Bab 1

Remember You

"Se Hun, bagi balik!"

"Tak nak! Abang tangkaplah saya kalau dapat!"

Jam baru menunjukkan pukul tujuh setengah pagi tetapi suasana di dalam rumah dua tingkat itu sudah riuh-rendah dengan suara dua orang lelaki yang saling kejar-mengejar antara satu sama lain. Si abang yang bertubuh kecil cuba menyaingi langkah si adik yang tinggi itu.

Pembantu rumah mereka membawa keluar pinggan untuk menyiapkan sarapan untuk keluarga itu. Dia terkejut apabila si adik datang menerpanya dan menyorok di belakangnya walaupun sudah jelas yang tubuhnya jauh lebih kecil.

"Se Hun, apa ni?" Si Young cuba untuk mengimbangi tubuhnya agar tidak jatuh apabila Se Hun memegang kedua belah bahunya dan menghayunkan badannya ke kiri dan ke kanan sesuai dengan pergerakan Suho yang berada di hadapannya apabila lelaki itu cuba menangkapnya.

"Makcik, tolong saya," adu Se Hun.

"Se Hun, pulangkan balik telefon abang," Suho cuba menangkap Se Hun tetapi lelaki itu pantas mengelak.

"Tak nak. Saya nak bagitahu ibu yang abang dah ada buah hati. Makcik nak tahu tak, abang dah ada buah hati. Cantik," Se Hun cuba membuka telefon Suho tetapi malangnya telefon itu memerlukan kata laluan dan dia tidak tahu akan perkara itu. Kerana kelekaannya, Suho berjaya merampas kembali telefonnya dan cepat-cepat menyimpannya ke dalam poket seluarnya. Kemeja yang dipakai dibetulkan sebelum dia duduk di meja makan.

Si Young menuang kopi ke dalam cawan dan meletakkannya di hadapan Suho. Anak majikannya itu mendongak memandangnya.

"Mana ibu?" tanya Suho.

"Puan Besar awal-awal lagi dah keluar," jawab Si Young. Selepas menguruskan sarapan Suho dan Se Hun, dia terus bergerak ke dapur untuk menyelesaikan kerjanya.

Kening Suho bercantum. Dia tertanya-tanya ke mana ibunya itu keluar di awal pagi sebegitu. Tambahan pula hari itu ialah hari Ahad. Selalunya wanita itu akan duduk di rumah sahaja terutamanya pada waktu pagi.

"Semalam kamu cakap nak ke rumah kawan kamu yang sambut hari lahir tu. Dia tinggal dekat mana?"

"Suncheon," jawab Se Hun sebelum dia menggigit rotinya.

"Tengah hari nanti abang ada meeting dengan pihak Nature Republic. Abang lupa nak bagitahu semalam," ujar Suho. Se Hun hanya mengangguk.

"Abang nak guna kereta saya ke? Kalau tak saya suruh pakcik aje hantar saya," Suho pantas mengeleng.

"Tak apa. Abang guna kereta saya aje. Kamu gunalah kereta kamu."

Selepas abangnya keluar, Se Hun keluar dari rumah untuk mengelap keretanya. Rasanya sudah lama dia tidak menggunakan Lamborghini Aventador Roadster putihnya itu. Selama ini dia kerap kali menggunakan kereta Suho. Abangnya memiliki kereta dengan model yang sama tetapi warna yang berlainan. Suho memilih warna kuning.

Soo Ro sedang menyiram pokok bunga semasa dia melihat anak majikannya itu sedang berdiri di sebelah keretanya.

"Se Hun, nak keluar ke?" laung Soo Ro yang berada tidak jauh dari situ.

"Ya," jawab Se Hun sambil mengangguk. Soo Ro pantas menutup air dan menghampiri Se Hun.

"Biar pakcik lap kereta. Kamu masuk ke dalam dan bersiap," Soo Ro cuba mengambil kain yang dipegang oleh Se Hun tetapi dia terkejut apabila Se Hun melarikan kain itu.

"Biar saya yang buat. Bukannya susah pun. Pakcik tengah siram bunga, buat ajelah kerja pakcik. Kenapa nak kacau kerja saya pulak? Ini kereta saya."

"Se Hun, kalau Puan Besar tahu kamu buat kerja ni, nanti pakcik pula yang kena marah," Soo Ro tetap berkeras mahu mengambil kain yang berada di tangan Se Hun.

"Kalau ibu marah pakcik, nanti saya marah ibu balik. Pakcik pergilah sambung kerja pakcik. Saya tak pandai siram bunga. Kalau mati bunga-bunga kesayangan ibu tu, semuanya salah pakcik."

Mendengar sahaja perkataan kesayangan, Soo Ro menelan air liurnya. Kecut perutnya membayangkan wajah garang Puan Oh. Dia pernah secara tidak sengaja mematahkan sebatang bunga ros kesayangan Puan Oh sebulan yang lalu. Apa lagi, mengamuk sakanlah wanita itu.

Soo Ro cepat-cepat berlalu dari situ dan kembali menyambung tugasnya. Dia menyanyi tidak jelas untuk menutup rasa gugupnya.

Sementara itu, Si Young bercekak pinggang di dapur. Matanya tajam memandang kaunter dapur yang terletak di tengah-tengah ruangan itu dengan hairan. Rasanya dia seorang sahaja yang berada di dapur sedari tadi tetapi bagaimana pula kain pengelapnya boleh hilang?

Dia keluar dari dapur dan mencari Se Hun. Hatinya kuat mengatakan yang itu perbuatan anak bongsu majikannya.

Setelah puas mencari di dalam rumah, dia menuju ke pintu utama.

"Se Hun!" Si Young bercekak pinggang di hadapan pintu apabila dia melihat lelaki itu sedang memegang kain pengelap berwarna biru yang dicarinya.

"Kenapa curi kain pengelap makcik? Nak buat apa?" Si Young masih bercekak pinggang. Matanya sengaja dibuntangkan untuk menakutkan Se Hun.

"Nak lap kereta," jawab Se Hun dengan wajah yang polos. Soo Ro yang berada tidak jauh dari situ sesekali memandang isterinya yang sedang bercakap dengan Se Hun.

"Itu kain yang makcik guna untuk lap meja. Mana boleh guna untuk kereta kamu. Kain tu dah kotor. Bak sini. Biar makcik ambil kain yang lain," Si Young menghulurkan tangannya.

Sambil tersengih, Se Hun meletakkan kain itu ke atas tapak tangan Si Young. Wanita itu membuat muka angkuh lalu masuk ke dalam rumah.

Semasa Si Young memusingkan badannya dan hendak masuk ke dalam rumah, Se Hun menyergahnya dengan menepuk kedua belah bahu Si Young. Apa lagi, melatahlah wanita itu. Se Hun ketawa terbahak-bahak kerana dapat mengenakan pembantu rumahnya itu.

"Bertuah punya budak."

Akibatnya, satu tamparan hinggap di bahunya. Se Hun masih lagi dengan sisa ketawanya saat Si Young masuk ke dalam rumah.

Soo Ro hanya tersenyum sambil menggelengkan kepalanya melihat telatah anak majikannya itu. Se Hun... Se Hun... Tak habis-habis nak menyakat orang, ujarnya di dalam hati.

 

"AKU dalam perjalanan," ujar Se Hun kepada orang yang bercakap dengannya di hujung talian.

"Okey. Hati-hati," balas Kai kembali. Talian dimatikan. Telefonnya dicampak ke tempat duduk sebelah. Se Hun terus menumpukan perhatian kepada jalan.

Perbincangan di antara Suho dengan kliennya berjalan dengan lancar. Nature Republic mahu mengadakan showcase istimewa sempena ulang tahun kesepuluh mereka jadi mereka mahu menjemput beberapa artis naungan Miracle Star Entertainment untuk menyertai showcase tersebut. Tambahan pula, ada beberapa orang artis yang menjadi duta produk mereka buat masa ini. Perbincangan mereka dibuat di sebuah hotel di Cheongdam-dong.

"Terima kasih atas kerjasama ni, Encik Kim," Lee Soo Man bersalaman dengan Suho.

"Sama-sama, Encik Lee. Pihak kami juga ingin berterima kasih kerana menjemput kami," jawab Suho.

Perbincangan mereka ditamatkan dengan sesi makan tengah hari dan semuanya dibayar oleh Suho.

Suho memeriksa telefonnya selepas mereka selesai makan kerana ada mesej masuk. Lee Soo Man perasan yang Suho tersengih sambil memandang telefonnya. Dia turut tersenyum memandang anak muda itu.

 

"JADI sekarang kau kerja dengan ayah kau ke?"

Kai sedang duduk berborak dengan Se Hun di ruang tamu. Semua tetamu yang dijemput untuk majlis hari lahirnya telah pulang. Jadi, tinggallah mereka berdua di rumah itu.

"Tak adalah. Aku mana minat bidang tu. Aku kerja dekat kedai perabot," jawab Kai.

Mata Se Hun melilau sambil melihat sekeliling rumah Kai.

"Kau memang tinggal sendirian ke?"

"Ya. Lepas aku dapat kerja, aku menumpang di rumah kawan Taemin dalam tiga bulan macam tu. Bila duit gaji aku cukup, aku sewa rumah ni. Walaupun kecil, cukuplah untuk aku seorang tinggal di sini."

"Kau masih berhubung dengan Taemin? Dah lama aku tak jumpa dia. Sejak tamat sekolah, rasanya baru sekali aku jumpa dia," Se Hun menghabiskan sisa air di dalam gelas.

"Dia masih sama macam dulu. Tak berubah langsung. Sekarang dia dah jadi koreografer. Dah ada studio sendiri. Nanti ada masa, kita jumpa dia sama-sama," Kai bersandar pada sofa. Kakinya disilangkan.

"Kau kaya. Ayah kau ada syarikat sendiri. Kenapa kau pilih kerja dekat kedai perabot? Kenapa susahkan diri kau sewa rumah ni?"

Se Hun masih tertanya-tanya kenapa Kai memilih jalan yang sukar untuk meneruskan hidupnya sedangkan dia dilahirkan dalam keluarga yang berada. Bukan dia tidak tahu reputasi syarikat milik ayah lelaki itu yang dikagumi dalam dunia perniagaan.

Kerana malas hendak mendengar Se Hun bertanya lebih banyak lagi soalan, akhirnya Kai membuka cerita.

"Aku cuba untuk belajar bagaimana rasanya bermula daripada bawah. Kau tahu kan dulu ayah aku bukannya orang senang. Bukan macam kau. Ayah aku dah lalui macam-macam kesusahan sebelum dapat capai apa yang dia ada sekarang.

Memang dia ada tawarkan aku jadi pegawai kewangan dekat syarikat dia tapi aku tolak mentah-mentah. Aku tak nak guna kedudukan aku sebagai anak CEO untuk dapatkan kerja. Aku nak jugak merasa macam mana cari duit sendiri. Seronok juga kan hidup macam ni?"

Kata-kata Kai membuatkan Se Hun ketawa besar. "Seronok kau cakap?"

"Yelah. Aku tak perlu nak pening kepala dengan semua masalah dalam syarikat, tak perlu nak perah otak nak selesaikan kira-kira, tak perlu hadiri macam-macam jenis meeting. Aku cuma perlu bangun pagi dan pergi kerja. Pukul lima dah boleh balik," jawab Kai dengan selamba.

Dalam diam, Se Hun memikirkan kata-kata Kai. Minggu lepas dia baru mengamuk di pejabat kerana salah seorang artis lelaki terlibat dalam kes langgar lari. Pihak keluarga mangsa mahu menyaman syarikatnya kerana kelalaian dalam menjaga artis naungannya. Tiba-tiba sahaja kepalanya terasa berdenyut-denyut. Harap-harap semuanya akan selesai dengan baik.

 

SELEPAS tiga jam lebih meredah kesesakan lalu lintas, akhirnya Se Hun tiba di rumah saat semua orang sudah selesai makan malam. Suho sedang menonton televisyen seorang diri di ruang tamu.

Se Hun perlahan-lahan menutup pintu dan menghampiri Suho yang sedang leka menonoton berita.

"Abang!" sergahnya membuatkan Suho terkejut. Dia pantas melabuhkan punggungnya di sebelah Suho. Tangannya melingkar pada leher abangnya.

"Rindu dekat abang," ujarnya manja.

Suho terus menumpukan perhatian kepada Se Hun dan tidak menghiraukan televisyen yang terpasang.

"Kenapa balik lambat? Abang dah risau tau."

"Ada kesesakan lalu lintas. Menyesal tak guna jalan pintas tadi. Kalau tak, dah lama sampai. Saya leka berborak dengan Kai sampai tak sedar hari dah lewat," Se Hun merehatkan kepalanya di atas bahu abangnya.

"Ibu ada dekat atas. Kamu pergilah mandi. Dah makan ke belum ni?" Se Hun tidak menjawab tetaoi menggelengkan kepalanya sambil memasang wajah comel di hadapan Suho. Kerana tidak tidak tahan melihatnya, Suho segera mencubit pipi Se Hun membuatkan adiknya menjerit kesakitan.

"Pergilah mandi. Nanti abang temankan kamu makan," ujar Suho umpama seorang ibu bercakap dengan anaknya yang berumur lima tahun. Se Hun mengangguk. Pipi Suho menjadi mangsa apabila dia melekapkan bibirnya pada pipi abangya yang gebu itu sebelum bangun dan naik ke biliknya.

Lima belas minit kemudian, Se Hun turun memakai baju tidur berwarna biru gelap dengan motif bintang berwarna putih. Dia menuju ke ruang makan apabila mendengar suara abangnya berborak dengan Si Young.

"Kenapa balik lambat?" Si Young menuangkan air ke dalam gelas untuk Sehun.

"Jalan sesak."

Pada masa itu, Soo Ro masuk ke ruang makan itu.

"Pakcik, jomlah makan sama-sama. Temankan saya," pelawa Sehun namun ditolak oleh Soo Ro. Dia menarik kerusi dan duduk di sebelah kiri Suho yang mana bertentangan dengan Se Hun.

"Kamu makanlah. Pakcik tak ada selera," jawab Soo Ro. Dia cuma meneguk air kosong. Suho ternampak Se Hun menganggukan kepalanya dan terfikir apa yang bermain di fikiran adiknya itu.

"Saya faham. Kadang-kadang masakan makcik tak adalah sedap mana pun. Saya faham kalau pakcik tak ada selera," ujar Sehun dengan selamba sebelum menyuap nasi ke dalam mulutnya. Soo Ro yang mendengar kata-kata Se Hun hampir tersedak air yang diminumnya.

"Budak bertuah ni," Si Young yang kebetulan berada di belakang Se Hun, memukul lembut bahu lelaki itu.

Suho dan Soo Ro ketawa dengan kerenah Se Hun yang tidak pernah kering idea untuk mengenakan Si Young.

"Pakcik nampak tak sihat," Kali ini Se Hun betul-betul maksudkannya. Wajahnya juga kelihatan serius.

"Entahlah. Rasa tak sedap badan. Macam nak demam."

"Kebetulan esok saya ada kerja dekat luar. Jadi pakcik berehat ajelah dekat rumah. Biar saya drive sendiri esok."

Suho tidak mahu menyusahkan pemandu keluarga mereka itu. Jadi dia bercadang hendak memandu keretanya sendiri sahaja esok. Lagipun sudah lama dia tidak memandu sendiri memandangkan Se Hun yang sering menggunakan keretanya. Selalunya dia pergi dengan Soo Ro ke pejabat. Walaupun mereka bekerja di bawah bumbung yang sama, tetapi mereka tidak pergi bersama kerana Se Hun selalunya berangkat ke pejabat sedikit lewat semata-mata mahu bersarapan dengan ibunya.

Jika hari Jumaat, Suho dan Se Hun akan pulang awal ke rumah. Pukul empat mereka sudah ada di rumah. Mereka akan keluar makan malam di luar. Selepas itu, mereka pergi bermain bowling, menonton wayang ataupun mengambil angin di Sungai Han. Itulah aktiviti harian mereka menjelang hari minggu. Sehun tahu abangnya penat dengan kerja di pejabat sepanjang minggu, jadi dia yang mula-mula mencadangkan untuk meluangkan masa dengan melakukan aktiviti di luar dengan abangnya. Lama-kelamaan, perkara itu menjadi rutin mereka. Jika Suho tidak larat untuk keluar sekalipun, mereka berdua akan membentangkan kain di atas rumput di halaman rumah mereka dan berbaring bersama untuk melihat bintang.

Malam itu, entah apa mimpi Sehun mahu mengajak Suho berbaring di luar walaupun hari itu ialah hari Ahad.

"Tenangnya rasa," ujar Sehun sambil merebahkan badannya di sebelah Suho. Tangannya dilipat di belakang kepalanya dan dia menatap langit.

Suho membetulkan selimut yang menutup badan mereka berdua. "Rasa macam nak duduk dekat sini sampai bila-bila."

"Bila duduk dekat sini, berbaring di bawah bintang macam ni, ada satu lagu yang sesuai untuk suasana macam ni," Sehun berjeda.

"Little Star," Kedua-dua mereka menjawab benda yang sama.

"Wah, citarasa kita memang sama," Suho seakan tidak percaya mereka memikirkan benda yang sama.

"Cuba tengok. Ada satu bintang yang paling terang. Semua bintang jauh dari dia," Se Hun menghalakan jarinya pada satu bintang yang kelihatan paling terang antara bintang-bintang yang lain di sekitarnya.

"Bintang tu ialah saya," ujar Se Hun lagi. Suho memerhatikan bintang itu. Sukar untuk dia mengalihkan pandangannya kerana bintang itu terlalu cantik.

"Sendirian dekat sana. Nanti bila saya sendirian dekat sana, abang kena datang cepat-cepat tau. Saya takut bila abang tak ada dengan saya. Saya akan tunggu abang."

Suho memandang Se Hun. Langsung dia tidak menyangka yang Se Hun akan berkata begitu. Adiknya tidak membalas pandangannya tetapi leka memandang bintang itu sambil tersenyum lebar.

"Sehun..."

"Bila hari lahir abang nanti, abang nak hadiah apa?" soal Se Hun secara tiba-tiba. Dari topik bintang, dia melompat ke topik lain pula. Mungkin tidak mahu kesedihan menyelubungi mereka.

"Hah?" Suho yang terkejut dengan soalan Se Hun itu tidak dapat memproses dengan betul apa yang baru dia dengar.

"Saya tanya, abang nak hadiah apa untuk hari lahir abang nanti?" tanya Sehun sekali lagi.

"Umm... abang nak Se Hun," jawab Suho kemudian dia ketawa. Se Hun mengeluh.

"Apa ni? Abang jawablah betul-betul. Tak bestlah macam ni," rungut Se Hun.

"Betullah, abang nak Sehun."

Kali ini Sehun tidak memberikan sebarang reaksi.

"Okey, kali ni abang serius. Untuk hari lahir abang nanti, abang nak mesin kopi."

Dengan senyuman yang penuh makna di bibirnya, Se Hun mengangguk membuatkan Suho berasa curiga.

"Cakap dengan abang! Apa yang kamu sedang fikirkan?" Suho mencekak kolar baju Se Hun tetapi adiknya itu cuma ketawa kuat.

Suho memusingkan badannya ke sebelah kanan dan menghadap Se Hun. Tangan sebelah kirinya direhatkan di atas dada bidang Se Hun.

Se Hun mengeluarkan tangan kirinya dan memeluk bahu Suho.

"Abang tak boleh bayangkan bagaimana hidup abang kalau kamu tak ada."

"Saya pun sama. Kalau abang tak ada, dunia saya terasa gelap. Saya tak ada tempat nak bergantung. Abanglah segala-galanya dalam hidup saya. Tanpa abang, saya akan mati," Sebaik sahaja Se Hun menghabiskan kata-katanya, Suho meletakkan jari telunjuknya pada bibir Se Hun untuk menyuruhnya diam.

"Jangan cakap macam tu. Abang takkan biarkan perkara itu terjadi. Kalau boleh, abang sanggup korbankan nyawa abang untuk lindungi kamu," Suho mula berasa sebak. Dia tidak boleh bayangkan bagaimana hidupnya tanpa Se Hun. Sejak dari kecil lagi mereka sudah rapat. Mereka ibarat isi dengan kuku. Apa sahaja dia sanggup lakukan untuk Sehun walaupun melibatkan nyawanya.

"Abang kena janji. Jangan pernah tinggalkan saya."

"Abang janji."

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
No comments yet