Bab 1

Flawless

HUJAN turun lebat di sekitar kawasan kampung itu. Kilat saling sabung-menyabung memancarkan cahaya. Pokok-pokok bergentayangan ditiup angin. Di sebalik keriuhan bunyi hujan menimpa bumi, ada seorang anak kecil berdiri sepi di tepi tingkap sebuah rumah yang serba usang. Memerhati kejadian alam yang Allah ciptakan. Dentuman guruh yang garang tidak mampu membuatkan dia takut sedikit pun. Malah, sepasang mata comel itu semakin liar meratah pemandangan di luar rumahnya.

 

“Zuhayl, jangan duduk tepi tingkap tu, nak. Bahaya.”, suara ibunya kedengaran dari belakang. Lantas, anak kecil bernama Zuhayl itu segera berinjak dari tepi tingkap tersebut. Kakinya melangkah ke arah kerusi kayu yang sudah agak nazak. Punggungnya dilabuhkan. Kedengaran bunyi berkeriut dihasilkan oleh kerusi itu. Dia duduk tegak. Kemilau indahnya memerhati pergerakan ibu yang tercinta. Dari dapur, ibunya terjengul keluar sambil membawa secawan air kopi yang masih berasap nipis. Tanpa ragu, anak kecil itu sudah dapat mengagak siapakah gerangan pemilik kopi itu. Pasti buat ayah tirinya yang sedang bersantai di ruang tamu utama.

 

Wanita berstatus ibu kepada seorang anak itu berlalu ke ruang tamu utama sambil dibuntuti Zuhayl. Air kopi disajikan di depan suami barunya. Manakala, dia setia berdiri di sisi meja. Cawan diangkat. Air berwarna hitam pekat itu disisip perlahan oleh lelaki yang baru dikahwininya dua bulan lalu.

 

Tidak sampai beberapa saat, air kopi yang berada di dalam mulut jejaka berusia 30-an tersebut diludah semula. Mata lelaki itu mencerlung tajam memandang isteri yang dilayan seperti orang gajinya. “Dahlah buat kerja lambat. Air pun rasa macam najis. Kau ni bodoh sangat ke sampai tak reti buat air kopi?!,” tidak cukup dengan kata-kata nista, dia mulai bangun berdiri. Isterinya menundukkan kepala. Muka bersalah yang ditayangkan tidak berkesan untuk membuatkan dia berasa belas dan kasihan. Kesalahan sekecil zarah sekali pun jika dibuat oleh orang yang paling dibenci pasti akan kelihatan sebesar gajah. Tangan lelaki itu turut cuba dihayun menghinggapi pipi wanita itu.

 

Perbuatannya terhenti apabila kakinya terasa seperti dipeluk. Pandangannya dihala ke bawah. Anak tirinya sedang berusaha mengerah tenaga bagi menahan langkahnya sambil mulut mungil anak kecil itu terkumat-kamit mengatakan sesuatu yang sangat jelas untuk didengar. “Pakcik, janganlah pukul ibu lagi! Ayah saya jentik ibu pun tak pernah. Jangan buat ibu macam ni lagi. Jangan…,” kata-kata dari Zuhayl terhenti apabila tangan kurusnya dipulas dan badannya ditolak kasar mencium lantai. “Bapak kau dah mati! Jangan sampai kau pun mati aku kerjakan!.” Ibunya bergegas menghampiri tubuh kecil itu. “Ayah marah ibu sebab ibu buat salah. Ye, sayang. Lain kali, jangan masuk campur tau. Zuhayl kan pandai,” sendu sekali suara ibunya menuturkan setiap patah perkataan tersebut. Tangan yang tadi di pulas lelaki durjana itu kelihatan mula membengkak. Diusap-usap tangan itu dengan harapan sakit anak lelakinya itu beransur hilang.

 

"Pakcik tu bukan ayah Zuhayl," perlahan bibir itu mengungkapkannya. Namun, seperlahan manapun, masih mampu didengar, menguasai ruang. Lelaki itu mencapai rotan yang tergantung di dinding. Ingin disebat anak itu tapi sebaliknya berlaku. Tubuh ibu, keringat seorang ibu itu memeluk, melindungi mana-mana bahagian yang mungkin terkena bisanya rotan itu. Sanggup korbankan tubuhnya pula agar dilukai.

 

“Kau ni Siti, tak reti ajar anak ke? Anak kau dengan si Wahid tu sama saja. Dua-dua perangai macam beruk!” Ibunya hanya diam seketika, kemudian, membalas perlahan,”Orang yang dah meninggal, janganlah disebut-sebut lagi, bang.” Sejurus saja kata-kata itu diluahkan, rambut sepanjang bahu miliknya direntap kasar. “Dah pandai melawan sekarang! Kau ingat kau siapa!”

 

Air mata yang gugur dari pipi mulus itu langsung tidak dihiraukan. Anak kecil yang terlantar di lantai tiada daya tidak dipedulikan. Lelaki baran itu sedang bermahkotakan dendam. Dendam yang dicipta setelah peristiwa Wahid melanggar lari adiknya. Walhal, kejadian itu cuma salah sangka yang tiada saksinya.

 

Salah faham dan dendam yang diadun bersama telah menghasilkan penderitaan tidak berkesudahan bagi Siti dan anaknya. Konon perkahwinan yang dilangsungkan dua bulan lalu adalah tanda pengikat cinta. Siapa sangka rupa-rupanya perkahwinan ini cuma bermotifkan dendam. Selama dua bulan, tidak pernah anggota badannya bebas dari pukulan yang bukan calang-calang sakitnya. Anaknya juga jadi mangsa tanpa dosa. Entah bila akan berhenti semua hukuman yang tidak berpaksikan keadilan ini. Mungkin dua tahun lagi, mungkin lima, mungkin lapan tahun. Mungkin selamanya…

 


 

“ZUHAYL Nadi bin Wahid.” Bahunya ditepuk kuat. Angan Zuhayl terhenti. Matanya memandang si pemukul bahu, Razif. Merangkap kawan baiknya “Kau berangan apa, bro. Nama kau dah kena panggillah dengan nurse tu. Sah-sah kejap lagi nurse tu sakit tekak menjerit melolong panggil nama kau. Pergi masuk bilik doktor tu cepat.” Zuhayl bangun dan segera bergerak menuju ke bilik doktor swasta itu. Pintu ditolak. Kelihatan doktor muda yang sudah lazim ditemuinya duduk selesa di kerusi. “Sakit apa pulak kali ni, Zuhayl?” Belum sempat Zuhayl duduk, doktor itu sudah membuka mulut bertanya. Zuhayl mengeluh, doktor ni macam tak biasa pula dengan kehadirannya setiap minggu di sini. “Doktor Izni, tak payah nak berdolak-dalik. Dipendekkan cerita, saya nak restock lagi ubat tidur saya.”

 

Doktor Izni menggeleng-gelengkan kepalanya, “Jangan selalu sangat makan ubat tu Zuhayl. Nanti effect kat diri awak jugak. Harap muka je cun tapi ada penyakit buat apa. Minggu ni last ye saya bagi, minggu depan kalau awak menempel lagi kat klinik saya ni, saya suruh nurse kat luar hambat awak dengan cangkul.” Zuhayl tersengih-sengih. Gembira permintaannya ditunaikan. “Minggu lepas doktor cakap macam tu jugak. Selamat je saya, tak kena hambat pun.” Doktor Izni ketawa kecil. Kelakar mendengar bual bicara pesakit tetapnya. Tangannya laju menari-nari di atas kertas, menulis keadaan kesihatan dan ubat yang dikehendaki lelaki itu. Sesekali matanya menangkap sekilas pandangan Zuhayl.

 

“Oh ya, dah alang-alang awak ada kat sini, saya nak tanya. Awak ada mimpi benda sama lagi ke tiap malam?” Senyuman Zuhayl mati. Tidak menyangka Doktor Izni akan bertanyakan perihal itu. Dia mengeluh perlahan, mengumpul kekuatan. Dipaksakan jua mulutnya menuturkan kata,”Ada, tapi tak kerap sangat.” Jelas sekali, fizikalnya memang tidak mampu membantu ketika dia berbohong. Ada getar menemani suaranya, menandakan penipuan yang dilakukan. Doktor Izni menunjukkan muka simpati. Kadang-kadang kasihan juga dia melihat keadaan lelaki yang sentiasa diburu kenangan lalu ini. Trauma sungguh agaknya. Bukan tak pernah ditanya. Justeru, sudah berbuih mulutnya menasihati Zuhayl agar menceritakan kejadian buruk yang pernah menimpa dirinya. Beribu kaunselor juga sudah dicanang nama untuk merawat pemuda ini. Seringkali juga, Zuhayl bungkam tanpa jawapan. “Doktor, saya pergi dulu. Kawan saya dah lama tunggu kat luar. Karang kena penyakit freeze pulak dia, ” Doktor Izni tersenyum kecil lalu mengangguk sebagai isyarat.

 

Setelah mengambil ubatnya, Zuhayl dan Razif memandu kembali ke pejabat mereka bagi meneruskan kerja yang tertunggak. Mereka terlewat setengah jam dari masa sepatutnya. Masa yang ditetapkan majikan mereka, Puan Raudah. Memang bebelanlah yang mereka terima setelah kaki dijejakkan ke pejabat itu. Pakej juga sebuah denda.

 

“Kau lah ni, Zuhayl. Kau ‘ayat’ doktor tu ke, apa? Kan dah lambat. Tak pasal kena overtime dua jam.” Razif merungut sambil menuju ke kubikelnya. Zuhayl menggelengkan kepala beberapa kali. Razif ada bakat mewarisi kelantangan dan had masa bebelan Puan Raudah. Mungkin juga boleh pecahkan rekod wanita berusia 50-an itu.

 

Zuhayl menyambung kembali kerjanya sehingga tak menyedari bahawa kubikel bersebelahannya yang kosong sudah terisi. Gerak-geri insan ini langsung tidak meraih perhatiannya.

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
No comments yet