Prolog

Fobia [R]
fmRfImN.jpg
 
PROLOG
 
"K-Kakkk, t-tolonggg!"
 
Di bawah lengan kecil, gadis berpakaian pajama putih comot itu berlindung. Demi menghadang pukulan bertubi-tubi daripada wanita berwajah bengis di hadapan, yang merenungnya penuh jengkel, menebarkan muka lengan ke atas baginya ibarat menyelamatkan nyawa sendiri.
 
Bagai direnjat elektrik setiap kali badan rotan dihayun ke permukaan kulitnya, kesakitan tersebut membuatkan tubuh si mangsa bergetar tanpa henti. Menanggung pukulan yang menusuk tulang itu membuat nafasnya jadi tidak keruan.
 
"Rasakan ni, budak tak guna! Be-Berani kau halau customer aku! B-Baik kau mampus-" Pada saat wanita tua itu menghayunkan rotan di udara, seseorang pantas merentap pergelangan tangannya dari belakang.
 
Gadis tadi membuka mata perlahan apabila tiada pukulan mengenai tubuhnya. "K-Kak Mina-" lemah saja ucapan itu meluncur dari hujung mulutnya.
 
Seorang lagi budak perempuan yang lebih kurang sebaya dengan mangsa pertama tadi memegang kuat tangan si wanita pembuli seperti ia tali kehidupan yang bernilai. Rambutnya yang panjang hingga ke paras pinggang terbiar tidak berikat. Turun naik dadanya menahan rasa takut yang menebal di dalam diri namun di saat itu hatinya memutuskan—melindungi Kayleen daripada terus diseksa oleh wanita yang telah membelanya sejak kecil itu melebihi segala-galanya.
 
"P-Puan besar J-Jang, t-tolong j-jangan p-pukul K-Kay l-lagi..." dengan teragak-agak, Mina mendongakkan kepala agar dapat bertentang mata dengan wanita tersebut. Tidak sampai tiga saat, matanya kembali dipejam erat; pasrah dengan lidah yang seolah-olah kelu berbahasa.
 
'Sepuluh...sembilan...lapan...' gerak bibir si anak yang terlalu senang untuk dibaca buat wanita itu menerbitkan sengihan pada bibirnya. "Tahu takut, heh," serunya sambil menarik kasar tangannya. Sudah tentu dia tahu bahawa mengira songsang merupakan tabiat anak yatim piatu belaannya itu apabila dia takut.
 
Tanpa membuang masa, rotan yang berada pada tangan Puan Jang pula dihayunkan ke arah Mina. Wajahnya merah merona direntung kemarahan yang membuak-buak ekoran daripada perbuatan Mina sebentar tadi.
 
"Mina!" Jeritan tidak bermaya daripada Kayleen memenuhi ruangan rumah usang yang hanya bercahayakan beberapa lampu pelita. Dengan sepenuh khudrat, gadis itu membengkokkan kedua kakinya lalu dibawa ke arah dada agar dapat membantu tubuhnya bangkit. "K-Kak M-Mina!" serunya sepenuh hati di samping memegang kuat palang kayu di sebelah kanan, dan dengan payah sekali, baru lah dia dapat berdiri semula.
 
"Mina kau nak aku kurung kau dengan kucing-kucing dalam stor bawah tu, huh?" Lontaran kata Puan Jang seakan mencetus sesuatu dari dalam minda Mina, lantas menyebabkan mata badamnya membulat.
 
'Ngiau...' Dan pada saat berikutnya, Mina seperti diserap ke dalam dimensi gelap yang berlatarkan suara ngiauan kucing. Keliling kepalanya seolah-olah dijerut oleh tali berapi, dan detik seterusnya, tubuhnya sudah bersatu dengan lantai simen.
 
Menggunakan rotan di tangan, Puan Jang menunjal dahi Mina yang berserah pasrah di bawah kakinya. "Kau ni memang gila tau tak? Sampai bila kau nak anggap semua budak perempuan yang diculik ialah adik kau? Eei, dari dulu lagi kau berdegil asyik nak tolong mereka! Adik kau dah jadi baja tanah dah...budak tolol!" Teriakannya itu berselang seli dengan tawa yang mengerikan. "Kalau bukan kerana aku, dah lama kau merempat kebulur tepi longkang! Cis, budak ingusan tak kenang budi!" Puan Jang menjegil memandang ke arah wajah Mina yang menatap kosong ruang udara di hadapan. Pada ketika itu, pandangan Mina bertembung dengan milik Kayleen, mangsa terbaru Puan Jang. Setitis air matanya jatuh berguguran manakala Kayleen pula menekup mulut dengan kedua telapak tangan; air mata turut jatuh berlinangan daripada matanya.
 
"M-Mina..." Kayleen menjangkaukan tangan kirinya ke depan di samping tangan kanan mengaut erat palang kayu agar tubuhnya dapat berdiri. Memori daripada hari pertama mereka bertemu, hari-hari yang mereka bersama tempuhi di dalam tempoh penculikan, sampai lah ke detik ini, semuanya sekali ibarat filem pawagam berlegeran di dalam otak Kayleen. Mengetap bibirnya, dia mengujar lagi, "M-Mina...h-hentikan..."
 
"Hentikan? Hm?" Puan Jang memusingkan tubuhnya menghadap Kayleen. Kening kanannya terjongket ke atas seiring dengan suaranya, "Aku nak tahu sangat...Kayleen Swan, adakah lepas kau tahu kebenaran penculikan ni..." Langkah wanita tadi perlahan-lahan menuju ke arah Kayleen pula.
 
Sindiket penculikan kanak-kanak dilakukan oleh persatuan yang dianggotai Puan Jang atas tujuan melanggani kanak-kanak tersebut sebagai hamba seks kepada "pelanggan" yang sanggup membayar wang besar. Mina yang baru berusia dua belas tahun itu pula berperanan sebagai umpan untuk memerangkap target. Sejak kematian adiknya, dia terpaksa menggantikan tempat adiknya sebagai "alat tengah" persatuan tersebut untuk menculik kanak-kanak di kawasan-kawasan yang berpotensi.
 
"Sanggup bayar duit agar anak mereka diculik...aku tak fikir ada orang tua di dalam dunia ni yang sanggup buat macam tu sehingga takdir menemukan kita, Kayleen Swan..." Bunyi guruh berdentuman di luar rumah tumpangan itu telah menenggelami suara Puan Jang yang lantang tadi. Meskipun begitu, Mina mendengar segala-galanya dengan jelas. Kedua tangannya digenggam erat menahan kemarahan di dalam hati.
 
Walau dengan gaya berdiri yang tidak stabil, Kayleen memberanikan dirinya bersuara, "B-Berhenti pukul Mina!" Anak matanya meliar seperti mencari sesuatu. Sesaat kemudian, pandangan matanya terpaku ke arah sebatang besi yang bersandar di sebalik lampu pelita. Tidak berfikir dua kali, dia mulai mengheret kaki dengan ligatnya.
 
Ruangan rumah yang malap tersebut menjadi terang-benderang sesekali ekoran daripada cahaya kilat luar. Dengan penuh kepayahan, Kayleen berjaya mencapai pangkal besi tersebut, namun terperanjat dengan bunyi guruh yang memekakkan telinga, batang besi tadi terlepas daripada pegangannya. Tubuhnya jatuh melutut di atas lantai semula. Di sampung menutup telinga dengan telapak tangan, mata Kayleen dirapatkan. "Kay ta-takut, a-abang..."
 
Wajah teman sepermainannya yang juga ialah jiran mereka, Jungkook, terpancar di mata mindanya. Di dalam memorinya, Jungkook sentiasa tersenyum indah terhadapnya. Biarpun sekarang, Kayleen masih berdoa di dalam hati agar Jungkook akan terus tersenyum. Membayangkan niat yang termeterai itu, sekuntum senyuman terlukis di bibir milik Kayleen.
 
Di dalam kekalutan itu, yang mana kilat sabung-menyabung dengan dramatiknya, mata Mina terbeliak apabila dia menyaksikan api yang sedang marak di bawah kaki Kayleen. Batang besi yang terlepas dari pegangan Kayleen tadi telah menjatuhkan deretan lampu pelita yang terletak pada bucu meja lantas menumpahkan minyak-minyak tersebut ke lantai. 
 
"Kayleen!" Mina berteriak sakan mahu menyampaikan amarannya namun suara tidak kesampaian dek bunyi guruh yang kuat dan juga kayleen sendiri yang sedang menutup kedua telinganya, malah membelakangi mereka.
 
Pada waktu ini, detik terakhir Mina bersama adiknya dahulu selaju angin mengisi kembali ruang benaknya. Ucapan terakhir yang disampaikan adiknya itu seakan terngiang-ngiang di dalam kepalanya.
 
"H-Hadiah terakhir Lisa buat kak Mina...agar akak terus hidup...d-demi Lisa..."
 
Takdir seakan menyebelahi Mina apabila batang besi tadi tergolek dan berhenti betul-betul pada hujung kakinya. Sesaat itu, terpancar suatu sinaran dari dalam anak mata Mina malah mulutnya sudah berhenti daripada memanggil nama Kayleen.
 
"Api!" Spontan, rotan terlucut daripada tangan wanita Jang itu apabila dia merasakan hada di belakang.  Api yang kecil tadi telah menjadi besar malah semakin menular ke sekeliling rumah yang sedia sempit itu.
 
Malang sekali, Kayleen masih dibuai kenangan bersama Jungkook, sekaligus menutup kedua-dua fikiran dan emosi terhadap realiti.
 
Mina pula, tanpa teragak-agak, dengan tangkas bangkit bersama-sama batang besi yang sudah beralih ke genggamannya. Dia memecut ke arah Puan Jang yang kebetulan telah membelakanginya. "Adik aku mati kerna kau!" Seruannya itu berpadu dengan bunyi batang besi ke atas dahi wanita tersebut. "Pergi mati lah, perempuan tak gunaaa!" Sambil menghayunkan lagi batang besi ke udara, Mina menjerit semahu-mahunya lalu menyerang lagi buat kali kedua, ketiga...
 
Suara teriakan Puan Jang mengejutkan Kayleen agar membuka mata dan segera memalingkan wajahnya ke arah sumber suara tersebut. Terkejut bukan main apabila dia menyaksikan api marak yang mengelilingi mereka. Mulutnya terlopong luas namun tiada sepatah pun perkataan yang terujar darinya.
 
Tanpa sempat berbuat apa-apa, tiba-tiba ada sekeping papan dari bumbung telah merempuh tubuh kecil Kayleen. Bahkan bangkai-bangkai kucing dari atas loteng tersebut turut jatuh mencurah seperti hujan.
 
Berjaya menghumban badan Puan Jang ke dalam api, tekak Mina disemai rasa loya sehingga membuatkan dia pening dan akhirnya terjelepok jatuh ke lantai. Bangkai-bangkai kucing yang bertaburan di situ malah membuatkan pandangan Mina berpinar-pinar. Sebelum kepalanya rebah ke lantai, Mina sempat terlihat tubuh Kayleen yang tidak jauh darinya, dihembap oleh papan berapi. 
 
Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!
twenty-six
4/7: Seungho --> Eunwoo :D

Comments

You must be logged in to comment
No comments yet