Prolog

Under the Sea

 

 

PROLOG 

 

 

   Tangannya ligat menyusun pakaian ke dalam beg pakaiannya. Bahu terasa dicuit dari belakang. Berpaling, dia melihat rakan sebiliknya, Luhan tersengih sambil mengambil tempat di katil bertentangan dengannya.  “Kau nak  pergi mana? Balik kampung ke?” tanya Luhan sambil menyandar pada dinding.

Xiumin terus mengangguk tanpa memandang Luhan. Dia menyambung kembali perbuatannya. “Dah lama dah aku tak balik,” Zip beg ditarik. Dia menepuk-nepuk beg yang padat dengan baju itu. “Entah apa dah jadi kat kampung tu. Last aku balik pun masa nenek meninggal.” Baru matanya menangkap kelibat Luhan. “Kau tak balik Beijing ke?”

Luhan hanya mengangkat bahu, menyatakan ketidakpastiannya. “Tengoklah macam mana.” Lelaki itu mula merebahkan badan dan memeluk bantal di kepalanya. “Buat masa ni, aku nak tidur dulu.” Tak lama kemudian, dengkuran perlahan kedengaran, menandakan bahawa lelaki itu sudah menjelajah ke alam mimpi.

Xiumin hanya menggeleng melihat gelagat Luhan. Dia merenung ke luar tingkap, merenung langit yang hitam. Malam sudah lama menjengah, memberi ruang pada penghuni dunia untuk lepaskan lelah. Xiumin menyentuh dadanya lembut. Perasaan aneh itu muncul menghantui dirinya kembali. Xiumin menjauhi tingkap dan selepas suis lampu ditutup, dia membaringkan badannya. Kelopak mata dijatuhkan, ruang kelam menyapa, sepi malam mengiringi.

Dia tahu sudah sampai masanya untuk dia pulang.

 

 

 

Putarkan masa kembali.

 

     “Okay, hari ni cikgu akan bacakan kamu semua, cerita dongeng ikan duyung!” Perempuan dalam lingkungan lewat 20-an tersenyum girang kepada kanak-kanak yang mula berlari mendapatkan tempat duduk di hadapannya. Berbeza dengan seorang budak lelaki yang hanya melontar langkah kecil menghampiri bulatan manusia itu. “Xiumin, cepat!” pinta guru itu.

 

“Jadi akhirnya ikan duyung itu menangis kerana puteranya berkahwin dengan orang lain lalu terjun ke dalam laut menjadi buih lautan..”

Guru muda itu menutup buku berkulit tebal dengan kedua-dua tangan  dan memeluk buku itu kemas selepas menamatkan cerita. Matanya memerhati reaksi anak-anak murid yang pelbagai diiringi dengan sebuah senyuman. Namun senyumannya mengendur berganti bingung melihat Xiumin.

“Kenapa manusia kejam sangat, cikgu? ”

 

 

   Kaki kerdil Xiumin berlari-lari mendapatkan ibunya yang sedang membersih halaman rumah. Pasir pantai yang tersisa di celahan jari kaki tidak diendahkan. “Omma! Tengok Xiumin jumpa benda!” jerit si anak kecil itu, menarik perhatian ibu dan nenek yang turut berada di situ.

“Jumpa apa?” tanya ibunya lembut sambil mengusap rambut hitam Xiumin. Nenek yang beriak tegas, memerhati dengan curiga. Xiumin terus meleraikan genggaman, memunculkan suatu loket di tapak tangannya. Tanpa anak kecil itu sedari, riak wajah ibunya sedikit berubah namun dikawal.

“Xiumin jumpa kat pantai tadi- Nenek!”

Loket itu sudahpun berganti milik. Kini ia berada dalam simpanan nenek yang tidak pernah sekalipun ingin bermanja dengan cucunya. “Kamu pergi pantai seorang diri?!” Xiumin terus menunduk memandang tanah, takut mendengar sergahan perempuan tua itu.

“Jangan kamu dekati laut itu, Xiumin,” Mendengar namanya disebut, dia memberanikan diri untuk bertentangan mata dengan neneknya yang garang. “Atau kamu akan ditelan oleh penghuninya.” Mata perempuan tua itu seakan memberi amaran. Anak kecil tersebut cuba untuk mengerti.

 

 

     Jia melompat-lompat kegirangan sambil dipimpin tangan oleh datuknya menuju ke jeti. “Atuk! Bawaklah Jia dengan abang naik bot hari ni!” Jia menunjuk ke arah bot nelayan usang sambil menghayun-hayunkan tangan datuk. Termakan pujuk rayu cucu perempuannya, lelaki tua itu akhirnya mengalah dan membawa mereka untuk mengikutinya mencari rezeki.

 

Abang!

Suara Jia dari atas sudah tidak didengarinya. Tirta yang menyambut tubuh sudah mula mematikan deria. Kedinginan air mula mencengkam tulang-belulang. Dia tak berdaya untuk berbuat apa-apa. Hanya mampu pejamkan mata..

Tangan itu.

Dia dapat rasakan satu tangan merangkul erat pinggang kecilnya dan meluncur laju merentasi samudera bergelora. Dada makin terasa dihimpit.

 

“Xiumin! Xiumin!” jerit si datuk yang terlambat untuk menarik lengan cucunya. Wajah Jia lesi bagai patung tidak bernyawa kerna terkejut dengan apa yang telah berlaku. Ombak makin ganas merempuh bot mereka; terumbang-ambing isi kapal untuk kembali kepada kedudukan masing-masing. Tanpa berlengah, lelaki tua itu terjun ke dalam lautan dan menyelam sedalam yang mampu.

Jia bisu menanti khabar. Dia takut. Takut jika dia kehilangan abangnya. Nenek dan ibu tidak diberitahu tentang pemergian dirinya dan Xiumin ke laut, menuruti datuk. Jika mereka tahu, pasti dia akan dimarahi mereka. Jia mula menangis teresak-esak, dihimpit sesalan.

 

Badan anak kecil yang longlai itu dibaringkan dengan berhati-hati. Tenang saja dia pejamkan mata. Terlalu tenang. Wajahnya yang semakin memucat dielus lembut, tidak mahu menyakiti dan ditenung lama. Mendengar suara manusia yang sayup-sayup menghampiri, anak kecil itu ditinggalkan sendirian oleh sang penyelamat yang membawa diri ke dasar lautan.

 

 

 

 

     Luhan mula membuat muka sedihnya tatkala bas yang Xiumin tunggu kelihatan dari jauh. Xiumin mula menyandang beg galasnya dan membimbit sebuah beg lagi. Kadangkala dia juga terfikir, selama 2 tahun dia habiskan masa di universiti, adakah ini sahaja pakaian yang dibawanya? Xiumin tersenyum kecil diselangi gelengan kepada Luhan. “Kau kenapa? Buruklah kau buat muka macam tu.”

Luhan terus membuat riak wajah sugul. “Kau kena janji, yang kau akan datang ke sini semula.” ujarnya dengan nada yang seakan merajuk. Luhan sendiri tak mengerti mengapa dia berperasaan sebegini. Perasaan yang seakan memberitahu yang mungkin dia tidak akan dapat berjumpa dengan sahabat baiknya ini lagi. Dia bencikan perasaan aneh yang sedang bermain di dalam jiwanya. Wajah Xiumin direnung lama.

Xiumin hanya ketawa perlahan. “Mestilah aku datang balik. Kau nak aku kena buang ke nanti?” Bas berhenti tepat di hadapan para penumpangnya yang sedang menunggu. Perut bas dibuka, beransur-ansur manusia meletakkan beg-beg mereka. Xiumin menoleh seketika ke arah bas sebelum kembali kepada Luhan. “Okay, bas dah sampai,” Dia menepuk-nepuk bahu Luhan. “Aku balik dulu ya.” Satu pelukan sahabat diberi.

“Janji kau datang balik?” Sempat lagi Luhan bertanya.

“Ya, ya.” Pendek saja jawapan Xiumin sebelum pelukan terlerai. Dia berlari anak bersama begnya, enggan ditinggalkan oleh bas yang mula mengeluarkan bunyi seperti dengusan. Tiket ditangannya diserah untuk diperiksa.

Luhan kekal di tempatnya, melambai buat kali terakhir kepada kelibat Xiumin yang makin menjauh di sebalik cermin kaca. Riak mukanya tegang, hatinya tidak tenang. “Kenapa dengan aku ni..”

 

 

     Seusai bas berhenti pada perhentian kampungnya, Xiumin bergegas menuruni tangga bas. Berjalan menikmati pemandangan apabila kakinya menyentuh jalan yang elok bertar di samping rumah-rumah penduduk. Terasa lama dia meninggalkan kampung ini. Kawasan berbukit memberikan satu ketenangan kepada jiwa anak muda itu. Deruan ombak dari jauh turut menyapa.

“Abang!” teriak Jia yang sedang menunggu kepulangan Xiumin di pintu gerbang kayu kediaman mereka. Senyuman mengundang di bibir Xiumin melihatkan adiknya kini telah membesar menjadi seorang gadis yang cantik. Jika dahulu, kekasarannya boleh mengalahkan seorang lelaki. Jia berlari mendapatkan abang yang dirindui.

“Jia-” Belum sempat Xiumin meneruskan kata, Jia mendakapnya erat hingga melemaskan dirinya. Terlepas beg yang dibimbit daripada genggaman.

“Lama tak jumpa abang!” Jia meleraikan pelukan dan mengembungkan pipi Xiumin dengan kedua-dua tapak tangannya. “Abang dah makin handsome sekarang!” Matanya turut tersenyum memberi pujian ikhlas.

“Jia pun makin cantik sekarang.” Xiumin mengusap rambut Jia yang masih tidak melepasi ketinggian dirinya. Beg yang terjatuh dibimbit semula dan Jia menyaut lengan Xiumin untuk berjalan beriringan.

Omma!” laung Jia dengan riuh usai memasuki kawasan rumah melalui pintu kayu lama yang besar itu. Matanya melilau-lilau mencari bayang susuk ibunya. “Abang dah sampai ni!”

“Xiumin?”

Kepala pemuda tersebut tersentak ke arah suara yang cukup sinonim di telinganya. Perlahan-lahan, susuk ibu itu turun dari anjung rumah untuk menyambut anaknya. Xiumin merendahkan badan dan memeluk Puan Kim dengan penuh rindu.

Omma ingat kamu tak nak balik sini dah..” ucap Puan Kim dengan kesayuan. Xiumin segera menggeleng.

“Kenapa pula saya nak buat macam tu? Maaf omma, saya sibuk dekat sana.” Belakangnya diusap lembut oleh Puan Kim.

“Takut kamu masih berkecil hati dengan nenek..”

 

 

 

     Xiumin menepis lengan ibu yang cuba memujuknya. Hatinya membuak dengan rasa tidak puas hati. “Nenek kenapa?! Kenapa larang sangat saya pergi ke pantai?!” Anak remaja itu membentak tanpa gentar akan renungan tajam nenek. Pipinya masih hangat terasa kesan tamparan.

“Nenek larang bersebab. Bukan hanya untuk suka-suka!” balas wanita tua itu, masih bernada tegas. Angin malam yang bertiup menerusi jendela, langsung tidak mampu untuk meredakan suasana tegang keluarga. Jia hanya memerhati dari sebalik dinding, enggan mencampuri perbalahan mulut itu. Ayah juga tidak menuturkan sebarang kata. Dalam diam, dia mengiakan kata-kata ibunya. “Kamu masih tak serik lagi? Dulu kamu lemas-”

Xiumin ingin membidas kembali, namun ibunya menegah.

“Dahla tu Xiumin..” Ibu memeluk Xiumin dari sisi. Bahu anaknya diusap untuk menenangkan perasaan amarah remaja itu. Kali ini Xiumin tidak melawan, mungkin tersentuh akan suara pujukan ibu. “Nenek buat macam ni pun sebab sayangkan kamu..” Mendengar penjelasan ibunya, Xiumin lantas melontar pandangan dingin kepada nenek seakan menunggu untuk wanita itu mengatakannya. Namun, hanya rasa kesal mula bermain di wajah nenek maka dia bangun dari tempatnya lalu beredar.

“Dah,” Suara ayah baru kedengaran. “Kamu pun Xiumin, jangan merayau tengah malam lagi, faham? Kalau apa-apa terjadi, siapa nak tolong?” ujarnya sambil berdiri dari sofa usang dengan perlahan-lahan. Xiumin masih cuba menafikan kesalahannya namun dia bungkam. Dia hanya melirik mata ke tempat lain. “Sekarang kamu pergi masuk tidur.”

Xiumin ditinggalkan bersendirian di ruang tamu. Dibiarkan dirinya bertengkar dengan perasaannya sendiri. “Salah ke apa yang aku buat? Salah ke aku nak hirup udara segar kat pantai?” omel Xiumin dengan suara rendah.

“Abang ada jumpa sesiapa ke dekat pantai?” Jia tiba-tiba muncul dan mengambil tempat di sebelah Xiumin yang nampak terkejut dengan kehadirannya.

“Kenapa Jia nak ambil tahu?” Marahnya masih tersisa. Jelingan diberi oleh Xiumin yang mencuka. Lama abangnya mendiam, Jia akhirnya hanya mengalah. Dia menggeleng dan meninggalkan abangnya berseorangan. Xiumin melihat kelibat adiknya yang menghilang dalam kesuraman rumah. Ingin dia memberitahu adiknya itu. Jia memahami isi hatinya yang sering disalahertikan. Namun, dia dalam keraguan.

Sebenarnya abang pun tak tahu apa yang abang nampak..

 

 

 

    “Luhan macam mana? Sihat ke?” tanya ibu sambil menyusun lauk-pauk yang dimasak sempena kepulangan anak lelakinya di atas meja makan kecil mereka. Tangan tak henti daripada bergerak. Jia menggeleng sambil memerhati gelagat ibunya. 

Xiumin datang duduk bersila bertentangan dengan Jia. “Dia sihat, omma.”

Luhan adalah kawan karibnya sejak remaja lagi. Xiumin membawa diri ke kota selepas tamatkan persekolahan. Luhanlah orang pertama yang menegur dirinya yang berat mulut untuk berbual dengan orang asing. Menjadi peneman setia, mengharungi zaman remaja yang mencabar sehingga kini.

“Baguslah macam tu. Nah, makan ni,” Puan Kim meletakkan beberapa cebis daging ke dalam mangkuk nasi Xiumin. “Omma masak khas untuk kamu.” Xiumin yang masih tidak berubah sikap pendiamnya, hanya mengangguk dan mula mengambil penyepitnya.

“Habis Jia tak boleh makanlah?” usik Jia yang berpura-pura membuat rajuk. Dia memuncungkan bibir dengan kebudakan, menggambarkan kesedihan hatinya.

“Mana ada. Kamu ni,” Puan Kim segera menyepit kepingan daging yang membuatkan Jia tersengih. “Nah, makanlah banyak-banyak.”

“Ayah dan datuk mana, omma?” Xiumin tiba-tiba melontarkan soalan memandangkan suasana rumah yang agak sunyi. Waktu sudah hampir menjengah lewat petang. Langit mula bertukar keperangan.

“Macam biasalah, Xiumin. Masih dekat lautlah. Mungkin esok ayah dan datuk kamu tu pulang.”

 

 

     Kelopak matanya terus terbuka dalam kegelapan malam. Deruan ombak samar-samar bermain di telinga. Xiumin perlahan-lahan bangkit dari pembaringan dan menghampiri beranda rumah. Lantai kayu berkeriut tatkala dipijak. Xiumin mengeluh, terasa kepalanya berat sekali. Sudah kerap kali dia mendengar seseorang memanggil namanya. Entah sama ada itu hanyalah mainan tidur ataupun tidak. Suara itu pasti menghilang apabila matanya terbuka. 

Bayu dingin pantai seakan menyeru Xiumin untuk menghampiri pesisirnya. Terasa damai dan tenang. Dia menarik udara dingin itu memenuhi ruang peparu yang seakan sesak dan menghembusnya kembali. Walaupun sudah hampir 3 tahun dia habiskan masanya di ibu kota, hatinya tetap merindui. Kedamaian itu tidak pernah berubah.

           

      Langkah diatur dengan berhati-hati, enggan menyedarkan si penghuni rumah yang sedang nyenyak dibuai mimpi. Pintu kayu dikuak tanpa bunyi, lalu Xiumin segera menyelinap keluar. Laluan lengang yang elok bertar di sepanjang jalan langsung tidak memberi gentar pada jiwa lelaki itu. Bayu laut semakin galak menyapanya, menggesanya untuk bersegera.

Menuruni beberapa anak tangga batu, Xiumin akhirnya tiba di tempat yang sentiasa bermain di mindanya. Pantai yang tanpa sedar, meninggalkan kesan kepada pemuda itu.

Irene?

Angin malam menampar telinga, menemani pemuda itu menunggu kedatangan si gadis yang diseru nama.

Aku ingin berjumpa dengan kau.

Anak mata pemuda itu terus melilau-lilau mencari suatu kelibat. Badan berpusing ke belakang apabila terdengar suatu bunyi. Penglihatannya terus fokus pada suatu batu tunggul yang besar. Dia mengamati lembaga itu. Kelihatan seorang gadis, rambut panjang mengurai yang disisip di samping bahunya sedang duduk membuang pandangan ke arah ombak tenang. Mendadak dia rasakan otot-ototnya menegang. Jantung makin laju menghentak.

Xiumin menyeluk kocek seluar khakisnya dan mengeluarkan suatu loket bertahtakan permata biru tua. “Ini kau punya bukan?” Dengan yakin dia lontarkan soalan.

Tanpa menoleh, bayu menjadi perantara bicara antara pemuda dan gadis itu. "Kenapa kau kembali?"  Walaupun tiada suara yang dilontarkan, Xiumin dapat mendengar bisikan itu. "Kau tahukan siapa aku?"

 

 

 

     Xiumin merenung loket yang terjuntai dari genggaman tangan, yang terbuai-buai mengikut alunan bayu. Terdetik seketika perasaan takut dan bersalah dalam hatinya kerana dia mengambil loket yang berada dalam simpanan nenek, tanpa pengetahuan. “Ah, lantaklah! Aku yang jumpa benda ni dulu.” Xiumin cuba memadamkan perasaan tersebut daripada mempengaruhi jiwanya. Permukaan batu tunggul di bawahnya dihentak berkali-kali, melepaskan geram. Kembali reda, anak remaja itu beralih merenung ombak yang bergulung. Sekali lagi, Xiumin tanpa gentar melanggar larangan keluarganya. Sekali lagi, di kala tengah malam dia kembali ke sini.

Dengan satu keluhan, dia meletakkan loket di atas tapak tangannya.

“Duhai si pemilik loket, aku ingin bertemu..”

Tanpa berfikir panjang, remaja itu menyeru dengan sayu.

 

Xiumin dapat rasakan badannya makin membahang. Dia yakin dia ternampak sesuatu tadi. Tapi siapa pula yang berani berada di pantai tengah malam buta macam ni? Berbekal lampu pelita, anak remaja itu tanpa sedar, menapak ke hadapan menuju ke arah batu-batu tunggul di gigi pantai. Keberanian dirinya tidak perlu disangkal, Xiumin sememangnya tidak mudah melatah dengan perkara sebegini.

Xiumin menggumam sendirian apabila terlihat satu susuk tubuh seakan bersimpuh di atas batu. Makin dihampiri, makin jelas suara mendayu kedengaran. Nalurinya mula membisikkan sesuatu yang menakutkan.

“Siapa tu?”

Perempuan itu menoleh ke belakang, memperlihatkan raut wajahnya. Masing-masing seakan terpegun, merenung sesama sendiri. Xiumin tanpa disedari meneguk air liurnya tatkala perempuan yang sangat jelita di hadapannya mempamerkan satu senyuman penuh muslihat.

"Akulah yang kau cari selama ini," Serta-merta langkah Xiumin terpaku pada bumi. "Yang dibenci oleh nenek kau."

 

 

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
Seasony
#1
Chapter 2: Hai babe! story ni published 2015 and after 2 years I come and read it again. really love this. Especially baca sambil dengar lagu Winter Is Coming. fuh feeling habis! Goodjob<3
Yana_xoxo
#2
girly_
#3
Chapter 2: seramnya... btw... nenek xiumin menakutkan lah hehe...
kageka #4
Chapter 2: Meremang bulu roma aku....haaaaah...btw, best!
cicakobeng
#5
Chapter 2: Ohhh. Bestnya. Adakah ayah xiumin pernah ada something ngan duyung tu? Kenapa dia ambil xiumin? Kenapa tak ambil je ayah xiumin? Kenapa perlu dia simpan xiumin dalam laut lama2 ? Kesian xiumin. Dalam laut tu, xiumin hidup lagi ke tak? Anyway, nice story.
JEON_JI #6
Chapter 2: Bestnyee... Dh lme rasanya tk baca fic angst mcm ni.. T^T Sedihh...btw, best sangat...
Bini_capang #7
Chapter 2: woah~very nice fic..teringin sangat nak tahu apa yg irene tu buat pada xiumin..kesian xiumin..sbb dendam dia yg jadi mangsa ;'(..and just wanna say that cutenya woozi and mingyu~kyaa~*fangirling mode*hihihi..daebak authornim!
Kpop_fan21 #8
Chapter 2: Wow.. nice work...hhehe I rarely read fanfic in bm and this was the first... good job I like your works.... all my bias in there ^^
Bini_capang #9
look interesting~update soon..hwaiting!!