Final

Lamaran Hati
whitedeco2_zps0c7a3e7d.png
“You can close your eyes to the things you don’t want to see.

But, you can’t close your heart to the feelings you don’t want to feel.” – Johnny Depp.

Kelihatan susuk tubuh seorang lelaki dalam lingkungan awal 20-an sedang bersantai di ruang tamu kondominiumnya. Dia menghirup air yang berwarna coklat dari mug sambil menonton televisyen. Tiba-tiba telefonnya bergetar dan berbunyi di atas meja kopi. Dia mengangkat telefon itu untuk melihat nama pemanggil.

 

“Hello noona. Kenapa tiba-tiba telefon?”

“Yoongi…”

Dia mengangguk seraya namanya dipanggil dari hujung talian. “Apa dia? Beritahulah.”

“Kris telah melamar aku.” balas gadis bernama Min Ri itu dengan pendek.

Dia terdiam sejenak, agak terkedu dengan berita yang baru diketahuinya. “Habis? Apa jawapan noona?”

Gadis itu mendiamkan diri untuk seketika. “Noona tak tahu…”

Dahi lelaki muda tersebut berkerut sedikit, memikirkan sesuatu. “Noona, Kris hyung itu kita kenal sejak kita masih bersekolah lagi kan?” Dia tersenyum sedikit. “Dari kita semua masih serabai sampailah sekarang.” Dia memerhati mug yang makin menyejuk isinya. “Bertuah noona sebab Kris hyung melamar noona.”

Satu keluhan kecil keluar dari bibir gadis muda itu. “Noona tahu… tapi… noona sayangkan dia.”

“Noona fikirlah masak-masak. Yoongi tak boleh nak bantu dalam hal ini.” ujarnya. “Tapi ingat noona, mungkin noona takkan dapat jumpa lelaki sebaik Kris hyung lagi.”

“Bukan dia saja lelaki yang ada di dunia ni.” balas Min Ri seakan muak dengan kenyataan Yoongi.

“Noona…”

“Dah, biar noona buat keputusan sendirilah!”

 

Sejurus itu, talian diputuskan.

 

Lantas Yoongi hanya merenung skrin telefonnya sambil menggeleng. “Terima sajalah. Bukannya susah. Haih.” Kegiatannya yang terbantut sebentar tadi disambung kembali seperti tiada apa yang telah berlaku.

“Tak kenal maka tak cinta..”

Dia mencebik kecil.

Tapi kalau dah kenal pun tak cinta, macam mana?

 


 

Kris Wu yang berada di sebuah kafe, merenung sebuah kotak kecil yang dibaluti oleh kain baldu merah. Dia mengempalkan kedua-dua buku limanya; berasa sedikit gugup walaupun dia berseorangan ketika itu. Tak lama kemudian dia mengeluarkan telefon dan mendail nombor seseorang.

 

Sebuah telefon kecil bergetar di sisi tuannya yang sedang duduk bersila di atas sofa sambil menonton televisyen. Lalu Min Ri menjawab panggilan itu.

 

“Krisss!” jawabnya dengan nada bergurau. Dia ketawa kecil apabila terdengar suara Kris yang agak kekok ketawa bersamanya. “Ada apa kau telefon aku malam-malam ni? Aku rasa kelmarin baru kita berbual.” Gadis itu tersengih. “Rindu dekat aku ey?” usiknya.

Kris di luar talian mengusap belakang lehernya sambil tersenyum kekok. “Ya, memang aku rindukan kau, Ri.” luahnya dengan ikhlas namun hanya dianggap sebagai jenaka.

“Jadi? Kau nak ajak aku makan malam ke?” teka Min Ri.

“Kau boleh tak?” balas Kris dengan teragak-agak.

“Boleh. Pukul berapa? Kat mana?”

“Pukul 9? Dekat Little Galaxy Café. Aku ambil kau ya?”

“Eh tak payahlah. Aku lebih suka bawa kereta aku sendiri. Senang aku nak lari daripada kau.” Sempat lagi Min Ri berseloroh. “Kita jumpa kat sana. Annyeong.”

 

**

 

“Jadi? Kenapa kau nak jumpa aku?” tanya Min Ri ketika mereka bersiar-siar mengambil udara malam yang segar di kawasan sebuah taman berdekatan dengan kafe. Sepanjang berada di dalam kafe, Kris hanya berbual kosong dan pendek sahaja dengan Min Ri.

Kris menarik dan menghembus nafas dengan gementar. Dia cuba untuk bertenang dan hanya memerhati tanah yang berumput. “Aku...”

Min Ri tersengih mengejek. “Kau ni kenapa hah? Semacam saja aku tengok.”

Kris hanya tersenyum kecil sambil mengetap bibir. Dia mengarahkan Min Ri supaya mengisi bangku batu yang tersedia di situ. Min Ri memandang Kris dengan pelik namun dia hanya diamkan suaranya.

Kris menggapai kotak kecil di dalam kocek seluarnya. Mengenggamnya buat seketika, lalu dia melutut di hadapan Min Ri dan membuka kotak kecil itu. 

 

“Aku... pun tak sedar bila aku mula jatuh cinta dengan kau...”

 

Dia tersenyum kecil melihatkan Min Ri menutup mulut dengan tapak tangannya akibat terkejut.

 

“Jadi, saya, Kris Wu, ingin melamar awak, Min Ri sebagai isteri saya.”

 

Tanpa memberikan sebarang kata mahupun jawapan, Min Ri meminta Kris duduk di sebelahnya. Dia merenung wajah lelaki yang tidak pernah gagal membuatkan dia ketawa dan menangis itu. Anak matanya memandang tepat ke dalam anak mata lelaki tersebut seolah ingin meminta suatu penjelasan.

 

“A..apa ni, Kris?” ujarnya, lemah.

 

 

Kris hanya merenung langit yang gelap sambil menyilangkan tangannya. Badannya pula disandar pada badan kereta yang diparkir di tepi kawasan berbukit. Angin lembut menyapa hati resahnya.

“Kau tak cintakan aku ke, Min Ri?” luahnya dengan perlahan, terkenangkan masanya sebentar tadi bersama gadis itu.

 

Beberapa keluhan dan gelengan diberi oleh Kris. Seolah-olah dia menyesal dengan keputusan drastiknya tadi. Mungkin Min Ri terkejut dilamar olehnya. Mereka tidak pernah dianggap bercinta apatah lagi Kris tidak pernah mengajak Min Ri untuk menjadi kekasihnya. Mengapa?

 

Bunyi loceng menandakan waktu pulang bergema di segenap ruang sekolah menengah itu. Berpusu-pusu para pelajar meninggalkan kelas mereka. Kelihatan Yoongi berlari-lari anak menuju ke kelas kakaknya. Namun langkahnya terhenti apabila terlihat seorang pelajar lelaki sedang menyatakan sesuatu kepada Min Ri di lokernya. Dia tidak dapat mendengar perbualan mereka itu dan hanya memerhati dari jauh. Tanpa Yoongi sedari, Kris juga turut berada di situ namun terselindung di sebalik dinding berhampiran loker.

Min Ri hanya tersenyum tenang dan menepuk-nepuk lembut bahu lelaki yang berdiri di depannya. Lelaki itu menunduk tersenyum malu dan mengusap belakang lehernya dengan kekok. Usai pelajar itu beredar, Yoongi segera berlari mendekati kakaknya dengan perasaan ingin tahu yang membuak-buak.

“Noona!!” jerit Yoongi dengan gembira. Min Ri masih menyusun bukunya di dalam loker.

“Kenapa dengan dia, noona?” soal Yoongi; tidak sabar. Min Ri menjenguk keluar daripada pintu lokernya dan bersilang tangan mendepani Yoongi yang hanya muda beberapa tahun darinya.

“Dia suka noona.”

 

Kris pada mulanya mahu menunjukkan dirinya namun ayat itu membekukan langkahnya.

 

“Apa?!” Yoongi terlopong; tidak percaya. “Jadi noona cakap apa?! Yoongi nampak tadi dia tersenyum kekok semacam saja.”

Min Ri menjongketkan bahu. “Noona cakap dia handsome.”

“Woo~~” Yoongi mula mengusik kakaknya yang sememangnya jarang memuji lelaki.

“Tapi noona cakap noona tak berdebar pun bila tengok dia. Jadi, faham-fahamlah kan?”

Yoongi mencebik. “Apalah noona. Patut terima saja.” Dia membalikkan matanya dengan dingin.

Melihatkan perlakuan Yoongi, Min Ri terus menyekeh kepala adiknya itu. “Kita datang sini nak belajar ke nak bercinta?”

Yoongi menggosok-gosok kepalanya yang sakit. “Eleh. Sebenarnya noona tu…”

 

 

“Sebenarnya kau nak jatuh cinta dengan suami kau kan?” ujar Kris yang mengetahui niat kecil hati Min Ri yang dianggap agak aneh itu dengan tidak sengaja.

 

Min Ri dan Yoongi dibesarkan oleh datuk dan nenek mereka. Mungkin ia serba sedikit mempengaruhi gaya hidup Min Ri yang separuh moden separuh konservatif. Mungkin disebabkan itu jugalah Kris tidak berani menjadikan Min Ri sebagai kekasihnya.

Kata orang, bercinta ini masa untuk mengenal hati budi masing-masing. Tetapi bagi Kris, dia tidak memerlukannya kerana dia merasakan bahawa dia sudahpun mengenali isi hati gadis tersebut.

Namun, adakah ia benar seperti yang dia fikirkan?

 

Kris menunjukkan dirinya dengan gaya seolah-olah baru saja menuruni tangga menuju ke loker.

“Kris hyung!!” jerit Yoongi dengan teruja lagi kerana Kris diibaratkan sebagai penyelamat dirinya.

Kris ketawa kecil. “Tak balik lagi ke?”

“Tengah tunggu hyunglah!” Yoongi terkedek-kedek sebelum berdiri di belakang Kris sambil menunjuk ke arah Min Ri. “Noona siku kepala Yoongi tadi! Balas balik hyung!”

Min Ri hanya membalikkan mata tanda jengkel lalu menutup pintu lokernya. “Balaslah balas. Aku pandai hapkido.”

Ugutan kecil itu membuatkan dua orang lelaki itu tersengih sesama sendiri dan kemudiannya ketawa serentak.

 

“Jomlah balik.” ajak Kris; masih dengan sengihannya.

“Ughh, dahlah tersengih nampak gusi macam nenek.” ejek Min Ri; masih berasa jengkel. Yoongi ketawa mengekek di belakang Kris sebelum melarikan diri akibat seorang gergasi sedang mengejarnya.

“Noona!! Tolong!!”

 

Kris hanya tersenyum tawar dan memasuki perut kereta. Enjin dihidupkan dan kereta itu mula meninggalkan kawasan tersebut. Walaupun Kris belum mahu pulang ke kondominiumnya, namun otaknya ligat memikirkan ke mana dia harus pergi untuk menghabiskan malam yang masih muda.

Dia bukanlah seperti generasi muda lain yang mungkin akan memilih hiburan dan tempat-tempat sesak untuk menghilangkan tekanan. Dia tidak menyukai perkara sebegitu. Baginya ia langsung tidak membantu, bahkan menambahkan lagi tekanan.

 

Tapi semua itu boleh berubah kan?

 


 

Min Ri membuka kunci pintu rumah kondominium miliknya dengan gopoh. Dia mahu cepat-cepat merehatkan badannya di atas sofa empuk yang setia menanti.

“Apa kau buat ni Kris…” keluhnya usai badannya menyentuh dinding sofa. Dia termenung buat seketika. Fikiran gadis itu bercelaru dan masih terkedu dengan lamaran Kris tadi.

 

Tidak berasa tenang, dia membawa diri ke bilik tidur. Berbaring di atas katil sambil merenung siling putih. Hanya deruan nafas beratnya kedengaran. Lalu dia bangun mengubah posisi kepada duduk; mencapai telefonnya untuk membuat panggilan.

 

“Hello noona. Kenapa tiba-tiba telefon?” Sapa suara itu sebaik panggilan dijawab.

“Yoongi …” Min Ri memanggil nama adiknya itu dengan lemah.

“Apa dia? Beritahulah.” Yoongi lembut mengiakan. Daripada suara kakaknya, dia pasti bahawa Min Ri mungkin sedang menghadapi masalah sekarang.

“Kris melamar aku.” balas Min Ri sambil menunduk menahan kepalanya dengan tangan kanan.

Yoongi membisu seketika. Min Ri dapat merasakan bahawa Yoongi juga terkejut dengan berita itu. “Habis? Apa jawapan noona?”

“Noona tak tahu…” ujar Min Ri selepas mengunci mulut buat seketika. Mata dipejam sambil dahi dikerutkan tanda sedang kusut fikirannya sekarang.

 

“Noona, Kris hyung itu kita kenal sejak kita masih bersekolah lagi kan?” Min Ri hanya mendengar. “Dari kita semua masih serabai sampailah sekarang.” sambung adiknya itu lagi. “Bertuah noona sebab Kris hyung melamar noona.”

 

Min Ri mencelikkan mata hanya untuk termenung kosong.

 

“Noona fikirlah masak-masak. Yoongi tak boleh nak bantu dalam hal ini.” ujarnya. “Tapi ingat noona, mungkin noona takkan dapat jumpa lelaki sebaik Kris hyung lagi.”

Min Ri mencebik kecil. “Bukan dia saja lelaki yang ada di dunia ni.”

"Noona..."

"Dah, biar noona buat keputusan sendirilah!"

 

Lantas punat merah ditekan tanpa mendengar jawapan daripada Yoongi. Min Ri merebahkan semula badannya ke katil sambil memandang ke siling. Apa yang harus aku jawab?  Keluh kesah badannya mengubah posisi. Bantal yang berada berdekatan dipeluk erat.

 

“Kenapa susah sangat nak bagi jawapan?!” omel Min Ri sendirian. Dia mendengus geram.

“Kalau aku tak cintakan dia, maka tidaklah jawapannya!” Dia mengkusutkan rambutnya.

Tapi kenapa hati aku tak sanggup?

Atau sanggupkah aku sebenarnya?

 

“Sebab kau kawan baik aku, Kris…”

Aku tak suka bila kau seolah sedang memaksa aku untuk suka dekat kau. Aku tak boleh…

 


 

Suatu ketika dulu.

 

“Yoongi, mari sini sebentar.” ujar Nenek sambil melambai ke arah cucunya untuk menemaninya duduk bersila di ruang tamu rumah lama itu.

“Nenek nak beritahu apa?” Yoongi duduk bersila di depan neneknya yang sedang menganyam sesuatu. Dia menongkat dagu; memerhati tingkah laku wanita yang berumur lebih daripada separuh abad itu.

“Kamu jangan cakap dekat kakak kamu tahu?” Nenek berhenti menganyam dan memandang cucu remajanya itu. Yoongi hanya mengangguk.

 

“Nenek dah ada calon suami untuk kakak kamu.”

 

Badan remaja tersebut dengan automatiknya terlurus dan matanya membulat; tidak percaya.

“Nenek dah maklum pada kakak kamu.” Nenek tenang menyambung bicara. “Tapi, calonnya nenek tak beritahu lagi.”

“Noona tak marah?” tanya Yoongi setelah dia berjaya mengawal perasaan terkejutnya tadi. Nenek menggeleng.

“Kamu tahu kakak kamu macam mana bukan?”

Yoongi mengangguk; tanda faham. “Tapi kenapa nenek? Kenapa noona setuju untuk dijodohkan?” tanyanya lagi, ingin tahu.

Kedutan di mata wanita tua tersebut terserlah apabila dia menguntum senyuman. “Sebab nenek ada bercerita tentang kisah nenek dengan datuk kamu dulu. Macam mana kami dijodohkan, macam mana nenek jatuh cinta dengan suami nenek sendiri; datuk kamu itu. Kakak kamu itu mengingatkan kepada diri nenek masa mudalah. Ingin jatuh cinta pada suami sendiri.”

Yoongi mencebik jengkel. “Kenapalah noona fikir macam itu?” Dia mengeluh. “Nak jatuh cinta pada suami sendirilah apa bagai.. Tak faham betul.”

Nenek menyimpul satu senyuman. “Ia sangat… sweet? Alah, macam seronok, gembira itulah maksud dia…”

“Ya, ya, Yoongi faham.” potongnya. “Tapi nenek, itu datuk. Masalahnya ada lagi ke orang yang penyayang dan bertanggungjawab macam datuk? Takutnya nampak saja baik tapi hatinya busuk.” Yoongi menggelengkan kepalanya seakan geli dengan orang sebegitu. “Sebab itu kena kenal dulu baru boleh kahwin…” sambungnya.

“Nenek tahu dan nenek dah jumpa. Nenek yakin Min Ri boleh jatuh cinta dengan lelaki pilihan nenek itu.”

“Macam mana?”

“Nenek kenal keluarga dia. Ayah dia dah lama meninggal dunia, jadi dia sukarela bekerja sambilan nak ringankan beban ibu dia walaupun dia anak tunggal. Nampak bukan?”

Yoongi mengangguk; mengerti situasi lelaki yang dimaksudkan itu. Masakan tidak, dia dan Min Ri juga bekerja sambilan untuk membantu pendapatan datuk dan neneknya yang membesarkan mereka. “Siapa dia nenek?”

“Siapa lagi. Si budak Cina itulah.” Neneknya tersenyum manakala Yoongi membesarkan matanya kembali.

 

Bukan hanya kerana terkejut, namun kerana dia cukup mengenali si budak lelaki Cina yang dimaksudkan itu.

 


 

Keesokan.

 

Seorang wanita berumur separuh abad sedikit terperanjat apabila dia terlihat sepasang kaki panjang terjuntai daripada sebuah sofa ketika melalui ruang tamunya. Pemilik kaki itu masih lagi lena dibuai mimpi. Masih memeluk bantal dengan eratnya dalam keadaan mengiring. Lalu wanita bernama Puan Wu itu hanya menggeleng melihatkan mimik muka anak tunggalnya yang berkerut dalam tidurnya dari dekat. “Balik tak beritahu ibu.” Dia seolah berbisik sambil mengusap lembut dahi Kris agar kerutan yang kelihatan, beransur hilang. “Kamu ada masalah ke, Kris?” Rambut anaknya itu digosok perlahan.

 

Min Ri membuka matanya setelah tersedar daripada lena. Berkelip-kelip matanya cuba menghadam keadaan sekeliling. Bait-bait kata lamaran Kris semalam terus menusuk mindanya kembali. Dia hanya mengkusutkan rambut dengan malas lalu bergerak ke bilik air.

“Kau dah buat semua jadi berbeza, Kris…”

Aku benci kau.

 

 

Kelopak mata pemuda yang terlena di sofa itu akhirnya terangkat  layu. Dengan muka sembap, bibir merah dan mata kuyu, dia bangun dan lantas meja makan menjadi tempat beradunya pula. Dia terlelap dalam keadaan pipinya ditongkat. Puan Wu yang muncul dari dapur sambil menatang dulang berisi sarapan, hanya hairan dengan perangai anaknya pada pagi itu.

 

“Kris… Kalau kamu mengantuk sangat, pergi tidur dalam bilik kamu.” tegur Puan Wu sambil dulang diletakkan di atas meja bersebelahan dengan anaknya. Kris mula meregangkan badannya yang lenguh; enggan mendengar teguran ibunya.

 

“Ma…” panggil lelaki itu dengan suara serak. Belakang lehernya diusap perlahan. 

Puan Wu hanya menaikkan kedua-dua keningnya, “Hmm. Apa dia?”

 

Kris mengeluh perlahan sebelum memandang ibunya dengan mata berkaca yang seakan terkandung kesedihan yang tak dapat ditafsirkan. Tangan diselukkan ke dalam kocek seluar yang tak bertukar sejak semalam. Perlahan-lahan Kris menunjukkan sekotak kecil berwarna merah kepada ibunya.

“Apa yang kamu telah cakap?” Puan Wu mengambil tempat bersebelahan Kris. Dia menyentuh lembut lengan anaknya. “Apa jawapan Min Ri?” tanyanya. Teringin saja dia menguntum senyuman namun tertahan apabila Kris hanya mendiamkan diri sambil merenung ke arah meja. Puan Wu mengerti maksud di sebalik kebisuan Kris itu.

Kris berpaling ke arah ibunya sambil tersenyum kalah. “Dia tak bagi apa-apa jawapan pun, ma…”

“Bagilah dia masa. Mungkin dia terkejut.” pujuk Puan Wu lembut. Dia mengusap lembut bahu anak tunggalnya itu. 

 


 

Min Ri sedang bersiap-siap di hadapan cermin ketika telefonnya berdering nyaring. Terus panggilan tersebut dijawab.

“Hello?”

“Min Ri…”

Dia hanya merengus sambil membalikkan matanya; mendengar namanya disebut. “Apa?”

“Kau nak pergi kerja dengan aku tak hari ini?” Lelaki itu cuba bernada seperti biasa walaupun perasaan janggal semakin menebal antara mereka.

“Aku pergi sendiri, Kris. Buat masa ini, aku tak nak jumpa dengan kau.”  Min Ri memutuskan talian tanpa mempedulikan Kris yang ingin mengucapkan sesuatu. Namun selang beberapa minit, dia mendail nombor seseorang pula.

“Mirae.”

“Ya? Kenapa Min Ri?” tanya Mirae; rakan sepejabatnya.

“Aku kena balik kampung. Aku dah mohon cuti seminggu.” Dingin saja suara Min Ri. “Kalau bos tanya, kau tolong beritahu ya?”

“Baiklah. Aku akan beritahu.”

Tanpa berlengah, talian diputuskan.

 


 

Kelihatan seorang isteri dalam lingkungan 60-an sedang berehat di luar rumah setelah siap membersihkan halaman. Lautan yang jauh terbentang direnung lama. 'Rindunya saya pada awak...' Dia hanya melayan angin yang datang menyapa diri. Tak lama kemudian, bunyi seretan tayar kereta kedengaran dari ruang depan rumah.

 

“Nenek!” laung Min Ri usai menutup pintu kereta. Sejurus ternampak susuk itu sedang berjalan ke arahnya, dia tersenyum girang dan memeluk erat wanita tersebut.

“Eh? Kamu tak berkerja ke hari ini?” tanya nenek. Min Ri hanya mengangguk. “Min Ri ambil cuti seminggu. Rindu nenek, datuk dan Busan!”

Baru sekarang bibirnya mampu mengukir senyuman.

“Jomlah masuk. Kesian Min Ri, mesti kamu penat.” ajak nenek sambil lengannya disaut oleh Min Ri.

 


 

Udara pinggir laut sedikit sebanyak menenangkan hati dan minda si gadis itu. Berada di Busan, si kampung halaman; membuatkan Min Ri seolah lupa akan kehidupannya di bandar buat seketika.

 

“Nenek…” panggil Min Ri dengan lembut.

Neneknya yang sedang menyusun sayur-sayuran di dalam bekas rotan yang akan dijual di pasar esok ; menoleh ke arah gadis tersebut dengan raut wajah tenang. Lalu dia meninggalkan perbuatannya dan mengambil tempat kosong di sebelah Min Ri di anjung rumah.

“Kamu nak beritahu apa, Min Ri?” tanyanya sambil mengusap lembut rambut cucunya itu. Min Ri memeluk nenek dari sisi sambil melentokkan kepala di bahu nenek. Angin yang tenang menyapa diri, memberatkan lagi kelopak mata si gadis muda.

“Nenek…” panggilnya sambil mata dipejam.

“Ya?” sahut nenek dengan lembut.

 

“Kris melamar Min Ri.”

 

Nenek menoleh ke arah Min Ri yang semakin terbuai dengan perasaan mengantuknya.  “Tapi, nenek dah ada calon untuk kamu, Min Ri…”

 

Min Ri hanya merenung kosong dengan mata kuyunya. Fikirannya juga kosong. Dia masih tersekat antara dua pilihan.

 

Siapa yang harus aku pilih?

Kawan atau orang asing?

 

“Tapi nenek tak memaksa kamu. Kamu buatlah keputusan dengan baik ya? Fikir masak-masak.”

 

Suara nenek seakan menghilang dari pendengaran seiring kelopak mata semakin menjatuh. Akhirnya dia terlelap.

 

Alangkah bagusnya jika orangnya sama sahaja…

 


 

“Kenapa kau pilih aku?” soal Min Ri, memulakan bicara.

Kris segera menoleh ke arah kanannya di mana gadis itu berdiri. “Kenapa? Aku…”

“Kau kenal kan aku?” ujar Min Ri tanpa melihat ke arah lelaki itu. Matanya hanya merenung ombak tenang yang membadai pantai.

“Yang kau tak pernah jatuh cinta?”

“Ya, aku memang tak pernah jatuh cinta.” Nada suara gadis itu menurun. Dia memandang wajah lelaki yang tak lekang merenungnya itu. “Aku.. aku takut aku tak cintakan kau, Kris. Aku pun tak tahu apa yang aku rasa.”

 

Ekspresi muka Kris yang agak serius mula mengendur. “Hanya sebab itu?” soalnya. Min Ri merenung dengan pelik. “Kau sayangkan aku kan?”

“Apa maksud kau? Cinta dan sayang adalah perasaan yang berbeza bagi aku.” bantah Min Ri.

“Aku cintakan kau bila aku sayangkan kau.”

“Tak. Itu kau! Bukan aku!”

“Ayah dan ibu kau sayangkan kau kan?”

 

Min Ri terdiam.

 

Lantas Kris menghampiri gadis tersebut dan memberi satu pelukan mengetahui mungkin dia telah mengusik hati si gadis itu. “Aku… minta maaf, Min Ri…”

 

“Kau tengoklah aku." Sayu sahaja suaranya. "Aku serba serbi kekurangan tak macam kau. Dahlah aku ni kasar, boyish…” 

Boyish?” potong Kris, masih memeluk Min Ri. “Sekurang-kurangnya perangai boyish kau tak menjengkelkan aku.” pujuknya sambil mengusap lembut belakang gadis itu. “Jangan rumitkan keadaan Min Ri.. Beritahu apa saja pada aku. Aku setia mendengar."

 

“Hanya kerana kau mencintai aku, perlukah aku menjadi isteri kau?”

 

Lalu esakan kecil kedengaran. Kris menongkat dagunya di atas kepala Min Ri untuk menenangkan hati gadis itu walaupun jantungnya sendiri sedang berdegup kencang; terpempan dengan pertanyaan yang telah diajukan.

 

“Kau janganlah takut untuk jatuh cinta dengan aku. Kau adalah perempuan ketiga yang paling aku sayang tahu?”

 

 

Esakan kecil Min Ri mengendur. Lalu dia meleraikan pelukan. “Aku tahu, nenek dan ibu kau, lagi dua kan?” ujarnya sambil tersenyum sedih ketika mengesat air matanya. Kris tersenyum sambil mengangguk kecil.

 

“Boleh aku tanya kenapa kau menangis? Adakah perkara ini membebankan fikiran kau?” tanya Kris dengan lembut. “Jika betul, aku minta maaf…”

 

“Tak mengapa, Kris.” Min Ri tunduk melihat ke arah pasir pantai. Kakinya menguis-nguis pasir tersebut. “Cuma, kau tahukan, bagi aku, perkahwinan bukan perkara untuk dimainkan.” Min Ri seolah tersenyum mengejek kepada dirinya sendiri. “Aku pun tak tahu kenapa aku menangis…”

Mungkin kerana ibu bapaku. Mungkin.

 

 

Setelah reda emosi Min Ri, Kris mengenggam erat tangannya.  Wajah gadis itu yang masih menunduk ditenung dengan penuh harapan dan kasih sayang. Dia mengukir senyuman kecil. 

 

“Jadi Min Ri, aku tahu yang kau mungkin takkan terima lamaran aku ni tapi-”  Kris mendiamkan diri buat seketika dengan senyuman yang makin memudar. “Aku ikhlas walaupun ayat aku taklah sepuitis sang pemuisi…” Nada suaranya makin sayu, sedar akan peluangnya yang sangat tipis. “Sudikah kau menjadi isteriku? Menjadi seseorang yang boleh aku kongsikan segalanya?"

 

Bibir Min Ri mengukir senyuman tawar mendengar lamaran yang diungkap dengan sedaya oleh lelaki itu. Lantas dia mengangkat wajahnya. Dengan wajah yang tenang, dia membuka mulutnya.

 

“Jawapannya tidak, Kris. Maafkan aku…” Satu renungan lembut ke dalam mata Kris sudah cukup menceritakan kesemuanya. “Aku dah serahkan pada nenek tentang hal perkahwinan aku. Dia dah ada calon untuk aku.”

Bibir Kris terketar-ketar kecil tatkala dia ingin mempersoalkan keputusan si gadis itu. "Tapi, kenapa? A-aku tak layak ke untuk menjadi-"

“Nenek dah banyak berkorban untuk aku dan Yoongi, Kris. Tanpa dia, aku mungkin takkan berada di sini. Kau sendiri lihat keluarga aku dulu macam mana kan? Aku.. aku tak nak bersikap pentingkan diri aku. Itu saja.” ujar Min Ri sambil mengeratkan genggaman tangan Kris. “Aku harap kau faham keadaan aku.”

 

 

Usai menyatakan jawapan yang ditunggu, genggaman tangan semakin melonggar lalu si gadis memberi satu senyuman sayu sebelum melangkah pergi meninggalkan lelaki tinggi lampai itu dengan secebis hati yang remuk. Dia tidak mampu berbuat apa-apa, bahkan tidak mampu untuk menghalang gadis tersebut daripada menghilang dari matanya. Namun apa yang tidak diketahui oleh lelaki itu ialah, air mata si gadis yang gugur menyatakan kesayuan yang disorok di sebalik dirinya.

 

“Kau suka buat aku sedih, Min Ri…” ucapnya sambil menahan kecewa dalam hatinya. “Tapi aku ikhlas untuk terus mencintai kau…”

 

 

 

 

 

 

 

T. A. M. A. T

whitedeco1_zps7d8716c3.png
Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!
kuchens
Tak sedar pulak dia jadi update. ^^" . Just edited some parts.

Comments

You must be logged in to comment
Park_Rafa88
#1
Chapter 1: Aiseyyy! Why? Why author-nim mengapa suka mengantungkan cerita awak? T^T ni firstime saya baca ff Kris dalam masa setahun dan goshhh! why so sad? Apapun its good! Saya suka dengan kata-kata klise dan puitis yg awak selitkan! Hope to see more from you! Figgting!
babyxieee_ #2
wah i admit that youre such a good writer. ni my sec time reading malay fanfic, its really daebak. tahniah authornim
kaywuu
#3
Chapter 1: Nice ff walaupun sedehh. Hopefully there's a sequel.. huhu.
kageka #4
Chapter 1: aq rasa sedih bagi pihak Kris.
hellobts1003 #5
Kyaaaaaaaaa~ Saya suka dgn story kmu,author-nim! <3 (Moreover,when it is Suga ;D )

Nice poster! ^^
ierashahira
#6
i like it. Daebak!!!
ohh_sena #7
Bila nak buat story "LARI" nie. Proud of you . Keep it up
GreenDecember #8
Update soon!!!