Bab 2

Flawless

KERJANYA diteruskan sehingga jarum jam sudah menunjukkan pukul sembilan malam. Kebanyakan pekerja lain sudah pulang menatap rumah. Dia pula bertungkus lumus dengan Razif di sini. Zuhayl alihkan pandangannya seketika kearah Razif. Jelas kelihatan di riak wajah Razif yang dia tidak berpuas hati dengan hakikat bahawa dia akan menghabiskan waktunya sehingga pukul 10.00 malam nanti di pejabat, dan bukannya di rumah. Komputer itu Zuhayl tenung kembali. Ada sikit sahaja tugasan berbaki sebelum selesai segalanya. Bolehlah balik awal. Otot-ototnya diregangkan seketika. Tulang tangannya dikeriak-keriukkan, melegakan penat yang bertandang.

 

“Coffee?,” kedengaran nada lembut menghiasi telinganya. Bulu roma Zuhayl perlahan-lahan naik. Rasanya tadi semua rakan sekerjanya sudah keluar dari pejabat ini. Jadi, suara siapa pula bermain di belakangnya? Suara perempuan pula tu. Bibirnya membeku. Dia dapat melihat Razif dari ekor matanya. Nak minta tolong, jauh sangat kedudukannya dengan kawannya itu. Tangannya diangkat dalam pergerakan slow-motion. Mahu berdoa. Dalam hati, dia mengutuk diri sendiri, ‘Kau ni, dah jadi macam ni, baru nak ingat tuhan. Baru reti nak puh kanan, puh kiri.’

 

“I need an answer. Do you want a cup of coffee?,” telinganya berdenyut menahan debaran yang semakin menggila. Benda tu bersuara lagi dah. Aku tak tahu pula hantu sekarang banyak dah graduate. English education. Mungkin berkat bermastautin di pejabat yang kebanyakannya terdiri dari golongan bijaksana.

 

“Bismillah…,” Zuhayl memulakan bacaan. Tapi, masalahnya ayat Kursi dah tunggang-langgang dalam kepalanya. Satu baris pun dia tak ingat dah. Huh, okay, relaks. Aku belum sedia nak tawakal kena ngap dengan makhluk kat belakang aku ni. Berbekalkan pengalaman sebagai pelari dari rumah dulu, dia segera membuka langkah seribu, menuju ke meja Razif. Tak kisahlah orang nak cakap dia lari macam kayu ke, macam batu ke, macam kuih lapis ke, dia tak kisah. Yang penting, Razif perlu dicapai untuk dijadikan kambing hitam. Agak-agak kalau hantu tu dah kenyang makan Razif, dia selamat ke tidak?

 

Razif berjaya dicapai dengan jayanya. Dalam keadaan temengah-mengah, dia berlindung di bawah meja Razif. Kemudian, dia keluar balik. Lupa pula yang dia ada klaustrofobia. Zuhayl bergerak pula ke belakang kerusi Razif.

 

Razif terpinga-pinga sebentar. “Kau dah kenapa, Hayl? Mabuk ketum?,” sinis Razif bertanya. Mendengarkan kata-kata itu, Zuhayl menjeling Razif setajam yang mungkin. Biar mencucuk-cucuk ke dalam sanubari Razif yang tiada hati itu.

 

“Kau jangan nak sarkastik sangat boleh tak?”

 

“Then, bagitahulah aku. Kau ni apahal?”

 

“Zif, kau takkan percaya punya..”

 

“Cakap je la”

 

“Kau mesti akan rasa aku gila. Aku tahu kau takkan percaya!”

 

“Aku lempang jugak mamat ni. Eii, Hayl, aku boleh buatkan kau sia-sia je hidup selama 25 tahun ni. Choose, nak penendang ke penumbuk?,” Razif pura-pura menunjukkan buku limanya. Geram sungguh. Tadi kata dia sarkastik, bila suruh cerita pula, kata dia takkan percayalah apalah.

 

Zuhayl mendepangkan tangannya, konon ingin mengelak tumbukan Razif yang belum digerakkan itu. “Wouh, wouh, jangan marah. Aku dengar suara dekat belakang aku, Zif. Bulu roma aku dah naik dah. Kau ingat tak, dulu waktu kita mula2 masuk pejabat ni, senior kita selalu takut-takutkan kita dengan story-story macam ni. Tu yang aku tak fikir panjang. Lari terus lah kat kau.” Habis sahaja Zuhayl bertinta, Razif membuka tawanya. Terbahak-bahak gelaknya. Beberapa minit baru dia boleh bertenang dan mengawal diri.

 

“Sorry, bro. Lawak sangat. Kau lari kat aku tu part paling lawak. Hayl, kau ingat aku pawang? Bomoh? Pak Ustaz? Nak lindung kau bagai. Silap-silap, kalau aku nampak, aku ucap sayonara dulu kat kau. Dah, pergi sambung kerja.”

 

Zuhayl mengetap gigi. Rakannya yang seorang ini memang. Aku dah cakap dah dia takkan percaya punya. Sibuk suruh aku cerita. “Zif, sampai hati kau. Terasa tau buah pinggang aku. Aku nak balik dulu. Kau duduk sini sorang-sorang.”

 

Riak muka Razif seperti tiada perasaan. Dia keluarkan sesuatu dari poketnya. “Kau nak balik, pergilah. Kunci rumah ada kat aku, bro.” Kunci yang berada di tangannya digoyang-goyangkan, mengusik Zuhayl. Ya, amnesia seketika, mereka ini juga teman serumah. Zuhayl menjeling. Menyesal tak buat kunci pendua. Dia diam memandangkan situasi ini tidak berpihak kepadanya.

 

“Lagi 30 minit je nak balik, sabarlah,” Razif bersuara lagi. Naluri kemanusiaannya berkutik melihat Zuhayl yang menggeletar satu badan itu.

 

Zuhayl menarik dan menghembus nafasnya berkali-kali. Kakinya digagahkan supaya berdiri. Mood untuk menyiapkan kerja sudah hilang dibawa angin bayu. Biarlah, deadline lambat lagi. Sampai sahaja di mejanya, dia larikan bola mata ke seluruh arah. Tiada. Tiada apa-apa yang pelik. Lantas, tangannya laju menutup komputer ribanya. Dimasukkan ke dalam beg bimbit. Kertas-kertas yang bertaburan di meja disusun dan diatur di dalam laci.

 

Setelah selesai mengemas apa yang patut, dia kembali ke meja Razif. Duduk di sana mungkin dapat menghilangkan sedikit ketakutan. Selama 30 minit yang berbaki itu, habis segala sindiran dan tohmahan yang dikeluarkan Razif khusus buat dirinya.

'Tunggulah time kau pula, aku ejek habis-habisan.' Zuhayl memasang tekad.

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
No comments yet