Park Jihoon

Budak Baju Kuning

Hari 1

1030

Bas itu berhenti. Kakinya melangkah naik sebaik pintu hadapan terbuka. Di belakangnya, seorang wanita pekerja pejabat dan dua orang pelajar sekolah. Pemandu bas sempat memberikan senyuman sambil dia mengetag kad aksesnya.

Kang Daniel mengeluh kecil. Hari pertama semester kedua tahun ketiganya bermula hari ini dan berbeza dengan semester sebelum, kali ini Kang Daniel perlu berulang alik menaiki bas untuk ke kampus universitinya.

“Padan muka kau. Siapa suruh kau langgar peraturan asrama” suara kawan baiknya, Ong Seongwoo masih terngiang-ngiang diingati bersama riak wajahnya ketika Daniel dimarahi apabila ketahui keputusan yang permohononannya untuk tinggal di asrama ditolak.

Daniel bergerak ke tempat duduk belakang dengan riak kosong sama seperti penumpang lain. Tempat itu sengaja dipilih, jauh dari perhatian orang.

Satu perkara yang menyebabkan Kang Daniel tidak menyukai hakikat yang dia terpaksa naik bas untuk kampus ialah bangun awal. Jarak dari rumah sewanya ke kampus sejauh 9 kilometer dan mengambil masa lebih 30 minit untuk berulang alik setiap hari. Itu bermakna Kang Daniel perlu bangun awal lebih 30 minit dari kebiasaan dia tinggal di asrama yang hanya bersebelahan kawasan kampus.

Daniel melemparkan pandangan ke luar tingkap. Fikirannya masih memikirkan cara untuk merayu permohonannya tinggal di asrama diluluskan. Namun apabila memikirkan segala jenis peraturan yang dilanggar ketika di asrama, membuatkan Daniel berasa hampa dan mengalah.

Lamunan Daniel terhenti apabila bas berhenti di simpang lampu isyarat yang bertukar merah. Beberapa deretan kenderaan yang lain memenuhi jalan juga berhenti sama.

Saat itu Daniel ternampak seorang budak lelaki. Remaja sekolah menengah. Si budak baju kuning. Baju uniform yang dipakai, menyerlah dan menonjolkan pemakai yang berjalan di tepi jalan, di kaki lima kawasan pejalan kaki. Beg sekolah digalas di belakang dan Daniel perasan akan patung kecil yang tergantung di tepi begnya. Budak lelaki itu berjalan sendirian, memandang ke hadapan, dan secara tiba-tiba, dia menoleh ke tepi, memandang bas yang berhenti di jalanan sementara menunggu lampu isyarat.

Mereka bertentangan mata. Daniel memandang wajah budak lelaki itu. Masing-masing menunjukkan riak kosong.

Lampu isyarat bertukar hijau. Bas terus bergerak. Budak lelaki itu tidak lagi kelihatan apabila bas bergerak ke hadapan. Daniel membiarkan sahaja, menganggap pertemuan mereka hanya pertemuan yang tidak bermakna, pertemuan yang tidak disengajakan.

 

Hari ke-2

1030

Daniel memastikan nombor bas yang dinaiki adalah betul. Dia tiada kelas pada pagi ini, namun dia perlu datang awal untuk pendaftaran beberapa subjek. Daniel masih tidak biasa untuk memulakan harinya bangun awal, menunggu bas dan menaiki bas yang betul. Namun dia tiada pilihan lain.

Daniel terus bergerak ke tempat duduk belakang dan duduk di tepi tingkap, sama seperti semalam. Earphone yang dipakai di telinga kirinya dicabut buka. Daniel enggan terlepas pengumuman pemandu di setiap perhentian kerana dirinya masih tidak biasa dengan laluan bas tersebut.

Kali ini bas berhenti lagi sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat. Lampu bertukar merah. Daniel nampak budak lelaki itu lagi. Si baju kuning.

“Ha budak semalam” monolog Daniel, teringat budak lelaki semalam, memakai baju seragam sekolah berwarna kuning, memakai beg galas dengan keychain anak patung arnab kecil yang tergantung. Daniel memerhatikan budak lelaki itu berjalan. Langkah kakinya yang kecil, gerak tangannya yang memegang tali beg, keychainnya yang bergoyang dalam setiap langkah, dan rambutnya yang kelihatan kemas dengan anak rambut yang menutup dahi.

Budak itu berhenti berjalan dan memandang tepinya. Bas yang sama seperti semalam. Dia memandang Daniel yang kelihatan dari tingkap. Budak lelaki itu senyap, hanya memandang. Daniel juga diam seketika, berkelip-kelip mata.

Lampu bertukar hijau dan bas bergerak. Masing-masing tidak mengalihkan pandangan, Daniel terus memandang budak itu sehingga dia lesap apabila bas berpusing masuk ke kiri persimpangan.

“Dia pandang aku ke tadi?”

 

Hari ke-3

Fail kertas yang ditampal tajuk ‘Penilaian pelajar baru’ dipegang rapat ke dada sambil Daniel berjalan ke tempat duduk belakang. Tempat duduk yang sama seperti sebelumnya. Telefon pintarnya dikeluarkan sambil Daniel membaca mesej yang diterima dari pengerusi Kelab Seni Tarian di kampusnya, Yoon Jisung. Mesej yang dihantar berulang kali untuk mengingatkan Daniel tentang ujibakat pelajar baru untuk diserap masuk ke dalam kelab. Kang Daniel merupakan antara ahlijawatankuasa yang terlibat dalam urusan pelajar baru kali ini.

Fail yang dipegang diletakkan atas peha sambil tangannya menaip balas mesej tersebut. Daniel mendongak apabila merasakan bas yang dinaiki tiba-tiba berhenti. Tempat yang sama, waktu yang sama. Daniel menoleh pandang ke luar tingkap. Budak lelaki yang sama, berjalan di tempat yang sama, memakai baju yang sama. Baju seragam berwarna kuning.

Hujung bibir Kang Daniel terangkat.

Budak lelaki itu berjalan dengan tempo yang sama. Tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan. Sesuatu menarik perhatian Daniel. Matanya memincing, memastikan apa yang dilihat tidak salah. Budak itu memakai kasut dengan tali kasut yang berbeza, dengan warna yang menyerlah. Sebelah kuning highlight dan sebelah lagi pink highlight. Kali ini kening Kang Daniel terangkat.

“Seriously?” guman Daniel perlahan sebelum basnya mula bergerak apabila lampu isyarat bertukar hijau. Budak itu berhenti berjalan dan perasan akan bas yang baru bergerak itu. Dia perasan akan Kang Daniel dengan keningnya yang terangkat.

 

Hari ke-4

Daniel tidak pedulikan beberapa pandangan sinis yang diterima dari dia menunggu bas tadi sehingga dia menaiki bas. Dia tahu keadaannya serabut. Kelas belum bermula dan Daniel sudah serabut dengan minggu orentasi yang melibatkan kelabnya. Urusan pelajar baru dalam kelab menyebabkan Kang Daniel perlu mengadap beberapa kertas kerja sebelum dapat tidur lena. Mulutnya menguap besar sambil Daniel bergerak ke tempat duduk belakang dalam bas 1030. Sebaik melabuhkan punggung, begnya ditarik rapat ke badan dan perlahan-lahan Daniel cuba melelapkan mata.

Bas 1030 berhenti di persimpangan. Lampu isyarat merah. Daniel membuka mata dan secara tidak langsung menoleh ke tepi, memandang ke luar tingkap.

“Itu dia” Jangkaannya tepat. Budak baju kuning itu berada di situ, menggunakan laluan yang sama.

Budak lelaki itu juga seperti sudah dapat mengagak bas yang sama akan berhenti di tepi, dan lelaki yang sama akan memandangnya dari tepi tingkap. Dia menoleh pandang Kang Daniel.

Mereka bertentang mata lagi. Daniel tersenyum apabila melihat tali kasut budak tersebut yang ternyata unik. Budak itu membalas senyuman Daniel dan seketika dia ketawa kecil. Tangannya menekup mulut cuba menahan ketawa.

Daniel pana. Hairan juga terkesima seketika. Budak lelaki itu kelihatan comel dan kemas dengan pakaian seragam yang dipakai.

‘Rambut’ budak lelaki itu ketawa sambil menunjukkan rambutnya sendiri.

Daniel memincingkan mata, tidak memahami apa yang cuba disampaikan oleh budak itu sehingga dia sedar budak lelaki itu rupanya mentertawakan rambutnya yang serabai pagi. Daniel tersenyum malu sambil menguis baiki rambutnya. Walaupun Daniel tidak mendengari suara dan tawanya, dia rasa dekat dengan budak itu.

 

Hari ke-5

Roti yang tidak sempat dihabiskan semasa menunggu bas tadi disumbat ke dalam beg. Mulutnya mengunyah laju roti yang digigit tadi sambil berjalan ke tempat duduk biasa. Tempat duduk paling belakang. Hari ini Daniel tiada kelas, namun dia dan Ong Seongwoo sudah berjanji untuk membantu kawan mereka Kim Jaehwan membuka booth untuk mencari ahli baru dalam kelab bola sepak.

Daniel melemparkan pandangan ke luar tingkap, teringat akan budak baju kuning yang sering dilihatnya beberapa hari ini.

“Siapa budak baju kuning ni?” itu soalan yang diajukan oleh Ong Seongwoo, ketika Daniel menceritakan bagaimana dia terserempak dengan budak lelaki yang sama, memakai baju seragam warna kuning dan tali kasut yang berbeza. “Aku tak tahu”, jawapan Daniel kerana Daniel sendiri tidak tahu. Siapa budak baju kuning yang mencuri perhatiannya dalam bas itu.

Sebelum bas berhenti lagi, Daniel sudah nampak kelibat budak lelaki itu dari jauh. Pakaiannya yang menyerlah memudahkan sesiapapun untuk melihatnya. Daniel menepuk jarinya di tingkap. Bas lalu tepi budak lelaki itu sebelum berhenti. Budak lelaki memakai baju seragam kuning itu langsung menoleh pandang tepi, memandang Daniel di tepi tingkap. Daniel tersenyum sambil meraup sapu rambutnya. Budak lelaki itu ketawa kecil sebelum mengangkat ibu jari. Thumbs up.

Daniel memincingkan mata, cuba untuk membaca tag nama pada pakaian budak lelaki itu namun tulisan tag itu agak kecil.

Kali ini lampu merah bertukar hijau dengan cepat. Bas mula bergerak. Budak lelaki itu mengangkat tangan, melambai.

Daniel tidak mampu berbuat apa melainkan membalas lambaian tangan kecil itu.

“Siapa nama dia” Daniel mencebik.

Hari ke-6

Daniel menunggu bas 1030 datang dengan payung yang dipegang. Sebelah tangan pula memegang lekap telefon di telinga kiri.

“Ya aku tahu. Aku tengah tunggu bas ni. Kau tu, bangunlah cepat, pergi bersiap” suaranya sedikit ditinggikan melawan bunyi hujan yang turun mencurah, menimpa payungnya. Tempat berteduh di perhentian bas itu sudah dipenuhi orang. Daniel menunggu di tepi jalan. Merasa dingin setiap kali kenderaan lalu dekat denganya.

Talian dimatikan dan laju Daniel menyimpan telefon dalam poket seluar jeansnya sebaik melihat bas 1030 yang semakin menghampiri. Bas berhenti tepat di hadapan Daniel. Sebaik pintu terbuka, Daniel sempat menutup payung dan menaiki masuk bas tersebut. Daniel memasamkan muka apabila melihat tempat duduk kebiasaanya di belakang sudah mempunyai tuan, diduduki oleh orang lain. Daniel melepaskan satu keluhan kecil sambil mencapai pegang tali pemaut. Tempat duduk lain juga sudah penuh dan ramai orang terpaksa berdiri. Payung yang masih basah disangkutkan di belakang beg galasnya.

Bas terus bergerak dan Daniel menunduk memerhatikan laluan bas. Bas akhirnya berhenti di persimpangan lampu isyarat merah. Daniel mendekatkan diri dengan tingkap, sambil matanya melilau pandang tempat itu. Tiada budak baju kuning itu.

“Encik” perempuan separuh umur yang duduk di tepi tingkap, menegur tindakan Daniel yang merapatinya untuk melihat ke luar tingkap.

“Maaf” reaksi Daniel kecewa. Dia tidak dapat melihat budak lelaki berbaju kuning itu pada hari ini. Daniel kemudian memandang langit yang gelap, masih tidak berhenti mencurahkan hujan.

“Damn it” gumamnya perlahan.

Bas terus berjalan masuk ke simpang kiri sebaik melepasi persimpangan. Bas berhenti di beberapa buah perhentian untuk mengambil dan menurunkan penumpang. Keadaan dalam bas bertambah sesak selepas dua buah perhentian. Orang ramai terpaksa menggunakan kenderaan awam untuk mengelakkan hujan. Penumpang saling berhimpit.

Sesuatu menarik perhatian Kang Daniel. Sesuatu yang berwarna kuning. Seseorang kelihatan memakai baju seragam berwarna kuning. Budak baju kuning itu.

“Tumpang lalu” Daniel menghimpitkan diri, bergerak, menghampiri budak lelaki itu.

Daniel berdiri rapat di depan budak lelaki itu. Daniel tersenyum kecil. Budak lelaki itu hanya tinggi paras dagunya dan Daniel dapat melihat jelas titisan hujan kecil yang membasahi rambutnya. Bau syampu yang dipakai berbau wangi. Budak lelaki itu tertunduk, tidak perasan akan Daniel yang berdiri di hadapannya.

Park Jihoon. Nama yang tertera pada tag nama yang dipakai pada baju seragamnya. Daniel itu menyematkan nama itu, enggan melupakan.

“Park Jihoon”

Jihoon mendongak apabila mendengar namanya. Dia tersentak melihat lelaki yang berdiri rapat di hadapannya. Lelaki yang sama dilihatnya dalam beberapa hari di tepi tingkap bas. Lelaki yang memandangnya aneh. Lelaki dengan senyuman yang manis. Lelaki dengan rambut yang serabai.

“Oh” hanya itu reaksi Jihoon.

Daniel tidak dapat mematikan senyuman. Reaksi Jihoon membuatkan hatinya tambah berbunga-bunga.

“Macam mana…. Tahu nama saya?” soalan itu diajukan oleh Jihoon. Itu kali pertama Daniel mendengar suara budak baju kuning tersebut. Suara yang tidak disangka, berbeza dengan wajahnya yang keanakan. Suaranya agak dalam dan matang.

“Ini” Daniel menuding tunjuk tag nama pelajar sekolah menengah itu.

“Ahhh~” Jihoon tertunduk malu. Pipinya naik merah. Daniel dapat melihat jelas pipinya, bulu matanya yang lebat dan merah bibirnya.

Apabila bas melewati satu persimpangan dan Jihoon yang tidak seimbang hampir terjatuh. Daniel memegang paut pinggang budak lelaki itu. Jihoon memegang lengan Daniel sambil mengimbangkan badannya sendiri.

““Nama saya Kang Daniel” ujar Daniel, menunduk sedikit, berbisik rapat ke telinga Jihoon. Daniel perasan akan telinga Jihoon bertukar merah, namun tidak pasti sama ada kerana sejuk hujan atau perasaan malu. Daniel sempat mengerling pandang kasut yang dipakai Jihoon dan ternyata Jihoon memakai tali kasut yang unik dengan warna yang berbeza iaitu kuning dan pink.

“Daniel hyung” Jihoon bersuara perlahan, merasakan dirinya rapat dengan Daniel. Jihoon malu untuk mendongak pandang lelaki itu. Daniel ternyata mempunya bahu yang lebar dan haruman minyak wangi lembut yang dihidu membuatkan Jihoon tidak boleh berhenti senyum.

“Hmmm?” Daniel tidak berapa dengar apa yang Jihoon katakan. Bualan beberapa orang wanita pertengahan umur dan pelajar sekolah lain membuatkan suasana agak sesak dan bising ditambah pula dengan bunyi bas.

Jihoon menggeleng.

“Pelajar Universiti Seoul?” Jihoon memberanikan diri, mendongak pandang Daniel.

Daniel mengangguk. “Pelajar jurusan seni bina”

“Di mana awak bersekolah?”

“SOPA. School of Performing Arts Seoul”

Daniel pana seketika, memikirkan nama sekolah itu sebelum sesuatu singgah di fikirannya. “Ahhh, sekolah elit tu”

Jihoon hanya mengangguk, tidak menafikan.

“Jadi awak selalu ke sekolah berjalan kaki?”

Sekali lagi Jihoon mengangguk. “Saya selalu ikut jalan dekat. Harini hujan jadi saya terpaksa naik bas”

“Kalau macam tu, saya harap tiap-tiap hari hujan, supaya tiap-tiap hari kita dapat berjumpa dalam bas macam ni”

Jihoon tertunduk malu sebaik mendengar kata-kata Daniel itu. Daniel tersenyum.

“Melainkan awak tak nak jumpa dengan si pelik yang selalu tengok awak dari luar tingkap macam saya ni”

Jihoon ketawa kecil. Daniel langsung teringat wajah ketawanya tempoh hari. Akhirnya Daniel dapat mendengar suara tawa itu. Jelas dan dekat.

“Lepas pertama kali saya nampak hyung, saya sengaja jalan lambat supaya saya nampak bas yang berhenti di lampu isyarat merah dan lelaki yang duduk di tempat duduk belakang yang akan pandang luar tingkap”

“Pandang awak” Daniel membetulkan, mengerling patung arnab kecil yang tergantung di beg Jihoon.

“Kenapa awak comel sangat?” ujar Daniel memandang tepat anak mata Jihoon. Mata bulat dengan anak mata yang hitam pekat seolah bersinar dalam pandangan Daniel.

Jihoon diam, tidak menjawab soalan Daniel itu. Tanganya mengipas mukanya yang panas.

“Awak main PUB?” soal Daniel, perasan akan sticker kecil yang terlekat pada tali beg Jihoon. Sebuah badge kecil yang dilekatkan.

Jihoon mengangguk. “Hyung main PUB?”

Daniel mengangguk laju, mencapai tangan Jihoon. Budak lelaki itu tersentak kecil apabila tangan Daniel yang sejuk menyentuhnya.

“F.L.A.C 96” Daniel menulis sambil mengeja huruf di telapak tangan Jihoon. “Itu nama ID saya. Jangan lupa add saya dan kita boleh bermain sama”

Jihoon melebarkan senyumannya, tidak sangka Daniel mempunyai minat terhadap permainan yang sama.

“W.I.N.K 99” Jihoon pula mencapai tangan Daniel dan berbuat perkara yang sama. Daniel perasan akan saiz tangan mereka yang berbeza dan kecil lembut tangan Jihoon. Tangan sama yang melambai padanya sebelum ini.

Daniel mengamati wajah Jihoon sebelum merasakan bas berhenti di sebuah stesen.

“Hyung, saya perlu turun sini” ujar Jihoon, perlahan-lahan melepaskan tangan Daniel.

“Jihoonie~” Daniel memanggil sebelum budak lelaki itu melangkah turun dari bas.

“Saya harap esok hujan”

Jihoon memberikan senyuman sebelum meredah hujan, berlari ke tempat teduh di perhentian bas, memerhatikan bas 1030 berlalu pergi. “Saya pun sama”


Mula jam 8, siap jam 11. Yeah~ cerita pendek yang sye berjaya siapkan satu malam. So faham2 je la kalau ada tyope dan kesalahan tatabahasa tu. Hehe. Poster tu adalah rekaan yang tiada kaitan, just purely sumber inspirasi sye masa tulis cerita ni. PUB is the game yang nielwink selalu main dan Flac tu adalah nama yang Daniel guna dalam Bboy sbelum dia debut sebagai idol. Sorry, im more to nielwink lately sebab i freakin miss their interaction. LOl. Anyway, have fun reading cerita pendek ni

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
No comments yet