua berada di lampu isyarat. Suho memandang Se Hun sekilas.

"Baguslah kalau kamu suka. Abang gembira mendengarnya. Kalau kamu nak tahu, semua design bangunan tu, daripada bahagian dalam sampailah ke luar, abanglah yang tentukan. Ibu cuma uruskan soal kos aje," jawab Suho. Bila ibunya memberitahu soal rancangan untuk memberikan Se Hun sebuah bangunan, Suho terus bersetuju. Dia yakin Se Hun pasti gembira jika dia dapat tahu.

Se Hun melentokkan kepalanya pada bahu Suho. Kasihnya pada lelaki itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Apa sahaja yang dia lakukan, pasti dia akan teringatkan Suho. Abangnya itu adalah penguat semangatnya untuk terus hidup.

"Mula-mula abang tak tahu nak letak warna apa. Manalah tahu kamu tak suka. Mengamuk pulak nanti. Last-last, abang pilih warna krim. Nasib baiklah kamu boleh terima," Suho menekan minyak apabila lampu isyarat bertukar hijau.

"Saya okey aje warna apa pun. Tak kisah. Asalkan abang yang pilih, semua saya setuju," jawab Se Hun.

Suho menggosok perlahan kepala Se Hun dan dia terus menumpukan perhatian kepada pemanduannya. Dia mengerling jam di tangan. Pukul dua petang. Perutnya sudah berbunyi. Dia mesti mencari restoran untuk mengisi perut. Pedal minyak ditekan dan jarum pada meter kereta juga semakin bergerak ke angka yang besar.

Se Hun masih menyandarkan kepalanya pada bahu Suho. Dia mendongakkan kepalanya dan memandang Suho. Lama dia menatap Suho.

"Hari ni abang nampak kacak daripada biasa," Se Hun bermain dengan telinga Suho. Suho cuba mengelak kerana geli. Se Hun ketawa mengekek kerana dapat mengenakan abangnya. Kali ini dia bermain dengan dagu Suho pula. Digeletek dagu lelaki itu membuatkan Suho menjerit kegelian.

"Se Hun, abang tengah drive ni," Suho menyuruh adiknya berhenti.

"Abang tak tahan geli ya," Se Hun tidak menghiraukan kata-kata Suho malah dia terus menggeletek Suho.

Ada sebuah treler yang sarat dengan muatan membelok dari kiri jalan. Suho yang pada masa itu sedang laju, tidak sempat membrek, terus melanggar treler itu dan terpesorok ke bawah treler itu. Suho sempat melihat Se Hun tidak sedarkan diri dengan kepalanya terhantuk pada papan pemuka kereta sebelum pandangannya gelap. Kedua-dua mereka tidak sedarkan diri dan darah memenuhi bahagian dalam kereta itu. Sebahagian daripada kereta itu remuk.


PUAN Oh sedang membaca majalah sementara Si Young sedang mengemas rumah.

PRANG!!

Puan Oh cepat-cepat menoleh. Si Young sedang mengutip kaca yang pecah di lantai.

"Ada apa, Si Young?"

"Bingkai jatuh, Puan. Maaf, saya pun tak tahu macam mana saya boleh terlanggar rak ini," jawabnya dengan nada yang ketakutan. Bimbang dimarahi oleh majikannya.

Puan Oh bangun dan menghampiri tempat itu.

"Lain kali hati-hati. Kalau luka macam mana?" ujarnya. Puan Oh baru sahaja hendak menunduk untuk mengambil gambar yang jatuh itu namun cepat-cepat dihalang oleh Lee Si Young.

"Eh, Puan jangan pegang. Nanti luka. Biar saya yang uruskan semua," Si Young hendak menarik Puan Oh dari situ.

"Tak apa. Kamu pergi ambil vakum dan plastik. Kutip serpihan kaca yang boleh diambil dan masukkan dalam plastik. Lepas tu vakum kawasan ini. Pastikan tiada satu pun serpihan yang tinggal," Puan Oh memberi arahan. Si Young cepat-cepat berjalan pergi.

Puan Oh mengutip gambar yang jatuh. Dia agak terkejut kerana gambar itu ialah gambar Se Hun dan Suho. Tiba-tiba dia berasa tidak sedap hati. Dia membawa gambar itu ke dalam pelukannya. Semoga anak-anak aku baik-baik saja.

KRINGGGG!!

Puan Oh masih memegang gambar itu. Dia terus mendapatkan telefon. Entah kenapa jantungnya begup begitu kencang.

"Hello,"

Suara seorang perempuan menyapanya di hujung talian.

"Ya, hello."

"Selamat petang, boleh saya tahu kalau ini keluarga Kim?"

"Maaf, mungkin cik salah nombor. Ini keluarga Oh."

"Kim Jun Myeon ni anak puan?"

Jantung Puan Oh semakin berdegup laju. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum menjawab, "Ya."

"Puan, puan diarahkan untuk datang ke hospital sekarang juga. Dengan kadar yang segera," jawab jururawat itu.

"H-hospital? K-ke-kenapa?" Puan Oh memegang dadanya.

"Anak puan, Oh Se Hun dan Kim Jun Myeon terlibat dalam kemalangan. Keadaan Oh Se Hun parah. Pihak kami perlukan persetujuan segera daripada pihak keluarganya untuk melalukan pembedahan. Jadi Puan perlu datang ke hospi-"

BUKK!

"Puan? Hello? Puan Oh?"

Tiada sahutan. Jururawat itu memandang hairan ke arah telefon itu sebelum dia meletakkan gagang telefon.

Si Young keluar dari bilik stor dan berjalan menuju ke arah ruang tamu. Dia terkejut melihat Puan Oh sudah terbaring tidak sedarkan diri di tepi sofa. Gagang telefon jatuh terjuntai dan ada satu gambar masih dalam genggamannya.

"PUAN!!"

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
No comments yet