Perpisahan

Masih Mencintaimu (Malay)

Malam itu terasa dingin sekali. Jieun cuba menahan kesejukan dengan menyeluk tangan ke dalam kocek jaketnya.  Suasana di Hangang Park pada ketika itu begitu indah dan mendamaikan. Dia terhibur memerhatikan gelagat sepasang suami isteri dan bayi mereka yang comel.

“Jieun-ah,” suara yang agak dalam dan garau itu mengejutkan Jieun daripada lamunannya.

Jieun tersenyum tatkala dia memandang wajah yang amat dia rindukan itu. Memang agak mudah bagi Yongguk mencari Jieun kerana mereka selalu duduk di bangku yang sama setiap kali bertemu.

“Maaf sebab saya terlambat. Dah lama awak tunggu saya?” tanya Yongguk, sekadar berbasa-basi. Mendatar sahaja nada suaranya, tidak seperti biasa.

“Tak lamalah. Yongguk, saya ada berita untuk awak. Berita gembira,” kata Jieun dengan ceria sambil menghulurkan sepucuk surat kepada Yongguk.

Yongguk membacanya dengan pantas lalu menjawab, “Tahniah sebab awak terpilih untuk menjadi trainee di TS Entertainment. Ini bermakna cita-cita awak akan tercapai tak lama lagi. Saya pun tak sabar nak realisasikan impian saya.”

Jieun tahu bahawa Yongguk sangat menggemari muzik hip-hop. Bukan sahaja dia pandai menari dan rap, dia juga hebat dalam penulisan lirik lagu. Malah, Yongguk turut menciptakan sebuah lagu khas untuknya. Mengingatkan saat-saat manis itu, hatinya berbunga gembira.

“Sebenarnya, saya pun ada berita untuk awak. Saya harap awak boleh menerimanya dengan hati terbuka,” kata Yongguk lalu menundukkan kepalanya. “Saya… akan berangkat ke Amerika lusa. Saya nak cuba berdikari dan menimba pengalaman dari underground rappers di sana.”

Jieun yang terkejut mendengar berita itu, cuba menyembunyikan perasaannya. “Bertenanglah, Jieun. Sebagai teman wanitanya, kamu harus menyokongnya,” bisik hati kecilnya.

“Yongguk, kita masih boleh berhubungkan walaupun berjauhan? Kita boleh −”

“Let’s go our separate ways, Jieun-ah. Saya akan mendoakan kejayaan awak. Terima kasih untuk segalanya.”

“Saya tak faham, Yongguk. Kenapa… kenapa awak nak mengakhiri semua ini? Saya ada buat silap ke?”

“Tak… tak. Tiada sesiapa yang salah dalam hal ini. Mungkin ini yang terbaik untuk kita. Masa depan kita. Percayalah, Jieun. I’m really sorry.”

Yongguk memandang Jieun yang menangis tersedu-sedu dengan hati yang berat. Meninggalkan Jieun merupakan keputusan yang paling sukar baginya tetapi dia terpaksa memutuskan hubungan mereka agar mereka boleh mengejar impian masing-masing. Yongguk menahan air matanya dari merembes keluar dan melangkah jauh dari situ dengan cepat.

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
ShaBats35 #1
Chapter 3: Fanfiction melayu yang pertama yg saya baca! Teruskan menulis karya yang baik! :)