epilog
FotografPetang yang sayup-sayup berangin. Na Seon duduk di atas bangku taman itu sambil menunggu kekasih barunya. Tersenyum dia keseorangan memikirkan Baekhyun yang manis senyumannya, kelakar lagaknya. Lelaki itu yang selalu buat dia ketawa, yang selalu ada waktu dia duka dan yang sentiasa teruja bila bersama dia.
bijaksana dia yang ciptakan kamera.
yang membenarkan masa terhenti di atas hanya sekeping kertas putih kosong.
"Na Seon!" jerit Baekhyun dari seberang jalan sambil melambai-lambai tangan ke arah gadis pujaan dia itu. Di bibir si lelaki ditemani senyuman manis.
DUM.
Bunyi siren menghiasi ruang udara dingin. Manusia sekeliling sudah mula berlarian panik sambil terjerit-jerit. Dia berdiri kaku di situ. Merenung kosong angin halus yang meniup rambut, mata sudah merah cuma berkedip bila rasa pedih, tangan masih menggenggam erat sebuah kamera hitam.
Dalam kekabutan itu, setitis air mata jatuh ke pipi dia.
Dalam kekabutan itu, secebis demi secebis hati dia pergi.
Dalam mereka pergi, diri dia mengecil di situ.
Tangan membawa lensa kamera ke arah dia yang sedang bermandian darah. Terbongkang layu atas jalan berlopak merah. Kaku. Tak bernadi.
Klik.
celaka dia yang ciptakan kamera.
yang membenarkan memori terkunci di atas hanya sekeping kertas putih kosong.
===
Jari halus melingkari sebuah meja tulis yang sarat dengan buku tak dikemasi. Mata gelap itu melirik pada sekeping gambar seorang lelaki yang mulut kembung dipenuhi makanan dalam satu album.
Jari halus itu terus berjalan masuk ke dalam poket baju sendiri. Sekeping gambar satu badan dipenuhi darah dikeluarkan dan dilselitkan pada ruang kosong di sebelah gambar yang tadi.
bila diri sudah mendebu.
hanya tunggu jadi abu.
hanya tunggu jadi abu.
===
Seoul, 5 Mei 2015 - Seorang mayat gadis sunti telah ditemui mati dalam sebuah apartment yang dipercayai milik seorang lelaki bernama Byun Baekhyun yang telah terlibat dalam sebuah kemalangan langgar lari beberapa hari yang lepas. Gadis yang telah disahkan identitinya itu merupakan kekasih kepada pemilik apartment.
Mayat dijumpai dalam keadaan terduduk di bangku meja tulis sambil kepala terletak kemas di atas sebuah album. Pihak berkuasa masih menyiasat sama ada gambar-gambar dalam album tersebut dapat memberi petunjuk kepada penyebab lain kematian gadis selain pengambilan dadah yang berlebihan.
Tiada tanda-tanda kecederaan fizikal pada badan beliau. Siasatan lanjut masih dijalankan.
===
"Awak, apa maksud yang awak tulis ni?" tanya Baekhyun sambil pandangan matanya menjalar pada tulisan kemas Na Seon di belakang gambar itu.
"Biar mati yang pisahkan kita," bisik Na Seon sebelum melentokkan kepalanya pada bahu si lelaki.
"Biar nyawa yang penggal kita berderai," sambung Baekhyun tersenyum.
Dan taman, sekali lagi dihiasi dengan gelak tawa pasangan berkamera itu pada apa yang baru keluar dari mulut mereka tetapi dalam hati kedua-duanya tahu, betapa amat benar, yang keluar dari jiwa.
Biar yang penggal hancur kita itu - mati.
TAMAT
-
Nota Penulis
Terima kasih kerana sudi mengikuti kisah cinta mereka berdua. Terima kasih kepada yang subscribe dan upvote. Terima kasih juga pada semua yang telah bagi sokongan kepada saya untuk teruskan menulis selepas Jantung. Cerita ini mungkin tidak melankolia seperti Jantung, tapi saya harap ia mencapai tahap yang kita semua tunggu.
love,
kyc.
panda ri layouts.
Comments