haseungwon- Hold Me, Love Me.

BOOMBOOM Short Story [OPEN for 6 request and HIRING] [4/6]
Please Subscribe to read the full chapter
   

hold me, love me

written by: Jelly_Warrior

watak : Suga (bts) dan Eunha ( GFriend)

 

 

 

 

 

Mei 2017,

 

Yoongi berjalan santai sendirian untuk menuju pulang ke rumahnya setelah puas mengambil angin di luar. Angin petang yang mendamaikan menampar lembut tubuh tegap pemuda itu. Awan redup berarak bersama angin yang bertiup. Sesekali, dia membetulkan anak rambut yang menutupi dahinya. Sebaik saja sampai betul-betul di hadapan sebuah rumah sederhana besar milik keluarganya, Yoongi menghentikan langkah. Sejenak, rumah banglo dua tingkat yang terletak di sebelah rumahnya dikerling. Kenangan lalu terimbas tanpa sengaja di minda pemuda berusia 25 tahun itu.

“Yoongi-ah.”

Suara halus seseorang menyapa telinganya lantas dengan segera Yoongi menoleh. Susuk tubuh kecil molek seseorang yang berdiri di belakangnya dipandang sebelum satu senyum ditarik. Kakinya digerakkan mendekati insan yang memanggilnya tadi.

“Mak Cik, lama tak jumpa.” tangan wanita yang digelarnya sebagai Mak Cik itu dicapai lantas dibawa ke genggaman. Sejak dia berpindah ke Seoul, ini kali pertama dia berjumpa semula dengan wanita yang merupakan jirannya itu. Ya. Dialah penghuni rumah yang berada di sebelah rumah keluarga Yoongi. Kedutan-kedutan halus yang dapat dia rasakan dari tangan wanita itu menandakan betapa pantas waktu sudah berlalu meninggalkan mereka. Wajah redup wanita itu direnung sambil tersenyum manis.

“Bila Yoongi balik sini?” soal wanita lewat usia 40-an itu kepada Yoongi yang masih tersenyum.

“Semalam.” pendek jawapan Yoongi buat wanita itu mengangguk. Wajah Yoongi direnung dalam diam. Anak muda di depannya itu sudah banyak berubah berbanding dulu. Wajahnya kini nampak lebih manis dan tenang. Orangnya juga semakin kacak dan bergaya. Patutlah pemuda ini menjadi igauan anak gadis kesayangannya.

“Oh ya, Mak Cik nak bagi kamu sesuatu.” wanita itu berkata setelah teringat semula niat asalnya menegur pemuda itu tadi. Beg kertas yang dijinjitnya dihalakan ke arah Yoongi yang menayang riak muka tertanya-tanya.

“Apa ni Mak Cik?” soalan yang sudah dapat diagak keluar dari mulut Yoongi buat wanita itu sekadar tersenyum pahit.

“Eunha bagi.”

Tergambar riak terkejut dari wajah tampan Yoongi saat nama itu disebut. Wanita yang merupakan ibu kepada pemilik nama Eunha itu direnung seakan tak percaya. Anggukan ibu Eunha buat Yoongi semakin penasaran.

“Ambil lah, Nak. Dia cakap ini barang kamu dan dia minta Mak Cik pulangkan semula.”

Yoongi terpempan. Lambat-lambat, huluran itu disambut dan beg kertas bertukar tangan.

“T…Terima kasih.”

 

 

Sebaik saja tiba di biliknya, Yoongi tanpa berlengah duduk di atas katil dan menyelongkar isi beg kertas yang dia terima dari wanita tadi. Sebuah kamera digital berwarna silver dikeluarkan dari dalam beg itu dan Yoongi membeleknya khusyuk. Lama dia berfikir, akhirnya baru dia teringatkan sesuatu. Kamera digital itu memang kepunyaannya yang pernah dipinjam oleh Eunha suatu ketika dahulu. Dah lama kamera itu dipinjam dan hari ini baru ia dipulangkan semula kepada tuannya. Yoongi juga sudah hampir lupa tentang kamera digital tersebut.

Punat kamera digital model lama itu ditekan untuk dihidupkan. Sebaik saja ia terbuka, Yoongi mula membelek galeri yang menyimpan semua gambar dan video yang dirakamkan oleh kamera tersebut. Satu persatu gambar diperhatikan dan tanpa sedar, kenangan lalu mula mengusik jiwa lelakinya.

Sesekali, Yoongi tersenyum melihat gambar-gambar yang terpapar. Majoriti gambar yang ada adalah gambar Eunha dan juga gambarnya sendiri yang dicuri ambil oleh gadis itu. Jari jemari Yoongi ligat menekan punat untuk melihat setiap gambar yang ada. Gambar bersilih ganti membawa Yoongi mengenang masa lalunya bersama gadis bernama Eunha yang sangat dia rindui tika ini.

“Eunha, aku rindu senyum kau.” bisiknya sendirian saat merenung senyuman manis gadis comel berambut pendek paras bahu dalam gambar yang tertera pada skrin kamera itu. Kemudian, dia menekan lagi punat untuk melihat gambar seterusnya namun kali ini, satu video pula yang tertera. Tanpa berlengah, Yoongi menekan butang ‘play’ dan video mula dimainkan.

Suara Eunha bergema saat video bermula.

 

 

Annyeong, Yoongi-ah. Eunha ni. Rindukan aku tak? Aku harap kau rindukan aku sebab…sebab aku rindukan kau. Hahahaha ! My Prince Charming, Min Yoongi…dengar sini, aku nak nyanyi.

 

“Oh Tuhan, apa semua ni?” video itu dihentikan seketika. Wajah Eunha yang terpapar dalam skrin kamera itu dipandang dan tak semena, air mata mula bergenang. Rakaman yang baru saja dilihatnya itu buat Yoongi rasa sebak serta-merta. Dadanya yang terasa sebu ditepuk perlahan sebelum akhirnya dia mengambil nafas untuk menekan semula butang ‘play’. Air matanya mengalir tatkala suara Eunha yang menyanyi dalam video yang terakam didengari. Sudah lama dia tak dengar suara itu. Kenangan lalu mula menerawang di minda.

*lagu yang Eunha nyanyi

 

Saranghae na neun nuhreul saranghae~
Saranghae na neun nuhreul saranghae~
Saranghae~saranghae~saranghae~saranghae~
Naneun nuhreul saranghae~

 

***

 

 

Januari 2002,

 

Saranghae na neun nuhreul saranghae~
Saranghae na neun nuhreul saranghae~

 

“Shhh ! Diam la.”

 

Saranghae~saranghae~saranghae~saranghae~

“Jung Eunha…tolonglah.”

 

Saranghae~saranghae~saranghae~saranghae~
Naneun nuhreul saranghae~

 

Yoongi merengus geram lantas dia menghentak tangannya ke lantai tanda bengang. Eunha yang duduk di sebelahnya tersentak lantas bibir gadis itu terus melopong. Hilang sudah suara nyanyiannya tatkala melihat amukan Yoongi tadi.

“Bising tau tak? Pergi balik rumah kau lah. Asyik nak kacau aku je. Aku tengah main game ni.” omel Yoongi kepada gadis di sebelahnya itu. Dari tadi dia asyik menganggu Yoongi dengan nyanyian lagu yang Yoongi langsung tak boleh terima. Ntah apa-apa ! Telinga Yoongi naik berbulu mendengar suara Eunha yang sengaja dicomelkan untuk menyanyi bait lagu kanak-kanak ribena yang menjengkelkan itu.

Jung Eunha. Seorang gadis yang sama umur dengan Yoongi dan apa yang lebih merapatkan mereka adalah kerana mereka berjiran. Bagi Yoongi, Eunha seorang yang merimaskan manakala bagi Eunha, Yoongi adalah seorang yang menyenangkan. Sejak dari kecil Eunha sangat sukakan Yoongi. Terlalu suka sampaikan nak ikut lelaki itu ke mana saja. Eunha pernah berkata,

“Min Yoongi, kau lah Prince Charming dalam hati aku.”

Dan kerana itu, Yoongi tak pernah hidup tenteram. Yoongi tak pernah suka untuk jadi Prince Charming Eunha. Padanya, Eunha terlalu berangan-angan. Yoongi tak istimewa.Langsung tak istimewa. Dia cuma lelaki biasa yang menunggang basikal untuk ke mana-mana dan bukannya menunggang kuda putih seperti kisah dongeng putera-puteri yang Eunha selalu bayangkan. Sampai sekarang, Yoongi tak pernah tahu kenapa dan mengapa Eunha menggelarkan dia sebagai Prince Charming.

Semua itu berlanjutan sehingga mereka masing-masing sudah melangkah ke alam remaja.

 

***

 

Mac, 2007.

“Min Yoongi ! Min Yoongi ! Saranghaeyo, Min Yoongi !”

Fokus Yoongi yang sedang bermain bola di padang terganggu dengan jeritan itu namun dia cuba untuk memekakkan telinga dan terus mengejar bola. Sebagai salah seorang penyerang terbaik dalam team bola sepak sekolahnya, dia tak mahu terganggu gara-gara seorang gadis berotak sewel yang dari tadi tak habis-habis melaung memanggil namanya. Tahulah dia ahli pasukan sorak sekolah tapi takkan Yoongi sorang saja yang disoraknya? Bias betul !

“Min Yoongi ! Min Yoongi ! Fighting ! Fighting ! Choayo Min Yoongi !”

“Yah, Eunha ! Yang kau bersorak untuk Yoongi je kenapa? Kita kan pasukan sorak sekolah. Bukannya pasukan sorak Yoongi.” kapten pasukan sorak yang disertai Eunha, Sowon mula menegur. Ahli-ahli yang lain memandang ke arah Eunha sambil ketawa mengekek. Geli hati dengan perangai Eunha yang tak berapa nak betul dalam hal-hal yang melibatkan Yoongi, lelaki pujaannya itu.

Eunha tayang sengih serba salah sambil menggaru kepalanya. Belum sempat mulutnya dibuka untuk meminta maaf, sorakan kuat bergema membuatkan dia tergamam seketika.

“GOL !!!”

***

 

“Min Yoongi jjang ! Min Yoongi hero ! Min Yoongi player terhebat di abad ini ! Min Yoongi, mansae ! Mansae !”

Yoongi menghela nafas berat sambil menjulingkan matanya ke atas. Dia menghentikan langkahnya lantas merengus kuat. Eunha yang berjalan laju sambil bersorak di belakangnya tanpa sengaja terlanggar tubuh Yoongi yang berhenti mengejut itu kerana tak sempat mengelak.

“Ouch !” sungut gadis itu.

“Jung Eunha, boleh tolong tak?”

“Tolong apa darling? Anything for my Prince Charming.”

Yoongi tayang muka jelik ke arah gadis itu. Tangannya mula bercekak pinggang dan matanya tajam merenung muka selamba Eunha yang tersenyum manis ke arahnya.

“Tolong diam.” getus Yoongi sebelum kembali berjalan meninggalkan Eunha. Kenapalah mereka ditakdirkan berjiran? Sudah lah berjiran, satu sekolah pulak tu ! Kalau sehari Eunha tak tayang muka dia depan Yoongi, memang tak sah !

“Tak boleh. Aku nak bagi penghargaan kat kau yang dah berjaya jaringkan gol kemenangan untuk pasukan bola sekolah kita tadi. Kau patut berbangga tau? Kau tak suka ke?” Eunha berkata sambil mengejar Yoongi yang sudah kembali menapak mendahuluinya di hadapan.

Yoongi tak membalas kata-kata Eunha. Dia terus berjalan dan berpura-pura tak nampak si gadis yang sedang berusaha untuk mengejarnya dari belakang.

“Yah, Min Yoongi ! Tunggu la !”

Eunha melajukan langkahnya untuk mengejar si kacak pujaan hati yang sudah beberapa meter jauh di depan. Semakin lama semakin menjauh. Itu membuatkan Eunha semakin gigih untuk mengejar. Namun, entah kenapa kakinya tiba-tiba terasa aneh. Kedua-dua belah kaki rasa lemah dan langkahnya mula pincang. Akhirnya, dia jatuh terduduk di atas permukaan jalan tar yang kasar itu. Lututnya yang mendarat pada permukaan kasar itu mula berdarah.

“Yoongi, tolong…”

Yoongi mencebik. Drama apa pula yang dia buat ni? Acuh tak acuh, lelaki itu menoleh juga. Di belakangnya, Eunha sudah terduduk di atas jalan sambil membelek lututnya yang terluka. Yoongi merengus geram dan dengan malas berpatah balik ke arah gadis itu.

“Kau ni kan, sehari tak susahkan aku memang tak boleh kan?”

“Sorry la. Aku mana tahu yang aku nak terjatuh. Kaki aku tiba-tiba rasa semacam.” adu Eunha buat Yoongi menjeling gadis itu. Saja la tu nak mengada-ngada.

“Kau tu tak boleh duduk diam-diam. Asyik nak terkinja-kinja saja. Itu yang kaki kau rasa pelik tu.” balas Yoongi sebelum melutut di hadapan Eunha. Luka pada lutut gadis itu diperhatikan seketika. Eunha mencuri pandang ke arah Yoongi yang sedang melihat lukanya. Wajah lelaki itu masih masam mencuka. Pasti dia marahkan Eunha. Serba salah gadis itu dibuatnya.

“Boleh jalan tak ni?” soalan Yoongi buat Eunha terpinga seketika.

“Apasal tanya?” soalan tadi dibalas dengan soalan juga oleh Eunha. Yoongi menghela nafas perlahan. Susah betul cakap dengan Jung Eunha ni. Tanpa memberi sebarang respons kepada Eunha, Yoongi menghalakan belakangnya kepada gadis itu.

“Naik sini.” Yoongi menepuk bahu untuk mengisyaratkan Eunha supaya naik ke belakang badannya. Disebabkan luka pada kaki Eunha yang nampak agak teruk itu, Yoongi tak sampai hati nak biarkan jirannya terus berjalan. Mahu tak mahu, dia terpaksa juga menawarkan piggyback nya kepada Eunha.

Perjalanan pulang ke rumah dari sekolah yang sebenarnya agak pendek terasa jauh hari ini memandangkan Yoongi membawa ‘penumpang’ di belakang badannya. Nasib baik orangnya kecik. Tak adalah terbeban sangat.

“Yoongi, terima kasih.” suara Eunha yang masih dikendong Yoongi kedengaran. Sesekali, gadis itu mengeluh sakit saat lukanya terasa pedih.

“Umm.” hanya itu saja balasan Yoongi. Dia malas nak bersembang memandangkan dia dah keletihan.

“Bulan depan kau ada tournament bola dekat Seoul kan?” Eunha menyoal.

“Umm.” sekali lagi Yoongi membalas dengan nada yang sama.

“Aku ikut juga tau.”

“Mwo? Kenapa pulak?”

“Aku kan pasukan sorak sekolah kita. Aku dan team cheerleading akan bagi sokongan untuk team kau. Tak sabar rasanya ! Aku nak sorak nama kau kuat-kuat supaya kau boleh jaringkan gol kemenangan lagi.” kata Eunha penuh bersemangat. Dia hujung kata-katanya, kedengaran satu ketawa senang hati yang buat Yoongi hampir ikut ketawa. Namun, pemuda itu cepat-cepat mengawal riak wajahnya.

“Jung Eunha…kau ni memang sentiasa nak melekat dengan aku je kan? Tak penat ke asyik nak bersorak nama aku saja?”

“Tak la ! Aku akan bersorak untuk kau sampai aku mati, tau tak?”

“Kau ni gila lah.”

“Memang la. Aku rasa aku gila sebab aku suka kau.”

Yoongi merengus buat kesekian kalinya. Ayat Eunha buat dia rasa nak termuntah. Selamba betul budak perempuan ni luahkan perasaannya tapi Yoongi langsung tak terkesan. Ayat ‘Aku Suka Kau’ yang keluar dari mulut Eunha tu dah dia dengar sejak dari zaman sekolah rendah lagi.

“Yah, Yoongi. Apasal kau monyok ni? Kau macam dah tak bersemangat nak angkat aku.”

“Memang la. Kau ingat kau ringan macam kapas? Tak fasal-fasal aku kena angkut kau balik rumah. Susah betul la !” sungut Yoongi.

“Kalau macam tu, aku akan nyanyikan kau lagu supaya kau bersemangat. Kau dengar tau…”

“No ! Not again, Eunha ! Kau jangan nak mula.”

Eunha tak menghiraukan amaran Yoongi. Dia mula menyanyi lagu cinta yang memang ditujukan khas untuk Yoongi itu dengan riang.

Saranghae na neun nuhreul saranghae~
Saranghae na neun nuhreul saranghae~
Saranghae~saranghae~saranghae~saranghae~
Naneun nuhreul saranghae~

“Diam Eunha !”

Saranghae~saranghae~saranghae~saranghae~
Naneun nuhreul saranghae~

“Tch ! Eunha !”

“Yelah ! Yelah !”

 

 

 

 

Bila kau tengok video ni, aku rasa aku mungkin dah tak ada. Kan? Maafkan aku, Yoongi. Aku pernah cakap yang aku akan bersorak dekat kau sampai aku mati tapi nampaknya, aku tak mampu. Penyakit ni…dia buat aku tak boleh untuk terus bersorak untuk kau. Penyakit ni buat aku yang selama ni tak boleh duduk diam macam apa yang kau cakap, jadi bisu dan kaku tanpa aku rela. Ini terlalu menyakitkan, Yoongi.

 

“Eunha-ya”

Yoongi menyeka air mata yang mengalir. Kata-kata Eunha meruntun jiwanya. Melihat Eunha yang berada di dalam video itu buat hatinya terasa pedih. Tak semena-mena, wajah gadis itu menerpa dalam ingatan. Senyuman Eunha, tawa Eunha dan juga tangisan Eunha. Dia rindukan semua itu.

 

***

 

Jun 2007,

 

Yoongi dan rakan-rakan sepermainannya yang lain sudah bersiap sedia untuk berangkat ke Seoul bagi menghadapi pertandingan bola sepak peringkat negeri di sana. Dia sedang sibuk memasukkan barang ke dalam bonet bas tatkala sekumpulan pelajar perempuan yang merupakan pasukan sorak sekolah datang untuk menaiki bas yang sama. Mata Yoongi mula meliar mencari kelibat Eunha namun bayang gadis itu langsung tak kelihatan.

“Eunha mana?” teragak-agak Yoongi menyoal Umji, maknae pasukan sorak tersebut yang kebetulan lalu di hadapannya.

“Eunha unnie? Dia sakit. Sebab tu tak boleh ikut sertai game ni.” jawapan gadis bernama Umji itu buat Yoongi mengerutkan dahi. Sakit? Sakit apa pulak? Sejak bila? Kenapa dia tak tahu? Bukankah mereka berjiran?

“Eunha jatuh bilik air dua hari yang lepas dan kemudian, dia terus demam panas. Takkan kau tak tahu? Jiran macam apa la kau ni.” Yerin, juga salah seorang ahli pasukan sorak yang kebetulan mendengar perbualan Yoongi dan Umji menyampuk.

Yoongi sekadar mengangguk lemah. Beberapa minggu ni, dia terlalu sibuk berlatih untuk persedian perlawanan bola sepak sampai dah tak tahu apa yang terjadi. Patutlah dah lama dia tak nampak Eunha. Di rumah pun senyap sunyi.

“Eunha…Eunha…kau ni selalu jatuh. Jatuh basikal lah, jatuh tangga la, sekarang jatuh bilik air pulak. Cuai betul.” sungut Yoongi dalam hati sebelum menyambung semula kerjanya yang tergendala.

 

***

 

“Kita kena buat sesuatu. Eunha tak mungkin sakit ! Dia budak yang sihat. Dia tak pernah sakit teruk sebelum ni. Doktor mesti dah buat silap.” suara ibu Eunha, Puan Jung kedengaran lemah. Esak tangisnya memenuhi ruang dapur. Suaminya, Tuan Jung hanya berdiam diri lantas mengeluh berat.

Siapa sangka, Eunha yang dibawa ke hospital gara-gara kemalangan kecil yang berlaku di dalam bilik air rumahnya kini disyaki mengalami satu penyakit yang di luar jangkaan? Ibu bapa Eunha mula buntu. Saat doktor yang merawat Eunha mengatakan berita itu, jantung mereka hampir luluh. Tak sanggup untuk membayangkan keadaan anak gadis mereka di hari mendatang.

 

“Anak Tuan dan Puan Jung disyaki menghidap Spinocerebella Ataxia atau kita panggil sebagai SCA. Satu penyakit yang disebabkan oleh gangguan genetik yang bakal menganggu fungsi otak seseorang. Pesakit yang menghidap SCA ini akan perlahan-lahan hilang keupayaan mereka untuk mengawal tubuh badan sendiri dan lama kelamaan, mereka akan perlukan bantuan orang lain untuk teruskan kehidupan. Macam apa yang Tuan cakap, Eunha selalu jatuh secara tiba-tiba kan? Itu mungkin merupakan salah satu simptom yang dah mula ditunjukkan oleh pesakit SCA.”

 

“Macam mana ni? Kalau Eunha tahu, mesti dia sedih. Doktor cakap, kalau betul dia ada penyakit tu, perlahan-lahan dia akan menderita. Suatu hari nanti, dia dah takkan boleh berjalan kemudian dia takkan boleh bercakap dan akhirnya…dia akan lumpuh. Oh Tuhan, saya tak sanggup nak tengok dia macam tu. Saya tak boleh terima semua ni.” keluh ibu Eunha.

“Sabarlah awak. Doktor tak sahkan lagi. Kita kena bawak Eunha untuk pemeriksaan selanjutnya.” si ayah cuba menenangkan.

“Saya tak sedap hati, abang.”

Tanpa disedari, perbualan mereka didengari oleh Eunha yang kebetulan ingin ke dapur. Perbualan ibu bapanya tentang penyakit yang dia hidapi buat dunianya seakan berputar. Eunha tersandar lemah pada dinding yang memisahkan dapur dan ruang tamu itu.

“Kalau Eunha tahu, mesti dia sedih. Doktor cakap, kalau betul dia ada penyakit tu, perlahan-lahan dia akan menderita. Suatu hari nanti, dia dah takkan boleh berjalan kemudian dia takkan boleh bercakap dan akhirnya…dia akan lumpuh.”

“Tak mungkin…”

 

 

 

 

Aku tak boleh gambarkan perasaan aku bila aku dapat tahu soal penyakit yang aku hidapi ni. Dunia aku terasa berputar. Hidup aku dah tak macam dulu. Bayangkan, bila kau dapat tahu yang kau akan perlahan-lahan jadi lumpuh dan akan mati? Apa yang kau akan rasa? Aku rasa dah tak semangat untuk hidup. Yoongi…untuk sentiasa berada di samping aku selama ni, aku ucapkan terima kasih. Kerana kau, aku cuba untuk bangkit. Kau pernah cakap yang walaupun aku akan kehilangan segala-galanya tapi aku takkan kehilangan kau. Kata-kata tu, aku akan kenang sampai bila-bila.

 

 

Jun 2007,

 

Yoongi merenung ke luar jendela rumahnya sambil mencari-cari kelibat seseorang. Dia yang baru saja pulang dari Seoul selepas perlawanan bola sepak yang diadakan selama hampir seminggu di situ masih belum melihat kelibat Eunha. Selalunya, gadis itu akan menjenguk ke luar tingkap biliknya yang bertentangan dengan bilik Yoongi dan seperti biasa, dia akan mula mengacau anak muda itu. Namun, sejak dua menjak ini Eunha menyepi. Yoongi rasa pelik.

Tingkap bilik Eunha direnung lagi. Sunyi sepi. Bilik yang selalunya terang benderang itu juga kelihatan kelam. Mana Eunha? Bukankah dia sepatutnya membaling batu ke arah tingkap Yoongi semata-mata untuk berbual dengan pemuda itu? Takpun, jerit nama Yoongi kuat-kuat dari biliknya sampailah Yoongi buka tingkap dan membebel. Tapi, sejak Yoongi balik dari Seoul, Eunha masih tak buat perangainya lagi. Entah kenapa, Yoongi rasa pelik. Rasa macam tak lengkap. Rasa macam rindukan sesuatu.

“Min Yoongi, kau dah kenapa?” gumamnya sendiri sambil matanya masih melekat pada tingkap bilik anak perempuan jiran sebelah yang bertentangan dengan tingkap biliknya.

Mana Eunha? Kali terakhir dengar tentang dia, katanya dia sakit. Tak mungkin la sampai sekarang dia masih sakit. Eunha yang Yoongi kenal jarang sakit sebab dia memang jenis yang tak boleh duduk diam dan sentiasa bertenaga. Sampai rimas Yoongi dibuatnya.

 

***

 

“Eunha, buka pintu ni sayang.”

Dari luar, kedengaran suara ibunya memanggil. Eunha memekakkan telinganya. Selimut yang membaluti tubuhnya digenggam erat. Dia menutup seluruh badannya dengan selimut tebal itu dan meringkuk melayan perasaannya sendiri. Air mata dari tadi tak henti-henti mengalir menangisi nasib dirinya. Pelbagai benda mula bermain dalam fikiran Eunha.

 

“Hasil pemeriksaan kami, kami dapati yang Eunha memang menghidap penyakit SCA seperti apa yang dah dijangkakan. Saya harap, Tuan dan Puan mahupun Eunha sendiri tabah dengan semua ni. Jangan risau. Kami akan cuba sedaya upaya kami untuk membantu Eunha. Kita akan cuba buat yang terbaik.”

“Tak ada cara ke untuk ubati penyakit Eunha ni?”

“Buat masa ni, SCA masih belum ada penawarnya. Saya minta maaf. Tapi,kita akan berusaha juga untuk jalankan terapi supaya keadaan Eunha membaik.”

“Doktor, jadi betullah saya akan jadi lumpuh nanti? Saya akan tak boleh berjalan? Bercakap? Dan saya takkan boleh buat apa-apa lagi lepas ni? Betul ke yang keupayaan saya akan perlahaan-lahan hilang dan saya…”

“Saya akan…mati?”

 

Tangisan Eunha semakin deras. Dia tak menyangka yang hidupnya akan jadi begini. Tak pernah terlintas dalam fikirannya tentang penyakit kejam yang dihidapinya sekarang. Penyakit yang perlahan-lahan membunuhnya sehingga akhirnya dia akan jadi seperti mayat hidup dan pergi meninggalkan dunia ini dalam keadaan yang menyedihkan. Eunha tak dapat bayangkan keadaannya pada hari-hari mendatang.

Please Subscribe to read the full chapter
Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!
aquariusxpisces
zitaopabo request part 1 updated! ^^ -aquariusxpisces

Comments

You must be logged in to comment
sunshine_blue
#1
Chapter 30: Eh takpelah,saya pun sibuk exam sem 1 dah nak dekat utk stpm ni..its okay,just take your(enough)time!! Saya akan tunggu:-) p1 ni dah cukup baik ni hehe btw cite ni best thank you saya hargai usahamu !! Keep forward;-) ;-) all the best exam nnti
soohanfeels
#2
Chapter 28: HAHAHAHA SUMPAH LAWAK KAT PART YG JEONGHAN TRY COVER DENGAN TEKAN TUBI XD ya ampun konyol betul Cheonsa nie XD HAHAHAHA I KENNOT LAH ! XD and part asyik jeling-2 tu ha xD Seungkwan pun suka sangat mengusik :3 thumbs up for author-nim for making this great stories ;) saya akan tunggu, take your time and FIGHTING ! <3
Ifahzira
#3
Chapter 23: Xjangka ending dia semua mati haha btw thanks for the story! Sy suka >< and poster tu lawa lah
girly_
#4
Chapter 27: wahahahahaha thanksss saya akn setia tunggu part 2 dri awak.cerita awak seronok smpai saya sengih2 sorang huuhuu.
. request shop awk ni latak dpt byk subscribers!! btw. take your time.. jgn pening2 hahaha
Zitaopabo #5
Chapter 26: Hiiii! Terima kasih author-nim! Hahahaha tak sangka ada part.2! Apa-apapun, best! Suka style penulisan author-nim!>~< saya bengang pula dengan makhluk2 yang tak berperikemanusian tu Π_n bila Michan kena pukul dengan batang paip aduhhhhhh saya yang terasa hahahahahah. Kejamnya watak2 author-nim ni;---; haihhh apa2pun, goodluck!>< kipidap dongibap><
girly_
#6
saya dh request!!!
soohanfeels
#7
NAK REQUEST BOLEH TAK AUTHORNIM SEKALIAN XD btw holaaa :D
Zitaopabo #8
Saya nak request boleh?
sunshine_blue
#9
Saya dah request betul tak?