Well... Surprise...

Ultimate Enemy

“Aulia!”

Aulia menghentikan langkahnya dan berpaling ke belakang apabila namanya dipanggil. Dia tersenyum apabila melihat kelibat Nurul berlari-lari anak ke arahnya.

“Hesy kau ni, merata aku cari kau tau… Tak tunggu aku pun!” Nurul dah bising-bising. Aulia pula sudah tergelak.

“Alahai kecohnya dia… Aku dah pesan dekat Kiki tadi suruh cakap kat kau aku nak pergi bilik cikgu kejap, nanti aku pergi bilik sidang sendiri. Dia tak ada cakap dengan kau ke?”

“Tak ada pun… Heee, pompuan tu memang nak kena betul!” Nurul mencebik-cebikkan bibirnya tanda geram.

“Dah lah, jom. Asyik membebel… aje kerja kau ni.” Aulia bertindak menarik lengan Nurul supaya menurut langkahnya. Kalau dilayan mahunya sampai esok pun tak habis.

Mereka berdua antara pelajar yang terawal sampai dalam bilik sidang. Semasa mereka sampai, hanya ada kelihatan beberapa orang pelajar yang sudah tiba dan menunggu di dalam bilik.

Nurul mendahului dan mengambil tempat di meja kedua daripada barisan hadapan. Tanpa banyak soal Aulia hanya mengikut langkah Nurul dan melabuhkan punggung di sebelah rakannya itu.

“Weh… Kau rasa dia datang tak perjumpaan hari ni?” Nurul terus mengeluarkan soalan sebaik sahaja mereka selamat duduk. Sengaja mahu menghilangkan bosan sementara menunggu.

“Hah? Siapa?” Dahi Aulia sudah berkerut-kerut.

“Lah… Siapa lagi? Lelaki paling hot dalam sekolah kita ni lah… Dia pun kan tercalon untuk pemilihan JTP.”

Aulia buat muka apabila memahami siapa yang dimaksudkan oleh Nurul.

Excuse me… Hot ke?” Sarkastik nada Aulia memerli.

“Mata kau tu je yang bermasalah… Kau aje dalam sekolah ni yang rasa dia tak hot.” Jari Nurul menunjal sedikit bahu Aulia dan membuatkan Aulia mencebik.

“Mata korang yang bermasalah!” Bidas Aulia tidak mahu kalah. Sampai ke sudah pun memang tak lah dia nak mengakui yang si Ayden gila tu hot! Oh puhhlisss!

“Heee… macam dah tak ada soalan lain kau nak tanya aku! Jangan sebut pasal playboy gila tu boleh tak? Kisah pulak aku dia nak datang ke tidak? Dah tak ada kerja aku nak ambil tahu pasal dia?” Aulia juling mata ke atas.

“Mana boleh tak sebut! Dia tu pesaing terdekat kau kot! Kalau dia datang maknanya peluang kau nak menang KP akan jadi setipis-tipisnya kau tahu?” Nurul menjungkit-jungkitkan keningnya.

“Kau ni memang tak sayang mulut kan!” Aulia mengetap gigi dan membeliakkan matanya. Memang tak guna betul lah si Nurul ni! Bukan nak sokong kawan, lagi ditakut-takutkannya lagi kita!

“Aku cakap benda betul apa? Kenyataan tu…” Nurul membela diri.

Baru sahaja Aulia mahu membuka mulut membidas kenyataan Nurul, kedengaran bunyi pintu bilik terbuka. Sepantas kilat Aulia dan Nurul kalih ke belakang. Tipu lah kalau Aulia kata dia sikit pun tak berdebar, yelah… mana tahu yang datang tu adalah Ayden kan? Mahu musnah impian dia selama ni!

Tapi apabila melihat kelibat ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Pelajar yang masuk, Aulia akhirnya mampu menarik nafas lega. Dia berpusing semula ke hadapan, selepas hatinya sedikit tenang, dia kembali membuka mulut.

“Ah dia tu, tak ada maknanya dia nak datang...” Aulia bersuara yakin dan menarik senyum senget.

Aulia membetulkan duduknya tatkala Ketua Pelajar mereka untuk tahun lepas sudah memulakan bicara tanda bermulanya perjumpaan mereka untuk calon-calon ahli Jawatankuasa Tertinggi Pelajar yang baru.

“Assalamualaikum dan selamat petang semua… Seperti yang korang tahu, perjumpaan kita kali ini adalah untuk briefing bagi semua calon-calon tentang proses pemilihan ahli JTP yang baru untuk tahun ini. Terlebih dahulu saya nak ucapkan terima kasih kerana sudi hadir hari ini…” Si Hanis, ketua pelajar tahun lepas bermukadimah, matanya masih tidak lepas meneliti kertas di tangan sambil-sambil dia angkat kepala dan mengimbas calon-calon yang berada di hadapan mata.

“Okey, berdasarkan senarai nama yang ada di tangan saya, nampaknya ada beberapa orang tak hadir perjumpaan ni. Sekali lagi saya ingatkan ya, sesiapa yang tak hadir dalam perjumpaan kali ini, dikira sebagai tarik diri dan anda tak layak untuk bertanding.” Hanis letak kertas di tangan ke tepi dan angkat kepala pandang semua calon-calon di hadapannya.

“Jadi, ada tak sesiapa calon yang tak datang hari ni, yang korang kenal? Kawan-kawan kamu ke? Dia memang tak nak datang ke ada sebab tak boleh datang?” Hanis tanya lagi.

Semua berpandangan sesama sendiri, ada juga yang berbisik-bisik, tetapi tiada siapa yang balas pertanyaan Hanis tadi.

“Hmmm… Nampaknya tak ada lah ye? Jadi saya anggap mereka tu semua tarik diri okey? Nanti kalau tiba-tiba datang cakap ada alasan memang tak akan saya layan. Okey, so boleh lah kita mulakan…”

Baru separuh jalan Hanis mengeluarkan katanya, tiba-tiba kedengaran bunyi pintu diketuk daripada luar. Semua yang berada di dalam bilik itu spontan berpaling ke arah pintu. Dan apabila pintu bilik dibuka, tiba-tiba terasa macam ada serelung cahaya menembus masuk. Apabila kelibat si pengetuk pintu sudah jelas di mata, masing-masing dah buat muka terkejut melihat gerangan yang baru melangkah masuk itu; Ayden!!!

Sorry, saya lambat sikit. Boleh lagi saya join meeting ni?”

Hanis pandang Ayden yang masih berdiri di tepi pintu itu, agak lama dia pandang tanpa bersuara apa-apa. Dan kemudian, perlahan-lahan barulah ternampak senyuman terukir di bibirnya.

Sure… Masuk lah. Kami pun baru nak mula ni.”

 “Thank you pretty.” Ayden keluarkan senyuman bergula dia dan hadiahkan kenyitan mata buat Hanis.

Aulia yang melihat situasi itu sudah mencebik meluat. Mendongkol aje rasa hati dia sekarang ini. Ada hati pulak si Ayden ni nak teruskan bertanding! Dah lah lambat! Tak ada displin langsung! Yang si Hanis tu pun satu! Boleh dia bagi aje masuk macam tu je… Geram betul lah!

“Hai nenek!”

Hampir sahaja Aulia mahu terlompat daripada duduknya apabila terdengar satu suara bergema betul-betul di sebelah telinganya. Apabila dia kalih muka ke tepi, dia nampak Ayden sudah selamat duduk di sebelahnya.

“Dah tak ada tempat lain ke kau nak duduk?” Aulia bertanya jengkel.

“Memang saja nak duduk sebelah kau, supaya aku dapat tengok muka berkedut engkau tu!” Ayden balas selamba.

“Kau!” Tertahan-tahan sahaja suara Aulia, kalau tidak mengenangkan sekarang mereka berada dalam bilik yang penuh dengan manusia, memang dah lama dia keluarkan sumpah seranah, maki-makian khas untuk Ayden. Apatah lagi apabila dia tengok muka Ayden yang penuh dengan riak mengejek bercampur dengan senyum mintak penampar dia tu!

Ayden… What a surprise to see you here…”

Aulia hanya mampu simpan marah dia tu buat masa ini. Apatah lagi bila Hanis dah mula bersuara semula. Ayden pula sudah sengih sekali lagi apabila melihat Aulia yang penuh dengan kemarahan, tapi langsung tak boleh buat apa-apa. Perlahan-lahan dia kalih muka ke hadapan dan membalas pandangan Hanis yang sedang memandangnya itu.

Well… Surprise…” Ayden mendepangkan tangannya dan melebarkan senyum di bibir.

Hampir kesemua manusia di dalam bilik itu ikut tergelak dengan gelagat spontan Ayden, cuma Aulia seorang yang masih statik dengan muka masamnya.

Whatever it is, welcome Ayden… So, boleh lah kita mulakan ya…” Hanis menyambung kembali agenda mereka yang tergendala tadi.

“Okey, poin utama perjumpaan kita pada hari ni adalah untuk brief tentang tempoh berkempen korang… Korang dah boleh mula kempen mulai minggu depan, sampai lah hari pemilihan nanti…”

“Untuk poster, korang boleh design sendiri. Pasal printing, korang boleh bagi dekat kelab sidang redaksi dan mintak dia orang tolong print. Tapi untuk yang tu, hanya terhad 30 keping untuk poster yang nak digantung dan 50 keping pamplet kecil untuk diedarkan. Kalau korang nak kempen lebih-lebih, itu kena sendiri lah ye…” Hanis menambah lagi.

“Sebelum minggu depan, kami akan keluarkan senarai tempat-tempat yang boleh dan tak boleh untuk korang tampal poster korang, jangan nak tampal sesuka hati pulak. Dan, yang ni memang peringatan keras ya… Boleh tampal, tapi jangan buat sampah! Lepas dah habis general election nanti, korang kena clean up all the posters yang korang dah tampal, jangan tinggal satu pun! Pamplet kecik tu, kalau ternampak bertabur dekat lantai, tolong lah pandai-pandai kutip dan buang sendiri. Korang semua ni calon JTP, jadi jangan nak malukan JTP dengan semua cikgu-cikgu ya…” Hanis beri peringatan.

Okay done bab poster… Setakat ni ada apa-apa soalan?” Hanis membuka ruang soalan.

Dan-dan, ada yang mengangkat tangan untuk bertanya. Hanis mengangguk sedikit sebagai tanda untuk meneruskan soalan.

“Berkempen hanya terhad dengan poster aje ke?”

“Sebenarnya tak ada pulak peraturan ditetapkan yang cara berkempen hanya dengan poster sahaja… Jadi korang boleh ikut kreativiti masing-masing lah nak buat cara kempen macam mana, tak ada halangan, in fact tak ada masalah pun…”

Masing-masing terangguk-angguk mendengar penerangan Hanis. Hanya Ayden dan Aulia yang buat muka selamba. Ayden pastinya sebab dia bukannya beria macam orang lain. Dan Aulia pula sudah hilang mood disebabkan kemunculan Ayden.

Okay next… Ni…” Hanis mengangkat sehelai kertas dan menayangkan pada para hadirin di bawah.

“Sekejap lagi kami akan edarkan borang ni… Sila isikan all the details dan bagi gambar sekali ya… Yang ni untuk kelab sidang redaksi buat main poster. Tolong hantar sebelum this Friday. Kalau tak hantar, jangan salahkan kami kalau dekat main poster tak ada gambar korang…” Hanis memberikan peringatan keras.

“Saya rasa setakat ni aje pengumuman untuk hari ni. Sebelum keluar nanti masing-masing jangan lupa ambil borang. Sebelum kita tamatkan perjumpaan, ada soalan lain lagi?”

Mata Hanis meliar-liar ke kiri dan kanan, tidak nampak tanda sesiapa yang mahu mengangkat tangan.

Tetapi tanpa disangka Ayden tiba-tiba mengangkat tangan. Semua mata beralih dan tertumpu pada lelaki itu, dan pastinya kecuali Aulia seorang. Dia tidak berminat langsung mahu ambil tahu apa yang bakal ditanya oleh Ayden.

Yes Ayden?

“Lepas election, can we still withdraw afterwards?”

Masing-masing agak terkejut dengan soalan Ayden itu. Ada segelintir mereka yang sudah berbisik-bisik sesama sendiri.

“Hmmm… Withdraw? Kenapa? Awak ada niat nak tarik diri ke?” Tanya Hanis sambil mengangkat kening.

Ayden memandang Hanis, agak lama sebelum perlahan-lahan dia menarik senyum di bibir.

“Mana tahu kan… Kot lah ada orang nak tarik diri lepas ni sebab… tak boleh nak bekerjasama antara satu sama lain?” Meleret sahaja nada Ayden dan kemudian dia pusing ke kiri dan pandang Aulia dengan senyum senget tersungging di bibir.

Aulia masih statik di tempat duduknya. Tetapi Ayden dapat mengesan perubahan riak di wajah Aulia. Mukanya sudah agak merah dan dia sudah mengepal penumbuk, mesti dalam hati tu tengah membara kan? Ayden simpan gelak dalam hati tengok Aulia macam tu.

Basically, you all ada masa seminggu. Dalam masa seminggu sebelum majlis perlantikan tu, korang boleh tarik diri kalau rasa diri tak mampu nak teruskan. Cikgu akan pertimbangkan. Tapi, selama ni… Tak pernah lagi orang buat! Dan… saya harap korang tak akan buat! Jangan ingat pemilihan ahli JTP ni benda main-main…” Sinis nada Hanis.

“Ada soalan lagi?”

Tiada lagi yang bersuara. Semua orang di bilik itu dapat mengesan perubahan Hanis yang agak tegang itu, masing-masing hanya diam dan tidak berani bertanya lagi.

“Kalau tak ada, perjumpaan kita hari ni sampai sini saja. Korang boleh ambil borang ni sebelum beredar. Terima kasih kerana hadir.” Hanis menamatkan perjumpaan.

Selepas itu seorang demi seorang bangun dan menuju ke meja hadapan sekali untuk mengambil borang yang disebut Hanis tadi sebelum meninggalkan bilik sidang tersebut.

“Aku ambilkan untuk kau eh…” Nurul menghampiri Aulia dan berbisik perlahan, kemudian dia bangun dan meninggalkan Aulia untuk ke depan.

Tinggallah Aulia dan Ayden berdua di situ. Ayden menghampiri Aulia yang masih diam tidak berkutik itu. Perlahan-lahan dia berbisik dekat telinga Aulia.

I can’t wait… untuk kerja dengan kau nanti… Please take care of me, okay… nenek!” Sengaja Ayden menyimbah lagi minyak ke api yang sedang marak. Dia tergelak kecil dan terus bangun meninggalkan Aulia seorang di situ.

“Nah, kau punya…” Nurul kembali dan menyerahkan sehelai kertas.

Tapi Aulia sedikit pun tidak menghiraukan Nurul. Rasa marahnya pada Ayden telah mengatasi segala-galanya! Giginya diketap kuat, rahangnya pula sudah bergerak-gerak.

Tanpa disangka-sangka, tiba-tiba sahaja tangan Aulia naik dan menampar permukaan meja, kuat!

Dan tanpa sebarang kata, Aulia terus bangun dan meninggalkan bilik sidang. Beberapa orang pelajar yang masih berada di situ semuanya tercengang-cengang melihat Aulia yang tiba-tiba berkelakuan begitu. Selama ini… mereka tidak pernah lagi melihat Aulia naik angin, sebegitu…

*~*~*~*~*~*~*~*

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
fanantic #1
Chapter 4: Daebak!! Best giler citer ni>< Palliiii!! Sambung lagi author>>>>>>>>>>>><<<<<<<<<<<<