►Maze Of Desire

Maze Of Desire

 

 

Maze Of Desire

 

Bibir nipisku membentuk lengkungan ke atas apabila wajah putih bersih Haeri menyapa pandanganku. Gadis itu, gadis kesayanganku. Rambut hitamnya yang panjang mengurai mencecah bahu menyerlahkan sifat feminine pada dirinya. Walaupun tubuhnya berada jauh dengan tubuhku, aku pasti helaian rambutnya berbau vanila. Aku sudah terbiasa mencium haruman rambutnya ketika tubuh hangatnya berada dalam dakapan eratku.

 

Ketika itu juga akan akan menghayati degupan jantungnya yang normal, membuktikan bahawa aku sedang memeluknya di dalam dunia sebenar, membuktikan yang aku benar-benar memeluk tubuhnya dan bukan sekadar bermimpi. Apabila aku tenggelam dalam perasaanku, ibu jariku akan menyentuh bibirnya, bibirnya yang merah. Matanya yang terpejam membuatkan wajahnya kelihatan tenang.

 

Gadis itu melangkah menghampiriku dan hatiku menjadi resah apabila muncul seorang lelaki di sebelahnya. Aku tidak mengenali lelaki itu. Hatiku seperti ditikam apabila jari-jemari Haeri berada dalam genggaman lelaki itu. Semakin mereka menghampiriku, semakin kuat jantungku berdetak. Dadaku terasa seperti akan pecah pada bila-bila masa sahaja.

 

Mereka berhenti di hadapanku, bersama senyuman kegembiraan di wajah mereka. Kegembiraan yang sepatutnya Haeri rasai ketika bersamaku. Aku menarik nafas sedalam-dalamnya, bimbang sistemku akan berhenti berfungsi angkara kekurangan oksigen dalam darah.

 

"Baekhyun, nak minuman macam biasa. Sayang, awak nak minum apa?" hatiku berderai apabila mendengar dia memanggil lelaki itu 'sayang'. Mataku terasa panas. Aku menunduk memandang senarai menu pada kaunter itu. Aku menggigit bibirku perlahan sebelum kembali mengangkat kepalaku untuk memandang mereka.

 

"Latte." kata lelaki itu ringkas. Aku mengangguk lalu berpaling untuk masuk ke bahagian dapur. Aku tidak mahu untuk terus melihat kemesraan mereka. Aku tidak sanggup. Lelaki itu tidak layak untuk bersama Haeri.

 

Bibirku kembali tersenyum.

 


 

Haruman vanila itu kembali menusuk deria bauku apabila Haeri mengambil tempat di sebelahku di dalam dewan kuliah itu. Rambutnya yang panjang berada pada sebelah kanan bahunya, menyerlahkan lehernya yang putih. Mataku bertembung dengan matanya apabila dia berpaling ke arahku. Matanya bengkak. Hatiku dipagut pilu. Mata itu sepatutnya bersinar-sinar dengan kegembiraan, bukan kesedihan.

 

"Awak tak apa-apa?" suaraku kedengaran serak kerana aku jarang bersuara. Aku tidak bertegur sapa dengan sesiapapun kecuali Haeri, itupun kadang-kadang. Haeri mengangguk lemah. Aku menaikkan kening kiriku.

 

"Kenapa?" tanyaku lagi walaupun pensyarah untuk kuliah matematik itu telah tiba. Pensyarah berkenaan menyapa para pelajarnya sebelum terus memulakan kuliahnya. Aku masih lagi memandang wajah Haeri.

 

"Kekasih saya ditahan di hospital..." bisik Haeri lemah lalu mengeluh. Tanganku menggeletar di atas ribaku, teragak-agak untuk menyentuh dan menenangkan dia atau tidak. Aku ingin mengusap wajahnya yang kesedihan itu, aku ingin membisikkan kata-kata yang boleh menenangkannya.

 

"Kekasih yang datang ke kafe saya bulan lepas tu? Dia sakit apa?" tanyaku sambil menggenggam kusyen tempat dudukku. Aku cuba mengawal diri untuk tidak menyentuhnya. Haeri mengeluh sekali lagi.

 

"Saya tak tahu. Penyakit dia pelik. Doktor sendiri tak mampu nak pastikan. Dia jadi semakin lemah..." air mata Haeri menitis perlahan. Nafasku terus terasa disekat. Dadaku turun naik. Aku terus bangun dan keluar daripada dewan kuliah itu. Aku mencengkam dadaku dengan tangan kanan lalu menghayunkan langkah ke arah tandas lelaki berdekatan.

 

Aku mengunci pintu tandas itu daripada dalam lalu terus memandang pantulan wajahku pada cermin itu. Tiada darah pada wajahku, hanya kelihatan garis-garis yang terbentuk kerana aku mengerutkan muka menahan kesakitan. Aku terbatuk-batuk apabila rasa sakit yang maha kuat datang menyerang. Aku bersandar pada dinding lalu perlahan-lahan jatuh terduduk.

 

Dadaku perit seperti ditikam berkali-kali. Aku terasa seperti ada pisau tajam yang melalui kerongkongku sebelum aku terus muntah. Aku bersyukur kerana muntahanku itu tidak terkena pada pakaianku dan terus pada lantai mozek itu. Aku mengerang perlahan sebelum cuba mengatur nafasku. Aku menyapu bibirku dengan belakang tangan. Warna merah terpalit pada belakang tanganku itu.

 

Aku mengutip kaca pada lantai mozek itu lalu aku masukkan ke dalam tong sampah di dalam tandas berkenaan. Aku kembali bangun dengan kudrat yang masih bersisa lalu menghampiri sinki. Terdapat torehan kecil pada bibir bawahku. Aku memulaskan pili pada sinki itu lalu berkumur, ingin menghilangkan rasa darah dalam mulutku.

 

Aku berdesis apabila bibirku yang tertoreh itu pedih apabila terkena air. Kesakitan ini tidak mampu aku tanggung walaupun sudah terjadi banyak kali. Aku tidak kuat.


 


 

Senyuman itu. Senyuman itu menggembirakan hatiku. Dia adalah bidadari hatiku, kegembiraanku dan semangatku untuk meneruskan hidup. Aku sudah tidak mempunyai sesiapa selain dia. Keluargaku sudah lama menghuni syurga dan aku harap aku akan menyusul mereka kelak. Itupun kalau Tuhan sanggup memaafkan aku.

 

"Akhirnya assignment kita siap!" Haeri menggeliat kecil selepas beberapa jam menghadap komputer. Aku yang berada di sebelahnya hanya mendiamkan diri sambil tersenyum. Aku adalah manusia yang paling bahagia apabila dia bahagia di sisiku.

 

"Kalau saya nak tambah lagi jus ni, boleh tak?" tanya Haeri dengan reaksi penuh mengharap. Kami sedang berada di kafeku, kafe peninggalan keluargaku. Aku bertanggungjawab untuk menguruskan kafe ini untuk membiayai kos hidupku. Gelas panjang yang tadinya terisi dengan jus oren aku pandang lalu tersenyum. Jus oren adalah kegemaran Haeri, setiap kali dia datang di kafe ini pasti jus oren akan dipesannya.

 

Aku kembali ke meja yang kami duduki bersama segelas jus oren yang baru disiapkan. Haeri mengambil gelas itu daripaa tanganku dan menyedutnya dengan penuh nikmat. Kami mendiamkan diri untuk beberapa ketika. Aku memang seorang yang pendiam jadi aku selalu menunggu orang lain untuk menegurku terlebih dahulu.

 

Haeri adalah orang pertama yang menegurku sewaktu hari pertama kuliah dan kerana itulah aku jatuh hati padanya. Aku seorang yang dipulaukan, tiada sesiapa yang sudi berkawan denganku. Menurut mereka, aku seorang yang menakutkan tetapi tidak bagi Haeri. Dia sudi menerimaku sebagai sahabatnya dan aku harap dia juga akan sudi menerimaku lebih daripada seorang sahabat.

 

 

"Saya minum banyak sangat air. Saya pergi tandas sekejap ya," dia menyentuh bahuku perlahan sebelum berlalu ke tandas. Sentuhannya itu membuatkan bulu romaku berdiri tegak. Ada getaran yang mengalir di dalam darahku. Aku memandang ke arah sekeliling kafeku. Sudah tidak ada pengunjung pada waktu sebegini kerana hari sudah lewat malam. Aku terus memasukkan tanganku ke dalam beg Haeri, mencari telefon bimbitnya. Ketika aku menyentuh skrin itu, ada pesanan yang masuk pada waktu yang sama menyebabkan aku terbuka pesanan tersebut. Tidak dapat tidak, aku terus membaca pesanan itu.

 

"Awak buat apa tu?"aku berpaling lalu tersenyum malu ke arah Haeri yang sedang berdiri di belakangku.

 

"Saya nak tengok jam. Jam dinding tu dah mati," kataku. Haeri melirik ke arah jam dinding berwarna perak itu sebelum kembali memandangku.

 

"Oh, saya letak telefon tu atas meja ke tadi? Tsk..saya dah nyanyuk," Haeri mengetuk kepalanya perlahan lalu kembali duduk. Dia mengambil telefonnya daripada tanganku.

 

"Eh? Awak baca?" tanya Haeri apabila melihat skrin telefonnya. Aku menggelengkan kepalaku.

 

"Saya tersalah tekan. Tak sempat baca pun," jelasku. Haeri mengangguk tanda dia mempercayaiku.

 

"Saya nak balik dululah. Dah lewat ni," kata Haeri lalu mengemas barang-barangnya di atas meja itu. Aku membantunya memasukkan buku rujukan ke dalam beg.

 

"Esok saya akan pergi hantar assignment kita," kataku. Haeri mengangguk sebagai balasan.

 

"Awak nak saya hantar awak balik?" tanyaku walaupun aku tahu dia akan menolak pelawaanku. Aku sudah tahu melalui pesanan ringkas yang aku baca sebentar tadi.

 

"Tak apalah. Kekasih saya dah tunggu kat luar kafe ni," Haeri mencubit pipiku lalu menghayunkan langkahnya keluar daripada kafeku.

 

Jadi lelaki itu adalah kekasih barunya?

 

Aku tersenyum.

 


 

Aku terbaring meniarap di atas lantai bilikku. Darah tidak berhenti mengalir daripada hidungku dan aku sudah muntah beberapa kali. Bau hanyir darah yang membasahi lantai itu membuatkan aku pening. Badanku terasa lemah. Aku menolak kaca pada lantai itu ke tepi menggunakan tapak tanganku, aku tidak peduli jika tapak tanganku terluka asalkan kaca itu tidak menyentuh mukaku. Itu akan membuatkan aku sukar untuk melindungi luka yang terhasil jika kaca itu menyentuh wajahku.

 

"Baekhyun, saya tak tahu kenapa nasib saya macam ni. Kenapa semua lelaki yang saya sayang pergi tinggalkan saya? Ini bukan pertama kali! Kenapa semua kekasih saya mati? Saya bawak sial! Sial!" Haeri menjerit dan menangis. Dia tiba-tiba datang di depan kafeku ketika aku sedang mengunci kafe itu daripada luar dan dia terus meluahkan perasaannya.
 
Seperti biasa, perutku akan memulas dan nafasku akan tersekat setiap kali dia menangis. Dadaku terasa seperti akan pecah. Aku menggengam tanganku sendiri.
 
"Saya pembawa sial. Kenapa nasib saya macam ni? Baekhyun..." dia esakan daripadanya menyebabkan aku terbatuk. Aku tidak boleh berlama-lama di hadapannya.
 
"Haeri, awak jangan menangis. Hati saya sakit bila tengok awak menangis macam ni. Awak balik dan rehat ya. Saya kena pergi dulu. Bertenang ya. Saya akan selalu ada untuk awak," kataku dengan bersusah payahnya lalu terus berlalu.
 
"Baekhyun!"
 
Aku menarik nafas menahan kesakitan lalu berpaling untuk memandangnya bersama senyuman terpaksa.
 
"Terima kasih. Terima kasih sebab selalu ada untuk saya," aku mengangguk sebagai balasan kemudian terus melangkah pulang.

 

Dan aku di sini, terbaring lemah dengan darah yang melumuri pakaianku. Aku tidak tahu sampai bila hidupku akan terus begini. Aku ingin bahagia tetapi aku perlu melalui semua keperitan ini terlebih dahulu.

 

Aku tercungap-cungap untuk bernafas. Aku mengengsot perlahan-lahan ke arah sebuah kabinet. Aku menyokong berat badanku dengan kedua-dua belah siku untuk berdiri. Aku berpaut pada kabinet itu lalu menggagahkan kedua-dua belah kakiku.

 

Bingkai gambar di atas kabinet itu aku capai. Aku berjaya untuk kekal berdiri tanpa terjatuh. Aku mencium gambar itu, menyebabkan bingkai itu terpalit warna merah. Aku rela menderita demi gadis di dalam gambar ini. Aku rela asalkan kami bersama di penghujungnya. Aku akan melakukan apa sahaja, tidak kira walau apa sekalipun yang aku harus tanggung.

 

 


 

 

Haruman vanila menyapa deria bauku untuk kesekian kalinya. Kehangatan tubuhnya yang tidak menjemukan. Aku mengusap pipinya perlahan lalu mengeratkan pelukan itu. Degupan jantungnya adalah irama yang paling indah. Mataku membuntang dan aku menggelabah apabila tubuhku ditolak menyebabkan aku terjatuh daripada katil itu.

 

Kegelapan mula menghilang apabila Haeri menghidupkan lampu meja sisi. Kelihatan segelas jus oren tidak terusik di atas meja sisi tersebut.

 

 

"Macam mana awak boleh masuk bilik saya?" wajah Haeri jelas ketakutan. Dia membalingkan bantal ke arahku lalu menuruni katil tersebut. Haeri tidak pernah terjaga sebelum ini.

 

"Saya..err.."

 

"Apa?! Apa awak dah buat pada saya?! Kenapa awak peluk saya?!! Awak gila ke?" Haeri menjerit memarahiku. Aku menggelengkan kepalaku. Mungkin ini adalah masa yang sesuai untuk aku meluahkan perasaanku padanya.

 

"Saya tak gila. Saya..saya sayang awak, Haeri. Haeri!!" aku mengejarnya apabila dia cuba lari daripada bilik itu. Aku berjaya memaut tangannya lalu menolaknya masuk ke dalam biliknya itu. Pintu aku kunci.

 

"Kenapa dengan awak ni, Baekhyun?!"

 

"Saya sayang awak. Saya suka awak. Saya sayang awak sangat sangat.." aku cuba untuk menghampirinya tetapi dia mengelak. Dia seolah-olah jijik denganku.

 

"Sayang? Ini namanya gila. Tolonglah, Baekhyun. Jangan apa-apakan saya.." Haeri merayu dan itu menyebabkan aku terluka.

 

"Saya takkan apa-apakan awak. Saya sayangkan awak. Betul.." aku berterusan menghampirinya menyebabkan dia terperangkap di antara dinding dan tubuhnya. Dia memejamkan mata, seperti aku adalah raksasa yang akan meratahnya hidup-hidup.

 

"Saya cinta—" aku terus mengerang kesakitan apabila dia menendang bahagian sulitku. Dia mencuba untuk melarikan diri sekali lagi tetapi aku berjaya menarik rambutnya.

 

"Maaf. Saya tak sengaja," aku memeluknya seerat yang mungkin apabila aku tidak sengaja menyakitkannya apabila menarik rambutnya tadi. Dia meronta-ronta minta dilepaskan tetapi aku semakin mengeratkan pelukan. Aku membisikkan kata-kata maaf seperti mantera tanpa henti.

 


 


 

 

Haruman vanila pada rambutnya sudah tiada. Hanya bau bilik itu menyapa deriaku. Bau darahku yang kering. Haeri yang berada di atas katilku sedang tidur. Kaki dan tangannya terikat, akhirnya dia adalah milikku. Inilah yang aku inginkan. Haeri menjadi milikku.

 

"Baekhyun...sakit.." rengek Haeri yang sudah terjaga. Aku tersenyum melihat wajahnya. Kemudian aku terus menggelabah melihat wajahnya yang kesakitan.

 

"Haeri, maafkan saya. Saya tak sengaja. Saya betul-betul tak sengaja. Betul.." aku melutut di tepi katil lalu mengusap wajahnya yang pucat.

 

"Baekhyun..tolong buka ikatan ni. Saya pun sayang awak.." kata Haeri. Hatiku terus bernyanyi riang.

 

"Awak sayangkan saya? Betul?" tanyaku teruja. Aku tidak mampu menyembunyikan senyuman kegembiraanku. Akhirnya kebahagian berpihak padaku. Gadis yang aku cintai membalas perasaanku. Haeri mengangguk lemah.

 

"Awak cintakan saya?"

 

"Ya..saya cintakan awak..."

 

Aku terus menghampiri kakinya lalu meleraikan ikatan kemas pada pergelangan kakinya. Kesan lebam pada kawasan itu aku sentuh perlahan-lahan dengan jari telunjukku. Haeri menarik kakinya perlahan-lahan lalu duduk di atas katil itu.

 

"Baekhyun..buka ikatan ni," pinta Haeri sambil melirik ke arah tangannya. Aku teragak-agak.

 

"Saya betul-betul sayangkan awak. Saya harap kita boleh bersama. Buka ikatan ni..sayang." aku seperti tidak percaya yang dia juga menyayangi aku. Aku tersenyum lagi. Aku terus membuka ikatan tangannya.

 

"Hmm..betul awak cintakan saya?" aku bertanya dengan sepenuh hati. Wajahnya aku usap perlahan-lahan. Aku tersentak apabila leherku terasa seperti dijerut.

 

"Jantan gila!" cemuh Haeri lalu mengetatkan kain yang aku gunakan untuk mengikat tangannya pada leherku. Aku mengalami kesukaran untuk bernafas. Darah dihentikan daripada mengalir ke kepalaku dan darah di bahagian kepalaku terkumpul menyebabkan wajahku merah menyala. Kepalaku terasa pening. Aku menampar-nampar tubuh Haeri dengan harapan dia menghentikan perbuatannya. Kenapa dia memperlakukan aku sebegini? Bukankah dia mencintaiku?

 

Lama-kelamaan, tubuhku semakin lemah. Aku terbaring lesu di atas katil itu dengan mata yang terpejam. Haeri bergerak untuk turun daripada katil itu namun aku pantas memegang kakinya. Aku sengaja berpura-pura tidak sedarkan diri supaya dia berhenti menjerut leherku. Ternyata taktikku berjaya.

 

"Lepaslah!" Haeri mencapai lampu meja lalu menghentakkannya pada kepalaku. Aku terus melepaskan kakinya lalu memegang kepalaku yang berdenyut-denyut.

 

Dia berlari ke arah pintu namun tidak mampu keluar kerana pintu itu berkunci. Aku ketawa atas kebodohannya. Aku bangkit daripada katil, memejam celikkan mataku beberapa kali untuk mengelakkan pandanganku daripada kabur.

 

"Awak nak pergi mana? Awak cakap awak cintakan saya..." kataku, memerhatikan wajahnya yang berserabut. Dia ketakutan.

 

"Baekhyun, tolonglah. Jangan buat saya macam ni," Haeri mencapai sebiji pasu untuk menjadi senjatanya. Dia tidak mungkin akan menyakitiku kerana dia mencintaiku. Dia menjerit apabila aku semakin menghampiri. Dugaanku ternyata salah apabila dia melemparkan pasu itu ke arahku. Pasu itu terkena kepalaku sebelum jatuh berderai di atas lantai.

 

Tubuhku menjerit kesakitan tetapi tidak jiwaku. Aku melihat ke arah Haeri dengan penuh kasih sayang. Dia mencintai aku, apa lagi yang perlu aku harapkan di dunia ini? Hidupku sudah sempurna.

 

Aku menarik Haeri ke dalam pelukanku. Haeri menolakku tetapi aku tidak berganjak. Haeri, gadis kesayanganku. Gadis yang aku cintai. Pergelutan antara kami menyebabkan kami berdua jatuh terbaring. Aku masih memeluknya dengan erat. Walaupun rambutnya sudah tidak berbau vanila, dia masih aku sayangi. Walaupun dadanya kini berdegup laju, ia tetap irama yang indah di pendengaranku. Walaupun tangannya tidak berhenti daripada menyakiti tubuhku, sentuhannya tetap mengundang getaran pada tubuhku. Aku mencintai Haeri. Aku mencintai Haeri sepenuhnya.

 

Mulutku terbuka apabila perutku ditusuk sesuatu dan peganganku pada Haeri menjadi lemah. Aku melihat ke bawah, ke arah perutku. Serpihan pasu tertusuk pada perutku dan itu pastinya angkara Haeri. Kesakitan itu merebak ke seluruh tubuhku. Aku mencapai lengan Haeri yang jelas cuba menjauhi aku lalu aku mencabut serpihan kaca pada perutku dengan bunyi erangan yang kuat daripada mulutku. Wajahku berpeluh-peluh. Dadaku turut naik untuk bernafas. Aku masih lagi memegang serpihan kaca itu.

 

"Kalau kau nak menggunakan sihir padanya, dia akan jatuh sakit," kata wanita yang kelihatan sangat menakutkan itu. Ruangan itu dipenuhi dengan tengkorak. Bibir merah menyala milik wanita itu tersenyum sinis sambil pandangan tajamnya menikam wajahku.
 
"Tak boleh ke kau gunakan sihir ke atas dia tanpa menyakitkan dia?"
 
"Boleh.." Wanita itu ketawa kecil sambil mengunyah sejenis makanan. Dia menawarkan makanan itu kepadaku tetapi aku menolak. Bangkai tikus.
 
"Macam mana?"
 
"Aku boleh kenakan sihir yang tak menyakitkan dia tapi sebaliknya kau yang kena tanggung kesakitan tu.."
 
"Maksud kau?"
 
"Kau nak aku mengenakan sihir yang boleh membuatkan mana-mana lelaki yang menghampirinya mati perlahan-lahan kan?" aku mengangguk apabila dia menyoalku dengan soalan itu.
 
"Sebagai balasannya, kau akan menderita setiap kali dia menangis. Kau akan menderita dan terseksa.. Hidup ini hukum karma, kau kena ingat tu,"
 
Aku bersetuju. Aku sanggup menderita asalkan dia tidak bersama lelaki lain.

 

 

Aku mematikan pergerakan Haeri menyebabkan dia terlentang di atas lantai. Aku tidak mempedulikan darahku yang masih mengalir kesan tusukan tadi.

 

"Kau cuma perlu masukkan dadah ni dalam makanan atau minuman dia. Dia akan tak sedarkan diri sepanjang malam. Bolehlah kau nikmati dia—"
 
"Bodoh, bukan itu tujuan aku." kataku lalu menghulurkan sampul berisi duit kepada lelaki itu. Aku hanya ingin memeluknya setiap malam. Hanya itu. Aku tidak berniat lain.

 

 

Aku menghayunkan tanganku lalu menikam perut Haeri berkali-kali menyebabkan Haeri terjerit kesakitan. Darahnya memercik pada wajahku menyebabkan aku tidak mampu mengawal air mataku.  Aku tidak mempunyai pilihan lain. Aku tidak mahu berpisah dengannya. Rasa cintaku untuk Haeri sangat mendalam.

 

 

Aku sudah tahu sejak mula yang kami tidak akan mungkin bersama di dunia ini. Aku melempar serpihan kaca itu lalu meraup mukaku, menyebabkan wajahku berlumuran darah pekat. Darah aku dan Haeri. Aku memeluk tubuhnya lalu menangis. Haeri turut menangis.

 

Walaupun aku tidak ditakdirkan untuk bersamanya di dunia ini....

 

 

Sekurang-kurang kami ditakdirkan untuk mati bersama-sama.

 

 

Sekurang-kurangnya kami menangis bersama-sama di penghujung hayat kami. 

 

 

Sekurang-kurangnya perkataan 'bersama-sama' itu wujud dalam kisah aku dan Haeri.

 

 

 

The End

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
izziey_98 #1
Chapter 1: Baca citer ni berulang2 walaupun dah lama.
Bestnya~ Wujud ke manusia mcm ni? Hahaha
Memang x bosanlah baca fic kak Lily. Santai je.
Lain kali buatlah ff psycho mcm ni ye. Konfem layan ♡
starlightkim_
#2
Chapter 1: Tak sangka Baekhyun macam tu..by the way,cerita ni mmg bstlah..
hyemipark
#3
Chapter 1: Huhu sadis sungguh btw mmng best ^^
bittersweet4u
#4
Chapter 1: serius.. Mula2 bce citer ni mmg sy x faham..
Tpi bila bce perbualan baek dgn ahli sihir tu, bru sy faha, sepenuhnya..
Baek.. Dia mmg gila! Sgt gila!!! Sgt sgt!!!
Mcm x boleh byg kn je dia mcm tu.. Tpi mmg dh bayangkan pun.. Ergh
StalkingYifan
#5
Chapter 1: Baekki dah gile !!!! I hate u Baek!!
Overdose_Kpopers
#6
Chapter 1: Bapak la baekhyun ni..psycho nya =="..huish scary..btw citer ni daebak!
SitiNurSyahirah
#7
Chapter 1: gile psycho baekhyun huhh menakutkan (O_O) *seram sejuk*
allya_safia #8
Chapter 1: Gile ah Baekhyun PSYCHO
Cite ni best!
Tapi,
Saya lagi suka happy ending
galaxy_here
#9
Chapter 1: wah ~
ni memang Overdose .
good story :)
KUROBARAHIME
#10
Chapter 1: WOAH!BAEKKIE NI MEMANG TAHAP PSYCHOLAH!
WALAU APAPUN,MEMANG BEST!