Bab 5

Remember You

Se Hun terjaga daripada tidur apabila dia terasa ada cahaya masuk ke dalam biliknya. Dia bangun dengan terpisat-pisat dan bersandar pada kepala katil. Siapa pula yang selak langsir ni?

Kemudian, pintu biliknya diketuk sebanyak dua kali sebelum Suho menjengukkan kepalanya ke dalam bilik itu.

"Dah bangun?" tegur Suho dengan ceria sekali. Seolah-olah tiada apa yang berlaku antara dirinya dan lelaki yang sedang memandangnya dengan aneh itu.

"Nak apa?" soalan Suho dibalas dengan soalan. Malah raut wajahnya sangat dingin. Sedingin layanannya pada Suho.

"Ibu suruh jenguk kamu. Kejap lagi kan kamu berdua nak keluar," Suho masuk ke dalam bilik tidur bertemakan warna putih itu.

Se Hun langsung tidak memandang wajah Suho.

"Nanti saya turunlah. Nak mandi kejap."

Masing-masing tidak berkata apa-apa untuk beberapa minit sebelum Se Hun bersuara.

"Ada apa-apa lagi ke?" Se Hun rimas dengan Suho yang masih lagi berdiri di tepi katilnya itu. Kalau tak ada apa-apa yang nak diberitahu, keluar ajelah. Buat semak aje, ujarnya di dalam hati.

Suho mematah-matahkan jarinya sambil mencari ayat yang sesuai.

"Abang dah nak pergi kerja ni."

Suho menanti jawapan daripada Se Hun apabila adiknya itu memandangnya.

"Dah tu? Pergi ajelah. Buat apa nak bagitahu?" jawab Se Hun dengan selamba. Apa masalah dia ni?

"Yelah. Abang pergi dulu. Abang cuma nak cakap kalau dulu kamu akan peluk abang sebelum abang-"

"Peluk?"

Suho terkejut apabila Se Hun memotong percakapannya.

"Ya."

Se Hun membuat reaksi wajah seperti geli dengan perkataan itu.

"Saya nak peluk abang? Kenapa nak peluk-peluk pula ni? Nak pergi kerja aje pun. Bukannya nak pergi ke luar negara," ujar Se Hun. Suho tergamam dengan kata-kata yang keluar daripada mulut Se Hun itu. Kenapa adiknya berubah sebegitu rupa?

"Dahlah. Saya nak mandi. Abang keluarlah. Nanti lewat," Se Hun seolah-olah menghalau Suho keluar.

Dia bangun dan mencapai tuala yang tersangkut pada tempat penyangkut dan terus masuk ke dalam bilik air.

Suho tertunduk di situ. Remuk hatinya dengan layanan Se Hun terhadapnya. Nampaknya Se Hun betul-betul dah berubah dan dia perlu biasakan diri dengan semua itu.

Dia melangkah keluar dari bilik itu dengan langkah yang lemah sebaik sahaja dia mendengar bunyi pancuran air dari dalam bilik air.

Soo Ro menjenguk ke dalam rumah apabila Suho masih belum keluar. Jam sudah menunjukkan pukul tujuh empat puluh minit pagi. Dia ternampak Suho turun dari tingkat dua jadi dia menutup kembali pintu.

Puan Oh hairan melihat wajah Suho yang muram itu. Seingatnya, Suho begitu ceria sekali sebelum dia naik untuk berjumpa dengan Se Hun sebelum dia berangkat ke pejabat. Adakah semuanya kerana Se Hun?

Suho mendekati ibunya yang sedang makan.

"Ibu, saya pergi dulu," ujar Suho. Puan Oh bangun dan memeluk anaknya.

"Hati-hati, sayang."

Dia menghantar langkah anaknya dengan perasaan yang bercampur baur. Semoga tabah, anakku, desisnya.

"Kamu yakin ke dah kuat ni?" soal Soo Ro semasa di dalam kereta. Suho mengangguk. Dia cuba kelihatan ceria di hadapan pemandunya itu.

"Pakcik jangan risaulah. Saya dah sembuh. Kalau saya tak jenguk pejabat tu, entah apa jadi kat situ. Huru-hara dibuatnya. Se Hun pula masih cuti. Takkan saya pun nak ambil cuti juga? Nanti banyak pula kerja tertangguh."

Soo Ro hanya mengangguk. Dia tidak membalas kata-kata Suho kerana dia tidak tahu apa-apa dalam bidang perniagaan. Lebih baik dia diam daripada berpura-pura tahu semuanya.

Kereta itu meluncur laju membelah jalan raya. Mereka berdua tenggelam dalam dunia masing-masing.

 

GAMBAR yang tersangkut di dinding dipandang. Anak lelakinya itu kelihatan sangat segak di dalam gambar. Ramai yang tergila-gilakan anaknya kerana ketampanannya yang diwarisi daripada ayahnya. Dia masih ingat saat anaknya pulang ke rumah dan membawa berita yang sangat mengejutkan dirinya.

"Saya dah kahwin."

"Bila?"

"Sebulan yang lalu. Ini isteri saya."

Muncullah seorang wanita jelita yang tersenyum manis, menyapanya buat kali pertama.

"Saya isteri Sang Joong, Choi Ji Woo."

Namun, senyuman itu mati apabila mata ibu mertuanya merenung tajam sepasang mata miliknya.

"Kenapa kamu pilih anak saya?"

"Saya cintakan dia."

"Bohong!"

Ji Woo dan Sang Joong terpana.

"Tak ada orang yang ikhlas cintakan anak saya. Dah ramai yang cuba goda Sang Joong semata-mata mahukan hartanya," Tae Jin membuat kesimpulan sendiri berdasarkan pengalaman lepasnya bersama dengan gadis-gadis lain.

"Mama, saya betul-betul cintakan dia dan saya tahu dia ikhlas cintakan saya," Sang Joong cuba meyakinkan ibunya.

"Baiklah, kalau kamu dah cakap macam tu. Tapi kalau perempuan ni timbulkan masalah nanti, mama tak akan lepaskan kamu berdua," Tae Jin memberi amaran keras.

Sedikit sebanyak, Sang Joong dan Ji Woo berasa lega.

"Terima kasih, mama. Kami janji tidak akan timbulkan masalah dalam rumah ni."

"Siapa cakap saya benarkan kamu berdua tinggal dekat sini?"

Sang Joong dan Ji Woo sekali lagi terpana.

"Sehingga saya yakin dia wanita yang betul untuk kamu, selama itu, dia tidak boleh jejakkan kaki ke dalam rumah ini. Kamu pilih, dia atau mama?"

Kata-kata Tae Jin membuatkan Sang Joong kelu. Tak mungkin dia memilih antara ibu dan isterinya. Kedua-dua wanita itu adalah yang terpenting dalam hidupnya.

"Tak mungkin saya dapat pilih antara mama dengan Ji Woo. Dua-dua saya sayang," ujar Sang Joong.

"Kalau macam tu, ceraikan dia."

Tok! Tok! Tok!

Lamunan Tae Jin terhenti kerana bunyi ketukan pada pintu. Orang suruhannya masuk. Sudah pasti ada sesuatu yang hendak disampaikan.

"Ini fail yang Puan Besar minta."

Fail hitam itu bertukar tangan.

"Kamu boleh keluar."

 

"IBU, umur saya berapa?" tanya Se Hun secara tiba-tiba. Puan Oh terkejut dengan pertanyaan Se Hun namun dia cuba tersenyum.

"Dua puluh empat tahun."

"Hari kamu dan Suho kemalangan tu, sebenarnya hari ulang tahun kamu," sambung Puan Oh lagi.

Se Hun memandangnya sekilas sebelum pandangannya dilontar ke luar tingkap.

"Puan, jalan terus atau belok ke kiri?" tanya Soo Ro apabila mereka semakin hampir pada selekoh.

"Jalan terus. Soo Ro, kamu tahu kan restoran yang saya selalu pergi untuk makan tengah hari tu?"

"Ya, puan."

"Pergi ke situ."

Soo Ro menganggukkan kepala tanda faham.

Kini barulah dia berasa lebih selesa untuk memandu kerana lokasi yang dituju telah diketahui.

"Kalau nak dibandingkan dengan Suho, kamu yang lebih rapat dengan kami," Soo Ro cuba menyertai perbualan di antara ibu dan anak itu.

Se Hun memandang cermin pandang belakang dan matanya bertembung dengan Soo Ro. Dia cepat-cepat memandang ke tempat lain.

"Kami tu siapa?" soalnya.

"Pakcik dan isteri pakcik. Tiap kali kamu jumpa isteri pakcik, ada saja idea kamu nak mengusiknya. Kalau kamu ada dekat rumah, memang tak pernah sunyi rumah itu dengan gelak ketawa semua orang bila kamu kenakan Suho. Meriah sangat bila semua berkumpul bersama," ujar Soo Ro.

Sedikit sebanyak dia merasa sebak. Keluarga itu sudah berubah seratus peratus. Sekarang nak dengar orang ketawa pun susah. Suram aje suasana dalam rumah tu.

"Se Hun ni memang tak boleh nak duduk diam. Kalau dia keluar, sunyi rumah. Tapi kalau dia balik, pening nak melayan kerenahnya," ujar Puan Oh pula. Gembira wajahnya apabila dapat bercerita mengenai anak bongsunya itu.

Se Hun pula hanya mendiamkan diri walaupun dirinya yang menjadi tajuk utama perbualan itu. Entah kenapa, dia  seperti tidak percaya dengan semua itu. Begitukah perangainya sebelum ini?

Dia tersedar dari lamunan panjangnya apabila dia menyedari yang kereta itu berhenti. Ibunya sudah pun keluar. Se Hun menjenguk keluar tingkap untuk melihat keadaan di situ.

"Se Hun, cepat keluar," Ibunya sudah pun membuka pintu kereta. Jadi mahu tidak mahu terpaksalah dia keluar.

"Kita dekat mana ni?" tanya Se Hun dengan hairan.

Puan Oh memandangnya dengan senyuman di bibir.

"Kamu tak ingat tempat ni?" soalnya dan dibalas dengan gelengan.

Se Hun memerhatikan bangunan itu tetapi dia tidak dapat memikirkan apa kaitan bangunan itu dengan dirinya.

"Ini sebenarnya hadiah hari lahir kamu daripada ibu dan Suho."

Kata-kata Puan Oh membuatkan Se Hun tergamam dengan mulut yang terbuka luas.

"Jadi bangunan ini milik kamu."

Se Hun masih ternganga di situ. Masih tidak percaya di umurnya yang mencecah dua puluh empat tahun, dia sudah memiliki bangunan sendiri.

"Mari kita tengok bahagian dalam," Puan Oh memaut lengan Se Hun dan menariknya masuk ke dalam. Se Hun hanya menurut.

"Saya nak buat apa dengan bangunan ni?"

"Ibu pun tak tahu. Waktu kamu kemalangan tu selepas kamu pulang dari tengok bangunan ni. Ibu dapat panggilan yang kamu dengan Suho kemalangan. Ibu cemas sangat masa tu. Terus bergegas ke hospital," jelas Puan Oh.

"Saya tak tahu nak buat apa dengan bangunan ni. Kalau macam tu, saya bagi dekat ibu ajelah."

"Bagi dekat ibu? Mana boleh macam tu. Kan ini hadiah daripada ibu. Kamu buatlah apa-apa pun. Buka restoran ke, gim ke. Atau kamu boleh sewa dekat orang lain," Puan Oh memberi cadangan.

"Kalau saya bagi dekat ibu untuk ibu buka butik, ibu nak?"

Puan Oh memandang Se Hun tidak percaya.

"Buka butik?"

"Ibu buka butik. Nanti ibu ada kerja. Tak adalah duduk terperap aje dalam rumah. Saya tengok ibu asyik gubah bunga aje dengan makcik. Tak bosan ke?"

"Nanti-nantilah ibu fikir. Sekarang ni ibu lapar. Jom kita pergi makan. Ada satu tempat best yang ibu selalu makan," Puan Oh segera menarik tangan Se Hun sebelum dia sempat berkata apa-apa.

 

KEHADIRAN Suho ke pejabat disambut mesra oleh pekerja lain. Dia berasa sedikit lega dan bersemangat untuk kembali bekerja selepas mengambil cuti untuk beberapa hari.

Semasa dia berjalan ke arah lif bersama pembantunya, Shin Hye, Suho terserempak dengan Chanyeol.

"Selamat pagi, Tuan Presiden."

"Selamat pagi."

"Tuan apa khabar? Dah semakin baik?"

"Ya. Saya dah rasa bertenaga balik. Terima kasih sebab ambil berat pasal saya," Senyuman tak lekang dari bibirnya.

"Macam mana dengan Tuan Naib Presiden? Saya tak dengar apa-apa berita mengenai dia," soal Chanyeol semasa mereka masuk ke dalam lif. Suho menekan butang tiga untuk ke pejabatnya.

"Dia baik-baik saja. Cuma perlukan lebih rehat. Sekarang saya dah masuk balik kerja, awak tak perlulah risau," jawab Suho.

"Baguslah kalau dia tak apa-apa. Saya cuma risau mesyuarat dengan pemegang saham esok. Tapi kalau tuan dah ada, tak jadi masalahlah."

Suho memandang Chanyeol. Seperti ada sesuatu yang bermain di fikirannya. Chanyeol perasan akan perkara itu tetapi dia hanya mendiamkan diri.

"Chanyeol, alang-alang kita bercakap pasal Se Hun, saya ada sesuatu nak bagitahu awak."

"Apa dia Tuan Presiden?"

"Kita bincang di pejabat saya."

Mereka bertiga keluar daripada lif dan menuju ke pejabat milik Suho.

"Amnesia?"

Chanyeol cuba gagahkan dirinya untuk berdiri. Kakinya sangat lemah pada saat itu. Jika ada sesiapa menyergahnya pada waktu itu, mungkin dia akan pengsan di situ.

"Betul ke ni, Tuan?"

"Ya. Dalam syarikat ni, cuma awak dan saya yang tahu," ujar Suho lagi.

Dia tahu pasti sukar untuk Chanyeol menerima kenyataan itu, tetapi dia perlu memaklumkan kepada Chanyeol kerana lelaki itu sangat dipercayai oleh Se Hun.

"Tapi kenapa saya?" Chanyeol hairan. Perkara itu sudah pasti menjadi rahsia besar pada masa itu tetapi kenapa Suho memilih untuk memberitahunya?

"Sebab awak orang kedua di syarikat ini yang paling rapat dengan dia selepas saya."

"Saya tak nak nanti berlaku salah faham bila dia mula bekerja kembali. Jadi, saya nak awak jadi pembantu dia dan bantu dia untuk uruskan syarikat ni," sambungnya lagi.

"Tapi Tuan, bukan ke lagi bagus kalau Tuan yang bantu dia? Lagipun saya ni akauntan. Saya pun ada banyak kerja," Chanyeol seolah menolak tugas yang berikan kepadanya. Dia bukan tidak mahu membantu tetapi risau kerjanya pula yang terabai.

"Saya pun harap macam tu," ujar Suho perlahan.

"Apa maksud Tuan?" Chanyeol semakin keliru.

"Jangan banyak tanya. Nanti bila dia datang, awak akan tahu. Awak kena bersedia dengan beberapa soalan daripada dia. Cuma saya nak awak pastikan tiada seorang pun pekerja mengesyaki sesuatu. Faham? Sekarang awak boleh keluar."

"Baik Tuan. Saya minta diri," Chanyeol keluar dari situ dengan kepala yang penuh tanda tanya.

 

SE Hun mendapati dirinya gemar ke gim. Dia diberitahu yang selama ini, dia sering ke gim dan hampir setiap malam dia akan keluar melepak bersama dengan kawan-kawannya kecuali pada hujung minggu kerana dia dimaklumkan yang hujung minggu ialah hari untuk dirinya dan Suho. Dia akan keluaer 'date' bersama abangnya ataupun duduk di atas rumput sambil merenung bintang.

Dia tidak percaya yang dia lakukan semua itu dengan Suho. Jika hendak dibandingkan dengan dirinya yang sekarang, semua itu memang tidak akan berlaku. Melihat muka abangnya, atau lebih tepat abang angkatnya itu sahaja sudah membuatkan dia sakit hati.

Jumaat tiba. Suho menyapa ibunya semasa wanita itu sedang minum petang di tepi kolam bersama Se Hun.

"Anak ibu dah balik," Puan Oh memegang tangan Suho yang mendarat di bahunya. Se Hun sedang ralit dengan telefonnya.

"Nak keluar ke mana pula kali ini?" ujar Suho sambil memandang Se Hun.

"Se Hun, nak tengok wayang tak? Filem 'Along With The God' baru keluar. Abang ingat nak tengok dengan kamu."

"Saya dah tengok semalam. Abang pergilah sendiri. Saya tak suka tengok benda yang sama berulang kali. Bosan," jawab Se Hun tanpa memandang wajah abangnya.

Suho terkejut dengan reaksi yang diberikan oleh Se Hun. Dia dan ibunya berpandangan sesama sendiri. Wajah Puan Oh kelihatan gusar tetapi Suho cuba tersenyum untuk tidak merisaukan ibunya.

"Saya masuk dulu, ibu," Suho meminta diri. Dia berjalan melintasi Se Hun dan masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja dia menutup pintu bilik, air mata kekecewaannya akhirnya gugur jua.

"Abang rindukan kamu, Se Hun."

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
No comments yet