Before...

Through the Eyes of a Child
P R O L O G U E

Before...
July 30th, 2014, 01:53 pm.


 

 

Anak kecil berusia sembilan tahun itu memandang hambar angka berdakwat merah yang tertera pada helaian kertas bagi subjek bahasa inggerisnya. Mulutnya melepaskan sebuah keluhan berat manakala wajahnya pula jelas menunjukkan bahawa dia berasa kecewa atas keputusan peperiksaan pertengahan tahunnya yang kurang memuaskan. Pelajar mana yang tidak bersedih apabila mereka gagal dalam peperiksaan? Puas dia menghafal dan mengerjakan latihan sebagai persiapan untuk berdepan ujian itu. Namun segalanya terasa sia-sia apabila kertas bahasa inggeris itu diserahkan kembali kepadanya.

                                         

Sehun mengatur langkah longlai menuju ke arah perhentian bas yang terletak betul-betul dihadapan sekolahnya dengan muka masam mencuka. Dia sedang marah dengan guru bahasa inggerisnya, Ms. Jung yang sememangnya tidak begitu menyukainya semenjak dia menjejakkan kaki ke dalam sekolah itu lagi. Kalau benci sekalipun, guru itu sepatutnya menghargai usaha keras yang dia curahkan. Cikgunya itu tidak tahu betapa pentingnya peperiksaan itu buat Sehun. Hatinya bertambah resah apabila mengenangkan amaran ibunya beberapa hari lalu. Dia tidak tahu bagaimana hendak berdepan dengan orang tuanya nanti.

 

Dia mengerling matahari petang di kaki langit, menandakan hari akan melabuhkan tirai tidak lama lagi. Langit yang terbentang luas itu telah berubah kepada warna jingga dan indigo dan sedikit kemerahan. Kelihatan burung-burung terbang pulang ke sarang. Kawasan sekolahnya telah pun lengang dan sunyi tanpa kehadiran seorang manusia melainkan dirinya. Dahinya berkerut sedangkan jari-jemarinya mula bergerak gelisah seiring dengan perasaannya. Di manakah ibu bapanya? Kenapa mereka masih belum menjemputnya?

 

Jam putih yang tersemat kemas pada pergelangan tangannya dilirik untuk kali keduanya – sudah pukul 6.30 petang. Dia mengetap bibirnya sambil terus mengedarkan pandangan ke kiri dan kanan, mengharapkan kedatangan penjaganya. Perlukah dia pulang sendiri? Jarak antara sekolah dan rumahnya tidaklah begitu jauh tetapi dia tidak yakin untuk bersendirian sepanjang perjalanan. Untuk beberapa minit, dia hanya termenung memikirkan baik dan buruk tindakannya. Apabila difikirkan semula, lebih baik dia pulang sekarang daripada terus menunggu ibu bapanya yang entah bila akan tiba. Dia menganggukkan kepalanya, bersetuju dengan dirinya sendiri.

 

Dia bangkit perlahan dan mula mengorak langkah. Dia menyanyi kecil, cuba untuk menghiburkan hatinya yang sedang bimbang. Sehun baru sahaja berjalan dalam jarak lebih kurang 100 meter apabila dia didatangi perasaan resah. Dia dapat merasakan kehadiran seseorang di belakangnya. Walaupun pada awalnya dia beranggapan bahawa semua itu cuma imaginasinya, dia sebenarnya silap. Lama-kelamaan, deria pendengarannya dapat menangkap bunyi halus tapak kasut yang mengiringi setiap langkahnya.

 

Sehun menelan ludah pahit. Sungguh, dia berasa sangat takut sekarang ini. Kakinya terasa kaku manakala sekujur tubuhnya gementar. Langkah kakinya mati. Otaknya ligat berputar memikirkan cara terbaik untuk berdepan dengan situasinya kini. Dengan perasaan ragu-ragu, dia perlahan-lahan menoleh ke belakang. Namun begitu, belum sempat pandangan matanya menangkap kelibat manusia, sepasang tangan kekar mengunci pergerakannya dan sehelai kain putih ditekup kuat pada mulutnya. Bau chloroform meruap masuk ke dalam hidungnya. Dia meronta-ronta minta dilepaskan namun jeritannya langsung tidak dihiraukan. Pandangan matanya berubah kabur sedangkan pergerakannya sedikit demi sedikit melemah sehinggalah akhirnya dia terus tiada upaya untuk mengekalkan kesedarannya. Dalam keadaannya kini yang tidak mampu berbuat apa-apa, satu-satunya perkara yang berlegar dalam benaknya hanyalah satu; Luhan.

 

 

 

<>/<>/<>/<>/<>

 

 

 

“Hey, budak hitam! Ke marilah,” seru gadis bertubuh mungil itu dari kejauhan sambil tertawa kecil. Rambut panjangnya yang berkilau di bawah cahaya dari lampu jalanan bergerak lembut ditiup bayu. Kulit putih pucatnya serta senyuman indah yang terukir pada bibirnya menambahkan lagi keayuannya.

 

Peria itu terseyum kecil. Perempuan itu terlalu sempurna di matanya. Jika hendak dibandingkan dengan dirinya yang serba tiada, mereka umpama langit dan bumi. Jongin menghampiri perawan itu sambil berpura-pura menjelingnya. Gadis itu sekadar tersenyum, langsung tidak mempedulikan tatapan daripada lelaki yang sudah dikenalinya selama 3 tahun itu. Dia malah menarik lengan pemuda yang sekaligus bergelar teman lelaki kepadanya itu ke arah sebuah tasik besar yang terletak dihadapan mereka.

 

“Kat sini, pemandangan lebih jelas. Lagipun tak ramai orang macam kat padang tadi,” ujarnya masih tersenyum manis. Taburan bintang pada langit malam dipandangnya sekilas sebelum matanya mendarat pada wajah Jongin disampingnya.

 

“Janganlah buat muka masam macam tu. Lagipun awak dah janji nak tengok bunga api sama-sama, kan?” sambung perawan itu lalu melabuhkan punggungnya di atas hamparan rumput.

 

Peria itu mengeluh kecil. Bukannya dia tidak mahu… Cuma dia berasa risau akan perhubungannya dengan gadis itu. Mereka masih terlalu muda untuk bersama. Tambahan lagi dia hanya anak jalanan yang terbiar, langsung tidak setaraf dengan teman wanitanya yang merupakan anak tunggal kepada orang ternama di kawasan tersebut. Tetapi apabila melihatkan wajah perempuan itu yang penuh harapan, dia jadi…tidak sanggup.

 

‘Tak mengapa. Cuma hari ni saja. Lupakan semuanya untuk seketika, Jongin,’ getus hatinya sebelum menempatkan dirinya di samping perawan berdarah campuran itu.

 

Jongin tersenyum lembut apabila gadis itu meletakkan kepalanya di atas bahunya. Tangannya meraih jari-jemari halus milik teman wanitanya kemudian dikucup beberapa kali. Seandainya masa mampu dihentikan, dia pasti memilih detik ini – saat di mana hanya ada mereka berdua, saat di mana realiti kehidupan mereka dilupakan untuk seketika. “Aku harap kita boleh lari daripada kekejaman dunia ni…” bisiknya tatkala angin malam menampar wajah. Perempuan itu mengangkat kepalanya dan menatap dalam mata Jongin. Terdapat sinar bahagia yang tidak dapat lelaki itu ertikan dengan kata-kata pada raut wajahnya.

 

“Betul juga! Awak, jom kita lari,” sahut gadis itu teruja seolah-olah baru sahaja dapat menyelesaikan permasalahan rumit dalam subjek calculus. Pemuda itu mengangkat keningnya tanda tidak percaya. Sungguh? Wanita pujaannya itu baru sahaja mengajaknya untuk kabur?

 

“Kau dah gila ke apa? Nanti kalau ayah kau tahu macam mana?” ujar lelaki itu tidak percaya. Perawan itu kembali terduduk di samping Jongin. Senyuman manis yang tadinya menghiasi lukisan wajahnya kian memudar, digantikan dengan sebuah seyuman pahit.

 

"Saya tak peduli kalau ayah saya dapat tahu sekalipun...Saya tak takut. Selagi awak ada di sisi saya, semuanya akan okay," dia berkata yakin sambil mengangguk kecil. Sepasang mata miliknya menerawang sayu, memerhatikan kanvas hitam yang dihujani bintang-bintang berkelipan. Peria itu sekadar mendiamkan diri. Genggaman tangannya dieratkan, seolah-olah takut kehilangan gadis itu.

 

Kepercayaannya terhadap teman lelakinya terlalu tinggi sehingga pemuda itu takut seandainya dia akan melukai wanita itu. Dia merenung setiap ukiran pada rautnya sebelum mendekatkan wajahnya lalu mengucup lembut kening perempuan itu.

 

"Andai saja..."

 

 

 

 

 

"...masa itu boleh diundur.." sambung Kai perlahan sambil memerhatikan sang suria yang mula menampakkan cahaya di ufuk timur. Memori itu masih menghuni sudut sepi fikirannya; saat-saat bahagia di mana mereka masih bersama...dan saat di mana dia masih bergelar Kim Jongin.

 

 

 

<>/<>/<>/<>/<>

 

 

 

"Macam mana boleh hilang? Mak dan ayah memang tak pernah pedulikan kami, kan? Sebab tulah Sehun boleh kena culik," suara kecewa Luhan bergema di segenap pelusuk banglo mewah itu. Dia marah, sangat marah dengan kelalaian orang tuanya.

 

Tie yang terasa menjerut lehernya segera dilonggarkan. Dia melepaskan keluhan kesal sebelum melarikan jari-jarinya pada rambutnya yang sudah pun berantakkan. Dia telah mendapat panggilan telefon daripada ibunya yang mengabarkan bahawa Sehun masih belum pulang dari sekolah. Tanpa berkata apa-apa, dia bergegas ke sini dan meninggalkan segala tugasannya di lokasi pergambaran. Dan apabila berdepan dengan ibunya, dia tidak mampu lagi untuk menahan amarahnya.

 

Adik lelakinya itu terlalu menurut kehendak ibu bapanya. Oleh sebab itulah Sehun menjadi anak emas kepada mereka sedangkan Luhan hanya dianggap umpama biawak hidup yang tidak henti menyusahkan hidup mereka. Luhan sering bertindak sesuka hati dan juga merupakan seorang anak yang keras kepala dan tidak sedikit pun mengikut telunjuk orang tuanya. Sedangkan Sehun pula, dia selalu merasakan bahawa dirinya tidak cukup baik dan sentiasa berusaha untuk memenuhi kehendak ibu bapa mereka.

 

"Mak tengoklah apa dah jadi pada dia. Mak puas tak? Satu-satunya boneka yang mak ada akhirnya dah rosak, kan? Dan itu salah siapa? Salah mak sendiri! Kenapa mak tak pernah nak faham perasaan kami? Saya tahu mak cuma mengharapkan kejayaan kami...Tapi mak fikir hidup ini semata-mata untuk berjaya? Kami sebagai anak mengharapkan kasih sayang dan sokongan, bukannya kongkongan! Kenapa mak dah berubah? Sebab duit? Harta?"

 

Pertanyaan demi pertanyaan terlontar keluar dari mulutnya. Air matanya bertakung di pelupuk mata.

 

"Semua itu hanya sementara, mak. Tapi mak kena ingat bahawa manusia juga bersifat sementara...tiba masanya mereka akan pergi jua. Harta boleh dicari...tapi nyawa, tiada gantinya. Sekarang ni, bila keadaan dah jadi macam ni, baru mak nak cari saya? Apakah saya di mata mak? Patung? Mainan?" jeritannya kedengaran memilukan dan hati ibu mana yang tidak bersedih apabila berdepan dengan situasi begini? Dia sedar bahawa dirinya alpa, terlalu mengejar kejayaan dunia sehinggakan anak-anak terabai. Tetapi mendengarkan ucapan itu keluar dari mulut anak sulungnya sendiri terasa jauh lebih menyakitkan.

 

"Saya kecewa sangat dengan mak," kalimah terakhir itu diucapkan sebelum dia kembali berpaling ke arah pintu masuk rumahnya. Air mata lelakinya yang dari tadi ditahan sekuat hati akhirnya tumpah membasahi pipi. Dia tewas. Ikrarnya dahulu untuk menjadi seorang lelaki berwibawa yang mampu memimpin keluarganya telah dimungkiri.
 

 

 

 


Author's Note
 

Finally, the first chap is updated! Okay, saya sangat depressed waktu tulis cerita ni -_-

Korang yang membaca pun mesti stress, kan? Saya nak bagi feel, that's why la tulis bukan main berbunga bahasa lagi.

Anyway, comments kalau korang ada apa-apa cadangan atau tak puas hati ke...

Mungkin korang rasa story ni horrible?  Whatever...(saya rasa dah putus asa pulak)

Chappie ni lebih kurang sama je dengan yang saya dah post hari tu sebab saya memang tak plan pun nak ubah prologuenya.

Leave me some feedback please ^O^ 

 

Rainbow_fairy

 

 
Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
No comments yet