Perkenalan

Nama Yang Tidak Akan Dilupakan

Ruang legar wad pesakit aras empat agak lengang. Beberapa orang jururawat menjalankan tugas memeriksa pesakit di dalam bilik masing-masing. Hanya kedengaran bunyi televisyen yang terpasang di ruang tengah wad pesakit di depan kaunter jururawat. Seorang jururawat yang bertugas di kaunter sedang leka menulis laporan pesakit di dalam rekod harian.

Kang Daniel berjalan menuju ke sebuah mesin minuman yang terletak di hujung. Matanya melihat seorang anak muda di depan mesin minuman tersebut, berdiri kaku.

“Ehemmm” Daniel bersuara, memberi isyarat bahawa dia sedang menunggu gilirannya untuk membeli minuman.

Anak muda yang pendek dari Daniel itu menoleh belakang, dan sekali imbas Daniel memberikan senyuman mesra.

“Sudah?” Daniel bertanya sebelum anak muda itu berganjak ke tepi.

Daniel melangkah ke depan. Matanya melilau memilih menu minuman yang tersedia di mesin tersebut, lalu mengeluarkan duit syiling yang dibawa bersama. Satu demi satu duit syiling dimasukkan sehingga beberapa butang di mesin tersebut menyala, lantas Daniel memilih menu berdasarkan gambar yang terpapar. Beberapa saat kemudian, kedengaran desiran air keluar dari mesin tersebut. Daniel lalu tunduk mengambil minuman panasnya yang tersedia.

Seketika Daniel sudah tidak ingat akan anak muda tadi. Langkahnya laju menuju ke bilik wadnya semula. Cawan minuman panas dipegang dengan berhati-hati agar tidak tumpah. Sebaik pintu wad diseret buka, Daniel menoleh pandang belakang.

“Oh terkejut aku” Daniel terperanjat melihat anak muda tadi berdiri di belakangnya. Minuman yang dipegang hampir terlepas tumpah, sempat Daniel mengetatkan genggamannya. Beberapa saat Daniel hanya memandang anak muda itu dengan pandangan mengharapkan jawapan, kenapa dia diekori.

“Kenapa? nak apa?” Daniel bertanya, nadanya mendatar namun terselit rasa geram kerana anak muda itu tidak bersuara.

“Awak boleh nampak saya?” anak muda itu bertanya. Suaranya agak dalam, berbeza dengan imejnya yang kelihatan keanakan. Dahi Daniel berkerut mendengar soalan itu.

Anak muda itu memakai pakaian pesakit sama seperti Daniel namun di sisinya tiada sebarang beg air atau beg darah yang digantung bawa bersama, malah tiada sebarang tampalan luka di kepala mahupun lengannya. Anak muda itu kelihatan sihat tanpa sebarang penyakit yang memerlukan rawatan hospital.

“Kau kenal aku ke?” soal Daniel pula.

Anak muda itu menggeleng.

“Maaf, saya perlu kembali ke bilik saya” Daniel mengambil keputusan untuk membiarkan anak muda itu. Pintu dibiarkan terbuka dan Daniel bergerak ke katilnya di hujung wad. Bilik wad tersebut menempatkan lapan buah katil, empat-empat saling mengadap. Katil Daniel berada berdekatan tingkap dan bulan membiaskan cahayanya melalui tingkap.

Anak muda itu menuruti langkah Daniel.

“Kang Daniel” nama yang tertera pada katil Daniel dibaca.

“Kenapa kau ikut aku ke sini? Apa kau nak?” soal Daniel, tidak menyangka anak muda itu mengekorinya sehingga ke katil.

Anak muda itu duduk mencangkung di depan katil Daniel. “Awak lahir tahun 1996, jadi awak lebih hyung dari saya. Penyakit komplikasi jantung. Pesakit Dr Shim Changmin” anak muda itu membaca maklumat yang digantung di depan katil Daniel.

“Apa kau buat tu? Pergi bilik sendiri. Sekarang dah jam 3 pagi” ujar Daniel, berasa tidak selesa dan hairan dengan anak muda yang tiba-tiba datang ke biliknya itu.

Anak muda itu tersenyum. “Daniel hyung. Saya akan panggil awak Daniel hyung” ujarnya lalu bangkit berdiri.

“Maaf tapi aku tak kenal siapa kau dan aku bukan jenis cepat mesra dengan orang asing” balas Daniel sambil melihat anak muda itu mendekati almari kecilnya bersebelahan katil.

“Jihoon. Park Jihoon” anak muda itu menghulurkan tangannya.

Daniel hanya memandang huluran tangan anak muda itu. “Aku tak kenal sesiapa dengan nama tu”

“Sekarang Daniel hyung dah kenal” ujar Jihoon sambil matanya melilau pandang barang-barang Daniel yang berada di atas rak kecil. Kemudian matanya memandang pemandangan di luar tingkap. “Waaa cantiknya”

Daniel menghirup sedikit air minumannya yang panas. “Park Jihoon shi,”

Anak muda itu tidak berganjak dari tempatnya, berdiri di tepi tingkap.

“Apa kau buat situ…” Daniel yang sudah pun duduk di atas katilnya, terpaksa bangkit berdiri semula, mendapatkan Jihoon. “…sila kembali ke bilik sendiri”

“Boleh Daniel hyung temankan saya malam ni? Saya bosan” ujar Jihoon apabila Daniel menarik lengannya.

“Maaf. Sekarang pukul 3 pagi dan semua orang nak tidur” Daniel mengheret Jihoon keluar dari bilik wadnya. Kedengaran suara beberapa pesakit dalam was tersebut memberi isyarat supaya Daniel tidak membuat bising menganggu tidur mereka.

“Maaf. Maaf” Daniel merendahkan suara. Jihoon ditarik keluar sebelum pintu kembali ditutup. Daniel berjalan kembali ke katilnya.

…………………………………

Beberapa jam berlalu. Daniel menarik selimut rapat ke dadanya. Matanya masih terpejam rapat. Bilik wad itu terasa dingin dan angin malam terasa menyapa pipinya lembut. Badannya mengiring ke kiri dan matanya dibuka sedikit, melihat langsir tingkap yang berkibar ditiup angin. Daniel memandang kosong langsir tersebut, cuba mengingati semula keadaan langsir sebelum dia masuk tidur tadi. Daniel pasti langsir itu tidak berkibar dan tingkap ditutup.

Matanya dipaksa buka dan Daniel melihat kelibat seorang berdiri di tepi tingkap.

“Park Jihoon” Daniel memanggil, separuh berharap namanya yang dipanggil itu salah.

Anak muda itu berpaling, dan sangkaan Daniel betul. Jihoon mengukirkan senyuman. Pipinya menonjol bersama senyumannya yang dibias oleh cahaya bulan di tepi tingkap. Angin meniup rambutnya lembut.

“Daniel hyung” Jihoon bersuara.

Daniel menepuk dahinya sendiri sebelum bangkit duduk. “Apa kau buat di situ?”

“Tengok pemandangan. Saya tak pernah masuk ke bilik ni lagi jadi ini kali pertama saya lihat pemandangan dari bilik ini. Cantik”

“Cantik?” Daniel menggosok matanya dan sempat melihat waktu yang tertera di skrin telefon pintarnya.

“Bilik kau di aras berapa? Kenapa kau tak balik bilik sendiri”

“Bilik saya di aras lapan. Saya bosan di sana jadi saya merayau ke sana ke sini sehinggalah saya jumpa hyung”

“Hmmm?” Daniel masih merasa mamai dan tidak memahami apa yang dikatakan oleh Jihoon.

“Hyung nak pergi ke bilik saya?” Jihoon mendekati Daniel, duduk di tepi katil lelaki itu.

“Aras lapan? Aras tu kan aras pesakit VIP. Kau duduk di bilik VIP?”

Jihoon mengangguk. “Hyung pernah pergi sana?”

Daniel menggeleng.

“Jadi..” Jihoon mencapai lengan Daniel. “Jom, saya bawa hyung ke bilik saya. Ada sesuatu saya nak tunjukkan, supaya hyung faham apa yang sedang berlaku sekarang”

Daniel turun dari katilnya, menyarung selipar lembut, dan membiarkan dirinya dibawa tarik oleh anak muda yang baru dikenalinya itu.

……………………….

“Park Jihoon”

Daniel membaca nama yang tertera di sebelah pintu sebelum membuka kuak pintu bilik tersebut. Keadaan dalam bilik tersebut kelam jadi Daniel meraba di sebelah dinding, menekan hidup suis lampu. Kelam dalam bilik kemudian bertukar terang. Sebuah pemanas udara dalam suhu sederhana kelihatan terbuka, dan sebuah mesin yang berbunyi seperti jam yang berdetik. Mesin tersebut bersambung dengan beberapa buah wayar yang mengelilingi katil. Seorang lelaki terbaring atas katil pesakit.

Daniel berdiri kaku melihat pesakit tersebut.

“Ini…” Daniel beralih pandang Jihoon yang berdiri di sebelahnya. Mulutnya sedikit terbuka, dan matanya yang mengantuk tadi langsung menjadi segar.

Jihoon mengangguk. “Itu saya”

Daniel melihat pesakit yang terlantar tidak sedarkan diri atas katil itu dan Jihoon secara bergilir. Kedua-duanya mempunyai persamaan dari segi wajah, pakaian, ketinggian juga warna rambut, namun lelaki yang terbaring itu mempunyai wajah yang pucat. Daniel tergamam seketika. Mulutnya ditekup dengan telapak tangan, sukar mempercayai apa yang dilihat depan matanya.

“Kau….” jarinya menuding tunjuk Jihoon kemudian pesakit di atas katil. “… hantu?”

“Bukan. Bukan” laju Jihoon menggeleng.

Daniel mengundur beberapa langkah sambil tangannya memegang dada kiri.

“Hyung” Jihoon cuba mencapai pegang lelaki itu yang kelihatan seperti mahu rebah. Daniel menepis tangan Jihoon.

“Encik buat apa di sini?” seorang jururawat muncul di muka pintu. “Encik tak boleh berada di sini tanpa kebenaran penjaga terutama waktu sekarang”

Daniel mendapatkan jururawat. “Cik jururawat, sekarang siapa yang cik nampak dalam bilik ni? Ada berapa orang?” soalnya serius.

“Awak, saya dan pesakit tersebut” jawab jururawat itu jujur walaupun sedikit tidak menyangka akan soalan Daniel itu.

“Budak lelaki. Tinggi paras bahu saya. Dia pakai baju pesakit hospital ini juga. Cik ada nampak dia?” Daniel bertanya lagi mendapatkan kepastian.

“Dia tak boleh nampak saya” celah Jihoon, memahami apa yang cuba dilakukan oleh Daniel.

“Tiada sesiapa dalam bilik ni kecuali kita bertiga. Maaf encik tapi ini kawasan VIP. Encik tak boleh berlegar sesuka hati di kawasan sini. Encik berada di wad mana?”

Daniel melepaskan satu keluhan kecil. “Saya dari aras empat. Kepala saya pening. Boleh cik teman saya turun ke wad saya semula”

“Hyung” Jihoon memanggil sambil mengekori kedua-dua Daniel dan jururawat yang bertugas itu.

“Cik jururawat ada dengar sesiapa panggil ‘hyung’ sekarang ni?”

“Saya tak dengar apa-apa”. Jururawat it menggeleng. “Saya rasa encik patut masuk tidur”

Daniel mengangguk sambil memegang picit kepalanya. “Saya rasa macam tu juga. Saya takut saya nampak perkara yang tidak sepatutnya”

“Hyung” Jihoon menuruti langkah Daniel sehingga mereka tiba di aras empat. “Saya bukan hantu. Saya bukan hantu”

“Encik Kang Daniel. Sila berehat ya” jururawat itu membawa Daniel sehingga ke katilnya.

“Terima kasih cik jururawat” ujar Daniel sambil melentangkan dirinya atas katil. Selimut ditarik rapat ke dada. Pesakit lain dalam bilik wad yang sama kelihatan masih lena. Jururawat tadi kemudian beredar meninggalkan Daniel.

“Saya bukan hantu” Jihoon berdiri rapat di sebelah katil Daniel.

“Kenapa malang nasib aku hari ni boleh terserempak dengan hantu. Aku minta maaf, aku harap roh kau boleh bersemadi dengan aman” Daniel memaksa matanya pejam rapat. Tangannya memegang kuat selimut. Dadanya terasa sakit seperti dicucuk namun Daniel cuba menahan rasa sakit itu.

“Hyung!” Jihoon menjerit sebelum memanjat atas katil lelaki itu dan melompat-lompat. “Daniel hyung! Daniel hyung!”

Daniel dapat merasakan katilnya bergegar dan kakinya terasa sakit apabila dipijak oleh budak lelaki itu yang dipercayai sebagai hantu itu.

“Saya bukan hantu!” Jihoon terus melompat atas katil Daniel.

“Yah!” Daniel menengking marah menarik kakinya. Dadanya berombak turun naik.

“Aigoo~ apa bising-bising ni” pesakit di katil sebelahnya merungut.

Daniel memegang dadanya, cuba menenangkan diri sebelum sakit dadanya menjadi lebih parah. “Tolong, berhenti ganggu aku. Aku tak pandai tenangkan roh yang sesat, dan aku tak reti nak buat apa untuk bantu kau bersemadi dengan aman”

“Kau cakap dengan siapa?” pesakit di katil sebelahnya bertanya, hairan melihat Daniel.

“Hyung ada nampak seorang remaja lelaki depan saya sekarang? Dia pakai baju pesakit macam kita”

Pesakit itu menggeleng. “Aku nampak kau seorang je, bercakap sendiri”

“Aku rasa dia ni salah wad, baik masuk wad bangunan hujung sana, untuk pesakit yang suka cakap sorang-sorang ni” pesakit di depan katil Daniel mencelah.

Daniel melepaskan satu keluhan kecil. “Aku hanya mampu doakan kau supaya cepat naik ke atas dan berada di syurga”

Jihoon melompat turun dari katil Daniel. “Saya belum mati”

“Jadi pergi mati!” nada Daniel meninggi, geram.

“Yah, senyap sikit. Pagi-pagi orang nak tidur ni”

“Apa masalah dia memekak pagi-pagi ni”

Daniel menguak rambutnya ke belakang sambil memberi pandangan serius kepada Jihoon. “Pergi”

Jihoon mencebik masam. “Jahat”

Seketika Daniel berasa bersalah apabila melihat wajah Jihoon mencebik. Matanya berair.

“Ah lantaklah” Daniel kembali baring, menarik selimut menutupi mukanya. Selang beberapa minit, Daniel mengintai lihat dari dalam selimut. Tiada kelibat Jihoon di depan katilnya. Daniel menarik nafas lega. Kakinya diluruskan sambil baring terlentang. Cahaya matahari pagi mula menyinari, membiaskan sinaran melalui tingkap. Daniel memandang kosong ke luar tingkap.

“Ini semua mimpi. Ini semua mimpi” bisiknya sambil melelapkan mata, ingin memadam memori apa yang berlaku malam tadi, enggan mengakui hakikat dia berjumpa dengan seorang bernama Park Jihoon.

Seketika Daniel cuba untuk tidur, kakinya terasa sesuatu seperti merayap. Sesuatu seperti menghempapnya. Selimut yang menutup badannya lalu diangkat untuk Daniel melihat apa yang berada di kakinya.

“Kau…” Daniel terperanjat melihat Jihoon dalam selimutnya. Segera lelaki itu bangkit duduk, mengadap Jihoon di dalam selimut.

“Apa kau buat ni?” Daniel berkerut kening, marah dalam nada perlahan.

“Hyung buat saya sedih jadi saya nak kacau hyung” Jihoon menarik muka masam, menjeling lelaki yang lebih tua darinya itu.

“Apa kau nak?”

“Kan saya dah beritahu, saya bukan hantu, tapi hyung cakap saya hantu” Jihoon menjuih bibir.

Daniel menghembuskan satu keluhan. “Kalau kau bukan hantu, jadi kau ni apa? Kenapa aku sorang je boleh tengok kau? Orang lain ingat aku orang gila sebab cakap seorang diri”

Jihoon menjungkit bahu. “Saya pun tak tahu kenapa hyung seorang je yang boleh tengok saya. Sepanjang hampir setahun saya di sini, tiada sesiap boleh nampak saya, termasuk mama papa saya sendiri.”

“Sebab tu kau ekori aku, dan ganggu aku?”

Jihoon mengangguk. “Saya bukan nak ganggu. Saya cuma nak teman. Saya dah lama tak berbual dengan orang lain. Boleh hyung teman saya?”

Daniel diam seketika. “Aku tak lama berada di sini. Tengah hari nanti aku ada temujanji dengan doktor dan petang nanti aku akan keluar dari sini”

Jihoon pula diam tidak membalas.

Daniel memandang Jihoon yang berada di hadapannya. “Kau bukan hantu? Jadi kau ni apa? Siapa yang terbaring dalam bilik VIP yang kita pergi tadi?”

“Saya. Badan saya yang koma dan saya sekarang ialah roh yang terpisah dari jasad” balas Jihoon, memandang tepat mata Daniel.

“Jadi kau belum mati?”

Jihoon mengangguk laju. “Jururawat yang jaga saya cakap saya hanya koma”

Daniel diam, hanya merenung anak muda itu, seoalah tidak percayai bahawa di hadapannya itu adalah roh yang terpisah dari jasad.

“Daniel hyung~”

“Hmmm?”

“Hyung percayakan saya?”

“Buat masa ni”

…………………………………………

Jam di dinding berdetik menunjukkan jam 8 pagi. Daniel diam menunggu giliran dulang makanan sampai ke katilnya. Dua orang pekerja hospital sedang mengedarkan makanan sarapan dari katil ke katil. Jihoon pula duduk di hujung katil, leka bermain dengan telefon pintar milik Daniel. Katanya ini kali pertama dia melihat telefon pintar.

“Jemput makan Encik Kang” sedulang makanan diletakkan di atas meja lipat di katil Daniel. Daniel membalas senyuman pekerja tersebut dengan ucapan ‘Terima kasih’ sebelum beralih kepada Jihoon. “Kau nak makan?”

“Hmm?” soal pekerja itu, menyangkakan soalan itu diajukan kepadanya.

“Eh tak. Tak” balas Daniel menggeleng.

“Cik, boleh tak beritahu kepada doktor supaya pindahkan dia ke wad lain. Saya rasa dia tak sepatutnya duduk sini. Dari malam tadi, dia asyik cakap sendirian” ujar pesakit bersebelahan katil Daniel.

“Encik Kang tak apa-apa?” pekerja wanita itu bertanya dalam nada risau.

Daniel menjeling lelaki yang berada di katil sebelah itu. “Saya tak apa-apa. Tak perlu peduli hal saya” nada Daniel agak tegas.

“Kalau encik Kang rasa sakit atau pening, sila beritahu jururawat dengan segera ya. Jangan marah-marah, tak baik untuk jantung”

Daniel mengangguk, menerima teguran pekerja itu sebelum merenung buburnya yang dihidang dalam mangkuk sederhana besar. Seleranya terbantut.

“Semua orang ingat aku gila sebab kau” ujarnya sambil mencapai sudu yang tersedia dan menghirup sedikit bubur panas tersebut.

Jihoon meletakkan telefon milik Daniel yang dipegang dari tadi. “Menakjubkan” komennya.

“Apa yang menakjubkan? Alat tu merosakkan fikiran manusia. Lagipon kenapa kau cakap kau tak pernah lihat telefon pintar sebelum ni? Anak orang kaya takkan tiada telefon pintar”

Jihoon mendekatkan diri, duduk berhadapan meja makan Daniel di atas katil, memerhatikan lelaki itu menikmati sarapannya. “Sedap?” soalnya.

“Kau boleh makan?”

Jihoon menggeleng. “Sepanjang saya jadi roh tidak berjasad ni, saya tak pernah berasa lapar ataupun mengantuk”

“Aigoo~ macam seronok je jadi roh tidak berjasad” komen Daniel dengan nada sindiran.

Jihoon ketawa kecil, tangan kecilnya diangkat menutup mulut. “Seronok. Saya dapat lihat semua benda yang saya tak dapat lihat sebelum ni”

“Apa maksud kau?” Daniel meletakkan sudu yang dipegang, dibiarkan di dalam mangkuk. “Oh ye, macam mana kau boleh koma?”

“Entah. Saya rasa saya dilanggar sesuatu”

“Rasa?” Daniel menumpukan perhatian kepada Jihoon. Dulang makanan di atas meja depannya ditolak ke tepi.

“Sebelum ni saya buta. Masa saya kecil, saya dapat melihat dengan normal, tapi penglihatan saya makin lama makin terbatas dan masa umur lima tahun saya mula memakai cermin mata. Saban tahun, saya terpaksa menukar cermin mata sehingga suatu hari, masa umur saya 10 tahun, saya sangkakan saya bangun waktu malam. Pembantu rumah saya menangis dan beritahu saya bahawa waktu itu sudah tengahari. Saat tu saya sedar yang dunia saya kini hanya malam, tiada siang. Semuanya gelap dan saya tak boleh lihat apa-apa. Banyak kali saya putus asa dalam hidup. Suatu hari, saya berjalan dengan kawan saya, dan saya terdengar bunyi hon kenderaan yang kuat. Kemudian saya rasa sakit di sini…” Jihoon menuding tunjuk kepalanya.

“.. sesuatu yang panas terasa mengalir keluar, dan saya tak sedar apa yang berlaku selepas itu. bila saya bangun, saya nampak diri saya terbaring atas katil dan saya menjadi roh yang tiada sesiapa boleh nampak”

Daniel diam mendengar cerita Jihoon. “Jadi sekarang kau boleh nampak dengan jelas?”

Jihoon mengangguk dan tersenyum. “Semua sekali. Semua benda yang selama ni saya hanya mampu sentuh dan bayangkan sahaja, saya dah boleh tengok. Saya ada telefon khas yang papa saya belikan, saya tak sangka rupanya sangat cantik dan unik” ujarnya sambil membelek pegang telefon pintar milik Daniel.

Daniel menghulur tangannya ke depan, memegang pipi Jihoon. “Aku tak faham kenapa aku nampak kau macam manusia normal dan aku boleh pegang kau”

Jihoon mencapai pegang tangan Daniel. “Menakjubkan bukan?”

“Anyeong~”

“Anyeonghaseyo”

Daniel dan Jihoon serentak berpaling ke arah pintu. Beberapa orang kelihatan masuk dan salah seorang dari mereka melambai ke arah Daniel. Jihoon mengalihkan perhatian kepada Daniel yang membalas lambaian tersebut.

“Minhyun hyung~”

“Kau dah sarapan?” Hwang Minhyun mendekati katil Daniel.

“Niel~”

“Seongwoo hyung, Jaehwan ah~”

“Macam mana kau hari ni?” soal Jaehwan merapati katil Daniel dan cuba untuk duduk di hadapannya, tempat Jihoon sedang duduk.

“Sini tak boleh” Daniel menghalang. Jaehwan terdiam seketika. Hairan. “Kenapa?” soalnya.

“Saja tak boleh. Aku nak luruskan kaki” jawab Daniel selamba. Seongwoo pula mengambil tempat duduk di tepi, di tempat duduk pelawat.

“Mak kau tak dapat datang. Dia ada kerja pagi ni” ujar Minhyun sebelum mengeluarkan seplastik bungkusan makanan ringan. “Dia belikan ini”

“Terima kasih hyung” ucap Daniel, meletakkan bungkusan tersebut di rak tepi katilnya.

“Temu janji pukul berapa? Kelas tiada hari ni jadi rasanya aku boleh temankan kau” ujar Seongwoo.

“Nice~ aku baru nak ajak korang semua”

“Siapa ni?” soal Jihoon, memandang tiga orang yang berada di sekeliling katil Daniel. Seorang lelaki tinggi memakai kot labuh berwarna coklat muda. Seorang lagi lelaki tinggi, memakai tee kosong dengan jaket jeans disertakan dengan seluar hitam pula duduk di tempat duduk pelawat. Jihoon dapat mendengar dia memanggil nama Daniel sebagai ‘Niel’ tadi. Seorang lagi pula yang hampir menghempap Jihoon tadi, tidak terlalu tinggi, namun mempunyai pipi yang bulat.

“Kawan aku, kiteorang kawan sejak sekolah menengah” jawab Daniel sebelum sedar perhatian Seongwoo, Minhyun dan Jaehwan terhadapnya.

“Kau cakap dengan siapa?” soal Minhyun yang leka mengemas beberapa barang Daniel di rak tepi katilnya.

“Ahhh~ cakap apa? Mana ada aku cakap apa-apa” Daniel cuba menafikan, terlupa akan hakikat yang mereka tidak dapat melihat Jihoon.

“Waa, wajahnya sangat handsome. Nama dia siapa?” Jihoon bangkit turun dari katil Daniel dan mendekati Seongwoo. Wajah Seongwoo diamati. “Macam mana manusia boleh mempunyai rupa macam ni?”

“Dia Ong Seongwoo” balas Daniel.

“Apa?” Seongwoo yang leka membelek telefon pintarnya mendongak pandang Daniel. “Kau panggil aku?”

“Hong Seongwoo?”

“Ong Seongwoo bukan Hong Seongwoo”

“Gong Seongwoo?”

“Ong Seongwoo bukan Gong Seongwoo”

“Ong? Nama dia Ong?” soal Jihoon lagi mendapatkan kepastian.

“Ya. Ong Seongwoo”

“Yah Kang Daniel. Kenapa kau main-main dengan nama aku?” Seongwoo bangkit berdiri dan mendekati Daniel. Badannya melanggar badan Jihoon, seperti melintasi angin. “Kau ok?” tangannya dilekapkan pada dahi rakannya itu.

“Kau ok tak?” Jaehwan juga mendekati Daniel. “Nak aku panggilkan doktor?”

Daniel tersentak seketika, terkejut melihat Seongwoo yang baru melintasi lalu melalui badan Jihoon. “Aku ok. Aku ok” balasnya sebelum mengerling Jihoon yang sedang ketawa melihat keadaan Daniel.

“Biarkan dia. Dari pagi tadi dia memang macam tu, cakap seorang diri” ujar pesakit di katil sebelahnya.

“Sejak malam tadi?” Minhyun memandang Daniel dengan riak risau. “Daniel, kau betul-betul ok? Stress? Sakit di mana?”

“Aigoo~” Daniel mengeluh.

……………………….

Waktu melawat sudah tamat. Wad pesakit menjadi sedikit lengang dan kelihatan beberapa orang doktor membuat rondaan pemeriksaan terhadap pesakit.

Jihoon duduk di tempat duduk di luar bilik wad, di hadapan kaunter jururawat, melihat berita tengahari yang ditayangkan di televisyen. Beberapa minit kemudian Daniel keluar dari bilik. Jihoon menoleh lihat beg baju yang dibawa bersama.

“Aku dah dibenarkan balik” ujar Daniel, mendekati Jihoon. Dia tidak mempedulikan pesakit lain yang berada di ruang yang sama.

“Kenapa cepat sangat?” Jihoon mendongak pandang Daniel.

“Aku memang selalu tak lama di hospital. Sehari dua sahaja kalau aku ada temujanji dengan doktor” balas Daniel.

Jihoon hanya mengangguk.

“Aku nak lawat kau sekejap”

“Hah?” Jihoon pana.

“Aras lapan kan?” Daniel menuding tunjuk jarinya ke atas.

……………………………….

Daniel membuka kuak pintu bilik wad Jihoon. Berbanding semalam dengan keadaan yang agak kelam, kali ini bilik tersebut diterangi cahaya siang dan mempunyai haruman bunga segar. Sebaik pintu terbuka, Daniel perasan akan seorang anak muda sedang duduk di sebelah katil Jihoon. Daniel memandang Jihoon di sebelahnya, mengharapkan penjelasan.

“Woojin ah~” Jihoon bersuara, memandang Woojin. Anak muda itu segera bangkit sebaik perasan seseorang masuk dalam bilik tersebut.

“Siapa ye?” soal Park Woojin, tidak mengenali lelaki yang tinggi itu.

“Anyeonghaseyo” Daniel memberi tunduk hormat biasa. “Saya Kang Daniel”

Woojin turut membalas yang sama. “Awak kenal Jihoon?” soalnya. Setahu Woojin, Jihoon tidak mempunyai ramai kawan dan dia adalah satu-satunya kawan baik Jihoon.

Daniel mengambil masa untuk menjawab, mengerling pandang Jihoon beberapa kali sebelum menjawab, “Ya, saya kawan baru dia”

“Kawan baru?”

“Beritahu dia yang hyung pernah tolong saya masa di kedai makan dulu” ujar Jihoon membantu sambil mendekati katilnya sendiri, melihat bunga yang dibawa oleh Woojin.

“Ahh, dulu saya pernah bantu Jihoon di kedai makan. Saya baru tahu yang dia berada di sini”

“Ahhh~ terima kasih sebab pernah membantu Jihoon. Saya Park Woojin, kawan baik Jihoon” ujar Woojin sebelum menarik sebuah kerusi. “Duduk lah”pelawanya.

Daniel meletakkan beg pakaiannya di tepi dan mengambil tempat duduk di kerusi bersebelahan dengan Woojin.

“Sudah berbulan dia tak sedarkan diri” ujar Woojin sambil membetulkan selimut di paras perut Jihoon dan tangan Jihoon yang dicucuk sambung dengan wayar.

“Dia lawat saya hampir setiap hari. Setiap kali dia datang dia akan bawa bunga” ujar Jihoon berdiri di belakang Daniel.

“Bertuah kau dapat kawan macam dia”

“Ha?”

“Ah maaf. Maksud saya Jihoon bertuah sebab dapat kawan macam awak” Daniel mengukirkan senyuman janggal. Jihoon yang terbaring di depannya terasa seperti orang yang berbeza dengan Jihoon yang berada di belakangnya.

“Tidak” Woojin menggeleng. “Saya bukan kawan yang baik. Pada hari kemalangan tu, saya terlepas tangan dia dan saya lambat untuk menyelamatkan dia dari dilanggar oleh kereta”

Jihoon cuba mencapai pegang tangan Woojin namun hanya angin yang digenggam. Daniel hanya memerhatikan tingkah laku Jihoon.

“Hari itu, saya yang lepaskan tangan dia. Sampai sekarang saya masih ingat tangisan dan jeritan Woojin meminta tolong sambil dia pegang saya di atas jalan. Dia orang pertama risaukan saya”

Daniel memegang capai tangan Jihoon. Air mata Jihoon menitis menuruni pipinya.

“Park Woojin shi, Jihoon tak pernah salahkan awak. Saya yakin dia tak nak awak salahkan diri awak juga. Dia mesti berterima kasih sebab dapat kawan macam awak”

Jihoon mengangguk sambil mengelap air matanya.

“Saya akan tunggu sehingga dia sedar dan saya nak dengar dia cakap sendiri yang dia maafkan saya” ujar Woojin dengan nada sesal.

Daniel menepuk bahu Woojin. “Dia pasti akan sedar suatu hari nanti”

………………………….

Minhyun berdiri sandar di pintu kereta sambil menunggu Daniel. Kunci kereta bermain pusing di jarinya. Seketika dia melirik jam tangan yang dipakai. Sudah setengah jam Daniel lewat.

“Seongwoo, Jaehwan” Minhyun memanggil dua rakannya yang menunggu di bawah pokok, duduk di sebuah bangku kayu. “Pergi tengok Daniel. Kenapa dia masih tak turun lagi?”

“Seongwoo hyung, pergi tengok Daniel tu” Jaehwan mencuit Seongwoo yang sedang leka membelek lihat media sosial melalui telefonnya.

“Minhyun hyung!”

Seongwoo dan Jaehwan berpaling lihat Daniel yang sedang berjalan menghampiri mereka. Daniel seorang diri bersama beg pakaiannya.

“Yah, kenapa lambat? Apa kau buat tadi?” soal Minhyun, memincingkan matanya memandang Daniel. “Jangan berlari!” dia sempat menegur apabila melihat Daniel melajukan langkah.

Seongwoo dan Jaehwan masing-masing bangkit dari tempat duduk mereka, bergerak menghampiri Minhyun dan Daniel. Seongwoo mencapai ambil beg pakaian Daniel sebelum diletakkan di tempat belakang kereta.

“Tiada apa yang tertinggal?” soal Jaehwan pula.

Daniel mengangguk sebelum menoleh pandang belakang. “Aku kena balik dulu” ujarnya.

“Kau cakap dengan siapa?” soal Minhyun, menoleh pandang belakang Daniel.

“Hospital ni. Salam perpisahan” jawab Daniel selamba sambil membuka pintu kereta. Minhyun menyerahkan kunci kereta kepada Seongwoo sebelum membuka pintu kereta bahagian depan. Jaehwan pula sudah menyelesakan diri di bahagian tempat duduk penumpang belakang, duduk di sebelah Daniel.

“Aku ingatkan kau tak suka hospital ni. Kenapa muka kau nampak sedih je” Seongwoo bertanya sambil memakai tali pinggang keselamatan sebaik enjin kereta dihidupkan.

Jihoon mencebik melihat Daniel dan rakannya semua masuk ke dalam perut kereta. Daniel menurunkan cermin tingkap, sempat tersenyum. “Jadi semoga kita berjumpa lagi” ucapnya.

Jaehwan ketawa kecil. “Sejak bila Daniel mula sukakan hospital ni?”

“Hyung, boleh tak kalau saya ikut?”

Seongwoo menekan pedal minyak dan kereta mula bergerak dari kawasan tempat letak kereta itu.

“Hyung! Hyung! Berhenti!” jerit Daniel tiba-tiba, terkejut mendengar apa yang Jihoon katakan tadi.

“Kenapa? kenapa?” Seongwoo menekan brek mengejut.

“Kau ada tinggal apa-apa ke?” soal Minhyun, menoleh pandang Daniel di belakang tempat duduknya.

Daniel laju membuka pintu dan keluar dari perut kereta. Jihoon tersenyum melihat kenderaan itu berhenti dan Daniel yang berdiri di sebelah kereta.

“Hyung! Saya nak ikut hyung” Jihoon berlari mendapatkan Daniel, terus ke dakapan lelaki itu.

“Ha?”

“Boleh tak? Hmmm?” Jihoon mendongak pandang lelaki itu.

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
Funny95
#1
Chapter 4: awat rasa ada habuk masuk dlm mata plak nie? *lap air mata*
T.T
Huarghhh!!!
fanfic_reader_12 #2
Authornimmmmm *jeritttt*


Awak buat saya ngis lagiii.. Waktu pagi lak tuhhh.... TT *flip air mata*

Dhlh tgh sarapan.. Mengalir je air mata ni hah... *nsib baik xde spe nmpk*

Ini pengakhiran ke??!! Huwaghhhhh.. TT....

daebak... Jrng ff bole buat saya ngis... Tersedut hingus lagi... *ok ini gross*

Saya nk pi bca ff lain... Byeiiiiii... *flying kiss*
Park_Rafa88
#3
Chapter 4: Hello author-nim!! Wuaaa nampaknya fanfic baru awak ni tak seperti biasa tapi tetap menarik! It was a nice yet touching! Story yang teratur and kemas besides senang difahami~ tahniah! But saya rasa genre action and thriller lebih sesuai dengan awak well sebab saya dah follow story awak since fanfic Sehun tapi it was a nice try! Saya tetap suka~ Im looking forward for your next fanfic! Dah lama saya tak baca fanfic action dari awak so I was soooo excited to see the new work! lagi-lagi bila ada Wanna One~ Fighting author-nim! *maafkan saya komen panjang sebab saya sukaaaaaa fanfic awakkkk ?
fanfic_reader_12 #4
Chapter 3: Thnx authornim! Awak buat saya mengis diptg hari LPS dpt noti cite ni .. T.T
Awak daebakkk.... Huwarghhhhhhh..........saya sngtlhh mndlmi watak mereka...GOSHHH...tgisan pertama saya Harini...keep update authornim!!! Jjjangg !
Apiacere
#5
interesting!
Funny95
#6
Chapter 2: omo... Niel...sesiapa tolong bawa niel pi hospital
Funny95
#7
Chapter 1: aigoo...saya dapat bayangkan kecomelan Jihoon cebik kat Daniel..
Woojin jangan risau..Jihoon akan sedar juga nanti..huhuhu..