Final

Penjaga Hati
ilbEvkG.png
PENJAGA HATI

“When her heart finally told her to stop wasting her time.”

 

Gelak ketawa sekumpulan pelajar sayup-sayup kedengaran dari luar kelas. “Memang padan dengan muka dia!” Seseorang yang kelihatan seperti ketua mereka, ketawa dengan angkuh diikuti oleh yang lain.

Tiba-tiba pintu kelas dikuak dengan kasar, seorang gadis munculkan diri. Kakinya laju menuju ke arah kumpulan pelajar lelaki tersebut. Semua mata mengekori gerak gerinya dan tersentak apabila gadis itu tanpa disangka mencengkam kolar baju ketua kumpulan pelajar berkenaan, memendekkan jarak mereka. Matanya mencerlung kebencian.

“Kau cakap dekat aku, Namjoon. Mana kau sorok Hoseok?!” Tenang saja gadis itu menuturkan ayatnya. Namun setiap perkataan diselangi dengan cengkaman yang makin mencengkam leher. Lelaki itu hanya tersenyum sinis.

“Tak ke mana pun Hoseok kau tu, Choi MiRan.” ujar Namjoon dengan ejekan. Dengan selamba, dia menepis tangan gadis itu. Pelajar lain mula berbisik cemas tatkala Namjoon mendekatkan mukanya dengan MiRan yang tidak berganjak. “Pergilah cari sendiri Hoseok kau tu.”

Dengan itu, Namjoon melarikan wajahnya sambil MiRan diketawakan oleh yang lain. Gadis itu hanya mampu mengepal buku limanya. Kalau diikutkan hati, mungkin singgah buku limanya itu di muka Namjoon.

 

Choi MiRan meninggalkan kelasnya dengan langkah yang gopoh. Hatinya berdebar-debar memikirnya Jung Hoseok yang menghilang sejak beberapa puluh minit yang lalu. Waktu rehat sudah hampir tamat, namun kelibat lelaki itu masih tidak dilihat olehnya. Itu bukan sikap Jung Hoseok. Dia takkan sesekali-kali ponteng kelas tanpa sebarang sebab.

Kakinya dihayun menyelusuri laluan hallway yang agak lengang daripada para pelajar yang masih berkumpul di cafeteria. Mata MiRan meliar di segenap ruang, mencari tanda-tanda kehadiran rakan baiknya itu.

“Hoseok!” laungnya dengan cemas. MiRan memberhentikan langkahnya dan menjenguk ke dalam kelas berhampiran. Kosong.

Telinga gadis itu kemudiannya menangkap satu suara yang tidak jelas, datang dari penjuru hallway yang menempatkan bilik stor. Hatinya umpama dihempap sesuatu apabila pelbagai fikiran bermain di benaknya. Hati kecil MiRan berharap agar sesuatu yang buruk tidak menimpa Hoseok tatkala dia berdiri di hadapan pintu kayu bilik stor itu. Tangannya perlahan-lahan memulas tombol pintu.

Berkunci.

“Hoseok?” MiRan mengetuk lembut permukaan pintu dan merapatkan telinganya. Bunyi derap seretan tapak kaki, menghampiri pintu kedengaran dari dalam.

“MiRan?”

Hampir terbuntang mata si gadis itu, mendengar suara Hoseok. Tombol dipulas berkali-kali dengan sedaya upaya. “Hoseok! Kau okay kan?!” Akalnya ligat mencari jalan untuk membuka pintu.

“Aku okay..”

Mendengar jawapan lemah daripada Hoseok, MiRan terpaksa menggunakan kekerasan terhadap pintu itu yang mungkin akan mengalami kerosakan pada akhirnya. Namun, dia tidak kisah. Apa sahaja demi rakannya. Berbekalkan ilmu hapkido yang dipelajarinya, MiRan dengan sekuat hati menendang pintu tersebut. Pada cubaan keduanya, akhirnya wajah Hoseok yang bingung yang berdiri kaku melihatnya muncul di ruangan mata MiRan.

“Beritahu aku siapa yang buat macam ni kat kau.” pinta MiRan tanpa berlengah. Hatinya membuak dengan kemarahan namun riak wajah polos Hoseok sedikit sebanyak meredakan amarahnya. Lelaki itu segera menggeleng.

“A-aku nak ambil barang dalam stor tadi. Aku lupa nak biarkan pintu-“

MiRan mendengus geram. Dia sudah lali dengan perangai Hoseok yang suka salahkan dirinya sendiri, yang lebih gemar untuk merahsiakan perkara yang sebenar. Matanya tidak lekang daripada merenung lelaki tinggi lampai itu.

“B-betul, MiRan!” ujar Hoseok yang tak senang direnung tajam sebegitu. Dia takut-takut mengatakannya. Itulah salah satu kelakuan Hoseok apabila dia sedang berbohong. Dia menjadi takut dan tak mampu untuk bertentangan mata.

“Dah. Jom masuk kelas.” balas MiRan dengan nada yang agak tegas. Dia meninggalkan Hoseok dengan muka yang tegang. Keningnya berkerut menyatakan perasaan tidak puas hatinya. Hoseok segera mengikuti gadis itu seperti anak kucing yang kehilangan ibunya.

 

 

 

Itulah mereka hampir pada setiap hari. Hoseok kerap kali menjadi mangsa prank yang kononnya dibuat hanya untuk suka-suka. Mereka memperdaya Hoseok dengan meminta bantuannya, dan akhirnya mereka mempermainkan Hoseok seperti yang mereka mahu. MiRan sudah banyak kali memesan pada Hoseok agar jangan mengikuti arahan mereka namun Hoseok berdegil. Atas alasan, ‘Mereka kawan aku. Mereka perlukan pertolongan aku.’ Pernah satu hari MiRan ternampak Hoseok memikul beberapa beg galas yang dia yakin bukan kepunyaan Hoseok.

Kaki MiRan segera mendekati susuk tubuh yang berjalan tidak jauh daripadanya, menuju ke kelas. Dia menahan lelaki itu daripada melangkah. “Ni apa?” Matanya dilirik ke beg-beg sekolah yang dibimbit dan ada juga dipikul. MiRan menyilangkan tangannya, menunggu alasan daripada Hoseok.

“Ah, mereka minta aku tolong bawakan beg mereka.” Senyuman ikhlas muncul di bibirnya. “Mereka cakap ada hal.”

Jawapan Hoseok membuatkan MiRan membalikkan matanya dengan perasaan jengkel. Lantas, dia menyentap beg-beg tersebut daripada genggaman Hoseok dan membuangnya ke lantai. “Dah. Jangan kau kutip.” ugut MiRan memandangkan Hoseok yang cuak. “Mereka ada tangan sendiri. Pandai-pandailah bawa beg masing-masing.”

Lengan Hoseok diheret dengan paksaan. Hoseok cuba melawan. “Nan-nanti mereka marah!” ujarnya kepada MiRan sambil menoleh ke belakang; ke arah beg-beg itu. Tanpa disangka, lengan Hoseok  dilepaskan. Terpinga-pinga, Hoseok melihat MiRan tanpa kata meninggalkan dirinya bersendirian. MiRan hanya memperlihatkan belakangnya yang makin menjauhi diri Hoseok.

“Mi-MiRan..”

 

 

 

Hoseok sekali lagi menjadi sasaran oleh Namjoon dan yang lain. Mereka meminta Hoseok untuk mengambil barang yang kononnya tertinggal di dalam tandas lelaki yang rosak, dan kemudian, mengurung Hoseok dengan mengunci pintu tandas tersebut. Berita ‘Hoseok terkurung dan diselamatkan oleh MiRan’ hanya tersebar sehari kemudian dan mendedahkan manusia yang menjadi dalang. Apabila ia sampai kepada pengetahuan MiRan, gadis itu tanpa berlengah menghadiahkan satu tumbukan pada pipi kiri Namjoon dengan perasaan benci yang lama terpendam apabila mereka bertemu.

 

“Kau ingat benda ni main-main?!” jerkah MiRan pada Namjoon yang mengeluh kecil dek kesakitan di pipi yang makin membengkak kemerahan. Pelajar lain memerhati pergaduhan mereka tanpa berbuat apa-apa. Hanya kaku di tempat duduk masing-masing. “Silap hari, Hoseok boleh mati kau tahu?!”

Namjoon mencebik jengkel. “Mati ke Hoseok kau tu?”  Satu tamparan kuat hinggap di pipi kanan Namjoon. Terpaling lelaki itu ke arah kanannya. Nafasnya mula memberat. Keegoannya telah dicalarkan oleh MiRan. 

Hendak saja Namjoon mencengkam kolar baju MiRan, tangannya ditepis oleh Hoseok yang tiba-tiba datang mencelah. “Kau jangan sentuh dia!” bentak Hoseok walaupun masih takut-takut dengan manusia bengis di hadapannya. Lengan MiRan pula ditarik keluar daripada kelas. Mereka berlari melepasi pintu pagar sekolah dan berhenti laluan yang agak lengang.

 

MiRan menyentap kasar lengannya daripada Hoseok. Riak mukanya terkilan dengan sikap Hoseok. “Aku dah kata pada kau! Dah banyak kali dah!” rintihnya dengan kecewa. “Jangan percayakan cakap si Namjoon tu! Dia cuma nak kenakan kau saja!”

Hoseok menunduk, memandang lantai jalan yang diturap elok. “Tapi.. dia kata nak minta tolong-“

“Aku dah penat macam ni.” Kedinginan suara MiRan memaksa Hoseok mengangkat wajahnya. Mata gadis itu tenang merenung sahabatnya. “Aku dah penat setiap hari selamatkan kau. Tapi kau langsung tak nak dengar cakap aku.” Kaki MiRan melangkah selangkah ke hadapan mendekati Hoseok, namun lelaki itu menjauh. “Kau kena ingat, aku tak boleh ada di sisi kau buat selamanya.” MiRan cuba memujuk.

“Tapi kau dah janji dengan aku..” Perlahan saja lelaki itu lontarkan suara seakan anak kecil yang merajuk kecewa. Langkahnya juga makin mengundur.

“Hoseok. Dengar sini,” MiRan cuba memaksa Hoseok untuk kekal di posisinya. Lengan Hoseok ditarik namun ditepis. “Hoseok!” jeritnya yang tak terdaya untuk menghalang Hoseok yang berlari meninggalkannya.

 

 

 

“Sejak bila lagi anak puan bersikap macam tu?”

“Dah lama dah.”  Keluhan terluah dari bibir Puan Jung. Kerisauan bermain di wajahnya. “Sejak MiRan tinggalkan dia.”

“MiRan?” Doktor Kim menjongket keningnya dengan perasaan ingin tahu.

 

Mata Jung Hyemi terlekap pada skrin televisyen, namun otaknya tidak dapat menangkap apa yang sedang dilihatnya. Fikirannya asyik bermain pada abangnya, Jung Hoseok yang berada di tingkat atas. Kadang kala Hyemi menoleh dan mendongak, fokusnya pada pintu bilik Hoseok. Dia risau akan kondisi abang tunggalnya itu. Makin hari, Hoseok makin menjadi pendiam.

Pintu utama dibuka menyebabkan Hyemi tersentak lalu berpaling. Susuk tubuh Puan Jung yang sedang menutup kembali pintu, melegakan hati kecilnya. Dia segera menghampiri ibunya.

“Mana abang kamu?” tanya Puan Jung sambil melabuhkan punggungnya ke sofa. Dia menghembuskan nafas kepenatan setelah menghadiri temujanji dengan Doktor Kim sebentar tadi.

“Abang ada dekat bilik dia kot..”

Puan Jung mengurut-urut dahinya dengan perlahan. Hyemi hanya memandang ibunya sekilas sebelum kembali merenung pintu bilik abangnya.

 

“Selepas MiRan pergi, Hoseok dah mula kurang bercakap dengan sesiapa.”

“Siapa MiRan pada Hoseok, puan?”

 

Hyemi yang penuh rasa ingin tahu, berhenti tepat di hadapan pintu bilik Hoseok. Diketuk pintu itu dengan perlahan, namun tiada sahutan. Dia segera memulas tombol dan menerjah masuk bilik yang suram itu. Angin musim luruh yang dingin menyapa tubuh genitnya. Hyemi segera memeluk tubuh sambil melangkah ke tingkap yang terselindungkan dengan langsir yang tidak diikat. Hatinya berdebar-debar tatkala tingkap ditutup. Dia memerhati sekeliling. Matanya menangkap sesuatu. “Abang..”

Hyemi segera berlari keluar. “Omma! Abang tiada di bilik dia!”

Puang Jung terkedu mendengar suara jeritan cemas Hyemi. Apa yang ditakutinya selama ini mungkin akan berlaku. Dia segera bangun dan menaiki tangga dengan gopoh. Katil kosong milik Hoseok dan wajah gusar Hyemi memenuhi ruang mata Puan Jung. Jari Hyemi menunjuk sesuatu kepada ibunya.

 

Hati kalau tak dijaga; mati.

 

Air mata Puan Jung sayu menitis membasahi pipi usai dia membaca satu persatu perkataan yang ditulis ringkas di atas cebisan kertas di meja Hoseok. Dia rebah terduduk di sisi katil yang kosong dengan lemah.

 

“MiRan pada Hoseok? Mereka berdua memang rapat sejak dari kecil lagi. Saya pun tak dapat nak gambarkan persahabatan mereka. Apa yang saya tahu, Hoseok menganggap MiRan tu sebagai ‘penjaga hati’nya.”

“Maksud puan?”

“Saya.. pun tak pasti maksud ‘penjaga hati’ itu.”

 

Kini Puan Jung mengerti apa yang Hoseok ucapkan pada dirinya tentang ‘penjaga hati’nya, MiRan. Dia kesal kerana tidak memahami erti ungkapan itu dari awal lagi. Hyemi menghampiri ibunya yang teresak-esak, menangis terkilan. Dia lembut mengusap bahu Puan Jung yang telah luluh hatinya.

 

“Saya rasa Hoseok obses dengan MiRan, puan. Hoseok terlalu bergantung dan berharap pada MiRan. Dia merasakan MiRan adalah segalanya.”

 

“Omma..” Hyemi cuba memujuk ibunya agar bertenang. Puan Jung hanya tersenyum sedih pada Hyemi. Dia beransur bangkit dan perbuatannya ditiru Hyemi.

“Mari kita cari abang kamu. Cuaca makin sejuk sekarang ni.” Puan Jung menggapai sweater Hoseok yang tidak dipakai dan tanpa berlengah, beredar dari bilik itu bersama anak perempuannya. Hatinya tidak putus daripada berharap perkara baik untuk Hoseok. 

 

 

 

 

“Hoseok..” Puan Jung mengetuk lembut permukaan pintu kayu bilik anaknya. “MiRan datang ni. Kamu tak nak ucapkan selamat tinggal pada MiRan?”

Tiada jawapan mulanya. Selepas seketika, bunyi tapak kaki kedengaran dan pintu dibuka. Watak tenang Hoseok terpancul dan jika diperhati, pandangan matanya kosong umpama patung yang tidak mempunyai jiwa. Dia turun menuruti ibunya ke halaman rumah. MiRan serta keluarga sedang menunggu di sisi kereta yang siap dihidupkan. Tanpa kata, Hoseok kaku berdiri.

“Hoseok..” MiRan mendekati lelaki yang membisu itu. “Aku minta maaf kalau kau berkecil hati dengan aku..” Bahu Hoseok disentuh, hanya kedinginan berlingkar daripada sentuhannya. “Aku nak kau kuat untuk diri kau. Jangan biarkan orang lain buli kau, ya?”

Masih tiada reaksi. MiRan menyangka Hoseok masih marah akan perbuatannya dulu. Mungkin Hoseok enggan berbual dengannya. Tundukan kecil serta senyuman diberi kepada Puan Jung yang melayan dirinya tak ubah seperti anaknya sendiri. Dia bersyukur dapat mengenali orang seperti Puan Jung. Dengan senyuman yang memudar, MiRan memusingkan badan kembali ke kereta.

Lengan MiRan terasa dipegang erat. Dia berpaling dan dirinya dipeluk oleh Hoseok. Kehangatan badan Hoseok sedikit sebanyak menjalar ke dalam dirinya yang kesejukan daripada angin musim luruh yang menyapa.

Namun entah mengapa, pelukan itu terasa kosong.

Ingin saja MiRan terus berada di dalam momen itu. Dia memeluk Hoseok erat. Bukannya dia sengaja hendak tinggalkan Hoseok, namun keadaan memaksa. Dakapan yang erat itu mencerminkan betapa beratnya hati MiRan untuk pergi.

“Tapi kau dah janji dengan aku..” Hoseok bersuara di telinganya. Hanya dia saja yang mendengar bisikan tenang itu.

 

“MiRan, kita harus pergi..”

Hoseok segera meleraikan pelukan dan menyelitkan secebis kertas ke dalam genggaman MiRan sebelum gadis itu menaiki kereta. Kakinya melangkah namun mata masih terhenti pada Hoseok. ‘Bukan niat aku hendak mungkiri janji..’

Roda tayar mula berputar sebaik pedal minyak ditekan. Beransur-ansur MiRan dibawa pergi jauh daripada Hoseok. Mungkin hanya untuk seketika. Mungkin untuk selamanya.

MiRan mengeluh berat sambil belakangnya tersandar pada tempat duduk belakang kereta. Teringat akan cebisan kertas di tangan, dia mula membuka kertas yang dilipat. Air mata bergenang, menemani ayat yang ditulis.

 

Selamat tinggal, duhai si penjaga hati.

.

Mengapa kau harus pergi.

.

Kerna hati jika tak dijaga; akan mati.

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
Seasony
#1
Chapter 1: Bestnyeee. Ini one shot ke ? Saya nak tanya kalau buat one shot, berapa perkataan ye ? Heheh.
bigbangtanboys
#2
Chapter 1: Huah!!!T T.....jhope dah mati kerr??apapun daebak cerita ni....^_^
bigbangtanboys
#3
Menarik.Hwaiting author nim...semoga berjaya...