Bab 4

Remember You

Suho duduk di ruang tamu. Dia membuka Twitter. Sudah tiga hari dia tidak membuka laman sosial itu semenjak dia dan Se Hun terlibat dalam kemalangan. Banyak pesanan yang diterima daripada rakan-rakannya. Dia terlihat satu artikel di akhbar online.

'Presiden dan Naib Presiden Miracle Star Entertainment terlibat dalam kemalangan ngeri'

Dia membaca komen. Ada komen positif dan ada juga komen negatif. Ramai yang menyalahkan pihaknya terutama Se Hun di atas sebab memandu dengan laju. Mungkin kerana mereka sangka Se Hun yang memandu kerana dia memandu kereta Se Hun. Pastinya ada yang mengecam kereta Se Hun. Ingin sahaja dia membalas semua komen itu tetapi dia tahu perkara itu akan memburukkan lagi keadaan. Pasti ada yang akan berfikir dia cuba menyebelahi Se Hun. Tapi, memang itu yang cuba dilakukannya.

Pening Suho memikirkannya. Jadi dia menutup telefonnya dan melempar telefon itu ke tepi. Dia bersandar pada sofa itu dan menutup matanya. Kepalanya dipicit.

Suho terkejut apabila dia terasa bahunya disentuh. Dia berpaling ke belakang melihat ibunya berdiri di belakangnya.

"Ya, ibu?"

"Kamu okey?" tanya Puan Oh. Dia risaukan anaknya itu.

"Ya, okey. Saya tak apa-apa. Ibu jangan risaukan saya. Sekarang ni, kesihatan Se Hun lebih penting," ujar Suho. Puan Oh duduk di sebelah Suho.

"Dah tentulah ibu risaukan kamu. Kamu pun anak ibu. Ibu mana yang tak risau bila anak dia jadi macam ni?"

"Iya. Tapi Sehun kan-"

Pada masa itu, pintu dikuak daripada luar. Oh Tae Jin masuk. Puan Oh terkejut dengan kehadiran mengejut ibu mertuanya itu. Dia tidak memaklumkan yang Se Hun keluar dari hospital hari ini. Malah dia langsung tidak memberitahu yang anak-anaknya terlibat dalam kemalangan. Tetapi sudah pasti berita itu sudah tersebar luas.

Oh Tae Jin mendekati Puan Oh. "Mana Se Hun?"

Bukannya mahu bertanya khabar Suho yang turut terlibat dalam kemalangan tetapi lebih kisahkan Se Hun.

"Ibu duduklah dulu. Kita berborak dulu. Bukan selalu ibu datang ke sini. Se Hun ada dekat atas. Saya suruh dia rehat dulu."

"Tak perlu. Tak ada apa yang perlu kita bincangkan. Kalau bukan sebab Se Hun, saya takkan jejakkan kaki dekat sini. Saya cuma nak tengok cucu saya," Oh Tae Jin masih dengan wajah bekunya. Dia langsung tidak memandang Suho.

"Suho pun cucu ibu. Ibu tak nak ke tanya khabar dia?" Puan Oh memandang Suho untuk melihat reaksinya. Harap-harap anaknya itu tidak mengambil hati.

"Minum petang dah siap, Puan," ujar Si Young yang tiba-tiba muncul daripada dapur.

"Jom kita minum dulu. Lepas tu, saya bawa ibu jumpa Se Hun," pelawa Puan Oh.

"Kamu ni memang tak faham bahasa ke? Saya dah cakap yang saya cuma nak jumpa Se Hun. Di mana bilik dia?" Oh Tae Jin memandang ke arah Si Young. Wanita itu pula cemas dengan renungan tajam ibu mertua majikannya yang garang itu.

"Tak perlu dengar cakap dia, Si Young. Saya majikan awak."

Si Young cepat-cepat berlalu.

"Saya rasa ibu yang tak faham bahasa. Saya dah cakap anak saya sedang berehat. Saya tak nak ada yang ganggu dia. Kalau ibu datang nak jenguk dia, simpan ajelah niat ibu tu. Saya tak benarkan. Lagipun, sejak bila ibu risaukan anak-anak saya? Atau, ibu nak buat benda sama pada Se Hun sepertimana ibu dah buat pada suami saya?! Anak kandung ibu!" Nafas Puan Oh turun naik. Suho pula yang risau. Dia bersusah payah bangun dan mendekati ibunya.

"Ibu, jom kita pergi minum. Saya temankan ibu. Jom," Suho menarik tangan ibunya.

Di pertengahan jalan, dia berhenti dan menoleh.

"Kalau nenek datang untuk buat huru-hara dekat sini, lebih baik nenek pergi. Saya tak nak ibu saya pula yang sakit."

Seraya itu, dia berjalan pergi bersama ibunya ke ruang makan.

Oh Tae Jin memandang tajam dua orang itu. Kau dah malukan aku. Kau tengok lepas ni apa aku akan buat, Ji Woo. Kau dengan anak-anak kau tak akan hidup tenang.

 

SE Hun melihat sekeliling biliknya. Semuanya terasa asing baginya. Dia menyentuh koleksi patung Star Wars yang berada di satu sudut bilik itu. Aku memang suka kumpul benda-benda macam ni ke, desis hatinya.

Tok! Tok! Tok!

Se Hun memandang pintu. Pintu dikuak perlahan oleh Puan Oh. Dia menjengukkan sedikit kepalanya.

"Boleh ibu masuk?" Se Hun mengangguk.

Mereka berdua duduk di birai katil. Puan Oh memegang tangan anaknya. Se Hun hanya membiarkan perkara itu.

"Se Hun, ibu tahu semua ini sukar untuk kamu. Tapi kamu kena ingat, kamu ada kami semua. Kami akan bantu kamu ingat kembali. Buat masa ni, kamu kena biasakan diri dulu di rumah ni, okey?" ujar Puan Oh. Se Hun mengangguk.

"Kamu rehat dulu, ya," Puan Oh bangun dan keluar daripada bilik itu.

Se Hun berbaring di atas katil. Cuba mengingati dirinya. Siapa dia sebelum ini? Siapa ibunya? Siapa ayahnya? Betul ke ini rumah dia? Tetapi dia gagal. Dia tidak ingat langsung apa-apa tentang dirinya. Kepalanya terasa sakit. Akhirnya dia tertidur di atas katilnya itu.

 

DIA terjaga apabila jam menunjukkan pukul tujuh tiga puluh enam minit malam. Lampu biliknya sudah dibuka. Mungkin ibunya yang datang menjenguk dan tidak mahu mengejutkannya. Selepas membasuh muka, dia turun ke tingkat bawah. Suasana di ruang tamu sunyi. Dia tertanya-tanya di mana semua orang.

"Doktor cakap Se Hun perlu datang ke hospital setiap minggu untuk pemeriksaan," ujar Puan Oh.

"Soal tu, ibu tak perlulah risau. Biar saya yang hantar Sehun. Saya bertanggungjawab atas apa yang terjadi pada dia. Sampai hari ni, saya masih rasa bersalah pada dia," ujar Suho.

Puan Oh meletakkan penyepit di atas meja. Dia melepaskan satu keluhan yang berat. Kenapalah anaknya itu tidak henti-henti menyalahkan dirinya sendiri?

"Suho, dah berapa kali ibu bagitahu, jangan salahkan diri kamu. Semua ni terjadi ada hikmahnya. Kalau bukan kamu yang drive pun, kalau benda ni nak jadi, kita tak boleh nak elakkan," ujar Puan Oh.

"Yelah, tapi-"

Suho berpaling apabila dia merasakan ada orang berdiri di tepi dinding itu. Kata-katanya terhenti di situ apabila dia sedar yang orang itu ialah Se Hun. Puan Oh turut memandang ke tempat yang sama.

"Se Hun..."

Se Hun mendekati mereka berdua. Wajahnya kelihatan seperti menahan marah.

"Jadi abanglah penyebab saya jadi macam ni?" Suaranya kedengaran tegas. Suho bangun dan cuba mendekati Se Hun tetapi dia terkejut apabila ditengking oleh adiknya.

"Jawab soalan saya!! Betul ke abang yang menyebabkan kemalangan itu berlaku??!!"

Puan Oh turut terkejut kerana mereka tidak pernah melihat Se Hun semarah itu. Malah, Se Hun tidak pernah sekalipun meninggikan suaranya kepada sesiapa pun.

"Se Hun, abang minta maaf sebab tak dapat jaga kamu dengan baik. Abang minta maaf. Kalaulah abang hati-hati dan tak pentingkan diri masa tu, pasti semua ni takkan terjadi. Maafkan abang," Suho sudah melutut di hadapan Se Hun. Puan Oh bangun dan segera menyuruh anaknya itu berdiri.

"Se Hun, jangan macam ni. Kita duduk bincang elok-elok," ujar Puan Oh. Dia tidak sangka pula acara makan malam mereka sekeluarga bertukar menjadi perbalahan pula.

Se Hun tidak menghiraukan kata-kata wanita yang mengaku dirinya itu ibu kandungnya.

"Tergamak abang buat macam ni dekat adik abang sendiri," ujar Se Hun. Dia menyilangkan tangannya. Wajahnya dipalingkan ke arah lain.

"Se Hun, abang minta maaf," Suho hendak mendekati Se Hun namun suara ibunya menghalangnya berbuat begitu.

"Oh Se Hun, Kim Jun Myeon, cukup! Ibu tak nak dengar lagi kamu berdua bertengkar soal masalah ini. Perkara ini terjadi, sudah tertulis pada takdir. Bukan salah Suho mahupun sesiapa. Se Hun, jangan terus menyalahkan abang kamu. Selama ini dia yang menjaga kamu lebih dari segalanya. Jadi tolong hormat dia," ujar Puan Oh dengan tegas.

Dia bangun dari kerusi dan berkira-kira hendak pergi.

"Kalau dia abang saya yang perlu saya hormati, kenapa nama keluarga kami berlainan? Kenapa nama dia Kim Jun Myeon dan bukannya Oh Jun Myeon?" soal Se Hun.

Soalan yang tidak diduga itu seolah-olah satu bom yang dihantar tepat oleh Se Hun kepada Suho.

"Se Hun, yang sebenarnya Suho bukan abang kandung kamu, tetapi abang angkat," jelas Puan Oh. Se Hun tersenyum sinis.

"Oh, jadi, cuma anak angkat ajelah ya? Kejap, apa ibu cakap tadi? Suho? Berlagak nak jadi malaikat ke?" ujar Se Hun sinis.

Mereka semua seolah-olah tidak percaya dengan apa yang baru Se Hun ucapkan itu. Betulkah ini Se Hun yang mereka kenal? Kenapa dia berubah sebegitu rupa?

"Nama tu kamu yang bagi," jawab Puan Oh.

Se Hun memandang ibunya dengan hairan.

"Saya?"

"Dulu kamu pernah jatuh sakit. Abang kamu ni yang setiap hari jaga kamu. Ibu masih ingat kamu cakap dekat ibu supaya jangan risaukan kamu sebab Suho ada untuk jaga keluarga kita. Jadi pelindung keluarga kita. Kamu nak panggil Jun Myeon dengan nama baru. Suho. Maksudnya pelindung," ujar Puan Oh sebelum dia berlalu pergi.

Suho berjalan pergi dari situ meninggalkan Se Hun seorang diri.

"Suho? Pelindung konon.. Last-last aku jadi macam ni," dengus Se Hun. Dia terus berlalu dari situ.

 

"TAK sangka begitu mendadak perubahan yang terjadi pada Se Hun," Si Young berada di dapur, berbual bersama suaminya.

"Nak buat macam mana kan, benda dah nak jadi. Abang nak masuk tadi, terkejut jugaklah dengar dia tengking Suho. Tak sangka dia jadi kurang ajar macam tu. Dulu baik budaknya. Tak pernah tak tegur kita. Kita ni, dia dah anggap macam ahli keluarga kita. Sekarang, hmm..." keluh Soo Ro. Dia menghirup perlahan air kopi di dalam cawan.

"Baru empat hari lepas Se Hun dengan Suho seronok aje mengusik satu sama lain. Sampai saya ni jadi mangsa Se Hun nak menyorok daripada abangnya. Gembira betul saya tengok mereka berdua. Dah macam adik-beradik kandung," ujar Si Young.

Suho terasa haus. Dia turun ke dapur untuk minum namun dia terkejut melihat lampu di dapur terbuka dan kedua-dua pekerja keluarganya itu masih tidak tidur.

"Makcik, pakcik, tak tidur lagi?" soal Suho.

Kedua-dua mereka tersenyum kepadanya.

"Sekejap lagilah Suho. Ralit berborak, tak sedar masa berlalu. Hah, kamu ni pula buat apa tak tidur lagi?" Soo Ro memandang anak majikannya itu.

"Saya haus. Jadi, saya turun nak minum," ujar Suho. Selepas meneguk habis segelas air, dia membasuh gelas dan meletakkannya di tempatnya semula.

"Saya naik dulu. Jangan tidur lewat. Oh ya, pakcik esok saya dah mula kerja balik, so tunggu saya esok. Jangan tinggal pula. Jenuh saya nak tunggu bas," ujar Suho dalam nada berseloroh. Kemudian, dia memanjat tangga dan masuk ke biliknya.

"Jomlah, tidur. Esok abang kena bangun awal," ujar Soo Ro. Dia bangun dan membasuh cawannya di singki. Kemudian, mereka berdua beriringan masuk ke bilik.

Se Hun termenung di tepi kolam. Lama dia menatap air kolam itu. Cuaca sejuk di luar tidak dihiraukannya.

Pelbagai persoalan bermain di fikirannya. Dia tidak tahu bagaimana dia hendak meneruskan hidupnya di rumah itu. Dapatkah dia menerima mereka semua yang sangat asing baginya itu, sebagai ahli keluarganya? Betulkah mereka ahli keluarga sebenarnya? Tapi, bukan ke gambar keluarga yang banyak tergantung di dinding rumah itu membuktikan segalanya?

Se Hun bingung. Dia meraup wajahnya. Tadi, ibunya memberitahu yang dia akan dibawa ke satu tempat yang istimewa. Entah apa pula kejutan yang hendak diberikan kepadanya. Dia tidak berasa teruja pun dengan semua itu.

Dia menongkat dagunya ke atas lututnya. Kakinya dipeluk erat.

Suho naik ke tingkat atas. Dia berhenti di hadapan bilik Se Hun. Peristiwa beberapa malam yang lepas terbayang di matanya. Dia masih ingat bagaimana dia mencium dahi Se Hun dan mengucapkan selamat hari lahir untuk adiknya itu. Se Hun sangat manja dengannya pada malam itu. Tidak sangka itu malam terakhir dia dapat memeluk Se Hun dan malam terakhir adiknya itu memeluk dan mencium pipinya.

Air mata mula bertakung di tubir matanya. Suho cepat-cepat meraup mukanya dan terus berlalu ke biliknya. Dia masuk dan menutup pintu. Telefon yang berada di atas meja di tepi tingkap diambil. Ada beberapa notifikasi daripada Twitter.

Sambil itu, Suho memandang ke luar tingkap. Dua kali dia memandang ke tempat yang sama untuk memastikan apa yang dilihatnya itu betul.

Dia dapat melihat Se Hun sedang termenung di tepi kolam seorang diri. Kenapa dia berseorangan di situ?

Lama Suho memerhatikan Se Hun sebelum dia mula rasa mengantuk. Dia menutup langsir biliknya dan terus naik ke katil untuk tidur.

Se Hun merasakan sudah agak lama dia duduk di situ. Lebih baik dia masuk. Dia perasan seperti ada orang memerhatikan dirinya. Dia menoleh ke arah kirinya dan melihat ke tingkat dua rumah itu. Langsir di bilik Suho itu tertutup, tetapi bergerak sedikit.

Se Hun tidak mahu memeningkan kepalanya untuk memikirkan perkara yang tidak penting seperti itu, jadi dia bangun dan masuk ke dalam.

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
No comments yet