000

Pulang

 

"Apa kabar hari ini?

Lihat, tanda tanya itu.

Jurang antara kebodohan dan keinginanku untuk memilikimu sekali lagi."

     Mark Tuan dan Han Seorin hidup di bandar yang sama. Pun begitu, masa mempertemukan mereka berdua di alam menuju kedewasaan, di sebuah universiti. Mereka mula berkenalan pada semester pertama kerana berkongsi kelas. Atas minat yang sama, mereka membina persahabatan. Hubungan mereka sebagai sahabat berlanjutan selama dua tahun sebelum si jejaka mengutarakan isi hatinya.

     "Aku cintakan kau, Han Seorin. Sudikah kau menjadi tunang aku?"

     Keputusan yang diambil si dara bukanlah dibuat semalaman kerana si teruna pernah mengucup seorang gadis tak lama dahulu. Si dara yang berada di situ kecewa dengan keriangan yang terlakar di segenap wajah si teruna. Bayu juga kencang membawa kisah yang tidak enak didengar, berlalu ke telinganya. Namun, dek merasakan si teruna ikhlas dalam meminta hatinya, maka si dara bersetuju; kerna dalam diam, dia juga jatuh cinta kepadanya.

     Walaubagaimanapun, detik itu akhirnya tiba jua. Si teruna bertandang ke rumah pada suatu malam untuk memutuskan ikatan tali pertunangan.

     "Aku rasa kita tiada jodoh. Kita putuskan saja pertunangan kita ini."

     Ayat itu seperti duri berbisa yang menusuk jantung. Kesan pahitnya mula dirasai. Tangan si dara cuba mencapai lengan si tunang. "Kenapa, Mark? Ada masalah ke? Kalau ada masalah, kita boleh bincang dan selesaikan."

     Mark melarikan lengannya. "Aku cakap kita tiada jodoh kan?! Aku tak rasa kita boleh hidup bersama. Aku dah tak cintakan kau."

     Hati si dara berdesir pedih, tidak pernah Mark menggunakan nada tinggi untuk bercakap dengannya selama ini. "Oh, sebab inilah kau diam dua tiga hari ni kan? Mesej, panggilan aku semua kau tak balas."

     Mark bungkam, melirik ke arah lain. Dia mendengar Seorin menghela nafas berat.

     "Siapa di hati kau? Perempuan tu ke? Jujur dengan aku, Mark." lanjut Seorin, tepat memandang wajah Mark.

     Belum sempat si jejaka membuka langkah, Seorin menghalang. Lengan Mark si dara pegang erat namun tidak menyakitkan.

     "Jadi betullah tekaan aku. Aku sebenarnya dah tahu. Tapi aku diamkan. Aku selaku tunang, aku tak nak buruk sangka dengan kau. Sebab aku nak percayakan kau."

     "Dahlah. Aku tak mahu dengar apa-apa. Apa yang pasti, aku bukan tunang kau lagi mulai saat ini."

     "Senangnya kau cakap. Kita dah bertunang untuk dua tahun, Mark... Ia melibatkan maruah keluarga. Bahkan persiapan kahwin kita, kita dah bincangkan dengan ibu ayah. Kita kan dah janji nak kahwin lepas kita terima ijazah kita. Malulah kalau mereka tahu." Seorin cuba memujuk lagi.

     Sebelah lagi lengan si jejaka Seorin ambil dan jarinya digenggam erat. Senyuman pahit terpahat di bibir Seorin.

     Mark menepis sentuhan Seorin dan menapak menjauh. "Maafkan tapi aku mahukan dia."

     "Kalau tahu mahukan dia, kenapa cari aku? Kenapa beria-ria melamar aku? Aku ini siapa pada kau? Hanya persinggahan sementara kau tunggu bekas kekasih kau cari kau balik? Cakaplah." Seorin menyoal.

     "Sebab masa itu aku ingatkan aku cintakan kau. Dahlah. Aku tak mahu bertekak dengan kau. Hati tak boleh dipaksa, Seorin."

     "Kau tinggalkan saja dia okay? Kita buat macam tiada apa yang berlaku malam ni." Seorin senyum, menelan pahit.

     Mata si teruna mencerun pada wajah polos si dara. "Kau nak ke lepas aku kahwin dengan kau, aku curang di belakang kau? Hmm? Nak ke? Fikirlah. Ini jalan yang terbaik. Tak payah nak berlagak naif sangat."

     Seorin terkedu. Pedih mula menggigit hati. "Bukan simpati yang aku minta, hanya kejujuran kau memutus kata. Betul kau sudah tidak sayangkan aku?"

     Mark hanya bungkam.

     "Orang kata, diam itu maksudnya ya. Baiklah, kalau itu yang kau nak, Mark... aku harap kau bahagia dengan dia. Dan lepas ini, aku harap kau takkan cari aku lagi."

     Mata Seorin tetap pada susuk Mark menapak ke kereta yang diparkir di luar pagar. Dia hanya hening memerhati seorang gadis yang menunggu di dalam kereta. Tak mampu lagi menahan air mata yang gugur, Seorin berlari masuk ke dalam rumah.

     Mark menghela keluhan berat sebaik melihat si dara menghilang di sebalik pintu. Kepala Mark termengguk pada stereng. Satu tangan mengelus lembut rambutnya.

     "Mark, kenapa ni? You masih ada perasaan dekat dia ke?" Pertanyaan perempuan itu kedengaran sinis.

     Mark hanya tetap begitu.

     "Lupakan saja dia. Kita mula hidup baru, okay?" Perempuan itu mengambil tangan Mark dan meletakkan di atas perutnya. "Dengan anak kita."

     Pada hari graduasi, kelibat Mark langsung tidak kelihatan sekaligus mengundang pelbagai sangkaan. Si dara hanya mendiamkan diri, mengendahkan mulut yang bertanya dan mata yang memandang.

»»
(t/w- lemas)

     Khabar tentang perkahwinan Mark dengan gadis pilihan sampai ke telinga si dara melalui kenalan. Sekaligus, ia mematahkan dahan harapan yang selama sepurnama ini Seorin berpaut. Harapan untuk Mark kembali kepadanya.

     Si ibu lekas menuju ke bilik anak perempuannya seraya dia mengetahui akan berita tersebut. "Seorin." Langkah si ibu terhenti di muka pintu bilik. "Kamu nak pergi mana ni?" tanyanya, sedikit cemas, melihat pakaian-pakaian yang disumbat ke dalam bagasi.

     Seorin segera menyeka butiran air mata di gigi mata. "Saya... nak tenangkan diri, ma." Dia menyambung setelah menelan air liur perit. "Tiada apa lagi saya boleh buat."

     Setelah terasa jauh sudah dia memandu kereta dalam kesuraman malam, Seorin singgah di sebuah restoran. Bunyi ombak dari jauh, tak mampu juga redakan hati yang berkecamuk.

     Usai mengisi perutnya, Seorin menapak keluar restoran. Bayu malam bertiup menyentuh pipinya yang hangat. Seorin mengeluh apabila dia menyedari botol soju yang tergenggam telahpun kosong. Dia sudah hilang hitungan botol soju yang telah diteguk.

     Kedua-dua tangan Seorin depa, merasakan bayu lautan menerpa tubuhnya. Tanpa dia sedari, dia sudah berada di penghujung tebing. Dihuni rasa pilu, air mata laju menuruni pipinya. Hilang pertimbangan, si dara jatuh ke bawah. Seperti ditarik, dia tenggelam ke dasar. Terapung di dada jeladeri dingin. Matanya setia merenung rembulan yang makin berkecai seperti hatinya. Seorin tiada kudrat untuk melawan godaan yang berbisik di dalam kepalanya.

     "Jaehyun! Nak pergi mana tu?! Jomlah makan lagi! Second round!" laung beberapa orang lelaki dari dalam restoran.

     Lelaki bersusuk lampai itu berpaling. "Aku dah kenyang! Kalian sambunglah tanpa aku!"

     Dek tak tertahan dengan bahang di dalam restoran, Jaehyun keluar untuk melepak sendirian di tepi tebing. Lalu dia ternampak satu susuk perempuan yang sedang berjalan sedikit terhuyung-hayang. Jaehyun hanya menggeleng dan membuat halnya sendiri sampailah dia terdengar satu bunyi hempasan yang kuat. Dia berlari dan menjenguk ke bawah.

     Hati yang disangka teguh dilindungi tembok, akhirnya runtuh akibat cinta. Mark Tuan, lelaki yang dipuja, tergamak menghancurkan hatinya tanpa teragak-agak. Imbasan memori silam kembali bertayang di hadapannya umpama skrin tentang kehidupannya telah dihidupkan. Mark punyai satu senyuman yang menawan. Tapi senyuman itu juga yang merentap jantungnya. Ayat Mark seakan bergema di segenap lautan, menambah tusukan di hati.

     "Hati tak boleh dipaksa, Seorin."

     Tapi siapa yang meminta hatinya dahulu?

     Soalan yang tak berjawapan, hilang bersama buih-buih lautan. Kelopak mata Seorin makin memberat. Dada makin rasa terhimpit dan pedih.

      Tika tirai hitam sudah mahu menutup pentas pancainderanya, satu percikan menambah gelodak permukaan air dan satu susuk sedang berenang ke arahnya.

     Mark...?

     Buih-buih meninggalkan bibir Seorin seiring matanya yang tertutup. Pinggang Seorin segera disambar dan dipaut membawa badannya menuju langit samudera.

     Gadis itu dibaringkan di atas pasir pantai. "Cik! Awak dengar suara saya tak?!" Jaehyun menepuk-nepuk pipi pucat si gadis. Dia menekan dada si gadis beberapa kali dan memberi bantuan pernafasan mulut ke mulut.

     Si gadis mula terbatuk-batuk, mengeluarkan air. Dia tak mampu membuka mata, dunia berpusing terlalu laju untuknya. Tanpa berlengah, Jaehyun terus mencempung si gadis itu lalu berlari untuk meminta bantuan.

»»

     Seorin nekad untuk membuang jauh memori tentang Mark tatkala dia berpindah keluar daripada bandar itu. Dia ingin membuka lembaran baru dalam hidupnya. Kini, Seorin berkerja sebagai seorang pelayan restoran di sebuah hotel.

     Suatu malam, ketika dia sedang menunggu bas untuk pulang, satu risalah tertampal pada dinding hentian bas bertulis, 'Peluang untuk bekerja di atas kapal persiaran. Kami membuka peluang kepada individu yang berminat, berkemahiran dan berpengalaman...'

     Semua syarat yang tertera Seorin penuhi. Sekilas cuma, dia teringat pada malam kejadian dia hampir lemas.

     Sebelum beredar, dia sempat bertanya kepada jururawat tentang orang yang membawanya ke hospital.

    "Teman lelaki cik yang bawa cik ke sini."

     Seorin takut untuk meneka nama, enggan lagi berpaut pada angan. Lalu dia biarkan persoalan tersebut tenggelam ke dasar fikiran. Sejak hari itu, Seorin menjauhi lautan. Namun sudah tiga tahun berlalu, hatinya sudah dia pujuk.

     Sepanjang pemanduan pulang ke rumah, kadang kala fikiran Mark berlayar ke lautan masa silam. Sepanjang tiga tahun itu, ingatan Mark terhadap Seorin tidak pernah tandus meskipun jari manisnya sudah bersarungkan cincin. "Saya harap awak takkan cari saya lagi..." Dengan mengingati kata-kata itu, terbit rasa bersalah dan Mark hanya memikirkan kata-kata itu berulang kali. Dia sedar akan kesilapannya.

     Kesunyian sentiasa membelenggu dirinya. Walaupun ada seorang isteri dan anak menemani semasa makan malam, perasaan sunyi itu ada juga menjengah. Setelah si kecil lena di kamarnya, Mark kembali ke dapur untuk meneguk wain. Sekurang-kurangnya, wain dapat melegakan segala masalah yang bersarang di hatinya.

     Meneguk satu dua minuman, Mark bertanya kepada si isteri, "Kenapa kau tipu aku, Park Sooyoung? Kenapa?" Kata-katanya terdengar berat dengan kekecewaan.

     "Apa yang awak cakapkan ini? Mana ada saya tipu awak." Sooyoung dapat merasakan dadanya berdebar dengan rasa takut.

     "Masih cuba memperbodohkan aku?" Mark mengeluarkan sekeping sampul berwarna coklat yang dibawa pulang bersama dari hospital. Isinya Mark lemparkan kepada si isteri. "Apa lagi alasan kau, Park Sooyoung? Jawablah!"

     'Laporan Keputusan Ujian Paterniti DNA'

     Di malam yang dilencung hujan itu, kebenaran yang tersimpan kemas selama bertahun-tahun akhirnya tersingkap. Anak kecil itu ternyata bukanlah darah dagingnya. Selama ini, Mark fikir cinta Sooyoung padanya benar-benar tulus tetapi ia hanya sandiwara yang direncanakan untuk menutup malu. Sooyoung cuba memohon kemaafan dan peluang kedua dengan air mata namun Mark sudah penat menunda perpisahan mereka.

     Sooyoung meminta sedikit masa untuk Mark fikirkan keputusannya kerana anak kecil itu sudah menganggap Mark sebagai bapa kandung. Segala pakaian Mark ambil lalu keluarlah dia daripada rumah itu untuk redakan hati yang berkecamuk.

»»

     Setelah menjalani latihan praktikal selama berbulan-bulan sebagai persediaan sebelum bekerja di atas kapal, hari pelayaran yang ditunggu telah tiba. Semua pekerja baru yang masuk ke dalam kapal disambut oleh pengurus restoran dan dibawa ke dek dasar di mana terletaknya kabin pekerja. Esok bakal diadakan satu jamuan untuk menyambut para penumpang.

     Setelah bersiap untuk ke restoran yang terletak di dek kedua, Seorin melangkah keluar. Tatkala itulah juga, seorang pekerja yang menghuni kabin bertentangan, muncul. Dia mengenali si jejaka lampai itu ketika membuat latihan praktikal. Pembawaan Jaehyun yang murah dengan senyuman membuatkan Seorin senang dengan kehadirannya. Tambahan pula, mereka sebaya berbanding dengan pekerja lain yang lebih berusia.

     Kapten kapal membuat pengumuman bahawa kapal akan mula berlayar. Jaehyun mengerling ke tangan Seorin yang agak bergetar. Si dara kekal tersenyum manis, walaupun gemuruh melihat daratan mula meninggalkan mereka. Jaehyun merapati, mengenggam erat tangan Seorin dan berbisik, "It's going to be okay.".

     Si dara mengangkat wajah ke arah si pemuda dan mengangguk lemah.

     Malam jamuan itu berlangsung meriah di restoran dengan dendangan muzik secara langsung. Para penumpang kapal berbahak sesama mereka. Seorin sebagai pelayan tak lekang menatang minuman dan makanan di dalam dulang untuk disajikan kepada mereka.

     Begitulah rutinnya untuk hari-hari seterusnya, namun malam ini terasa berbeza. Lautan agak bergelora dan Seorin mula terasa mual. Sudah dua kali dia berlari ke sinki dapur, memuntahkan isi perutnya.

    "Han Seorin, kau okay tak ni? Pucat saja muka kau." tegur pengurus restoran yang risau melihat keadaan si gadis.

    "Saya okay." jawabnya lemah sambil tersandar pada dinding.

    "Baik kau pergi balik kabin kau sekarang dan berehat."

    Seorin menggeleng.

    "Jung Jaehyun! Bawa kekasih kau yang degil ini balik ke kabin sekarang! Aku tak mahu dia pengsan dekat sini pula!"

    Jaehyun segera menuruti arahan pengurus restoran yang bercekak pinggang dan memapah Seorin keluar.

    Sebelum sampai ke katil, tandas disinggah terlebih dahulu. Jaehyun bersimpati lalu mengusap-ngusap belakang si gadis.

   "Sebelum telan ubat, kau harus makan dahulu. Ambil roti ni, makan."

    Seorin yang terbaring atas katil tak mampu membuka mata lagi, hanya makan apa jua yang diletakkan ke atas tangannya.

    "Tidurlah. Nanti habis kerja, aku datang bawa makanan."

     "Maaf sudah susahkan kau, Jaehyun."

     "Apa saja untuk kau."

»»

     Selepas hari yang memalukan itu, Seorin meneruskan kerja seperti sedia kala. Namun entah mengapa, kadangkala dia termenung dan ingatannya pulang ke Mark Tuan kerana mimpi yang dialami. Petanda apakah ini?

     Seorin menuju ke dewan makan, tempat di mana pekerja makan setelah seharian membanting tulang di restoran. Setelah mengambil makanan yang dihidang secara buffet, Seorin ternampak Jaehyun melambai-lambai padanya dan menunjuk ke kerusi di sebelahnya.

     "Kau kelihatan muram saja. Beritahulah apa masalah kau." ungkap Jaehyun selepas Seorin hanya menikmati makanan tanpa suara.

     "Aku sendiri tidak tahu menggambarkan perasaan aku sekarang ini. Tapi bukankah sepatutnya selalu begitu? Kita tidak akan pernah dapat mengungkapkan apa yang sebenarnya kita rasakan?"

     Jaehyun tersenyum, mendengar madah Seorin. "Aku tidak. Aku tahu apa yang aku rasa."

     "Apa yang kau rasa?"

     "Rasa suka pada kau."

     Seorin menaik kening. "Kau sukakan aku? Kenapa?"

     "Kenapa tidak? Aku pernah berdoa supaya aku dapat bertemu dengan kau lagi. Siapa sangka, doa aku dimakbulkan."

     "Kita pernah berjumpakah sebelum ini?"

      Keseriusan dalam wajah Jaehyun muncul. Dia diam sekilas, umpama sedang menyusun kata dalam fikiran. "Aku... yang selamatkan kau selepas kau terjun dari tebing malam itu."

     Mata Seorin membulat. "Pembetulan, aku tidak terjun, aku tergelincir. Dan oh my god. Jadi kaulah orangnya." Dia mengambil tangan Jaehyun. "Dah lama aku mencari kau untuk berterima kasih kerana dah selamatkan aku. Kalau tak aku-"

    "Shush!" Segera Jaehyun lekapkan jari telunjuknya di bibir Seorin. Lelaki itu kemudian menepuk-nepuk kepala si gadis. "Kasih diterima. Usah bercerita tentang hal itu lagi."

    Tiba-tiba namanya diseru dari jauh.

    "Okaylah, aku pergi dulu, sayang. Jumpa di kabin." Jaehyun mengenyit mata sebelum bangun meninggalkan meja. Dia tersenyum lebar, mungkin seronok dapat mengusik Seorin yang terpana di situ.

     Esok kapal ini akan berlabuh di sebuah pelabuhan di mana para penumpang boleh turun dan melawat tempat-tempat menarik di situ. Jadi beberapa krew restoran dibenarkan keluar sehingga waktu makan malam.

    Seorin sedang mengutip pinggan kotor di sebuah meja ketika seseorang datang mendekati.

    "Seorin? Han Seorin?"

     Seorin terpaku, kerana dia mengenali suara tersebut. Adakah dia sedang berkhayal? Si dara sedikit terkejut melihat si jejaka di dalam ingatan berada di hadapannya dennga raut penuh dengan kekusutan. "Mark...?"

    "Jadi betullah kau. Aku takut aku tersilap orang." ujar Mark tersenyum lega. "Kau semakin cantik." Dia cuba meredakan udara tegang antara mereka. Reaksi Seorin yang meneruskan kerjanya mengusik perasaan Mark. "Nanti habis kerja kau, boleh kita berbual di haluan?"

    Seorin berlalu membawa pinggan kotor ke dapur tanpa kata balas. Mark hanya hening memandang dengan mata kesal.

    "Siapa itu?" tanya Jaehyun tatkala Seorin melepasinya.

    Nafas berat terusir. "Bekas tunang aku. Dia mahu berbual dengan aku."

    "Mahu aku teman?"

    Seorin menggeleng dan segera menyambung kerjanya agar tidak dimaki oleh pengurus restoran yang sedang memerhati.

    Habis waktu bekerja, Seorin keluar dari restoran, menapak ke haluan kapal seperti yang dipinta oleh Mark. Sejujurnya, dia boleh saja pulang ke kabin tapi hatinya dia memilih untuk bertemu dengan lelaki itu.

    Wajah muram Mark berubah bila Seorin tiba di hadapannya. "Kau datang." Satu senyuman terukir.

     Terbit rasa kasihan melihat raut si jejaka namun Seorin segera membuang pandang pada laut lepas yang gelap-gelita. Gusar jika ditenung lama raut itu, hatinya akan berbolak balik. "Lekas, jangan membuang masa aku lagi."

    "Maafkan aku." luah Mark.

    "Maaf? Untuk apa?" sindir si gadis.

    "Kerana putuskan pertunangan kita dahulu. Aku sebenarnya terpaksa." Dengan nada rendah, tanpa dipinta, si jejaka bercerita tentang episod dukanya. Matanya berkaca-kaca.

    Seorin memahat senyuman kelat. "Jadi sekarang, mengapa kau mengadu pada aku? Kau dan aku sudah tiada apa-apa ikatan."

    Mark mengangkat tapak tangan kirinya untuk menayang cincin pertunangan yang tersarung. "Ingatan aku pada kau sentiasa utuh, aku sentiasa cintakan kau, Seorin."

    "Masa lalu bukan alasan untuk kau kembali datang. Segala yang indah tak akan terulang, Mark."

    "Mengapa? Kau sudah punya pengganti diri aku?"

    "Itu bukan urusan kau."

    "Kau masih cintakan aku, bukan? Sebab itu, kau tidak mahu menatap wajah aku." Mark merapati.

    Si dara mencemuh seraya memandang tajam si jejaka. "Kau yang dulu memilih untuk pergi. Jadi jangan kau datang kembali."

    "Kau berdendam dengan aku? Jika ya, dendam kau sudah terbalas, Seorin. Ya, aku merana kerana tinggalkan kau. Aku tersangat menyesal." Mark mencapai tangan si gadis. "Aku mohon, berilah aku peluang kedua untuk menebus silap aku."

    "Takkan sesekali." Seorin cuba melarikan lengannya namun genggaman itu makin mencengkam. "Lepaskan aku!"

    Mark memerangkap tubuh Seorin dalam satu dakapan kemas. "Aku rindukan kau..." rintihnya. "Hidup aku sunyi sepi tanpa kau."

    Seorin berhenti melawan bila dia merasakan ada cecair hangat di bahunya. Mark sedang menangis. "Jika benar kau mencintai aku, mengapa kau sanggup tinggalkan aku demi dia?"

   "Kerana dia mengugut aku jika aku enggan bertangunggjawab. Aku tak mahu keluarga aku dan kau mendapat malu. Biarlah aku seorang yang menanggung akibat."

   "Jadi kau tidak menafikan bahawa kau pernah curang di belakang aku dulu?"

    Mark diam sejenak sebelum berkata, "Itu kisah lama. Lihatlah aku sekarang. Aku sudah berubah." Wajah Seorin ditatap. "Kerana aku masih cintakan kau. Jadi, terimalah aku semula dalam hidup kau."

   Tiada segaris pun senyuman di bibir Seorin. "Kau tidak jujur dengan aku, Mark. Aku sentiasa rasa ada saja yang tak kena tika aku bersama dengan kau dulu. Aku benci orang yang menipu aku." Si dara memalingkan badan dan perasan Jaehyun sedang memerhati dari jauh dengan wajah risau.

   Kata-kata itu menyentuh hati kecewa si jejaka. "Aku sedar segala salah aku yang aku lakukan pada kau..."

   "Hati aku sudah berpunya, Mark Tuan. Kembalilah pada keluarga kau. Jangan berpaut pada kisah lama. Padamlah semua kenangan kita. Tiada ruang lagi untuk kau pulang."

   Dan si dara terus melangkah, meninggalkan segala kenangan yang membelenggu dirinya selama ini. 

 

Tamat.

 

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!
kuchens
Setelah sekian lama, akhirnya terima lah one shot ini! Semoga terhibur membacanya ^^

Comments

You must be logged in to comment
No comments yet