I Will Come To You Like The First Snow (1)

I Will Come To You Like The First Snow [Malay Fanfiction]

22 November 2019...

 

          Cuaca suram yang mendinginkan memenuhi segenap ruang bumi Korea, menandakan musim salji bakal mengeluarkan butiran ais pertamanya pada bila-bila masa. Keadaan jalan raya ketika itu tidak begitu sibuk, memandangkan masih ramai penghuni kota Seoul kini sedang lena diulit mimpi. Hari minggu, hari untuk warga berkolar putih berisitirehat. Hari untuk mereka melepaskan lelah yang bersarang didalam tubuh selepas 6 hari berhempas-pulas mencari rezeki. Namun, masih tetap ada manusia disekitar tepi jalanan dan juga taman berhampiran.

          Salji kecil pertama untuk musim sejuk mulai gugur menyembah bumi Korea. Salji kecil yang dingin, namun memberi kehangatan indah pada sesiapa yang memandangnya. Anak-anak kecil menjerit kegembiraan saat tangan mungilnya menyentuh kepingan salji itu. Mulut mereka menyanyi-nyanyi riang lagu fantasi kanak-kanak tentang sang salju dan si tua yang memberi hadiah pada mereka yang berbuat baik.

          Disatu sudut, berdirinya seorang gadis berkot putih, begitu asyik memerhatikan telatah anak-anak kecil itu. Dia tersenyum kecil, terasa lucu melihat mereka yang kelihatan begitu gembira. Terlalu gembira seperti tiada masalah yang membebani jiwa mereka yang polos dan suci itu. Namun, kegembiraan mereka tidak dapat menghapuskan kesedihan yang membelenggu hatinya. Tidak semena-mena air matanya gugur. Lekas dia menyeka air mata dipipinya, tetapi air matanya masih tetap mengalir. Semakin lama semakin deras. Gadis itu segera beredar dari tempat itu, bimbang tangisan kecilnya dilihat orang. Kakinya terus melangkah laju. Fikirannya kosong, jiwanya bercelaru. Dia membiarkan kakinya melangkah kemana sahaja tanpa arah tujuan.

          Akhirnya gadis itu berhenti dihadapan sebuah pohon. Pohon tua tidak berdaun itu berdiri segar dan teguh. Perlahan-lahan dia merapati, lalu mengelilingi pohon tersebut. Tangannya mengusap lama disatu bahagian pada batang pohon itu dengan pandangan mata yang kosong.

 

"You're the only one for me. I love you, Kim Yewon~

Your lover, Jeon Jungkook"

 

******************

 

"Sayang~buat apa tu?"

"Adalah..." , jawab Jungkook.

 

          Senyuman manis terukir dibibir tatkala terpandang wajah cinta hatinya. Tangannya masih ligat mengukir sesuatu pada batang pohon tua didepannya. Yewon mengecilkan matanya. Tidak berpuas hati dengan jawapan Jungkook, dia bingkas bangun untuk melihatnya sendiri, namun dihalang oleh lelaki itu.

 

"Eh! Nanti dulu. Saya belum siap lagi. Dah siap nanti saya panggil awak ye", kata Jungkook.

 

          Yewon mengeluh kecil. Terpaksa kembali ke tempat duduknya walaupun rasa ingin tahu terasa membuak-buak didalam hati. Dia perhatikan setiap tingkah laku Jungkook yang begitu asyik melakukan aktivitinya, seperti mengukir sesuatu pada batang pohon tua itu. Perasaan geram yang dirasainya tadi kian hilang tatkala direnung wajah tampan lelaki itu. 3 tahun terjalin hubungan cinta antara mereka, namun tidak pernah ada istilah bosan dalam kamus hidup mereka. Malah semakin lama, semakin kuat rasa cinta mereka hingga tiada yang dapat memisahkan mereka walaupun dilanda dugaan dari pihak yang mencemburui hubungan mereka. Perkataan sayang, cinta dan rindu acapkali meniti dibibir, namun ianya tetap manis dan semakin manis didengar pada halwa telinga. Setiap saat bersama menerbitkan rasa bahagia yang teramat, ibarat dunia ini adalah milik mereka berdua. Yewon tersenyum bahagia. Tidak pernah jangka bahawa perkenalan pertama yang melucukan menerbitkan rasa cinta dihati yang pernah beku kerana kekecewaan silam. Dan yang pastinya, tiada penyesalan yang terlintas saat dia menerima cinta Jungkook. Malah dia bersyukur kerana hatinya kini milik insan yang mencintai dan menyayangi dirinya.

 

"Sayang~"

 

          Kucupan hangat dipipi menyentak Yewon dari lamunan panjang. Yewon memandang Jungkook yang berdiri disebelahnya. Tergelak kecil Jungkook melihat riak wajah Yewon yang terkejut dengan kucupan tiba-tiba itu.

 

"Sayang mengelamun ye... Jauh sangat perginya tu sampai saya panggil awak banyak kali pun awak tak dengar"

"Ye ke? Maafkan saya. Jujur saya tak perasan awak panggil saya tadi" , kata Yewon.

"Macam mana nak perasan kalau fikiran awak tu dah jauh melayang. Apa yang sayang fikirkan? Saya tengok dari tadi awak senyum sorang-sorang kat sini. Ada nampak Gong Yoo ke?", usik Jungkook.

"Awak ni kan..."

 

          Yewon mencebik lalu menampar-nampar lembut bahu lelaki itu. Dia tahu Jungkook sengaja menyebut nama aktor kegemarannya itu untuk mengusiknya. Jungkook ketawa besar. Sedaya-upaya tangan kekarnya menangkap tangan mulus Yewon yang  tidak behenti menampar bahunya. Lantas dia menarik Yewon ke dalam dakapannya lalu memeluk gadis itu dengan erat. Yewon membalas pelukan kekasihnya itu, kepalanya disandarkan didada bidang Jungkook. Terasa degupan jantung yang berdetak tenang. Sungguh hangat tubuh sasa itu, menghilangkan kedinginan yang dirasainya sedari tadi. Mahu sahaja dia berkata, 'saya bahagia bila bersama awak. saya cintakan awak' . Namun, dia tahu. Tanpa diluahkan pun, Jungkook tahu betapa dalamnya cinta Yewon terhadapnya, kerana Jungkook juga turut menyintai gadis dalam dakapannya itu. Malah lebih hebat dan mendalam rasa cintanya pada Yewon.

          Jungkook melepaskan dakapannya. Dia bingkas bangun, tangan Yewon ditarik lalu membawanya ke pohon tua yang berada 50 meter dari tempat duduk mereka. Yewon hanya mengikut sahaja tanpa berkata apa-apa. Sampai sahaja dihadapan pohon tua itu, Yewon sekadar berdiri kaku, memandang Jungkook dengan pandangan yang penuh tanda tanya. Jungkook tersenyum. Dia beralih ke arah belakang Yewon, menutup mata gadis itu dengan tangannya. Perlahan-lahan mereka mendekati pohon yang megah berdiri dihadapan.

 

"Buka mata awak..." , bisik Jungkook di telinga Yewon.

 

Yewon membuka matanya. Kelihatan sepotong ayat yang terpahat pada batang pohon tesebut.

 

                                     "To my beautiful star,

No words can't described how thankful I am when you're next to me, my love...

Because the only reason I live happily in this harsh world is you...

You're the only one for me. I love you, Kim Yewon~

                                                                                                                                                 Your lover, Jeon Jungkook"

 

******************

 

          Air matanya merembes laju. Rasa sebak yang menyesak dadanya tidak mampu ditahan lagi. Yewon menangis semahunya. Dipeluk erat pohon tersebut, melepaskan kerinduan yang sudah lama terpendam semenjak kehilangan insan yang dicintainya. Yewon menangis semahunya. Raungan berlagu pilu memenuhi segenap ruang angkasa, namun masih tidak dapat didengari oleh sesiapa. Jika ada sekalipun, mampukah mereka mengerti rasa rindu yang tidak mungkin berbalas itu? Mampukah mereka merasai kekosongan yang sudah sekian lama bersarang dalam hatinya? Tidak...tidak akan ada sesiapa yang akan mengerti. Tidak akan ada sesiapa pun yang mampu memujuk hati yang masih bersedih, walaupun ianya sudah lama berlalu.

 

*Ingat tau... Hari pertama salji turun, kita datang balik ke sini. Kita buka kotak ni, sebab ada sesuatu untuk awak. Janji ye~*

 

          Yewon perlahan-lahan melepaskan pelukannya. Suara Jungkook terngiang-ngiang dihalwa telinga. Dia bingkas bangun, lalu berjalan disekeliling kawasan itu, cuba mengingat kembali lokasi kotak yang dimaksudkan Jungkook itu. Sejujurnya dia sudah lupa tentang kotak itu selepas kematian Jungkook pada tahun lepas. Sudah lama dia mencari, namun masih tidak ketemu tempat yang dimaksudkan. Yewon kembali semula di pohon tua itu, melihat tulisan yang masih utuh terpahat dibatang pohon itu. Dia mula teringat, lantas dia terus menguis daun-daun kering yang menutup tanah, lalu menggali tanah lembut itu dengan tangannya. Akhirnya dia menjumpai kotak tersebut. Kotak kayu besaiz sederhana besar yang usang, namun kelihatan cantik dengan ukiran klasik flora.

          Yewon menimbus semula tanah tersebut. Dia bersandar pada pohon tua itu, memangku kotak usang tersebut diribaannya. Dibersihkan sedikit kotoran tanah yang terlekat pada kotak itu. kotak itu, terdapat beberapa kotak kecil lagi yang dibalut kemas dengan kain baldu berwarna merah dan merah jambu, warna kegemaran mereka. Yewon mengambil satu kotak lalu membukanya. Kotak itu mengandungi sebuah album foto yang dihias cantik. Yewon menyelak helaian demi helaian album foto itu, membaca setiap kisah yang ditulis kemas dibawah gambar-gambar tersebut.

 

******************

 

"Awak ni...dari tadi asyik ambil gambar saya sorang je" , kata Yewon.

"Sebab saya tak nak terlepas setiap momen tentang awak" , balas Jungkook sambil mengenyitkan matanya pada Yewon.

 

          Yewon tersipu malu, berasa segan dan gembira. Namun, tidak pula bagi dua orang sahabat mereka yang terkejut dengan ayat romantis yang memualkan sesiapa sahaja yang mendengarnya. Yerin hampir menyembur makanan yang dikunyah, manakala Taehyung terbatuk kecil akibat tersedak air yang diminumnya. Yerin menepuk-nepuk belakang badan Taehyung, membantunya menghilangkan batuk yang tidak berhenti.

 

"Aku tahu korang berdua ni pasangan paling romantik kat dunia ni. Tapi tolonglah~ Jangan keluarkan ayat berunsur menggelikan dan memualkan bila kitorang ada. Nasib baik aku tak mati tersedak tadi" , kata Taehyung. Berkerut dahinya menahan batuk yang masih bersisa.

 

          Yewon menjeling tajam ke arah Taehyung. Sahabat Jungkook itu memang suka mengusik mereka. Boleh dikatakan hampir setiap hari dia mengusik Yewon dan Jungkook bila mereka keluar bersama. Jungkook menampar kuat bahu Taehyung, menunjukkan rasa tidak puas hati pada sahabatnya itu. Taehyung menjerit kesakitan. Dia mengusap-ngusap bahunya, terasa pedih bahunya dipukul Jungkook. Dia akui dia kalah pada Jungkook jika melibatkan kekuatan fizikal kerana sahabatnya itu 3 kali lebih kuat berbanding dirinya.

 

"Padan muka. Suka sangat usik kitorang" , kata Yewon.

"Masalahnya itu memang kenyataan. Bukan kitorang je, kalau orang lain dengar pun boleh pengsan atau koma tau" , balas Yerin.

 

          Satu cubitan halus hinggap dibahu kiri Yerin. Terjerit Yerin menahan kesakitan yang berbisa itu. Yerin mencebik dan buat muka sedih pada Taehyung, kononnya mengadu kepada teman lelakinya itu. Walhal dalam diam masih lagi cuba mengusik Yewon dengan mengajuk semula kelakuan sahabatnya yang menjadi semakin manja selepas bercinta, berlainan dengan sifatnya yang dahulu sangat berdikari dan sedikit dingin. Yewon merengus geram. Dia perhatikan gelagat pasangan dihadapannya, ada sahaja benda yang boleh dijadikan sebagai modal untuk mengusik dirinya dan Jungkook.

 

"Taehyung... Jom ikut aku."

"Pergi mana?"

"Eh..dia ni ni buat-buat lupa pula~"

"Ooooo... Okey, okey" , Taehyung bingkas bangun dari tempat duduknya lalu segera memakai kasutnya.

"Korang nak pergi mana?" , soal Yerin.

"Ambil barang di rumah kawan. Dia pergi ke Jepun baru-baru ni, jadi kitorang nak ke rumah dia dan ambil barang yang kitorang kirim. Pergi sekejap je, nanti kitorang datang balik" , balas Taehyung panjang lebar. Jungkook mengangguk, mengiyakan kata-kata Taehyung.

"Okey... Hati-hati ye" , kata Yewon sambil melambai-lambaikan tangannya pada  dua sahabat itu.

 

          Taehyung dan Jungkook segera pergi ke tempat yang dirancangkan. Tinggallah Yewon dan Yerin berdua di situ. Oleh kerana tempat itu jarang dikunjung orang, jadi mereka tidak begitu kisah jika ditinggalkan berdua sahaja. Mereka berdua berbual panjang, sahaja mengingat kembali kenangan lama ketika mereka masih dibangku sekolah.

 

"Yewon..."

"Hhmm..", Yewon menyahut ringkas.

"Nak tahu satu perkara tak?"

"Apa dia?"

"Walaupun aku dengan Taehyung kadang-kadang ada rasa menyampah dengan ayat-ayat manis Jungkook, tapi..." , Yerin berhenti sejenak.

"Huh?" , Yewon memandang Yerin. Menanti ayat yang dibiar tergantung.

"Tapi kitorang gembira sangat bila tengok korang bahagia, terutama sekali kau" , sekali lagi Yerin berhenti sebelum meneruskan kata-katanya. "Lepas lelaki tu tinggalkan kau, senyuman kau terus hilang. Masa tu aku memang tak faham betul dengan hati dan perasaan kau. Menangis mengharapkan lelaki tu kembali, padahal terang-terang dia sengaja nak mempermainkan perasaan kau."

 

          Yerin bermain-main dengan gelas yang dipegangnya, cuba menenangkan diri yang secara tiba-tiba diselubungi rasa amarah terhadap manusia yang dimaksudkan tadi.

 

"Dan sejak tu, kau jadi seorang yang sangat dingin. Walaupun kau dah lupakan lelaki tu, tapi perubahan kau tu buat aku rasa tak selesa. Sebab waktu tu kau bukannya Yewon yang aku kenal."

"Yerin...aku..."

Belum sempat Yewon berkata apa-apa, Yerin terlebih dahulu menyambung bicaranya;

"Tapi, lepas kau kenal Jungkook, kau kembali jadi Yewon yang aku kenal. Sahabat yang selama ni 'hilang' kerana cinta, akhirnya 'kembali' kerana cinta. Betapa berterima kasihnya aku pada Jungkook sebab berjaya kembalikan sahabat aku tu."

 

         Yerin menggenggam erat tangan sahabatnya itu. Mereka berdua saling berpandangan, dan akhirnya tertawa bersama. Terasa lucu dihati apabila teringat kembali kisah lama. Yewon akui betapa bodoh dirinya dahulu kerana terlalu mengharapkan benda yang tidak pasti. Tetapi itu semua kisah yang sudah lama berlalu. Kini hidupnya lebih bahagia dengan kehadiran Jungkook, dan juga Yerin dan Taehyung yang sentiasa berada disisinya ketika susah dan senang. Mereka terus berbual, sahaja bercerita kembali kisah lucu mereka ketika masih dibangku sekolah sehingga mereka tidak sedar yang Taehyung dan Jungkook sudah berada dibelakang mereka.

 

"Sayang~"

 

Yewon dan Yerin menoleh kebelakang. Kelihatan 2 jejaka itu berdiri dibelakang mereka sambil tangan memegang jambangan bunga dan coklat, dan juga belon. Jungkook merapati Yewon lalu menghulurkan jambangan bunga dan coklat itu kepadanya.

 

"Selamat ulangtahun yang ke-2, sayang..."

 

Jungkook menghadiahkan sebuah kucupan lembut pada bibir Yewon. Walau sedikit terkejut, namun tidak dapat digambarkan betapa gembira dan terharunya Yewon dengan kejutan yang dibuat untuknya. Yewon merangkul leher Jungkook dengan erat. Langsung tidak dipedulikan akan pasangan yang sedari tadi memerhatikan mereka berdua.

 

"Sudah-sudah la tu... Kalau ye pun,  tengok-tengok la sikit kitorang yang ada kat sebelah ni", ujar Taehyung.

 

******************

 

          Yewon tertawa  tatkala melihat gambar dirinya dan Jungkook bercumbuan, dengan mimik wajah Taehyung yang memberi maksud terkejut, menyampah dan geli-geleman yang menjadi fokus utama dalam gambar.

 

"Kau memang terbaik, Yerin" , kata Yewon dengan tawa masih bersisa.

 

          Yewon menutup kembali album foto itu. Walaupun masih ada lagi gambar yang belum dilihat, namun dia tidak mampu untuk melihatnya sampai habis. Momen manis mereka ternyata begitu pahit untuk dikenangkan. Sebak didada semakin menebal. Makin dia cuba untuk melupakan, makin sakit yang dirasakan. Yewon menyandarkan kepalanya pada batang pohon tua itu. Dia memeluk erat album foto tersebut, lalu memejamkan matanya sebentar. Cuba menghilangkan rasa sesak yang dirasakan. Beberapa ketika kemudian, rasa sesak itu sudah hilang. Yewon buka pula kotak yang kedua, kotak baldu bentuk empat segi tepat yang berwarna merah jambu. Saat dia membuka kotak tersebut, kedengaran alunan muzik dimainkan dari dalam kotak tersebut. Yewon menghayati muzik tersebut, muzik itu seperti pernah didengarinya sebelum ini. Ianya tidak mengambil masa begitu lama untuk dia menyedari bahawa muzik itu adalah dari lagu kegemarannya iaitu 'Beautiful', nyanyian penyanyi Crush, salah satu lagu daripada soundtrack asal dari drama bersiri Goblin lakonan Gong Yoo dan Kim Go Eun.

 

******************

 

"Sayang~ Awak menangis ke?" , soal Jungkook yang baru sahaja pulang dari tempat kerja. Dia berasa pelik kerana tiba-tiba sahaja dia terdengar Yewon tersedu-sedan menahan tangis. Jungkook menghampirinya lalu mengambil tempat disebelah Yewon.

"Sayang~ Kenapa ni? Saya ada buat salah ke?" , sekali lagi dia bertanya.

"Tak lah" , jawab Yewon ringkas.

"Habis tu? Kenapa sayang menangis teruk macam ni?"

"Episod kali ni....sedih sangat..." , jawab Yewon dengan tangisan yang masih lagi bersisa.

"Episod?" , Jungkook masih lagi tidak dapat menangkap maksud Yewon.

"Drama 'Goblin' ni la, sayang~~" , jawab Yewon sambil memandang Jungkook dengan wajah yang polos.

 

          Pantas satu cubitan diberikan di pipi kanan Yewon. Jungkook berasa geram, seolah dirinya dipermainkan pula oleh gadis kesayangannya. Yewon menjerit kesakitan. Diusap-usap lembut pipinya bagi menghilangkan rasa sakit akibat dari cubitan Jungkook sebentar tadi. Dia memandang mata Jungkook dengan pandangan yang penuh tanda tanya.

 

"Kenapa awak cubit saya?" , soal Yewon. Tangannya masih lagi mengusap pipinya.

"Awak la ni... Buat saya takut je. Saya ingatkan saya ada buat salah pada awak pagi tadi sampai awak menangis teruk macam ni" , kata Jungkook. Walaupun sedikit geram, namun tidak langsung ditinggikan suaranya.

"Huh??? Ooooooooo~~~~"

 

          Bulat mulut kecil Yewon menyebut konsonan 'O' tersebut, seraya dia tertawa terbahak-bahak. Terasa lucu apabila teringat kembali riak wajah risau dan panik Jungkook sebentar tadi. Bengang kerana ditertawakan, Jungkook bingkas bangun lalu menuju ke bahagian dapur untuk minum air. Yewon berhenti ketawa dan memerhatikan Jungkook, 'merajuk la tu~' , bisiknya dalam hati. Yewon segera bangun dan mengekori Jungkook dari belakang. Dipeluk tubuh sasa Jungkook dengan penuh manja.

 

"Sayang~~" , kata Yewon dengan nada manja.

"Hhhmm.."

"Awak marah ke?"

"Tak lah" , jawab Jungkook.

Tidak puas hati dengan jawapan acuh tidak acuh Jungkook, "Tipu... Saya tahu awak marah. Maafkan saya ye."

 

Jungkook melepaskan pelukan Yewon, berpaling kebelakang dan memandang Yewon yang setia menunggu jawapan maafnya. Seraya dia menarik gadis itu kedalam dakapannya lalu mengucup dahinya. Yewon tersenyum dan membalas pelukan lelaki kesayangannya itu.

 

"Sayang tak perlu minta maaf. Sebab sayang tak buat salah pun" , kata Jungkook.

"Tapi, tadi awak macam marah je."

"Saya geram sikit sebab awak gelakkan saya tadi. Mula-mula awak buat saya takut, lepas tu awak gelakkan saya pula."

"Sebab muka awak kelakar tadi" , balas Yewon sambil ketawa kecil.

 

          Sekali lagi Jungkook mencubit pipi Yewon, kali ini lebih lembut berbanding tadi. Dia tidak mampu berasa marah atau geram dengan Yewon untuk tempoh yang begitu lama kerana gadis itu tahu untuk memujuk dirinya. Mereka berdua jalan beriringan, menuju semula ke ruang tamu. Seperti kebiasaannya, Yewon akan menceritakan semula setiap babak drama kegemarannya pada Jungkook dengan penuh teruja. Jungkook hanya menjadi pendengar setia, terhibur hatinya melihat telatah Yewon yang begitu teruja dan gembira apabila bercerita. Dia bukanlah penggemar drama bersiri, namun demi Yewon, dia sanggup menemani gadis itu menonton semula ulang tayang drama bersiri yang sedang hangat diperkatakan diseluruh dunia.

 

"Sayang~ Saya ada satu soalan nak tanya awak" , kata Jungkook yang sedari tadi begitu khusyuk menonton drama yang disiarkan.

"Apa dia?"

"Antara saya dengan Gong Yoo, siapa lebih tampan?" , tanya Jungkook

Yewon tersenyum kecil. Dengan wajah bersahaja dia menjawab, "Gong Yoo"

"Antara saya dengan Gong Yoo, siapa yang lebih awak suka?" , sekali lagi Jungkook bertanya. Hakikatnya dia tidak berpuas hati dengan jawapan Yewon tadi.

"Gong Yoo" , jawab Yewon. Sedaya-upaya dia cuba menahan diri dari ketawa.

 

          Yewon memandang Jungkook. Jungkook memberi jelingan yang tajam kepada Yewon, namun apa yang dia dapat hanyalah gelak tawa dari gadis itu. Hari ini sahaja sudah dua kali dia diketawakan. Yewon masih lagi ketawa hingga senak perut dibuatnya. Jungkook mencebik, dia terus memandang TV dihadapannya. Yewon segera memeluk Jungkook untuk memujuknya.

 

"Jeon Jungkook~"

 

Jungkook memandang Yewon. Jarang gadis itu menyebut nama penuhnya melainkan hal-hal yang serius. Yewon mengelus lembut rambut dan wajah lelaki dihadapannya dengan senyuman yang terukir dibibirnya.

 

"Sayang~ Awak bukannya lebih tampan, tapi awak sangat tampan. Dan saya bukannya suka awak, tapi saya cintakan awak. Mungkin awak bukan yang pertama, tapi saya nak awak tahu yang awak adalah yang terakhir untuk saya. Awak adalah sebahagian dari dalam hidup saya. Cinta saya, hati saya hanyalah untuk awak seorang."

"Yewon~"

"Jika Eun Tak ditakdirkan untuk Kim Shin, maka awak pula ditakdirkan untuk saya. Jika Kim Shin adalah goblin Eun Tak, awak pula adalah goblin saya yang sentiasa menceriakan dan membahagiakan hidup saya. Cuma, satu je..."

"Apa dia?"

"Awak jangan tinggalkan saya macam mana Kim Shin pergi meninggalkan Eun Tak ye."

 

Ketawa besar Jungkook dibuatnya. Dia tahu gadis kesayangannya itu betul-betul maksudkan kata-katanya, namun terasa lucu pula Yewon kaitkan mereka dengan dua karakter utama drama Goblin yang dilakonkan oleh Gong Yoo dan Kim Go Eun. Jungkook mengangguk, berjanji tidak akan sesekali dia meninggalkan gadis itu, melainkan jika memang telah ditakdirkan dia harus 'pergi' meninggalkan Yewon.

 

******************

 

          Sekali lagi air matanya mengalir deras. Tanpa disedari, sudah lebih 10 kali alunan muzik 'Beautiful' dimainkan. Yewon tenggelam dalam kenangan silamnya bersama Jungkook. Sungguh dia merindui lelaki itu. Rindu yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kali terakhir dia melihat wajah Jungkook adalah selepas mereka terlibat dalam kemalangan. Dalam kesakitan, sedaya-upaya Yewon memanggil nama Jungkook, berharap sangat agar kekasihnya itu sedar. Namun, disaat itu Jungkook sudah tidak bernyawa. Betapa luluh hatinya ketika itu, lelaki yang dicintainya ternyata sudah pergi buat selama-lamanya. Pusara lelaki itu diziarah selepas 2 minggu dikebumikan kerana dirinya mengalami kecederaan parah dan tidak sedarkan diri selama seminggu. Yerin, Taehyung dan ahli keluarganya dan juga keluarga Jungkook berusaha menenangkan dirinya yang ketika itu seperti orang tidak betul. Ibu Jungkook memeluk Yewon dengan erat, menenangkan hati sedih gadis kesayangan mendiang anaknya. Dia faham perasaan gadis itu kerana dia juga turut merasainya. Walau tragedi itu sudah setahun berlalu, namun Yewon tetap tidak dapat melupakan kejadian itu. Mana mungkin bisa dapat lupakan saat itu. Saat yang tidak pernah sekali dijangka. Saat kali terakhir dia menatap wajah tenang kekasihnya.

          Dia membuka kotak yang terakhir, iaitu kotak kecil berbaldu merah. Didalamnya mengandungi sebuah pemicu laju edisi telefon bimbit yang berwarna emas. Yewon mengeluarkan telefon bimbitnya dan menghubungkan pemicu laju tersebut pada telefon bimbitnya. Hanya terdapat satu video didalamnya, Yewon terus membuka video tersebut. Lagu 'Beautiful' berkumandang dan wajah Jungkook terpapar di skrin telefon bimbitnya.

 

~~~~~~~~~~

 

Hai sayang~~~ Saya nak awak tahu, bahawa saya cintakan awak. Sejak kali pertama perkenalan kita berdua, walaupun awak bersikap dingin, namun saya tahu yang saya sudah jatuh cinta pada gadis dingin tu. Taehyung dan Yerin cuba bantu saya, tapi waktu itu saya tolak sebab saya nak awak sendiri yang bukakan pintu hati awak untuk saya dan terima cinta saya, tidak kira jika masa itu mungkin diambil begitu lama. Saya buat video ini khas untuk awak, harap awak menontonnya sampai habis, okey?

 

~~~~~~~~~~

 

Yerin : Hello, Yewon.

Taehyung : Hai, budak kecik.

Gong Yoo : Selamat sejahtera, cik Yewon.

Kim Go Eun : Hai, Yewon.

Keluarga Yewon & Jungkook : Hai Yewon!!

 

~~~~~~~~~~

 

Yewon tertawa kecil. Terhibur dengan gelagat insan didalam video yang dipaparkan. Dan tidak menyangka bahawa Gong Yoo dan Kim Go Eun juga turut berada dalam video itu.

 

~~~~~~~~~~

 

Yerin : Yewon-ah~~ Sahabatku dunia akhirat. Mesti kau tertanya-tanya bila kitorang buat video ni, kan?

xxxxxxxx

Taehyung : Hey, budak kecik.  Abang nak beritahu satu benda kat kamu.

xxxxxxxx

Yerin : Kitorang dah lama rancang nak buat satu video khas untuk kau. Tapi, kitorang ni cuba cari masa yang sesuai, dan...inilah masanya!

xxxxxxxx

Taehyung : Tak sangka pula abang kena terlibat sekali. Kekok pulak rasanya bila abang kena jadi 'baik' untuk sementara waktu sebab nanti sahabat awak tu marah... *Apa dia??!! (suara Yerin kedengaran dari jauh)*

 

~~~~~~~~~~

 

Sekali lagi Yewon ketawa. Taehyung sememangnya 'pak lawak' di antara mereka berempat.

 

~~~~~~~~~~

 

Gong Yoo : Hai cik Yewon. Teman lelaki awak yang tampan ni beritahu yang awak adalah peminat setia saya *mana ada tampan… Encik Gong Yoo lebih tampan dari saya (kedengaran suara Jungkook disebalik rakaman video)*
Walaupun kita tidak pernah berjumpa, tetapi saya ingin mengucapkan terima kasih kerana menyukai dan menyokong drama 'Goblin'. Sebagai wakil kepada pihak produksi 'Goblin', kami menghargai setiap kasih sayang yang cik Yewon berikan kepada kami.

xxxxxxxx

Kim Go Eun : Hai Yewon~~ Tak apa kan kalau saya tak gunakan ayat formal? *boleh saja (suara Yerin)* Hihihi.. Rasa janggal pula. Saya sebenarnya tak sabar nak cakap ayat seterusnya, tapi sebelum tu...hhmm~ saya mulakan dulu dengan ucapan terima kasih kepada awak kerana menyukai drama bersiri 'Goblin'.

xxxxxxxx

Ibu Yewon : Hai sayang~~ Kamu baik-baik saja kan? Ayah dan ibu nak kamu tahu yang kami bangga mempunyai anak yang cantik, baik dan manja seperti kamu. Seperti abang dan kakak, kamu anugerah yang terindah buat ibu dan ayah.

Bapa Yewon : Betul tu, sayang. Ayah sayang sangat pada kamu. Walaupun Yewon dah dewasa, tetapi bagi ayah, Yewon tetap anak manja ayah sampai bila-bila.

Bapa Jungkook : Yewon-ah~ Ingat tak kali pertama kita jumpa dulu? Pakcik dan makcik tengok kamu saja, rasa sayang pada kamu mula terbit dalam hati ni. Bunyi macam kuno, kan? Hahahaha! Pakcik pun dah tua, jadi ayat pakcik ni pun ayat zaman dulu-dulu. Hehehehe.

Ibu Jungkook : Yewon sayang~~ Terima kasih kerana hadir dalam hidup Jungkook. Makcik bersyukur sangat kerana Jungkook sayang dan cintakan wanita seperti Yewon. Kamu gadis yang sangat baik, makcik sayangkan kamu.

 

~~~~~~~~~~

 

Air mata kegembiraan menitis di atas skrin telefon bimbitnya. Yewon berasa terharu dengan kasih sayang yang dicurahkan untuknya. Sungguh dia terlalu menyayangi insan didalam video, khususnya keempat-empat ibu dan bapa itu.

 

~~~~~~~~~~

 

Yerin : Aku tahu kau sangat cintakan Jungkook. Walaupun dia bukan yang pertama, tapi aku pasti dia yang terakhir untuk kau, kan? Aku pernah beritahu kau kan sebelum ni? Yang aku bersyukur sangat Jungkook hadir dalam hidup kau, di saat kau mula hilang kepercayaan pada cinta. Hihi..terasa malu pula bila cakap macam ni *ala~~ tolonglah Yerin (suara Jungkook)* Okey..okey.. Sahabatku sayang, Jungkook adalah lelaki terbaik untuk kau. Dia bahagiakan kau, dia gembirakan kau. Walaupun kau dilahirkan semula, belum tentu lagi kau akan bertemu dengan lelaki seperti dia. Aku nak tengok korang berdua hidup bahagia bersama untuk selama-lamanya.

xxxxxxxx

Taehyung : Yewon-ah~ Abang tak biasa susun ayat-ayat jiwang ni. Sedangkan dengan Yerin pun abang tak pernah guna ayat manis *aku 'jealous', okey!! (suara Yerin)* Ssshhh... Tapi, demi sahabat abang yang ada kat depan ni, jadi abang nak beritahu kamu sesuatu. Jungkook betul-betul sayangkan kamu, cintakan kamu. Bukan tak ada gadis yang cuba dekati dia, tapi hati dia memang hanya untuk kamu. Walaupun sebelum ni korang pernah diuji, tapi dia tetap percaya dan setia pada kamu kerana rasa cinta yang mendalam terhadap kamu.

xxxxxxxx

Gong Yoo : Saya terharu dengan kesungguhan kekasih hati awak ni, cik Yewon. Demi awak, dia sanggup menunggu lama untuk bertemu dengan saya. Entah berapa kali dia datang ke agensi hanya untuk buat temujanji dengan saya. Dia seorang yang sangat baik. Sukar untuk bertemu dengan lelaki sepertinya. Awak sangat beruntung kerana memiliki kekasih seperti dia. Dia menyayangi dan menyintai awak lebih dari segalanya.

xxxxxxxx

Kim Go Eun : Yewon-ah~ Saya cemburu dengan awak sebab dapat kekasih yang sangat romantik. Sanggup datang ke set penggambaran saya di Jeju semata-mata untuk bertemu dengan saya dan laksanakan hajatnya untuk awak. Betapa hebatnya rasa cinta dia pada awak. Tak semua perempuan yang betuah dapat rasai kasih sayang dan kebahagiaan macam awak. Jangan sesekali lepaskan lelaki sehebat Jungkook, ya? Sayang awak~~~

xxxxxxxx

Bapa Yewon : Mesti kamu tekejut kan tengok kami semua berkumpul di satu tempat?

Bapa Jungkook : Sebab kami dah buat perbincangan, dan kata putus pun sudah dibuat atas persetujuan kedua belah pihak. Cuma keputusan saja terletak diatas kamu.

Ibu Yewon : Walaupun kami tahu isi hati kamu, namun kami semua berharap sangat kamu terima keputusan kami ni.

Ibu Jungkook : Kami sayang kamu berdua, Yewon dan Jungkook. Terimalah restu dari kami semua.

 

~~~~~~~~~~

 

Jungkook : Bintang terindahku, Kim Yewon...
Sudikah kamu menjadi pemaisuri hidup saya untuk selama-lamanya?
(Kotak muzik dibuka, kelihatan sebentuk cincin didalamnya)

 

~~~~~~~~~~

 

          Yewon terpana. Dia membuka semula kotak muzik disebelahnya. Kelihatan sebentuk cincin yang tersemat utuh dibahagian penutup kotak tersebut. Ditatap wajah ceria Jungkook yang terpamer dipenghujung video. Kali ini dia tidak mampu lagi menahan air mata yang sudah sekian lama bertakung ditubir matanya. Yewon menangis semahunya. Dadanya terasa sesak dan sakit menahan sebak. Dia pasrah. Fikirnya, andai Tuhan mengambil nyawanya saat itu juga tidak mengapa, daripada dia berterusan menderita akibat rasa rindu yang mendalam.

          Saat itu, telefon bimbit Yewon berbunyi. Terpapar nama Yerin di skrin telefon bimbit tersebut.

 

"Hello"

"Yewon~ Kau kat rumah ye? Aku dalam perjalanan balik dari kampung ni. Jom kita keluar sama-sama. Aku ambil kau kat rumah, okey?" , kata Yerin. Sahabatnya itu dalam perjalanan pulang dari kampung halaman atas urusan keluarga.

"Yerin~~~" , sayu suara Yewon menyebut nama sahabatnya itu. Dan sekali lagi dia menangis.

"Hei... Kenapa kau menangis ni? Kau rindu aku ek?" , Yerin cuba membuat lawak. Resah hatinya mendengar tangisan Yewon itu.

"Yerin~~ Aku tak mampu lagi..." , kata Yewon

"Apa maksud kau?" , soal Yerin.

"Aku cuba lupakan dia. Tapi..." , Yewon berhenti sejenak. Tangisannya menyukarkan dirinya dari terus berbicara. "Tapi, makin aku cuba untuk melupakan Jungkook, makin kuat dia hadir dalam ingatan aku."

"Yewon..."

"Aku teringat janji kitorang tahun lepas, aku datang balik tempat ni. Semua memori aku bersama Jungkook tersemadi bawah pokok. Aku dah tengok semuanya, Yerin. Aku dah tak mampu tipu diri aku lagi. Aku dah tak mampu  untuk tanggung rasa rindu aku pada dia."

 

Yerin mula teringat akan klip video yang dibuat khusus untuk Yewon.

 

"Yewon.. Sabar Yewon.. Bawak bertenang" , Yerin cuba menenangkan sahabatnya itu. 

"Kenapa Tuhan tak ambil aku sekali, Yerin? Aku lebih rela pergi bersama dia daripada menderita macam ni"

"Sabar... Kau masih lagi kat sana kan? Kau tunggu situ. Aku datang dengan Taehyung" , talian dimatikan. Yerin memecut laju keretanya. Dia menghubungi Taehyung agar segera menunggunya dihadapan kediaman Taehyung.

 

          Yewon bersandar pada pohon tua itu. Matanya yang masih basah dengan air mata merenung ke arah langit yang sudah berubah warna. Fajar senja kian menghilang. Burung-burung terbang berkumpulan diruang angkasa, berhijrah ke tempat yang lebih hangat untuk meneruskan kehidupan. Tanpa disedari, sudah lama dia duduk berteleku disitu. Tempat yang menjadi persinggahan mereka dulu, kini terbiar sepi. Rasa sesak didada semakin menebal, terasa sukar untuk dirinya bernafas. Helahan nafasnya terasa berat. Tubuh yang hangat tadi mula terasa dingin sedikit demi sedikit. Yewon memeluk tubuhnya, kotak muzik dan foto album didakap erat. Perlahan-lahan dia memejamkan mata, bersama kenangannya yang semakin rancak bermain diminda, dengan ditemani air mata yang masih lagi bersisa ditubir matanya.

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
hollyeu
#1
Chapter 2: Omg this so beautifully written. Saya tak tahu nak describe macam mana, tapi jujur saya katakan rasa mcm nak menangis je sepanjang baca oneshot (?) ni (tp tak nangis pun haha). Walaupun sedih, I still can feel the romantic feelingsss gitew hahaha. They're so sweet ♡ Lagi satu, saya suka sangat watak Yerin ngan Taehyung kat sini. Kenapalah diorang caring sangat huhu I cannot lah T^T

Hm, tak faham betul apasal takde siapa nak komen atau vote cerita ni, because this story deserves more! Anyway, all the best for you author :D Thanks for writing this story!

(tapi kan, kenapalah saya baru jumpa sekarang cerita ni ;_;)