Di awal pagi yang indah...

Detik-detik Perjalanan Yang Tidak Ku Duga

 

 

 

Siren keretapi menjerit lagi sebagai tanda sudah bersedia untuk berangkat. Omma menggenggam tangan sambil berpesan dengan suara yang hampir tidak dengar. "Jaga diri baik-baik..."

 

Omma cuma tersenyum. Dan Irene tidak tahan untuk tidak ketawa apabila melihat Omma senyum. "Omma baliklah dahulu. Tak payah tunggu keretapi ni berangkat," teriak Irene lagi sambil melambai tangan dan menarik kepalanya dari jendela.

 

Selama beberapa saat, Irene menumpukan perhatiannya pada kesibukan yang jelas kelihatan di luar jendela. Tidak lama selepas itu siren keretapi berbunyi lagi. Irene terus memperbaiki posisi duduknya - menunggu. Sebuah hentakan halus membuatkan tubuhnya sedikit bergoncang dan seketika itu keretapi pun meluncur perlahan.

 

Irene menyandarkan kepalanya dan menatap langit yang tiba-tiba nampak di jendela. Lalu dia memejamkan matanya sejenak untuk menyesuaikan matanya dengan pemandangan yang sama sekali berbeza dari yang telah dilihatnya di stesen tadi. Perlahan-lahan bayangan wajah Omma muncul lagi, semakin tegas dengan bibirnya yang tersenyum manis dan lucu.

 

Irene tersenyum lagi. Wajah Omma memang nampak kelakar kalau tersenyum. Seolah-olah memaksa setiap orang yang melihatnya untuk ikut tersenyum. Namun senyuman Irene lenyap seketika apabila disedarinya, dia sendirian. Dengan rasa terkejut dan malu-malu, Irene memandang sekitarnya. Syukur nampaknya setiap orang tengah sibuk dengan urusan masing-masing. Cuma ada seorang yang rupanya sudah sejak tadi lagi memperhatikan gelagatnya; seorang gadis sebayanya.Gadis itu duduk tepat di depannya dengan tubuh yang rapat ke sudut bangku seolah-olah ingin membuat jarak sejauh-jauhnya dari lelaki muda yang duduk di sebelahnya.

 

Ada sesuatu yang menarik perhatian meskipun Irene tidak tahu dengan jelas apa sebenarnya yang menarik pada gadis itu. Tubuhnya ramping apatah lagi apabila dia menggenakan seluar pendek jeans longgar bersama t-shirt ketat berwarna pastel. Rambutnya sedikit kusut. Wajahnya yang pucat tampak amat lelah dan matanya yang jernih kelihatan sungguh gelisah.Irene tersenyum ramah dan mengangguk kecil sambil cuba berkomunikasi dengan gadis itu. Namun dia jadi terperanjat apabila gadis itu tidak membalas keramahannya. Sebaliknya dia melirik sekilas ke arah lelaki di sebelahnya kemudian dengan pantas dia membuang pandangannya ke luar jendela.

 

Irene jadi hairan melihat sikap gadis itu. Tidak sedikit pun dia berasa tersinggung atau membuat tanggapan bahawa gadis itu sombong. Dia boleh menyaksikan dan merasakan dengan jelas bahawa gadis itu sedang dalam ketakutan. Tetapi kenapa? Irene berpaling ke arah lelaki yang duduk di samping gadis itu. Kemudian dia cepat berpaling ke arah lain apabila disedari lelaki itu juga tengah menatapnya.Secara mendadak rasa tegang yang mendebarkan jantungnya mula mengalir di lubuk hatinya meskipun dia sendiri tidak tahu apakah sebabnya. Sesaat bertatap pandang dengan lelaki itu tidak sedikit pun dia melihat sesuatu yang menakutkan pada lelaki itu. Secara jujur dia mengakui lelaki itu cukup tampan dan menarik. Jadi, apakah yang membuatkan gadis itu berasa amat takut?

 

Dengan sikap bersahaja, lelaki itu melirik ke arahnya. Lelaki lain yang duduk tepat di sebelahnya pula kelihatan tenang sambil khusyuk melayan Ipad di tangannya.Kalau ada yang ditakutkan oleh gadis itu, dah pasti pada lelaki muda yang duduk di sebelahnya. Itulah kesimpulan yang dibuat oleh Irene. Tapi kenapa, ya? Selama beberapa saat, Irene diam sambil cuba memecahkan misteri itu. Tapi kemudiannya, dia jadi naik hairan sendiri, kenapa pula dia nak sibuk-sibuk memikirkan tentang gadis itu. Sedangkan dia sendiri tidak kenal orang itu? Irene kembali memandang ke luar dan duduk dengan penuh selesa sambil menikmati perjalanannya.

 

Keretapi akan menempuh perjalanan lebih kurang lima jam sebelum sampai ke destinasi impiannya. Sesudah itu, dia akan menaiki bas yang mengambil masa kira-kira satu jam untuk sampai ke rumah Auntie Moon Hera. Memang seronok kalau ada teman berbicara sepanjang perjalanan ini - gadis itu misalnya. Tapi kalau tak ada pun, tak apa juga. Dia boleh menghabiskan masanya dengan membaca buku atau novel yang dibawanya. Mendengar muzik playlist kegemarannya dalam app Spotify pun boleh juga fikirnya lagi.

 

Sejenak itu, Irene mengamati pemandangan yang berlarian di luar tapi sayang...tiada satu pun yang betul-betul menarik perhatiannya. Kali terakhir dia menempuh perjalanan seperti ini adalah setahun yang lalu dan masih banyak pemandangan yang sama dilihatnya. Sebentar sahaja, Irene sudah merasa bosan. Sepintas lalu, dia melirik ke arah gadis di depannya. Gadis itu kelihatan tengah menunduk sambil mencoretkan sesuatu pada nota kecil di tangannya.Irene bergerak mengambil beg galasnya. Menimbang-nimbang sejenak, nak dengar lagu atau baca buku. Lalu dia memutuskan untuk membaca buku yang baru dibeli meskipun dia berasa sayang untuk membacanya sekarang. Tengok gambar ajelah, fikirnya.Baru beberapa saat, dia menyelak helaian buku itu pandangannya tertarik pada gerakan samar-samar yang melintas di depannya. Tanpa mengangkat wajah dia melihat tangan gadis itu meletakkan selembar kertas yang terlipat rapi di atas meja kecil di depannya.

 

Perlahan Irene mengangkat wajah dan melihat kembali di depannya. Gadis itu telah kembali di depannya. Gadis itu telah kembali pada posisinya yang seperti tadi duduk merapat di sudut bangkunya dengan wajah memandang ke luar seakan-akan tidak melakukan gerakan apapun. Alis  kening Irene berkerut cuba memahami apakah maksud serta tujuan gadis itu sambil melirik sekilas ke arah kertas itu untuknya tanpa diketahui oleh orang lain. Ada apa ni? Dada Irene kembali berdebar keras. Hati-hati dia melirik ke arah lelaki yang berada di depannya. Irene berasa tenang sedikit apabila melihat lelaki itu tengah memandang ke arah lain.

 

 

 

 

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!
skytempo97
Minta maaf andainya cerita saya kali ni kurang mantap/ x menarik mana....apepon semoga korang sihat-sihat belaka

Comments

You must be logged in to comment
No comments yet