Coretan Angelily

Tigasuque: Pencarian Manuskrip One Shot

Assalammualaikum dan selamat sejahtera. Saya Angelily dan saya di sini untuk memperkenalkan Tigasuque. Siapakah Angelily dan apa itu Tigasuque?

Pertama sekali, saya ingin memperkenalkan diri saya. Saya Lily atau lebih dikenali sebagai Angelily dalam dunia penulisan. Saya berminat dengan dunia penulisan sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Semuanya bermula apabila saya mula meminjam novel-novel cinta daripada seorang kawan saya (Novel-novel tersebut sebenarnya adalah milik ibunya) dan anak kepada pengasuh saya yang beberapa tahun lebih tua yang turut gemar membaca novel cinta.

Saya membesar dengan karya-karya Fauziah Ashari (Pergilah Sepi, Ombak Rindu) dan Siti Rosmizah (Andai itu takdirnya, Cinta Kau & Aku) dan penulis kegemaran saya, Faizal Dzasrik! (Ini Suatu Cerita, Yong Taufoo)

Saya mula menulis di dalam buku latihan petak kecil kerana waktu itu saya belum mempunyai komputer dan cerita-cerita yang saya tulis, saya biarkan kawan-kawan saya baca. Mereka memuji penulisan saya jadi saya fikir mungkin saya memang berbakat dalam penulisan.

Pada waktu yang sama juga, saya sangat meminati drama-drama korea (Wedding, Princess Hours, Full house). Walau bagaimana pun saya tidak dapat membezakan antara bangsa Korea, Cina dan Jepun kerana drama-drama yang saya tonton di saluran 8TV kebiasaannya sudah dialih ke bahasa mandarin.

Pada tahun 2010, saya mula mengenali musik K-POP kerana saya tertukar siaran KBS World secara tidak sengaja. (Lagu K-Pop pertama yang saya dengar di radio adalah Nobody nyanyian Wonder Girlz tetapi seperti yang saya katakan tadi, saya belum dapat membezakan bahasa korea, cina dan jepun)

Saya lihat persembahan Brown Eyed Girlz di rancangan Music Bank dan mula berminat untuk mengetahui tentang musik K-POP. Saya menonton rancangan seperti KBS Music Bank, SBS Inkigayo dan K-POP Hitz. Saya juga turut mengumpul majalah Klik! dan E-Pop.

Pada tahun 2011, saya sudah memiliki sebuah komputer riba hadiah sempena mendapat semua A dalam PMR 2010. Sekitar tahun itu, saya sudah mengenali banyak grup K-POP dan saya masih ingat lagi, fanfiction artis pertama yang saya tulis adalah sebuah cerita cinta di antara watak rekaan dan Gikwang (Beast/Highlight). Ketika itu, saya tiada akses internet jadi saya hanya menulis untuk kepuasan sendiri.

Saya mula pandai mengakses internet pada lewat tahun 2011 di mana saya hanya menggunakan telefon untuk mencari maklumat grup kegemaran saya ketika itu iaitu Teen Top. Semakin hari, semakin banyak maklumat tentang mereka yang saya dapat.

Saya masih ingat lagi yang saya perlu memuatturun sebuah episode Weekly Idol yang mempunyai lebih kurang lima bahagian semata-mata untuk menonton Teen Top. Pencarian nama Teen Top di Google juga menemukan saya dengan laman web Asianfanfictions.com.

Fanfiction pertama yang saya baca adalah karya DBSKGirl4Ever yang bertajuk The Baddass Boyfriend. Jika anda adalah seorang pengguna Asianfanfictions.com sekitar tahun 2010 sehingga sekarang, anda pasti tahu yang penulis ini adalah sangat popular. Hari demi hari, membaca fanfiction menjadi hobi saya. Namun, saya hanya aktif sebagai seorang pembaca dan belum mencipta akaun saya sendiri

Selepas selesai menduduki kertas terakhir SPM 2012, saya mencipta akaun saya pada malam itu juga dengan nama Angelily95. Lily sempena nama saya, Angel sempena nama kelab peminat Teen Top dan 95 kerana saya lahir pada tahun 1995. Fanfiction pertama yang saya tulis di situ bertajuk Journey Of A Little Angel yang saya tulis menggunakan bahasa inggeris.

Beberapa minggu kemudian, saya mula menulis fanfiction dalam bahasa melayu. Bulan berganti bulan dan beberapa fanfiction inggeris kemudiannya, saya terus membuat keputusan untuk menulis dalam bahasa melayu sahaja kerana terasa lebih mudah untuk menggambarkan jalan cerita yang saya cuba sampaikan memandangkan saya tidaklah sebegitu pandai dalam menulis menggunakan bahasa Inggeris.

Saya mula mendapat perhatian penulis-penulis melayu di Asianfanfics.com dengan fan fiction yang bertajuk Byun Baekhyun, diikuti dengan Cinta Monyet. Cinta Monyet mengangkat nama saya naik sebagai penulis melayu yang menerima jumlah vote tertinggi. Cinta Monyet menjadi fan fiction melayu pertama yang terpilih untuk dipaparkan pada halaman depan Asianfanfics.com sekaligus menghadiahkan saya gelaran ‘featured author’.

Pada tahun 2013, saya ditawarkan oleh rakan karib, Shah Bakri, untuk menulis sebuah manuskrip untuk diterbitkan. Shah Bakri adalah seorang penulis yang dikenali dengan buku yang berjudul Dayana Debab, Tudung Rapunzelilah dan Katak Fesyen. Kami telah berpakat untuk menubuhkan syarikat penerbitan kami sendiri iaitu Vert & Lilac.

Sebaik sahaja selesai pengajian Asasi Sains di UiTM Puncak Alam, saya terus memohon untuk menyambung pelajaran dalam bidang pemasaran dan menghabiskan masa untuk menunggu kemasukan ke universiti dengan menyiapkan manuskrip.

Seminggu selepas pendaftaran di UniKL Business School, naskhah pertama saya yang bertajuk SeoulMate telah siap dicetak dan semua 500 buah naskhah untuk cetakan pertama terjual dalam tempoh dua bulan.

Dua bulan selepas novel saya diterbitkan, saya telah dijemput oleh USM Penang untuk sebuah program bual bicara santai kepada para siswa/i di sana. Semuanya berlaku bagaikan sebuah mimpi. Di usia 20 tahun, saya telah berjaya untuk mencapai impian saya untuk menjadi seorang penulis dan lebih lagi. Duit royalti yang saya terima hasil menulis SeoulMate telah saya gunakan untuk melancong ke Seoul buat kali pertama, satu lagi impian saya terlaksana.

Bermula pada tahun 2016, saya mula sibuk dengan pengajian dan tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada Vert & Lilac. Shah Bakri turut sibuk dengan pengajiannya di UUM. Tahun demi tahun berlalu, Shah Bakri akhirnya telah membuat keputusan untuk bersara daripada dunia penulisan. Perjuangan Vert & Lilac juga terkubur bersama.

Pada tahun 2020, beberapa hari sebelum ulang tahun kelahiran saya yang ke-25, saya telah menghubungi dua orang kawan baik saya yang turut membantu dalam menjayakan projek SeoulMate. Mereka ialah Shimmieh dan LovelyIna. Saya mengenali mereka di Asianfanfics.com kerana mereka juga adalah penulis berbahasa melayu di laman itu. Saya telah mengusulkan sebuah cadangan untuk menubuhkan sebuah penerbitan baharu kerana minat kami terhadap penulisan dan budaya korea tidak pernah padam.

Oleh itu, kami muncul dengan sebuah penerbitan yang bernama Tigasuque, perkataan yang berasal daripada perkataan ‘tiga suku’ yang membawa maksud ‘gila-gila’, sesuatu dengan perwatakan kami yang suka muncul dengan idea-idea yang sememangnya gila-gila. Semoga usaha kami sebagai usahawan wanita membuahkan hasil. InsyaAllah.

Misi Tigasuque adalah untuk mewujudkan sebuah platform bagi komuniti penulis fanfiction untuk menceburi bidang penulisan dan membina kerjaya berdasarkan minat terhadap budaya Korea seperti drama, K-POP dan sebagainya.

Kami bertiga berharap kami dapat memupuk semangat menulis dan membaca dalam kalangan peminat budaya Korea di Malaysia supaya kita dapat berhibur tanpa berhenti belajar ilmu baru melalui pembacaan.

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
No comments yet